Novel : Calon Isteri Jutawan 5

2 December 2011  
Kategori: Novel

14,202 bacaan 18 ulasan

Oleh : Afifah Yusof

BAB 5

STOK bunga-bunga yang baru sampai, disemakku. Intan berada di belakang sedang menggubah bunga untuk satu tempahan yang dibuat pelanggan semalam. Sedang aku sibuk membuat semakan, masuk seorang pelanggan lelaki. Aku terus menghentikan tugasku untuk melayan pelanggan.

“Selamat datang encik,” ucapku dengan senyuman. Lelaki yang kemas berkemeja biru turquoise dengan tali leher putih itu sedang ralit melihat koleksi bunga mawar. Aku hanya tercegat di tepi lelaki itu.

“Encik nak bunga yang mana?” soalku bila lelaki itu hanya diam buat beberapa minit.

“Intan mana?” soalnya sambil membuka cermin mata hitamnya. Aku terus ke belakang untuk memanggil intan. Beberapa minit Intan keluar dan aku terus ke kaunter. Dah lelaki itu mahu dilayan oleh Intan. Aku hanya memandang dari jauh.

Selepas Intan mengambil beberapa jambak bunga, mereka melangkah ke kaunter. Aku yang sedang mengira penyata pendapatan untuk hujung bulan terus menutup buku.

“Saya ke belakang dulu ya, Encik Izzad,” ujar Intan sambil tersenyum. Lelaki itu hanya mengangguk.

“Semuanya seratus ringgit, encik.” Aku memandang lelaki itu yang membuka beg dompetnya. Selepas membuat bayaran dan mengambil bunganya, lelaki itu terus beredar. Aku hanya tersenyum sinis. Sombong doh! Aku kembali menyambung kerja.

IZZAD duduk sambil tangan memegang kepala. Demamnya masih bersisa tapi, dia sudah masuk ke pejabat. Tadi dia keluar sebentar pergi membeli bunga untuk hadiah hari lahir Sally. Adam pula mengambil cuti untuk ke rumah mak ciknya. Terpaksalah dia memandu sendiri hari ini.

“Lily, masuk bilik saya sekejap.” Izzad memaklumkan di intercom. Beberapa minit Lily sudah berada di biliknya.

“Ada apa Encik Izzad?”

“Perkara yang saya suruh awak buat tu, dah siap ke?”

“Surat temuduga tu, saya sedang siapkan. Err.. Encik nak edarkan di mana?” takut-takut Lily bertanya. Iyalah, mana pernah orang buat temuduga nak cari calon isteri.

“Awak edarkan pada senarai nama yang akan saya bagi nanti. Adalah dalam lima puluh orang calon. Itu semuanya dari kenalan saya.” Izzad tersenyum kecil melihat setiausahanya yang seperti bingung.

“Awak jangan risau. Yang penting awak siapkan surat yang saya suruh buat tu.”

“Baiklah. Ada apa-apa lagi Encik Izzad?”

“Nope! Thanks Lily. Awak boleh keluar.” Izzad tersenyum manis. Lily menunduk sikit sebelum berlalu keluar. Izzad membuka laci meja dan menelan ubat-ubatnya. Selepas itu dia memejamkan mata seketika. Berharap rancangan temuduga yang bakal berlangsung minggu hadapan berjalan dengan lancar. Sudah terbayang-bayang calon-calon pilihannya nanti. Izzad tersenyum sendiri.

……………………

Aku memandang surat tawaran temuduga di tanganku. Temuduga untuk menjadi seorang akauntan di sebuah syarikat swasta. Surat ini diberi Qairil siang tadi. Aku masih meneliti surat di tangan. Senyuman lebar tersungging. Sudah lama ijazah perakaunan yang aku miliki terperap dalam simpanan. Serasa seperti ini satu peluang keemasan yang terbuka luas. Apa salahnya aku mencuba. Mana tahu dapat. Tidaklah aku menyusahkan Pak Ngah sekeluarga lagi.

“Awak nak pergi ke temuduga tu?” soal Qairil tiba-tiba.

“Insya-Allah saya ingat nak pergi. Rasa rugi kalau tolak.”

“Baguslah. Saya yakin awak pasti dapat,” ujar Qairil dengan senyuman manis.

“Thanks Ril. Err…esok awak kerja ke?” soalku sambil membetulkan duduk.

“Macam biasalah. Saya susah nak cuti. Kenapa? Awak nak ajak saya pergi mana-mana ke?”

“Tak adalah. Saja aje tanya. Okeylah, saya nak masuk tidur dulu. Selamat malam.”

“Selamat malam Yanie.” Qairil turut bangun. Mahu masuk ke bilik juga agaknya.

Aku masih memandang surat temuduga di tangan. Senyuman juga tidak lekang dari bibir. Walaupun belum dapat, tapi aku tetap gembira. Sekurang-kurangnya ada peluang.

“Walid…umi…doakan Yanie ya,” ujarku perlahan. Teringat pula pada Kak Ifti. Aku akan menelefon Kak Ifti esok untuk memberitahu hal ini. Mana tahu Kak Ifti mahu memberiku kata-kata semangat. Dah lama aku tak berbual dengan kakakku itu. Sihatkah? Agaknya sibuk benar menjadi seorang isteri.

AKU menekan untuk kali keduanya nombor telefon bimbit Kak Ifti. Kerisauan sudah mula terasa. Kenapa tak angkat? Aku letak dan mencuba sekali lagi. Alhamdullilah, kali ini berangkat. Aku tersenyum.

“Assalamualaikum Kak Ifti.” Salamku beri. Senyuman masih di bibir.

“Waalaikummusalam. Yanie apa khabar?” Kak Ifti membalas perlahan. Senyumanku terus mati. Ada kelainan pada suara kakakku. Kenapa?

“Alhamdullilah. Kak Ifti tak sihat ke? Kenapa suara serak?” soalku risau.

“Err…akak sakit tekak.” Kedengaran Kak Ifti batuk. Tapi, kenapa aku rasa macam itu batuk yang dibuat-buat. Ada yang tidak kena ke?

“Kak Ifti kenapa? Abang Malik ada buat sesuatu ke?” soalku terus. Dah aku katakan dari awal, aku memang berasa Abang Malik itu tidak sebaik yang dikata. Memang aku syak sesuatu dah ni.

“Tak adalah. Akak cuma tak sihat. Yanie macam mana sekarang?” Kak Ifti membuat suara ceria. Tiba-tiba aku diterpa sayu. Kak Ifti sedang berbohong ke?

“Yanie tolong Mak Ngah di kedai bunga. Tapi, Yanie ada dapat surat temuduga untuk jadi akauntan. Minggu depan temuduganya.” Ceritaku. Aku cuba menyedapkan hati.

“Baguslah kalau macam tu. Buat yang terbaik. Akak yakin Yanie akan dapat. Banyakkan berdoa semoga semuanya dipermudahkan. Akak…..” tiba-tiba Kak Ifti berhenti berbicara dan hanya kedengaran deruan nafas.

“Kak Ifti…” panggilku risau.

“Err…akak letak dulu ya, Yanie. Ada kerja nak buat. Nanti senang-senang akak telefon Yanie. Kirim salam pada Pak Ngah sekeluarga. Akak sayang Yanie. Assalamualaikum.”

Belum sempat aku nak menjawab panggilan sudah dimatikan. Aku terkedu. Memang benar telahanku. Pasti ada yang tidak kena. Kalau tidak takkanlah Kak Ifti matikan talian begitu sahaja. Aku mendail semula nombor Kak Ifti tapi tidak dapat. Hanya suara operator yang kedengaran. Aku semakin yakin ada yang tidak betul. Abang Malik! Pasti lelaki itu ada buat sesuatu. Macam mana aku nak mencari tahu apa yang berlaku?
……………………………….

ESOK aku akan pergi ke ID Holding untuk temuduga kerja. Semuanya sudah kusiapkan. Persediaan yang selengkap mungkin aku buat. Tapi, hatiku tetap tidak tenang. Aku masih mencuba menelefon telefon bimbit Kak Ifti tapi tidak berangkat. Kali ini aku ingin mencuba sekali lagi. Harap-haraplah berhasil.

“Assalamualaikum,” ucapku laju bila panggilan berjawab. Alhamdullilah.

“Waalaikummusalam. Siapa bercakap di sana?” suara perempuan yang menjawab. Yang pasti bukan suara Kak Ifti.

“Boleh saya bercakap dengan Kak Ifti? Saya adiknya.” Aku sudah risau tahap gaban.

“Ooh.. adik Iftitah ya. Saya Murni, jiran Iftitah. Err…dia tak sihat. Akak baru saja bagi dia makan ubat dan dia dah tidur.” Beritahu wanita yang memperkenalkan dirinya Murni itu.

“Kak Ifti sakit apa? Suaminya mana?” Lama wanita di hujung talian itu terdiam. Aku menunggu dengan sabar.

“Akak rasa macam akak tak patut masuk campur hal ni. Tapi, akak kesian tengok Iftitah. Dia demam sebab dipukul suaminya. Akak selalu dengar mereka bertengkar. Suami Iftitah dah kehilangan kerja minggu lepas. Dia selalu minta duit dari Iftitah. Bila kami nak laporkan pada polis, Iftitah melarang. Katanya suami dia tak salah. Dia terlalu bersabar. Akak rasa semua barang-barang kemas Iftitah tentu dah dijual lelaki tak guna tu.,” luah Kak Murni sebak. Aku yang mendengar seperti ada pistol yang menembak tangkai jantungku. Air mata terus mengalir. Tidak dapat bayangkan keadaan kakakku sekarang. Kak Ifti…..

“Teruk ke keadaan Kak Ifti?” soalku dengan suara bergetar.

“Tidaklah teruk mana. Cuma badannya ada lebam-lebam. Akak kesian dengan dia. Kahwin tak sampai pun sebulan lagi, benda macam ni dah jadi. Malik tu tertekan sebab dia banyak hutang. Kehilangan kerja pula.”

“Saya mohon pada Kak Murni, tolong jagakan Kak Ifti. Saya minta tolong sangat,” pintaku.

“Insya-Allah. Selama ni memang akak yang selalu ada dengan Iftitah. Dia dah jadi kawan akak. Cuma, pasal kewangan. Akak bukan orang senang. Kalau nak tolong sikit-sikit tu bolehlah. Akak tak kerja. Jadi, pendapatan suami akak tu tidaklah banyak.” Kak Murni bersuara perlahan. Aku faham.

“Yang itu tak apalah Kak Murni. Insya-Allah saya akan kirimkan duit setiap bulan. Akak simpan duit tu. Jangan beritahu Kak Ifti. Saya tak nak Kak Ifti sedih. Lagipun, kalau Kak Ifti pegang duit tu, tentu Abang Malik akan ambil. Saya harapkan Kak Murni boleh tengok-tengokkan Kak Ifti. Saya memang tak boleh pergi sana sekarang. Saya percaya dan harapkan Kak Murni sekarang.” Aku bersuara lirih dan penuh berharap.

“Insya-Allah. Akak akan bantu. Err…akak nak letak dulu. Iftitah macam nak tersedar ni.”

“Iyalah. Saya benar-benar harapkan Kak Murni sekarang. Terima kasih.”

“Sama-sama. Kalau Malik tu buat sesuatu yang lebih teruk, memang akak lapor polis. Tak tahan akak tengok Iftitah macam ni.”

“Terima kasih banyak Kak Murni. Assalamualaikum.” Aku mematikan talian.

Aku terus bersandar di dinding sambil memeluk lutut. Air mata semakin deras mengalir. Aku sedih! Aku pedih! Arwah walid dan umi tidak pernah memukulku dan Kak Ifti. Tidak dapat kubayang keadaan Kak Ifti sekarang. Sengsaranya. Ya Allah, Kau lindungilah kakakku.

“Kak Ifti…. Maafkan Yanie sebab tidak berada di sisi kakak sekarang. Maafkan Yanie,” ngongoiku. Aku benar-benar kecewa dengan apa yang menimpa Kak Ifti.

Selepas sedikit reda, aku bangun dan mengambil wuduk. Hanya pada Allah tempatku mengadu dan memohon doa. Aku berteleku lama di atas sejadah. Tidak lupa aku menyedekahkan Yassin buat arwah walid dan umi. Air mata tetap menjadi peneman.

“Aku mesti dapatkan kerja esok! Aku mesti berjaya!” tekadku sambil melelapkan mata. Aku benar-benar mahu membantu Kak Ifti. Kau bantulah aku esok Ya Allah.

……………

Aku membuka mata. Cuba mencerna apa yang sedang berlaku. Tengah aku mendapatkan balik ingatanku yang separuh mamai, aku terus melompat turun dari katil. Telefon bimbit dicapai. Sudah pukul 9.30 pagi. Masya-Allah. Aku dah terlewat. Itulah, siapa suruh lelap semula selepas subuh tadi. Aku terus bangun dan bersiap. Dalam surat tu tulis, temuduga mula pukul 9.00 pagi, habis pukul 4.00 petang. Rehat pukul 1.00 sampai 2.00 petang.

Malam semalam Mak Ngah dah beritahu yang Mak Ngah ada hal hari ni dan tak dapat hantarku. Pak Ngah outstation dua hari. Qairil pula memang tidak tinggal di sini. Dia dah beli rumah di KL. Dekat dengan hospitalnya bekerja. Jadi, terpaksalah aku naik bas. Bergegas aku menyiapkan diri.

Dekat perhentian bas ni ada aku seorang sahaja. Aku memandang sekeliling. Cuba menenangkan diri. Aku mesti dapatkan kerja. Sekali lagi aku teringatkan Kak Ifti. Aku mesti berjaya demi membantu kakakku.

Sekejap aku duduk. Lepas tu aku bangun. Aku berjalan mundar mandir. Sudah hampir setengah jam aku menunggu masih belum ada sebuah bas pun yang lalu. Takkan tak masuk kawasan perumahan ni? Kalau tak masuk buat apa bina perhentian ni? Aku mula bercekak pinggang.

“Mana bas ni?” Aku bertanya sendiri. Fail di tangan aku buat sebagai kipas. Dahlah cuaca agak panas. Aku kembali duduk. Harapan seperti mahu musnah sahaja. Dalam keadaan aku yang seperti sudah mahu mengamuk, sebuah bas datang. Aku menarik nafas sambil mengucap syukur. Sempat aku melihat jam tangan. Sudah hampir 10.40 pagi. Aku mengesat peluh di dahi dengan tisu.
Baru dua puluh minit perjalanan, bas tiba-tiba berhenti. Aku mendegus geram. Semua penumpang diminta turun sebentar. Tidak ramai yang naik bas ini.

“Err… ada masalah apa pak cik?” soalku kepada pemandu bas.

“Enjin problem. Kena tunggu sekejap untuk sejukkan enjin ni.” Beritahu pak cik pemandu.

“Lama ke?” soalku lagi.

“Selalunya ambil masa dalam dua puluh hingga tiga puluh minit. Kalau cik nak cepat, boleh naik bas lain yang akan lalu nanti.” Aku mengangguk mendengar kata-kata pak cik tu.

“Terima kasih pak cik.” Aku berjalan duduk di bawah pokok. Ada seorang perempuan turut duduk di situ.

“Memang dah selalu jadi macam ni,” ujar perempuan itu tiba-tiba.

“Akak selalu tunggu ke?” soalku ingin tahu.

“Taklah. Nanti ada bas bandar yang akan lalu. Tukar naik yang itulah. Kalau nak tunggu lama.” Aku hanya mengangguk.

“Adik nak ke mana?” soal kakak itu.

“Saya nak pergi temuduga kerja.”

“Ooh… kalau macam tu, dah lambatlah ni.” Kakak tu tersenyum kecil. Aku hanya tersenyum malu.

“Dugaan kak. Saya harap saya sempat pergi temuduga tu.”

“Tahu tempatnya ke tak? Nanti dah sampai terminal senang nak cari.”

“Err..alamatnya ada dalam surat. Insya-Allah senang jumpa kak.”

Sedang kami berbual, sebuah bas lalu dan berhenti. Kami semua naik bas yang baru dan bas mula bergerak. Aku menarik nafas lega. Jam sudah menginjak ke pukul sebelas lebih. Sempat ke aku sampai sebelum pukul 1? Bas ni dahlah bas angkut. Kejap-kejap berhenti nak ambil penumpang.
Aku sampai di terminal pukul 12 lebih. Jalan memang jammed. Di tengah-tengah orang ramai tu aku bingung sekejap. Tidak tahu mahu ke arah mana. Dalam kepeningan itu, telefon bimbitku berbunyi. Tertera nama Qairil. Aku tersenyum lega.

“Assalamualaikum. Dah habis temuduga ke?” soal Qairil.

“Waalaikumusalam. Saya belum pergilah. Tadi ada masalah sikit. Sekarang baru sampai terminal bas pekeliling. Saya pening tak tahu nak pergi mana ni,” luahku.

“Awak tunggu dekat sana. Nanti saya datang.” Selepas itu panggilan dimatikan. Aku menunggu Qairil di tepi jalan. Nasib baiklah Qairil ni kerja di KL.

Qairil sampai agak lewat. Aku rasa aku masuk temuduga yang sesi petanglah. Pukul 2.00 nanti. Sekarang dah hampir pukul 1.00. Pasti tak sempat memandangkan sekarang waktu orang lunch. Rasanya jalan memang sesak sekarang.

“Sorry lambat. Jalan jammed,” terang Qairil. Aku hanya mengangguk.

“Syarikat tu dekat mana?” soal Qairil sambil menggerakkan keretanya. Aku menunjukkan kertas temuduga kepada Qairil. Kemudian dia mengangguk.

“Dah dekat pukul 1.00 ni. Kita pergi makan dululah ya.” Qairil memandangku meminta jawapan.

“Ikutlah. Tak apa ke awak tak ada dekat hospital ni?”

“Sekarang memang saya rehat. Lagipun, ramai lagi doktor yang ada dekat hospital tu. Bukannya saya sorang.” Qairil ketawa kecil. Aku hanya tersenyum.

Qairil memberhentikan kereta di sebuah kedai makan. Katanya dia memang selalu makan di situ. Aku hanya menurut. Selepas makan kami singgah bersolat zuhur sebelum Qairil menghantarku ke ID Holding. Beberapa minit lagi pukul 2.00 petang. Aku tiba-tiba menjadi risau.

“Good luck,” ujar Qairil.

“Terima kasih Ril.”

“Nanti balik macam mana? Nak saya ambil?” soal Qairil sambil memandangku.

“Tak apalah. Kesian pula dekat awak nanti.” Tolakku lembut.

“Saya ambil awaklah nanti. Lagipun, esok memang saya ambil cuti nak balik Seremban. Saya ambil awak pukul 5.00 nanti.”

Aku hanya mengangguk mendengar bicara Qairil. Aku setuju saja. Selepas kereta Qairil berlalu pergi, aku melangkah masuk. Syarikat ini memang besar dan mewah. Dalam hati tidak lepas-lepas aku berselawat. Semoga diberi ketenangan.

SEWAKTU aku masuk ke ruang lobi, agak ramai orang. Mungkin semuanya baru pulang dari makan tengah hari. Aku melihat lagi surat temuduga. Tingkat berapa ni? Aku melabuh duduk di sofa. Ada seorang wanita turut berada di situ. Aku lihat dia juga sedang meneliti surat. Kemudian telefon wanita itu berbunyi.

“Yes. I dah sampai. You pun dapatkan surat temuduga tu?” soal wanita itu. Aku hanya memasang telinga.

“I naik dululah. Takut ramai. I tak nak terlepas peluang. I pasti dapat. Hmm…tingkat 5. I tanya penyambut tetamu tadi. You jangan lambat pula. Nanti terlepas you yang menyesal.” Wanita itu ketawa. Kemudian dia mematikan talian dan terus melangkah. Aku tergesa-gesa bangun. Baik aku ikut perempuan tu!

Wanita itu berhenti di tingkat 5. Aku hanya ikut. Debaran semakin terasa. Aku melihat wanita itu berhenti mengambil borang dan terus duduk. Aku masih tercegat. Yanie….calm down. Relax. Selepas menarik nafas aku melangkah masuk. Tingkat ini kelihatan lebih mewah. Cantik sungguh.

“Cik, saya datang untuk temuduga,” ujarku kepada wanita di kaunter. Wanita itu memandang aku atas bawah sebelum memberiku borang ringkas untuk diisi.

“Terima kasih,” ucapku dengan senyuman. Wanita itu membalas.

Aku duduk di kerusi paling hujung. Aku tersenyum pada beberapa orang yang turut berada di situ. Tapi, semuanya tidak membalas. Semuanya memandangku pelik. Aku pandang wanita yang aku jumpa dekat bawah tadi. Dia turut memandangku atas bawah. Aku buat bodoh. Apa hal pandang-pandang? Aku tak pakai baju ke? Tahulah yang korang semua tu pakai baju lawa-lawa.

Aku memandang borang ditangan. Keningku bertaut membaca maklumat yang dipinta. Nama, nombor kad pengenalan, jantina, umur, pekerjaan, status dan alamat. Itu memang biasalah ada dalam borang. Yang aku pelik sikit soalan di bawah.

Arahan soalan. Tandakan.

1) Lemah lembut ( )
2) Seksi ( )
3) Manja ( )
4) Rajin ( )
5) Mengikut arahan ( )
6) Berdisplin ( )

Aku memandang sekeliling. Betul ke soalan temuduga ada macam ni? Aku tak pernah pergi temuduga kerja jadi aku tak tahu. Nak tak nak aje aku menanda nombor 4, 5 dan 6. Rasa macam nombor 1, 2, 3 tu tak patut ada. Macam nak temuduga isteri pula. Aku menyudahkan mengisi mana yang masih kosong. Selepas itu aku menghantar ke kaunter. Waktu itu ada seorang wanita cantik bergaya melangkah masuk. Cantiknya, desis hatiku. Dia terus mendapatkan wanita di bawah tadi. Mungkin ini orang yang wanita tu bercakap di telefon tadi. Aku kembali duduk. Waktu itu di luar ini masih tinggal dalam 8 orang termasukku. Seorang perempuan keluar dan perempuan yang lain pula masuk.

Mungkin kami-kami ini calon yang terakhir memandangkan jam sudah menunjukkan ke pukul 3 lebih. Aku sudah tidak duduk diam. Aku meneliti sijil-sijilku. Dalam otak sudah merangka apa yang mahu dicakap. Wanita yang aku jumpa di bawah tadi sudah melangkah masuk. Aku menarik nafas. Takut!

“You ni datang nak temuduga ni ke?” soal wanita yang aku puji cantik itu. Aku mengangguk sambil tersenyum.

“You ni layak ke?” soal wanita itu selamba. Aku mengetap bibir. Cancel! Bagi aku dah tak cantik, gerutuku dalam hati. Wanita itu hanya tersenyum sinis. Aku perasan, semua calon-calon yang datang seolah-olah memandang jelik kepadaku. Kenapa? Tak layakkah wanita bertudung sepertiku bekerja di syarikat mewah ini? Tahulah yang korang semua tu seksi, cantik, rambut gaya sana gaya sini. Jadi, janganlah berlagak! Aku hanya buat bodoh. Kembali meneliti dokumen di tangan. Beberapa minit, wanita dibawah tadi keluar. Dia terus mendapatkan wanita berlagak di sebelahku.

“So…so…handsome,” teruja wanita di bawah tadi bercerita. Aku tengok wanita berlagak itu juga sudah excited nak masuk. Apa hal ni? Datang temuduga ke, datang nak tengok si penemuduga?
Wanita berlagak itu terus bangun dan melangkah masuk. Aku mengeluh geram. Turn aku tu! Apa hal potong queue. Aku kembali duduk. Nafas ditarik. Hari ini aku benar-benar diduga. Aku memandang wanita yang memberiku borang tadi. Dia turut memandangku. Wanita itu tersenyum dan aku membalas. Nasib baiklah ada juga yang baik!

Dekat pukul 4 baru wanita berlagak itu keluar. Aku menjeling sakit hati. Macam mana kalau aku tak sempat? Eee…geram betullah. Aku bangun dan mahu melangkah masuk. Nampak macam aku yang terakhir.

“Good luck,” wanita berlagak itu menyindir. Aku tersenyum sinis.

“Terima kasih,” jawabku acuh tak acuh.

Pintu dibuka perlahan. Aku membaca basmallah di dalam hati. Ada seorang lelaki sedang duduk di meja sambil membelek fail. Dia mengangkat muka bila memandangku. Lelaki itu tersenyum.

“Err…boleh saya duduk?” soalku berani bila beberapa minit aku dibiarkan berdiri. Begini ke keadaan temuduga? Tapi, setahuku selalunya akan ada dua tiga orang penemuduga. Tapi, ini seorang sahaja. Lelaki itu tersenyum manis.

“Silakan.” Lelaki itu membetulkan duduk. Aku menghulurkan segala dokumenku kepada lelaki itu. Teragak-agak lelaki itu menyambut.

“Awak tahu siapa saya?” soal lelaki itu. Aku mengerut dahi. Dah mula ke? Tapi, soalan apa ni?

“Tak,” jawabku gugup. Takut tidak lulus.

“Hmm…cik Nurul Izyanie binti Mohd Ibrahim. Ijazah Perakaunan. Dah ada boyfriend?” soal lelaki itu sambil berjalan dan berdiri di sebelahku. Aku sekali lagi bingung.

“Tak. Boleh saya tanya sesuatu? Temuduga kita ni dah bermula ke belum?” soalku sambil memandang lelaki itu yang sedang tersenyum lebar. Dia kembali duduk. Ditangannya kini memegang borang yang aku isi diluar tadi.

“Lemah lembut. No. Manja. No. Seksi pun tidak. Nampaknya awak tak lulus. Saya nak sekurang-kurangnya 5 dari ini ditanda. Awak hanya tanda 3. Maafkan saya.” Lelaki itu memandang mukaku. Aku sudah tersentak. Tak lulus! Takkan sebab borang tu aku tak lulus. Mana soalan yang kena mengena dengan akaun? Mana?

“Encik tak boleh buat macam ni? Encik belum tanya soalan akaun pada saya. Dari jauh saya datang untuk temuduga ni. Encik belum tanya soalan yang penting-penting pada saya? Takkan sebab borang tu saya tak lulus? Ini tidak adil. Takkan semudah itu saya digagalkan.” Aku sudah menguatkan sedikit suaraku. Ini mendatangkan marah! Kalau aku gagal biarlah gagal dengan maruah. Bukan gagal sebab borang ni! Aku terus bangun.

“Saya perlukan sangat kerja ni. Kalau saya tak layak jadi akauntan untuk syarikat ni, beritahulah apa masalahnya? Kalau bukan akauntan pun tak apalah. Janji saya ada kerja. Saya datang ni penuh dengan harapan. Encik tak boleh gagalkan saya macam ni.” Aku mengelap air mata yang tiba-tiba mengalir. Marah bercampur sedih. Aku sudah berjanji mahu membantu Kak Ifti. Sebab itulah aku bersusah payah hari ini.

Lelaki itu kulihat hanya membisu. Mungkin kaget melihat aku marah ataupun sebab aku menangis. Lelaki itu berdehem sambil menyuruhku duduk kembali.

“Saya rasa awak dah salah tempat.” Hanya itu yang dicakap lelaki itu. Aku mengelap air mata kasar.

“Kalaupun saya tak layak, tak perlulah encik nak hina saya macam ni,” marahku. Aku mengambil semula segala dokumenku. Bila aku nak beredar lelaki itu menahan.

“Saya bukannya nak hina awak. Tapi, awak betul-betul dah salah tempat. Ini temuduga untuk mencari calon isteri saya, bukannya temuduga untuk mencari akauntan. Temuduga yang awak sepatutnya pergi tu, berada di tingkat 2.” Penerangan lelaki itu membuatkan langkahku kaku. Aku kembali memandang lelaki itu.

“Encik jangan nak menipu. Mana ada temuduga mencari calon isteri. Encik jangan nak memperbodohkan saya.”

Lelaki itu hanya tersenyum sinis.

“Lain kali kalau datang, check betul-betul. Jangan salah masuk temuduga lepas tu nak marah tak tentu pasal. Baik awak pergi ke tingkat 2 sekarang, sebelum sesi temuduga tamat.” Lelaki itu bersuara sinis sambil melihat jam. Sudah empat lebih.

Aku merasakan mukaku sudah merah. Betul ke salah temuduga? Aku terus melangkah keluar tanpa berpaling lagi. Aku berhenti di depan wanita yang memberi borang tadi.

“Cik, ini temuduga apa sebenarnya?” soalku gugup. Wanita itu kelihatan bingung.

“Temuduga untuk mencari calon isteri Encik Izzad,” beritahunya. Aku rasa macam ada batu besar yang menghempap kepalaku. Gila! Ini memang gila!

“Terima kasih,” ucapku dan terus berlari ke lif. Aku harap masih sempat untuk ke tingkat 2 dan ditemuduga. Air mata yang mengalir kuseka laju. Ya Allah, besarnya dugaanMu hari ini.

Aku terduduk di balik dinding bila semua meja dan kerusi untuk calon-calon temuduga sudah dikemas. Air mata mengalir lagi. Sebak. Aku masih ingat, kata seorang temanku dulu, yang paling penting mereka tengok ialah masa. Kalau kita tidak punctual, mereka akan beri tanggapan buruk pada kita. Mereka akan rasa kita akan ada masalah masa, kalau bekerja nanti. Dengan langkah longlai aku melangkah keluar dari bangunan syarikat. Harapanku hancur. Maafkan Yanie, Kak Ifti…

~bersambung..

p/s : saya tak pernah pergi temuduga kerja, jadi saya tak tahu sangat.. apa2 yang tidak betul saya minta maaf… komen please.. terima kasih.. :)




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

18 ulasan untuk “Novel : Calon Isteri Jutawan 5”
  1. Surie says:

    mcm best je…

  2. najwa95 says:

    best sngt9…. cpt la sambung cite nie.. nk tngk pe jadi??? excited sngt nie!!!
    5 stars for afifah…

  3. akeeka says:

    cpt smbg ye he2

  4. qzira says:

    yuppp…best…..jan lambt…smbg…..

  5. nurfasihah ismail says:

    wahh….best sangat2 nihhh…..sambung la cepat..x sabar nk baca niee

  6. lyeinz says:

    not bad….hehehe

  7. anna says:

    GOOD JOB. MEMANG KALUTLAH YANIE NI… KENAPALAH TAK TANYA DULU SEBELUM ISI BORANG TU….. APA APAPUN TAHNIAH UNTUK PENULIS…

  8. nono70 says:

    hahaha…lawak tahap dewa dewi la c yanie ni…hmmm…bengong

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"