Novel : Sejujurnya Cinta 1

12 December 2011  
Kategori: Novel

1,225 bacaan 5 ulasan

Oleh : MissDavis

Bab 1

“Betul ke awak memang Melayu tulen? Tak sangka sungguh ya. Cantik.” entah buat kali keberapa, lelaki yang merupakan “teman dinner” Nuraisha itu meluahkan rasa tidak percaya sambil memuji lagi. Sudah meleret ke telinga senyum yang terukir di wajah Nuraisha dengan pujian itu. Jari-jarinya menyelit ke belakang telinga beberapa helai rambutnya yang berjuraian di pipi. “Mungkin ada generasi lama keluarga awak yang memang darah Barat kot?” usul lelaki itu penuh minat.

Nuraisha mengukir senyum lagi.

“Mak ayah saya pun ada cakap macam tu.” sahutnya. Bahkan, kadang-kadang kakaknya Nurlisa siap sedap-sedap mengatakan dia sebenarnya “anak kutip” maka disebabkan itulah rupa parasnya saja yang berbeza jika dibandingkan dengan emak, ayah dan saudara-mara dekat mereka yang masing-masing elok-elok memiliki raut wajah, warna rambut dan warna mata orang Asia. “Family member saya semua OK. Saya seorang je yang pelik sikit.”

Teman dinnernya mengangkat kening.

“Kalau “pelik” maksudnya rupa macam awak, saya rasa semua orang nak jadi pelik.”

Alahai. Nuraisha tersenyum-senyum lagi, bibirnya digetap perlahan sambil pandangan matanya diturunkan ke meja. Pipinya terasa hangat ditenung lelaki itu. Memang pandai bercakap. Sejak mereka mula-mula memperkenalkan diri tadi, lelaki itu sudah menunjukkan sikap “gentleman” apabila dia menghulurkan sejambak bunga kepada Nuraisha dan menarik kerusi untuk Nuraisha duduk. Jauh berbeza sikapnya dengan Hashriq. Kalau dah sampai masa samseng tu cakap manis, maksudnya beruang kutub pun dah pandai terbang. Getus Nuraisha di dalam hati. Mengingatkan suaminya itu, dia bertambah-tambah puas hati berada di sini.

Yasmin dan kawan-kawan mereka sudah beberapa kali cuba mengaturkan temu janji untuknya dengan lelaki-lelaki yang “dipilih sendiri” oleh mereka, cuma selalu Nuraisha menolak. Kali ini juga asalnya dia berniat untuk menolak, tetapi apabila Hashriq tidak muncul menjemputnya di tadika tengahari tadi, bagaikan sudah sampai masa, fius di dalam kepalanya terbakar dan meletup. Tanpa ragu-ragu dia menghubungi Yasmin dan menerima.

Kini, dia selesa menikmati hidangan makan malam di restoran yang dipilih oleh teman dinnernya itu. Tidak rugi. Kalau tahu begini seronok rasanya berfoya-foya, awal-awal lagi dia sudah menerima aturan Yasmin dan kawan-kawannya yang setia sibuk menjadi matchmaker. Agak-agak sebab “masyuk” macam ni Hashriq cari perempuan lain. Si curang. Si pengkhianat. Nuraisha bermonolog sendiri. Udang galah di dalam pinggan ditikam-tikamnya dengan garfu.

Dia memang bohong andai berkata tindakan Hashriq sudah tidak memberi apa-apa kesan. Tidak dapat dinafikan hatinya masih ada pada lelaki itu, masih terlalu baru mimpi ngeri yang diberikan Hashriq kepadanya. Sungguhpun mereka bakal bercerai, masih jauh perjalanan dan masih panjang masa yang terpaksa diambilnya untuk benar-benar membuang Hashriq dari kamus hidupnya. Tidak kira macam mana berakhir hubungan mereka nanti dan walaupun kini perhatian Hashriq bukan untuk dirinya lagi, lelaki itu tetap cinta pertama yang pernah dia miliki. Lelaki itu tetap “budak lelaki” yang dahulu sering membawanya naik basikal pergi-balik sekolah, yang dahulu rutin menghabiskan tiap-tiap petang bersamanya di tepi padang bola.

Entah apa yang silap. Garfu dicucuk-cucuk penuh konsentrasi ke udang galah yang makin berlubang-lubang. Nuraisha tenggelam memikirkan “fenomena” yang melanda “kisah cinta” mereka. Lapan tahun mereka berpasangan sebelum mereka bergelar suami isteri. Baru empat bulan mereka berkahwin, tiba-tiba tanpa sebarang amaran, tiada angin tiada ribut, Hashriq memutuskan untuk bercerai. Alasan yang diberikan lelaki itu cukup kreatif: katanya dia sudah bosan.

Suara lunak Taylor Swift menyanyikan lagu “Mine” mematikan lamunan Nuraisha. Dia mengukir senyum kepada teman dinnernya di kerusi bertentangan. Garfu diletakkan di pinggan sebelum dia mencapai telefon bimbit di dalam tas tangan. Gambar Hashriq berkelip-kelip elok di atas skrin. Nuraisha mengerutkan dahi. Suaminya langsung tidak menampakkan batang hidung sejak menghantarnya ke tadika pagi tadi. Malah lelaki itu tidak menjemputnya pulang pun tengahari tadi. Apa kes pula sibuk-sibuk menghubunginya sekarang?

“Hello?” Nuraisha menyahut endah tidak endah.

“Assalamualaikum sweetheart. So… Sedap ke udang? Besar tak?” tidak lain tidak bukan suara ala-ala taiko milik Hashriq menyoal di corong telefon.

Nuraisha terkebil sekejap. Eh? Mana dia tahu aku makan udang? Telefon bimbit dibelek hairan. Teman dinnernya sudah tekun memerhatikan telatahnya. Saat itu, pintu kaca restoran ditolak dari luar. Mata Nuraisha naik bulat, mulutnya melopong melihat “pengunjung” terbaru yang melangkah masuk.

Beberapa orang pelanggan berpaling dari meja mereka melihat Hashriq. Beberapa orang pelayan restoran menoleh dari tugas masing-masing. Pandangan Hashriq sudah sedia dihala ke arah Nuraisha sambil langkahnya diatur santai ke meja tempat Nuraisha duduk. Mata birunya merenung tepat ke muka Nuraisha, riak wajahnya cukup bersahaja. Apa samseng tu buat kat sini? Saat itu kerusi Nuraisha sudah berevolusi menjadi kawah gunung berapi, bahang yang dirasakan membuat dia berkalih duduk.

“Ada apa?” soal teman dinnernya sambil berpusing di kerusi, tetapi belum sempat dia memaling kepala untuk melihat apa yang menarik perhatian pelanggan-pelanggan dan staf-staf di sekeliling, seorang kanak-kanak perempuan muncul dari belakang Hashriq.

“Demi anak awak, apa kata awak cuba bagi peluang pada suami awak, Cik Nuraisha.” teman dinnernya memberikan nasihat. Tiba-tiba si pencari jodoh menjadi tukang jodoh. “Awak dengan suami awak nampak padan. Dia pun memang Melayu tulen ke?”

“Taklah.” getus Nuraisha tajam. “Rupa dia macam tu sebab dia makhluk asing dari planet Buri-Buri.” dahulu selepas status mereka sebagai pasangan kekasih mula tersebar di Sekolah Menengah Amethyst, ada mulut-mulut yang mengaitkan mereka dengan pepatah “a match made in heaven” kerana konon mereka seperti hero dan heroin filem-filem romantik Barat. Hak tuih. Nuraisha meludah di dalam hati. “Saya pergi dulu.” katanya dengan muka cemberut.

“Jaga diri.” pesan teman dinnernya sambil mengangkat tangan kepada Hashriq.

Sedaya-upaya Nuraisha menahan diri daripada memandang wajah-wajah di dalam restoran yang nampak berpuas hati dengan “kesudahan” drama. Dia cuma mahu beredar secepat dan sejauh mungkin. Malu yang amat. Dia memimpin Aileen dan berderap ke pintu kaca restoran. Suaminya mengekori santai di belakang.

Angin malam berhembus menyapa mereka sebaik mereka melangkah keluar. Tiang-tiang lampu menyala menerangi sekitar. Ada orang lalu-lalang dan kenderaan yang bergerak ke destinasi masing-masing. Lakonan Hashriq sebagai suami yang dirundung rasa bersalah serta-merta lesap.

“Baru lelaki puji sikit, dah sengih-sengih macam kerang busuk.” komennya tanpa secebis sensitiviti.

“Awak nak saya basuh mulut awak dengan Dettol?” bentak Nuraisha, rambut ikalnya yang keperangan melibas angin apabila dia memaling kepala untuk menjeling Hashriq semahu-mahu.

Sebaliknya, mata biru Hashriq diturunkan ke bawah, kemudian dinaikkan semula ke atas. Dia menilik Nuraisha dari hujung kaki ke hujung kepala.

“Masa kita date tak ada pun kau dress-up macam ni?” Hashriq menayang muka berfikir. “Rupanya lagu ni muka hang bila bersolek macam perempuan lain. Patut pun hang tak pernah cuba.” tiba-tiba suaminya itu mengguna pakai loghat Penang milik Tengku Nizam, bapanya merangkap bapa mertua Nuraisha. Mata biru Hashriq mengecil sedikit. “Macam hantu opera Cina.” bisiknya sambil “menggigil” ngeri.

Bibir Nuraisha digetap menahan geram.

“Awak datang sini apasal? Mana awak tahu saya ada kat sini?” soalnya. Aileen sudah mendongak memandang mereka silih berganti, kepalanya sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. “Awak saja je kan? Masa awak keluar dengan Farah, saya tak ada pun heret “anak” pergi malukan awak.”

Hashriq tunduk mendekat. Nuraisha menjauh setapak ke belakang.

“Kita dah setuju untuk cerai lepas baby lahir.” tangan Hashriq dihulur ke perut Nuraisha sebelum ia dipukul Nuraisha agar dialih. “Kau ada bukti ke aku keluar dengan Farah? Aku masih suami kau dan aku takkan pergi mana-mana dengan sesiapa selagi kita masih sah. Jadi selagi kau masih isteri aku, kau pun tak boleh buat sesuka hati.”

Mengarut. Makin tajam Nuraisha menjeling Hashriq. Berani sungguh dia meletakkan syarat sedangkan dalam perkahwinan mereka, dia jugalah pihak yang curang dan mengkhianat.

“Kalau saya cakap saya tak peduli?” Nuraisha mencabar.

“Lain kali aku bukan setakat bawak “anak” datang tempat kau date, aku bawak Tok Kadi yang nikahkan kita dulu.”

Mendengar kata-kata itu, bibir Nuraisha hampir putus digigit. Geram. Bengang. Dia melibas tas tangannya ke dada Hashriq, kemudian dia membawa Aileen meninggalkan lelaki itu. Baru beberapa tapak, lengannya ditarik.

“Apa lagi?” bentak Nuraisha.

“Balik dengan Shahrul.” Hashriq menolak Nuraisha ke kiri. Tidak jauh dari tempat mereka bertelagah, bapa saudara Aileen sedang menunggu. Dia berdiri di tepi kereta berona merah terang miliknya sambil melambai sedikit kepada Nuraisha. “Aku dah cakap pada Shahrul, dia hantar kau balik.”

“Habis awak?”

“Aku ada appointment dengan Tok Kadi.”

Nuraisha mencebik.

“Awak dapat tahu saya keluar ni daripada Shahrul?” soalnya sambil merenung curiga ke arah bapa saudara Aileen merangkap penyokong setia Hashriq itu.

“Siapa suruh cousin kau mulut tempayan bagi tahu Shahrul.” lesung pipit di pipi Hashriq sudah kelihatan tanda giginya digetap menahan sabar. “Jangan bagi aku jumpa Yasmin, kalau tak aku lemaskan dia dalam loji kumbahan.

“Kenapa awak tak ambik saya tengahari tadi?” Nuraisha mengalih topik sekaligus mengungkit, dia tahu benar Yasmin dan Hashriq akan berlaga kepala apabila mereka bertemu nanti.

“Bukan ke lagi bagus aku tak ambik? Kau boleh naik kereta Abang Ikmal kau.”

“Apa?” tempelak Nuraisha, terkejut. Entah dari mana Hashriq mendapat idea. Dia tidak pernah ber-”abang-abang” pun dengan Encik Ikmal. Lelaki itu bapa Aileen yang sudah beristeri. Buang tebiat sungguh. “Encik Ikmal cuma buat baik tolong hantarkan saya sekali masa jemput Aileen.”

Kening Hashriq diangkat mendengar kata-kata itu.

“Kau ni stupid, sweetheart.” komennya dengan senyuman “ceria” yang tidak lekang. Dia panggil aku stupid?! Telinga Nuraisha semakin berasap. “Kesian Abang Ikmal kau.” Hashriq ketawa sambil menggeleng kecil.

Nuraisha berkira-kira untuk menghayun tas tangan ke kepala Hashriq. Dasar samseng tak bertamadun. Lelaki itu mengeluarkan sekotak rokok dari poket jeans yang dipakai. Serta-merta Nuraisha sedar. Patut pun ada bau rokok dihidunya di dalam rumah sejak kebelakangan ini. Lapan tahun mereka bersama, dia tahu Hashriq tidak merokok. Tidak syak ini tabiat yang baru dituai.

“Banyak sangat ke kerja kat hospital sekarang sampai awak mula berasap-asap?” soal Nuraisha, dahinya berkerut melihat Hashriq menghidupkan pemetik api, kemudian rokok yang baru dinyalakan Hashriq dirampasnya dan dibuangnya ke jalan tar. Lelaki itu merenung dengan pandangan blank. “Kalau awak nak mati, jangan bawak saya sekali.” gerutu Nuraisha.

Hashriq mendengus perlahan.

“Bye-bye Uncle Hashriq!” Aileen melambai apabila Nuraisha membawanya menuju ke kereta.

“Assalamualaikum Princess. Sweet dreams.”

“Waalaikumussalam, sweet dreams!” Aileen tersenyum lebar menayang gigi-gigi putih.

“Aileen.” Nuraisha mengecilkan biji mata merenung anak murid tadikanya itu.

“Hm?”

“Aileen memang suka sangat dengan Uncle Hashriq ya? Tadi Aileen tikam belakang Cikgu berkomplot dengan Uncle.” tuduh Nuraisha.

“Hehe…” Aileen menekup mulut dengan tangan. Tocang dua di kepalanya bergoyang-goyang apabila kepalanya diangguk. “Aileen tentera Uncle Hashriq.” jari telunjuknya dituding ke arah Shahrul. “Uncle Shahrul sekali.”

Nuraisha mengeluh. Dia memang sudah tahu pun. Entah dipukau atau apa, bukan setakat Shahrul, anak murid tadikanya Aileen turut “kejam” berpihak kepada Hashriq dan bukan kepada dirinya. Mata Nuraisha naik merenung langit malam. Bintang-bintang berkelip-kelip tanpa bulan yang kelihatan. Hashriq yang ditinggalkan di belakang terus tidak dipeduli. Seumur hidupnya selama ini, cuma ada Hashriq. Lelaki itu teman lelaki merangkap cinta pertama yang dia miliki. Malam ini kali pertama dia bertemu-janji dengan lelaki lain, dia baru saja hendak menimba pengalaman. Itu pun gagal disebabkan Hashriq. Dengki! Nuraisha menoleh ke belakang. Dilihatnya Hashriq masih berdiri di tempat tadi, menyalakan sebatang rokok baru. Tak kira, ikut akulah nak pergi lagi ke lepas ni. Kau sendiri pun tak pegang janji, kenapa pulak aku kena pegang? Fikirnya tekad.

Sebuah senyuman terukir di wajah Nuraisha memikirkan hal itu. Mungkin, dia patut melihat dahulu gambar “calon-calon” lelaki yang dipilih Yasmin selepas ini. Jika diberikan komen jujur, teman dinnernya tadi “biasa-biasa” saja dipandang, namun sikap “gentleman” lelaki itu sudah cukup untuk menarik minat seorang perempuan. Lepas ni cari yang tinggi-tinggi, ada otot-otot macam Popeye… Sedang Nuraisha leka membuat senarai ciri-ciri teman dinner idamannya yang akan datang, tanpa dia sedari mata biru Hashriq tidak lepas memandangnya dari jauh.

XxXxXxXxX
XxXx

Suite hotel bertaraf lima bintang itu berhias mewah ditambah susunan lilin-lilin yang diletakkan di merata ruang bilik. Alunan muzik instrumental “Can You Feel The Love Tonight” nyanyian asal John Elton kedengaran dari stereo, menambah lagi suasana romantis yang dicipta. Tingkap kaca suite menghadap laut. Dari arah balkoni di luar pintu gelongsor yang dibiarkan terbuka, bunyi ombak malam dapat didengar menghempas pantai dan bau garam dibawa angin dari kejauhan.

Sampul surat besar berwarna coklat di atas meja dicapai sebelum bertukar tangan. Kandungan di dalam sampul surat itu dibawa keluar dan diteliti satu-persatu. Gambar-gambar, helaian-helaian kertas yang dipin kemas serta beberapa buah pita rakaman.

“Impressive.” Zakuan meluahkan rasa kagum. “I ingat tak ada orang yang boleh tembus tembok kawalan Tan Sri Darius.”

“Well mungkin sebab sekarang dia dah lumpuh, tak larat nak pantau sana-sini macam dulu lagi.” kata Suraya sambil mengangkat bahu. Dia berlegar di lengan sofa yang diduduki Zakuan sebelum memaut manja leher pengurusnya dan duduk di riba lelaki itu. “Atau mungkin jugak, pengaruh wang terlalu kuat untuk ditolak.” Suraya mengulum senyum. “Apa pun dalam hal ni, kita yang untung.”

“You bukan saja cantik, tapi you ada otak. Sebab tu I suka you.” puji Zakuan. Baru saja tangannya menarik tali yang melilit baju tidur sutera longgar di tubuh Suraya, bunyi loceng di luar suite mereka tiba-tiba berbunyi. “I think tetamu kita dah sampai.”

Suraya bangun mengatur langkah ke pintu. Dalam beberapa saat saja, mereka berdua disertai oleh “tetamu” mereka dan seorang lelaki yang datang entah dari mana.

“Tak nak introduce kawan you ni?” tanya Suraya kepada Hashriq.

“Najmi.” Hashriq sekadar menjawab ringkas. Lelaki berbaju sejuk biru gelap yang diperkenalkan itu pula hanya memandang sekilas ke arah Suraya dan Zakuan sebelum perhatiannya dialih ke sekeliling suite, seolah mencari apa-apa yang mencurigakan. “I’m here now. What do you want?”

“Oh nak kena bercakap dalam bahasa Inggeris ke Doktor?” tangannya ditekup ke mulut, Suraya berpura-pura terperanjat. Zakuan memerhati dari sofa, gelas kaca di celah-celah jarinya digerakkan perlahan, membuat wain merah yang separuh penuh berkocak lambat dalam gaya memukau. Suraya memeluk tubuh merenung Hashriq. Kakinya melangkah dekat hingga mereka berdiri betul-betul di depan satu-sama lain. “You memang ada rupa.” kata Suraya sambil matanya bertentang tepat dengan mata biru Hashriq. Jari telunjuknya diletak sebelum digariskan perlahan di dada Hashriq. “Mungkin I boleh bertimbang rasa… Siapa tahu?” usulnya penuh makna.

“Maksud Puan, dia kena tidur dengan Puan dulu?” lelaki bernama Najmi di sebelah Hashriq menyoal tanpa berlapik. Bibir Suraya yang dicalit lipstik merah menyala dijuih sedikit dalam senyuman. Dia memandang lelaki itu pula. “Semua orang tahu Puan tetap akan go on dengan apa yang Puan rancang.” lelaki itu membuat kesimpulan.

“Well,” bahu Suraya diangkat tanpa rasa bersalah. Jari telunjuknya dicuit perlahan ke pipi Hashriq. “I masih boleh berharap, for fun you know?” matanya melirik menggoda. “Look at him.” katanya separuh berbisik. “He seems so perfect… Tapi siapa sangka? Dia kotor.”

Hashriq mengalih tangan Suraya dari bahunya. Dia berpaling ke pintu.

“Jom pergi. Kita dah bazir masa.”

Melihat lelaki itu benar-benar berniat untuk beredar, Zakuan bangun.

“Tak ada apa-apa yang awak boleh buat, melainkan awak bincang dengan Tan Sri Darius dan Ikmal untuk bagi Suraya apa yang dia nak.” katanya menyambung urusan.

“Apa yang Suraya nak?” Hashriq melirik tanpa minat ke arah Suraya.

“Ikmal tahu, Tan Sri Darius pun tahu.” jawab Suraya dengan dahi yang agak berkerut. Kemudian senyuman manisnya kembali terukir. “I saja suruh you libatkan diri, sebab I tahu mereka mesti lagi geram.” Suraya tertawa memikirkan hal itu. “Macam yang Zack cakap, there is nothing you can do. All of you… Melainkan you ikut cakap I.” sekali lagi tangannya diletakkan ke lengan Hashriq. “Mesti berat beban yang you tanggung kan? I tak faham macam mana you boleh “ada perasaan” pada Tan Sri Darius sekeluarga. Selain Shahrul mereka tak pernah hargai you, mereka tak nak you pun dalam hidup mereka. You sendiri tahu kenapa.”

Hashriq tidak memberikan reaksi terhadap kata-kata yang berbaur simpati namun sebenarnya dialas cemuhan itu.

“Saya akan cakap dengan Ikmal dan Tan Sri Darius. Tapi kalau awak mungkir janji lepas dapat apa yang awak nak, saya akan pastikan awak sama merana macam mereka atas apa yang awak buat tu nanti.” katanya tanpa nada. Ketika itu, Najmi mengeluarkan sekeping sampul surat berwarna kuning dari dalam baju sejuk yang dipakai, lalu diletakkan ke atas meja. “Bukan Tan Sri Darius seorang yang pernah buat dosa.” kata Hashriq. “Bukan awak seorang yang pandai bongkar cerita lama orang lain.” tanpa sepatah kata lagi, dia berlalu ke pintu suite.

“Banyak lilin menyala ni, jangan lupa mengucap sebelum tidur. Mana tahu terbakar satu hotel tak sempat bertaubat.” pesan Najmi sebelum dia turut melangkah keluar.

“They have guts.” Zakuan merengus sambil tersenyum kecil. “What is that?”

Suraya menarik nafas sedalam mungkin sebaik isi sampul surat dibawa keluar. Dia merenung gambar-gambarnya di kelab-kelab malam bersama lelaki-lelaki yang pernah menghabiskan masa dengannya. Gambar-gambar dirinya bersama lelaki-lelaki itu di ruang depan hotel-hotel turut disertakan sekali. Malah Hashriq siap menyelit sebuah keratan akhbar dengan tajuk “Model Ternama Ditangkap Basah” sebagai intro kepada permainan mereka. Lelaki itu ternyata membalas ugutan dengan ugutan.

“Dia akan kena.” putus Suraya. “Dia nak buat I sama merana kalau I apa-apakan Tan Sri Darius sekeluarga?” Suraya ketawa sinis. “Dia dah lupa dia siapa.” sampul surat kuning di tangannya sudah digenggam renyuk menahan marah. “Kalau dia berjaya buat Ikmal dan Tan Sri Darius setuju pada permintaan I sekalipun, dia tetap akan kena sebab I akan pastikan dia lebih sakit daripada sekarang. Bermula dengan Nuraisha.”




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

5 ulasan untuk “Novel : Sejujurnya Cinta 1”
  1. i.k.h.l.a.s says:

    menarik..
    teruskan menulis

  2. rosmpkmn says:

    memang menarik. tak sabar nak tahu kisah selanjutnya

  3. Nurul Hidayah says:

    Menarik..teruskan berkarya..

  4. MissDavis says:

    Terima kasih pada yang membaca dan tinggalkan komen. Lepas saya tengok balik bab yang tersiar kat sini ni baru saya perasan ada part yang tercicir, mungkin masa saya copy-and-paste untuk hantar ke penulisan2u ni kot. Kalau sudi boleh singgah blog saya jugak http://www.anna-dressed-in-blood.blogspot.com (bab 2 dah diupload ke blog) thanks again (:

  5. arietty says:

    this is seriously a good novel.wonder why there so little readers.this is so much better that others that only emphasizes on a love triangle with a rich guy and uneducated beautiful girl, plus and minus childish way of narration.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"