Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia! 18, 19, 20

31 December 2011  
Kategori: Novel

104,746 bacaan 112 ulasan

Oleh : Addy Rifqhiey

BAB 18

“ASSALAMUALAIKUM.” Salam diberi dari perkarangan halaman rumah. Syaf yang tengah menyapu di beranda itu berpaling. Emak saudara Firash merangkap ibu kepada Imah dan Haqimy datang menjenguk. Syaf melemparkan senyuman manis lalu melangkah turun ke anak tangga.

“Waalaikumussalam…Erm, Mak Long masuklah.”Pelawa Syaf sopan. Mak Long Inah melangkah naik ke tangga setelah bersalam dengan Syaf. Matanya diliarkan sekeliling seolah-olah mencari sesuatu.

“Yelah, mana Imah ni? Kata tadi nak datang sini.” Rungut Mak Long Inah seraya melabuhkan punggung di kerusi rotan. Dipandangnya wajah Syaf yang duduk di sebelahnya.

“Oh. Tadi memang ada dia datang tapi katanya nak pergi kedai pulak. Nak beli suratkhabar.” Jawab Syaf.

“Budak tu memang tak pernah duduk diam. Ada saja kerjanya. Eh mana Tok Wan dengan mama kamu?” Soal Mak Long Inah lagi.

“Ha…Ada…Nanti Syaf panggil dia orang datang sini. Tadi ada kat dapur tu.” Beritahu Syaf seraya berdiri. Dia melangkah menuju ke dapur. Seketika kemudian, dilihatnya Tok Wan sedang berbual dengan Datin Farizah sambil membersihkan bekas-bekas yang digunakan untuk raya tiga hari lepas.

“Mama, Tok Wan…Erm, Mak Long Inah datang.” Tutur Syaf. Dia bergerak ke singki untuk mengambil cerek.

“Ha, yelah. Jangan lupa buat air nanti.” Pesan Datin Farizah seraya menapak dari dapur. Diekori Tok Wan dari belakang. Syaf pula sedang memenuhkan cerek dengan air sebelum dijerang atas dapur.

“HA, DAH lama sampai?” Tegur Tok Wan pada Mak Long Inah. Dia melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan dengan Mak Long Inah sementara Datin Farizah duduk di atas kerusi sofa lama itu.

“Baru aje lagi mak. Datang jenguk Imah lepas tu datang jenguk kamu jugak Zah. Kata dah nak balik esok ye?” Soal Mak Long Inah pada adiknya itu.

“Kena baliklah esok sebab Syaf cuti sampai esok aje. Lusa dah kena masuk kerja.” Bagitahu Datin Farizah.

“Oh macam tu. Orang dah bekerja susahlah nak cuti lama-lama. Macam si Qimy jugaklah. Pagi tadi dah pun bertolak ke Kerteh.” Balas Mak Long Inah. Sementara Tok Wan hanya mendengar saja perbualan dua beradik tu. Nak menyampuk dia tak tahu sebab dia tak tahu sangat pasal kerja cucunya itu.

“Tu lah pasal. Syaf tu dikira bersyukurlah dapat cuti seminggu. Tahun lepas tiga hari aje dapat cuti.” Sambung Datin Farizah lagi. Masih teringat kata-kata Syaf tahun lepas. Sayu hatinya sebab tak dapat ajak Syaf balik kampung. Nasiblah hari pertama beraya, dia beraya di rumah sana.

“Hmm…Aku tengok Syaf tu macam budak baik aje. Macam berkenan pulak.” Tutur Mak Long Inah. Datin Farizah sudah terkejut manakala Tok Wan terbatuk-batuk. Dia mengurut dadanya dengan tangan.

“Ha…Err, memang baik pun. Masa saya sakit dulu, dialah siang malam jaga.” Sambung Datin Farizah lagi dengan sedikit teragak-agak. Masakan dia lupa Syaf yang sanggup menjaganya siang malam ketika dia sakit kerana kehilangan arwah Farish dulu. Hampir-hampir saja dia mengalami kemurungan disebabkan hal itu. Nasib baiklah Syaf sudi menemaninya.

“Aku rasa nak rapatkan dia orang dengan si Qimi tu lah. Kau rasa boleh tak?” Soal Mak Long Inah lagi. Datin Farizah sudah telan liur manakala Tok Wan hanya membisu. Syaf yang tengah mendengar dari ruang tamu itu berhenti melangkah. Hampir saja jatuh dulang yang berisi minuman itu.

“JEMPUTLAH minum Mak Long.” Syaf menghulurkan cawan yang berisi teh panas itu kepada Mak Long Inah. Tidak lupa juga dihulurkan pada Tok Wan dan Datin Farizah yang sedang memandang segala gerak-gerinya.

“Sedap air ni. Pandai Syaf buat.” Puji Mak Long Inah. Tidak berkelip matanya memandang Syaf yang ayu berkain batik itu. Sudah jarang sekali gadis-gadis muda berkain batik. Berkenan sungguh hatinya untuk membuat calon menantu.

“Air bujang aje Mak Long.” Balas Syaf lembut. Dia melabuhkan punggung di atas tikar mengkuang yang dihampar itu.

“Yelah. Esok dah nak balik ke?” Soal Mak Long Inah dengan penuh minat.
“Ha’ah. Esok kena balik sebab lusa dah mula kerja.” Balas Syaf lagi. Pandangan Mak Long Inah itu begitu mendebarkan hatinya. Dia memandang ke arah Datin Farizah dan Tok Wan yang hanya membisu tanpa kata.

Seketika kemudian, perbualan mereka diganggu oleh bunyi bingit enjin motor. Kelihatan Firash baru saja balik entah dari mana. Di dalam raga motornya itu ada sebuah guni yang berikat.

“Penatnya.” Rungut Firash lalu meletakkan guni di anak tangga. Dia mengelap peluh di dahi dengan tangan.

“Kamu pergi mana tadi?” Soal Tok Wan. Firash berpaling dan memandang satu persatu wajah yang sedang memandangnya.

“Pergi panjat pokok rambutan, lagipun esok dah nak balik.” Balas Firash. Matanya terhenti pada wajah Mak Long Inah. Kenapa tiba-tiba dia datang ni? Biasa jarang nak jenguk Tok Wan walau duduk pun satu kampung saja.

“Oh baguslah tu. Tak ada orang nak perabis jugak rambutan tu semua.” Balas Tok Wan lagi.

“Tu lah pasal.” Balas Firash seraya bersandar di pemegang tangga. Penat dirasakan akibat memanjat tadi. Kalau diikutkan hatinya, mahu saja dipetik semua buah yang ada. Tapi tak muat pulak nak isi kat bonet kereta esok.

“Syaf dah ada teman lelaki?” Soal Mak Long Inah tiba-tiba. Syaf sudah tersentak. Dipandangnya wajah Datin Farizah dan Firash yang sedang merenungnya silih berganti.

“Err…”Syaf sudah kehilangan kata-kata. Manakala ekor matanya menangkap kelibat Firash yang tiba-tiba saja berdiri.

“Nak ke mana tu?” Soal Mak Long Inah pada Firash yang dah bergerak masuk ke dalam rumah.

“Mandi. Panas.” Balas Firash tanpa nada sebelum melajukan kaki ke dalam rumah. Tok Wan sudah tersenyum kecil sambil menggeleng-gelengkan kepala. Panas hati lah tu!

BEG-BEG pakaian sudah penuh terisi di dalam bonet kereta. Pelbagai sayur kampung juga telah terisi. Ada pisang beberapa ikat, beberapa biji buah nenas dan timun serta lada besar yang diambil dari kebun kecil milik Tok Wan. Syaf duduk di atas pangkin di bawah pokok jambu dengan Imah. Hanya Firash sahaja mengangkut barang ke dalam kereta.

“Bila pulak Kak Syaf nak balik sini?” Soal Imah pada Syaf yang ralit memerhatikan Firash mengangku barang ke kereta. Kelihatan peluh terpecik di dahi dan di belakang tshirt berkolar yang dipakai.

“Ha? Erm…Tak tahulah lagi bila Imah. Tapi kalau ada kesempatan memang akak nak datang sini lagi.” Balas Syaf. Walaupun hanya seminggu dia berada di sini, dia telah mula menyayangi gadis muda yang baru habis sekolah itu. Sudah dianggapnya sebagai adik sendiri.

“Lambat lagi lah macam tu. Nak-nak nanti bila Kak Syaf balik, Imah dah tak ada sebab dapat sambung belajar.” Balas Imah perlahan. Terasa sedikit sedih pula hendak berpisah dengan Syaf. Dia mula menganggap gadis itu seperti kakaknya sendiri lantaran dia tidak mempunyai adik beradik kandung perempuan.

“Jangan sedihlah. Ada cuti nanti Kak Syaf balik lagi. Lagipun kan dah janji tahun depan kalau musim durian kita nak makan sama-sama.” Ujar Syaf sambil tersenyum. Dipegangnya tangan gadis itu seketika.

“Yelah. Janji tau. Kalau Imah dah dapat sambung belajar nanti, jangan lupa datang jenguk tau.” Syaf mengerut sedikit kening.

“Kat mana Imah nak sambung belajar ni?”

“Hmm…Imah ingat nak masuk universiti tapi mak suruh masuk maktab. Jadi Imah tunggu panggilan dari maktab aje lah.”

“Oh nanti Imah jadi bakal cikgu lah ni.” Syaf tersenyum dan Imah sedikit ketawa.

“Ha’ah lah. Jadi cikgu nanti dapat kahwin awal.” Balas Imah selamba.
Syaf sekali lagi mengerutkan sedikit kening. Tak faham dengan kata-kata Imah itu.

“Apa maksud Imah dapat kahwin awal?”

“Kak Syaf ni. Kan orang perempuan yang dah habis maktab kenalah cepat kahwin sebelum kena posting jauh. Tak sanggup Imah kena pergi Sabah Sarawak. Nanti setahun sekali pun belum tentu dapat balik.” Imah mencebik. Dan Syaf melepaskan ketawa sedikit kuat yang menyebabkan Firash berpaling memandangnya. Serta-merta ketawa itu diperlahankan.

“ADA MASA nanti jangan lupa datang sini lagi.” Pesan Tok Wan pada Syaf yang baru saja selesai bersalam dengannya. Dipeluk tubuh gadis itu erat seakan cucunya sendiri.

“InsyaAllah Tok Wan. Nanti ada cuti, Qira datang sini lagi.” Syaf berjanji dan dia dapat lihat mata Tok Wan sedikit merah.

“Yelah. Tok Wan akan tunggu Qira datang. Yang lain susah dah nak jenguk Tok Wan kat sini. Yelah, masing-masing pun duduk jauh. Kadang tu raya pun jarang balik.” Sambung Tok Wan lagi. Kini dia sudah mengesat air matanya dengan hujung baju kurung Kedah. Syaf pula sudah merasa sayu dengan kata-kata Tok Wan itu. Menusuk masuk ke dasar hatinya.

“Jangan sedih Tok Wan, nanti Qira datang lagi ye.” Sekali lagi tubuh Tok Wan itu diraih ke dalam pelukannya. Sudah terasa seperti memeluk darah daging sendiri walau Tok Wan itu hanyalah nenek kepadaa Firash.

“Qira, Tok Wan nak pesan ni. Jaga suami Qira tu baik-baik.” Pesanan Tok Wan yang terakhir tu membuatkan jantung Syaf hampir terhenti. Dia melepaskan pelukan dan memandang Tok Wan lama. Apa maksud kata-kata Tok Wan itu? TokWan dah tahu ke pasal ni?

“Err….”Syaf sudah kehilangan kata-kata untuk membalas. Apabila melihat anggukan dari Tok Wan itu, dia menjeling sekilas ke arah Firash yang sudah membuka pintu kereta.

“Jaga dia baik-baik.”Pesan Tok Wan lagi sambil menyimpul senyum. Dan akhirnya Syaf juga mengangguk perlahan. Mungkin orang tua seperti Tok Wan dapat kenal gerak geri mereka berdua.

“Balik dulu Tok Wan, Assalamualaikum.” Ujar Syaf dari pintu kereta. Datin Farizah sedang bersalam dengan ibunya.

“Balik dulu mak.”

“Yelah, hati-hati bawak kereta tu Firash.” Pesan Tok Wan pada Firash yang telah menghidupkan enjin keretanya. Firash mengangguk perlahan sebelum mengangkat sedikit tangannya. Seketika kereta Toyota Camry itu bergerak menuju ke jalan besar.

“Firash, Qira.” Tutur Tok Wan sambil tersenyum sebelum melangkah naik ke rumah.

BAB 19

SYAF RALIT memerhatikan Firash yang memandu di sebelah. Sekejap kereta mula ke kiri dan sekejap mula ke kanan. Dia perasan semua tu. Beberapa kali dia melihat Firash menahan menguap dengan tapak tangan.

“Kalau mengantuk, stoplah dulu tak pun tukar driver.” Cadang Syaf bila Firash dah mula menurunkan cermin tingkap kereta. Angin malam mula menerobos masuk. Mungkin dia sengaja buat macam tu untuk hilangkan mengantuk kut, fikir hati Syaf.

“Aku okay lagi.” Firash membalas. Kejap pegangannya pada stereng kereta. Puan Farizah memerhatikan dari belakang. Sudah masak benar dengan perangai anaknya yang sedikit keras kepala. Bukannya nak dengar cakap orang lain pun.

“Kereta depan tu!” Syaf sedikit menjerit apabila kereta Toyota Camry tu hampir saja melanggar dengan bontot kereta ProtonWaja di hadapan mereka. Rasa-rasanya kalau terleka tadi memang konfem berlanggar. Firash tersentak lalu sedikit kelajuan memperlahankan kereta. Syaf mengurut dada dengan tangan. Rasa macam nak terbang saja nyawanya tadi.

“Firash, bagi Syaf drive pulak. Nampak dah ngantuk sangat tu.” Tegur Datin Farizah dari belakang. Bukannya dia tak perasan dengan apa yang berlaku tadi. Dia hanya mampu menutup mata dan beristighfar panjang apabila terdengar jeritan Syaf.

“Ala ma, dah tak jauh dah.” Firash bagi alasan. Sebenarnya nak tunjuk depan Syaf yang tetap boleh memandu empat jam lebih tanpa henti. Takkan nak tunjuk lemah pulak kan? Jatuhlah egonya! Sudahlah masa balik kampung hari tu, mamanya yang ambil alih sebelum sempat sampai ke kampung. Tapi bukannya masa tu Syaf tengah sakit ke? Takkan aku nak biar dia macam tu pulak kan? Hatinya berperang dengan perasaan sendiri.

“Takde-takde. Bagi aje kat Syaf. Kamu tu baik tidur aje dulu.” Sambung Datin Farizah tegas. Kena suruh si Syaf ni drive jugak walau sekejap. Nanti tak pasal-pasal pulak semua yang dalam kereta ni menempah tiket percuma ke rumah bertiang dua.

“Tapi ma…” Firash sekali lagi cuba memberi alasan.

“Mama cakap, tukar-tukar aje lah.” Garang Datin Farizah bersuara.

“Yelah-yelah.” Firash dah mencebik. Dia menjeling tajam ke arah Syaf yang hanya membuat muka selamba. Dalam hati Syaf, dari tadi duduk menahan ketawa.

Firash memberi signal, lalu kereta berhenti ke bahu jalan. Mereka berdua beralih tempat duduk. Syaf pula yang memandu. Firash di sebelah sesekali menjeling ke arah Syaf. Seperti muka tak puas hati saja.

Seketika semuanya senyap membisu. Hanya bunyi lagu dari radio yang berkumandang. Syaf mengalih pandangan ke sebelah sekejap. Nampak Firash dah lena, siap terlentok lagi di sebelah cermin tingkap.

“Kata tak mengantuk tapi tengoklah tu, tak sampai setengah jam pun dah lena.” Rungut Datin Farizah dari belakang. Syaf hanya mengukir senyum sahaja. Biarlah dia lena, penat sangat agaknya tu.

AKHIRNYA KERETA Toyota Camry itu menjalar masuk ke dalam perkarangan halaman rumah banglo milik Datin Farizah. Syaf cepat-cepat keluar dari kereta untuk membuka pintu utama sebelum kembali ke kereta untuk mengambil barang. Firash yang masih lena itu dipandang seketika sebelum berlalu ke bonet belakang.

“Dah sampai ni.” Tegur Datin Farizah lalu menepuk bahu Firash. Lena betul dia tertidur sehingga kereta berhenti pun tak sedar.

“Bangunlah.” Datin Farizah menepuk sekali lagi bahu Firash. Barulah Firash menggosok-gosok mata dengan tangan. Matanya dicelik luas untuk memandang ke sekeliling. Dah sampai ke? Dia memerhatikan Syaf yang sudah masuk ke rumah dengan menolak bagasi beroda itu. Tak sangka pulak boleh tertidur tadi!

“Dah pergi angkat barang tu.” Pesan Datin Farizah sebelum keluar dari perut kereta. Firash membuka pintu kereta dan menggeliat malas. Dia membetulkan sedikit pinggang yang terasa sengal dan menuju ke belakang kereta

CUTI RAYA yang seminggu sudah pun berakhir. Masing-masing dah mula untuk bekerja. Manakala yang masih belajar pula sudah bersiap-sedia untuk menghadiri kelas yang tak pernah habis.

Syaf menapak turun dari tangga dan bergerak ke meja untuk sarapan. Dia melihat Firash ada di situ yang sedang menyapu roti dengan Nutella. Sementara, Datin Farizah pula sedang membawa seteko minuman ke meja.

“Syaf, dah nak gerak ke?” Soal Datin Farizah lalu melabuhkan punggung di kerusi. Matanya mengerling jam di dinding. Baru pukul 7.30 pagi. Awal lagi ni.

“Ha’ah ma. Kena gerak awal sikit. Takut jalan jammed.” Balas Syaf dan menarik kerusi. Mangkuk yang berisi nasi goreng itu ditarik ke hadapannya. Matanya mengerling seketika ke arah Firash yang sedang mengunyah roti.

“Yelah.” Datin Farizah menuang secawan teh o untuk Syaf. Secawan lagi dituang untuk Firash.

Satu senduk nasi goreng disenduk ke pinggannya. Dengan lafaz Basmallah, sesudu nasi disuap ke mulutnya. Syaf mengunyahnya dengan tenang. Sedapnya dapat makan nasi goreng pagi-pagi macam ni. Biasa kalau kat rumah sewa, tak berkesempatan nak makan macam ni. Roti atau sekeping biskut saja yang sempat dicapai sebelum pergi ke ofis.

“Firash ada kelas pagi ke? Biasa jarang bangun awal macam ni.” Soal Datin Farizah pada anaknya itu.

“Tak. Petang nanti ada satu.” Bersahaja dia menjawab. Mulutnya masih penuh dengan roti.

“Habis tu?”

“Lapar.” Syaf dah nak tergelak bila dengar jawapan dari Firash tu. Namun hanya disimpan dalam hati apabila Firash menjeling tajam. Kesian pulak bila dengar ada yang cakap lapar. Tu lah semalam sebelum bertolak dari rumah Tok Wan jual mahal sangat tak nak makan. Kan dah lapar! Syaf mengukir sedikit senyum apabila teringatkan Firash yang bermati-matian tak nak makan dulu sebelum mereka memulakan perjalanan.

“Ma, Syaf kena pergi dah ni.” Ucap Syaf seraya bangun dari kerusi. Bagpack yang ada di atas sofa ditarik dan dijinjit ke bahu. Fail yang satu lagi dibawa dengan tangan. Datin Farizah seraya melangkah ke luar bersama dengan Syaf.

“Hati-hati bawak kereta tu.” Pesan Datin Farizah.

“Yelah ma, Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Tangan Datin Farizah disalam dan pipinya dicium mesra.

Baru saja Syaf nak mengatur langkah ke pintu, isyarat mata dari Datin Farizah menghentikan semua pergerakannya itu. Lambat-lambat dia menghampiri Firash yang masih berada di meja makan.

“Err…”Syaf dah kehilangan kosa kata untuk bercakap dengan Firash. Sudahlah Datin Farizah masih memerhatikannya segala gerak gerinya ketika itu. Pipi dah mula rasa panas semacam.

Firash yang baru saja menghabiskan secawan teh itu berpaling apabila mendengar suara Syaf yang tiba-tiba menjengah ke telinganya. Dia lantas berdiri sambil memandang Syaf dengan riak wajah yang penuh dengan persoalan.

“Nak salam.” Syaf menutur laju seraya menarik tangan Firash untuk mengucupnya. Debaran di dada sudah tak terkata. Firash yang masih lagi terkejut dengan perbuatan Syaf itu kaku seketika sebelum melemparkan pandangan ke arah Datin Farizah yang berdiri tidak jauh dari mereka berdua. Oh patutlah tiba-tiba aje nak salam dengan aku! Selama ni tak pernah-pernah pun buat macam ni!

Segalanya pergerak seolah-olah berlaku dengan pantas. Namun tanpa dia sedar, bibirnya laju mengucup dahi Syaf yang baru saja berdiri itu. Syaf yang dah rasa pipinya panas sejak tadi mula dah rasa berbahang. Cepat-cepat dia segera beredar dari situ sebelum Firash sempat berkata apa-apa. Manakala Datin Farizah pula hanya tersenyum lebar melihat adegan mereka tadi.

Syaf memboloskan diri ke dalam kereta. Seketika enjin kereta cuba dihidupkan namun langsung tak berjaya. Syaf merengus kecil. Takkanlah baru seminggu enjin keretanya tak dihidupkan terus saja merajuk hari ni? Berkali-kali enjin cuba dihidupkan lagi namun semuanya tidak berhasil. Syaf mengetap bibir perlahan. Masa nak cepat ni lah pulak dia buat hal!

“Kenapa ni?” Soal Datin Farizah apabila melihat Syaf tiba-tiba berdiri di muka pintu. Tadi rasanya gadis itu dah masuk ke kereta.

“Enjin tak nak hiduplah ma.” Syaf membuang kasut dan menghenyakkan punggung ke sofa. Dia mengeluh perlahan. Takkan nak ponteng kerja pulak hari ni? Sudahlah banyak kerja yang kena siapkan ni. Dengan ada lawatan kat site lagi petang nanti.

“Kejap, mama suruh Firash hantarkan.” Datinn Farizah seraya menapak ke tangga.

“Ma, tak payahlah. Syaf boleh naik teksi aje.” Namun Datin Farizah tetap tidak mengendahkan bicaranya itu.

“FIRASH.” Datin Farizah menolak pintu bilik anaknya itu. Firash yang baru saja menarik laptopnya keluar dari beg memandang mamanya dengan penuh persoalan.

“Ada apa ma?” Soal Firash menjungkitkan kening. Butang on di laptop ditekan.

“Hantar Syaf pergi kerja kejap, kereta dia tak boleh nak start lah.” Jawab Datin Farizah lalu mendekati Firash yang tengah meniarap di atas katil.

“Panggil teksi aje lah.” Bersahaja Firash menjawab. Matanya masih ralit memandang windows yang baru saja terpapar di skrin.

“Hessy dia ni. Susah nak dapatkan teksi waktu-waktu macam ni.” Sambung Datin Farizah lagi.

“Ala ma, bagi aje dia bawak kereta mama tu.” Cadang Firash. Dia ada kerja yang perlu disiapkan sebab itu lah kalau boleh dia tidak mahu berganjak dari laptopnya.

“Firash, pergi lah hantar Syaf tu. Lagipun Firash kan tak ada kelas pagi ni.” Pujuk Datin Farizah lagi. Firash dah mengeluh perlahan. Sudahlah aku ni ada kerja yang nak buat!

“Yelah, kejap lagi Firash turun.” Firash menutup balik laptopnya. Dia lantas menuju ke almari pakaian. Sehelai T-shirt yang lebih sesuai ditukar dan disarung ke tubuhnya. Dia memerhatikan seketika wajahnya di cermin. Nasib baiklah pagi-pagi tadi dah siap mandi.

Ketika dia sedang menuruni tangga, kelihatan Syaf dan mamanya sedang rancak bersembang.

“Ma, Syaf pergi dulu eh? Takut lambat pulak.” Syaf meminta diri lantas menyarungkan kasutnya. Bagpack disangkut ke bahu dan fail itu dipegang. Dia mengekori Firash dari belakang.

FIRASH MENDENGUS geram. Kereta di depannya langsung tak bergerak. Bunyi hon bertempik kat sana sini. Memang kalau dengar boleh bikin sakit hati. Ni yang malas aku nak drive bila pagi-pagi macam ni! Rungut Firash dalam hati. Sekilas dia melihat Syaf yang hanya mendiamkan diri di sebelah. Gadis itu dari tadi hanya diam saja tanpa kata.

“Ni yang aku malas ni nak drive.” Keluar juga keluhan dari mulut Firash. Syaf berpaling seketika. Entah kenapa hatinya sedikit terasa dengan kata-kata lelaki itu. Tadi pun dia dah cuba halang namun apabila mamanya itu menghiraukan kata-katanya, dia terpaksa akur. Kalau boleh tak nak lah mamanya itu berkecil hati.

“Tak pe, kau berhenti je kat bus-stop depan tu. Aku boleh naik bas.” Balas Syaf dengan nada perlahan. Wajah lelaki itu langsung tak dipandangnya. Firash berpaling dan merenungnya tajam.

“Aku kan dah janji dengan mama tadi. Takkan nak suruh kau naik bas pulak!” Tegas Firash bersuara. Dia merengus kecil seraya memegang kejap stereng kereta. Walau aku ada kerja tadi tapi takkanlah aku nak biar aje kau naik bas atau teksi? Kalau jadi apa-apa kat kau? Macam mana aku nak jawab kat mama dan macam mana aku nak hadapi semua tu? Firash berperang dengan hatinya sendiri. Walau dia ada kerja penting sekalipun, dia tak adalah sanggup membiarkan gadis itu pergi sendiri naik kenderaan awam. Tambahan pula bila dengar akhir-akhir ni banyak saja perbuatan yang tak elok terjadi.

Syaf sudah terkedu. Tangan yang baru sahaja hendak mencapai fail di ribanya itu terus saja terhenti. Dia sempat mengerling sekilas ke arah Firash. Riak wajah lelaki itu nampak tegang.

“Okay.” Lambat-lambat Syaf bersuara. Dia merenung lama ke arah bus-stop yang dipenuhi dengan pelbagai bangsa itu. Ramai jugak orang. Kalau aku tunggu bas belum tentu lagi dapat naik!

Kereta mula bergerak kembali. Suasana kembali sepi. Hanya kedengaran suara Deejay yang berceloteh itu ini di corong radio. Syaf melihat jam tangannya. Ada 15 minit lagi sebelum pukul 9 pagi.

Beberapa ketika kemudian, bangunan tempatnya bekerja mula kelihatan. Syaf mengeluh kelegaan. Firash meliar-liarkan mata untuk mencari parking namun semuanya penuh. Dia merengus kecil lalu memberhentikan kereta di tepi jalan untuk seketika.

“Aku pergi dulu..Erm..Thanks sebab hantar.” Tutur Syaf lalu tangan mencapai fail dan bagpacknya. Tas tangan sudah pun tersangkut di bahu. Pintu kereta dikuak dari dalam.

Firash hanya mengangguk tanpa bersuara. Dia memandang ke arah gadis itu sekilas sebelum kembali memandang ke hadapan. Beberapa saat kemudian, dia teringatkan sesuatu. Cermin kereta yang bertutup itu diturunkan laju.

“Tunggu!” Sedikit kuat Firash memanggil. Syaf yang terasa seperti ada yang bercakap dengannya pantas berpaling. Kepala Firash terjegul keluar dari cermin tingkap.

“Err…Kau panggil aku ke?” Soal Syaf teragak-agak. Bimbang juga kalau-kalau ada insan lain yang memanggil namanya di situ. Tambahan pula tempat itu sudah mula sesak dengan orang ramai yang baru saja nak masuk ofis.

“Kereta kau tak nak bawak pergi servis ke?” Firash menyoal. Syaf berkerut kening lalu mengangguk apabila otaknya mula memahami apa yang diperkatakan oleh lelaki itu. Siapa yang tak bawa kereta pergi servis? Cuma dia saja yang kadang-kadang langsung tidak mengambil tahu akan keretanya itu.

“Eh lupa.” Syaf sedikit tersengih kelat.

“Dah agak dah.” Firash membalas.

“Hmm, takpelah, aku pergi dulu. Dah lambat ni.” Syaf bersuara lalu menyambung kembali langkahnya yang diatur ke bangunan pejabatnya yang tidak jauh dari situ.

“Eh Syaf!” Kedengaran namanya ditegur seseorang. Syaf tersentak. Wajah Tiqah yang tersengih memandangnya terpamer depan mata.

“Tiqah.” Syaf menggumam perlahan. Matanya dikerling pada kelibat kereta Firash yang sudah berlalu ke jalanraya. Huh, nasiblah Tiqah tak perasan tadi!

“Hai Syaf, berhantar nampak hari ni. Siapa tu?” Muncung Tiqah dihalakan ke jalanraya. Syaf menelan liur. Tiqah nampak ke Firash tadi?

“Err..Kereta aku rosaklah tadi sebab tu ada yang tolong hantar. Dahlah jom, nanti lambat pulak nak masuk opis.” Balas Syaf seraya menarik bahu Tiqah menghala bangunan sepuluh tingkat tu. Tiqah sedikit mencebik. Saja lah tu nak mengelak dari soalan aku!

“Lelaki kan yang hantar kau tadi?” Soal Tiqah lagi seakan tidak berpuas hati. Syaf laju saja menonong meninggalkan Tiqah di belakangnya. Tiqah merungut-rungut kecil.

“Wei, tunggu aku lah.” Laung Tiqah sedikit kuat. Tidak berpuas hati apabila Syaf tidak menjawab pertanyaannya itu.

BAB 20

DATUK FAKHRUL membelek fail di tangannya itu. Seorang lelaki yang berpakaian kemeja biru gelap dan tie berwarna biru lembut itu sedang menanti dengan penuh sabar. Namun terdetik juga kebimbangan di hatinya jika proposal yang dibuatnya itu ditolak mentah-mentah. Seingatnya sudah dua kali proposal miliknya itu ditolak disebabkan apa yang dikehendaki oleh Datuk Fakhrul tidak relevan dengan apa yang diberinya. Dia tahu yang Datuk Fakhrul agak cerewet dan serta amat berhati-hati di dalam hal-hal yang berkaitan dengan kerja.

“Okay. Kali ni papa approved.” Akhirnya Datuk Fakhrul memberi kata putus. Raimy sudah tersenyum lebar. Akhirnya. Yes! Akhirnya proposal itu diterima!

“Thanks papa. Raimy janji akan buat yang lebih baik dari dulu.” Janji Raimy dengan nada ceria. Fail biru itu kembali bertukar tangan.

“Lepas ni kena fokus, papa tak nak Raimy buat kerja sambil lewa.” Pesan Datuk Fakhrul seraya memandang wajah anak tirinya itu.

“Raimy janji pa yang Raimy akan buat sungguh-sungguh lepas ni.” Janji Raimy dengan senyuman yang tak lekang di bibir. Dia berdiri seraya menolak kerusi berwarna biru gelap itu ke meja.

“Yelah.

“Thanks again pa. Raimy keluar dulu.” Raimy meminta diri dan melangkah ke pintu.

Datuk Fakhrul hanya menghantar susuk tubuh Raimy dengan matanya. Dia kembali bersandar ke kerusi empuknya. Tangan diletakkan ke dahi. Serentak dengan itu kenangan bersama arwah sulung anaknya itu menjelma di kotak fikiran. Dia mengeluh perlahan. Jika Farish masih hidup tentu anaknya itu sebaya dengan Raimy.

Mengingatkan itu hatinya dipagut rasa pilu. Terasa berkoyan-koyan rasa bersalah kepada arwah anaknya itu. Kalaulah dia tidak pergi bercuti dengan isteri mudanya, pasti dia dapat melihat jenazah anaknya buat kali terakhir. Ini tidak, setelah hampir dua minggu arwah Farish selamat dikebumikan barulah dia mendapat berita. Itupun apabila terbaca dari suratkhabar apabila sekembalinya dari bercuti.

‘Maafkan papa Farish. Papa bersalah.’ Gumamnya sendirian. Tangannya menarik laci meja. Satu bingkai gambar yang terdapat gambar mereka sekeluarga itu ditenung sayu. Gambar raya lima tahun lepas sebelum dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan isteri barunya kini.

Jarinya menyentuh wajah-wajah kesayangannya itu. Farish yang segak berbaju Melayu warna hijau pekat itu sedang tersenyum manis. Diikuti dengan wajah isterinya yang sudah lama tidak dijenguknya setelah dia berkahwin lain. Hanya duit nafkah saja yang dimasukkan ke dalam akaun bank. Dan akhir sekali wajah anak bongsunya Firash yang duduk bersebelahan dengannya.

‘Firash.” Dia menyebut nama anak bongsunya perlahan. Dia cuba untuk mengingati umur anaknya itu. Sudah hampir menjangkau dua puluh satu tahun. Serta merta otaknya mengingati sesuatu. Bukan anak bongsunya itu sudah di tahun akhir? Dan kalau tidak silap tanggapannya, anaknya itu akan memulakan latihan praktikalnya tidak lama lagi.

Frame gambar diletakkan kembali ke dalam laci. Seketika kemudian nombor seseorang di dail melalui telefon pejabat.

“Hello. Tolong panggilkan Firash ke sini.” Arahnya kepada seseorang di talian.

“Baik tuan.” Pihak di sana itu bersetuju tanpa terus bertanya. Bibir Datuk Fakhrul sedikit mengukir senyum. Dia akan pastikan anaknya itu akan memulakan praktikal di syarikatnya. Dan dengan peluang itu, dia akan cuba untuk merapatkan kembali hubungan mereka yang kian menjauh.

FIRASH DAN MIE berjalan menuju ke taman di kampusnya itu. Masing-masing baru saja mendapat tahu keputusan untuk penempatan praktikal mereka pada semester depan.

“Kau dapat kat mane?” Soal Mie pada Firash. Firash yang dari tadi merenung kertas di tanganya itu. Dia sesekali mengeluh. Punggung dilabuhkan di kerusi baru di taman itu.

“Aku dapat kat Kertehlah.” Balas Firash perlahan. Kertas yang berada di tangannya tadi dihulurkan ke arah Mie yang duduk di hadapan dengannya. Mie menyambut huluran kertas lalu membaca apa yang tertera di situ.

“Dahlah jauh dari sini. Lepas tu kat syarikat konsultant pulak.” Mie bersuara lalu sekilas memandang ke arah Firash yang sedang termenung panjang. Agaknya sedang memikirkan tentang hal penempatan praktikal ni kut, fikirnya. Lagi pula mereka masing-masing mintak kat syarikat kontraktor. Dan dia tidak menyangka yang temannya itu mendapat keputusan yang agak berbeza walaupun mereka bertiga memohon di tempat yang sama.

“Memang jauhlah dari kau. Aku ingat dapat sama tempat tadi. Kau dapat kat Shah Alam kan? Fiqri dapat kat mana pulak?” Soal Firash. Pandangannya dialihkan ke arah Mie. Mie mengangguk lalu menghulurkan kertas penempatan praktikal itu pada Firash.

“Fiqri aku tak tahu. Tadi cepat aje dia keluar dari dewan. Nak jumpa Zara lah tu.” Balas Mie. Teringat akan rakan baiknya yang seorang lagi tu. Tak sempat nak cakap apa-apa tadi terus saja keluar dari dewan. Raut wajah Firash yang seakan kecewa kena pergi praktikal itu kat Kerteh direnung lama.

“Hmm…Susahlah kita nak jumpa nanti. Dahlah aku tak ada siapa-siapa yang aku kenal kat sana. Mesti boring giler.” Rungut Firash lagi.
“Relaks lah. Nanti mesti kau dapat kawan baru punya.” Balas Mie cuba memujuk. Firash hanya mengangguk dan menyimpan kembali kertas itu di dalam failnya.

“Encik ni Firash Arshad ke?” Tiba-tiba mereka berdua dikejutkan dengan satu suara garau. Mie dan Chad sama-sama berpaling ke arah dua lelaki berbadan tegap yang memakai pakaian serba gelap itu.

“Erm, ye saya. Ada apa?” Soal Chad dengan dahi sedikit berkerut. Manakala Mie sudah merasakan sesuatu yang tidak kena. Macam geng kongsi gelap je ni, fikir Mie di dalam hati apabila merenung ke arah lelaki berdua di hadapannya itu.

“Sila ikut kami.” Arah salah seorang daripada lelaki tersebut. Sekali lagi dahi Chad berkerut. Aku ada buat salah ke?

“Kejap-kejap. Nak ikut pergi mana ni?” Soal Chad lagi. Agak bingung dengan apa yang disampaikan oleh lelaki itu. Manakala Mie hanya memandang dengan riak risau.

“Arahan Datuk Fakhrul.” Bersahaja lelaki itu menjawab. Mendengarkan nama itu Chad sudah mengeluh lemah. Kenapa nak jumpa aku pulak? Rasanya dia dah lama tak dengar khabar akan lelaki itu.

“Aku tak nak pergi.” Balas Chad setelah lama berdiam. Mie pulak agak terkejut dengan jawapan yang keluar dari mulut Chad itu. Dia mengerling sekilas ke arah dua lelaki yang berbadan tegap itu. Kalau melawan rasanya ada yang kena heret ni, bisiknya dalam hati. Rasa macam seriau pulak kalau pandang lama-lama.

“Sila ikut kami Encik Firash Arshad. Kalau tak, kami berdua tidak teragak-agak untuk berkasar.” Chad merengus kasar dan memandang sekilas ke arah Mie. Mie hanya diam sahaja sebelum mengangguk. Tanda isyarat supaya Chad mengikuti saja akan arahan dari lelaki-lelaki itu.

“Aku pergi dulu lah Mie.” Putus Chad setelah beberapa saat berfikir. Mungkin ada baiknya dia ikut saja arahan itu. Tambahan pula dia bimbang jika lelaki-lelaki di hadapannya itu akan buat onar di situ.
Mie hanya mengangguk tanpa suara. Gerun saja dia melihat dua lelaki di hadapannya itu. Sudahlah bertubuh tegap, muka pulak bengis semacam aje tu. Kalau cari pasal, memang ada lah yang masuk wad ni, getus hatinya lagi.

Dengan langkah yang sedikit lemah, Chad mengekori langkah kedua-dua lelaki itu ke tempat parking yang tidak jauh dari situ.

“APA HAL Datuk nak jumpa saya?” Soal Firash sebaik saja menjengah masuk k dalam bilik yang agak mewah itu. Matanya terpaku dengan keadaan bilik yang direka cantik dengan rekaan moden dan terkini. Memang padan sangatlah dengan jawatan Datuk yang disandangnya setahun lepas Dengar khabar akhir-akhir ni dapat mendapat mengambil alih syarikat terbesar di Asia Tenggara yang bertapak di Australia itu.

“Duduk dulu Firash. Papa ada hal nak cakap dengan kamu ni.” Pinta Datuk Fakhrul sedikit berlembut. Dia kalau boleh tidak mahu terlalu bertegas dengan anaknya itu. Tahu sangat yang perangai anaknya ini agak keras kepala. Tengok sajalah panggilan anaknya itu kepadanya. Langsung tidak menggambarkan yang mereka berdua mempunyai pertalian darah.

“Hmm.” Firash hanya mengguman lalu melabuhkan punggung di atas sofa yang ada di satu ruang pejabat itu. Datuk Fakhrul berjalan merapat anaknya itu dan duduk di sofa bertentangan.

“Firash dah tahun akhir kan?” Soal Datuk Fakhrul. Firash mengerling sekilas. Kenapa sibuk-sibuk pulak nak tanya pasal ni semua? Rasanya selama ini tak pernah tanya pun.

“Hmm, dah tahun akhir. Next sem dah praktikal.” Balas Firash bersahaja.

“Baguslah tu. Papa kalau boleh nak Firash praktikal kat syarikat ni aje. Nanti senang sikit lepas belajar nak kerja kat sini.”

Mendengarkan kata-kata Datuk Fakhrul itu membuatkan Firash laju saja berdiri. Dia merenung tajam ke arah papanya itu.

“Saya tak setuju Datuk. Lagipun saya dah ada tempat praktikal saya sendiri.” Balas Firash laju. Masakan dia mahu untuk menjalani praktikal di syarikat papanya itu. Langsung tidak terlintas di hatinya akan berada di bawah telunjuk lelaki itu. Dia lebih sanggup untuk praktikal di Kerteh walaupun jaraknya agak jauh dari rumahnya itu.

“Apa salahnya praktikal kat sini? Semua ada, Firash nak apa pun papa boleh tunaikan.” Datuk Fakhrul cuba memujuk namun Firash sudah mencebik. Dia bukannya jenis yang gilakan material dan sanggup membodek lelaki itu untuk menunaikan semua hasrat hatinya.

“Terima kasih sajalah Datuk. Rasanya dah cukup apa yang Datuk berikan pada saya selama ini. Saya juga mahukan kebebasan sendiri. Assalamualaikum.” Senafas Firash menuturkan sebelum melangkah keluar dari bilik mewah itu. Apa lagi yang lelaki itu mahukan dari dirinya? Sudah cukup rasanya lelaki itu menyediakan segala-galanya. Cuma dia amat marah dengan tindakan lelaki itu yang mengabaikan tanggungjawab untuk menjenguk mamanya itu. Itu yang membuatkan hatinya berubah menjadi dingin. Hidupnya sekarang hanya ditumpukan pada pelajaran serta mamanya saja. Dan akhir-akhir ini nama Syaf pula sedikit sebanyak cuba menyelinap masuk ke dalam hatinya.

“Firash.” Datuk Fakhrul cuba memanggil. Di kala itulah pintu bilik pejabat itu terbuka dari luar. Firash mengerutkan dahi apabila terpandangkan seseorang yang hampir-hampir dikenalinya. Ni bukannya Raimy ke? Lelaki yang dikenali pada majlis hari jadi Raina beberapa bulan lepas. Lelaki yang dikatakan abang kandung kepada Raina. Dan juga lelaki yang nampak rapat dengan Syaf pada malam itu.

“Firash, kenalkan ni Raimy. Anak tiri papa.” Datuk Fakhrul cuba memperkenalkan. Raimy. Dan kala itu masing-masing mempamerkan riak terkejut. Raimy menghulurkan salam namun tidak bersambut.

“Saya balik dulu Datuk.” Pamit Firash lalu menapak keluar dari bilik itu. Dia menggeleng-geleng kepalanya. Seakan tidak percaya dengan apa yang baru saja diketahuinya itu. Maknanya dia dengan Raimy sekarang adik-beradik tirilah? Dan Raina pulak jadi adik tiri dia?

p/s : thanks sudi bace n komen :D DD




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

112 ulasan untuk “Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia! 18, 19, 20”
  1. diah says:

    He cerita ni memang best setiap hari Jumaat mesti kita tengok sampai tak dapat nak pergi Tuisyen.

    Harap harap mereka bahagia di penghujung cerita.

  2. batrisya says:

    Kalau saya tak silap…esok cerita sebenarnya saya isteri dia ditayangkan pada pukul 8 pagi

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"