Novel : Guruku Cintaku, Cikgu Itu Kekasihku 14

9 February 2012  
Kategori: Novel

2,206 bacaan 13 ulasan

Oleh : Permata Nilam

BAB 14

Aku mencuri pandang ke arah meja di seberang sana, selang beberapa meja dari tempat dudukku. Kelihatan dia sedang tekun membuat kerjanya. Barangkali sedang menyemak buku – buku latihan kelasnya. Seraut wajah yang tidak banyak beza dengan wajahnya lapan tahun lalu.
Hanya yang ketara berbeza penampilan dirinya.

Sudah ada misai nipis menghiasi bibir merahnya sekaligus menampakkan dirinya lebih matang. Bulu matanya tetap panjang dan melentik yang mempunyai ramai peminat dalam kalangan pelajar perempuan ketika zaman persekolahan dahulu. Wajahnya putih bersih. Paling menarik perhatianku adalah potongan rambutnya. Sedari azali rambut keperang – perangan itu sudah mencecah separas bahunya. Lurus diolah penuh gaya. Memang sesuai dengan dirinya sebagai pemuda Tionghoa. Begitulah gaya kebanyakan jejaka Tionghoa yang gemar mengikuti arus perkembangan fesyen semasa. Sedari dahulu tidak banyak kelihatan ciri Minaci dalam dirinya dek tenggelam oleh genetik ayahnya yang berbangsa Tionghoa.

“Cikgu Nia termenung panjang nampak”

Aku tersentak. Serasa melayang semangatku. Cikgu Michael sedang tersenyum lebar menatapku. Aku mengurut – urut dadaku. Terasa membahang mukaku tatkala Dennis Lee turut memandang ke arahku. Segan. Malu. Aku tidak rela andai dia menyedari bahawa aku sedang leka memerhatikannya tadi. Dalam hati terpaksa juga aku menyumpah Cikgu Michael.

“Hey, tak de ler Cikgu Michael” nafiku cuba berselindung.

“Cikgu Dennis, cikgu yang cantik itu namanya Cikgu Nia” tutur Cikgu Michael tiba – tiba memperkenalkan sekaligus mempromosi aku kepada Dennis Lee yang sememangnya telah aku kenali. Hanya Cikgu Micheal saja yang tidak tahu. Mungkin semua yang ada di sekolah ini juga tidak mengetahuinya kecuali aku dan dirinya saja yang tahu kisah sebenar.

Dennis Lee mengangguk dan tersenyum sekilas. Seakan dia berlakon tidak pernah mengenaliku selama ini. Lupakah dia tentang persahabatan kami pada zaman persekolahan dahulu? Ahh, sebetulnya salahku juga! Aku yang meminta semua ini terjadi. Aku yang mengarahkan dia agar tidak mempedulikan aku. Rupanya Dennis Lee benar – benar telah mengotakan permintaanku. Sedikit terkilan dihatiku tatkala melihat lagak yang ditunjukkannya. Tiada kemesraan. Dia betul – betul seperti orang yang baru kukenali. Rakan sekerja baruku, bukannya sahabat lamaku.

Kupujuk diri dengan menyibukkan diri dengan kerja yang sememangnya berlambak – lambak untuk disiapkan. Ini hari pertama pertemuanku dengan Dennis Lee setelah lapan tahun berlalu. Hari kedua, ketiga dan seterusnya perhubunganku dengan Dennis Lee tetap seperti hari pertama pertemuan kami. Dingin. Tiada sapaan mesra. Tiada gelak tawa. Akhirnya aku tersedar kemesraan antara kami sudah tiada lagi. Aku redha dan aku tidak pernah menyalahkan dirinya. Kesedihanku ini mengingatkan aku kepada Amir Hamzah. Ilhamnya bisa memujuk rajukku. Dialah penawar hatiku.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Aku menatap jam di dinding. Hampir – hampir mencecah waktu maghrib. Laju saja kakiku menerpa ke muka jendela. Sedetik lagi aku akan mendengar suara itu. Begitu setia aku menantinya. Aku terpaku lagi entah untuk ke berapa kali tatkala suara itu berkumandang lagi mengalun azan memuji – muji kebesaran Allah. Suara yang berseru agar segera mengingati Allah lantas menunaikan kewajipan sebagai hamba yang taat dengan perintahNya, tuhan yang maha berkuasa lagi yang maha Esa.

Milik siapakah suara merdu itu? Terasa hatiku bergetar setiap kali mendengar suara merdu itu mengalun seruan Allah. Tiba – tiba terlintas difikiranku. Agaknya Amir Hamzah juga memiliki suara semerdu itu. Ada terselit rasa bangga. Lagakku seakan Amir Hamzah itu adalah milikku. Aku mengutuk diri. Malu dengan perasaan sendiri. Aku tidak mahu fanatik pada perasaanku takut kecewa untuk kedua kalinya.

Barangkali suara yang mengalun azan itu milik salah seorang pelajar asramaku yang baru sebulan dua ini mempunyai keberanian untuk mengalun suara di segenap pelusuk perkarangan sekolah ini. Usai solat maghrib dan solat Isyak, aku terus saja membuka facebook ku. Aku tersenyum bahagia tatkala terpamer nama Amir Hamzah di ruangan mesej yang diterima. Segera kupaparkan.

‘DOA UNTUK KEKASIH’

Dengan nama Allah,
Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Ya Allah…..
Seandainya telah Engkau catatkan……
Dia milikku tercipta buatku…..
Satukanlah hatinya dengan hatiku……
Titipkanlah kebahagiaan antara kami
Agar kemesraan itu abadi

Ya Allah
Ya Tuhanku Yang Maha Mengasihi,
Seiringkanlah kami melayari hidup ini
Ke tepian yang sejahtera dan abadi
Maka jodohkanlah kami

Tetapi Ya Allah
Seandainya telah Engkau takdirkan
Dia bukan milikku
Bawalah dia jauh dari pandanganku
Luputkanlah dia dari ingatanku
Dan peliharalah aku dari kekecewaan

Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha mengerti
Berilah aku kekuatan
Menolak bayangannya jauh ke dada langit
Hilang bersama senja yang merah
Agarku sentiasa tenang
Walaupun tetap bersama dengannya…..

Ya Allah Yang Tercinta
Pasrahkanlah aku dengan takdirMu
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik untukku
Sesungguhnya Engkau maha mengetahui
Segala yang terbaik buat hambaMu ini

Ya Allah
Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku
Di dunia dan di akhirat
Dengarlah rintihan dari hambaMu yang daif ini…..
Janganlah Engkau biarkan aku sendirian
Di dunia ini mahupun di akhirat……
Mahupun menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran

Tanpa dipinta air mataku menitis ke pipi. Betapa terharunya hatiku membaca sebuah doa yang lahir ikhlas dari hati seorang hamba Allah. Barangkali inilah luahan hati Amir Hamzah. Bermakna hati Amir Hamzah telah terpaut pada seseorang dalam diamnya. Wahai Amir Hamzah, andai kau merintih kerana bersendirian, aku di sini dengan rela menemanimu di dunia ini.

“Cikgu Dennis marilah duduk sama kat sini” pelawa Puan Rosnah PK pentadbiran sekolah ini.

Aku terkedu mendengar pelawaannya itu. Kunyahan karipap yang sedang kutelan sebahagiannya seakan tersekat di kerongkongku. Di luar dugaanku dan benar – benar tidak menyangka Puan Rosnah akan bertindak sedemikian memandangkan ada lagi kerusi kosong dalam kelompok guru – guru lelaki yang sedang berkumpul di sebuah meja di satu sudut kafeteria. Cikgu Robert turut melambai tangan ke arah Dennis Lee turut sama mempelawanya. Aku memerhatikannya seketika cuba membuat pertimbangan sama ada dia menerima atau menolak pelawaan ini. Akhirnya muktamad dia menerima saja pelawaan Puan Rosnah dan Cikgu Robert tatkala kakinya melangkah mendekati kami sambil tersenyum. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Cikgu Robert tepat berhadapan denganku.

Rancak sungguh perbualan mereka. Lina di sebelahku pun sesekali turut mencelah menambah kerancakan perbualan mereka. Hanya aku saja yang menjadi pendengar setia. Kalau ikutkan hati mahu saja aku telan kesemua kuih di pingganku ini lalu beralasan meminta diri. Namun khuatir juga mereka akan terkejut beruk melihat kerakusanku sedemikian. Mahu tidak mahu aku meneruskan juga kewujudanku di situ dengan hati yang berat. Senyumanku yang terukir sepanjang mengikuti perbualan mereka sekadar rela dalam paksa. Aku dapat rasakan sememangnya Dennis Lee tidak mengendahkan kewujudanku di sini. Dia langsung tidak sudi mengarahkan matanya kepadaku walau hanya sekilas pandang. Dia telah melontarkan diriku jauh darinya seperti yang aku harapkan suatu waktu dahulu. Yang pasti hatiku terluka lagi.

“Nia laktop kau atas meja tu tak nak bawa balik ke? Nanti kau juga yang terseksa kalau tak dapat berhubung dengan Amir Hamzah” suara Lina berkumandang mematikan langkahku.

Aku berpaling semula sebelum sempat menapak di muka pintu bilik guru, bergerak ke mejaku lantas tanganku mencapai beg hitam kecil yang sudah terisi dengan laktop kesayanganku. Teman – teman yang lain tersenyum mendengar bicara Lina. Tanpa disengajakan sempat juga aku menatap pandangan Dennis Lee yang turut terkesan dengan bicara Lina itu. Tiada senyuman. Wajahnya hanya serius. Hobinya yang suka tersenyum kepadaku suatu waktu dulu sudah tiada lagi.

HARI ini Mesyuarat Kurikulum kali ke – 5. Aktif juga sekolah ini bermesyuarat. Belum habis satu semestar sudah lima kali Mesyuarat Kurikulum dijalankan. Kira – kira 5 minit menjangkau ke pukul 2.00 petang, aku sudah sampai di bilik mesyuarat. Bergegas aku masuk lalu mengambil tempat di meja bulat ini. Tiada banyak pilihan memandangkan kebanyakan kerusi sudah diisi oleh guru – guru yang datang lebih awal. Aku agak terlewat sedikit gara – gara hari ini bertugas mengawasi pelajar – pelajar asrama makan.

Aku tertoleh – toleh mencari kelibat Lina. Di barisan kanan, selang 10 kerusi dariku, kelihatan Lina sedang melambai – lambai tangan ke arahku lalu menunjukkan kerusi kosong di sebelahnya. Satu isyarat dihantar kepadaku. Rupa – rupanya dia sudah cop kerusi itu untukku. Baru saja aku hendak mengangkat punggungku lantas kumatikan saja niatku itu tatkala terpandang seraut wajah itu. Dia juga duduk sebagai sempadan penamat barisan guru – guru lelaki di sebelah kanan Lina. Jadi Dennis Lee duduk bersebelahan dengan Lina. Kalau aku duduk di sebelah Lina bererti aku juga dekat dengannya. Aku memberi isyarat menolak pelawaan Lina itu. Lina menarik muka masam buat – buat merajuk. Aku tidak mahu terselit di situ sekadar menjadi pengacau.

Wajah Dennis Lee kutatap sekilas pandang. Tidak sempat bertukar senyuman mahupun bertukar pandangan. Kelihatan beberapa orang guru baru melangkah masuk. Encik Ghazali, pengetua sekolah ini sudah memulakan mukadimah pertemuan petang ini. Dalam kata alu – aluannya sebagai pengerusi, pengetua menekankan kepentingan masa. Acapkali juga dia meminta guru – guru menghadirkan diri lebih awal setiap mesyuarat yang diadakan. Encik Ghazali memang seorang ketua yang tegas. Buktinya beliau terus menegur dan mengingatkan guru – guru yang selalu datang lewat. Siapa yang makan lada, dialah yang terasa pedasnya. Cikgu Sham, Cikgu Michael yang sempat kulirik tersenyum sumbing. Biasalah itu merekalah antara mangsa – mangsa peringatan itu. Ada beberapa orang lagi yang terasa dengan bicara tuan pengerusi itu.

“Anak aku meragam tadi, ngangis – ngangis nak ikut aku pergi sekolah” keluh Cikgu Ujie yang duduk selang dua kerusi membela dirinya.

Aku langsung tidak terasa dengan teguran Encik Ghazali kerana aku sampai di bilik ini 5 minit lagi sebelum mesyuarat bermula. Tambahan pula aku bertugas mengawasi pelajar – pelajar asmara makan tadi. Aku tersenyum sendiri mengingatkan helah bela diriku.

“Tengok tu Nia tersenyum sendiri, mesti dia teringatkan kekasih gelapnya tu” bisik Lina kepada Dennis Lee di sebelahnya.

“Kekasih gelapnya?” soalan itu terpancul dari mulut anak muda itu.

Aku nampak Lina tersenyum. Kemudian berbisik – bisik dengan Dennis Lee. Bagai ada cerita menarik yang ingin disampaikan oleh Lina kepada pemuda itu. Memandangkan pengerusi sedang berucap, maka Lina menulis sesuatu pada helaian kertas lalu meletakkan di depan menjadi tatapan mata pemuda itu. Teknik yang selalu aku dan Lina gunakan ketika mesyuarat berlangsung jika ada perkara urgent yang ingin disampaikan.

Aku mengalih pandangan kerana berhajat memberi tumpuan pada bicara Encik Ghazali. Tidak elok rasanya aku menyibuk hal orang yang sedang hangat bercinta. Paling penting aku tidak mahu Lina dan Dennis Lee salah anggap tentang pandanganku itu. Nanti tidak pasal – pasal aku dikatakan asyik mengawasi mereka. Paling parah kalau aku dikatakan cemburu dengan mereka. Nauzubillah……..!

“Panitia Sejarah, Cikgu Nia sila buat laporan tentang prestasi pencapaian pelajar – pelajar Tingkatan 3, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas untuk mata pelajaran Sejarah setakat ini” suara pengetua merangkap pengerusi mesyuarat mengarahkanku.

Kini tiba giliranku pula untuk melaporkan prestasi kelas – kelas peperiksaan untuk mata pelajaran Sejarah. Aku melangkah ke depan. LCD sudah terpasang dengan bantuan Cikgu Rizal. Tersenyum mengusik Cikgu Michael melihat aku dan Cikgu Rizal bertukar senyuman. Pasti ada gosip baru sedang rancak bermain di kepalanya tika ini menunggu masa saja untuk dihebahkan. Aku memulakan laporanku bermula dengan prestasi pencapaian pelajar Tingkatan 3. Satu perbandingan pencapaian pelajar berdasarkan keputusan peperiksaan diagnostik dan peperiksaan pertengahan semester pertama telah kubentangkan. Data – data peratus nombor ini telah aku pindahkan dalam bentuk graf agar lebih jelas perbandingan yang dibuat lalu dipancarkan oleh LCD di paparan putih ini. Malah kertas edaran juga telah sampai ke tangan guru – guru untuk jadi tatapan.

Usai melaporkan data – data dan membuat perbandingan, aku terus saja membentangkan masalah pelajar – pelajar dalam subjek ini, seterusnya tindak susul yang perlu diambil untuk membaiki tahap pencapaian prestasi pelajar dalam subjek Sejarah ini. Beberapa persoalan telah diajukan oleh Pengetua dan Penolong Kanan I berkaitan masalah yang sering pelajar hadapi. Mujur juga aku boleh memberikan penjelasan yang detail. Nampak Lina angkat ibu jari memujiku sambil tersenyum – senyum.

“Senang je nak buat pelajar suka kat subjek Sejarah nie, Cikgu Nia. Mintalah Cikgu Dennis ajar kelas – kelas yang bebal – bebal tu. Budak – budak nie kalau tengok cikgu handsome berkobar – kobar nak belajar, bersemangat habis” sampuk Cikgu Michael bersahaja lantas disambut oleh ketawa teman – teman.

Tepat mengena padaku. Wajahku terasa panas membahang. Aku betul – betul terasa dengan bicara Cikgu Michael itu. Sekilas kulontar pandangan kepada Dennis Lee melihat reaksinya pada bicara itu. Nampak dia sedang tersenyum sendiri. Mesti senyuman perlian buatku. Sesungguhnya hanya dia saja yang tahu perkara itu telah berlaku kepadaku.

“Kalau Cikgu Dennis Lee setuju, apa salahnya kita cuba teknik nie. Cikgu Dennis Lee pun merupakan Guru Cemerlang Sejarah. Tahniah Cikgu Dennis Lee” balasku memberikan respons pada cadangan Cikgu Michael itu sekaligus menyampaikan ucapan ikhlasku kepada Dennis Lee.

Dennis Lee menatapku seketika. Laju saja aku mengalih wajahku lantas menyambung pembentanganku semula. Beberapa hari yang lepas, kerani sekolah memaklumkan kepadaku tentang status profesionnya itu. Tahniah sekali lagi Dennis Lee! Aku bangga dengan pencapaianmu itu. Aku terus saja mengulangi perkara yang sama untuk pencapaian prestasi Sejarah Tingkatan 5 dan Tingkatan 6. Kering juga tekakku membentangkan kesemuanya. Kira – kira pada jam 5.00 petang mesyuarat pun ditangguhkan.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

” Osman, jangan lupa kutip buku latihan Sejarah tu nanti dan terus hantar kepada saya. Hari nie sebelum balik, saya nak semak” arahku kepada ketua Kelas Tingkatan 5 Ixora.

“Baiklah cikgu”
“Saya nak semua yang hantar mesti siap dan lengkap. Jangan buat kerja seperti melepaskan batu di tangga je. Faham maksud saya?”

“Faham cikgu!” sahut pelajar – pelajarku.

Syukurlah kelas yang kuajar tidak banyak sangat mendatangkan masalah. Hanya seorang dua sahaja yang pemalas, kaki peniru. Namun setelah aku ambil beberapa tindakan tegas terhadap mereka, nampak ada sedikit perubahan. Cuma budak bernama Nick itu sahaja yang memeningkan kepalaku. Dia masih berdegil dan tidak mahu mendengar nasihatku. Aku tidak akan beralah. Pada hari pertama aku bergelar seorang guru, aku sudah berikrar akan mendidik anak bangsaku menjadi insan berguna tidak kira apa sahaja halangan yang bakal aku hadapi.

“Nick, kamu sekali tidak terkecuali” tegasku.

Dia menatapku dengan raut wajah yang sukar untuk ditafsirkan. Sama ada dia teruja dengan arahanku ataupun arahan itu berlalu sahaja persis angin langsung tidak memberi makna apa-apa kepadanya. Aku meninggalkan Kelas Tingkatan 5 Ixora sebaik sahaja loceng berdering. Dari jauh aku nampak kelibat Cikgu Rizal sedang bergerak ke muka pintu bilik guru sama sepertiku. Langkahnya lebih mendahuluiku. Kelibatnya sudah lenyap di sebalik pintu.

“Nia”

Aku tersentak dan terundur selangkah ke belakang. Betul – betul mengejutkan aku. Tidak sangka dia akan berpatah balik. Mujur tidak berlanggar.

“He he he…. maaf kalau buat kau terkejut” bicaranya selamba melihat aku mengurut – urut dada.

“Kau nie Rizal memang langsung tak mahu lepaskan peluang. Nasib baik Cikgu Nia tu tak sakit jantung kalau tak pengsan dia kamu sergah macam tu” tegur Cikgu Michael lebih prihatin sebagai guru senior di sekolah ini.

“Takpe Cikgu Michael, kalau dia jatuh pengsan, saya sedia sambut dia” balasnya selamba disambut gelak tawa teman – teman yang berada di situ. Fuhh! Power betul bicara mamat seorang ini. Aku sekadar mengukir senyuman.

“Takpe diorang tu sama – sama bujang boleh ler buat adegan sambut menyambut. Kalau yang dah kahwin tu nampak tak elok pula” sahut Kak Siti lebih menceriakan suasana.

Apa lagi Cikgu Michael ketawa besar memenuhi ruang bilik guru. Terasa sukar juga untuk aku berhadapan dengan usikan berbisa teman – teman ini. Cikgu Rizal aku nampak tersenyum lebar. Lelaki kebal. Dalam situasi begini sempat juga aku melontar pandangan ke meja di hujung sana. Alamak kelatnya muka Cikgu Sue. Pasti dia tengah menahan perasan sekarang. Nanti tak pasal – pasal aku dimaki hamunnya. Baik aku tamatkan sahaja usikan mereka ini.

Aku terus bergerak ke mejaku. Kuletak buku rekod persediaan mengajar yang sering kubawa ke hulu hilir bila sahaja ada kelas. Begitu juga dengan Cikgu Rizal sudah berada di tempat duduknya.
“Buku kehadiran Kelab Olahraga, ada aku letak kat meja kau tu. Ada beberapa orang pelajar yang tak hadir beralasan. Kau check ler nanti” ujarnya memaklumkan. Aku mengangguk faham.

“Terima kasih cikgu” itulah perkataan terbaik yang patut keluar dari mulutku.

“Kasihmu memang sentiasa diterima hehehe” balas mamat ini di luar jangkaanku.

Nasib baik aku tidak terpengsan mendengar ungkapan itu. Perlahan – lahan aku melirik teman – teman. Berderet – deret senyuman terukir. Sesaat, seminit. Mujur tiada suara – suara sumbang yang berminat mencelah atau memberi sebarang komen yang mencabar kekebalan daya ketahananku dengan usikan liar merela.

“Hahahaha… cayo… cayo Cikgu Rizal” tiba – tiba sahaja suara lantang Cikgu Michael bergema memenuhi ruang legar.

Tidak aku sangka orang tua ini mendengar bicara itu memandangkan dia tampak sibuk melayan kerjanya tadi. Agaknya orang yang sudah dekat mahu pencen ini memang lambat sedikit pick up hehehehe. Minta maaf Cikgu Michael tidak sengaja terkutuk.

“Tengok tu suka Cikgu Nia”

Opppss! Malunya. Semuanya tersalah ertikan senyumanku tadi. Malangnya. Binggungnya aku dituduh sedemikian.

“Kak Siti tolong bagi nombor 5 kipas tu. Tetiba saya rasa panas pula” lantang suara Cikgu Sue mengarahkan Kak Siti yang kebetulan berdiri dekat dengan suis.

Senyap. Cikgu Michael dan Cikgu Rizal saling bertukar senyuman yang penuh makna tersirat. Kak Siti menjelingku sambil sempat menjuihkan bibirnya.

“You tau tak, Cikgu Sue tu jealous dengan you. Dia tu dah lama sangat suka kat Cikgu Rizal” bisik Jelia di sebelahku seorang guru yang lebih awal beberapa tahun mengajar di sekolah ini.

“Hish… you nie, dia dengar nanti” tegahku.

Tidak mahu aku menimbulkan kekecohan awal – awal pagi begini. Paling memalukan kecoh kerana seorang lelaki. Andai Cikgu Sue betul – betul ada hati dengan Cikgu Rizal, aku tiada sebarang halangan. Pastinya 100% aku merestuinya. Aku dan Cikgu Rizal tiada sebarang hubungan istimewa. Hubungan yang ada hanya sebagai rakan sekerja. Cikgu Michael saja yang suka sangat memadan – madankan kami. Ingin saja aku memaklumkan kepada Cikgu Michael bahawa hatiku telah dimiliki tetapi bukan Cikgu Rizal atau siapa – siapa saja yang bergelar cikgu di sekolah ini. Hanya aku sajalah yang mengetahuinya!


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

13 ulasan untuk “Novel : Guruku Cintaku, Cikgu Itu Kekasihku 14”
  1. Permata Nilam says:

    bunga kekwa…. uniknya nama. sy suka. tq bersama GCCIK. nie blog sy http://sicantekdiamond.blogspot.com/ sila ler layari. tq. dlm blog klik shj karya 2011 ada kat situ. tq jg kpd pihak penulisan2u coz siarkan blk novel nie. hrp2 lps nie lbh ramai nak jd cikgu…. hehehhe

  2. Bunga kekwa says:

    Thanks…Permata Nilam… best crita ni…tahniah..versi cetak crita ni suda ada?..keliru…novel maya yg disiarkan blk?…teruskan berkarya…

  3. Permata Nilam says:

    bunga kekwa… sbnrnya n3 novel nie lama terhenti. ingat penulisan2u dah tak mahu siarkan lg sdgkn sy dah send all. ep.ada jg yg tertanya2 knp x n3 novel nie lm x kuar. maybe ada yg ingt sy blm hbsn novel nie lg. tq bunga kekwa.novel sy pun ada gn nama bunga hehehe

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"