Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia! 17

15 December 2011  
Kategori: Novel

92,587 bacaan 171 ulasan

Oleh : Addy Rifqhiey

“KITA NAK ke mana ni?” Soal Syaf sambil berkerut dahi memandang Firash yang sedang memandu. Lelaki itu hanya tersenyum lebar sehingga menampakkan lesung pipitnya. Terpegun Syaf di situ seketika melihat senyuman itu. Kenapa aku tak pernah tengok dia senyum macam tu selama ni? Atau dia akan senyum dekat orang yang dia suka aje? Jadi maknanya dia suka aku lah? Soal Syaf pada dirinya sendiri walau dia tidak berapa yakin dengan telahannya itu.

“Pergi dating.” Jawab Firash pendek sambil mengerling gadis di sebelahnya sekilas. Namun kelihatan gadis itu seperti tidak berkelip memandangnya. Dia tersenyum kecil. Mesti tak percaya dengan apa yang aku cakap tu! Otaknya mula merencanakan sesuatu yang jahat.

“Aduh!” Sedikit terjerit kecil Syaf bila terasa pipinya dicubit oleh lelaki itu. Serta-merta pandangan yang ditalakan kepada Firash itu terhenti. Dia mengerling tajam. Apa kes dia ni main cubit-cubit pipi aku pulak? Rungutnya sambil menggosok-gosok pipi dengan jari.

“Padan muka. Suka sangat dapat tengok muka aku eh? Ada rasa jatuh cinta tak?” Soal Firash sambil mengangkat kening. Dia sedikit tergelak kecil bila melihat cebikan di bibir Syaf.

“Aku tengok sikit aje. Takkan tak boleh kut?” Soal Syaf lalu memandang ke hadapan. Entah kenapa hatinya terasa berdebar-debar bila Firash mengungkapkan soalan yang menyentuh perasaannya tadi. Cintakah dia pada lelaki itu?

“Boleh je kalau kau nak tengok. Lama-lama pun aku tak kisah.” Balas Firash lagi sambil ketawa. Dia bersiul-siul kecil mengikut rentak lagu Ungu- Percaya Padaku yang berkumandang di radio. Syaf menggigit bibir. Hessy! Terkantoi pulak tengok dia lama-lama!

“Kenapa? Dah kelu lidah ke nak bercakap?” Soal Firash lagi sambil ketawa kecil. Syaf membuang pandang ke tingkap. Terasa berbahang pipinya bila ditanya soalan begitu. Tanpa sedar kereta Firash telah berhenti di suatu tempat.

“Jom turun.” Ajak Firash sambil menanggalkan tali pinggang keledar. Pintu kereta itu dibuka. Syaf hanya akur tanpa kata. Matanya diliarkan ke sekeliling. Tempat apa ni? Pusat membeli-belah?

“Jomlah. Duk berangan aje memang tak best. Kena buat something jugak barulah real.” Tegur Firash setelah mendapati gadis itu hanya berdiri tegak di sisi kereta. Tangannya pantas memegang kemas tangan gadis itu. Syaf merenung tangannya yang dipegang dengan tidak berkelip.

“Eh nak pergi mana ni?” Soal Syaf cuba mengeraskan diri. Dia cuba untuk tidak mengekori langkah lelaki itu. Firash mengeluh perlahan. Ajak pergi dating pun susah!

“Pergi datinglah. Bukannya ajak pergi berperang pun.” Jawab Firash.

“Eee..Tak naklah. Buat apa dating-dating ni?” Tukas Syaf laju.Memandang ke orang ramai yang sedang berpusu-pusu di situ. Dia bukannya suka pergi ke tempat yang ramai orang. Naik serabut kepala lagi adalah!

“Haishh! Nak pergi dating dengan isteri sendiri pun susah. Tak baik tahu menolak ajakan suami.” Firash cuba mengemukakan hujah. Syaf memandang Firash dengan pandangan tidak berkelip. Sejak bila pulak dia ni mengaku aku ni isteri dia?

“Dahlah pandang aku macam tu. Tahulah aku ni hensem.” Balas Firash lagi. Syaf terasa mahu menjulingkan mata ke atas. Firash tiba-tiba melingkarkan tangannya ke pinggang gadis itu. Serta-merta Syaf terkejut. Kala itulah terdengar seseorang memanggil nama mereka berdua. Dia segera berpaling ke hadapan.

“Mie? Fiqri?” Gumam Syaf perlahan sambil menelan liur. Firash pula sedikit tercengang. Namun bibirnya mula mengukir senyum tawar apabila kedua-dua rakannya itu menghampiri mereka.

“Jauh korang berjalan? Tak sangka pulak jumpa kat sini.” Tegur Firash selamba seola-olah tiada apa-apa yang sedang berlaku walhal Mie dengan Fiwri sedang memandangnya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Syaf menggigit bibir kala mata Mie memfokus kepadanya.

“Hmm…Aku pun tak sangka jumpa korang kat sini. Erm, apa cerita sebenarnya ni?” Soal Mie dengan nada mendatar. Tiada langsung riak mesra di situ.

Firash tersenyum. “Tak ada apa-apa cerita pun.” Mie seolah-olah mencebik bila terdengar kata-kata Firash itu. Fiqri pula sekadar berdiam diri. Hanya memerhati kedua-dua rakannya itu sedang berbual.

“Aku rasa better kau explain hubungan korang berdua. Dah tak nampak macam kakak sedara aje.”

“Ha’ah. Kakak sedara apa siap peluk-peluk pinggang bagai.” Sinis Fiqri tiba-tiba. Syaf tersenyum kelat. Terasa kata-kata dari Mie dan Fiqri itu betul-betul terkena di batang hidungnya. Namun tangan Firash yang masih berlingkar di pinggangnya itu masih lagi melekap kemas.

“Sorry guys. Dia bukan kakak sedara aku tapi dia wife aku.” Jelas Firash dengan menganggukkan kepalanya.

“Hah?!” Mie sedikit terjerit kecil. Bulat matanya kerana terkejut. Fiqri pula menggaru-garu kepalanya. Seolah-olah tidak percaya apa yang didengari oleh telinganya itu.

“Oh, patutlah selama ni kau selalu aje halang aku dari dia! Dan kau pulak Syaf bersubahat aje dengan laki kau ni! Memang patut pun korang berdua ni kahwin. Penipu besar!” Bentak Mie kasar.

“Mie. Aku mintak maaf. Tak terniat pun nak tipu kau. Sebenarnya…”

“Dahlah Syaf! Kau pulak Chad! Tak sangka kawan baik aku sanggup tipu aku macam ni!” Bentak Mie lagi sebelum menepuk bahu Fiqri lalu pergi dari situ.

“Mie!!!” Jerit Syaf sedikit kuat. Dan kala itulah tiba-tiba dia terjaga. Matanya dicelik laju. Hanya kipas siling yang sedang berpusing-pusing menyapa matanya. Dadanya masih berombak laju kerana terperanjat.

“Ya Allah. Mimpi rupanya.” Gumamnya perlahan sambil beristighfar panjang. Macam manalah reaksi dia orang berdua kalau perkara ni betul-betul terbongkar nanti? Fikir hatinya sebelum mengeluh kecil.

Terasa tubuhnya dipeluk sesuatu, dia mengalihkan pandangan ke sisi. Wajah Firash yang sedang merenung tajam itu sedikit mengejutkannya. Lelaki itu cepat-cepat merungkaikan pelukan dan terus bingkas bangun dari katil. Syaf terpinga-pinga seolah-olah tidak memahami apa yang sedang berlaku.

“Mie jugak ye yang kau ingat.” Gumam Firash perlahan sebelum beredar dari biliknya. Entah kenapa hatinya sedikit terasa dengan panggilan gadis itu walaupun hanya dalam keadaan tidur. Aku yang duk urut dia masa sakit tak ingat pulak!

Syaf menelan liur kesat. Alamak! Tadi aku ada panggil nama Mie ke masa mengigau tadi? Habislah! Ingatkan baru aje nak ucapkan terima kasih sebab Firash tolong urutkan pinggang dia semalam. Sudahlah lelaki tu jenis cemburu buta!

Firash merengus kecil dan melangkah menuju ke biliknya. Tanpa sedar Tok Wan yang baru saja dari biliknya yang terletak di hujung rumah itu merenung dengan kening bertaut. Entah kenapa hatinya menyatakan yang cucunya ini ada hubungan dengan anak angkat milik anaknya itu. Kali ini sudah tiga kali dia bertembung dengan keadaan itu. Mungkin dia perlu menyiasat akan hal ini sebelum ada apa-apa yang terjadi.

“KAMU CUTI berapa hari kali ni?” Tanya Pak Long Isman sebelum meletakkan guni dedak sebagai makanan ikan talapia yang diternak itu ke atas lantai bangsal. Nafasnya dihembus kasar. Lelah mengangkut guni yang beratya 20kg itu.

“Seminggu aje Pak Long. Tapi kali ni lama sikit lah tak macam tahun lepas tu.” Jawab Firash seraya melemparkan pandangan ke arah ikan-ikan talapia yang sedang berenang-renang di sangkar itu. Sudah mencapai saiz yang boleh dijual agaknya ni.

“Baguslah kalau dapat cuti lama sikit. Boleh tengok-tengokkan Tok Wan kamu tu. Dia pun dah tak berapa sihat sangat dah sekarang.” Firash mengangguk perlahan. Memang dia tahu yang Tok Wannya itu sudah tak berapa sihat sekarang ni tapi dia kan duduk jauh, masih belajar pulak tu. Masa cuti-cuti panjang macam ni lah baru dapat balik.

“Kamu dah semester berapa kat universiti tu?” Soal Pak Long Isman lagi. Rokok daun yang telah digulung dengan tembakau itu ditarik keluar dari pouchbagnya. Seketika kelihatan dia mencucuh rokoknya itu dengan pemetik api sebelum di bawa ke mulut.

“Dah nak habis sem lima. Lepas cuti sem ni kena pergi praktikal pulak.” Balas Firash sebelum melabuhkan sila di titi yang terdapat antara sangkar-sangkar ikan talapia itu. Titi yang diperbuat dengan dua keping kayu itu hanya muat-muat seorang sahaja untuk berjalan. Dan kalau tersilap langkah, boleh saja jatuh ke dalam sangkar yang dipenuhi ikan talapia tu.

“Oh, dah nak habislah ni. Nanti praktikal kat mana?” Soal Pakcik Isman lagi seraya memandang anak saudaranya itu. Diperhatikan seketika Firash yang masih ralit memandang ikan-ikan talapia di sangkar. Dia mengeluh seketika. Melihat Firash sama seperti melihat Fakhrul, adik iparnya itu. Lebih kurang saja dia orang berdua ni. Tinggi dan berkulit cerah. Manakala abangnya pula lebih mengikuti iras mamanya yang sedikit rendah dan berambut ikal.

“Dapat kat Kerteh tapi kat syarikat konsultant lah.” Tutur Firash.
Seketika masing-masing terdiam dan melayan perasaan. Rokok yang disedut oleh Pakcik Isman mengeluarkan asap putih melalui hidungnya. Kemudian, fikirannya teringatkan sesuatu.

“Kalau tak silap aku, si Qimy tu pun kerja area Kerteh jugak tapi aku tak ingat pulak apa nama syarikat dia.” Firash berpaling seketika memandang Pakcik Isman. Si Qimy tu pun kerja area situ jugak ke?
“Betulke ni Pak Long?”

“Ha’ah. Kau cuba lah tanya dia nanti.”

“Hmm, yelah.” Jawab Firash acuh tak acuh. Agak kurang suka dengan abang sepupunya itu. Dari kecil lagi memang tak sebulu. Selalu saja bergaduh. Entah bila hubungan yang renggang itu akan pulih, dia sendiri sudah tidak dapat mengagak.

“Eh, kau tak pergi kutip buah durian ke? Rasanya kalau tak silap aku tadi, Qimy dengan Imah tengah siap-siap nak pergi. Lepas tu aku dengar dia orang nak ajak sekali anak angkat mama kau tu.” Tutur Pakcik Isman. Rokok daun yang telah habis dihisap itu dibuang ke dalam bekas kecil sebelum menghampiri guni dedak yang telah pun dibuka. Masa untuk memberi makan ikan talapia sudah tiba.

“Ye ke dia orang pergi kutip durian?” Soal Firash dengan nada tak senang hati. Si Syaf pun pergi jugak ke? Kenapa tak ada pun orang bagitahu dia tadi. Mama dengan Tok Wan pun tak adalah pulak bercakap pasal ni.

“Yelah. Sebab si Qimi dengan Imah tu masing-masing bawa guni. Sempatlah aku tanya dia orang berdua tadi sebelum ke sini. Takkan kau tak tahu pulak?” Soal Pak Long Isman. Dahinya yang sudah berlapis lima itu berkerut lagi. Takkanlah tak ada orang yang bagitahu kat Firash sebab yang dia tahu Firash ni memang hantu durian dari kecil lagi. Sanggup ikut arwah tokinya menunggu di bangsal awal-awal pagi semata-mata nak kutip buah durian yang baru luruh.

“Kalau macam tu, tak apalah Pak Long. Saya nak pergi jenguk jugak ni. Nanti terlepas pulak nak makan durian best.” Pamit Firash dan berlalu laju ke arah motornya yang diparkir di tebing sungai. Manakala Pak Long Isman hanya menggeleng-gelengkan kepala apabila melihat gelagat anak saudaranya itu.

SYAF SUDAH kaku di situ. Kagum dia melihat pokok-pokok durian yang ditanam di tanah seluas hampir suku ekar itu. Buah-buah durian yang masih belum luruh itu bergayutan di dahan pokok. Kalau diikutkan, inilah kali pertama dia datang menjenguk kebun durian. Sebab tu tadi dia sedikit teruja apabila Haqimy dan Imah datang ke sini.

“Akak tak pernah lagi datang kebun durian ni.” Luah Syaf sambil melihat Imah yang tengah memakirkan skuternya di tepi semak. Manakala Haqimy belum lagi sampai. Imah pula pandu skuternya kalah orang yang nak berlumba. Nasiblah jalan kampung tak adalah banyak sangat kenderaan. Walau bagaimana pun, dia tetap kecut perut tadi.

“Sebab Imah tahu yang akak tak pernah datanglah sebab tu Imah ajak ni.” Imah tersengih, kemudian tangannya mencapai guni di dalam raga skuternya.

“Akak mana ada kebun durian ni semua, dulu arwah mak dan ayah akak walau duduk kat kampung jugak tapi tak ada kebun.” Syaf berjalan sedikit masuk ke dalam kebun. Matanya memandang kulit-kulit dan biji durian yang bertaburan di atas rumput. Mungkin dimakan oleh tupai atau binatang lain fikirnya.

“Oh. Tak semua ada kebun durian ni kak. Yang ni pun sebab turun temurun dari arwah nyang Imah. Ayah cakap kalau nak dijualkan sayang sebab duit yang dapat akan habis macam tu aje. Tapi kalau tak jual, tiap-tiap musim kita orang dapat makan.” Imah tersenyum dan melangkah sedikit menghampiri Syaf. Kaki Syaf yang tersarung selipar itu menguis sedikit kulit durian lama yang dah bertukar ke hitam-hitaman.

“Hmm, bestlah kan. Tiap-tiap kali musim durian dapat makan free. Kalau macam akak ni, kena beli aje lah kat pasar tu ha.” Syaf sedikit merungut sambil ketawa.

“Ala kak. Nanti musim durian tahun depan, datang aje lah kat sini. Boleh kita makan durian beramai-ramai, apa susah.” Imah tersengih lagi. Kemudian dia menjenguk sedikit kepalanya ke belakang apabila bunyi motor abangnya mula kedengaran.

“Hah, dah sampai pun abang Qimy tu. Slow sangat bawak motor.” Imah mencebik memandang abangnya yang baru saja sampai di situ.

“Dah Imah yang bawak motor macam pelesit, kalau ayah tahu habislah.” Haqimy memarkirkan motornya tidak jauh dari tempat Syaf dan Imah berada. Langkahnya laju mendapati mereka berdua dengan guni di tangan.

“Ala abang ni, tak syok langsung kalau bawak slow-slow. Apa kelas?” Imah tersengih memandang Haqimy sedangkan Syaf mula ketawa kecil melihat gelagat dua beradik itu.

“Ha, yelah tu. Nasib tak terbang kak Syaf tu.” Usik Haqimy.

“Kalau Kak Syaf terbang, abang Qimy boleh sambutkan.” Giat Imah sementara Syaf sudah mula merah muka. Suka sangat dia melihat abangnya itu dengan Syaf. Seolah-olah pasangan sedang bercinta pun ada.

“Macam-macamlah Imah ni. Tengok kak Syaf dah malu tu.” Sambung Haqimy lagi walau dalam hatinya dia suka dengan usikan adiknya itu.

“Emm, bila kita nak pergi kutip ni?” Soal Syaf cuba mengalih topik. Kalau dilayan mereka berdua ni memang tak akan habis.

“Nak pergi lah ni. Abang Qimy pulak yang banyak cerita.” Rungut Imah.

“Adoi, apa abang Qimy ni?” Imah menjegilkan mata kerana tangan
abangnya telah mengetuk dahinya. Haqimy dah tergelak.

“Tu lah balasannya kerana banyak merungut.” Balas Haqimy sebelum berlari anak menjauhi Imah. Dia tahu adiknya itu akan mengejarnya.

“Abang Qimy!!” Suara memecahi kawasan kebun durian itu. Manakala Syaf hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat dua beradik itu. Terhibur dengan hubungan yang erat itu.

“YANG LURUH ni semua buah yang elok-elok ke?” Soal Syaf pada Imah yang tekun mengutip buah durian di tanah. Sementara Haqimy berada tidak jauh dari tempat Syaf dan Imah berada.

“Kalau diikutkan pokok durian yang ada kat kebun ni memang baka baik. Kalau kebun lagi satu tu kurang sikitlah kualiti dia sebab kebanyakan pokok-pokok lama.” Balas Imah. Manakala Syaf sudah berkerut dahi tidak faham dengan apa yang Imah sedang sampaikan.

“Maksud Imah, ada lagi kebun lain dari kebun ini?”Soalnya. Tangan mencapai buah durian yang telah dipungut.

“Ha’ah. Ada satu lagi tapi kebun tu kecil sikit. Pokok durian pun tak banyak sangat.” Syaf mengangguk perlahan. Tidak menyangka yang keluarga Firash mempunyai banyak kebun durian. Memang tak termakan lah jawabnya kalau duduk sini.

Terpandangkan buah durian yang tidak jauh dari situ, Syaf mula melajukan langkah. Agak teruja dalam sesi pungut memungut durian itu. Tanpa sedar ada sesuatu yang melekat di kakinya yang berselipar itu. Dia memandang ke bawah apabila terasa kulit kakinya itu terasa sedikit geli. Terbuntang matanya apabila melihat dua ekor haiwan kecil yang melekap erat di situ.

“Aaaaa!!” Jerit Syaf kuat. Haqimy serta Imah yang sedang memungut durian tidak jauh dari situ cepat-cepat menghalakan pandangan ke arah Syaf yang sudah terlompat-lompat di situ. Cepat-cepat Haqimy pergi mendapatkan gadis itu yang sudah tidak keruan lagaknya.

“Syaf, kenapa ni?” Soal Haqimy prihatin. Syaf yang hampir-hampir mengalirkan air mata itu cepat-cepat memeluk tubuh Haqimy erat.
Terkedu Haqimy di situ apabila terasa tubuhnya dipeluk kuat. Berdegup keras jantungnya bila tubuhnya itu dipeluk.

Imah pula tergesa-gesa berlari ke arah Syaf yang sedang menjerit sakan itu. Terpandangkan abangnya yang sedang dipeluk oleh Syaf membuatkan dahinya berkerut. Kenapa pulak ni?

Pandangannya jatuh pada kaki Syaf yang kadang-kadang seperti menghentak-hentak itu. Pacat! Ingatkan apalah tadi!

FIRASH MEMARKIRKAN motor EX-5 itu di sebelah skuter Imah yang berada di tepi semak. Seketika dia menjeling sekilas ke arah motor milik Haqimy. Dia mendengus kasar dan berjalan laju masuk ke kebun.
Suasana kebun yang sedikit sunyi membuatkan dirinya sedikit hairan. Kenapa tak nampak pun dengan mereka bertiga? Mungkin dah masuk ke tengah kebun sedikit kut? Firash cuba menenteramkan hatinya yang mula berkocak.

Baru saja beberapa tapak melangkah, dia menemui dengan dua longgokan durian yang telah dikumpulkan di satu tempat. Tak sangka banyak juga yang luruh kali ini, detik hatinya sepintas lalu.

Tiba-tiba kedengaran bunyi jeritan seseorang. Firash yang sedikit terkejut tu laju saja berlari-lari anak menuju ke arah suara yang menjerit tadi. Dia mendapati sesusuk tubuh sedang memeluk seseorang dan hatinya tiba-tiba terasa berderau.

“Kak Syaf, Imah dah buang pun pacat tu. Tengok dah tak ada dah.” Tutur Imah apabila melihat Syaf yang sudah mengalirkan air mata. Tangannya masih memeluk erat tubuh Haqimi tanpa dia sedar.

“Syaf, dahlah tu.” Pujuk Haqimy. Dia sedikit teragak-agak untuk menegur Syaf yang sedang memeluk tubuhnya. Terasa hangat pelukan gadis itu di tubuhnya namun dibuang jauh-jauh perasaan indah itu. Dia tahu yang Syaf sedang ketakutan. Bukan dia tak nampak Syaf menjerit kuat apabila dua ekor pacat itu melekat di kakinya. Terasa tubuh gadis itu sedikit menggigil dalam pelukannya.

“Ehem.” Firash berdeham apabila merasakan terlalu lama dia menjadi penonton setia drama dua babak itu di hadapannya. Hatinya yang dari tadi tidak senang itu mula menggelegak apabila melihat adegan sebabak itu terpamer di depan matanya. Syaf yang masih memejamkan mata itu laju saja mencelikkan mata apabila terdengar bunyi suara yang dikenali. Jantungnya yang sedang berdegup kencang itu terasa seakan berhenti berfungsi apabila wajah tegang Firash menyapu halaman matanya. Serentak itu tangannya yang memeluk tubuh Haqimi dilepaskan.

“Abang Firash.” Sapa Imah perlahan. Bibirnya menyimpulkan senyum tanpa perisa. Agak sedikit terkejut dengan kehadiran Firash yang tiba-tiba saja di sini. Manakala Haqimy pula cuba memperlihatkan wajah selamba seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Kenapa ni?” Soal Firash dengan nada cuba dikawalkan. Matanya masih tak lepas memandang wajah Syaf yang sedang mengesat air mata dengan hujung lengan bajunya.

“Kena gigit pacat.” Haqimy menjawab. Dia mengerling seketika pada Syaf. Suasana yang ceria tadi telah bertukar keadaan. Menjadi tegang.

“Kena pacat pun dah kecoh satu kebun?” Sindir Firash pada Syaf. Syaf mengetap bibir. Dia bukan kecoh tapi dia memang tak pernah kena pacat. Apabila pacat itu melekat kuat di kakinya tadi dia sudah hendak menangis. Rasa geli tak payah cakap lah, memang geli pun.

“Apalah abang Firash ni, kesian kak Syaf.” Balas Imah. Dia merapati Syaf yang sedang berdiri itu.

“Jom kita balik kak Syaf. Kena letak minyak gamat tu kat kaki bagi darah berhenti.” Imah menunjukkan ke arah kaki Syaf yang sudah mengalirkan darah. Dan Syaf hanya mengangguk setuju dengan kata-kata Imah itu.

“Kita orang balik dulu lah abang Qimy, abang Firash. Nanti jangan lupa hantar durian tu kat rumah Tok Wan.” Pesan Imah seraya menarik lengan Syaf namun Firash terlebih dahulu menyentap tangan gadis itu. Imah dengan Syaf masing-masing dah terkejut di situ. Haqimy pula sudah hampir membulatkan mata dengan kelakuan Firash yang baginya agak keterlaluan itu.

“Aku bawak kau balik je.” Putus Firash tiba-tiba. Syaf dah mula rasa serba-salah. Dia memandang ke arah Imah dan Haqimy silih berganti. Kemudian memandang lengannya yang telah telah dipegang oleh Firash.

“Eh tak pe lah abang Firash. Kak Syaf kan datang dengan Imah tadi, biarlah kak Syaf balik dengan Imah.” Celah Imah seakan menenangkan suasana. Haqimy yang mula merapati mereka bertiga tu mula memandang ke arah Syaf yang sudah serba-salah.

“Aku rasa better Syaf balik dengan Imah. Nanti apa pulak kata orang kampung kalau nampak Syaf naik motor dengan lelaki. Kan tak elok tu.” Haqimy pula cuba mencelah. Baginya tak elok jika perempuan yang belum berkahwin membonceng motor bersama lelaki yang bukan muhrim.

“Aku dengan dia kan duduk serumah. Baik aku bawak balik je dia. Lagipun mama aku suruh panggil balik tadi.” Firash memberi alasan. Syaf mula mengerutkan kening. Betul ke mama panggil balik?

“Dahlah, ikut je aku balik.” Balas Firash sedikit tegas. Matanya mencerun memandang ke arah gadis itu seolah-olah memberikan isyarat supaya pulang saja dengan dia. Syaf menelan liur sesaat sebelum memandang Haqimy seketika sebelum terdengar bisikan perlahan dari Firash.

“Baik kau ikut aku balik sebelum aku naik angin kat sini.” Firash menuturkan perlahan namun masih didengari oleh gadis itu. Syaf mula menelan liur.

“Qimy, Imah…Aku balik dengan Firash aje lah. Lagipun kita orang kan satu rumah.” Balas Syaf sebelum mengekori Firash yang sudah menapak ke motornya. Haqimy memandang gadis itu dengan rasa tidak puas hati. Kenapa aku tengok Syaf macam takut je dengan Firash? Dia orang ada apa-apa ke?

SYAF SEDIKIT teragak-agak untuk membonceng motor Firash itu. Namun apabila melihat jelingan dari lelaki itu membuatkan hatinya terasa kecut. Dia yang belum pernah membonceng dengan lelaki itu agak terasa kekok. Namun digagahkan juga kakinya untuk melangkah naik apabila mendapati lelaki itu mula menjeling tajam ke arahnya.

“Kalau kau takut, boleh peluk je pinggang aku.” Tutur Firash tanpa nada seraya menghidupkan enjin motorsikalnya. Syaf hanya mengagguk perlahan walau anggukan dia itu tidak dapat dilihat oleh Firash. Seketika kemudian, motorsikal itu digerakkan perlahan-lahan keluar dari jalan kecil yang yang hanya memuatkan sebuah kenderaan itu.
Firash hanya diam membisu tanpa kata semasa motorsikal itu dipandunya menuju ke arah satu tempat yang tidak diketahui. Sungguh, hatinya masih lagi sakit dengan drama sebabak itu tadi. Kalau takut dengan sesuatu memang kena peluk orang ke? Soalnya di dalam hati. Dia mendengus kasar sebelum kelajuan motorsikal itu ditambah.

Syaf yang hanya diam tidak berkutik itu tiba-tiba saja tersentak apabila terasa kelajuan motorsikal itu ditambah secara tiba-tiba. Dan kala itu juga, tangannya terpeluk pinggang Firash. Matanya dipejam rapat seolah-olah tidak percaya dengan apa yang sedang dilakukannya itu.

Firash hampir-hampir mengukir senyum apabila tangan Syaf memeluk pinggangnya namun senyum itu mati tatkala terasa pelukan itu dilepaskan. Entah kenapa hatinya yang baru saja mulai sejuk itu kembali panas. Ah! Sakitnya hati!

Tak sampai sepuluh minit, dia memberhentikan motor di tempat yang agak jauh dari kebun itu tadi. Syaf yang tidak tahu menahu dirinya dibawa ke mana hanya memandang sekeliling dengan riak pelik serta sedikit berdebar. Takut-takut Firash cuba berbuat sesuatu padanya. Namun apabila terpandang satu sungai kecil yang sedang mengalir di hadapannya itu membuatkan debar itu mula menghilang. Dia nak bawak aku pergi dating ke kat sini? Soalnya dalam hati.

“Turun. Dah sampai.” Arah Firash setelah mematikan enjin motorsikal itu. Syaf yang masih terpinga-pinga itu perlahan-lahan cuba turun dari motorsikal itu dengan kaki yang masih lagi terasa pedih.

Syaf cuba berdiri dengan betul kakinya terasa sedikit kebas akibat gigitan pacat itu. Tatkala itulah matanya bertembung dengan mata Firash yang baru saja turun dari motorsikal itu. Sesaat mereka bersabung pandang sebelum Syaf mengalihkan matanya ke arah lain.

Terasa tidak sanggup untuk bertentang mata dengan lelaki itu sekarang.
Mata Firash sempat meneliti ke arah kaki Syaf yang masih lagi berdarah itu. Dia merengus kecil sebelum menarik tangan gadis itu ke arah sebuah batu yang tak jauh dari situ. Syaf yang tidak berkata apa-apa itu hanya akur.

“Duduk sini.” Arahnya pada sebuah batu yang agak besar berhampiran dengan sungai itu. Syaf langsung duduk. Dia melihat lelaki itu melangkah menuju ke arah semak yang tidak jauh dari situ.

Firash mengambil beberapa helai daun pokok senduduk yang masih muda dan belum berkembang itu lalu di bawa ke tepi sungai. Dicelup beberapa kali daun-daun itu sebelum dimasukkan ke dalam mulut untuk dikunyah. Syaf yang hanya memerhatikan semua itu mula membulatkan mata. Seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya ketika ini. Biar betul dia ni makan daun?

Berkerut-kerut dahi Firash yang sedang mengunyah daun itu. Syaf mula menelan liur. Apa kena dengan dia ni? Seketika kemudian Firash meludah daun yang dikunyah itu ke tapak tangannya. Dia memandang ke arah Syaf yang masih khusyuk memandangnya dengan tidak berkelip.

Firash berjalan merapati Syaf sebelum duduk mencangkung di depan gadis itu. Dengan bacaan Basmallah dia mengambil pucuk senduduk yang telah dikunyah itu sebelum diletakkan di kaki Syaf yang masih lagi ada darah itu. Syaf yang masih terkejut dengan perbuatan Firash itu hanya memandang semuanya sebelum dahinya berkerut-kerut menahan sedikit pedih yang mula menjalar.

“Duduk diam-diam kat situ, jangan bergerak.” Arah lelaki itu lagi sebelum dia kembali ke sungai untuk berkumur-kumur. Mungkin untuk menghilangkan rasa pahit yang terasa akibat mengunyah daun senduduk itu. Syaf hanya mengangguk seraya memandang kakinya yang sudah ditempek dengan benda hijau itu. Ada bermacam rasa yang ada. Sejuk, pedih dan sedikit geli apabila teringatkan air liur lelaki itu bercampur dengan daun-daun itu. Namun dia agak terharu dengan sikap lelaki itu yang mengambil berat akan dirinya. Pada mulanya dia amat bimbang dengan reaksi lelaki itu apabila terpandangnya yang sedang memeluk Haqimy. Sebenarnya dia tidak sengaja. Reaksi itu spontan apabila terpandang pacat yang sedang melekap kuat di kakinya itu.

“Thanks Firash.” Ucap Syaf perlahan-lahan apabila lelaki itu sudah medekatinya. Firash melabuhkan punggung di batu besar itu seraya memandang ke arah sungai yang mengalir.

“Hmm..” Lelaki itu hanya menggumam sebelum mengeluh panjang. Kemudian dia memandang ke arah Syaf yang kebetulan memandangnya. Mereka bersabung pandangan sebelum Syaf melarikan pandangannya ke arah lain.

“Pasal tadi tu, aku mintak maaf. Tak sengaja nak peluk Qimy.” Perlahan Syaf menutur. Bimbang juga jika lelaki itu mengamuk kat sini. Dahlah tempat ni sunyi. Orang pun tak ada. Hanya ada sebatang sungai kecil je yang sedang mengalir perlahan-lahan.

Firash memalingkan wajahnya supaya bertentangan dengan gadis itu.
Matanya tepat menikam mata Syaf sebelum merengus kecil.

“Kenapa kau tak cakap kat aku yang kau nak ke kebun?” Soal Firash tiba-tiba. Syaf mengigit bibir. Alamak! Nak jawab apa ni? Tadi pun dia hanya mengikuti saja ajakan Imah yang tiba-tiba saja datang. Tak teringat pula untuk memberitahu lelaki itu lagi pula Firash hilang entah ke mana sejak pagi lagi.

“Err…Aku lupa.” Balas Syaf lambat-lambat. Firash merenung lama ke arah gadis itu sehingga Syaf mula rasa tak selesa.

“Aku tak suka kau pergi mana-mana tak bagitahu aku.” Balas Firash laju sebelum berdiri. Dia mengeluh kecil sebelum melangkah menuju ke motorsikalnya.

“KENAPA BALIK dengan Firash pulak?” Tegur Tok Wan apabila melihat Syaf yang berjalan perlahan-lahan turun dari motorsikal dengan Firash itu. Firash pula hanya diam sahaja. Dia terus menaiki tangga lalu masuk ke dalam rumah.

“Kena gigit pacat.” Balas Syaf setelah menaiki tangga. Dia menghampiri tok wan sebelum melabuhkan punggung di situ. seketika Syaf membelek kakinya yang sudah kering darahnya selepas ditampal dengan benda hijau tadi. Hanya kesan gigitan itu saja yang masih ada.

“Laa…Ambil minyak gamat atas para tu. Letak kat tempat luka tu.” Ujar tok wan laju. Dia menuding jari ke atas para dinding yang ada di situ. Kelihatan dua botol minyak gamat yang ada kat situ.

“Tapi tadi Firash dah letak daun apa entah kat kaki Qira.” Balas Syaf pula. Tok Wan berkerut kening. Daun apa pulak tu?

“Daun apa?”

“Entahlah Tok Wan. Firash ambil tepi semak tadi. Dia kunyah dulu daun tu sebelum letak kat tempat luka.” Terang Syaf satu-persatu akan perbuatan lelaki itu tadi.

“Oh. Daun pokok senduduk tu. Daun tu memang boleh hentikan darah. Nak hilangkan parut pun boleh jugak.” Tok Wan mengangguk perlahan. Seketika dia memandang ke arah kaki Syaf itu. Walaupun matanya mulai kabur namun kesan gigitan itu tetap kelihatan.

“Berapa ekor kena tadi?” Soal Tok Wan lagi.

“Dua ekor je.” Balas Syaf tersenyum tawar. Malu pula apabila diingatkan kejadian tadi. Beria-ia dia menangis sambil terpeluk Haqimy lagi. Naum apabila teringatkan Firash yang melihatnya berpeluk dengan Haqimy itu membuatkan dirinya tetap rasa bersalah.

“Kat kebun tu memang banyak pacat, apatah lagi kalau hari hujan.” Balas Tok Wan yang ralit memandang kaki Syaf itu. Terlintas sesuatu di fikirannya akan gadis itu.

“AKU NAK tanya sikit ni. Kau ambil kat mana budak Qira tu?” Soal Tok Wan pada Datin Farizah yang tengah melipat kain di ruang tamu. Datin Farizah mendongak memandang ibunya itu. Seperti sedang menyiasat sesuatu.

“Kenapa mak? Ada benda yang tak kena ke dengan Syaf tu?” Datin Farizah kembali menyoal dengan kerutan di dahi. Seingatnya sejak balik ke kampung, tak ada pun gadis itu membuat masalah. Banyak menolong ibunya lagi adalah.

“Kalau tak silap pandangan mata tua aku ni, aku rasa yang dia tu bukan anak dara lagi kan?” Tersentak Datin Farizah mendengar kata-kata dari ibunya itu. Baju yang hendak dilipat akhirnya diletakkan kembali ke riba. Dia mengeluh perlahan dan merapati sedikit kedudukannya.

“Sebenarnya dia dah kahwin.” Dan kala itu ibunya pula terkejut. Matanya tajam memerhatikan Datin Farizah.

“Dah kahwin? Siapa suami dia? Kau bawak isteri orang balik tanpa pengetahuan suaminya ke? Berdosa tu Zah.” Laju sahaja ibu Datin Farizah membebel. Datin Farizah tersenyum kecil melihat gelagat ibunya itu.

“Tak ada berdosanya mak. Suami dia ada je kat sini.” Balas Puan Farizah tenang. Mungkin sudah tiba masanya untuk menceritakan hal yang sebenar kepada ibunya. Sekurang-kurangnya ibunya itu tidak terlalu terkejut jika dapat tahu hal ini dari orang lain.

“Apa maksud kamu ni Zah? Mak kurang faham.” Sambung ibu Datin Farizah berkerut dahi. Makin berlapis-lapis dahinya memikirkan kata-kata anaknya itu.

“Firash dengan Syaf. Dia orang sebenarnya dah kahwin pun.”

“Ha? Fi..Firash tu dah kahwin dengan budak Qira tu. Masya Allah! Patutlah aku tengok si Qira tu pernah masuk bilik Firash. Tapi bila masa dia orang kahwin? Ada apa yang aku tak tahu ke ni?” Soalnya lagi.

“Sebenarnya dah hampir dua bulan lebih dia orang berdua berkahwin. Sebelum arwah Farish meninggal lagi.” Datin Farizah tenang menjawab.

“Kena tangkap basah ke Zah oi? Ya Allah budak berdua ni.” Tok Wan sudah menggeleng-gelengkan seolah-olah tidak percaya dengan apa yang diperkatakannya.

“Taklah mak. Bukan tangkap basah. Saya yang suruh dia orang berkahwin.” Sambung Datin Farizah lagi. Ibunya itu masih merenungnya dengan pandangan penuh tanda tanya.

“Kenapa pulak suruh dia orang berkahwin? Bukannya Firash tu tak habis belajar lagi ke? Dan si Qira tu bukannya dah kerja kan?”

“Memanglah Firash tu tak habis lagi belajar tapi dia orang memang patut berkahwin.”

“Maksud kamu?”

“Si Firash tu tak sengaja tertidur dengan Syaf masa dia orang pergi majlis hari jadi kawannya. Entahlah Zah pun tak tahu sangat cerita sebenar. Yang pasti memang perkara tu berlaku. Dan saya rasa perkara terbaik adalah menyuruh mereka berkahwin aje.” Tok Wan sudah hampir terlopong. Dia mengurut dadanya dengan tangan. Nasiblah dia tiada penyakit jantung. Kalau tak, memang nahas lah kerana terkejut.

“Ni lah masalah budak-budak sekarang. Tahu nak enjoy je. Habis tu si Qira tu tak mengandung ke?”

“Tak mengandung sebab baru beberapa hari lepas mereka berdua pergi check kat klinik.”

“Hmm, mak rasa ada baiknya juga kalau budak Qira tu tak mengandung. Nanti susah pulak anak dia orang nanti. Apa pun mak harap kamu kenalah nasihatkan mereka. Jangan sampai bercerai-berai pulak tu.”

“Yelah mak. Tahulah Zah nak buat macam mana nanti.”

Dan malam itu berbakul-bakul nasihat yang Tok wan sampaikan kepada Datin Farizah akan hal ini. Dia tidak marah cuma agak terkilan sedikit setelah mengetahui apa yang dah terjadi. Namun dia tidak menyalahkan sesiapa. Andai itu sudah takdir buat mereka berdua, kenalah terima dengan redha.

SYAF MENGGARU-GARU kepalanya yang tidak gatal. Entah kenapa hatinya masih tidak tenang dengan kejadian siang tadi. Sekarang dia hanya memandang ke siling dengan mata terkelip-kelip. Rasa macam mengantuk tapi bila letak kepala kat bantal rasa mengantuk tu terus hilang. Puas dia cuba untuk melelapkan mata. Rasanya sudah habis binatang serta bermacam-macam lagi benda dia kira tapi matanya masih lagi keras tak nak layu-layu. Mengada-ngada sungguh!

Seketika keluhan kecil dilepaskan. Dari baring dia duduk bersila di katil. Kemudiannya bangun untuk memerhatikan wajahnya di cermin solek serta membetulkan rambutnya yang mula kusut. Arghh! Rasa nak menjerit aje kuat-kuat sebab dah bosan dengan keadaannya itu.

Hatinya mula berfikir bukan-bukan. Adakah kerana terlalu memikirkan perkara siang tadi membuatkan hatinya menjadi runsing sebegitu? Mungkin dia perlu cuba sekali lagi untuk meminta maaf dari lelaki itu barulah semuanya akan kembali okay dan dia akan dapat tidur lena? Aduh..Kusutnya kepala!

Teringatkan keadaan lelaki itu semasa makan malam tadi hatinya memang agak dilanda perasaan bersalah yang tak berpenghujung. Kebiasaan lelaki itu akan berselera saja di meja makan namun tadi satu senduk nasi pun tidak dapat dihabiskan. Dan dia ketika itu hanya mampu memandang apabila Tok Wan menegur.

Dia akui yang dia agak tersentuh dengan kelakuan lelaki itu. Walaupun lelaki itu kelihatan amat marah dengan kejadian petang tadi, namun sifat mengambil berat dari lelaki itu seolah-olah tidak pernah kurang. Dan dia pula yang terasa amat bersalah.

Mungkin aku perlu buat sesuatu untuk mintak maaf, bisik hatinya seraya bangun dari kerusi meja solek itu. Jam kecil di meja solek itu dipandang, baru saja menjengah pukul 11 malam. Mungkin dia belum tidur lagi kut. Seingatnya lelaki itu jarang tidur awal kalau di rumah mereka di bandar dulu.

Dengan langkah perlahan dia bergerak melepasi pintu biliknya untuk ke dapur. Air panas yang berada di dalam termos itu dituang ke dalam satu mug sederhana besar. Satu sudu milo serta dua sudu gula dituang. Siap. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyum sendiri. Hai Syaf, tak pernah-pernah pun selama ni kau buatkan dia minuman, hatinya menegur. Hmm, tak apalah. Bukan selalu aku buat macam ni, bisik hatinya lagi cuba memberi semangat.

Langkah diatur penuh cermat sambil menatang dulang kecil yang berisi secawan mug yang berasap tipis menuju ke bilik Firash yang bersetentang dengan biliknya. Dia sempat memerhatikan sekeliling. Suasana sudah mulai sepi sejak pukul 10 malam tadi selepas mendengar Tok Wan dan mamanya mula masuk tidur. Dengan menarik nafas panjang dan bacaan Basmalah, pintu bilik Firash yang bertutup rapat itu ditolak perlahan.

Firash yang sedang berdiri merenung ke arah jendela yang terbuka itu sedikit terkejut apabila terdengar pintu biliknya ditolak perlahan dari luar. Kelihatan Syaf sedang menatang sesuatu di tangan kanannya sebelum gadis itu menutup pintu biliknya rapat-rapat. Kening sedikit dijongketkan tanda tidak faham dengan apa yang sedang berlaku.

Syaf memandang Firash dengan cuba mempamerkan senyum ikhlas walau dia langsung tidak tahu macam mana rupanya kalau dia senyum begitu. Namun reaksi dari Firash itu seolah-olah beku sahaja membuat hatinya gusar.

“Erm..Aku dah agak kau tak boleh tidur lagi sebab tu aku bawakan kau air.” Lembut suara Syaf menuturkan seraya meletakkan dulang kecil yang berisi satu mug milo panas itu di atas meja solek.

Firash masih lagi merenung Syaf dengan pandangan pelik. Tak pernah-pernah lagi gadis itu membawanya minuman untuk dia selama ini. Adakah kerana hal tadi? Cuba membeli jiwanya dengan cara ini? Soalnya dalam hati.

Syaf masih lagi setia menunggu Firash berbicara. Namun lelaki itu hanya diam membisu. Seolah-olah kelibatnya di dalam bilik itu langsung tidak dihiraukan. Dia mengeluh kecil dan cuba melangkah merapati lelaki itu

“Kalau kau marah aku lagi pasal perkara petang tadi, aku mintak maaf sangat-sangat pasal tu. Aku janji yang aku takkan buat lagi.” Senafas Syaf menuturkan. Sebaris ayat yang sudah dihafalnya sejak dari dalam biliknya tadi.

“Memang aku marah.” Pendek Firash menjawab. Matanya merenung tepat ke arah wajah gadis yang duduk berhadapan dengannya. Terpamer riak bersalah di wajah gadis itu.

Syaf menggigit bibirnya. Marah lagi ke? Marah sampai sanggup mogok makan tadi. Kalau kena gastrik kan susah.

“Err..Habis tu kau nak suruh aku buat apa?” Soal Syaf sedikit tergagap. Sungguh kali ini dia redha jika lelaki itu menyuruh dia buat apa saja jika itu adalah satu cara yang boleh dia menuntut kemaafan. Baginya selagi lelaki itu tidak memaafkannya, selagi itu hatinya tak tenang. Buat kerja pun serba-serbi tak kena. Nak tidur pun tak boleh.
Masing-masing diam seketika. Syaf masih lagi menunggu. Namun Firash hanya diam saja. Langsung tiada langkah untuk bersuara atau berbuat apa-apa. Syaf mula pelik kerana sikap Firash pada ketika itu seperti bukan dirinya yang biasa.

“Tak apa lah kalau kau tak nak maafkan aku, aku keluar dulu lah. Selamat malam.” Putus Syaf selepas lama menunggu di situ. Dah rasa macam patung aje bila hanya tegak berdiri. Dah orang tak sudi nak maafkan, nak buat macam mana. Dia memusing tubuhnya dari berhadapan dengan Firash. Ingin berlalu menuju ke biliknya namun saat itu lah terasa lengannya dipegang.

“Takkan dah mengalah kut?” Soal Firash tiba-tiba. Syaf kembali memandang tepat pada Firash. Lelaki itu kelihatan mengangkatkan sedikit keningnya. Dia memandang lengannya yang sudah dipegang oleh Firash.

“Dah kau tak nak maafkan aku, aku keluar aje lah. Aku pun dah tak tahu nak buat apa lagi.” Jujur Syaf menjawab. Tiba-tiba terasa lengannya itu ditarik perlahan sehingga kedudukan mereka kembali rapat. Tanpa sedar sebelah tangan lelaki itu sudah memaut pinggangnya dengan perlahan. Membulat matanya apabila lelaki itu menolak tubuhnya rapat ke dinding. Kedua-dua tangan lelaki itu sudah mula mengepung tubuhnya ketika itu sehingga dia tiada lagi ruang untuk bergerak. Syaf dah menelan liur berkali-kali.

“Aku nak tengok aje sejauh mana kau nak pujuk aku.” Bisik Firash perlahan hampir-hampir ke telinga Syaf. Tangannya cuba menolak rambut Syaf yang sedikit menutup pipi gadis itu.

Syaf dah mula rasa dahinya berpeluh. Jantung pula dah rasa macam nak melompat keluar dari dada. Tangannya yang bebas itu cuba untuk menolak dada Firash namun apalah sangat tolakannya itu. Kedudukan lelaki itu langsung tak berganjak, malah makin rapat lagi adalah.

“Err..Kau nak buat apa ni?” Soal Syaf dengan nada tersekat-sekat. Matanya tak lepas memandang setiap gerakan yang terjadi dari lelaki itu seakan langkah untuk berjaga-jaga. Kedua-dua tangannya sudah bersiap sedia jika lelaki itu cuba membuat bukan-bukan padanya.

Firash tersenyum sinis. “Tadi kau jugak kata yang kau sanggup buat apa saja kan? So kenapa takut pulak?” Soal Firash dengan senyum yang mula terukir di bibir. Sebenarnya hatinya dah sedikit terusik dengan perbuatan gadis itu yang siap datang membawakannya air untuknya tapi dia sengaja nak menduga sejauh mana gadis itu cuba memujuknya.

Syaf dah rasa nak ketuk kepala dekat dinding. Rasa macam nak menampar mulutnya laju-laju pun ada. Macam manalah dia boleh cakap macam tu tadi kat Firash. Bukannya dia tak tahu yang lelaki itu macam mana. Susah untuk dijangka! Dan kali ini dia rasa macam dah masuk ke mulut buaya.

“Aku..Err..”

“Tak payah nak takut pun, kita kan dah halal.” Balas Firash perlahan dengan nada suara menggoda seraya mengenyitkan mata. Jarinya dah mula mengusap perlahan pipi gebu gadis itu. Kala itu Syaf memejamkan matanya. Menahan debaran jantung yang makin menggila.

“K-kau…”

Titt! Titt!

Bunyi I-Phone milik Firash di atas katil itu menghentikan segala-galanya. Firash merengus kecil seraya menjatuhkan tangan dari pipi gadis itu. Syaf mengeluh panjang sambil tangannya mengurut dadanya yang masih berombak kencang. Gila betul Firash! Nasib tak luruh jantung aku tadi!

Dia hanya memandang sekilas saat lelaki itu sudah berjalan menuju ke katil untuk mengambil telefon bimbitnya. Cepat-cepat kakinya melangkah keluar dari bilik itu. Dah tak sanggup dah berlama-lama lagi.

p/s : thanks sudi bace…part Puan –> Datin tu dh bertukar…thanks again pd yg sudi tegur :)




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

171 ulasan untuk “Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia! 17”
  1. sebenarnya saya isteri dia says:

    klu ade rezeki je

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"