
Novel : Sepuluh Ribu Kilometer 14
Oleh : Scha Iriney
14
“Puan Zaharah..” aku teragak-agak. “Minta kurangkan sewa rumah kepada 900 ringgit, boleh tak?”
“Tak bolehlah, Nurin,” jawab Puan Zaharah dengan cepat, melalui telefon bimbit. “Nanti saya nak bayar ansuran rumah tu macam mana?”
“Tapi puan tahukan saya belum kerja lagi,” aku menjawab balik. “Suami saya tu pun, puan tahu gajinya berapa. Apa yang kami anak beranak nak makan nanti?”
“Seribu lebih tu dah cukup murah, Nurin,” tegas Puan Zaharah. “Ada orang nak sewa lebih dari tu, tapi saya sengaja beri pada awak sebab awak bukannya saya tak kenal. Lagipun rumah tu kan semua elok-elok lagi?”
Elok lagi? Perabot-perabot yang dah reput? Tingkap dah pecah? Lampu rosak, paip rosak. Jelas sekali rumah ini hanyalah rumah lama mereka yang masih belum selesai dibayar ansuran.
“Takkan kurang sikit pun tak boleh?”
Jawapannya tetap tidak. Aku mengeluh panjang. Kasihan pada Enrico. Nampaknya aku terpaksa cari jalan lain.
Menurut SMS yang baru masuk tadi, Saleem, kawan Enrico dari Arab Saudi sudah memberi jaminan yang dia akan sampai pada Isnin depan. Kebetulan Enrico diberikan cuti pada hari yang sama. Jadi, bolehlah mereka membuat rancangan tentang tempat-tempat yang ingin dilawati.
“Cuba check website Balai Seni Lukis Negara,” kata emak ketika aku menelefonnya untuk bercerita perihal kelakuan Julia dan Puan Zaharah. “Rasanya kat situ boleh daftar sebagai pelukis. Manalah tau kalau ada rezeki. Itulah dulu mak suruh ambil Accounting, taknak.”
Aku bersungut. Aku paling tidak berminat bermain dengan nombor. Selesai berbual dengan emak, aku membelek laman web itu lagi.
“Amboi, susahnya nak tangkap kau online ye,” satu mesej daripada Fatehah masuk melalui laman Facebook.
“Aku kalau depan PC ni, nak cari rumah, cari kerja,” aku menjawab. “Kenapa?”
“Status kau tu macam sedih je.”
“Apa?”
“Kat Facebook la! Kawan gembira senang dicari… apa lagi.”
“Aku okay je.”
“Ni mesti fasal Julia, kan?” tiba-tiba Fatehah meneka.
“Mana kau tahu ni?”
“Kalau fasal Julia tu, tak payahlah kau runsingkan kepala fikirkan hal dia,” kata Fatehah. “Aku dah pernah kena dah dengan dia.”
“Maksud kau?”
“Aku kan kahwin awal,” Fatehah mula bercerita. “Lepas dia dapat tau husband aku ni handsome, terus dia tak contact aku lagi dah. Sekarang ni pun, chat dalam Facebook je.”
Aku terkejut. “Takkan la sampai macam tu sekali?”
“Sebab tu la aku hairan kenapalah kau boleh percayakan dia. Tapi kalau aku warning kau time tu pun, dah tak sempat.”
Fatehah kemudiannya menceritakan tentang kelakuan Julia terhadap kawan-kawan kami yang lain. Bagaimana Julia enggan bergambar dengan orang-orang yang cacat, miskin, atau anak-anak kecil yang tidak comel. Bunyinya macam sangat kebudak-budakan. Julia juga tidak suka apabila adanya orang yang tidak mahu bergambar dengannya. Seperti Shirin yang lari ketakutan satu masa dulu ketika Julia cuba mengambil gambar bersamanya menggunakan telefon bimbit.
“Kau ada ceritakan apa-apa rahsia marriage kau pada dia tak?” sambung Fatehah.
“Tak.. takde pun,” aku menjawab, sambil berfikir. “Dia pernah tanya aku menyesal kahwin ke tak. Itu je.”
“So? Apa yang kau jawab?”
“Aku jawab aku menyesal balik ke Itali, tapi aku tak menyesal kahwin.”
“Bagus. Kalau dia tau kau tak bahagia ke, kau bergaduh dengan Enrico tu ke. Lagi susah nanti. Dia sampaikan pada orang lain.”
Serta-merta aku teringatkan perbualan antara aku dan Julia beberapa bulan yang lalu. Dia pernah bercerita tentang Fatehah dan suaminya. Tetapi aku cuma lupakan saja.
Aku memang selalu padamkan memori yang adanya unsur-unsur khabar angin. Tidak suka mendengar fitnah. Lagipun Fatehah sendiri boleh menceritakan keadaannya kepadaku, tidak perlulah aku mendengarnya daripada mulut orang.
“Biarlah,” aku berkata. “Benda dah jadi. Cakap banyak pun, bukan boleh dapat balik masa yang dah terbuang kat sini. Sekarang ni, cari penyelesaian.”
“Cari kerja!” kata Fatehah. “Kau tu pandai melukis. Melukis la! Aku tengok banyak lukisan mahal-mahal. Biarkan si Julia tu nak terasa ke apa ke. Bukannya dia yang nak sara makan pakai anak kau.”
Bodoh! Aku menjerit di dalam hati. Aku memang sangat bodoh. Tidak pandai memilih kawan. Dan sekarang suami dan anakku terpaksa dijerat sekali dengan beban hutang sewa rumah yang belum mampu dibayar. Kalau bayar sekali, bulan depan mesti perlu dibayar lagi. Kalau tak bayar, kami kena pindah. Kalau nak berpindah pula, kena bayar deposit. Deposit apa? Kami tak ada simpanan satu sen pun untuk bayar deposit. Terpaksa meminjam. Daripada siapa pula? Sekurang-kurangnya dalam 2 ribu ringgit. Siapa yang ada duit sebanyak itu?
Aku mencapai telefon bimbit untuk menaip sesuatu yang agak kurang ajar kepada Julia.
“Thanks Ju, tolong tambah masalah kami.”
“Nanti cakap kat Puan Zaharah yang kau respect tu, sebelum sewakan rumah kepada sesiapa, make sure rumah tu dah properly furnished ye, dengan barang-barang yang dah repaired. Perabot reput dan patah tak bermakna rumah tu fully furnished. Jangan tipu orang.”
“Kau fikir sendiri la, antara aku dan Puan Zaharah, siapa yang kau kenal dulu? Siapa yang pernah hidup serumah dengan kau, susah senang dengan kau?”
“Jangan haraplah ada lelaki handsome yang nakkan kau. So, tak payah dengkikan kawan-kawan yang dapat suami handsome.”
“Patutlah budak-budak takutkan kau. Diorang lagi tau apa yang ada dalam hati kau tu.”
Dan beratus-ratus lagi ayat yang ingin kuhamburkan. Tetapi, tidak sampai hati. Dengan perlahan aku meletakkan kembali telefon bimbit. Aku tidak suka bertekak sesama kawan. Ini juga salah aku kerana mempercayainya bulat-bulat.
Aku nekad mahu melukis semula. Dari laman web yang emak berikan tadi, aku cetakkan borang permohonan dan syarat-syaratnya. Di situ tertulis bahawa aku perlu menyiapkan resume serta contoh-contoh lukisan. Jadi, aku perlu membeli alat-alat melukis.
Aku menelefon Enrico dan memberitahunya tentang niatku. Dia mendengar dengan bersungguh-sungguh. Rupanya dia sudah lama menanti aku ingin melukis semula, sejak di Itali lagi. Tetapi di Itali, aku sering memberi alasan. Tidak ada mood, tidak ada masa, dan bermacam-macam lagi.
“We will have to invest some money on it,” katanya. “Painting skill you can bring anywhere. Even if we go back to Italy, you can still paint there.”
Balik ke Itali? Mataku membulat. Dengar perkataan ‘Itali’ sahaja sudah membuatku seram sejuk.
Apa pula rancangan yang ada dalam kepala si Enrico ni agaknya?













ya nurin, zmn skang ni seorang pelukis boleh hidup kaya raya.
napa pendek sangat?