
Novel : Kisah Kita 8
Oleh : Rahimahullah
BAB 8
DUA TAHUN KEMUDIAN – ITALY
“Meri mehbooba…meri mehbooba (gadis impian ku)”. Hakim bernyanyi kecil sambil terus melukis seraut wajah seorang gadis di atas sekeping kertas putih. Wajah yang dirindui itu sering menghiasi mimpi indahnya. “Puteri Ishika…bagaimana caranya untuk aku melupakan kau?”. Hakim mengeluh kecil. Pandangannya dilontarkan ke tepi. Dia tersenyum puas menikmati pemandangan indah yang terbentang dari jendela kaca kereta api kendalian syarikat nasional Itali Ferrovie dello Stato itu. Perjalanan yang bermula dari stesen Centrale Brindisi ke Milan itu menghidangkan kawasan penanaman anggur dan jagung yang cukup luas. Tidak jauh berbeza daripada pemandangan di negara-negara Eropah lain yang pernah dilaluinya.
Suara gadis yang sedang berbual di telefon selang sebaris dari tempat duduknya membuatkan Hakim terbangun mendadak. Kertas lukisannya melurut jatuh. “Thanks”, ucap Hakim pada seorang kanak-kanak lelaki berambut perang yang menghulurkan lukisan itu kepadanya.
Hakim beralih tempat duduk lalu melabuhkan punggungnya di hadapan gadis yang masih leka berbual dengan telefon bimbitnya. Kertas yang terlakar potret wajah gadis itu diangkat ke paras kepala, membandingkan wajah dihadapannya dengan potret lukisan itu. Benarlah gadis itu berada dihadapannya kini. Wajah iras pelakon Madhuri Dixit itu masih sama. Lama matanya menyorot wajah yang dirindui itu. Gadis itu bertambah anggun tatkala mengenakan tudung coklat cair dipadankan dengan baju jaket warna tanah dan seluar jeans biru. Entah bagaimana takdir sekali lagi menemukan mereka, malah di negara orang pula. Tetapi kenapa wajah gadis itu kelihatan lesu dan sayu?.
Puteri terpaku sebaik matanya menangkap wajah kacak yang amat dikenalinya sedang merenung dalam senyuman manis. Suara Shafawati yang sedang rancak bercerita di talian tidak dihiraukannya lantas memutuskan talian. “Hakim?”, soalnya seakan meminta kepastian.
Hakim tersenyum lebih lebar, pantas mengangguk laju. “Buat apa di sini?. Hakim sengaja melancong ke sini. Baru je habis belajar, ingat nak tenangkan fikiran dulu ke Eropah”, terangnya ramah tanpa disuruh.
Puteri tersenyum nipis dengan keramahan jejaka itu. Sikap yang tidak pernah berubah sejak dulu. “Bagus la. Nanti bila mula kerja, dah tak ada masa nak melancong kan?. Puteri ada perbentangan thesis di Geneva kelmarin. Bila semua dah selesai, ambil kesempatan sementara melihat negara orang”, terangnya pula mengenai kehadirannya di bumi Eropah itu.
“Oh, bagusnya. Puteri sambung master ke? Masih dalam bidang sains botani?”, soal Hakim berminat ingin tahu.
“Ya. Sambung di Universiti Manchester. Kebetulan ada convention di Geneva, jadinya ambil peluang untuk bentangkan hasil thesis yang dah hampir siap pun”, balasnya lembut.
Kepala Hakim terangguk-angguk. “Sha buat apa sekarang?. Lama sungguh tak dengar berita tentang dia”.
“Shafawati sekarang di Rusia. Ambil jurusan perubatan. Tadi baru bercakap dengan dia. Kalau dia tahu Puteri jumpa Hakim di sini, pasti dia terkejut”.
“Ya?. Bakal doktor la tu kan. Sama dengan abang Haikal…”. Hakim mengetap bibirnya apabila mengingati perjanjian perkahwinan yang telah terkubur sejak sekian lamanya. Ibunya ada bercerita mengenai hubungan rapat yang terus terjalin antara ayahnya dengan Dato’ Mirza. Masih jelas diingatannya wajah kecewa Tengku Haikal setelah diberitahu hal perkahwinan Puteri Ishika dengan seorang lelaki cina muslim. Perasaan kecewa abangnya itu tidak sama dengan kehampaan menggunung yang ditanggungnya. Hanya kepada ilahi sahaja dia mengadu setiap malam untuk mengubat hati yang kecewa. Sisi wajah Puteri direnung lembut. Mengingati Haikal membawa ingatan kepada kakak tiri gadis itu. “Oh ya..Kak Erina kahwin dengan siapa?. Hari tu masa di majlis kahwin Tengku Shafiqa tak sempat tanya”.
Puteri yang sedang menikmati pemandangan indah melalui jendela itu tersentak. Kembali mengalihkan pandangan ke wajah Hakim. “Kak Erina kawin dengan seorang anak kenalan abah, Ikhwan. Bahagia dia sekarang. Anak dah ada dua orang. Anak sulung nama Erika dan tiga bulan lalu dapat Erissa pula”, terangnya lalu kembali melontarkan pandangan ke luar jendela. Menyedari renungan Hakim melalui ekor matanya, hatinya dipagut resah. Dia kembali memusatkan pandangan ke wajah Hakim. “Erm…kenapa Hakim ke Italy?. Percutian selepas belajar semuanya ke negara Eropah sahaja?”. Puteri cuba menghidupkan suasana mesra. Entah mengapa berjumpa tiba-tiba begitu membuatkan dia sedikit kekok, lebih-lebih lagi mengetahui rasa hati lelaki itu terhadapnya.
Hakim tersenyum lebar. “Buat masa ni memang di Eropah sahaja. Bukan bercuti semata, tetapi merenung, meneliti tinggalan tamadun islam silam. Minggu lepas Hakim ke Istanbul, bekas tanah jajahan Byzhantium”, ceritanya.
“Kota Konstantinopel?”. Mata Puteri membulat.
“Ya. Kota Konstantinopel yang Puteri pernah cerita dulu. Tak sangka…sampai juga Hakim ke kota yang pada zaman nabi tidak dapat ditembus oleh tentera islam termasuk pada zaman Salahudin Al-Ayubi. Rantai besi yang memagari selat Golden Horn suatu ketika dulu masih ada dipamerkan di sebuah Muzium Haghia Sophia. Masa Hakim masuk ke dalam Masjid Biru, terasa kehebatan tamadun islam tinggalan Sultan Muhammad Al-Fateh. Dia lah raja yang dimaksudkan dalam hadis Nabi yang akan menawan konstantinopel daripada kuasa Byzantium selepas lapan ratus tahun menunggu. Kini, selepas lima belas abad, tiada tanda-tanda Islam bertapak di kota Rom negeri ini. Apa pendapat Puteri?”, soalnya kembali. Cuba membawa topik perbualan yang pernah menjadi topik perbincangan mereka dahulu.
Puteri terangguk-angguk. Dia memang merindui perbincangan ilmiah antara mereka. “Ya…kita sekarang dalam fasa keempat dunia selaras dengan hadis nabi. Mungkin sahaja Kota Rom hanya akan dikuasai islam pada fasa kelima dunia”.
Hakim mengerutkan keningnya. “Hakim kurang jelas mengenai perkara ni. Boleh terangkan tak?”. Wajah Hakim kelihatan serius.
“Begini..nabi kita kata, fasa pertama umatnya adalah ketika nabi masih hidup, zaman ini telah pun berlalu. Kemudian datang pula zaman pemerintahan yang mengikut cara kenabian. Pada fasa kedua ini, umat islam diperintah oleh empat khulafa’ ar-Rasyidin. Zaman ini pun telah berlalu. Kemudian datang pula kerajaan yang menyerahkan kekuasaan pada keturunan mereka pada fasa ketiga. Kita dapat lihat pada fasa ini, kerajaan Umayyah, Abassiyah dan Uthmaniah yang berkuasa dengan menggunakan sistem monarki. Zaman ini pun telah berlalu. Kemudian datang pula satu zaman yang dunia diperintah oleh pemerintah yang sombong dan bermaharajalela. Fasa ini adalah pada zaman sekarang. Kemudian setelah berlalunya fasa keempat ini, akan datang pula fasa kelima. Pada fasa kelima, dunia akan diperintah mengikut cara Nabi berasaskan syariat islam. Nabi pernah mengingatkan umatnya yang akan hidup pada fasa keempat ini akan kedatangan satu fitnah. Fitnah yang paling besar dalam sejarah ketamadunan manusia. Itulah fitnah Al-Masih Ad-Dajjal. Pada fasa ini la peluang iblis mengumpul pengikutnya seramai mungkin yang akan ke neraka dan fasa keempat itu adalah zaman yang kita sedang berada di dalamnya sekarang..”, terang Puteri panjang lebar.
Hakim menggaru dagunya. “Maknanya fasa ini juga adalah waktu turunnya Nabi Isa dan munculnya Imam Mahdi yang akan pindahkan kita ke fasa kelima. Begitu?”, soalnya kembali.
Puteri mengangguk. “Semuanya telah ditetapkan oleh ALLAH S.W.T. di kitab Luh Mahfuz. Walaupun pengikut dajjal sekarang sedang menggali masjid Al-Aqsa yang didakwa bekas tapak kuil Sulaiman untuk menyambut kedatangan Nabi Isa a.s, tapi hakikatnya mereka semua akan kalah juga. Mereka tak akan mampu mencabar kebesaran ALLAH. Tamadun Islam akan kembali gemilang kelak. Semuanya telah ditentukan oleh ALLAH, bukan?”. Puteri memasukkan telefon ke dalam tas tangannya.
Tengku Hakim tersenyum lagi. “Betul…macam pertemuan kita hari ini…kisah kita…”. Hakim turut terbangun apabila Puteri sudah berdiri. “Eh, Puteri..kita baru bertemu..dah tak sudi ke nak berbual lagi dengan Hakim?”. Riak wajahnya bertukar kecewa.
Puteri menahan senyum, menggeleng perlahan. “Bukan begitu. Stesen Puteri dah sampai. Ada kawan yang menunggu di sini”, terangnya lembut.
Hakim terkesima. Melihat papan tanda bertulis Bologna di satu tiang bangunan stesen itu, Hakim menepuk dahinya, ketawa sendiri dengan anggapan sebentar tadi. Dia turut menghantar Puteri di depan pintu keretapi. Dalam hatinya berlagu hairan. Air wajah gadis itu kelihatan lesu, bagaikan telah lama tidak tersenyum. Sinar matanya juga seakan padam. Gadis itu bagaikan kembali menjadi puteri ais sebagaimana mula-mula dia mengenalinya.
“Gembira jumpa Hakim. Assalamualaikum”, ucap Puteri sejurus pintu keretapi terbuka.
Tengku Hakim mengangguk, menjawab salam di dalam hati. Sebaik gadis itu turun dari keretapi, dia lantas teringat sesuatu. “Hei Puteri…”, panggil Hakim. Apabila gadis itu berpaling, dia melanjutkan bicara. “Kirim salam pada Saifullah”.
Puteri tersentak. Wajahnya bertukar menjadi lebih sayu. Dalam keriuhan penumpang yang naik turun keretapi itu, Puteri bersuara perlahan. “Saifullah….dia sudah tiada dalam hidup Puteri lagi”.
Hakim terpempan di situ. Pintu keretapi tertutup rapat dihadapannya, langsung membawa kenderaan itu ke stesen seterusnya.
********
“Mama..beri Hakim nombor telefon Tengku Shafika. Ada hal penting. Ok. Hakim tunggu SMS mama”, Hakim meletakkan telefonnya. Dia menghela nafas panjang. Matanya menyorot pemandangan kota Venice itu dengan penuh kagum. Sebuah bandar terapung yang sungguh mempersonakan. Gondola yang membawa penumpang bersilih ganti, menjadikan bandar Venice kelihatan sungguh indah dan unik. Suasana romantik sekitarnya menjadikan percutian terasa lebih bermakna. Namun, entah mengapa hatinya bergalau resah.
Hakim menjatuhkan pandangannya pada aliran air yang berkocak kesan laluan gondola yang membawa penumpang dari Asia. Ada wajah sayu Puteri di situ. Hatinya melonjak ingin tahu apa yang telah berlaku pada kisah antara Puteri dan lelaki cina muslim, Saifullah. Dia menyedari wajah itu bagaikan menyerlahkan dalaman yang tidak bahagia saat bertemu secara mengejut di atas kereta api pagi tadi.
Apa sudah jadi?. Puteri…adakah kau menderita lagi?. Satu SMS masuk, Hakim cepat-cepat membukanya. Dia tersenyum lebar melihat nombor telefon yang diberi ibunya. Dia tahu hanya pemilik nama Tengku Shafika sahaja yang boleh menerangkan segala persoalan yang bermain di hati dan mindanya.
“Hello..Tengku Shafika?. Maaf menganggu. Saya Hakim. Saya pernah datang masa Shafika kawin dulu. Ya..sepupu jauh. Listen..ada perkara yang Hakim nak tahu dari Shafika. Tentang Puteri. Puteri Ishika dan suami dia Saifullah”.
Hakim berjalan lambat-lambat. Lututnya terasa lemah, fikirannya menerawang jauh entah kemana. Dia menyelusuri suasana senja kota Venice itu dalam perasaan galau pelbagai rasa. Fikirannya penuh dengan pemilik wajah bernama Puteri Ishika. Gadis itu..sudah terlalu banyak diuji tuhan. Terlalu banyak…Tuhan…kau kuatkanlah hati gadis itu. Beri lah padanya kebahagiaan yang didambakan sejak sekian lama. Doanya dalam hati penuh tulus. Dalam remang senja itu, kata-kata Tengku Shafika kembali kedengaran di telinganya.
“Sebenarnya Hakim..Puteri Ishika tidak pernah berkahwin. Ah Kian..atau Muhammad Iman Saifullah..meninggal dunia tiga minggu sebelum majlis perkahwinan mereka. Dia meninggal dalam sebuah kemalangan langgar lari. Ibu tiri Puteri dikatakan dalangnya, tapi tidak cukup bukti lalu dilepaskan. Puteri…dia bagai mayat hidup dalam jangka masa yang agak lama. Banyak lamaran datang..tapi semua dia tolak. Sekarang dia membawa diri ke Manchester”.
*******
Puteri terbangun dari tidur yang pulas. Wajah Saifullah bercahaya saat hadir dalam lenanya sebentar tadi. Air matanya menuruni laju dari pelupuk matanya. Sungguh dia merindui kekasih hatinya itu. Dia bingkas bangun, menyibak langsir hotel lalu merenungi bangunan-bangunan pencakar langit di kota Milan itu. Deretan kedai yang memaparkan jenama-jenama fesyen terkenal di seluruh dunia berasal dari kota terkenal ini. Benarlah kata orang, Itali adalah syurga fesyen dunia. Puteri menyibak rambut panjangnya yang terurai lembut. Dalam pekat malam itu, kejadian dua tahun lepas kembali bermain di benaknya, bagaikan sebuah tayangan filem yang tidak berhenti-henti dipasang.
“Saifullah, apa erti cinta sebenarnya?”, soal Puteri ingin tahu. Dalam kepenatan membeli-belah barangan hantaran, sempat soalan itu diajukan kepada tunangnya.
Jejaka cina itu tersenyum lebar. Dia membetulkan duduknya di kerusi kayu itu. Sesekali matanya melingkar memandang orang yang lalu lalang di pusat beli belah Mid Valley itu. “Cinta itu layaknya seperti kehidupan kita. Tak selalu senang dan tak selalu memberi kebahagiaan. Tetapi..hidup tetaplah kehidupan…jika cinta yang ada telah hilang..kita seharusnya mencari cinta yang seterusnya. Begitulah selayaknya perjalanan kehidupan yang tidak akan berhenti. Kalau kita berhenti bercinta..samalah kita cuba memberhentikan kehidupan kita. Cinta itu pasti ada di sepanjang jalan kehidupan”, ulasnya panjang lebar.
“Ala..itu terlalu umum. Cuba bagi pada Puteri definisi cinta secara khususnya?”.
Saifullah tersenyum lebih lebar. “Erm..cinta…bermulanya dari pandangan mata pertama, berakhir pada helaan nafas terakhir”, sahutnya tenang.
Puteri mengerutkan keningnya. “Sila terangkan”.
“Begini. Saat pertama kali saya jumpa Puteri dulu, sebenarnya..itulah pandangan cinta pertama saya pada Puteri. Sejak itu, Puteri selalu muncul dalam mimpi saya sehinggala kini. Perasaan cinta itu tetap ada..tak pernah berubah walaupun ada beberapa perempuan yang cuba menggugah rasa cinta saya pada Puteri. Puteri Ishika..hanya awak saja yang ada dalam hati saya..dan kekal dalam nubari sampai bila-bila..sehingga pada akhir nyawa, akhir nafas yang dihela”, penuh perasaan kata-kata itu diucapkan Saifullah.
Puteri sudah menyeka air matanya yang keluar. “Suka buat Puteri nangis tau”, ngomelnya dalam suara manja.
Saifullah ketawa kecil. “Jangan menangis sayang. Haa..saya ada satu lagu untuk Puteri. Lagu kegemaran saya dari filem Andaz. Dengar ya”. Saifullah berdehem beberapa kali. “Zindagi ek safar hai suhana..Yahan kal kya ho kisne jaana” (Hidup adalah satu perjalanan yang panjang. Tiada siapa yang tahu apa akan jadi pada hari esok).
Puteri membulatkan matanya. Tidak dia sangka tunangnya itu boleh menyanyikan lagu hindi itu dengan baik. “Lagi..lagi…”, pintanya dalam rasa teruja.
Saifullah menyambung lagi. “Maut aani hai ayegi ik din…jaan jaani hai jayegi ik din..Aisi baaton se kya ghabrana?..yahan kal kya ho kisne jaana” (Maut tetap akan tiba suatu hari nanti..nyawa pasti akan diambil suatu hari nanti..kenapa perlu dirisaukan tentang perkara ini?..Tiada siapa yang tahu apa akan jadi pada hari esok)..
Puteri ketawa senang. Dia bertepuk tangan. Sungguh-sungguh dia gembira mendengar lagu itu. Tawanya beransur mati saat telefon bimbitnya berbunyi. Melihat nombor asing yang tertera, dia mengerutkan keningnya. Pantas diangkatnya. “Hello”.
“Hello. Lama tak dengar berita kan??. Dengar cerita kau akan berkahwin. Kau tak akan bahagia!. Kau dengar tak!!. Kau tak akan bahagia sebagaimana kau hancurkan hidup aku!!”
Puteri terus terbangun dari duduknya. Matanya membulat dalam rasa terkejut yang amat. Entah dari mana ibu tirinya itu mendapat nombornya. “Hei perempuan jahat, kau dengar sini!. Aku akan bahagia…hidup aku memang bahagia. Kau yang tak akan bahagia!!…”, hampir terjerit suaranya keluar. Telefon itu tercampak ke lantai, isinya berteraburan.
Saifullah menuntun tubuh Puteri supaya duduk semula. Berusaha menenangkan tunangnya itu. “Sabar Puteri. Puteri kena ingat satu perkara. Jika ALLAH hendak memberikan kebahagiaan kepada seseorang..dia tidak akan dapat ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun. Jika ALLAH menghalang kebahagiaan kepada seseorang, dia tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun”, nasihatnya lembut.
Puteri terduduk semula. Matanya kembali berkaca mendengar kata-kata itu. Air mata yang ditahan akhirnya gugur juga. “Saifullah. Terima kasih atas segalanya”, ucapnya lirih.
Saifullah tersenyum lagi. Dia merenung wajah sayu itu dengan penuh kasih. “Jangan menangis lagi sayang. Insyaallah bahagia itu pasti ada untuk Puteri Ishika. Haa..nak shopping lagi tak?”, suara Saifullah kedengaran ceria. Isi telefon di lantai dikutipnya lalu diberikan kepada Puteri.
Puteri menyambut lambat-lambat seraya mengesat air matanya. “Dah la. Cukup untuk hari ni”.
“Kita balik?”, Saifullah menyarankan.
Puteri mengangguk lantas tersenyum manis.
Mereka berjalan seiringan menuju ke tempat letak kereta. Ketika Saifullah berjalan ke arah bonet kereta, sebuah hilux hitam tiba-tiba datang dari arah hadapan dengan kelajuan yang tinggi. Tubuh Saifullah melayang tinggi saat kereta itu melanggar batang tubuhnya.
“Saifullah!!!”, jerit Puteri tiba-tiba. Tangannya dihulurkan ke hadapan, bagai cuba menggapai bayang tubuh itu. Dadanya berombak kencang. Air matanya menitis laju. Bibirnya terketar-ketar. Masih jelas di ingatannya tubuh lelaki cina itu bermandi darah, juga wajah ibu tirinya yang tersenyum puas di tempat duduk pemandu Hilux hitam itu. Barang-barang hantaran perkahwinan yang dibeli bertaburan di atas jalan. Dia terduduk di situ sambil memangku tubuh penuh darah itu. Saifullah sempat mengucap beberapa kali di atas ribaannya. Lelaki tionghua itu kembali pada tuhan dalam wajah tersenyum. Tinggal tiga minggu sahaja dia bakal bergelar isteri kepada Muhammad Iman Saifullah, namun takdir tuhan mengatasi perancangan manusia.
Puteri kembali menangis, melepaskan rasa sebak yang mencengkam dada. Namun, dia kembali mewarasi diri apabila menyedari dirinya kini berada di kota Milan, bukan di tanah air sendiri. Lagu terakhir yang dilagukan kekasihnya itu dahulu sebelum maut memisahkan mereka kembali tergiang di pendengaran. Dalam sendu yang tersangkak, Puteri melagukan lagu hindi dari filem Andaz itu.
“Zindagi ek safar hai suhana..Yahan kal kya ho kisne jaana”(Hidup adalah satu perjalanan yang panjang..tiada siapa yang akan tahu apa akan jadi pada hari esok).
*******
3 BULAN KEMUDIAN – INDIA
“Destiny Hotel?”. Puteri merenung tulisan di papan tanda berwarna biru kuning itu yang diukir dalam ukiran kubah seperti kubah Taj Mahal. Wajah Sanjana, seorang pelajar Phd yang dikenali semasa di Geneva menyerbu ingatannya. Wanita cantik sekitar umur akhir 30-an itu menyarankannya ke Kerala dahulu sebelum ke tempat tinggalnya di Lucknow. Menurut wanita itu, terdapat sebuah hotel destiny di kawasan india selatan itu yang sering menemukan jodoh ramai pelancong selain Taj Mahal di Agra.
Puteri tersenyum sendiri. Tujuannya ke india selatan itu kerana ingin merasai medical tourism yang ditawarkan di resort-resort dalam bentuk rawatan spa. Kerala dianggap sebagai pusat rawatan bentuk purba perubatan Ayurveda. Dia ingin melihat sendiri ubat-ubat herba dan tumbuh-tumbuhan yang digunakan dalam menyediakan rebusan herba untuk rawatan Ayurveda. Setelah berada seminggu di Kerala, tahulah Puteri mengapa Kerala menjadi destinasi tempat pelancongan paling digemari para pelancong tempatan dan asing dari seluruh dunia. Dari backwaters yang indah sehingga keindahan pemandangan semulajadi, tidak hairanlah mengapa Kerala mendapat jolokan “God’s Own Country”.
Lamunan Puteri terhenti apabila gegendang telinganya ditampar bunyi bising hon kenderaan juga suara kanak-kanak yang menjerit disulami tawa. Matanya kembali dipusatkan pada hotel budget yang dihadapannya terdapat grill berwarna biru. Perlahan Puteri menapak masuk sambil menarik beg bagasi ungu gelap itu.
“Aye..aye khobsurat ladkhi hai (Mari..mari si gadis cantik)”, sambut seorang lelaki india tatkala gadis bertudung ungu lembut itu menghampirinya.
Puteri mengerutkan dahinya. Terasa pelik apabila lelaki india berjambang lebat itu bercakap dengannya dalam bahasa hindi. Bukankah bahasa utama daerah Kerala adalah malayalam?. Oh mungkin sahaja kerana hindi adalah bahasa kebangsaan negara India, jadi tidak hairan bahasa itu turut dikuasai pelbagai suku kaum di mana-mana daerah India. Hatinya menyimpulkan begitu. “Kyu?. Meri chehra hindi star kitara kya?” (Kenapa?. Wajah saya macam bintang hindi ke?)”, soalnya, sengaja ingin menduga.
“Bilkul!. Bilkul sehi!”(Betul!. Sangat betul!), balas lelaki itu dengan serius.
“Aacha?. Kis ke liye?” (Benar ke?. Macam siapa?), soal Puteri kembali, menahan senyum.
“Tum hara chehra bilkul Madhuri Dixit kitara. Tumhara dimple Preity Zinta kitara. Bohout khobsurat hai.” (Wajah awak seperti Madhuri Dixit. Lesung pipit awak seperti Preity Zinta. Sangat cantik), puji lelaki india itu lagi.
Puteri tersentak. Kata-kata itu pernah dilontarkan Hakim kepadanya. Baginya jauh amat jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon jelita itu. Hakim?. Bayang lelaki itu tiba-tiba menyerbu ingatannya. Puteri malas melayan lintasan yang mengganggu ketenangan mindanya. Wajah lelaki india dihadapannya itu kembali jelas dipandangan. “Aap galad hai. Yeh sachamuch..” (Awak dah silap. Yang sebenarnya..), ujar Puteri seakan berbisik.
“Kya?” (Apa?).
“Mein Indian nehi ti lekin Malaysia aye hain.” (Saya bukan orang India tapi datang dari Malaysia). Puteri membetulkan.
“Kya?!”(Apa?!). Mulut lelaki itu terlopong. “Lekin tumhara hindi bohout aacha hai. Tumhara chehra India ladkhi kitara” (Tapi bahasa hindi awak sangat baik. Wajah awak seperti gadis India), tingkahnya seakan tidak percaya.
Puteri tersenyum simpul. Ingin sahaja dia menerangkan mengenai ibunya yang berasal dari negara Mahatma Gandhi itu, namun tiada gunanya jika dia berbuat demikian. “Jo bhi ho” (Apa-apa saja la). Puteri tidak mahu melanjutkan perbualan lantas mengeluarkan pasport antarabangsa dan dompet dari dalam tas tangan. “Ek kamra ek raat ke liye”(Satu bilik untuk satu malam). Puteri menghulurkan pasportnya kepada lelaki itu.
Puteri Ishika?. Wow!..Ishq..dekha..tumhara name hindi ladkhi kitara”, ujar lelaki itu sebaik melihat nama gadis itu tertera di dalam pasport berwarna hijau itu. Tangannya cekatan mencatatkan maklumat diri gadis itu dalam sehelai borang.
“Ishq?. Memang nama yang cantik”.
Puteri tersentak. Suara itu amat dikenalinya. Matanya terus mencari sasaran di sebelah kirinya. Melihat senyuman terukir di wajah Hakim, mata Puteri membulat luas. Jejaka itu tampil kacak dalam jaket jeans biru bersama t-shirt putih di dalamnya. “Kenapa saya asyik jumpa awak?. Awak ekori saya selama ni kan?”, tuduhnya dalam mata separuh terjegil.
Hakim tersengih sinis lalu mendekatkan wajahnya ke wajah Puteri. “Orang cerdik pandai kata..biar buruk rupa, jangan buruk sangka”.
Wajah Puteri berubah merah. Kata perlian itu membuatkan dia malu sendiri. “Habis tu..kenapa awak ada di sini?”, soalnya masih tidak berpuas hati.
“Sebab kita pasti ada kisah. Kan saya dah cakap sejak dulu lagi. Kita berdua pasti ada kisah bersama”, balas Hakim seraya mengenyetkan mata kirinya. Dia sendiri benar-benar terkejut sebaik menyedari kehadiran gadis itu apabila melangkah ke dalam hotel itu. Hotel destiny telah menemukan mereka semula sejak pertemuan terakhir di Italy.
Puteri menjeling tajam. “Tak. Kita berdua tak mungkin ada kisah”, sangkalnya pantas. Dia tidak mahu menerima kata-kata itu..dia tidak ingin mendengar suara itu lagi.
Hakim menanggalkan cermin matanya, merenung lembut ke dalam anak mata coklat terang itu. “Puteri Ishika sekarang bertukar menjadi puteri ais. Kaku dan beku. Tidak lincah seperti dulu. Hidup ini indah bukan?. Kenapa kita harus tenggelam dalam kenangan duka silam?. Lepaskan semua derita semalam, semua yang kelam pasti akan padam. Kita semakin dewasa, seharusnya pengalaman semakin mematangkan kita, bukan semakin menjauhkan kita dari rasa bahagia”, nasihatnya lembut.
Puteri tersentak dengan kata-kata itu. “Siapa awak nak nasihatkan saya?. Awak tak pernah rasa apa yang saya alami, jadi awak tak layak nak tegur saya, nasihatkan saya!”, marahnya dalam suara keras.
Hakim menggelengkan kepalanya. “Puteri..Puteri. Saya minta maaf. Saya bersimpati dengan peristiwa pahit yang awak alami. Kematian arwah Saifullah telah ditakdirkan dalam kitab Luh Mahfuz. Kita hanya merancang, ALLAH yang menentukan. Kita hanya diberi sebahagian peta kehidupan, selebihnya ada dalam rahsia ALLAH, terletak dalam takdir yang telah ditentukanNya. Kalau kita berdua ditakdirkan ada kisah bersama, awak lari la ke hujung dunia mana sekalipun..takdir pasti membawa awak dan saya bertemu semula. Kenapa awak selalu lari dari kenyataan?. Pertemuan kita berdua bukan suatu kebetulan, tetapi suratan yang telah ditakdirkan. Awak masih nak nafikan lagi?”, cabar Hakim dalam suara tegas.
Bibir Puteri terketar-ketar. Dia ingin membalas kata-kata itu, namun tiada suara yang keluar. Sudahnya dia hanya membalas pandang renungan tajam Hakim.
Hakim melembutkan renungannya. “Puteri…jangan biarkan diri berkubang dalam derita dunia sedangkan Puteri ada kekuatan untuk keluar dari lubuk duka. Dunia ini adalah tapak ujian, Puteri. Jika di dunia kalah pada derita, takut-takut di akhirat nanti derita bertimpa-timpa. Kenapa perlu kita biar bahagia menjauh dari diri kita, sedangkan ALLAH tidak suka pada insan yang berputus asa. Insan…jika rapat dengan penciptanya…wajahnya tidak selalu muram, hatinya sentiasa lapang dan akan menyedari keajaiban tawakal apabila seluruh hati, seluruh diri diserahkan bulat-bulat kepada ALLAH S.W.T. Jangan bersedih Puteri. La tahzan. Innallah ha ma’naa. Sesungguhnya ALLAH ada bersama kita”. Hakim mengenakan cermin matanya semula. Perlahan kakinya menapak keluar dari hotel itu bersama beg bagasi hitamnya. Dia meninggalkan gadis itu tanpa pamitan mahupun kata-kata selamat tinggal.
Puteri terpaku di situ. Ayat itu..dia masih ingat. Kata-kata yang pernah di dengarnya itu daripada CD ceramah mencari sakinah oleh Dr.Asri. Hadiah pemberian Hakim sewaktu dia di hospital dahulu. Air matanya keluar laju dari tubir matanya. “Ya ALLAH..benarkah aku telah jauh dari-MU? Kerana itu kah…aku tidak dapat menggapai bahagia?”.













akak~~ i loike citer ni~!!!!!!! nk sambungannya!!!~~
ad blog x?//
best… nak lagi x de blog ker?????????????
ke mana pun kita lari…, kalau sudah dijodohkan akan bertemu juga….
kita ada kisah…. best sangat….
teruskan usaha akak maira…=))