
Novel : 143 Tiada Penghujungnya 15
Oleh : Permata Nilam
BAB 15
“Siapa?” Aku mengajukan persoalan itu semula kepada Daniel.
“Kejap lagi tau ler kau tu. Jom” ajak Daniel berahsia. Aku mengikut sahaja langkah Daniel.
“Siapa Daniel?” soalku ingin tahu. Daniel masih enggan memberitahuku. Masing – masing sudah berada di atas basikal sendiri.
“Kalau kau nak tahu, kau kena ikut aku ke mana aku pergi” jelas Daniel. Aku berfikir – fikir seketika. Boleh percaya ke dia nie?
Agaknya dia mahu aku berkenalan dengan buah hatinya kot. Hehehe….. Pupp! Tangan Daniel sudah mendarat di kepalaku. Aku mengaduh kesakitan.
“Tersengih – sengih sorang – sorang. Cepat gerak” leter Daniel macam mak nenek.
Aku akur sahaja dengan arahan Daniel. Daniel jalan lurus.
Akupun jalan lurus. Daniel belok masuk simpang kanan, aku ikut sekali di belakangnya. Pelbagai persoalan bermain di benakku buat sementara waktu terpaksa aku pendamkan sahaja. Kami telah memasuki sebuah kawasan perumahan elit. Kali ini memerlukan kami mendaki bukit pula. Kemudian berhenti di depan pintu pagar banglo dua tingkat yang tersergam mewah. Daniel menekan loceng pintu. Menanti sesaat pintu pagar dibuka. Anak mataku liar memerhatikan sekeliling banglo itu. Pandanganku tertumpu pada sebuah kereta sport merah yang berada di laman banglo mewah ini. Aku seakan sudah biasa melihat kereta sport itu. Dalam aku tengah sibuk memikirkannya, suara Daniel mengejutkan aku. Rupanya pintu pagar sudah ternganga luas.
“Apa hal tercengat kat situ lagi, masuk ler” Aku menurut sahaja. Namun pandanganku tetap tidak beralih daripada kereta tadi.
“Daniel aku rasa macam pernah tengok je kereta tu. Tu bukan kereta kau ke?” tanyaku bingung.
“Memang pun” balasnya spontan dan bersahaja. Celaka punya budak. Buang masaku sahaja memerah otak mengingatinya. Jadi buat apa aku datang ke sini? Betullah hendak berjumpa dan berkenalan dengan buah hatinya. Aku tersenyum suka.
“Masuk” pintanya.
“Nak jumpa buah hati kau ke?” Daniel mengangguk mengiyakan. Aku menapak di ruang tamu mewah milik keluarga Daniel.
“Tunggu kejap aku nak beritahu buah hati aku yang kau dah datang” jelas Daniel.
Aku hanya mengangguk. Sementara menanti kedatangan mereka, aku memerhatikan gambar – gambar yang tergantung di ruang tamu. Ada gambar keluarga terpampang besar di situ. Budak comel putih melepak tersenyum menampakkan lesung pipitnya itu mesti Daniel tika zaman kecilnya. Lelaki bermisai nipis memakai kot hitam itu pula ayah Daniel dan perempuan cantik di sebelahnya itu mesti ibu Daniel. Aku membuat andaian sendiri. Keluarga Daniel tidaklah besar sangat. Kalau berdasarkan gambar ini, hanya Daniel sahajalah anak mereka. Oh…. anak tunggal. Patutlah sikap Daniel nakal semacam. Sempat juga aku memikirkan perkataan yang bakal aku keluarkan nanti untuk menyapa buah hati Daniel. Aku dan gadisnya itu pernah berselisih faham sebelum ini. Semuanya gara – gara Daniel.
“Dania” suara perempuan menyebut namaku. Pantas aku berpaling.
“Nek Jah” Aku terkejut melihat perempuan yang kini berada di depanku. Terus sahaja dia memelukku mesra.
“Tengok Daniel, kan betul kata nenek” Daniel tersenyum. Kupandang Daniel dan Nek Jah silih berganti. Hairan. Apa yang dimaksudkan oleh mereka berdua? Nek Jah tertawa.
“Daniel tak percaya yang Nek Jah kenal Dania. Sebab tu Nek Jah minta Daniel bawa Dania datang sini” ceritanya.
Barulah aku faham. Petang itu aku menghabiskan masaku beberapa jam dengan Nek Jah. Bercerita pelbagai perkara termasuk pengalaman hidupnya. Sesekali suara Daniel mencelah. Aku hanya sekadar menjadi pendengar setia. Tatkala aku meminta diri untuk pulang, sekali lagi Nek Jah menahanku. Dia mempelawaku makan malam bersama mereka. Malah Nek Jah memberitahuku awal – awal lagi dia dan pembantunya memasak untuk menyambut kedatanganku sebagai tetamunya. Aku jadi serba salah dan tidak ralat untuk menolak pelawaan itu. Tidak sampai hati mengecewakan Nek Jah. Mahu tak mahu aku bersetuju juga. Kutelefon ayah memaklumkan segalanya.
“Seronok dapat makan dengan Dania. Selalunya Nek Jah makan dengan Daniel je” ceritanya tidak putus – putus.
“Nenek tak seronok ke makan dengan Daniel?” soal Daniel berbaur rajuk.
“Hish…. budak nie” rungut Nek Jah lalu menepuk bahu Daniel. Daniel tersengih. Akrab sungguh Daniel dengan neneknya. Mana pula perginya ibu bapa Daniel? Kubiarkan sahaja persoalan itu bermain dalam diriku. Risau tersalah cakap mengguris perasaan mereka.
“Saya balik dulu Nek Jah. Terima kasih atas jemputan makan malam tadi.
“Sedap …” pujiku ikhlas. Nek Jah tersenyum lebar.
“Esok datang lagi” Aku sekadar mengangguk tetapi tidak berani memberi jaminan. Sebelum berpisah, Nek Jah sekali lagi memelukku mesra. Aku menyorong basikalku ke pintu pagar sambil masih diperhatikan oleh Nek Jah. Kupandang Daniel.
“Kau nak pegi mana dengan basikal tu?” Hairan tengok Daniel turut menyorong basikalnya keluar pagar.
“Nak hantar kau balik ler. Suruh tinggalkan basikal tak mahu. Takkan nak biar kau balik sorang – sorang lewat macam nie” tutur Daniel panjang lebar dan penuh tanggungjawab. Aku tersengih. Kulambai – lambaikan tangan ke arah Nek Jah sebelum meninggalkan banglo mewah itu.
“Thank you kerana temankan aku balik” ujarku tatkala sudah sampai di laman rumah. Daniel tersenyum.
“Thank you juga sebab sudi temankan nenek tadi. Aku nampak nenek benar – benar gembira hari nie” luah Daniel tersenyum.
“Ok aku balik dulu”
“Hati – hati” ujarku mengingatkannya. Daniel mengangguk lalu mula menggayuh basikalnya. Sempat juga dia melambai – lambaikan tangannya ke arahku.
“Sapa tu?” Aku tersentak. Ayah sudah berada di belakangku lalu memeluk bahuku mesra. Aku meletakkan kepalaku di bahu ayah.
“Letihnya…..”
“Macam mana tak letih sepanjang hari jalan – jalan dengan boyfriend” usik ayah kurang menyenangkanku.
“Kawan ler ayah” Nampaknya ayah sudah salah faham.
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
‘Aku tunggu kau kat kafe. Cepat datang aku dah lapar nie’. Aku mengeluh bosan. Entah untuk keberapa kali mesej ini kuterima. Daniel ini boleh tahan degilnya. Tidak faham – faham bahasa. Sudah kunyatakan tadi aku tidak mahu ke kafe kerana pagi tadi aku bangun awal daripada biasa. Jadi sempatlah aku bersarapan di rumah. Kebetulan pula aku masih kenyang lagi.
Tiba di ambang pintu kafe, nampak Daniel melambai – lambaikan tangannya sambil tersenyum lebar di sudut yang agak tersorok sedikit. Barangkali mahu bersembunyi daripada pandangan para peminatnya atau takut ditangkap oleh kekasih hatinya.
“Kan aku dah cakap tadi tak nak datang sini” rungutku. Daniel tersengih.
“Duduk” arahnya. Aku melabuhkan punggung di kerusi di hadapan Daniel dengan perasaan malas.
“Tapi akhirnya kau datang jugakan. Ketahuilah Dania Deliya bahawa sesungguhnya dari kalangan perempuan tiada siapa yang mampu menolak pelawaan orang sehandsome aku” tuturnya dengan suara yang seakan – akan berfirman hadis.
“Handsome kepala otak kau” Tanganku sudah mendarat menampar bahu Daniel sehingga muka dia berkerut menahan sakit. Baru puas hati aku. Pengajaran terbaik buat keriakannya.
“Aku main – main je kau dah serius” rungut Daniel sambil mengusap – usap lembut bahunya.
“Ajak datang sini tapi takde benda nak dimakan” omelku.
“Sabar kejap lagi sampai ler tu”. Betul kata Daniel, baru seminit dua aku duduk di situ, datang seorang remaja lelaki menatang hidangan yang dipesan oleh Daniel.
“Terima kasih dik”. Aku menatap makanan dan air yang sudah terhidang di depanku.
“Apa lagi makanlah” lagak Daniel seolah mengarah budak kecil. Segelas teh susu ais dan beberapa keping roti bakar. Tampak macam orang kaya kedekut pula dia ini. Teh susu ais ini walaupun bukan minuman yang agak ganjil tetapi aku tidak pernah merasanya.
“Menu macam nie baik untuk orang sukan. Tiada kolesterol dan kaya dengan kalsium untuk menguatkan otot – otot. Malah teh sangat sesuai untuk orang yang berdeit” terang Daniel seolah – olah membela dirinya dari kutukanku tadi.
Dengan kalimah Allah, aku menjamah roti bakar disusuli dengan beberapa teguk teh susu ais. Tiba – tiba aku rasa air teh yang kutelan tersekat di tengah – tengah kerongkongku. Macam ada yang tidak kena. Telan terus atau keluar? Otakku sempat membuat perkiraan. Namun tindakan mendahului fikiranku. Aku sudah pun menelannya dengan penuh ketidakselesaan.
“Kenapa kau nampak macam orang tercekik je”. Daniel menatapku hairan. Aku menarik nafas dalam – dalam. Terasa ada menyucuk – nyucuk anak tekakku. Sabar, bertahanlah. Rezeki tidak baik dikeluarkan balik. Hati kecilku cuba mengingatkan diriku.
“Daniel aku pergi tandas dulu”. Bingkas aku bangun meninggalkan Daniel yang terkulat – kulat hairan melihat tingkahlakuku. Di bilik kecil ini, terasa isi perutku terburai keluar. Ada mee goreng yang kumakan di rumah tadi berserta cebisan roti bakar. Semuanya keluar semula. Untuk beberapa minit aku melayan tekakku yang meloya.
Aku melangkah keluar dengan nafas yang turun naik. Sedikit rasa lega setelah mengeluarkan air teh susu tadi. Memang minuman itu tidak boleh diterima oleh tekakku. Aku boleh minum air teh tetapi kenapa pula aku muntah tadi? Sah aku alah dengan susu yang dicampur dengan teh apatah lagi dalam keadaan yang sejuk.
“Nia, are you okey?” Daniel terpacak beberapa meter di depanku sedang menatapku. Dibahunya tersangkut beg galasku. Tidak sedar pula aku beg itu tertinggal tadi.
“Semua ini salah kau. Ntah apa – apa air yang dia bagi minum kat aku”. Kulontarkan kemarahanku kepada Daniel. Dia tersengih panjang.
“Teh susu ais ler. Tupun kau tak tahu ke” perlinya berlawak. Kucapai beg sandangku yang tergantung dibahunya. Aku terus melangkah.
“Aik marah nampak. Bergurau pun tak boleh ke?” Kedengaran langkah Daniel mengejarku. Aku mengunci mulutku menahan rasa. Bukan rasa mahu marah atau mengamuk kepada Daniel tetapi cuba mengembalikan kestabilan diriku. Terasa masih ada sisa – sisa mabuk teh susu ais. Aku mempercepatkan langkahku cuba menjauhi tempat awam sebegini. Aku takut aku akan muntah lagi.
“Nia tunggulah aku”. Tidak kuhiraukan permintaan Daniel. Agaknya dia ingat aku sedang marah. Mungkin Daniel tidak menyangka sebegitu teruk aku alah pada teh susu ais tadi. Sebenarnya aku sendiri pun tidak menyangka akan jadi begini.
“Nia aku ada hal nak cakap kat kau nie”. Tangan Daniel menangkap tanganku lalu memusing tubuhku mengadapnya. Aku tiada pilihan lain. Benda yang ada dalam mulut terhembur keluar tepat – tepat mengena baju putih Daniel.
“Nia…!” suara Daniel bergema dan berlegar – legar di ruang angkasa. Aku tergamam.
“Sorry ….. sorry Daniel aku tak sengaja. Dah tak boleh tahan nak keluar juga” tuturku rasa salah dan simpati kepada Daniel.
“Eee….” Daniel mengibas – ibas lengan bajunya. Mujur juga bukan terkena muka Daniel kalau tidak pasti naya dan menjijikkan.
“Busuk ler….” rungutnya dengan biji mata yang terjengil. Aku tersenyum sambil garu – garu kepala. Kasihan Daniel jadi mangsa muntahku.
“Tuler kau sapa suruh tarik tanganku tadi” tuturku membela diri.
“Cakap ler awal – awal kalau nak muntah”
“Dah tak sempat”. Aku tersenyum lagi. Rasa lucu dan simpati.
“Aku nak balik ler. Tunggu aku call malam nie”. Daniel sudah memulakan langkahnya meninggalkan aku.
“Hey Daniel, kan belum habis kelas lagi. Kau nak ponteng kelas ke?”.
Aku cuba mengingatkannya. Namun Daniel sudah semakin jauh. Kalau aku jadi Daniel, aku pun akan melakukan perkara yang sama. Mana boleh tahan hidu bau masam apatah lagi manusia yang bernama Daniel itu sememangnya cukup menjaga penampilan diri. Maklumlah ramai sangat yang suka memerhatikannya.
Bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Malang sungguh nasib Daniel. Tiba – tiba hari ini Cikgu Tehran bersama skuadnya buat pemeriksaan mengejut dari kelas ke kelas. Pasti nama Daniel salah seorang yang tersenarai. Aku rasa tidak sedap hati. Mungkin esok Daniel akan menerima hukuman kerana ponteng kelas hari ini. Secara logik semua ini berpunca daripadaku. Barangkali aku boleh selamatkan Daniel kalau aku berterus terang sahaja dengan Cikgu Tehran. Sekurang – kurangnya dia boleh membuat pertimbangan dan dalam masa yang sama aku boleh menebus
kesalahanku kerana telah berjaya menyelamatkan Daniel dari dihukum.
“Kamu tak boleh balik sesuka hati dan ikut peraturan sendiri. Kalau ada hal sekali pun kena maklumkan kepada pihak sekolah. Tak boleh hilang macam tu saja” lantang sahaja suara Cikgu Tehran bergema di bilik ini.
Daniel tersengih panjang melirik kepadaku. Sempat juga aku memijak kakinya. Aku mahu dia menunjukkan wajah keinsafan agar mendapat belas kasihan daripada guru disiplin yang garang ini.
” Hah, Dania kenapa kamu muntah kat baju Daniel! Dah takde tempat lain nak muntah ke?” Anak mata Cikgu Tehran terjengil menatapku. Aku garu – garu kepala. Kedengaran gelak kecil yang ditahan – tahan di belakang. Pastinya datang daripada barisan pelajar yang sedang menunggu giliran untuk dihakimi lantas dijatuhi hukuman.
“Senyap!”. Sekelip mata sahaja bunyi – bunyian tadi terus lenyap. Semuanya gentar dengan Cikgu Tehran. Suaranya sahaja cukup menggerunkan. Hairan juga macam mana Daniel boleh tahan asyik berhadapan dengannya sedikit masa dahulu. Agaknya dia sudah lali dengan kegarangan Cikgu Tehran.
“Hah, Daniel sudah lama juga kamu tak dihadapkan pada saya! Satu perkembangan yang baik. Tetapi ponteng kelas bukan perkara mustahil yang kamu boleh lakukan. Kamu ada rekod disiplin yang buruk. Hanya kebelakangan ini saya tak dengar kesalahan kamu”. Panjang berjela bicara Cikgu Tehran. Aku sempat melirik ke arah Daniel. Dia tersengih bangga. Dipuji sikit sudah lebih – lebih bangganya dia. Barangkali inilah pertama kali Cikgu Tehran memujinya.
“Kebelakangan ini kamu sibuk apa? Risau juga dalam diam – diam nanti kamu bom sekolah nie” sempat juga Cikgu Tehran berlawak disambut dengan tawa Daniel.
Selamba sungguh manusia seorang ini! Sedangkan aku sempat memikirkan bicara tersirat itu. Dahsyat juga jahatnya Daniel dimata Cikgu Tehran. Macam pengganas pula nak bom. Daniel …. Daniel lurus bendul betul kau. Itupun kau tidak faham dan tidak sedar yang Cikgu Tehran sedang mengutuk kau. Aku tersenyum sendiri.
“Saya sedang sibuk bercinta cikgu”. Bupp! Senyumanku mati. Terlopong mulutku mendengar mulut celupar Daniel membuat pengakuan berani itu. Boleh tahan romeonya dia. He … he…. Hatiku digamit lucu.
“Apa? Kamu bercinta? Bercinta dengan Dania?”duga Cikgu Tehran.
Kali ini lebih dahsyat lagi tergamamnya aku. Wajah menyinga Cikgu Tehran sudah menatapku. Terasa bergegar – gegar jantungku. Daniel tersenyum sambil mengenyitkan mata ke arahku. Kurang asam betul Daniel. Kalau bukan kerana Cikgu Tehran di depan ini, pasti tangan ini sudah singgah dikepala Daniel. Biar aku betulkan otak sengetnya itu. Biar dia tahu tidak sewenangnya dia memperlakukan aku sedemikian. Kedengaran dehem – dehem di belakang. Sudah tentu bakal menjadi cerita sensasi nanti. Aku masih berharap Daniel akan memperbetulkan andaian Cikgu Tehran bahawasanya Daniel sedang bercinta dengan perempuan lain bukannya aku. Namun ternyata mulut Daniel terus sahaja terkunci rapat. Celaka kau Daniel!
“Ohh… patutlah pergi minum bersama, kejar mengejar dan sekarang Dania cuba nak bebaskan Daniel dari hukuman!”. Cikgu Tehran sudah membuat kesimpulannya.
“Bukan saya girlfriend dia cikgu” tuturku cuba membetulkan tanggapan Cikgu Tehran yang seratus peratus silap. Sungguh aku tidak tega menerima tuduhan tidak berasas ini. Sangat tidak adil buatku.
” Kamu nak lari dari hukuman Dania? Peraturan sekolah melarang pelajar bercinta. Kamu juga akan dihukum sama Dania” tegas Cikgu Tehran yang tidak mungkin dapat dibantah – bantah lagi.
Aku cukup sedar apa sahaja yang aku katakan tidak akan mengubah pendirian Cikgu Tehran. Walau macam mana sekalipun aku menafikannya selagi Daniel tidak menjelaskan perkara sebenarnya selagi itulah Cikgu Tehran tidak akan mempercayainya. Jehanam kau Daniel! Kau telah memalukan aku. Bertimbun – timbun sumpah saranahku kepada Daniel.
Mahu tidak mahu aku langsung tiada pilihan melainkan menerima hukuman daripada Cikgu Tehran. Sungguh kejam buatku. Kesal dengan tindakan Cikgu Tehran yang mempercayai Daniel tanpa mempertimbangkan untuk aku bersuara membela diri. Kesal kerana aku cuba bertindak baik untuk menolong Daniel tetapi hukuman yang aku dapat. Kecewa dengan sikap Cikgu Tehran. Sakit hati dengan Daniel. Sakit hatiku bertambah – tambah apabila melihat leretan senyuman pelajar yang sama – sama dihukum. Mereka juga berada di bilik Cikgu Tehran mendengar pengakuan gila Daniel.
“Nia tunggulah aku” panggil Daniel seolah – olah tiada apa yang berlaku. Dia sudah melangkah di sisiku. Aku tidak mempedulikannya.
“Kau marah aku ke?”. Aku diam lagi. Mendidih – didih hatiku mendengar soalannya itu.
“Sorry….. anggap saja hukuman ini sebagai menebus kesalahan kau” tuturnya senang. Aku menatap Daniel.
“Aku tak sengaja muntah kat baju kau. Kalau aku tahu macam nie jadinya, sumpah aku akan muntah betul – betul kat muka kau tu”.
“Ha.. ha… ha…”. Daniel ketawa sakan. Bicaraku mencuit hatinya.
“Tepi….”. Aku mengangkat cangkul setingginya sebelum menjunam
menjamah isi bumi. Nasib baik aku masih waras kalau tidak mahu juga aku cangkul sahaja Daniel yang tersengih di depanku ini.
“Kuat juga kau ye…” usiknya. Kutulikan telinga. Dalam keadaan sekarang pilihan yang terbaik adalah melepaskan kemarahan ini pada timbunan tanah ini.
“Kau marah aku ke?” tanya Daniel langsung tidak faham – faham malah menambah sakit hatiku. Memang dia ini manusia yang kurang peka.
“Nia….” panggilnya lagi. Aku tetap diam. Langsung tidak berminat untuk berbual mahupun menatap wajahnya. Akhirnya Daniel mengalah. Dia mula fokus pada kerja yang patut diselesaikannya.













best2…nak lagi…:-)
best…best..best..
please..sambung cepat..
tak sabar nak tahu penghujungnya..
(^_^)
cpat lah buat entry yang baru…plizzz……