Novel : Kisah Kita 10

28 February 2012  
Kategori: Novel

3,154 bacaan 7 ulasan

Oleh : Rahimahullah

BAB 10

“Puteri…”, panggil Hakim.

“Erm..”, sahut Puteri dalam mata masih terpejam.

“Kita dah sampai”, beritahu Hakim.

“Ha?. Sampai dah?”. Puteri membuka matanya, menggosok-gosok seketika. Seakan baru sahaja dia terlena. Jam ditangan ditatap bersungguh. Sudah hampir pukul 10 malam. Penumpang keretapi berpusu-pusu keluar. Wanita bersari merah di tempat duduk hadapannya juga sudah tidak kelihatan.

Hakim berdiri, mengambil bagasi di bahagian atas rak menyimpan barang.
“Jom keluar. Kita boleh cari tempat tinggal yang sama”, usulnya sambil mengemaskan kemeja ungu di tubuhnya.

“Ok”, sahut Puteri. Dia membetulkan letak tudung, mengemaskan diri lalu turut bangun. Bagasi yang telah dibawa turun oleh Hakim dicapai, ditarik perlahan menuju ke pintu keluar.

“Puteri..Hakim nak ke tandas. Puteri turun dulu. Nanti tunggu Hakim di stesen”, pesan Hakim.

“Ya”, sahut Puteri sebelum menapak turun.

Orang ramai yang berpusu-pusu keluar masuk kenderaan utama India itu membuatkan Puteri berusaha untuk melepaskan diri daripada kesesakan itu. Puteri menarik nafas lega sebaik menjejakkan kaki di kawasan yang lapang lalu melabuhkan punggung di tempat duduk yang disediakan. Telefon bimbitnya dikeluarkan, berniat untuk menghubungi ayahnya. “Ala…bateri habis pula”, keluhnya. Tangannya berkali-kali menekan butang merah untuk menghidupkan kembali telefon bimbit itu.

“Puteri Ishika Mirza?”.

Satu suara lelaki menampan telinganya dari arah hadapan. Pantas dia mengangkat wajah. Melihat wajah lelaki melayu separuh abad yang mengenakan kot hitam itu, Puteri merenung penuh sangsi. “Ya, sayalah orangnya. Siapa pakcik?”.

Lelaki separuh baya itu tersenyum. “Nama pakcik, Kamil. Ayah Puteri yang menyuruh pakcik menjemput Puteri. Katanya, dia risau bila telefon bimbit Puteri tidak dapat dihubungi. Lebih-lebih lagi dah malam ni. Bahaya”, terangnya panjang lebar.

“Ooo”. Puteri menghela nafas lega. “Tapi..siapa pakcik?. Kawan ayah saya ke?”, soalnya lagi.

Telefon lelaki itu berdering. “Sekejap ya”, pesannya lantas menekan butang hijau pada blackberry putih miliknya. “Hello. Ada. Puteri ada dengan saya. Ok”. Pakcik Kamil menghulurkan telefonnya kepada Puteri. “Ayah Puteri di talian”, beritahunya.

Puteri menyambut telefon itu lalu dilekapkan ke telinganya. Mendengar suara ayahnya di hujung talian, langsung membuatkan matanya membulat luas. “Abah!. Ya la. Salah Puteri sebab tak cas bateri sebelum naik keretapi tadi”.

“Itu yang abah risau tadi. Nasib baik ada pakcik Kamil”.

“Siapa pakcik Kamil ni abah?”.

“Dia kawan abah masa belajar di India dulu”.

“Terima kasih sebab hantar kawan abah. Abah jangan bimbang. Puteri tahu jaga diri”.

“Sebab Puteri tu perempuan la yang buat abah risau. Dah la sampai malam, tambahan pula Puteri ke sana bukan diuruskan travel agent. Mana abah tak risau”.

“Baiklah abah. Maaf sebab buat abah risau”.

“Puteri tahu kan..Puteri adalah nyawa abah”.

“Ya..Puteri tahu. Puteri sayang abah”.

“Abah lagi sayang Puteri Ishika. Dah sampai hotel nanti, telefon abah”.

“Hotel?. Hotel apa?”.

“Oh..abah lupa nak cakap. Abah minta tolong pakcik Kamil book bilik untuk Puteri di hotel Kamal. Betul-betul menghadap pagar selatan Taj Mahal. Nanti bila Puteri nak melawat Taj Mahal..tak la susah nak cari kenderaan lagi”.

“Ish abah ni. Susah susah je”.

“Mana pula susah. Puteri Ishika adalah permata hidup abah. Abah kena jaga betul-betul sebelum suami Puteri yang ambil alih nanti”.

“Ya abah. Terima kasih sekali lagi”, ucap Puteri dalam rasa sebak yang tiba-tiba mencengkam dada.

“Ya la. Bagi abah nak cakap dengan Pakcik Kamil”.

“Ok”. Puteri menghulurkan semula telefon blackberry itu kepada tuannya.

“Tak perlu ucap terima kasih Mirza. Kita dah kawan lama. Ok. Nanti dah sampai saya telefon awak semula. Ok..waalaikumussalam.” Pakcik Kamil memasukkan telefon bimbitnya ke dalam poket kot. Matanya kembali menyeluruhi wajah gadis dihadapannya. “Mari..ikut pakcik”, ajaknya.

“Bagi pakcik beg tu”.

“Ok”, sahut Puteri dalam rasa syukur. Beg bagasi ungu gelap itu diberikan kepada lelaki itu. Puteri mengekori langkah lelaki itu sehingga tiba dihadapan kereta honda jazz berwarna merah.

“Masukla”, pelawa Pakcik Kamil sejurus memasukkan bagasi ke dalam but kereta.

“Ya”, sahut Puteri teragak-agak.

“Wajah kamu saling tak tumpah seperti ibu kamu”. Pakcik Kamil bersuara sejurus gadis itu masuk ke dalam perut kereta di sebelah tempat duduk pemandu.

Puteri tersentak. “Pakcik kenal mama saya?”.

Pakcik Kamil terdiam sejenak. Tangannya cekatan menghidupkan enjin lantas membawa kereta itu ke jalan besar. “Ibu kamu berasal dari Delhi bukan?. Pemegang ijazah pendidikan muzik dari Universiti Delhi. Dia seorang wanita yang istimewa”.

Puteri membulatkan matanya. “Ya..macam mana pakcik kenal dengan mama saya?”.

Pakcik Kamil merenung sekilas wajah gadis itu. “Anak mata kecoklatan, mata yang bening, senyuman menawan..wajah kamu memang saling tak tumpah seperti Mumtaz Mithal Khan. Pakcik dan ayah Puteri bertemu dengan ibu Puteri di Agra, di hadapan Taj Mahal”.

“Oh?. Pakcik juga ada ketika pertama kali abah jumpa mama?”. Puteri semakin tertarik untuk bertanya lanjut.

“Ya”, balas Pakcik Kamil. “Pada pandangan pertama, Mirza dan Mumtaz telah jatuh cinta. Cinta mereka tiada halangan tambahan pula ibu Puteri dibesarkan di rumah anak yatim. Lebih manis, Mumtaz merupakan pelajar dari universiti yang sama kami mengambil jurusan BBA. Cinta Taj Mahal telah menyatukan dua bangsa dari dua negara yang berlainan. Cinta itu memang indah dan ajaib bukan?”.

Puteri menganggukkan kepalanya. Benar. Kisah cinta antara ibu dan ayahnya suatu kisah yang indah dan ajaib. “Ya..tetapi cinta itu indah hanya seketika, selebihnya memberi derita dan duka yang berpanjangan”, ujarnya perlahan.

“Tidak. Jangan kata begitu. Cinta itu sangat indah..sangat indah..walaupun datang dengan sedikit duka”, tingkah Pakcik Kamil.

Puteri terkesima. Lama matanya merenung wajah lelaki yang masih ada sisa kekacakan itu. Benarkah begitu?. “Pakcik sangat optimis. Mungkin sahaja kisah cinta pakcik adalah kisah cinta yang sejati dan agung. Seperti Kasih Shah Jahan kepada Mumtaz”, tebaknya.

Pakcik Kamil tersenyum nipis. “Mungkin. Cinta itu tiada syaratnya. Oleh itu tiada kekesalan”.

“Ceritalah…Puteri nak dengar kisah cinta pakcik”, pinta Puteri bersungguh.

Pakcik Kamil tersenyum manis. “Puteri akan bosan nanti”.

“Tak…Puteri nak dengar kisah cinta pakcik”, ulangnya lagi.

“Ok…erm…bermula dimana ya”, ngumam Pakcik Kamil sejenak. “Pakcik ada dua kisah. Kisah pertama ini dengan gadis M. Tiada istilah cinta pandang pertama. Suatu hari, ada persembahan muzik yang dianjurkan oleh fakulti muzik di kampus pakcik. Melihat gadis M bermain piano dengan penuh perasaan, bagaikan bersatu bersama irama lagu…membuatkan hati pakcik tiba-tiba diketuk perasaan asing. Perasaan yang cukup aneh. Itu lah perasaan cinta. Serenade…sebuah lagu sedih yang dimainkan gadis M berjaya menghadirkan bibit-bibit cinta dalam hati pakcik. Ajaib dan aneh bukan?”.

“Serenade?. Itu lagu kegemaran mama Puteri”, beritahu Puteri dengan teruja.

Pakcik Kamil mengangguk. “Gadis M itu adalah Mumtaz Mithal Khan”.

“Hah?”. Puteri benar-benar dilanda kejutan yang maha hebat. Wajah tenang lelaki separuh abad itu ditatap bersungguh. “Pakcik cin…cintakan…mama?”, soal Puteri tersekat-sekat.

Pakcik Kamil mengangguk lagi. “Ya. Sebab itu pakcik cakap cinta pakcik membosankan. Sebenarnya, tiada kisah cinta yang wujud pun antara kami. Cuma..perasan cinta yang hadir itu sudah cukup membahagiakan walaupun pakcik mencintai teman wanita kawan baik sendiri. Pakcik tidak mencintai ibu Puteri dengan syarat dia akan mencintai pakcik juga. Oleh itu tiada kekesalan. Menatap wajah bahagia Mumtaz disamping Mirza sudah cukup membagiakan hati pakcik”.

Puteri terdiam lama. Dia benar-benar kaget mendengar pengakuan itu. “Abah dan mama…tahu tak perasaan pakcik?”. Wajah lelaki itu ditatap dalam pandangan sayu.

“Tak. Mereka tidak pernah tahu. Cuma pakcik pernah berjanji..jika ada insan yang mengatakan cinta itu membawa duka berpanjangan, pakcik akan kongsikan kisah cinta pakcik supaya insan itu menyedari bahawa dalam cinta…tiada pensyaratan yang membawa kekesalan. Pakcik ingin menegaskan bahawa cinta itu sangat indah biarpun datang dengan sedikit duka. Siapa sangka…rupanya insan itu adalah permata Mirza dan Mumtaz, anak kawan baik pakcik sendiri”, jelas Pakcik Kamil lagi.

Puteri terdiam lagi. Kali ini lebih lama. “Err..pakcik ada isteri?”, soalnya dalam takut-takut. Dia ingin mengetahui kisah cinta selanjutnya dalam hidup lelaki itu.

“Ada”, balas Pakcik Kamil. “Isteri pakcik adalah anugerah terindah dalam hidup pakcik”.

“Dimana dia?”, soal Puteri dalam mata yang bersinar. Akhirnya lelaki ini berjaya mendapatkan kisah cinta sejatinya.

“Dia ada dimana-mana. Dia sentiasa ada di hati pakcik”, ujar Pakcik Kamil tenang.

“Macam mana tu?”. Puteri mengerutkan dahinya.

“Kerana dia sudah tiada di dunia ini. Dia sudah meninggal. Tiga tahun lepas isteri pakcik terlibat dalam kemalangan jalan raya”, lanjut Pakcik Kamil.

“Err…maafkan Puteri..Puteri tak tahu…”.

“Jangan. Jangan minta maaf untuk takdir yang telah ditetapkan ilahi. Ya..Pakcik sedih dengan kehilangan isteri pakcik. Tapi pakcik redha sebab pakcik tidak pernah meletakkan syarat yang dia tidak boleh meninggalkan pakcik sendirian di dunia ini. Jadi, tiada kekesalan. Dunia ini bukan kah tapak ujian manusia?. Pakcik redha kerana cinta yang dianugerahkan ilahi sangat membahagiakan hidup pakcik. Semoga cinta antara Kamil dan Ishika akan bersambung di akhirat kelak”.

“Ishika?. Nama isteri pakcik Ishika?”. Puteri membulatkan matanya.

“Ya. Sama nama Puteri kan?. Ishika wujud dalam kisah cinta kedua yang sangat membahagiakan. Ishika Khanna. Seorang gadis india muslim yang pakcik temui di hadapan Taj Mahal tidak lama selepas Mirza dan Mumtaz mendirikan rumahtangga. Ishika juga graduan muzik yang sangat menyukai lagu Serenade. Takdir yang diaturkan ilahi itu indah bukan?. Sentiasa ada keajaiban yang tersembunyi”, lanjut Pakcik Kamil lagi. Tangannya menekan butang pada sistem digital muzik kereta itu. Lagu kegemaran isterinya dipilih dari senarai lagu yang ada. Lagu ciptaan Frank Schubert itu tidak jemu-jemu diulang dengar. Terasa isterinya masih ada disisi.

Puteri menyandarkan kepalanya pada belakang kerusi. Mindanya tepu dengan cerita rakan baik ayahnya itu. Cinta itu tiada syarat, oleh itu tiada kekesalan?. Terbit persoalan itu dalam hatinya. Bayang Saifullah melintas benaknya. Dia mengeluh berat. Adakah aku meletakkan syarat terhadap hubungan bersama Saifullah selama ini?.

Irama lagu Serenade bergema di dalam kereta itu. Hati Puteri dibuai pelbagai rasa. Perlahan matanya dipejamkan kejap. Melintas wajah sayu ibunya, tersisip wajah Saifullah. Apabila wajah Hakim pula mengambil tempat, Puteri terus tersentak. Matanya membuntang luas. Bukan kah lelaki itu sudah mengingatkan supaya menunggunya di stesen keretapi itu tadi?. Puteri diserang rasa serba salah yang menggunung.

Hakim terduduk di atas kerusi. Sudah penat kakinya melangkah ke sana sini mencari kelibat Puteri Ishika. Melihat orang ramai yang semakin beransur kurang dari kawasan stesen, dia yakin Puteri Ishika tidak lagi berada di dalam bangunan stesen. Hatinya bergalau risau tatkala memikirkan keselamatan gadis itu. Ya Allah, lindungilah keselamatan Puteri Ishika tidak kira dimana pun gadis itu berada. Doanya di dalam hati. Malam sudah semakin larut. Hakim tahu dia harus mencari tempat untuk merehatkan diri. Perlahan kakinya menapak ke hadapan, mendekati teksi berwarna hitam kuning.

Hakim tersenyum sewaktu berada di dalam perut Taxi. Angin malam Agra menampar wajahnya sewaktu membuka cermin tingkap kereta sewa itu. Wajah Puteri Ishika bermain-main dimatanya. “Kita berpisah lagi tapi kita pasti akan bertemu semula kerana…”. Hakim menghela nafas sambil tersenyum “Kisah kita pasti ada..”, bisik Hakim penuh yakin.
*******

“Taj Mahal”, bisik Puteri perlahan dari aras bumbung hotel bajet itu. Hotel Kamal pilihan ayahnya itu terletak betul-betul di arah selatan pintu masuk Taj Mahal. Kubah Taj Mahal terasa dekat pada jarak sekitar dua kilometer. Angin pagi yang menampar pipinya terasa kesejukan sehingga ke tulang hitam. Hatinya berkobar-kobar untuk melawat Taj Mahal pagi itu setelah mendengar kisah rakan ayahnya malam semalam.

Selepas menikmati capati, kari dan kopi panas, Puteri mengatur langkah menuju ke pintu gerbang yang berwarna merah. Kawanan burung diudara bagaikan sedang mengawal pintu gerbang itu. Jam ditangan dikerling sekilas. Jam menunjukkan pukul 6.45 pagi. Masih awal tetapi masa yang tepat, cuaca juga baik. Puteri tersenyum lebar melihat cahaya mentari yang baru sahaja memancarkan wajahnya di kaki langit. Cerah dan hening sekali, secerah hatinya saat ini.

Puteri beratur di pintu masuk untuk membeli tiket masuk. Puteri membayar tiket masuk dengan harga 750 rupee. Puteri mencongak dalam kepalanya. Kira-kira RM 50 dikenakan kepada pelancong asig manakala rakyat india hanya dikenakan RM 1 sahaja. Untungnya mereka!. Getus hatinya. Selepas mendapatkan tiket, sebotol air mineral dan sarung sepatu putih yang diperbuat daripada kain, Puteri menuju ke kawasan pemeriksaan di pintu masuk gerbang. Terdapat dua bahagian pintu masuk. Kaum lelaki beratur di sebelah kanan manakala wanita berada di sebelah kiri. Di hujung barisan sebelah kiri, terdapat dua wanita dalam pakaian seragam warna perang memeriksa beg pengunjung dengan teliti.

Puteri hanya membiarkan seluruh tubuhnya diperiksa. Dia bersyukur kerana telah diingatkan oleh pakcik Kamil untuk tidak membawa segala macam barang daripada telefon sehingga gincu. Tidak dia menyangka, gincu dilarang dibawa masuk kerana pihak berkuasa bimbang tindakan menconteng dinding menggunakan gincu akan merosakkan marmar Taj Mahal.

Akhirnya Puteri dapat bernafas lega sejurus dibenarkan masuk ke dalam Taj Mahal. Puteri berjalan memasuki pintu gerbang yang terbuat daripada batu bata merah. Kakinya dibawa menyelusuri taman bunga dan terusan yang menghubungkan antara Taj Mahal dengan pintu masuk. Terdapat satu pintu gerbang lain kelihatan di hadapannya yang merupakan gerbang masuk menuju ke Kompleks Taman dan Makam Taj Mahal. Matanya menikmati penuh kagum kehijauan 4 taman dalam kompleks Taj Mahal. Setiap taman dibahagikan kepada empat yang menjadikan 16 buah kesemuanya.

Puteri benar-benar terpana sejurus melihat bangunan Taj Mahal yang tersergam kukuh dihadapan matanya Bangunan makam itu tampak dikawal oleh empat buah menara yang kelihatan membikai bangunan itu. Struktur itu juga membuatkan simetri bangunan Taj Mahal kelihatan luar biasa sempurna.

Di kawasan belakang Taj Mahal tidak kelihatan sebarang bangunan atau pohon. Kedudukan Taj Mahal yang kelihatan tinggi dari permukaan tanah membuatkan Taj Mahal kelihatan seperti terapung di udara. Ibarat kapas yang terapung di kayangan. Bangunan berwarna putih itu kelihatan sangat cantik dan anggun, apalagi dihiasai kolam dan taman-taman yang indah indah di latar hadapannya. Hatinya mula menerima hakikat bahawasanya bangunan itu layak dikategorikan sebagai binaan ajaib dunia. Apabila menyedari dirinya yang terlalu taksub dengan pemandangan dihadapannya, dia beristigfar sejenak. Kamera Canon yang digantung dileher mula memainkan peranan. Puteri mula mengambil gambar dari pelbagai sudut.

Merenung makam tanda cinta itu, menerbitkan rasa cemburu dijiwa mengenangkan keagungan cinta Shahjahan terhadap Mumtaz. Masih ada kah lelaki yang akan mencintainya seperti kisah cinta agung itu?. Terasa sebak di dada apabila mengingati wajah arwah Saifullah yang tiba-tiba menerpa di ruang ingatannya. “Cinta itu ada di sepanjang jalan kehidupan”. Kata-kata terakhir lelaki thionghua itu menampar gegendang telinganya. Benar kah begitu?. Puteri menarik nafas dalam-dalam sambil memejamkan mata rapat-rapat. Ya Allah..bagaimana mungkin aku bertemu dengan lelaki yang ditakdirkan untukku jika hati ini begitu keras, begitu sukar untuk dibuka kembali?. Ya Allah..temukanlah aku dengan lelaki yang baik, pemimpin yang bijaksana dan suami yang tidak akan mempersiakan diri ini. Doanya didalam hati.

Matanya dibuka perlahan-lahan. Hampir sahaja dia menjerit terkejut sebaik melihat senyuman Hakim. Lelaki itu berdiri dihadapannya dalam senyuman lebar.

“Hai Ishq. Kita jumpa lagi. Awak rasa ini suratan atau kebetulan?”, soal Hakim sambil merenung sepasang mata indah itu. Takdir sekali lagi menemukan mereka, malah di hadapan tugu cinta Shahjahan dan Mumtaz.

Puteri tidak terkata apa. Dia benar-benar tiada jawapan untuk persoalan itu. Renungan Hakim dibalas lembut. Terasa dirinya melayang ke udara. “Err..maaf untuk hal semalam. Ada kawan abah yang ambil di stesen, langsung terlupa tentang Hakim”. Puteri bersuara setelah lama mata mereka bertaut begitu.

“Siapa?”, soal Hakim.

“Nanti Puteri cerita. Err.Hakim maafkan Puteri tak?”, pintanya memohon kepastian. Dia benar-benar dihimpit rasa bersalah.

Hakim merenung wajah Puteri tanpa sebarang reaksi.

Hati Puteri berdetak cemas. Bola matanya dikalihkan pada bingkai cermin mata Levies lelaki dihadapannya. tidak berani memandang terus ke dalam anak mata Hakim.

“Boleh”, sahutnya sepatah. “Tetapi ada syaratnya”, lanjut Hakim lagi.

“Apa?”.

“Puteri kena benarkan Hakim jadi pemandu pelancong selama Puteri berada di India. Setuju?”.

Wajah cemas Puteri langsung bertukar cerah. Dia tersenyum lebar. “Boleh. Pasti boleh”, sahutnya dengan teruja.

Hakim turut mengukir senyum. “Puteri nampak cantik sangat hari ni. Dari mana Puteri beli sari moden ni?”, soal Hakim sambil matanya meneliti pakaian moden masyarakat India itu di tubuh Puteri. Sari yang diperbuat daripada kain sutera berwarna putih itu benar-benar padan dengan tubuh sederhana tinggi gadis itu.

Puteri tersenyum lebar. “Kawan abah yang bagi. Namanya pakcik Kamil. Dia yang ambil Puteri di stesen semalam”.

“Ya?. Pakcik Kamil buat apa di India?”.

“Erm..Pakcik Kamil ada rumah di sini. Dia kawin dengan orang sini. Hari ni katanya terbang ke Dubai. Ada urusan perniagaan di sana”, terang Puteri.

Hakim menganggukkan kepalanya. “Puteri..pakai sarung kasut tu cepat. Ada banyak benda yang Hakim nak tunjuk pada Puteri”, sarannya dalam rasa teruja.

“Ok”, sahut Puteri dengan gembira. Cekatan tangannya menyarung kasut dengan sarung putih daripada kain yang disediakan pihak berkuasa. Sempat matanya mengerling penampilan kacak Hakim. Biarpun sekadar mengenakan jaket jeans biru dan t-shirt putih didalamnya, lelaki itu tetap nampak bergaya dimatanya. Sebelum melangkah masuk ke dalam Taj Mahal, Puteri menyeluruhi kawasan sekitar bangunan itu. Kelihatan perkarangan Taj Mahal mula dipenuhi dengan pelancong-pelancong dari seluruh dunia. Puteri tersenyum lebar apabila melihat beberapa pasangan kekasih yang berpimpin tangan, bagai lagaknya Shah Jahan memimpin tangan Mumtaz ke dalam tugu cinta bangunan berwarna putih itu.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

7 ulasan untuk “Novel : Kisah Kita 10”
  1. rosmpkmn says:

    ermm.. cinta bollywood ke ni?

  2. echa mw says:

    boleh nggak bahasanya pakai indonesianya,heee ada yg tak paham dgn bahasa melayu

  3. adewi reita says:

    mengharukan

  4. tuan belalang says:

    Terbaik la Rahimah!
    Tak sabar nak tunggu next episod :)

  5. farisha_zeisha says:

    best
    sambung lagi..

  6. menggambar vector says:

    bersambung………..

  7. Mohd Zamree Bin Sinin says:

    waaa… mana ada puteri disitu la ada hakim….hhehe
    betul2 ada kisah diantara hakim dan puteri….
    akak…zam tak sabar nak baca yang seterusnya…=)))

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"