
Novel : Aishiteru…! 15, 16
Oleh : Ayumi Afiqah
Bab 15
Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Amisya antara pelajar yang paling tidak sabar untuk mengikuti kem ke Angullia Beach Resort. Dia dan kawan-kawannya berkumpul di sekolah terlebih dahulu. Sebaik bas tiba, mereka terus berpusu-pusu menaiki bas. Namun Amisya sedikit kecewa apabila mendapat tahu Fakhry dan pelajar tingkatan enam yang lain menaiki bas yang lain.
Sepanjang perjalanan, ruang dalam bas itu tidak sesaat pun sunyi. Masing-masing riuh dengan aksi mereka. Ada yang menyanyi, ada yang berjoget dan ada juga yang bersembang tak ingat dunia. Sebaik tiba Angullia Beach Resort yang bertempat di Marang, mereka semua dikehendaki ke dewan untuk sesi ‘ice breaking’ oleh kem komander iaitu Cikgu Nasir yang juga merupakan salah seorang kaunselor mereka. Sesudah itu, mereka diberi kunci bilik, dengan enam orang pelajar setiap bilik.
Amisya sebilik dengan Fatin, Fatihah, Yuni, Wani, Akmal dan Ja. Sebaik saja masuk ke bilik, mereka semua terus menghempaskan badan ke atas katil yang empuk. Ja menghidupkan pendingin hawa sebelum turut serta ‘berenang’ di atas katil.
“Petang ni kelas pukul berapa ek?” tanya Fatin sambil memejam mata. Melepaskan lelah yang tadinya bergayut di tubuhnya.
“Pukul 5.00!” jawab Wani sambil baring di sebelah Fatin dan sama-sama memejam mata.
“Malasnya!” Amisya mengeluh lantas mencapai sebuah bantal dan dipeluk erat.
“Yalah, rasa macam nak tidur je… Sejuk pulak tu…” gumam Yuni pula.
“Eh, eh… jangan nak mengada-ngada ek. Cepat bangun! Sembahyang. Nanti pergi makan lepas tu masuk kelas.” Suara Akmal yang tegas membuatkan kesemua rakannya berdecit dan menayang raut muka masam. “Dah… dah… cepat bangun!” Akmal menepuk lengan Wani yang berada dekat dengannya. “Bangun!”
Mahu tidak mahu, terpaksalah mereka semua mencelikkan mata yang layu untuk menunaikan solat.
**********
Selesai solat isyak berjemaah, semua pelajar dikehendaki ke dewan untuk sesi motivasi bersama kaunselor jemputan. Semasa mengambil tempat, Amisya dapat mendengar suara rakan-rakannya yang berbisik perlahan. Berkerut mukanya memandang mereka semua. “Oit! Bisik apa?” sergah Amisya ingin tahu.
“Tu…” Fatin memuncungkan bibir ke satu arah.
Mata Amisya terus terhala ke arah itu. Yang dilihatnya ialah Hafizi yang sedang duduk di satu kerusi. Namun, perhatiannya lebih tertarik ke arah lelaki di sebelah Hafizi. Fakhry! Dia tersenyum. Tetapi cepat senyuman itu pudar bila perasan wajah Fakhry yang keruh semacam. Kenapa ya?
“Hensem gila Abang Fizi malam ni!”
Amisya berpaling ke arah Ja bila terdengar ayat itu. Patutlah semuanya ternganga daripada tadi. Rupa-rupanya terpegun tengok Fizi… Ish… Ish… Ish…
“Kan, Ami?” Wani memaut bahu Amisya sambil matanya tidak lepas dari merenung Hafizi.
Amisya buat muka. “Biasa aje aku tengok…”
“Ish!” Cepat tapak tangan Wani hinggap di bahu Amisya. Matanya menjegil geram.
“Aduh! Sakitlah!” Amisya menggosok-gosok bahu yang terasa pedih.
“Ami memang buta! Tak payah layan dia!” getus Fatin selamba.
Amisya mencebik. Malas menghiraukan kutukan rakannya itu.
Perhatian mereka semua teralih sebaik sahaja suara Cikgu Nasir kedengaran. Masing-masing cuba fokus dengan apa yang cuba disampaikan. Sesekali mata Amisya hinggap juga di wajah Fakhry tetapi lelaki itu hanya menyepi. Langsung tidak menoleh padanya, apatah lagi menghadiahkan senyuman. Fakhry seolah-olah sedang berada di dunia lain, dan sedikit pun tidak menghiraukan suasana sekeliling. Hanya Hafizi yang murah dengan senyumannya. Amisya pelik. Bukankah lelaki itu marah padanya tempoh hari? Kenapa hari ni elok je bagi senyuman?
Amisya pantas melarikan anak matanya bila perasan renungan Hafizi jatuh pada wajahnya. Hmm!
**********
Bilik gelap. Masing-masing sudah hanyut dibawa arus mimpi. Hanya Amisya yang masih terkebil-kebil di atas katil di sisi Yuni. Dia tidak boleh tidur. Puas dipaksa mata agar pejam tetapi matanya amat-amatlah degil malam ini. Hujan di luar semakin lebat, membuatkan Amisya hampir beku kesejukan. Yang peliknya, rakan-rakannya nampak lena sekali, langsung tidak terkesan di suhu yang sejuk ini.
Amisya bangkit dari katil dan bergerak ke arah tingkap. Langsir diselak untuk menjenguk keluar. Matanya tiba-tiba hinggap pada sesusuk tubuh yang sedang duduk berseorang di luar itu. Tempias air hujan yang mengenai tubuhnya langsung tidak dihiraukan. Amisya mengamati gerangan lelaki itu dari belakang. Nampak macam… Fakhry!
Amisya pantas mencapai sweater miliknya dan menyarungkan tudung ke kepala. Kemudian, dia melangkah keluar dari bilik. Perlahan-lahan langkah kakinya menghampiri tempat Fakhry sedang duduk sambil ralit termenung.
“Ehem… ehem…” Amisya berdeham beberapa kali.
Fakhry terkejut dan terus berpaling. Amisya menghadiahkan senyuman namun tidak dibalas oleh lelaki itu. Amisya memberanikan diri untuk duduk di sisi lelaki itu. Suasana amat gelap dan hanya ditemani bunyi air hujan yang turun mencurah-curah, takut juga sekiranya ada cikgu yang nampak.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Amisya teragak-agak. Melihat raut wajah Fakhry, dia tahu mood lelaki itu tidak baik sekarang.
“Ambik angin.” Ringkas jawapan Fakhry. Hampir-hampir tidak kedengaran.
“Ambik angin? Tengah-tengah sejuk macam ni?” Amisya tergeleng-geleng tidak percaya. Sweater ditarik rapat sambil berpeluk tubuh. Cuba melawan kedinginan.
Fakhry diam. Tidak membalas kata-kata Amisya. Renungannya jauh ke langit gelap.
“Kau kenapa? Okey tak? Kenapa dari tadi lagi aku tengok kau macam ada masalah je…” Lancar mulut Amisya melantunkan ayat-ayat itu. Terpancar riak kerisauan di wajahnya.
Fakhry merenung Amisya. Lama renungannya hinggap di wajah itu hingga membuatkan Amisya tidak senang duduk. Hisy… apa kena mamat ni? Seram aku! Amisya sudah berkira-kira untuk lari masuk ke bilik bila Fakhry tiba-tiba membuka mulut.
“Kalau aku cerita, kau janji akan rahsia?”
Amisya terpinga-pinga seketika sebelum akhirnya dia mengangguk. “Okey, aku janji. Apa dia? Ceritalah…” pintanya setelah denyutan jantungnya kini kembali ke rentak normal.
Fakhry diam beberapa minit. Sebuah keluhan berat terlepas dari mulutnya. Seolah-olah berat benar beban yang ditanggung. “Papa aku tinggalkan aku dengan Hana sejak tiga tahun lalu…”
Amisya terdiam. Terkejut, tergamam, terpaku semuanya ada. Tidak berkelip matanya merenung wajah Fakhry. Benarkah? “Ke… kenapa?”
“Dia malu… ada anak cacat macam Hana. Dia tak nak kawan-kawan perniagaan dia tahu yang anak dia cacat. Dia tinggalkan aku, mama aku dan Hana…”
Amisya tidak terkata apa. Sungguh, dia langsung tidak menduga lelaki bernama Fakhry di sebelahnya ini menanggung beban seberat ini sepanjang hidupnya selama ini.
“Papa dah mula berubah sejak Hana lahir. Masa umur Hana tiga tahun, dia nekad tinggalkan kami. Sejak tu jugak, aku berdendam dengan papa aku. Sampaikan aku selalu ponteng sekolah. Aku jadi anak tak berguna untuk mama. Sampailah satu hari, aku nampak mama menangis. Mama betul-betul tertekan dan… mama meninggal. Mama amanahkan aku jaga Hana. Aku insaf, tapi dah terlambat sebab SPM dah tamat masa tu. Result aku tak berapa okey, jadi aku buat keputusan untuk masuk tingkatan enam. Papa tak pernah balik, cuma duit nafkah dia tak pernah lupa kirim.” Fakhry berhenti di situ. Dia berusaha sedaya upaya menahan sebak yang mula berkumpul di ruang hati. Walaupun dia lelaki dan setegar mana pun dia, perasaan sedih itu tetap ada setiap kali terkenangkan kisah hidup yang tidak sebertuah orang lain.
Amisya diam tanpa sedikit pun menyampuk. Terselit perasaan kasihan dia hatinya pada Fakhry dan Farhana, juga mama Fakrhy yang tidak diketahui namanya.
“Aku berdendam dengan papa aku, sampaikan aku kurang concentrate study. Sebab tu cikgu suruh aku pergi kaunseling. Dari situ aku mula sedar yang masa depan keluarga ada kat tangan aku. Kalau aku gagal, macam mana nasib Hana?” Fakhry kembali merenung mata Amisya. Dia nampak di situ ada air yang bertakung. Mungkin gadis itu simpati padanya. Fakhry tersenyum pahit. Dia bukan jenis orang yang suka bercerita masalah pada orang lain. Tetapi malam ini… entah kenapa hatinya bagai ditarik-tarik untuk meluahkan semuanya pada Amisya.
Hati Amisya tersentuh mendengar cerita itu. Betapa Fakhry cukup menyayangi Farhana, hingga sanggup berubah demi adiknya itu.
“Masa cuti sekolah baru ni, Hana tiba-tiba tanya pasal papa aku. Aku tak sampai hati tengok dia. Aku cuba telefon papa, tapi aku sendiri jugak yang kecewa. Papa terlalu sibuk. Isteri muda dia yang jawab telefon. Dia… dia maki aku, dan larang aku telefon papa lagi. Hana nangis bila aku cakap tak dapat telefon papa. Aku cuba pujuk tapi dia tetap mengamuk nak papa. Aku tak sengaja tinggikan suara pada dia. Berhari-hari dia merajuk dengan aku. Nasib baiklah dapat jugak pujuk…” Ada keluhan berat di hujung kata. Fakhry menunduk. Kolam mata terasa panas tetapi dia tetap cuba bertahan setegar mungkin.
Baru kini Amisya faham mengapa Fakhry menyepi sepanjang cuti sekolah tempoh hari. Rupa-rupanya, ada sesuatu telah berlaku. Sesuatu yang pastinya telah menganggu emosi lelaki itu. Dan dia yakin, Hafizi sudah diamanahkan untuk menyimpah cerita itu.
“Fizi tahu, kan?” tanya Amisya setelah lama berdiam diri.
Fakhry angguk. “Hanya Fizi yang tahu. Dialah yang selalu bagi semangat pada aku. Dia memang sahabat aku yang terbaik…”
Amisya diam lagi. Kini dia mengerti kenapa Fakhry mengatakan Hafizi seorang yang baik. Ternyata, lelaki itu memang baik. Dia tiba-tiba rasa menyesal kerana sering menyakiti hati Hafizi.
Fakhry memandang jam tangannya. “Dah pukul 3.00 ni, kau pergilah tidur. Esok nak bangun awal,” ujarnya terus mengalih topik. Tidak mahu terus dibelenggu kisah sedih itu. Dia cuba tersenyum walaupun masih kelihatan hambar.
“Okey,” balas Amisya lantas bangun. Baru selangkah dia berjalan, Fakhry memanggilnya semula.
“Thanks sebab… sudi dengar cerita aku,” ucap Fakhry ikhlas.
Amisya senyum. “Tak apa, kalau kau perlukan kawan, aku ada. Hmm… kau banyakkan bersabar ek?” ujar Amisya lembut. Hanya itu yang mampu dikatakan sebagai pencetus semangat.
Fakhry mengangguk dan tersenyum.
**********
Selesai tazkirah pagi, semua pelajar dikehendaki berkumpul untuk aktiviti riadah. Rata-ratanya menayang raut wajah bosan mengikut apa yang diarahkan oleh Cikgu Nasir. Dengan muka yang berkerut seribu, mereka tetap meneruskan ‘riadah’ mereka itu.
“Aku rasa ni bukan riadah. Ini mainan budak umur lima tahun!” getus Amisya bosan sambil berpeluk tubuh. Ada ke mereka disuruh jalan itik? Menyakitkan hati betul!
“Sabar, Ami… dengar dek cikgu nanti, mati kau!” bisik Fatihah perlahan.
Amisya mencebik. Dalam kebosanan itu matanya meliar ke sekeliling. Yang ada dalam kelompok lelaki hanyalah Hafizi. Fakhry tiada. Dia cuba mencari lagi namun ternyata Fakhry memang tiada.
“Okey, buat bulatan. Setiap bulatan ada lima orang. Anggapkan diri awak semua ni burung yang terbang berkumpulan…”
Terdengar keluhan kasar masing-masing.
“Apa benda ni?!” Amisya menekan suaranya. Rakan-rakan yang lain turut mempamerkan wajah tak puas hati. Namun, masing-masing tetap akur meskipun dalam hati memberontak hebat.
Selesai aktiviti itu, mereka semua bergerak ke tempat makan untuk sarapan pagi. Ketika itu pun Amisya tidak nampak kelibat Fakhry. Akhirnya dia nekad untuk menegur Hafizi yang ketika itu sedang mencuci tangan di singki.
“Ery tak datang makan ke?” tanya Amisya, cuba memaniskan raut wajah. Harap-harap Hafizi sudi menjawab dan tidak memarahinya lagi.
Hafizi berpaling ketika terdengar suara yang cukup dikenali itu. Terus terukir senyuman di bibir sebaik sahaja wajah Amisya menyapa mata. “Ery tak berapa sihat. Pening kepala katanya. Agaknya sebab tak tidur semalam,” beritahu Hafizi terus terang.
“Tak sihat?” Amisya terkejut. Bukankah malam tadi lelaki itu elok-elok sahaja? Atau adakah dia berada di luar sehingga subuh, dan membuatkan dia pening kerana langsung tidak tidur? Amisya bingung sendiri.
“Masa aku keluar bilik tadi dia baru nak tidur. Tak sampai hati nak kejutkan. Lagipun aku dah bagitahu cikgu dia tak sihat. Tapi kejap lagi okeylah tu…” ujar Hafizi lagi. Senyuman manis bergayut di bibirnya. Biarpun masih tergores hati dengan kata-kata Amisya tempoh hari, dia nekad mahu melupakan semuanya.
“Ohh…” Amisya tidak terkata apa lagi. Kurang sedikit rasa bimbang di hatinya.
“Fizi!”
Terdengar seseorang melaung memanggil nama Hafizi. Amisya dan Hafizi serentak berpaling. Kelihatan Hadi dan beberapa rakan lain sedang berdiri di hujung sana. Hadi memberikan isyarat pada Hafizi supaya mereka segera beredar. Hafizi mengangguk dan menoleh memandang Amisya. “Aku pergi dulu,” ujarnya sebelum terus mengatur langkah mendekati rakan-rakan yang lain.
Amisya sekadar memandang.
**********
Petang itu, mereka semua diberi kebenaran mengambil angin di tepi pantai. Hampir melonjak semuanya apabila Cikgu Nasir memberi kebenaran. Baru masing-masing sedar, Cikgu Nasir itu baik juga orangnya.
“Ami! Jom ambik gambar!” Sarah menyerahkan telefon bimbit berkamera pada Fatihah dan menarik tangan Amisya untuk bergambar bersama.
Amisya hanya menurut. Dimaniskan roman wajah untuk hiasan gambar rakan-rakannya itu. Keseronokan mereka terhenti ketika terdengar nama Amisya dipanggil. Amisya menoleh.
“Jom ambik gambar dengan aku,” pelawa Hafizi sambil tersenyum manis.
Tidak sempat Amisya membalas, rakan-rakan yang lain sudah terjerit sakan. Fatin menghampiri Hafizi untuk mengambil kamera di tangan lelaki itu. Mahu tidak mahu, terpaksalah Amisya mengikut sahaja, tetapi dipastikan jarak agar tidak bersentuhan hatta lengan baju sekali pun.
“Cantik!” puji rakan-rakan yang lain serentak.
Hafizi tersengih-sengih bangga. “Thanks, Ami,” ucapnya.
Amisya membalas dengan senyuman ala kadar. “Err… Fizi, aku nak mintak maaf pasal hal hari tu. Aku…”
“Tak apa, aku dah lupa. Lagipun, takkan cepat sangat nak putus asa, kan?”
Balasan Hafizi itu membuatkan Amisya tersentak. Berkerut mukanya. Belum sempat dia membuka mulut, rakan-rakan yang lain sudah menyampuk. Masing-masing sibuk mahu bergambar dengan Hafizi. Hafizi pula tidak keberatan memenuhi permintaan mereka. Amisya bergerak ke belakang sedikit. Hatinya tertanya-tanya. Apa maksud Hafizi tadi? Dalam kebingungan itulah, matanya tiba-tiba terpandangkan Fakhry sedang duduk berseorang di hujung sana. Pandangan lelaki itu lurus ke tengah laut. Entah apa yang direnung Amisya tidak tahu. Wajah lelaki itu macam biasa, poker face. Menyebabkan Amisya tidak berani menegur.
Pada malamnya mereka berkumpul di dewan untuk mendengar ceramah dan motivasi daripada kaunselor jemputan. Motivasi malam ini agak berbeza berbanding malam semalam. Dewan gelap apabila lampu dimatikan. Hanya cahaya daripada skrin di hadapan yang menyuluh. Semua pelajar ralit mendengar setiap patah kata daripada kaunselor itu. Tentang pengorbanan ibu, pengorbanan ayah… Menyebabkan hampir semua pelajar menitiskan air mata. Amisya dan rakan-rakan juga tidak terkecuali. Hati masing-masing tersentuh. Mengingatkan betapa selama ini mereka sering melukakan hati ibu bapa masing-masing.
Sebaik motivasi tamat lebuh kurang pukul 11.30 malam, semua pelajar berarak keluar dari dewan. Ketika itulah Amisya ternampak Fakhry. Wajah lelaki itu keruh dan suram. Kelihatan seperti baru lepas menangis. Amisya tahu, pasti Fakhry lebih tersentuh hatinya mendengar motivasi tadi. Pasti juga dia terkenangkan arwah mama dan juga papanya yang entah di mana kini. Amisya hanya memerhati Hafizi memaut bahu Fakhry dan berkata sesuatu seolah-olah menyalurkan semangat ke dalam diri Fakhry. Melihatkan situasi itu, Amisya jadi terharu.
**********
Selesai tazkirah pagi, Cikgu Nasir mengambil alih mikrofon dari tangan Ustaz Syukri untuk membuat sedikit ucapan. Bukan ucapan sebenarnya, tetapi lebih kepada ayat-ayat berbisa yang ‘membasuh’ semua pelajar yang ada di surau ketika itu. Cikgu Nasir marah kerana ada antara pelajar yang tidak berdisiplin sepanjang mengikuti kem ini, terutamanya kehadiran ke surau pada waktu solat subuh.
Amisya dan rakan-rakannya sudah tersengguk di tempat masing-masing. Nasib mereka baik kerana ruang solat wanita dipisahkan oleh tirai dengan ruang solat lelaki. Hingg hampir pukul 9.00 pagi, barulah Cikgu Nasir berhenti bercakap. Serentak itu juga, terdengar keluhan lega dari mulut masing-masing.
Selesai makan, mereka semua masuk ke bilik masing-masing untuk mengemas barang. Sempat lagi Amisya bergolek di atas katil. Sebaik menangkap jelingan maut Akmal, segera dia bangun untuk mengemas cadar katil yang hampir tercabut daripada tilam.
Jam 12.00 tengah hari, mereka dikehendaki berkumpul di dewan untuk sesi penutup. Selesai makan tengah hari, mereka bergerak ke arah bas yang sudah sedia menanti. Satu lagi sesi pergambaran berlaku di dalam bas itu. Riuh juga keadaannya dengan suara masing-masing yang saling bertingkah. Sebaik sahaja bas mula bergerak, mereka semua melambai sambil mengucapkan selamat tinggal pada Angullia Beach Resort.
Bab 16
Sambutan minggu anti-dadah. Kesemua ahli PRS diwajibkan untuk menghias kawasan sekolah dengan pelbagai hiasan atau barang yang berkaitan dengan dadah. Amisya dan beberapa rakan yang lain hanya menjadi pemerhati dari jauh sahaja. Dalam ramai-ramai itu, ada Hafizi yang turut serta dalam aktiviti menghias.
“Abang Fizi tetap hensem… tak kira walau apa pun yang dia buat!” bisik Fatin dan Fatihah sesama sendiri.
Amisya buat-buat tidak dengar. Semenjak kejadian di pantai Angullia minggu lalu, Amisya makin kurang selesa dengan Hafizi. Dia bagai dapat merasakan Hafizi menyimpan perasaan padanya. Tetapi dia tidak mahu memperkatakannya pada sesiapa, takut nanti dikatakan perasan pula walhal memang rakan-rakannya sendiri sudah mengakui hal itu.
Amisya tercari-cari kelibat Fakhry. Tetapi tiada. Sudah lama tidak mendengar khabar lelaki itu. Bagai lesap dan lenyap ditelan bumi. Mahu bertanya pada Hafizi, tidak berani pula. Lagipun sekarang dia sedang berusaha untuk menjauhkan diri daripada Hafizi. Lebih baik mengecewakan sekarang daripada melukakan nanti.
**********
Amisya pulang lambat kerana mengulang kaji pelajaran di perpustakaan sekolah. Dia berseorangan tanpa ditemani teman-teman. Amisya mengambil tempat di tembok seperti biasa sambil menunggu ibu datang menjemput. Fikirannya melayang jauh terkenangkan Fakhry. Rasa rindu yang menggamit tangkai hati memang tidak dapat dinafikan lagi. Entah bagaimana keadaan lelaki itu sekarang. Okey ke tak okey?
Amisya terkejut apabila tiba-tiba terasa ada seseorang duduk di sebelahnya. Terus terbangun dia daripada duduk. Terdengar Faakhry ketawa. Lucu melihat reaksi terperanjat Amisya.
“Ya Allah… Ery! Aku ingat siapalah tadi,” marah Amisya geram. Dia menghembus nafas lega. Nasib baik tak gugur jantung.
Fakhry ketawa. “Kau berangan apa? Aku berdiri kat sebelah pun tak sedar,” ujarnya masih dalam tawa.
Amisya duduk perlahan-lahan. “Ya ke? Dah berapa lama kau berdiri tadi?”
“Dalam setengah jam…” jawab Fakhry dengan muka tak bersalah.
Amisya membulatkan mata. “Takkanlah!” Dia tidak percaya.
Sekali lagi Fakhry ketawa. “Taklah, baru dua tiga minit. Aku tengok kau ralit je termenung. Aku pun duduk ajelah. Tak sangka pulak kau terkejut sampai macam tu. Haha…”
Amisya mencebik. “Yalah… datang macam hantu. Lama menghilang, tiba-tiba je ada kat sebelah,” balasnya dengan suara manja. Bukan sengaja, tapi ia terjadi dengan sendirinya.
Fakhry tersengih. “Kenapa? Kau rindu aku ke?”
Soalan cepumas itu membuatkan Amisya terkedu. Rindu? Gulp!
“Rindu cakap rindu… Tak payahlah malu nak mengaku,” usik Fakhry. Dia berusaha mengawal tawa bila melihat wajah Amisya yang mula memerah.
“Siapa rindu kau? Perasan!” marah Amisya sambil menarik muka. Malu sebenarnya. Mudah benarkah mengesan rasa rindunya ini?
Fakhry ketawa tidak henti-henti. Amisya hairan. Apa yang menggelikan hati lelaki itu sebenarnya? Dan… kenapa hari ini dia begitu murah dengan tawa? Apa yang sudah jadi? Namun, tidak dinafikan Amisya senang melihat Fakhry ketawa. Terserlah kekacakannya yang selama ini tersembunyi.
“Kau buat apa tak balik lagi?” tanya Fakhry sejurus tawanya berhenti.
“Study kat library,” jawab Amisya jujur.
“Sorang?” tanya Fakhry lagi.
Amisya mengangguk.
“Sian… lain kali aku teman kau ek?” balas Fakhry dengan senyuman manis. Senyuman yang pastinya membuatkan hati Amisya jadi tidak keruan.
Aduh! Menggelabah aku jadinya, getus hati kecil Amisya. Dari jauh Amisya sudah nampak kereta ibunya menghampiri kawasan sekolah. Amisya segera bangun. “Ibu aku dah datang. Aku balik dulu. Bye!” ucap Amisya dan terus mendekati kereta ibunya.
Fakhry melambai kecil bersama senyuman.
**********
Amisya baru meletak kepala di atas bantal ketika telefon bimbitnya berdering nyaring. Sebaik membaca nama di skrin, mata yang tadinya layu terus segar-bugar. “Helo!” ucap Amisya setelah berbalas salam.
“Tak tidur lagi ke?” tanya Fakhry.
“Belum…”
“Haa aku tahu! Mesti kau tunggu aku call kau, kan?”
Ayat selamba Fakhry itu membuatkan Amisya menjegilkan biji mata. Nasib baik Fakhry tidak nampak. “Sejak bila kau dah pandai jadi perasan ni ek?”
“Entah! Sejak aku kenal kau kot…”
Kali ini Amisya terdiam. Tiada jawapan balas daripadanya. Agak lama talian sepi sebelum kedengaran suara Fakhry.
“Aku sayang kau, Ami…”
Amisya tersentak. Terasa bagai mahu gugur jantungnya mendengar sebaris ayat itu. Sayang? Fakhry sayang padanya? Biar betul! Terasa kelu lidahnya mahu berkata-kata. Benarkah?
“Jumaat ni kau free?” tanya Fakhry setelah tiada balasan daripada Amisya.
“Err… ke… kenapa?” Gagap jadinya Amisya.
“Aku nak ajak kau pergi Pantai Batu Burok. Hana nak sangat jumpa kau. Boleh, kan?” Suara Fakhry begitu lembut dan sangat romantis saat ini.
Membuatkan Amisya jadi tidak keruan. Sungguh tak sangka! “Err… boleh. Pukul berapa?”
“Lepas asar.”
“Ohh… okey, jumpa nanti.” Ringkas jawapan Amisya. Lidahnya terasa beku untuk bergerak.
“Okey, dah malam ni. Good night,” ucap Fakhry lantas mematikan talian.
Amisya termenung di atas katil. Rasa kantuknya tadi seolah-olah terbang bersama ucapan sayang Fakhry tadi. Benarkah Fakhry menyayanginya? Kalau benar, sayang yang bagaimana? Amisya tidak mampu untuk memikirkannya lagi kerana kini hatinya terasa bahagia. Senyuman manis terukir di bibir biarpun ketika dalam tidur.
**********
“Kau serius?” Suara Fiqa melengking kuat.
“Syhhh!” Amisya meletakkan jari telunjuk di bibir. Tidak mahu rakan-rakan yang lain mendengar.
Fiqa menekup mulutnya. Dia bagai tidak percaya mendengar cerita Amisya. “Habis kau macam mana?”
“Macam mana?” Amisya tidak faham soalan Fiqa.
“Aku tahu… kau pun sayang dia, kan?” tekan Fiqa sambil merenung tepat ke anak mata Amisya. Kata orang, mata tidak pernah menipu.
Amisya diam. Hanya bibirnya menguntum senyuman nipis. “Tapi… mungkin sayang dia hanya sebagai kawan. Aku tak nak berharap lebih…” jawabnya perlahan.
Fiqa mengangguk. Mengerti perasaan Amisya. Manalah tahu ‘sayang’ yang Fakhry maksudkan itu hanyalah atas dasar seorang kawan. Tak mustahil, kan?
**********
Amisya tersenyum sebaik sahaja kelibat Fakhry bersama Farhana menyapa pandangan matanya. Dia segera menghampiri mereka. Farhana dengan mesranya menarik tangan Amisya dan mengucupnya.
“Hana sihat?” tanya Amisya lembut.
Farhana mengangguk sambil tersenyum manis.
“Jom duduk sana,” ajak Amisya sambil memimpin tangan Farhana untuk duduk di atas pasir pantai yang memutih.
Fakhry hanya memerhati dari belakang. Senang hatinya melihat kemesraan itu. Dia berjalan ke arah sebuah pohon dan melabuhkan duduk di bawah pohon itu.
“Hana nak buat istana pasir tapi Hana tak reti. Kak Ami boleh ajar tak?” tanya Farhana manja.
Amisya tersenyum. “Boleh, sayang. Jom kita buat istana pasir.” Amisya dengan cerianya membantu Farhana membuat istana pasir. Dia bukannya reti pun, tetapi setakat untuk menggembirakan hati Farhana, apa salahnya buat-buat reti, kan?
“Nanti bila Hana besar, Hana nak buat istana pasir untuk abang.”
Sebaris ayat itu berjaya mengundang senyuman Amisya. “Ya ke? Kenapa?”
“Hana nak bagi hadiah kat abang. Hana sayang abang…” jawab Farhana. Riak polosnya itu membuatkan Amisya jadi terharu. Ringan tangannya mengusap-usap rambut Farhana. Ternyata Farhana juga terlalu menyayangi Fakhry. Bagaimana seorang ayah tergamak meninggalkan anak sepolos ini?
Fakhry hanya memerhatikan mereka dari jauh. Tersentuh hatinya menyaksikan kemesraan itu.
Sesudah hampir satu jam menghabiskan masa bersama, tiba masanya untuk pulang. Amisya terasa sayang untuk berpisah dengan Farhana. Begitu juga dengan anak kecil itu.
“Thanks… sebab sudi luangkan masa untuk Hana,” ucap Fakhry ikhlas. Erat tangan Farhana dalam genggamannya.
Amisya tersenyum. “Tak apa, aku pun suka main dengan Hana. Best!” balasnya sambil menaikkan ibu jarinya.
Fakhry membalas senyuman itu. Dia menyuruh Farhana menyalami tangan Amisya sebelum meminta diri. Farhana melambai-lambai pada Amisya. Amisya membalas dengan senang hati. Harap-harapnya selepas ini mereka masih ada masa untuk bermain bersama.













best2…nak lagi…:-)
Cte ni mkin lme mkin sronok.

ble smbgn cte nie??
x saba nk bca
insyaAllah nanti ada sambungan… thanks
mkin lma best citenya… cpat2 smbg ek…
waaa . . rse nk nangis bce cite ni . . . ;’) . . yg pnteng .. 100 thumbs up ! BEST !
mekasih semua..
