Novel : Kalimah Cinta 22, 23

24 February 2012  
Kategori: Novel

4,487 bacaan 6 ulasan

Oleh : Aliesha Kirana

Bab 22

Aku berlari ke luar rumah, menoleh ke kiri dan ke kanan, cuba mencari sesuatu yang aku sendiri tidak pasti. Aku tidak tahu arah yang hendak kutuju, aku buntu. Wajah ibu dan ayah cuba kucari, namun kelibat mereka langsung tidak kelihatan. Air mata yang berhamburan tambah mengaburkan pandangan.

‘Ya Allah, kenapa jadi begini Ya Allah…’ perkataan itu kuulang-ulang di dalam hati. Enggan percaya pada berita yang baru saja kuterima tadi.

“Ila, kenapa ni?” wajah Iman yang terpacul di depan mata, terus saja membuatkan sebak di dadaku, kian terasa. Esakanku jadi menggila hingga aku terduduk di atas lantai.

“Ila.. Ila.. kenapa ni?” Iman menggoncang tubuhku, namun lidahku kelu untuk bersuara. Badanku terasa begitu lemah.

“Ila!” suara Iman yang dikuatkan menyebabkan aku sedikit tersentak.

“Safwan…” akhirnya nama itu bisa juga kusebut.

“Safwan? Kenapa dengan dia? Jawab Ila. Jawab!” Iman masih tidak berpuas hati.

Aku menggeleng perlahan. Air mata yang berjuraian, kuseka pantas sebelum aku bangun dari dudukku.

“Iman, tolong bawa saya ke hospital sekarang. Tolonglah.” Aku merayu dalam esak tangis tanpa mempedulikan mata-mata yang memerhati.

——————————————————

Aku terus meluru ke wad kecemasan sebaik tiba di hospital tanpa menghiraukan Iman yang mengekoriku dari belakang. Sebaik terlihat wajah ibu Safwan, aku pantas menghampirinya. Tubuhku yang bersalut baju pengantin berwarna putih tidak lagi kuhiraukan biarpun aku sedar, pasti ada mata yang memerhati dengan pelik.

“Makcik, macam mana keadaan Safwan?” aku lekas menyoal setelah selesai bersalaman dengannya. Wajahnya yang sugul jelas menunjukkan gundah di hati ibu itu. Suasana hening mengisi segenap ruang kala itu, biarpun hampir sepuluh orang berada di situ, menanti dengan wajah muram.

“Dia masih kat dalam. Doktor tengah berusaha selamatkan dia.” Suara ibu Safwan sudah serak, mungkin kerana telah banyak menangis.

“Macam mana ini semua boleh berlaku, makcik?”

Ibu Safwan menggeleng laju.

“Makcik pun tak tahu nak, benda ni terlalu pantas. Dia terbabas melanggar pokok, masa dia nak elak lori yang datang dari arah depan secara tiba-tiba. Semuanya berlaku dengan cepat nak. Makcik tak sempat nak buat apa-apa. Kalaulah makcik ada dengan dia tadi, mungkin semua ni tak jadi. Makcik ikut saja, bila dia suruh makcik naik dengan ayah dia, dia nak pandu sorang-sorang katanya, tak sangka pulak ini yang jadi. Makcik bersalah nak, makcik bersalah. Maafkan makcik.”

Rintihan ibu Safwan yang dipagut rasa bersalah, membuatkan hatiku tambah sayu. Tubuh tua itu kupeluk erat, cuba menenangkan hatinya yang gundah, biarpun hatiku tidaklah setenang mana.

“Tak apa makcik, InsyaAllah Wan tak apa-apa. Sabarlah..” aku menggosok bahu ibu Safwan perlahan sambil menariknya untuk duduk di bangku yang disediakan.

Wajah Iman yang sedang asyik memerhati ke dalam bilik kecemasan, kuperhatikan sekilas. Ada kerisauan yang turut terpamer di matanya.

Aku melarikan mata ke arah lain, memikirkan keadaan Safwan di dalam sana, bertarung nyawa seorang diri tanpa ada sesiapa di sisi. Ya Allah bantulah dia Ya Allah.

Ya Allah, selamatkanlah Safwan…

“Berlaku pendarahan di dalam otaknya, kami terpaksa melakukan pembedahan dengan segera untuk mengeluarkan darah yang beku. Sehingga kini dia masih belum menunjukkan sebarang respon. Harap bersabar.”

Aku gumam, tidak pasti hendak bersedih atau gembira dengan perkhabaran dari doktor yang baru keluar dari bilik kecemasan. Sekurang-kurangnya Safwan masih hidup, namun tubuhnya masih kaku.

Ya Allah, kuatkan hati Safwan ya Allah…

————————————————————–

“Il, Ila ok tak ni?” Iman yang tiba-tiba duduk di sebelahku, buat aku mengesat air mata yang masih membasahi pipi. Aku cuba tersenyum, namun begitu susah sekali senyuman itu untuk terukir.

Sudah dua jam aku menanti di depan bilik pembedahan itu, namun hingga kini tiada siapa yang keluar dari bilik itu. Keluarga Safwan juga masih menanti seperti aku. Aku dapat melihat ibunya duduk tersandar di dinding sambil ditemani ahli keluarganya yang lain. Sepatutnya pada saat ini, aku sudah menjadi sebahagian dari keluarga mereka…

“Ok. Saya ok. Alhamdulillah.”

“Nah, minum dulu, dari tadi Ila belum makan apa-apa.” Iman menghulur secawan kopi panas yang mungkin dibelinya dari mesin automatik berdekatan bilik pembedahan itu.

“Terima kasih, susahkan awak saja. Saya tak rasa dahaga pun.” Aku memberitahu, namun masih mengambil minuman itu, enggan membiarkan Iman terasa.

“Dari tadi, Ila tak makan apa-apa. Jom kita ke kantin dulu, nanti kita datang sini balik. Nanti Ila pulak jatuh sakit.”

Aku menghela nafas.

“Tak apa, saya tak rasa lapar pun. Kalau awak lapar, awak pergilah makan dulu. Saya nak tunggu Wan dekat sini.”

Iman mengeluh, mungkin penat hendak memujuk aku lagi. Tapi memang aku tidak rasa lapar, memikirkan keadaan Safwan buat aku tidak ada masa untuk memikirkan perihal perut yang belum diisi.

Bunyi pintu dibuka, buat mata kami semua tertumpu pada pintu bilik pembedahan. Seorang lelaki berusia lewat empat puluhan beruniform hijau khas untuk bilik pembedahan keluar dari bilik itu sambil membuka topeng muka yang menutupi wajahnya sedari tadi.

“Dr. Tan, how’s the patient?” Iman bingkas bangun terlebih dahulu, seraya menyoal.

Doktor yang digelar Dr. Tan oleh Iman menggeleng kecil.

“Kami dah berjaya keluarkan darah beku tu tapi.. sampai sekarang masih tiada respon dari pesakit. I’m afraid this is another case of brain death. I’m sorry.”

Aku masih tidak mengerti, ibu Safwan juga masih terpinga. Wajah Iman kurenung tajam, sebaik Dr. Tan berlalu.

“Apa maksud dia Iman?”

“Brain Death atau kematian otak tu, maknanya bahagian-bahagian penting dalam otaknya dah berhenti berfungsi.”

“Iman, saya tak faham!” aku menjerit dengan linangan air mata yang bercucuran.

Iman mengeluh pendek.

“Safwan masih hidup, tapi otaknya dah tak berfungsi. Otak dia dah mati. Peluangnya untuk sembuh kembali dah tak ada Ila, dia macam mayat bernyawa. Sabar Ila…”

“Ya Allah!”

Pandanganku terasa gelap tiba-tiba…

———————————————————–

Bab 23

“Ila.. Ila…” aku cuba membuka mata, saat mendengar suara seseorang memanggilku dan bahuku digoncang kuat. Ya Allah, sakitnya kepalaku Tuhan saja yang tahu tika itu.

“Ila, Ila ok ke?”

Aku pandang wajah Iman yang menyoal aku saat itu. Aku tidak membalas pertanyaannya, sebaliknya menoleh ke kiri dan ke kanan. Aku sedang berada di atas katil rawatan dikelilingi kain langsir berwarna hijau. Hanya ada aku dan Iman saat itu.

Kejadian tadi kembali menjengah kepalaku, majlis pernikahanku, panggilan telefon itu, dan Safwan…

Ya Allah! Safwan…

Air mata laju mengalir semula, dari hanya sendu, terus menjadi esakan yang aku tidak mampu bendung. Bahuku terhenjut menahan tangisan itu, jemariku tak henti menyapu air mata yang tumpah, namun air mata itu tidak kering juga.

“Ila… pandang Iman Ila… Ila!” Iman menghenjut bahuku menyebabkan aku tersentak.

“Ila kena sabar, Ila kena kuat. Ila tahu kan, Iman tak suka tengok Ila menangis macam ni.”

Aku pandang wajah Iman yang merenung aku penuh simpati.

“Macam mana saya nak kuat Iman? Macam mana? cuba awak beritahu, lelaki yang saya akan nikahi tiba-tiba saja kemalangan dan disahkan mati otak! Saya tak boleh kuat, Iman!” aku menjerit sekuatnya.

“Doktor…” seorang jururawat datang, mungkin untuk membantu apabila melihat aku dalam keadaan tidak terkawal begitu. Iman hanya memberi isyarat menyuruh dia pergi.

Aku mengalihkan pandangan ke arah lain, cuba mengumpul kekuatan. Air mata aku seka untuk kesekian kalinya.

Ya Allah, andai ini dugaanMu, Kau kuatkanlah aku Ya Allah…

Aku merintih sendiri dalam hati.

“Ya Allah.. tolonglah… Ila, tolonglah kuat. Kalau bukan untuk sesiapa pun, tolonglah kuat untuk Safwan. Di saat-saat begini, dia amat perlukan Ila. Hayatnya sudah tidak lama, cuma masa ini saja yang ada untuk Ila bertemu dia…” Iman seolah merayu padaku, membuatkan aku terkedu. Hatiku disayat pilu apabila mendengar kata-kata Iman itu.

Bayangan wajah Safwan dan keletahnya, kembali menerjah kotak ingatan. Senyumannya terukir di layar kenangan.

‘Ya Allah, aku tidak sanggup kehilangannya Ya Allah.’ aku merintih lagi untuk kesekian kalinya.

“Ila… tolonglah kuat, Iman akan sentiasa di sisi Ila untuk bantu Ila, tapi Ila sendiri kena bantu diri Ila. Ila kena kuat.” Wajah Iman beriak keruh, dan ada sendu pada suaranya buat aku tergamam. Matanya yang digenangi air memandang aku dengan tajam.

Aku menarik nafas panjang, mencari kekuatan yang hampir hilang.

“Ila kuat ok?” soalan Iman itu aku balas dengan anggukan.

Iman tersenyum walaupun tidak semanis selalu.

——————————————-

Tubuh yang terbaring kaku itu aku hampiri dengan derap perlahan, enggan mengganggu wajah yang tenang itu, walaupun aku tahu dia tidak akan bisa bangun lagi.

Esak tangis yang ingin kedengaran, kutahan dengan menekup mulutku, membiarkan hanya badanku bergetar. Alunan surah Yasin sudah kedengaran melatari kamar itu, bersama bunyi mesin penyambung hayat yang berdetak.

Ibu Safwan terhenti membaca Yasin saat melihat aku menghampiri katil Safwan. Ekor matanya menyuruh yang lain-lain keluar, memberi peluang pada aku untuk bersama Safwan buat seketika.

Pintu ditutup, meninggalkan hanya aku dan dia, dan mesin itu. Mesin yang membuatkan tubuh itu masih bernyawa, juga atas kehendak Allah yang masih mengizinkan Safwan bernafas.

Air mata yang ingin tumpah, aku seka perlahan. Lalu aku cuba ukir senyuman walaupun senyuman itu hampir mati bila esak tangisku kembali menyerbu dada.

“Safwan…” lirih suaraku memanggil. Aku berpaling ke arah lain seketika, cuba mencari kekuatan. Melihatnya terbaring tidak bermaya begitu hanya membuatkan hatiku tambah sakit.

Aku menarik nafas panjang sebelum melihat ke wajahnya yang berbalut di kepala.

“Wan… Ila tahu… Wan boleh dengar.” Aku memulakan bicara biarpun tersekat-sekat dek sendu di jiwa.

“Selama perkenalan kita, Wan tak pernah berputus asa untuk dapatkan cinta Ila kan? Sebabkan itu juga Ila akhirnya akur untuk terima cinta Wan. sebab Ila tahu Wan ikhlas cintai Ila, dan tak ada sesiapa yang dapat tandingi keikhlasan Wan mencintai Ila.”

Aku menghela nafas dan menyeka air mata yang berjuraian.

“Tapi mungkin…” aku mengetap bibir, menahan sebak.

“Mungkin Allah lebih sayangkan Wan. Sebab tu, belum sempat Wan jadi milik Ila, Wan sudah menjadi begini. Ila tidak mendoakan yang buruk berlaku pada Wan, tapi Ila sedar, Wan memang tidak ada harapan lagi untuk kembali sedar. Ila redha Wan. mungkin kita memang tidak berjodoh, Ila redha kalau…”

Aku cuba menahan esak tangis.

“Ila redha kalau Wan nak pergi. Ila cuma mampu doakan kebahagiaan Wan, dan semoga nanti ada bidadari syurga yang akan temani Wan, sampai Wan bertemu jodoh lain untuk Wan di akhirat nanti.”

Air mataku berhamburan turun.

“Tapi, kalaulah Allah masih panjangkan umur Wan, Ila lah insan yang paling bahagia. Kalau Wan belum mahu pergi, bangunlah Wan. Ila akan tunggu Wan…”

Aku berhenti berbicara, lalu berlari keluar dengan tangisan yang masih tidak mahu surut.

—————————————————————-

Sudah seminggu Safwan terbaring, namun setiap hari yang berlalu tidak akan mampu membuat aku lupa pada hari kejadian yang sepatutnya menjadi hari bahagiaku. Safwan masih terbaring kaku dengan wayar yang berselirat di badan.

Semua orang sudah tidak mengharapkan dia untuk kembali sembuh seperti dulu, hinggakan ibu Safwan tega menyuruh aku mencari pengganti yang lain buat diriku. Ya Allah, aku tidak bisa melakukan itu semua di saat Safwan amat memerlukan aku di sisinya. Aku tidak akan berpaling kerana aku yakin, ada hikmah di sebalik ujian Allah ini padaku. Aku harus kuat hadapi ujian ini, agar Safwan juga bisa kuat.

Surah Yasin kualunkan ke telinganya setiap hari, agar Allah memberikannya kekuatan dan kesembuhan. Aku tidak akan berhenti berharap.

“Ila…” suara yang kukenal itu sekali lagi menyapa telinga. Semenjak aku menjadi pengunjung tetap hospital itu, insan ini tidak pernah terlepas dari melawatku di sini, di sisi Safwan.

“Iman…” aku tersenyum tawar. Yasin yang kupegang, kuletak di atas meja.

“Iman ada perkara nak beritahu Ila.”

“Apa?”

“Tak boleh kat sini. Kita cakap di luar ya.”

Aku mengangguk seraya mengekori Iman keluar.

“Ila, kita dah tak boleh tunggu lagi. Segalanya hanya perkara sia-sia kalau kita tunggu.”

“Apa maksud Iman?”

Iman menghela nafas. Matanya mengerling ke atas seolah sedang memikirkan sesuatu yang menyerabutkan fikirannya.

“Iman nak Ila tahu, yang Iman bukannya kejam. Tapi…”

Aku seolah mengerti apa yang cuba disampaikan Iman.

“Tapi apa, Iman? tapi apa?”

Iman mengeluh.

“Sebagai doktor, ini sahaja keputusan terbaik yang kami boleh lakukan. Kami terpaksa cabut mesin penyambung hayat tu, Ila. Ini prosedur yang sudah ditetapkan bila seorang pesakit sudah diisytihar mati otak.”

“Tidak!” aku pantas membangkang.

Sudah beberapa kali doktor datang meminta izin ingin mencabut wayar mesin penyambung hayat Safwan, namun aku yang berkeras untuk tidak mengizinkan. Bagiku, kalau Safwan sudah sampai ajalnya, tidak perlu dicabut mesin itu, dia tetap akan pergi. Tapi kalau dicabut wayar mesin itu, seolahnya mereka memaksa Safwan untuk pergi, dan aku tidak akan sesekali izinkan mereka memaksa Safwan sebegitu. Tidak sama sekali!

“Ila, we have to. I’m sorry…” Iman bersuara.

“Keluarga Safwan pun dah beri kebenaran, tapi Iman tak nak lakukan tanpa pengetahuan Ila. Ila kena lepaskanlah dia pergi Ila, jangan seksa dia dengan biarkan dia dalam jasad yang kaku itu.”

Aku menangis lagi untuk entah kali ke berapa semenjak Safwan dimasukkan ke hospital itu. Hatiku terasa begitu sakit, terlalu berat untuk ditanggung. Terlalu sukar untuk melepaskan dia pergi.

Aku pandang wajah Iman dengan tajam.

“Tak boleh! Ila tak izinkan! Hanya Allah yang berhak ambil Wan dari Ila. Bukannya doktor!”

Aku pantas berlari bersama air mata yang berjuraian. Laungan Iman memanggil namaku langsung tidak kupedulikan lagi.

——————————————————–

Ya Allah, kenapa mereka begitu tega ingin memisahkan aku dengan Safwan? Kenapa mereka berani mencabut nyawa Safwan tanpa izinMu ya Allah?

Aku merintih sendiri. Taman hospital yang tidak sebesar mana, aku duduki seorang diri, di sebuah bangku yang sedikit tersorok dari orang lain.

“Ila…” suara itu kembali menerjah telingaku.

Aku pandang wajah Iman yang sudah duduk di sisiku.

“Awak tak perlu pujuk saya lagi. Saya tetap dengan keputusan saya, saya tak izinkan!” aku membentak.

Iman mengeluh panjang.

“Iman bukan datang nak pujuk, tapi Iman datang nak beritahu, yang esok pagi, kami akan cabut mesin penyambung hayat tu. Kalau Ila nak jumpa Safwan, hanya ini saja masa yang ada. Jangan sia-siakannya Ila.”

“Awak kejam kan? Awak kejam!!!” aku terus menghamburkan kata-kata itu tanpa menghiraukan pengunjung taman itu lagi.

Iman memegang bahuku dengan kuat, enggan membiarkan aku meronta.

“Kalaulah Iman boleh gantikan nyawa Safwan dengan nyawa Iman, Iman sanggup Ila. Asalkan Iman boleh lihat senyuman terukir di wajah Ila semula, asalkan Iman boleh tengok Ila bahagia, walaupun kebahagian Ila tu dengan insan lain. Iman sanggup Ila, tapi Iman tak boleh!” Iman menguatkan suaranya sebelum bangun meninggalkan aku terpinga-pinga.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Novel : Kalimah Cinta 22, 23”
  1. bosan.... says:

    siannyer…………………..=(

  2. rieda says:

    sedihnya…nak lagi blh?

  3. ruby says:

    huhuhu sambung lg

  4. siti norliyana says:

    huu,, sebak lak baca.. sambung lg, i’m waiting ..

  5. byby89 says:

    so sad…

  6. Bunga kekwa says:

    sungguh menyayat hati….sambungan pls..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"