
Novel : Sampai Bila? 1
Oleh : ana sofiya
1
Kereta sudah lama berhenti di hadapan rumah teres setingkat di Taman Senangin namun tidak ada tanda-tanda yang orang di dalam kereta itu hendak turun. Pasangan yang berada di dalamnya masih mahu bermesra, berlama-lama, bersama-sama. Hampir 15 minit kemudian barulah kedengaran kereta itu bergerak meninggalkan halaman.
Di dalam rumah, Yanti sudah tidak sabar-sabar hendak menghamburkan kemarahan. Hati yang sedia geram, semakin sakit malam ini. Dia hanya menunggu pintu rumah itu terbuka. Dia sudah tidak mahu lagi mengawal perasaannya.
Bunyi kunci bergemerincing diikuti bunyi pintu gril yang ditarik membuatkan Yanti memandang tepat ke arah pintu utama. Beberapa saat kemudian, satu wajah jelita terjengul di muka pintu. Gadis yang memakai blaus berbunga halus yang dipadankan dengan skirt labuh berwarna krim yang ketat di pinggul, tersenyum lawa ke arah teman serumah yang setia menanti kepulangannya saban malam.
“Tak tidur lagi?” tanya dia lembut sambil meletakkan kasut bertumit tinggi yang dipakai, di atas rak.
Yanti mencebik. “Dah nampak aku tercongok kat sini, boleh lagi tanya soalan tu?” balasnya sinis.
Gadis yang dimarahi itu hanya ketawa. Sebetulnya, dia sudah terlalu biasa dimarahi dan disindir oleh kawan baiknya ini. Yanti memang mudah melenting. Yanti memang suka cakap lepas. Jika ada yang dia tidak berkenan, terus sahaja diluahkan. Sikap itulah yang amat disukainya tentang Yanti. Tidak ada kepura-puraan. Jadi, dia tidak perlu tertanya-tanya pendirian Yanti terhadap dirinya. Senang begitu. Yanti telus sebagai seorang sahabatnya.
“Aku tak suruh kau tunggu aku balik, kan? Aku kan ada kunci ‘spare’? Tahulah aku nak masuk dalam rumah, Yanti,” provoknya.
Yanti mula rasa sebal. Wajah teman serumah ditatap garang.
“Alisa binti Azman, aku ni kawan baik kau, tau! Dah bertahun-tahun kau lantik aku jadi ‘bodyguard’ kau! Kalau tak silap aku, sejak kita dalam tahun 2 lagi.”
Alisa ketawa. Bodyguard? Ai say! Macam-macamlah si Yanti ni!
Kepala Yanti semakin berasap melihat Alisa ketawa mengekeh macamlah apa yang dia katakan, lucu sangat! Memang nak kena ni, gumamnya dalam hati.
“Dulu, aku tak risau sangat sebab ke mana-mana kau pergi, kau bawak aku untuk jaga kau. Tapi sejak kebelakangan ni, kau selalu sangat keluar sorang-sorang. Balik pulak waktu lewat malam. Aku nak temankan, kau tak kasi!”
“Aik, merajuk ke? Yanti sayang, takkan aku nak ajak kau pergi dating, kan? Kacau daunlah namanya tu!” Balas Alisa sambil menghumbankan diri berbaring di atas sofa empuk, tempat dia selalu lepak kalau hendak menonton televisyen.
Semakin berasap kepala Yanti mendengar jawapan Alisa. Dijegilkan biji mata yang sedia besar ke arah gadis itu.
“Tak ada maknanya aku nak merajuk! Buat apa aku nak ikut kau? Nak tengok kau buat maksiat depan mata? Buat sakit hati saja!”
Alisa berpura-pura tidak mendengar. Mata sengaja dipejamkan, membayangkan pertemuan yang baru berlalu beberapa jam yang lepas. Pertemuan yang memang indah dan membahagiakan. Seronok!
Yanti sudah tidak dapat bersabar lagi. Dihamburkan apa yang sudah terbuku lama.
“Kau ni, Lisa, tak tahu malu betullah! Tiap-tiap malam kau keluar dan balik lewat. Pulak tu, bila balik, dah sampai depan rumah, bukan tahu nak masuk ke dalam terus. Kau bertapa dalam kereta tu dulu! Entah apa ajelah yang kau buat dengan orang tua kutuk tak sedar diri tu, aku pun tak tahu!”
Alisa tersengih mendengar omelan Yanti. Ditatap wajah gadis itu, wajah satu-satunya kawan rapat yang dia ada. Yantilah teman masa kecil, kemudian belajar di kelas yang sama semasa bersekolah menengah, sama-sama juga meminta kerja dan pergi temuduga, berjaya, dan sudahnya hingga kini, mereka bukan sahaja tinggal berdua dalam rumah sewa ini malah bekerja di pejabat yang sama.
“Alah, biasalah Abang Tiar tu. Bukan mudah nak bagi aku turun, maklumlah orang tengah mabuk asmara, kan?” balas Alisa sambil tergelak-gelak.
“Abang Tiar, konon? Lisa, dia tu sebaya pakcik Man, tahu.” Yanti sudah bersuara lantang.
Ada Alisa kisah? Pedulipun dia tidak! Malah dia terus tersengih. Sekilas, wajah ayahnya terbayang.
Memang benar, ayahnya dan lelaki bernama Bakhtiar itu, sebaya. Namun, umur yang sama tidak dilihat pada wajah kerana raut muka ayahnya memang nampak jauh lebih tua berbanding Bakhtiar. Faham-faham sahajalah… ayahnya kerja kampung, membanting tulang empat kerat sejak kecil lagi. Bakhtiar pula? Hmm, lelaki kaya itu? Dulang emas di dalam hidupnya, sememangnya berharta dan tidak perlu bersusah payah, merintikkan peluh di sawah mahupun di dalam ladang kelapa sawit seperti ayahnya. Bakhtiar sudah memiliki segala-gala!
Alisa terus menegakkan badannya dan kemudian mengeluarkan sesuatu dari dalam tas tangannya yang mahal. Sebuah kotak baldu berwarna merah hati dibuka dan wow! Silau biji mata Yanti memandang kalung berlian yang berkilauan, yang kini sedang diperagakan oleh Alisa di lehernya. Tentu sahaja, kalung cantik dan mahal itu adalah hadiah daripada lelaki berusia 55 tahun itu.
“Cantik tak?” Tanya Alisa riang. Seronok melihat reaksi Yanti yang sedang melopong mulutnya ketika ini.
Yanti merengus. “Cantik sangat! Tu yang buat kau tak lepaskan orang tua tu, kan? Maklumlah dapat hadiah bukan main mahal tiap kali keluar berdua, kan?” sindirnya.
“Dah orang beri, aku ambillah!” balas Alisa tanpa rasa bersalah.
“Kalau ayah kau tahu kau bercinta dengan orang tua tu, menangis dia, Lisa! Macam dah tak ada orang muda dalam Malaysia ni sampai suami orang yang dah tua kerepot tu juga yang kau kejar,” marah Yanti dalam rasa sakit hati yang teramat, melihat riak wajah kawan karibnya yang masih tega membela diri. Alisa yang langsung tidak berperasaan!
Wajah Alisa Azman masam mencuka bila dikatakan dia mengejar lelaki kaya itu kerana hakikatnya Bakhtiar yang beria-ia menginginkan dirinya. Bukan dia!
“Hello, aku tak kejar dialah, Yanti. Dia yang kejar aku, okey. Dia yang datang menagih kasih aku. Dia yang memujuk rayu. Dia yang terhegeh-hegeh!” marahnya.
Suasana hening seketika. Masing-masing cuba mengawal perasaan barangkali. Tiba-tiba telefon bimbit Alisa berbunyi. Melihat nombor yang tertera, dia terus memberikan telefon itu pada Yanti.
“Cakap aku dah tidur.” arahnya.
Yanti mengetap bibir sebelum menekan punat hijau.
“Waalaikumsalam. Bukan, saya Yanti, encik. Lisa? Dah tidur dah! Balik tadi, lepas mandi aje, terus lena. Nak saya kejutkan dia?”
Alisa jegilkan biji mata namun dia berasa lega bila akhirnya…
“Okey, nanti saya sampaikan pada dia. Waalaikumsalam.”
“Buah hati kau kirim salam.” kata Yanti sambil menghulurkan telefon bimbit Alisa kepada gadis itu semula.
Salam dijawab di dalam hati.
“Kau nak kahwin dengan dia ke, Lisa?”
Alisa memandang wajah Yanti tajam. “Siapa?”
Yanti mendengus kasar. “Siapa lagi, encik Bakhtiarlah!”
Alisa terus ketawa mengekeh. Soalan Yanti terlalu lucu baginya.
“Gila kau? Takkanlah aku nak kahwin dengan orang tua tu? Mengarut betullah kau ni.” Ujarnya kemudian.
Jawapan yang menyebabkan Yanti melepaskan keluhan.
“Itulah jawapan kau yang buat aku risau, Lisa.”
Erk?
“Lisa, berapa ramai lagi lelaki yang hendak kau permainkan hati mereka? Tak puas lagikah? Yang melukakan hati kau cuma seorang tapi,”
Rasa tersekat segala perkataan di kerongkongnya namun malam ini, Yanti nekad! Apa yang dia bimbang, harus dia luahkan.
“Lisa, sudah-sudahlah. Berhentilah! Kau nak buat semua lelaki menderita kerana membalas perbuatan Haziq Asrar. Kan tak baik tu? Lepas satu, satu, lelaki yang kau goda. Dah dia orang jatuh cinta pada kau, kau tinggalkan! Tu, kalung yang Encik Bakhtiar beri, kau sapu. Tapi cintanya kau permainkan. Adilkah?”
Mata Alisa membuntang mendengar kata-kata Yanti. Kalaulah Yanti bukan teman baiknya, mungkin pipi gebu itu sudah dilempangnya. Sakit benar hatinya mendengar. Pandangannya kini mencerlung pada wajah tenang Yanti.
“Habis tu? Adilkah apa yang Haziq buat pada aku, Yanti?” tanya dia, kasar.
Yanti menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Melihat wajah penuh amarah Alisa saat ini, dia tahu, bahawa kisah lama itu sedang ligat bergolak dalam kepala gadis itu. Tentu semua kenangan sedang bertandang saat ini….
“Dia cakap, dia cintakan aku sepenuh hati. Dia janji nak sehidup semati dengan aku. Tapi, sudahnya? Dia campak cinta aku ke longkang. Dia yang macam romeo, bertukar ganti teman wanita, dia jaja satu kampung yang aku ni perempuan miang yang tak cukup dengan dia sorang. Dia yang ditangkap berkhalwat dengan Emi Mazni, aku yang dituduh curang. Aku punyalah setia pada dia, sudahnya dia kahwin dengan perempuan tu. Kau tahu semua tu tapi kau masih nak marahkan aku, Yanti?”
Yanti termangu, kehilangan kata-kata.
“Hati aku hancur bila dia kahwin, tapi dia tak pernah puas menyakitkan aku dan keluarga aku. Lepas kahwin dengan Emi, dia berani merayu aku lagi, ajak aku kahwin dengan dia. Patutkah? Bila aku tolak, dia marah-marah. Habis satu kampung dia sebarkan fitnah lagi. Katanya, dia tak mahukan aku sebab aku dah tak ada dara. Emak aku menangis, ayah aku malu. Ada dia kesian?”
“Dahlah tu, Lisa. Itu semua cerita lama. Dah tiga tahun dah!” Yanti cuba memujuk.
“Kau yang tak mahu faham aku, Yanti! Kau tahu sebab kenapa aku benci sangat pada Haziq Asrar tu! Dan, kau jugak tahu kenapa aku jadi benci pada lelaki. Kenapa kau nak sakitkan hati aku dengan soalan-soalan kau tadi?”
Yanti terkesima. Resah mencari jawapan kerana dia tidak mahu menyakitkan hati Alisa yang sudah hancur oleh cinta palsu Haziq Asrar.
“Aku tak boleh maafkan dia! Aku benci dia! Bukan saja sebab dia bohong pada aku tapi sebab dia juga pembunuh mak aku. Sampai bila-bila, aku tetap berdendam. Bukan dengan dia sorang tapi dendam pada semua jantan-jantan hidung belang di luar sana! Aku nak ajar mereka, Yanti! Nak ajar mereka erti setia!” Balas Alisa bersama api kemarahan yang tidak pernah pudar.
“Tapi, Lisa? Apa bezanya kau sekarang dengan kau yang Haziq gambarkan pada orang kampung, hah? Apa yang kau buat sekarang ni dengan apa yang Haziq cakap, dah tak ada beza. Kau sekarang ni perempuan yang teruk tu!”
Alisa tatap wajah Yanti dalam-dalam. Dia kemudian bangun, berpura-pura menguap seolah-olah dia bosan dengan apa yang mereka berdua bualkan.
“Aku nak tidur. Malas aku nak kenangkan kisah lama tu. Kau pun pergilah tidur. Toksah susah hati tentang diri aku ni, okey! Selamat malam, Yanti.”
Yanti menyorot pandangan pada langkah lemah yang Alisa atur menuju ke bilik. Dia tahu, saat ini, Alisa berkecil hati dengannya, dengan kata-katanya. Tetapi, dia harap, dia mampu memperbetulkan kesilapan yang sedang Alisa lakukan. Sampai bila Alisa hendak berdendam dengan lelaki? Sampai bila hendak mempermainkan hati dan perasaan orang yang tidak bersalah? Sampai bila?














Nice! Gud luck, anyway!
nice..truskan usaha..
Bkn da dibukukan ke cite ni?
best
Nurjaa ariffin, aiqila firash, terima kasih
Arneza, belum dibukukan… tapi pernah dicerpenkan
blinkalltheday, ty
permulaan sangat baik. nak jadi pengikut setia