Cerpen : Terjemahan Cinta

25 December 2011  
Kategori: Cerpen

11,078 bacaan 25 ulasan

Oleh : Laila Qaisara

Sebuah kereta Mercedes Benz meluncur laju di jalanraya. Di dalam kereta, Datuk Murad bersiul-siul kecil. Suraya yang berrada di sebelahnya hanya mendiamkan diri. Dia memandang ke luar, fikirannya melayang mengingati peristiwa lalu.

“Su, kau nak pergi mana, nak?” tanya Salmah apabila melihat Suraya keluar dari biliknya dengan beg besar di tangannya.

“Su nak keluar,”

“Su, jangan buat mak macam ni, nak,”

“Mak yang paksa Su buat macam ni! Apa, baik sangat ke si Faizal tu?! Dia tu bekas bapa ayam, mak! Bekas banduan! Yang mak dengan abah sibuk-sibuk nak jodohkan Su dengan dia tu kenapa?” melengking suara Suraya. Salmah mengurut dada, terkejut dengan tindakan anaknya.

“Su dah ada pilihan hati, mak. Maliki tu, seratus ribu lebih baik dari Faizal. Ada perniagaan sendiri. Usahawan yang berjaya. Bukan macam Faizal tu! Apa pun tak ada! Harapkan nama je busuk….,”

“Jangan macam ni, nak! Faizal dah berubah! Dia dah jadi baik….,”

“Mak pasti ke dia dah berubah? Mak pasti ke yang dia dah jadi baik? Masti ke dengan semua tu?” tanya Suraya sinis. Dia tidak percaya manusia seperti Faizal boleh berubah.

“Dia dah berubah, nak! Dia dah bertaubat….,”

“Su tak percaya. Orang macam Faizal tu boleh berubah? Sekali dah jadi jahat, selama-lamanya takkan jadi baik la, mak. Orang macam tu, kalau tak dapat makan bangkai, cium pun jadi la….,”

“Suraya! Abah dengan mak tak pernah ajar kau berkurang ajar dengan orang lain!” abahnya, Hanafi mula campur tangan. Kesabarannya tercabar. Anak sendiri meninggikan suara pada orang tua. Pada ibunya sendiri pula tu.

“Abah, Su dah cakap dengan mak dan abah yang Su cintakan Maliki! Kenapa mak dan abah tak nak dengar kata hati Su? Kenapa masih nakkan si bangkai tu?” suara Suraya semakin meninggi.

Pang!

Spontan Suraya meraba pipinya. Terasa pijar dan panas. Tidak disangka, Hanafi sanggup memukulnya hanya kerana Faizal yang dianggap tidak berguna itu.

“Su benci mak! Su benci abah! Su benci semua orang!”

“Suraya,”

Panggilan Datuk Murad memecah lamunan Suraya. Dia memandang lelaki itu sambil tersenyum.

“Tan Sri Wong adalah lubuk emas kita. Layan dia baik-baik,” pesan Datuk Murad. Namun Suraya tahu, selalunya pesanan lelaki itu mempunyai dua maksud. Maksud yang kedua ialah ’kalau dia komplen, siap kau!’

Suraya mengangguk perlahan. Pandangannya kembali dihalakan ke jalanraya. Melihat kereta yang berada di kanannya. Namun telinganya dapat menangkao keluhan pemandu yang berada di hadapannya ini.

“Kenapa, Mat?” rupa-rupanya Datuk Murad juga mengesan perkara yang sama.

“Maaf, Datuk. Saya lupa nak isi minyak tadi,” laju pemandu itu meminta maaf kepada Datuk Murad atas kesilapannya. Walaupun keadaan dalam kereta itu agak suram, Suraya dapat melihat wajah Datuk Murad merona merah. Marah barangkali.

“Maaf, Datuk. Tak sempat rasanya nak ke Hotel Kristal dulu. Takut kereta mati di tengah jalan,” pemandu itu memohon maaf lagi. Datuk Murad mendengus.

“Cepat-cepat isi minyak tu! Saya tak tahan bau minyak!” arah Datuk Murad. Dia mendengus lagi. Pemandu itu mengangguk, cepat-cepat dia memutar stereng. Kereta kemudian membelok, laju menuju ke stesen minyak.

Fikiran Suraya melayang lagi.

“Su, you sayangkan I tak?” tanya Maliki. Suraya tersenyum manis. Wajah kacak ala Remy Ishak dipandang penuh kasih sayang. Ketika itu mereka baru sampai dari kampung. Menumpang seketika di rumah Maliki. Kata Maliki, dia tinggal seorang. Jadi, mudahlah baginya menumpangkan Suraya di sini.

“Mestilah I sayangkan you. You kan tau, hanya you yang berada dalam carta hati I ni. Kenapa you nak tanya lagi?”

Maliki mengelus lembut rambut Suraya. Dicium perlahan. Wangi. “Kalau you sayangkan I, you kena buktikan. Tunjukkan cinta you pada I,”

“Maksud you? I tak faham,” tanya Suraya, kurang mengerti. Mata Maliki makin kuyu namun bibirnya terukir senyuman nakal.

“Kenapa dengan Mamat ni? Lambat betul isi minyak,” bebelan Datuk Murad mematikan lamunan Suraya. Dia menoleh ke arah pemandu lelaki tua itu yang kelam kabut. Mengisi petrol ke dalam kereta. Dia kelihatan resah, tertoleh-toleh ke kiri dan ke kanan.

Tiba-tiba, pintu kereta dibuka kasar. Suraya terkejut. Belum sempat dia berkata apa-apa, dia ditarik oleh seseorang yang tidak dikenali. Orang itu bertopeng. Suraya ditarik keluar dari kereta tanpa sempat dia bertindak balas. Dia tergamam. Datuk Murad juga tergamam.

“Lepaskan dia! Mamat! Kejar dia!” Datuk Murad menjerit mengarahkan pemandunya. Namun malang sekali, ketika itu pemandunya itu berada di dalam kedai serbaneka untuk membuat pembayaran petrol.

Apabila lelaki itu keluar, segalanya sudah terlambat. Kelibat Suraya dan orang yang melarikannya sudah hilang ditelan malam. Sejurus, telefon bimbit Datuk Murad berbunyi menandakan satu mesej diterima. Cepat-cepat dia membaca mesej tersebut.

’Kenapa? Terkejut? Apa tindakan Datuk sekarang? Mahu report polis? Heh, Datuk sendiri pun buat kerja haram, ada hati nak report polis. Cuba la kalau berani. Segala rahsia Datuk ada pada saya.’

Datuk Murad menyumpah-nyumpah. Siapa orang ini? Berani bertul dia mengugut aku!!!!

*****

Suraya membuka matanya perlahan-lahan. Dia tidak boleh tidur. Telinganya menangkap bunyi sesuatu. Perlahan-lahan dai bangkit, cuba mencari dari mana datangnya bunyi itu. Sejenak dia terdiam. Ayat-ayat Al-Quran yang dialunkan gadis di hdapannya ini benar-benar menyentuh qalbunya.

“Suraya, bangun nak. Solat Subuh,”

“Ala, nanti la mak. Awal lagi ni,”

“Waktu Subuh singkat nak. Bangun cepat. Su tentu tak mahu abah marah kan?”

Lambat-lambat Suraya bangun. Takut sebenarnya dengan abahnya itu. Mana tidaknya, pernah sekali abahnya masuk ke bilik dengan sebaldi air. Disiramnya ke seluruh tubuhnya. Sejak dari itu, dia tidak pernah bangun lambat untuk solat Subuh. Takut disiram lagi oleh abahnya itu. Ibunya pula sering menakut-nakutkannya dengan peristiwa itu apabila dia seakan liat untuk bangun. Namun sejak dia mengikut Maliki…..

Ah, alangkah indahnya waktu itu!

“Kak Suraya,” lamunan Suraya terhenti. Gadis yang tadinya khusyuk membaca Al-Quran, kini berada di hadapannya. Dai mengesat air mata yang mengalir di pipi Suraya.

“Akak ok? Saya risau, akak menangis teresak-esak dari tadi,”

Aku menangis?

“Akak minta maaf,”

“Akak tak salah apapun dengan saya,”

“Akak ganggu adik mengaji,”

“Tak apa, bacaan saya memang dah habis dah pun,” gadis itu tersenyum manis. Suraya ikut tersenyum. Sejuk hatinya melihat senyuman gadis itu.

“Akak fikirkan apa tadi?” tanya gadis itu sambil membetulkan duduknya. “Maliki mungkin?”

Senyuman Suraya mati. Nama Maliki bagaikan menoreh hatinya jika disebut. Dia memandang ke luar bilik hotel, tidak mahu bertentang mata dengan gadis itu.

“Marah kan bila nama dia disebut?”

Suraya diam. Langsung tidak berkata apa-apa. Pandang gadis tiu pun tidak

“Marah ubatnya apa?”

Diam lagi.

“Marah ubatnya…. Wuduk. Marah itu dari syaitan dan syaitan itu asalnya dari api. Wuduk boleh kurangkan darjah kemarahan kita. Tak banyak pun, sikit,” Suraya sedikit tersentuh dengan kata-kata gadis itu.

“Kalau kau baik sangat kenapa kau culik aku?”

Kening gadis itu terangkat sedikit apabila mendengar pertanyaa Suraya. Namun kemudian dia tersenyum. Dia memandang wajah Suraya yang penuh tanda tanya.

“Akak rasa saya culik akak? Kalau akak rasa macam tu, akak boleh keluar dari bilik ni, cari Datuk Murad dan buat repot polis mengatakan saya culik akak. Kemudian akak boleh ikut Datuk Murad ke mana saja dia pergi dan layan mana-mana VIP yang ’sewa’ akak setiap malam,” gadis itu bersuara tegas. Dia bangun dari duduknya. Jam tangan dan telefon bimbit yang sedari tadi diletakkan di atas meja dicapai. Isi kandungan telefon bimbit itu diperiksa sekali lalu. Gadis itu tersenyum nipis.

Suraya tersentak. Bagaimana…. bagaimana dia tahu?

“Atau, kalau akak rasa yang saya selamatkan akak dari Datuk Murad, akak boleh ikut saya balik kampung esok. Kita tengok Pakcik Hanafi,” lanjut gadis itu. Wajah Suraya dilihat menerusi pantulan cermin.

“Abah????”

“Ya. Abah akak sakit,” suara gadis itu mengendur tatkala melihat mata Suraya berkaca. Cepat-cepat Suraya mengesat matanya.

“Siapa kau sebenarnya, dik? Macam mana…. macam mana….. macam mana…..!”

“Saya tahu perjalanan hidup akak?” gadis itu memotong cepat. Suraya terlopong.

“Siapa kau sebenarnya, dik?”

Gadis itu tersenyum.

“Nama saya, Fatin,”

Fatin?

*****

“Fatin dapat tahu dari Fazura, akak lari ikut lelaki ke bandar. Orang kampung semuanya kutuk akak. Tapi Fatin tak percaya, Fatin ingat diorang tipu sampailah Fatin terserempak dengan akak dengan Datuk Murd di Hotel Kristal. Fatin minta maaf kak, masa tu Fatin jemput Pakcik Hanafi dari hospital sebab dia diserang asma. Jadi, dia nampak apa yang Fatin nampak. Dia yang bagitau, akak ni anak dia,” jelas Fatin panjang lebar.

Suraya terkedu. Tidak disangka Fatin boleh terserempak dengan dirinya. Lebih dari itu, dia tidak menyangka perbuatannya turut dilihat abahnya.

“Abah cakap apa?”

“Pakcik Hanafi tak cakap apa masa tu, tapi bila sampai di rumah, dia jatuh sakit. Orang kampung semua ingat dia sakit balik sebab rindukan akak. Hakikatnya, hanya Fatin yang tahu, kak,”

“Abah….,”

Keadaan hening seketika.

“Fatin,”

“Ya?”

“Macam mana kamu kenal Datuk Murad?”

Streeeeeeeettttttttttttttt!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Nyaris Suraya terhumban ke hadapan. Mujur dia memakai tali pinggang keledar. Dijeling sekilas Fatin di tempat duduk pemandu. Kemudian dia memandang ke hadapan. Kereta yang memotong mereka tadi mula mengeluarkan isinya. Dan itu amat menakutkan Suraya.

“Fatin, anak-anak buah Datuk….,”

Fatin diam. Dia hanya memandang ke arah lelaki-lelaki itu. Riak wajahnya begitu serius.

Pintu kerete sebelah penumpang hadapan dibuka dengan kasar. Lengan Suraya ditarik kasar membuatkan dia menjerit kesakitan. Spontan, Fatin keluar dari kereta. Datuk Murad menghampiri Suraya dengan perasaan marah.

“Kau jangan ingat kau boleh lari dari aku Suraya! Ambik ni!”

Pang! Suraya tersungkur ke jalanraya. Perit dirasakan tamparan Datuk Murad itu.

“Macam ni ke caranya Datuk melayan perempuan? Agaknya macam ni kot caranya datuk melayan isteri-isteri Datuk,” Fatin bersuara tegas. Matanya tajam menikam Datuk Murad.

“Kau diam! Oh, kau rupanya yang larikan Suraya? Aku ingatkan lelaki gagah perkasa rupanya perempuan ketot macam kau ni. Kalau ikutkan hati aku, kau aku jadikan ’lauk’, tau!”

“Try me!”

“Kau jangan cabar aku! Salim! Habiskan budak kecik ni!” arah Datuk Murad. Salim yang kebetulan berada di belakang Fatin mula bertindak. Dalam kepalanya mula terbayang perkara-perkara sumbang yang akan dilakukannya dengan gadis genit itu.

Namun Fatin lebih tangkas. Sepantas kilat kakinya dihayunkan ke belakang, tepat mengenai dagu lelaki itu. Sebaik sahaja Fatin dapat mengimbangi tubuhnya, sekilas dia berpusing. Satu lagi tendangan hinggap di kepala Salim. Lelaki itu tersembam ke kereta Fatin sebelum terlantun ke jalanraya.

Melihat Salim tewas di tangan Fatin, rakan-rakan yang lain bertindak menyerang Fatin yang tidak bersenjata. Namun, seorang demi seorang tewas di tangan gadis itu.

Fatin merenung tajam ke arah Datuk Murad sebaik sahaja semua lawannya rebah menyembah bumi. Pantas lelai itu mengacukan pistol. Suraya terkejut. Selama ini, dia tidak pernah tahu lelaki itu mempunyai pistol.

Namun Fatin tidak gentar. Perlahan-lahan dia menghampiri Datuk Murad. Tangan lelaki itu sudah terketar-ketar memegang pistol. Mudah sahaja Fatin mengambil pistol itu dari tangannya. Lantas dicampak ke tepi jalan. Berdenting bunyinya membuatkan Suraya tersentak.

“Lepaskan Suraya, atau Datuk masuk penjara,” Fatin bersuara tegas. Wajahnya hanya sejengkal dari wajah Datuk Murad. Lelaki itu gementar. Tidak pernah dalam sejarah hidupnya, dia kalah pada seorang wanita. Inilah pertama kali.

Tanpa menunggu kata balas dari Datuk Murad, Fatin terus merapati Suraya yang menggigil ketakutan di tepi jalan. Suraya dibantu untuk bangun dan dipimpin ke kereta. Setelah Suraya masuk ke dalam kereta, Fatin memandang wajah Datuk Murad yang ketakutan. Satu senyuman sinis dilemparkan ke arah lelaki itu.

“A….. apa jaminan kau, aku takkan masuk penjara, kalau aku lepaskan Suraya?” takut-takut Datuk Murad bertanya.

Senyuman sinis masih tergantung di bibir Fatin. Pintu kereta bahagian penumpang belakang dibuka. Sebuah briefcase dicapai lalu dilemparkan ke arah Datuk Murad. Perlahan Suraya menurunkan tingkap kereta.

“Itu,” kata Fatin. “Itu adalah bukti segala perbuatan Datuk selama ini. Dalam tu juga ada cek sebanyak satu juta ringgit, sebagai syarat untuk bebaskan Suraya,”

Barulah Datuk Murad tersenyum. Cepat-cepat dia mengambil briefcase yang dilemparkan tadi. Disapu-sapu perlahan. Maklumlah, ada cek satu juta ringgit. Siapa yang tidak mahu?

“Jangan ganggu kami lagi,” kata Fatin sebelum masuk ke dalam kereta. Kereta itu kemudian menderum meninggalkan asap untuk Datuk Murad dan konco-konconya.

Suraya bingung. Kata-kata Fatin sebentar tadi menyentap perasaannya. Dia tunduk memandang lututnya, melayani perasaannya.

“Kenapa kak?” rupa-rupanya Fatin dapat mengesan perubahan pada wajah Suraya. Namun pandangannya dihalakan di jalan raya.

“Semurah itu rupanya nilai akak….,”

Fatin tersenyum. “Datuk Murad pernah bagitau, sesiapa sahaja yang ingin bebas dari dia, orang tu kena bayar wang tunai sebanyak satu juta ringgit. Dia tahu jumlah itu agak besar dan dia yakin tidak ada yang mampu bayar wang sebanyak tu,”

“Tapi Fatin bagi duit tu pada dia…,”

“Cek tu cek tendang, kak. Tak ada masa Fatin nak bagi duit banyak tu macam tu je kat dia. Banyak lagi yang Fatin boleh buat dengan duit banyak tu. Bukti-bukti yang Fatin cakap tu pun cuma kertas kosong je. Datuk Murad akan ambil masa yang lama sebelum dia tahu yang dia kena tipu,’

“Tapi macam mana, Fatin?”

Telefon bimbit Fatin berdering.

“Fatin,”

Diam.

“Bagus. Kita teruskan dengan Maliki pula,”

Berderau darah Suraya apabila nama Maliki disebut. Sampai mati pun dia takkan lupa apa ’jasa’ lelaki itu padanya. Susu yang diberi, tuba yang dibalas. Hampir seminggu di rumah Maliki, lelaki itu bertindak menjual Suraya kepada Datuk Murad tiga tahun lalu. Sejak itu, dia amat membanci Maliki.

Namun apa kaitannya dengan Fatin?

“Nanti kita jumpa. Assalamualaikum,”

“Siapa kamu sebenarnya, Fatin?”

Fatin tersenyum. Dia sudah agak, Suraya akan bertanya soalan itu padanya.

“Akak akan tahu bila tiba masanya,”

*****

Orang ramai terus membanjiri rumah Hanafi sejak dari malam tadi. Bacaan Yasin terus berkumandang dan terus diulang setiap kali ia menemui titik penamat.

Salmah masih setia menemani Hanafi di sisi, acapkali mengesat matanya. Tangannya tanpa jemu mengusap lembut rambut suami tercinta.

“Abah,”

Salmah memandang ke arah pintu. Matanya berkaca. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Suraya kini kembali!

“Abah….!!”

Suraya menerpa ke arah Hanafi yang terbaring di ruang tamu. Bisik-bisik orang ramai di ruangan itu tidak dipedulikan. Yang penting dia dapat berjumpa dengan abahnya.

“Abah, Su dah balik….,”

Anak mata Hanafi bergerak-gerak.

“Abah, Su nak minta maaf, bah….,”

Hanafi hanya memandang Suraya tanpa kata. Salmah menggosok-gosok perlahan belakang anaknya. Syukur kerana Suraya telah kembali ke pangkuannya.

“Abah….,”

Dada Hanafi berombak hebat. Suraya kaget. Salmah terus menerpa ke arah suaminya. Tangan pucat Hanafi digenggam erat dan dikucup perlahan.

“Abang, mengucap bang. La ila ha illallah….,” ombak kuat yang melanda dada Hanafi kini semakin tenang. Semakin tenang dan akhirnya terhenti. Suraya memandang ibunya. Lambat-lambat Salmah merasa nadi di pergelangan tangan Hanafi.

“Innalillah….,”

“Abah!!!!!”

*****

“Terima kasih la sebab tolong makcik. Kalau kamu tak ada, makcik tak tahu nak buat apa,” kata Salmah. Senyuman nipis tetap dilempar meskipun baru dua hari Hanafi meninggal dunia. Dia tidak mahu terlalu bersedih atas kematian suaminya. Ini atas permintaan arwah sendiri.

“Ala, tak ada apa-apa la makcik. Arwah pakcik pun banyak tolong saya masa dia hidup dulu,”

“Bila kamu nak ke kebun semula?”

“Minggu depan saya rasa. Saya nak tolong bereskan beberapa kerja terbengkalai yang arwah tinggalkan,”

Suraya hanya memerhatikan sahaja ibunya berbual dengan pemuda itu. Raut wajah itu…. seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Tapi di mana ya? Ah, baru Suraya ingat! Wajah pemuda itu persis pemandu Datuk Murad. Pelanduk dua serupa kot, fikirnya.

“Suraya,”

Suraya mengangkat muka. Pemuda yang berbual dengan ibunya tadi kini berada di hadapannya. Dia tersenyum manis memandang wajah Suraya yang kebingungan.

“Saya balik dulu. Assamualaikum,” kata pemuda itu. Suraya hanya mengangguk sambil menjawab salam dalam hati. Dia hanya menghantar langkah pemuda itu dengan pandangan matanya.

“Mak,”

Salmah memandang Suraya

“Siapa tu, mak?”

“Hai, takkan dah lupa siapa dia kot? Itulah Faizal…,”

“Faizal? Faizal mana, mak?”

“Dalam kampung ni berapa ramai je yang namanya Faizal? Dia sorang je…,”

Fazial? Bekas banduan yang dia pernah hina dulu? Bekas bapa ayam yang dia sangat benci? Kini membantunya?

Ya ALLAH, Agungnya kuasa-MU. Lelaki yang pernah dia caci maki, kini membantunya di saat dia dalam kesusahan. Malunya pada Faizal tinggi melangit.

“Mak….,”

Salmah yang sedang memotong bawang memandang anaknya.

“Su malu sangat dengan Faizal, mak…,”

Salmah tersenyum.

“Su dah hina dia macam-macam, tapi dia masih nak tolong kita,”

“Faizal tu tak pernah berdendam dengan kita, nak. Walaupun kamu dah kata dia macam-macam. Selama abah kamu jatuh sakit, dia yang tolong mak uruskan kebun abah kamu tu. Tiap-tiap malam, dia imamkan solat hajat minta abah kamu sembuh dari sakitnya,”

Suraya merasakan matanya berkaca. Betapa mulianya hati Faizal, padahal suatu masa dulu dia dihina.

“Dia juga yang minta Fatin selamatkan kamu bila Fatin kata dia dah jumpa kamu,”

Fatin? Baru Suraya sedar, sejak dia pulang ke kampung, dia tidak nampak kelibat Fatin.

“Siapa Fatin tu mak?”

“Kamu tak tahu? Fatin tak cakap?”

Suraya menggeleng. Tahu apa?

“Fatin tu, tunang Faizal. Mereka akan bernikah hujung bulan depan,”

Fatin? Tunang Faizal?

*****

“Kenapa kamu tak bagitau yang kamu tu tunang Faizal?”

Fatin tersenyum. “Apa bezanya, kak? Akak tetap tahu juga, walaupun bukan dari mulut Fatin sendiri,”

“Tapi….,”

“Abang Faizal yang tak bagi Fatin bagitau akak,”

“Tapi kenapa?”

“Hanya dia yang tahu, kak,”

Suraya diam, tunduk memandang lantai. Dia sudah tidak tahu apa yang patut dikatakan lagi.

“Kesilapan yang sebenar adalah apabila kali pertama kita melakukannya. Bila kita melakukannnya untuk kali kedua, itu bukan kesilapan. Itu dipanggil kebodohan,”

Suraya mengangkat kepalanya. Dia memandang Fatin yang tersenyum memandangnya. Kata-kata itu tadi mengusik hatinya.

“Tertarik kan? Itulah kata-kata yang Abang Faizal pernah ucapkan suatu masa dulu. Kata-kata yang membuat hati Fatin semakin terpaut,”

“Macam mana Fatin kenal Faizal?”

“Di Rumah Anak-anak Yatim Darul Hikmah. Dia jadi sukarelawan manakala Fatin memang dibesarkan di sana. Berkenal dan berkawan selama setahun sebelum kami mengambil keputusan bertunang dan akan bernikah tidak lama lagi,” jelas Fatin panjang lebar.

“Fatin kerja apa ya?”

“Fatin!” Fatin menoleh. Dia tersenyum melihat kedatangan Faizal. Namun tidak bagi Suraya. Dia terus tunduk apabila melihat kelibat lelaki itu.

“Assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam,”

“Fatin, boleh abang cakap dengan Suraya sekejap?” tanya Faizal meminta izin. Fatin tidak menjawab, namun dia terus bangun mendapatkan Salmah di dapur. Sempat dia menoleh dan tersenyum melihat tunangnya dan Faizal di ruang tamu. Faizal terus duduk berhadapan dengan Suraya yang masih tunduk, tindak mengangkat mukanya.

“Suraya,”

Diam. Tiada respon dari Suraya. Suasana hening seketika.

“Abang, Su minta maaf,” barulah Suraya membuka bicara. Namun dia masih tunduk memandang kakinya.

“Su tak salah apapun dengan saya. Saya dah halalkan semua perbuatan Su pada saya,”

“Su rasa bersalah sangat….,”

“Minta maaf dengan ALLAH,”

Suraya mengangkat muka. Dipandang wajah Faizal yang bersih. Seolah ada cahaya di wajahnya.

“Minta maaf pada-NYA. Maaf kalau saya tanya begini, tapi sepanjang bersama Datuk Murad, Su selalu tinggalkan solat kan?”

“Se….. selalu……,” air mata Suraya tumpah membasahi pipi. Dia benar-benar menyesali perbuatannya dulu. Kerana salah langkah, dia dihantui dosa lalu yang begitu memeritkan.

“Datuk Murad dah terima balasannya,” kata Faizal sambil menghulurkan senaskhah surat khabar kepada Suraya. Suraya menyambutnya teragak-agak. Perlahan-lahan dia membacanya. Dia terkejut besar. Tajuk muka depan surat khabar itu benar-benar mengejutkannya.

DATUK AYAM DICEKUP – Sindiket Pelacuran Kelas Atasan Lumpuh

“Saya sayangkan awak, Suraya,” kata Faizal. Suraya memandang wajah Faizal tidak berkelip.

“Tapi awak dah bertunang dengan Fatin,”

“Saya sayangkan awak, Suraya. Saya cintakan awak sebagai sahabat. Paling tidak pun, sebagai saudara sesama Islam. Apa yang saya buat sekarang ni, adalah terjemahan cinta saya pada awak,” kata Faizal. Suraya tertunduk, malu dengan perbuatannya selama ini.

“Saya sayangkan awak, sebab tu saya tak nak awak tersasar jauh. Sebab tu saya dan Fatin merancang untuk selamatkan awak. Dalam masa yang sama, saya pasang perangkap untuk Datuk Murad dan Maliki. Itu pun dengan kerjasama polis. Sayangnya, Maliki terlepas,”

“Abang pun ada masa tu?”

“Ada. Tapi masa tu awak tak kenal. Saya menyamar jadi pemandu Datuk. Sayang sekali masa tu sebab Datuk yang suatu ketika dulu, rapat dengan saya pun, tak kenal saya masa tu,”

Suasana hening seketika.

“Abang?”

“Ya?”

“Abang rasa, abang boleh perangkap Maliki lagi?”

Faizal mengeluh perlahan. “Su nak tahu kenapa saya tak suka awak berkawan dengan Maliki dulu?”

“Kenapa?”

“Sebab saya kenal Maliki. Sebab saya kenal dia juga, saya yakin saya boleh buat,”

Suraya diam. Dia tidak tahu apa yang patut dikatakan lagi.

*****

“Akak sedih ke?” tanya Fazura, adik bongsu kepada Faizal. Ketika itu mereka berada di dapur rumah Faizal. Persiapan sedang dilakukan menjelang majlis pernikahan Faizal dan Fatin dua minggu lagi. Suraya yang sedang membasuh pinggan menoleh ke arah gadis itu.

“Kenapa adik tanya macam tu?”

“Akak, kalau soalan dijawab dengan soalan, maknanya ada yang tak kena,” usik Fazura sambil tertawa. Dia sedang menyiapkan hantaran bagi pihak Fatin. Memandangkan Fatin adalah anak yatim piatu, segala persiapan dilakukannya sendiri. Ini membuatkan Fazura terdorong untuk membantunya.

Suraya memalingkan wajahnya ke arah sinki. Pinggan mangkuk yang masih belum dibasuh disentuh perlahan.

“Akak suka kat abang long yea….,” usik Fazura lagi.

Suraya menggeleng perlahan. Dia akui, dia sudah jatuh hati pada Faizal saat mereka bertemu semula sebulan lalu. Namun ditahan perasaannya kerana kasihnya pada Fatin yang telah menyelamatkannya.

“Dia patut dapat orang yang lebih baik daripada akak, Fazura. Akak pernah hina dia macam-macam. Tapi dia masih nak tolong akak. Akak tak sesuai untuk dia,” tutur Suraya merendah diri.

“Tapi kak….,”

“Tak ada tapi-tapi lagi, dik. Biar dia bahagia dengan Fatin,”

“Erm, suka hati akak la. Adik cuma nak bagitau yang abang long pernah sukakan akak,”

Suraya memandang wajah Fazura tidak berkelip. Dia kemudian mengeluh perlahan.

“Itu dulu. Sekarang tak lagi. Cintanya kini untuk Fatin,”

“Akak pulak?”

“Kan akak dah cakap tadi, biar dia bahagia dengan….,”

“Fatin!!!!!”

Suraya dan Fazura terkejut dengan jeritan itu. Masing-masing bingkas bangun dan bergegas ke pintu utama. Ramai orang sudah berkumpul di situ. Hati Suraya berdebar-debar.

“Fatin!”

Suraya terus menerpa ke arah Fatin yang berlumuran darah. Nafasnya turun naik, tidak menentu. Menandakan kesakitan yang amat.

“Fatin, siapa punya kerja ni?”

Mulut Fatin terbuka seperti ingin menyatakan sesuatu. Spontan Suraya merapatkan telinganya ke bibir gadis itu.

“Siapa punya kerja ni?” bisik Suraya perlahan.

“Maa…. Li…. Ki…. Mak…. Cik….,”

Maliki! Mak!

“Fazura! Tengok Fatin!”

“Baik!”

Sejurus, tangan Fatin dalam genggaman tangan Suraya, terkulai. Suraya kaget. Fazura terkedu.

“Tengok Fatin!”

Belum sempat Fazura berkata apa-apa, Suraya telah dahulu berlari ke rumahnya.

“Mak!”

Pintu rumah dikuak kasar. Suraya memandang sekeliling. Matanya melilau mencari kelibat ibunya. Jantungnya bergetar hebat

“Mak!”

Berderau darahnya saat dia terpandang sepasang kaki di pintu dapur. Terus dia berlari ke arah dapur. Tersentak seketika apabila melihat ibunya terbujur kaku berlumuran darah.

“Mak! Mak, bangun, mak! Mak!!!!”

“My Cinderella,”

Panggilan Suraya terhenti. Maliki! Spontan dia menoleh ke belakang, dilihat Maliki yang berdiri di belakangnya. Pantas dia bangun.

“Kau….!”

“Hanya aku yang panggil kau dengan nama tu, kan?”

“Kau nak apa lagi, hah? Kau dah jual aku, kau tinggalkan aku dengan orang tua kutuk tu, sekarang kau datang sini nak buat apa, hah?”

“Hei!” Maliki mencengkam kuat rambut Suraya membuatkan dia menjerit kesakitan. “Dah memang itu kerja aku! Aku perdaya, aku tabur janji-janji manis, aku jual kat Datuk Murad! Aku dapat duit! Tapi sebab kau, bisnes aku hancur! Sebab kau, aku jadi buruan polis! Kau ingat aku nak datang sini cari kau balik nak buat apa? Buat apa aku nakkan sisa aku balik ni?”

“Ptuih!” Suraya meludah muka Maliki. “Kau yang serang kawan aku kan? Kau yang bunuh dia kan?”

“Ya! Aku yang bunuh dia! Tapi takkan aku bunuh macam tu je kan? Mesti la aku ’rasa’ barang sekali dua…,”

“Setan!!!!!!” Suraya meronta-ronta ingin melepaskan diri dari cengkaman Maliki namun gagal.

“Budak tu memang patut mati! Kalau dia tak letak sensor dalam beg tu Datuk Murad takkan kena tangkap dengan polis! Aku takkan jadi buruan!”

Beg? Beg yang pernah Fatin serahkan pada Datuk Murad dulu, kononnya ada bukti kejahatan mereka? Beg itu yang jadi punca Datuk Murad ditangkap polis?

“Lepaskan dia!”

Maliki menoleh. Faizal berada di muka pintu. Tenang memandang Suraya dan Maliki di pintu dapur.

“Aku nak lepaskan dia? Memang tak la! Aku takkan lepaskan orang yang buat aku menderita!”

“Orang yang patut kau cari ialah aku! Aku yang rancang semua ni! Tak perlu kau usik Fatin dan Suraya!”

“Oh, namanya Fatin? Cantik nama tu, secantik orangnya. Dia memang cantik, luar dan dalam…. hahaaaaa……!”

Dush! Penumbuk sulung Faizal sudah sampai ke muka Maliki. Faizal tidak tunggu lagi, terus ditumbuk Maliki bertubi-tubi. Kesabarannya menipis saat dia mendapat tahu maruah tunangnya dirobek-robek.

Suraya yang terlepas dari cengkaman Maliki terus mendapatkan ibunya yang terbaring lemah tidak berdaya. Diheret ibunya ke muka pintu utama.

“Mak, bangun mak!! Jangan tinggalkan Su, mak! Mak!!!!”

Faizal menoleh seketika ke arah Suraya yang meratapi keadaan ibunya. Sekilas, sebuah penumbuk hinggap di mukanya. Sejurus, sebuah tendangan hinggap pula di kepalanya, membuatkan dia terpelanting jauh.

Maliki sudah bangun dab menghunus pistol ke arah Faizal. Suraya tergamam.

“Maliki! Faizal!”

“Betul kata Datuk Murad dulu. Satu hari nanti, kau akan khianati kami. Aku patut bunuh kau masa aku jumpa Suraya dulu,”

“Jangan!”

Bang! Bang! Dua das tembakan dilepaskan. Suraya menjerit nyaring.

*****

Orang ramai mula meninggalkan kawasan perkuburan. Suraya masih setia di situ, mengusap perlahan batu nisan yang menghiasi kuburan itu.

“Abah, Su nak minta ampun dengan abah. Su banyak buat silap dengan abah. Su gagal lindungi mak. Su minta maaf, bah….,”

“Suraya,”

Suraya menoleh. Dia tersenyum memandang wajah Faizal.

“Jom balik. Kita tengok penghuni hospital pulak,”

Suraya tertawa kecil. Kata-kata Faizal mencuit hatinya. Dia bangun, menggulung tikar yang menjadi alas duduknya.

“Suraya, sudikan Su kahwin dengan abang?”

Langkah Suraya terhenti.

“Abang, apa yang abang cakap ni? Abang tak main-main kan?”

“Abang tak main-main. Abang ikhlas nak kahwin dengan Su,”

“Tapi bang….,”

“Fatin sendiri izinkan abang kahwin dengan Su,” pintas Faizal. Dia teringat perbualannya dengan Fatin semalam, semasa dia melawat Fatin di hospital.

“Abang, kahwin dengan Suraya, bang. Fatin izinkan,”

“Tapi, abang….!”

“Suraya perlukan perlindungan, bang. Fatin redha. Fatin yakin abang mampu….,”

“Tapi Fatin belum kahwin dengan abang…,” kata-kata Suraya memancung lamunan Faizal.

“Fatin kata, dia akan dia akan tandatangan borang kebenaran poligami sebaik saja sah ijab dan kabul jami. Dia dah tanya Makcik Salmah dan makcik bersetuju,”

Suraya tidak mampu berkata apa-apa lagi. Dia hanya tunduk memandang lantai.

“Su tak layak untuk abang. Su kotor, tak sesuai untuk abang…..,”

“Tiada manusia yang semourna, Suraya. Abang sendiri pernah lakukan kesilapan. Tapi abang jadikan kesilapan sebagai peringatan supaya abang tidak lakukannya lagi,” Faizal memegang lembut bahu Suraya dari belakang. Air mata Suraya menitis.

Masih terbayang di mindanya kejadian malam itu. Jika polis tidak tiba tepat pada waktunya, pasti Faizal sudah menjadi korban. Dan pada malam itu juga Suraya mendapat tahu yang sebenarnya Fatin adalah seorang pegawai polis. Cif Inspektor Fatin Farahin Binti Ismail. Dan dia berterima kasih pada Fazura yang bertindak menghubungi rakan sekerja Fatin dengan seberapa pantasnya.

“Abang berjanji akan berlaku adil. Abang cintakan Su,”

“Abang,”

“Ya?”

“Abang tengah melamar Su kat sini ke?”

Faizal tergelak kecil. Dia sedar kesilapannya. Mana ada orang melamar di kawasan perkuburan kan?

“Jom, kita pergi hospital. Diorang tengah tunggu tu,”

“Jom,”

Suraya hanya membiarkan Faizal berjalan dahulu ke kereta. Dalam hati, dia menerima lamaran Faizal namun dia tidak meluahkan secara terus terang. Biarlah ibunya yang menjadi orang pertama yang tahu mengenai keputusan itu nanti.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

25 ulasan untuk “Cerpen : Terjemahan Cinta”
  1. miz alyn says:

    bgus dan de crite yg nk dsmpaikn..
    mlia ati si fatin 2..tp faizal 2 pntng dbri pluang hahaha
    like like..

  2. ayeish says:

    igtkn fatin mati laa..last2 hidup jga..rupenye dye tu polis..patut la pndai brlwn
    bagusnye cerpen ni…jalan cerita yg menarik.. =)

  3. afiqahCool says:

    huhu .. best memang best sangat2 .. teruskan buat cerita mcm ni .. lain drpd yg lain .. baru seronok baca sebab belum perna baca cerita cm ni .. tp kn datuk tu ada ckp yg fatin tu ‘ketot’ kn .. ada ka polis yg ketot ?? apa2 pun happening sgt crita ni .. ehe .. semoga maju jaya buat kak laila qaisara .. cewwwaahh !!!

  4. nur says:

    cite y menarik mnt pembace..bg sy komplot y baik utk slamt kn org…hrp x de la org jht mcm tu kt malaysia y agk aman ni… by the way, saya suke fatin,, sbb dia polis.. nk rse jd polis cam dia.. harap2 la yer.. doa2 kan semua yer..amin.. gud luck kak…semoga dpt teruskan gaya penulisan y baik dan menarik mnt pembace..

  5. Wow!! Menarik.. Dan yang paling penting.. UNIK.. Jarang ada cerita cam ni yang berakhir dengan poligami.. :) )

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"