
Novel : Kerana Hati Ini 1
Oleh : Yierda Badrishah
BAB 1
Suasana pagi itu tidak menentu. Sesekali dia mengerling ke arah jam tangannya. Terus juga dia menghela nafas. Tangannya laju saja membelek setiap helaian kertas di dalam fail merah yang dipegangnya. Sesekali dia membaca sepintas lalu kandungan kertas yang tertentu. Tapi, masih belum bertemu dengan yang dicarinya. Huh!!!! Dihempas fail itu di atas meja. Dia sudah buntu akal. Ke mana pula perginya surat tu? Gerutu di hatinya.
“cepatlah Tasya!!!!”, tiba-tiba muncul Haryati di depannya. Terkejut badak dia dibuatnya.
“tengah cari ni, Puan. Semalam saya dah filling kat dalam ni. Tak tau mana perginya pula sekarang.” Gadis bernama Tasya itu cuba membela diri. Tapi, tak berani dia bertentang mata dengan Puan Haryati. Dia tau benar pada ketika ini macam mana raut muka wanita berusia awal 40an tu. Kalau dia marah, huhhh!!! Alamat satu office tu macam cacing kepanasan dibuatnya.
“Kalau dah filling situ, mestilah ada. Takkanlah kertas sekeping tu boleh berjalan?!” balas Pn. Haryati lagi. Terasa tersindir juga, tapi Tasya tidak memperdulikan kata-katanya. Masih lagi tangannya ligat membelek kertas di dalam fail merah itu.
“Tasya… kau cari yang ini ke?”, tiba-tiba Anida muncul sambil menunjukkan sekeping kertas yang sangat-sangat dikenalinya itu. Berderau darahnya tatkala melihat kertas yang dipegang oleh Anida. Namun, belum sempat dicapainya, ligat je tangan Pn. Haryati menyambar kertas sekeping tu.
“Kalau dah incharge tu, kenalah ambil tau semua perkara berkenaan projek ni. Ini tak, list penting ni pun tak tau ke mana perginya?!!”, bentak Pn. Haryati sambil berlalu dari situ. Sempat juga ekor mata Tasya memandang wanita itu dengan perasaan marah. Anida yang baru muncul tadi direnungnya tajam.
“Sorrylah Tasya. Aku tak sempat nak bagitau kau. Semalam En. Ridzuan nak listing tu, kau pula dah balik. Aku ambil je dulu. Lepas tu aku tak sempat nak filling balik. Kami pun lewat malam juga baru balik semalam. Bincangkan pasal list tu. Sorry ye”, pintanya sebelum sempat dihemburkan dengan api kemarahan Tasya.
“tak pasal-pasal aku juga yang kena,”Tasya mengeluh sambil menolak ke tepi fail merah di atas mejanya tadi. Wajah Anida langsung tidak dipandangnya. Dia masih terasa juga dengan situasi tadi. Dia tau benar sikap kawan baiknya itu. Suka buat kerja sambil lewa. Memang dah selalu sangat dia dimarahi disebabkan kecuaian rakannya itu. Tasya hanya mampu mendengus geram.
“Tasya, tunggulah kejap”, panggil Anida ketika melihat Tasya sibuk mengemas mejanya & menyambar beg galasnya. Tasya tidak memperdulikan kawannya itu. Cepat-cepat dia berlalu meninggalkan Anida. Anida mengejar dari belakang. Pantas je tangan Tasya menolak pintu pejabat tetapi ditahan oleh Anida dari belakang. Argh!!! Mau tak mau dia terpaksa berpaling memandang Anida.
“Kau mau apa lagi?” renyeknya. Dah tak tahan melayan karenah Anida. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang.
“Cepatlah. Aku nak jemput Aiman ni. Dah lambat sangat dah ni!!” tegas Tasya sambil melihat jam tangannya. Dah pukul 1.15 pm. Anida yang tadi bertegas tak mau membiarkan kawan baiknya itu terus berlanjutan memarahinya terpaksa mengalah apabila nama Aiman disebutkan. Dia tau benar siapa Aiman. Malah kasih sayangnya terhadap Aiman tidak boleh dipersoalkan lagi. Tasya pun sedar.
“Okey, okey….nanti aku datang rumah kau petang ni….lepas kerja”, sambung Anida sambil membuka luas pintu untuk Tasya. Tasya tidak berlengah lagi. Pantas dia berlari-lari anak menuruni tangga sambil memakai helmet di kepala.
“Hati-hati tau. Jangan drive laju-laju”, terdengar laungan Anida di belakang. Seraya Tasya mengangkat tangan tanda setuju. Anida faham benar perangai Tasya. Tasya akan memandu laju. Membiarkan Aiman menunggu lama seperti menikam pisau ke jantung sendiri. Sakit hatinya jika Aiman disakiti. Pilu hatinya jika Aiman bersedih. Pendek kata, Aiman lah Dunianya. Aiman lah segalanya.
Tasya sudah lambat. Motor yang dipandunya semakin memecut laju di tengah-tengah kesibukan kota dibakar bahang teriknya matahari. Dia nak cepat. Aiman pasti sudah lama menunggu. Sesampai sahaja di Sekolah Kebangsaan Tok Panglima, pintu pagar sekolah telah ditutup rapat. Suasana di luar perkarangan sekolah sudah lengang. Tidak seperti kebiasaannya.
Dada Tasya berdebar kencang. Kalibat Aiman tidak kelihatan. Dia segera memandang jam di tangan. Sudah pukul 1.40 pm. Sah!!! Dia sudah lambat. Pasti Aiman ada di dalam. Lalu dia menjenguk ke dalam perkarangan sekolah, ke arah pondok pengawal di tepi pintu pagar tersebut. Apa yang disangkanya, ternyata benar. Hatinya segera berbunga tenang dan secebis senyuman terukir di bibir.
“Aiman!!! Aiman!!!”, panggilnya sambil melambai tangan ke arah seorang lelaki berumur lewat 30-an dan seorang kanak-kanak berseragam sekolah berusia 7 tahun yang sedang rancak berbual. Kanak-kanak itu segera menggalas beg sekolahnya dan terus meluru ke arah Tasya tapi terhalang dek pintu pagar yang tertutup rapat. Lelaki yang berseragam pengawal itu pun segera membuka pintu pagar tanpa diminta berbuat demikian.
“Hai, nampaknya cik Tasya lambat hari ni”, tegur pengawal itu. Tasya tidak memandang langsung kepadanya. Matanya tertumpu kepada kanak-kanak tadi yang sudah mendakap pinggangnya.
“kenapa mama lambat hari ni?” rengusnya manja. Ada mendung di wajahnya. Bibirnya sengaja dimuncungkan. Matanya mengerling tajam. Tasya tersenyum melihat gelagat anaknya itu.
“mama banyak kerjalah tadi sayang. Lagipun mama singgah kat kedai tadi beli coklat”, pujuknya. Mendengar penjelasan itu, mata Aiman segera terlopong. Bukan sebab mamanya banyak kerja. Sebab mamanya tadi ada membeli coklat. Makanan kesukaannya.
”coklat Aiman, kan….mana? mana? Mana?”, tanyanya bertalu-talu, sambil terloncat-loncat hendak mencapai beg galas mamanya yang tersandar kemas di bahu belakang.
”kat rumah nanti mama bagi. Sekarang Aiman salam dengan abang Zul dulu, kita nak balik ni. Hari ni mama takde kelas. So, kita bolehlah pi taman main layang-layang petang ni. Amacam, okey tak?”, janji demi janji ditabur untuk seorang anak yang berumur 7 tahun.
“Hooray…hooray!!!”, Aiman terloncat girang.
Selepas bersalaman, Aiman tidak tunggu lama. Tidak sabar hendak sampai ke rumah. Makan coklat dan bermain layang-layang. Sudah tentu pula sebelum itu, bermain playstation dengan ibunya. Itu rutin hari Selasa setiap minggu. Hanya hari Selasa ibunya itu tiada kelas. Hanya petang Selasa sahaja dia dapat meluangkan masa yang banyak bersama ibunya. Dan peluang seumpama itu tidak akan disia-siakan oleh Aiman, mahupun Tasya.
Bagi Tasya, mempunyai Aiman sebagai anaknya, anugerah Tuhan yang tak terhingga kepadanya. Aiman sangat memahami rutin hidup Tasya. Tidak pernah Aiman merengek ketika ditinggalkan. Jauh sekali Aiman bermasam muka apabila ibunya lambat menjemputnya. Aiman tahu segala-galanya dalam hidupnya tidak sama seperti kanak-kanak yang lain. Tapi, kasih sayang ibunya sudah sangat cukup untuknya. Sudah cukup….??????
*******************************************************
Dan seperti yang dijanjikan, petang itu Anida datang ke rumah Tasya. Dia pun mengambil bahagian dalam permainan playstation bersama Tasya dan Aiman.
“Macam mana sewa rumah bulan ni? Kau dah bayar?”, tanyanya tiba-tiba. Tasya yang sedang bermain berubah air mukanya. Dipandang wajah Anida lama. Anida yang memahami maksud pandangan itu, menghela nafas dalam.
“habis tu, kenapa kau cakap kat Shahrul yang kau dah bayar? Kau tipu dia, kan?”, Anida menyambung. Kali ni, Anida pula yang menghela nafas dalam-dalam apabila nama Shahrul disebut. Serta-merta terbayang wajah kacak Shahrul yang berkulit putih melepak, mengalahkan anak gadis rupawan. Segak bila berpakaian dan sangat bergaya dalam penampilan. Hidung mancungnya dan alis kening yang lebat membuktikan darah keturunan pakistan yang diwarisi dari moyangnya. Bukan setakat paras rupa yang menjadi pujaan Tasya, tetapi budi pekerti dan sikap pemurah Shahrul tidak pernah lekang selama 3 tahun mereka berkenalan. Sebab itu, kadang-kala terasa kurang senang apabila setiap keperluannya dipenuhi oleh Shahrul.
“Kau pun tau kan Shahrul tu”, nadanya lambat dan perlahan. Meminta sahabatnya itu memahami maksudnya. Dia menyambung lagi.
“Semua dia nak bayar. Sekolah Aiman pun dia yang tanggung. Sekarang pula, dia yang gesa aku suruh sambung belajar”.
Anida mengambil playstation dari tangan Tasya apabila terlihat Aiman semakin gelisah apabila menyedari Tasya tidak memberi sebarang respon kepada permainan di kaca televisyen itu. Dia kemudian menyambung permainan. Tasya pula bangkit dan beralih ke meja makan dan menuangkan air yang dibuat oleh Anida tadi.
“Bukan ke kau kata Shahrul ajak kau kahwin?”, tiba-tiba hampir tertumpah air yang dituangnya apabila Anida mengajukan soalan itu. Tasya segera menarik kerusi seraya duduk, termangu memandang Anida yang langsung tidak menoleh kepadanya. Dia sedang asyik melayan telatah Aiman.
“Dah berkali-kali dah dia ajak aku kahwin”, teringat lagi peristiwa setahun yang lalu, juga beberapa bulan selepas itu dan seminggu yang lalu.
“habis tu apa yang kau fikir lagi?”, Anida masih tidak menoleh.
“Aku tak bersedia lagi lah”,
“Kau ni kan kalau aku cakap bodoh, memang tak bodoh pun. Kalau aku cakap pentingkan diri, nanti kau terasa pula. Kang aku cakap kau ni tak de perasaan, nangis pula…”, kali ni memang Anida marah. Nampak sangat dari pandangan matanya. Terguris pula hati Tasya saat itu dengan kata-kata temannya itu.
”Apa lagi yang kau tak bersedia? Kalau anak dara, takpelah. Ini emak orang. Tak sedia, konon”, bahasanya sangat kasar tetapi sengaja disindir rakannya itu. Tapi nadanya masih berseloroh. Tidak mahu memberi tekanan pada Tasya.
”Horray, Aiman menang”, jerit Aiman di tengah-tengah perbicaraan itu. Terlonjak-lonjak Aiman kesukaan dapat mengalahkan Auntie Nida. Anida tersenyum sambil mengusap mesra rambut Aiman. Tasya turut tersenyum, tumpang bergembira dengan kegembiraan Aiman, sedangkan dadanya berkocak. Bukan salah Anida. Dia tidak tahu masa silam Tasya. Dia tidak tahu kegusaran yang bersarang di hati Tasya. Bukan sahaja Anida, Shahrul juga tidak tahu belenggu di jiwa Tasya.
Sebab itu, walau beberapa kali Shahrul melamarnya, ditolak dengan cara baik permintaan itu. Pelbagai alasan diberikan. Tetapi, cinta Shahrul terlalu kuat untuknya. Shahrul tidak pernah mengalah. Tasya yang tidak pernah menerima cinta dan kasih mana-mana lelaki selepas kehadiran Aiman, terasa tersentuh dengan kegigihan dan kesabaran Shahrul. Apatah lagi, bila Aiman tidak segan silu lagi memanggil Shahrul sebagai Papa, serta-merta membuka pintu hati Tasya kembali.
”Kau cakap kat aku yang kau pun kasih dan sayang kat Shahrul. Habis tu, kenapa kau biar dia tertunggu-tunggu kat kau selama ni? Terima je lamarannya dan kahwin. Habis cerita”,
”Tak semudah itu, Nida”,
”Memanglah kahwin tu tak mudah. Tapi, kan lebih baik dari kau biar hidup kau anak beranak makan duit dia, pakai, belanja semahu-mahunya, tapi tak bagi apa-apa in return.”,
Berderau darah Anida mendengar sindiran rakannya itu.
”Apa maksud kau cakap macam tu?,
Terkumat-kamit mulut Anida menjawab sambil wajahnya menampakkan muka rasa bersalahnya. Faham benar dia akan kemarahan Tasya sekarang. Terlalu drastik kata-katanya tadi, tanpa selindung. Maafkan aku Tasya. Aku cuma nak kau sedar. Kau tak boleh terus-terusan berlagak.
”Aku…aku tak suka dengar apa orang lain kata tentang kau, Tasya. Mereka kan semua menggelarkan kau Picau Cukur, pengikis duit Shahrul”,
”Tapi, kau kenal aku Nida. Kau tak patut cakap aku begitu. Atau, pada kau, aku ni memang pisau cukur ke?”,
”Eh, tak… aku..”, Ahh, Tasya…cakap apa pun pada kau tak ada bezanya. Kau sajalah yang betul. Kehendak kau saja yang harus diikut. Perasaan kau sahaja yang perlu dijaga. Habis, macam mana dengan Shahrul? Perasaannya? Kasih sayangnya terhadap kau dan Aiman?
”maafkan aku Tasya. Aku cuma nak kau hormati perasaan Shahrul terhadap kau. Kau tak boleh sangkal perasaan sayang Shahrul terhadap Aiman. Janganlah kau nafikan kebahagiaan anakmu dengan menolak peluangnya mempunyai seorang ayah.”
Anida menghampiri Tasya. Dipandang Tasya dalam-dalam. Dipegang bahu sahabatnya itu. Minta didengar dan selami maksud hatinya.
”lagipun, Aiman boleh terima Shahrul. Aiman sayangkan Shahrul. Itu kan yang kau nak?”, kata-kata akhir Anida itu tidak dapat disangkal lagi. Perlahan-lahan dia menunduk.
Ingatan terhadap Shahrul segera tersekat apabila telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada mesej baru masuk. Tasya mengambil telefon tersebut, dan tersenyum melihat nama pengirimnya, Shahrul.
Sudah siap ke? Abang tunggu kat bawah. Rindu Tasya sangat-sangat
Alamak! Hampir Tasya terlupa.
“Aduh, aku lupalah Nida. Shahrul dah sampai”, cepat-cepat Tasya bergegas ke dalam bilik, menukar T-shirt dan seluar jeans. Mendengar nama Shahrul disebut, Aiman berlari mendapatkan ibunya.
“Mama, papa dah sampai ke? Aiman turun dulu”, terus Aiman berlari ke pintu. Tasya yang faham benar perangai Aiman, tidak membantah. Segera memberi isyarat kepada Anida untuk menemani Aiman.
”Kau temankan Aiman turun dulu. Cakap kat Shahrul, kejap lagi aku turun”,
Anida sempat mengangguk sebelum pintu rumah dihempas oleh Aiman. Tasya yang sempat memerhati mereka berdua keluar sambil menyarungkan seluar jeansnya, kembali duduk di birai katil. Masih terngiang-ngiang kata-kata Anida sebentar tadi. Ada banyak kebenaran dalam bicara Anida. Memang Shahrul terlalu cintakan dia. Memang juga Tasya sayangkan Shahrul. Dan tidak dinafikan kasih Shahrul terhadap Aiman dan sayang Aiman hanya untuk Shahrul. Namun, kalaulah Anida tahu semua perasaan kasih, sayang dan cinta itu cumalah bersarang di akalnya, dan bukan terbit dari dasar hati yang paling dalam, jauh di lubuk hati Tasya. Kerana hati ini pernah dilukai. Kerana hati ini pernah dikhianati. Kerana hati ini sudah pun mati…
*******************************
Di padang permainan kanak-kanak, Tasya hanya memerhati gelagat Aiman dan Shahrul ketika berusaha menerbangkan layang-layang, sama seperti keluarga lain yang berada di situ. Tasya pun sedar, Aiman tidak peduli pun dengan kehadirannya apabila bersama Shahrul. Bila Shahrul muncul sahaja, Aiman terus melekat dengan Shahrul. Shahrul pula melayani dan memanjakan Aiman seperti anak sendiri. Itulah anggapan Shahrul terhadap Aiman, anak sendiri.
Segala kesusahan dan sakit pening Aiman sangat diambil berat olehnya. Mengingatkan semua ini, Tasya bertambah runsing. Lamaran Shahrul masih di fikirannya. Betul kata Anida sebentar tadi, sampai bila Tasya akan berterusan melukakan hati Shahrul. Sabar manusia pun ada batasnya. Kebaikan manusia pun ada sempadannya. Bila orang berbudi, dia kena berbahasa. Jadi, bila orang yang berbudi minta balasan, aduh…apa dia kena buat? Berkorban?
Ahhh! Pening memikirkan Shahrul. Tasya dah seminggu mempertimbangkan lamaran Shahrul. Kalau betul dia menolak, mengapa hati berat sangat melepaskannya kali ini. Tidak seperti tahun lalu apabila dia dengan muka tebal terus berdepan Shahrul tanpa memikirkan langsung permintaan ini. Sehingga akhirnya Shahrul tidak mengungkit lagi. Tetapi lain pula kali ini. Pada Shahrul, dia dah cukup bersedia untuk memperisterikan Tasya. Segala baik dan buruk Tasya diterima dengan hati terbuka. Lagipun, cinta hatinya hanya terbuka untuk Tasya. Walaupun dia tahu Tasya banyak kekurangan, tetapi cinta kan tidak mengenal semua itu. Pertemuan di kedai buku 3 tahun yang lalu, telah merapatkan hubungan mereka.
Melihat Tasya yang termenung dari jauh mengorak perasaan risau di hati Shahrul. Setelah yakin dengan permainan layang-layang Aiman, Shahrul berjalan menghampiri Tasya. Melihat langkah Shahrul menuju kepadanya, Tasya jadi tak keruan. Masih belum bersedia rasanya, andai soalan yang sama diajukan oleh Shahrul. Bila Aiman tiada bersama Tasya, Shahrul sangat romantik dan penuh perhatian. Membuat Tasya terasa terbuai dan tergoda. Sejujurnya, dia tidak mahu berperasaan demikian.
”kenapa Tasya?. Tak sihat ke?”, soalnya sebaik melabuhkan punggung di rumput yang sama bersebelahan Tasya. Matanya memerhati raut wajah Tasya. Walaupun Tasya tidaklah secantik setiausahanya, Emelda, tetapi Tasya memiliki raut wajah yang manis. Sekali pandang sahaja, kemanisan itu terserlah apabila Tasya senyum. Lesung pipit di sebelah kiri pipinya, sering menggoda Shahrul. Tak hairanlah kalau Shahrul sering mencuit pipi kiri Tasya, sengaja ingin merasa keayuan gadis itu.
Soalan Shahrul hanya dijawab dengan gelengan. Tidak berani rasanya bertentang mata. Pantas pula tapak tangan Shahrul diletakkan di kepala Tasya. Cuba merasa suhu badan Tasya. Bimbang jika Tasya cuba menyembunyikan kesakitannya. Tapi, hati Shahrul lega sebab tiada tanda-tanda demam pun. Menyedari kebimbangan Shahrul, Tasya segera melemparkan senyuman.
“Tasya ok lah Shah. Abang janganlah risau. Cuma, Tasya penat je”,
“Alah…kalau penat, tak payahlah Tasya ikut. Abang sendiri je boleh temankan Aiman main layang-layang kat sini. Tasya rehatlah kat rumah.”,
”Tapi, hari Selasa kan hari Tasya dengan Aiman. Lagipun, Tasya janji dengan Aiman tadi.”,
”Hmmm…Tasya ni pun satu hal. Dengan Aiman, tak payahlah Tasya main janji-janji. Nanti dituntutnya, Tasya yang susah. Biar Abang je yang penuhi keinginan Aiman”,
Hish, mana boleh macam tu. Aiman tu anak aku. Suka hati akulah, bisik hati kecil Tasya. Dibiarkan bicara Shahrul tidak bersambut. Membahasakan diri sendiri sebagai ’abang’, Tasya menurut sahaja. Entah sejak bila Shahrul yang membahasakan dirinya sedemikian. Tasya sudah lupa. Sekarang ni pula seperti ada magnet, Tasya pun kadang-kala terpanggil Shahrul ’abang’. Itu yang membuat hati Shahrul berbunga bahagia.
”So, macam mana? Bulan depan kita nikah”, tiba-tiba Shahrul persoalan itu diutarakan. Hampir tercabut tangkai jantung Tasya mendengar kata-kata Shahrul. Segera Tasya mengangkat muka memandang Shahrul tetapi Shahrul yang masih tersengih mengelak pandangan Tasya, seolah-olah sibuk memerhati Aiman dari kejauhan. Hish, dia ni, macamlah aku kata setuju. Pandai-pandai aje buat keputusan nak nikah bulan depan. Aduh, macam manalah hendak menolak.
Baru sebentar tadi dia bertekak dengan Anida tentang perkara ini. Baru mahu dilupakan, sekarang sudah ditimbulkan balik oleh Shahrul. Bukankah Tasya sudah meminta kepada Shahrul agar memberikannya masa untuk memikirkan tentang lamaran ini.
Melihat Shahrul hanya memerhati Aiman, Tasya buat-buat tak dengar sahaja. Senangnya begitu. Kalau Shahrul bersahaja, maka dia takde lah serius sangat nak jawapan. Ah, biarkan sajelah dulu. Tasya mengalihkan perhatian kepada Aiman. Tiba-tiba Aiman terjatuh dan sepantas itu juga Tasya bangun, berlari ke arah Aiman dan membantu anaknya. Disapu lutut Aiman seketika sebab Aiman sudah kembali menyambung permainannya. Aiman menolak-nolak mamanya agar tak mengganggu permainannya itu. Jadi, Tasya kembali mengadap Shahrul.
Melihat Shahrul yang berdiri mengcekak pinggang memandangnya, hati Tasya tersentuh. Sambil melangkah menuju ke arah Shahrul, sempat juga Tasya mengamati pemuda itu. Dalam usia hampir menjangkau 30 tahun, dia sangat berkarisma. Bukan rupa yang dicari Tasya, tetapi keikhlasan Shahrul yang amat dikaguminya. Namun, baru hari ini dia sedar, Shahrul memenuhi pakej seorang pemuda untuk menjadi teman hidup.
Berkulit sawo matang, berkening lebat, hidung mancung, bibir merah, mempunyai potongan rambut yang terurus, dan ketinggian yang sesuai serta susuk badan yang tegap. Shahrul memang selalu memakai T-Shirt berkolar dan berseluar jeans, agak bersahaja dalam berpakaian. Tetapi cermin mata hitamnya sentiasa melekat, kalau bukan di mata, di atas kepala atau disangkutkan di kolar depan T-shirt. Patutlah Anida kata Shahrul lagi handsome dari laki dia. Bukan main hebat taste kawan aku ni. Ada class gitu.
Melihat Tasya melangkah menuju ke arahnya, mata Shahrul tidak berkelip. Mahu dipandang Tasya puas-puas. Biar terubat segala kerinduannya. Dia takut takkan berjumpa lagi dengan Tasya selepas ini. Sebenarnya dia sudah pasrah. Sebab itu, walaupun sudah beberapa kali lamarannya ditolak, tapi kali ini dia nekad. Dia perlu teruskan hidup.
Sampai bila mahu membujang? Dari itu, walaupun dia dapat mengagak jawapan Tasya, tetapi dia membulatkan hati untuk menyampaikan hasratnya untuk memperisterikan Tasya. Walau apa pun keputusan Tasya, dia akan terima. Sekiranya impiannya tidak tercapai untuk hidup bersama Tasya, dia akan mengundurkan diri. Dia akan terima kenyataan, walaupun pahit, yang tiada tempat di hati Tasya untuknya.
Melihat Tasya sudah berdiri di sampingnya sambil mngukir senyuman, kepada Allah, Shahrul memanjatkan doa di dalam hati. Ya Allah, Kau pahatlah dengan restu-Mu agar senyuman itu sentiasa mekar di bibir Tasya. Dan Kau jadikanlah aku sebagai pemahat itu agar sentiasa membuatnya bahagia. Amin.













Shahrul hensome ye……………….nk tau cite seterusnye………
chayokkk….shahrul. Kau harus berusaha terus untuk mdptkn cintamu itu….huhuhuhuh….