Novel : Cinta yang terindah 1, 2

27 February 2012  
Kategori: Novel

1,186 bacaan 1 ulasan

Oleh : IDA NARDIEL RASID

Penulis lama yang kembali menulis. Jom Baca karya IDA NARDIEL RASID

Bab 1
Saya sukakan awak sejak kita kecil lagi. Awak nak tahu tak, apa yang saya tulis dalam botol tu sebenarnya saya nak kahwin dengan awak!

Lyra Soraya terus terbangun bila bunyi jam loceng yang berada di atas kepala katil betul – betul membingitkan telinganya. Mahu saja dia menghempaskan loceng berbentuk bunga matahari itu ke dinding. Kemudian Lyra Soraya mendengus lalu mengusap wajahnya berkali – kali. Sudah tiga kali saya bermimpikan seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya mahu mengahwininya. Apa maksud mimpi ini? Ieeee mengarut saja mimpi ni!

Mata Lyra Soraya berkelip – kelip melihat jam loceng. Eiiiee mengacau saja! Namun dia tidak dapat menyambung tidurnya yang enak itu kerana satu cahaya menembus masuk melalui lubang – lubang kecil di atas tingkap. Ini memaksa Lyra Soraya bangkit juga dari katil. Dia menguap panjang sambil mengenyeh – genyeh dua biji matanya. Rasa malas pula dia hendak ke kolej hari ini. Dia belum puas mengecapi nikmat tidur. Ikutkan hati mahu saja dia ponteng kelas hari ini. Dia belum pernah dapat merasa nikmat ponteng walaupun demam dia sanggup dia ke kolej. Kalau tidak kerana ada ujian pada hari ini mahu saja dia tuang kelas. Malas betul dia hendak menghadap muka Puan Rosnitah yang suka membebel. Kalau tak membebel satu hari memang tak sah! Ada sahaja yang tak kena pasal tugasan dan latihan tutorial.

Lyra Soraya termenung seketika kemudian mengalih pandangan ke siling kemudian jam loceng ditenung dengan rasa geram. Jarum jam mencacak ke angka 6.30 pagi. Pengacau! Jam dinding adalah musuh utamanya waktu pagi. Tapi tika hendak tidur, jam loceng itulah sahabat sejati yang mengharapkan dia dikejut bila tiba waktu. Tangan kanannya sempat menghentak jam loceng itu dengan kasar. Rambutnya yang ikal mayang di selak ke belakang. Mama beriya iya mahu dia memotong rambut tapi papa tidak benarkan. Kata papa, dia ayu bila berambut panjang. Mama pula kata dia macam orang sakit kalau rambut panjangnya jika tidak dijaga dengan betul.

Kain selimut bercorak – corak bunga yang tebal itu diselak dengan kasar. Dia bangun terus menyarung selipar lembut berbulu warna merah jambu sambil meggaru – garu kepalanya yang tidak gatal. Dia menguap lagi sambil mengangkat kedua – dua tangannya. Mahu merenggangkan urat – urat badan kemudian membuka kedua – dua matanya dengan seluas – luasnya. Aduh, cepat sangat siang menjelma. Bilalah malam akan datang lagi. Keluh Lyra Soraya lemah. Lyra Soraya terduduk di atas katil. Punggungnya masih berat mahu bangun. Malasnya, desis Lyra Soraya sambil mengangkat tangan kanan untuk diregangkan.

Aduh, tak puas tidur rasanya. Bila melihat bantal Spongebob dan selimut, mahu saja dia baring kembali tapi teringatkan kelas hari ini terpaksa dia membatalkan niat nakalnya itu. Lyra Soraya merungut – rungut sambil mencapai botol tuppaware yang berisi air masak lalu diteguk. Lyra Soraya segera duduk di atas birai katil. Kata Mama elok minum air kosong sebaik sahaja bangun pagi. Bagus untuk melancarkan perjalanan darah dalam badan. Kata mama lagi, tak elok minum air sambil berdiri. Mudah diserang penyakit dan penyakit pun sukar untuk sembuh. Kadang – kadang petua orang dulu – dulu memang elok diguna pakai. Kalau berhadapan dengan Nek Timah, lagilah pulak. Itu ini semua kena jaga. Pantang itu pantang ini. Kalau dengan Opah Zulaikha pulak semuanya boleh. Maklumlah Opah Zulaikha nenek moden yang bergelar Datin Sri tapi sesekali ada juga pantang larang yang diamalkan terutama kalau berkaitan dengan kecantikan.

Matanya melilau ke segenap ruang kamar. Kamar yang indah menggamit hatinya untuk selalu bersendirian di dalam biliknya. Matanya terpandang satu majalah. Entah keberapa kali majalah itu ditatapnya berulang – ulang kali. Dia melihat wajah seorang lelaki tersenyum bersama seorang wanita cantik yang merupakan seorang peragawati. Matanya terkebil – kebil melihat gambar wajah lelaki dan teman wanitanya yang diambil sewaktu anugerah hiburan Malaysia baru – baru ini. Tajuk rencana itu berbunyi
FIERA BAKAL SURI HATI ARKITEK TERKENAL.

Majalah hiburan dilemparkan di atas katil. Ada rasa kecewa namun ditahan. Mungkin dia sudah lupakan aku. Mungkin! Tak mengapa, aku sudah pilihan lain. Lyra Soraya mengukir senyuman bermakna. Dia tidak sabar – sabar mahu ke kolej. Ada sesuatu yang membuatkan dia begitu rajin ke kolej.

Lyra Soraya berdiri di hadapan cermin dengan muka sengaja dimasamkan. Mukanya teruk dengan rambut kusut masai. Mukanya juga nampak pucat lesi dan tidak bermaya langsung. Lyra Soraya membuat aksi – aksi seperti gaya peragawati di hadapan cermin. Agak – agak aku ni ada iras – iras macam Fiera tak? Lyra Soraya mencemikkan wajahnya. Hmmm, aku adalah aku! Tak payalah nak ikut macam dia orang tu. Muka pun banyak parut dan jerawat tapi tempek setebal – tebalnya dengan alat mekap.

Sikat bergigi halus dicapai dan disikat ke rambutnya agar nampak lurus. Rambut disikat perlahan – lahan agar tidak terasa sakit bila menarik sikat dari rambut. Kemudian dia tersenyum di hadapan cermin. Dia membuat pelbagai memek muka. Lyra Soraya nampak comel dan cantik bila rambutnya diluruskan. Wajahnya tidak hodoh biarpun dia membuat pelbagai memek muka. Lyra Soraya ketawa perlahan. Dia suka benar melihat wajahnya sendiri. Rambutnya lurus mewarisi dari Mama. Tubuhnya yang tinggi lampai diwarisi dari papa pula. Manakala raut wajah dikatakan ada rupa mamalah, ada yang kata macam rupa papalah. Tak kisahlah janji aku anak papa dan mama. Lyra Soraya tersenyum manja.

Lyra Soraya menjeling jam dinding yang terletak di atas muka pintu. Pukul 6.45 pagi. Dia cepat – cepat masuk ke bilik air. Dia tidak mahu mengambil masa yang lama untuk mandi. Dia harus menunaikan solat subuh dahulu sebelum bersiap – siap.

Kereta Nissan Sentra hitam berhenti di hadapan Kolej Utama Antarabangsa Putra. Encik Fadzlisyam merenung wajah anak gadisnya yang tersandar sambil termenung jauh. Dari rumah tadi Lyra Soraya tidak bercakap sepatah pun. Mungkin hidup ketika belajar memang mencabar. Dia juga pernah menjadi seorang pelajar. Setiap hari banyak perkara hendak difikirkan. Nota, latihan, tugasan, persatuan dan macam – macam lagi. Sabarlah nak, begitulah rutin hidup orang belajar.

“Lyra sayang, dah sampai ke kolej ni. Tak mahu pergi ke kolej ke?” tanya Encik Fadzlisyam lembut. Wajah anak gadisnya direnung dalam – dalam. Seiras wajah isterinya.
Dia terlalu kasihkan anak tunggalnya ini. Anak gadisnya yang satu ini amat manja dengan dia.Boleh dikatakan dua beranak ini mempunyai tabiat dan persamaan yang sama terutama dari hobi iaitu suka membaca. Kalau bersembang ada sahaja cerita yang dibualkan hingga boleh ketawa terbahak – bahak dibuatnya.

“Rasa malas pulak nak pergi kolejlah papa” kata Lyra Soraya dengan suara lemah tapi manja. Beginilah rutin hari – harinya. Habis kelas terus pulang ke rumah. Kadang – kadang dia dan tiga rakan baiknya akan ke pusat membeli belah untuk makan bersama sambil bercerita, mencari buku atau novel setidak – tidakpun menonton wayang.

Lyra Soraya sengaja buat – buat lemahkan diri dan matanya merenung wajah papanya meminta simpati. Kemudian merenung pintu gerbang kolejnya yang tesergam indah dan gagah menyambut kedatangan pelajar – pelajar. Dari dalam kereta dia melihat beberapa orang rakan sekolej berduyun – duyun naik ke kawasan kolej. Pintu gerbang Kolej Utama Antarabangsa Putra atau lebih dikenali sebagai KUAP tersergam indah diserikan dengan sebuah kolam buatan manusia di sebelahnya. Terdapat taman yang agak besar sarat dengan bunga – bungaan. Di situlah Lyra Soraya dan rakan – rakannya selalu mengulangkaji pelajaran. Udaranya nyaman dan tenang bila menelaah di situ.

“Aik, kenapa malas pulak? Pergilah… nanti kalau mama tahu Lyra ponteng, bising dia nanti. Lyra bukan tak tahu mama Lyra tu macam mana” pujuk Encik Fadzlisyam lembut namun ada ketegasan. Dia mengeluh sedikit. Dia tak pasti adakah Lyra Soraya betul – betul atau main – main. Adakala anak manjanya ini gemar bergurau dalam nada serius.

Tangan kirinya menyentuh rambut Lyra Soraya. Encik Fadzlisyam tidak pernah marahkan Lyra Soraya. Sebaliknya setiap kenakalan dan kedegilan Lyra Soraya adalah pengubat hatinya. Kadang kala tingkah laku Lyra Soraya tak ubah macam budak – budak kecik pun sudah menjadi penghiburnya. Meskipun Lyra Soraya seorang anak gadis yang degil, dia tidak mahu malah tidak suka memarahi anaknya secara membabi buta. Dia tahu ada cara yang terbaik untuk mendidik anak. Berbincang dari hati ke hati adalah jalan yang terbaik. Dia mahu menyelami perasaan anak gadis kesayangannya ini.

Lyra Soraya semakin menginjak ke usia dewasa. Tahun ini sudah berusia 20 tahun tapi perangai mengalahkan budak –budak. Namun apapun tanggapan orang lain, perhatian perlu dilebihkan kepada Lyra Soraya. Usia seperti Lyra Soraya lah banyak anak – anak gadis terjerumus ke lembah yang tidak elok. Terjerumus ke lembah zina, dadah, gay, ecstascy dan sebagainya. Dia selalu bimbangkan Lyra Soraya, permata hatinya yang satu ini. Dia tak mahu berlaku kehilangan lagi. Cukuplah yang seorang itu dijemput olehNYA. Dia tidak sanggup lagi melihat wajah murung isterinya. Tidak mahu melihat Lyra Soraya menangis lagi. Kini Alhamdulilah semuanya sudah kembali seperti biasa. Berkat dari doa setiap hari semua pulih seperti sediakala. Setakat ini dia sudah cukup kenal siapa kawan – kawan baik Lyra Soraya. Tiga rakan baik Lyra Soraya amat disenanginya. Selalu Lyra Soraya membawa pulang rakan – rakannya ke rumah.

“Lyra tak boleh macam tu, sayang. Lyra kena tahu apa tujuan kita belajar. Mama dan papa dah ada ijazah takkan Lyra tidak mahu mengikut jejak kami. Lyra kena lebih tinggikan tahap pendidikan Lyra. Kalau boleh papa nak tengok Lyra buat master kalau boleh buat Ph.D”jelas Encik Fadzlisyam panjang lebar dengan penuh harapan. Bibirnya mengukir senyuman mengharap yang anak gadisnya akan menjadi insan yang terbaik.

Lyra Soraya yang tersandar lesu hanya memandang wajah papa seolah – olah kata – kata papa masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Hari ini dia benar benar tak ada mood ke kolej.

“Okey macam ni, kalau Lyra dapat tiga pointer ke atas, papa akan hadiahkan kereta, nak?” umpan Encik Fadzlisyam tersenyum.
Dia tahu Lyra Soraya pernah berhasrat untuk memiliki kereta sendiri. Kata Lyra Soraya, tak mahu menyusahkan papa menghantar dia pagi – pagi setiap hari ke kolej. Encik Fadzlisyam mengusap – usap rambut ikal milik Lyra Soraya. Rambut yang tidak ubah seperti Suriana, isteri yang dicintai sepenuh hati.

Tidak semena-mena mata Lyra Soraya bercahaya terang. Mahu saja dia menjerit sekuat hati bila terdengar kata – kata papa. Dia merasa bersemangat kali ini. Dia memeluk papanya kuat-kuat dengan sepenuh hati. Tamat SPM dia terus belajar memandu kereta dan hasilnya dia berjaya memiliki lesen kereta. Dia nekad mulai hari ini dia mahu belajar lebih kat lagi. Dia mahu tingkatkan pointer pada semester ini.

“Betul ke papa?” tanya Lyra Soraya seperti tidak percaya.

Benarkah apa yang dia dengar sebentar tadi? Benarkah papa yang berkata sedemikian. Pernah dia menyuarakan hasrat itu pada mama tetapi ditolak mentah – mentah oleh mama.
Encik Fadzlisyam mengangguk laju,”Pernahkah papa berbohong pada Lyra?”kedua–dua matanya membulat merenung wajah anak tunggalnya.

Encik Fadzlisyam bersungguh – sungguh berbicara tentang itu. Sudah tiba masanya Lyra Soraya berdikari. Tidak perlu lagi dia menghantar Lyra Soraya ke kolej setiap hari. Kadang – kadang dia tergesa – gesa memandu dijalan raya.

Lyra Soraya menggelengkan kepala. Papa adalah papa yang terbaik di dunia. Papa adalah hero buat dirinya. Papa adalah segala – gala dalam hidupnya. Papalah pria terhebat. Lyra Soraya memuji-muji papa dalam hatinya. Selama ini papa tidak pernah menghampakan dirinya. Segala kehendak dan kemahuan dirinya dituruti. Apa yang dihajatkan pasti tertunai.

“Baik, Lyra janji akan dapatkan tiga pointer ke atas. Lyra akan belajar bersungguh untuk papa” ikrar Lyra Soraya gembira. Senyuman di bibir tidak putus – putus sejak tadi.
Lyra Soraya tidak sabar – sabar untuk memiliki kereta sendiri. Sudah lama dia angankan Suzuki Swift hitam menjadi miliknya.

“Bukan untuk papa sayang tapi untuk Lyra. Papa nak tengok Lyra berjaya dalam pelajaran. Bila Lyra dah berjaya pegang ijazah, papa dan mama tak minta apa apa pun. Cukuplah dapat tengok Lyra berjaya. Bukan senang nak senang” kata Encik Fadzlisyam tersenyum. Tangannya menggosok – gosOk lembut kepala Lyra Soraya. Dia mahu ada masa depan yang lebih baik dan cerah untuk anaknya. Dia dan isteri mahu Lyra Soraya memiliki masa depan yang lebih baik daripada hari ini. Lebih baik dari dirinya sendiri.

“Baik papa. Lyra janji tak akan kecewakan papa. Lyra akan dapatkan keputusan yang paling cemerlang nanti. Papa cuma tunggu dan lihat saja, okey?” janji Lyra Soraya terus mencapai tangan papa lalu mencium pipi Encik Fadzlisyam.
Dada Encik Fadzlisyam terasa sebak. Dia bertuah miliki anak yang cantik, bijak dan berbudi bahasa. Inilah anugerah yang terindah dalam hidupnya.

“Okeylah papa, Lyra dah lambat ni. Lyra pergi dulu. Assalammualaikum!” Lyra Soraya terus membuka pintu kereta. Tangannya sempat melambai – lambai ke arah kereta papa lalu bergegas berlari mendapatkan tiga rakan baiknya yang sudah menanti di pintu gerbang KUAP.

Encik Fadzllisyam tersenyum melihat anak gadisnya berlari – lari menuju ke gerbang utama kolej. Secara tiba – tiba hatinya terasa sebak. Sepatutnya ada lagi seorang bersama Lyra Soraya. Lyly, setiap hari papa rindukan Lyly. Serta merta air matanya mengalir . sejak akhir – akhir ini Lyly Sopeya selalu muncul di dalam mimpinya dengan wajah yang tenang bersama senyuman manis. Damailah kau di sana, nak.

Bab 2

“Good Moning nek!”sapa satu suara di belakang.
Datin Rahmah yang leka mencicip teh cina terus mencari – cari wajah kesayangannya. Lelaki tampan dan segak bergaya persis tokoh korporat terus mencium kedua -dua pipi Datin Rahmah. Rutin setiap hari yang mesti dia lakukan.
Datin Rahmah menepuk – nepuk lembut pipi cucunya. Rasa rindu pula mahu melihat wajah comel cucunya ketika di alam kanak – kanak dulu. Kalau degil habis ditarik pipi cucunya yang gebu. Tidak pun pulas telinga cucu lelakinya yang seorang ini. Sekarang cucunya sudah dewasa. Hilang sudah pipi tembamnya. Sebaliknya menjadi seorang pemuda yang kacak. Namanya selalu menjadi sebutan Datin dan Puan Sri yang berangan mahu menjadikan cucunya menantu.

“Nenek tahulah pipi nenek ni tak segebu Fiera” usik Datin Rahmah tersenyum tanpa memandang wajah cucunya. Tanpa menunggu masa, air dalam cawan ditangan terus diteguk hingga habis.
Azhan Andrew yang baru menjejakkan punggung sedikit terkejut. Dahinya berkerut memandang wajah tenang Datin Rahmah. Adakah nenek masih tidak menyukai Fiera? Atau nenek sekadar mahu menguji? Azhan Andrew hanya menunggu masa yang ditetapkan untuk dia dan Fiera duduk di atas pelamin. Fiera sudah berangan untuk memilih tema Inggeris. Kata Fiera lagi kalau boleh nak macam perkahwinan Kim Kardhashian dan Kriss. Terduduk juga dia mendengarnya. Biar betul? Kalau boleh perkahwinan yang dibina biarlah berunsur Islam dan diserikan dengan bacaan doa, zikir, nasyid dan sebagainya sebagai tanda keberkatan. Azhan Andrew juga nekad untuk tidak menerima sebarang tajaan dari mana – mana pihak luar. Biarlah dia dan Feira memilih barang perkaheinannya sendiri dan berpuas hati.

“Nek, An tak pernah cium mana – mana perempuan. Walaupun An dibesarkan di luar negara, An belum pernah buat perkara yang terkutuk macam tu” suara Azhan Andrew seperti merajuk. Buat – buat rajuk. Sengaja mahu meraih perhatian nenek.
Datin Rahmah terus mengangkat muka merenung wajah cucu kesayangannnya. Satu – satunya cucu yang dia miliki di muka bumi ini. Dia rasa bersalah pula mengusik dengan cara begitu walaupun sekadar gurauan

“Maafkan nenek sayang. Amboi….dah besar panjang pun masih memuncung juga? Laaa apapun Nenek tetap percayakan An. Tadi tu nenek usik An saja. Bukan apa, dah lama tak mengusik cucu nenek sorang ni”Datin Rahmah mengalas kata dengan sebaik mungkin. Bahu anak muda itu ditepuk – tepuk.

Datin Rahmah tidak menyangka sikap sensitif Azhan Andrew masih tidak berkurangan. Kalau marah pun, Azhan Andrew cuma membisu seribu bahasa. Memang susah mahu lihat Azhan Andrew marah ataupun mengamuk. Kalau sudah mengamuk nasiblah! Tiba – tiba teringatkan arwah anaknya, Andriana yang juga seorang yang sensitif dan kuat merajuk. Hati ibunya tersentuh seketika. Anak bongsunya pergi meninggalkan dunia ini dalam usia yang muda. Ada rasa terkilan namun dia harus redha. Permintaan si anak meminta dia menjaga Azhan Andrew diterima dengan hati terbuka. Meskipun dia ada cucu – cucu yang lain namun Azhan Andrew seperti nyawanya sendiri.

Azhan Andrew tersenyum simpul. Dia tahu nenek suka bergurau. Kerana itulah arwah datuknya yang memiliki raut wajah masam dan garang akan tertawa bila nenek mengusik. Tiba – tiba rindu pula dengan arwah datuk yang baru setahun meninggalkan dunia ini. Masih dia ingat bagaimana getirnya arwah datuk berjuang melawan penyakit kanser usus. Seingat dia arwah datuk seorang yang menjaga amalan pemakanan, selalu berjogging dan mengambil suplemen tambahan. Ubat kencing manis dan darah tinggi juga diambil mengikut waktu yang ditetapkan. Entahlah, mungkin sudah tiba nasib arwah datuk. Kalau diimbas semula memang ada keturunan sebelah Datuk yang meninggal dunia akibat barah. Dia juga harus berjaga – jaga sebab arwah mama ’pergi’ pun kerana barah payudara. Apapun dia kagum dengan kesetiaan datuk terhadap nenek. Walaupun arwah datuk adalah jutawan, tak pernah terfikir untuk menduakan nenek apatah lagi mengahwini wanita – wanita lain.

“Nek, boleh An tanya?”tanya Azhan Andrew Kali ini dia mahukan kepastian yang nyata dari neneknya sendiri.

“Ish budak ni. Macam baru kenal nenek pulak. Ha, tanyalah, apa dia?”Datin Rahmah merenung wajah Azhan Andrew dengan muka serius. Datin Rahmah tekun menyuap makanan ke dalam mulut.

“Betul ke nenek restu hubungan saya dengan Fiera?”tanya Azhan Andrew dengan muka serius. Bibirnya bergetar sedikit bila menyebut nama Fiera.

Datin Rahmah tidak terkejut. Sudu dilepaskan di tepi pinggan”An! An! Nenek tak tahu ini kali ke berapa kau tanya soalan yang sama. An, buat apa nenek nak halang hubungan kamu berdua. Kamu dan Fiera saling suka antara satu sama lain. Sayang menyayangi. Yang penting Fiera boleh membahagiakan kamu. Kalau dia melukakan hati kamu sama juga dia melukakan hati nenek” tegas Datin Rahmah.

Pada awalnya dia menentang hubungan Azhan Andrew dnegan model dan pelakon terkenal itu tapi bila melihat kesungguhan Fiera cuba memenangi hatinya, dia mengalah. Gadis itu bukan sahaja cantik tapi pandai mengambil hati. Dia cuma berharap Fiera akan berubah mengenakan pakaian yang lebih elok dan menutup aurat. Mana tidaknya, setiap kali bertemu mahu terjojol biji mata dibuatnya.

“Walaupun cara hidup Fiera kebaratan?”duga Azhan Andrew.

“An, dengar sini. Bila kamu berdua dah kahwin nanti, kamu ada hak ke atas Fiera. Kamu boleh mendidiknya. Mungkin suatu hari nanti Fiera akan menjadi lebih baik daripada sekarang. Macam papa kamu, seorang mualaf. Arwah mama kamu perlahan – lahan membantu papa kamu. Bezanya Fiera orang Melayu beragama Islam dan papa kamu tu asalnya orang putih yang beragama katolik. Nenek bangga dengan usaha mama kamu. Sekarang kamu lihat papa kamu, dia bukan calang – calang orang di UK. Papa kamu bukan sahaja seorang pensyarah tapi dia juga mendidik dan membantu saudara – saudara baru di sana. Dalam dunia ini, manusia ada hak diberi peluang. Tak kira kali ke berapa pun janji dengan hati yang ikhlas” ujar Datin Rahmah tersenyum. Tersenyum dalam paksaan demi kebahagiaan cucunya ini.

Datin Rahmah tahu menantunya di UK juga menghalang pilihan Azhan Andrew namun perlahan – lahan dia memujuk agar menerima sesiapa sahaja pilihan Azhan Andrew. Berhari – hari menantunya itu menelefonnya bertanyakan perihal dirinya dan anak kesayangannya itu. Berbalik pada Fiera, manalah tahu suatu hari nanti Fiera akan menjadi muslimah yang baik. Detik hati Datin Rahmah dengan penuh harapan. Sekarang ini ramai penyanyi dan pelakon sudah mengenakan tudung seperti Wardina Saffiyah, Irma Hasmie, Diana Amir, Siti Nordiana dan ramai lagi. Datin Rahmah tersenyum sendiri. Mana tidaknya kenal pula dia dengan artis – artis Malaysia.

Azhan Andrew lega mendengarnya. Walaupun pada awalnya nenek menghalang hubungan dia dengan kekasih hati namun dia sedaya upaya membuktikan Fiera bukan sahaja gadis yang suka berpakaian seksi namun memiliki budi bahasa yang baik. Selalu dia menyuruh Fiera mendekati neneknya dan ada kala menemani neneknya keluar membeli belah. Bukan susah mahu memikat hati orang tua. Kesabaran perlu ada.

“Terima Kasih nek” Azhan Andrew tersenyum dengan penuh kelegaan. Datin Rahmah hanya tersenyum.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

Satu ulasan untuk “Novel : Cinta yang terindah 1, 2”
  1. Anggun says:

    Bor…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"