
Novel : Kahwin Ganti 16
Oleh : Aifa Batrisya
” Aku…aku suka dibo!”
Lamunan Mya Zara terhenti bila gelak tawa Farisya masih berterusan sejak tadi. Beria-ia benar dia ketawa sambil tepuk-tepuk meja. Sikit pun pandangan orang di sekeliling Kafetaria itu tidak diendahkan.
“Sya, sudah-sudahlah tu. Kau tak malu ke orang dok pandang kita saja dari tadi.” Perlahan-lahan Farisya merendahkan suaranya. Namun senyuman masih terbit di bibirnya. Cerita Mya Zara mengenai gelagat Luqman benar-benar menggelikan hatinya. Lelaki itu, nampak saja kasar tapi sebenarnya lucu juga orangnya!
“Serius lawak mamat tu. Boleh dia jawab macam tu? Kurang-kurang jawablah yes or no. Ini tidak. Aku suka dibo.” Farisya mula meniru gaya Luqman lalu kembali ketawa. Mya Zara sendiri tersenyum bila mengingatkan peristiwa malam tadi.
Walau pada mulanya, hati sedikit marah dengan jawapan Luqman tapi kemudian dia rasa geli hati. Lebih-lebih lagi bila melihat wajah lelaki itu yang agak terkejut dengan soalannya secara tiba-tiba seperti itu.
“Dia tak sangka agaknya aku akan tanya soalan macam tu. Sudah lah tu, depan-depan muka dia pulak aku tanya.”
“Tu lah…aku pun tak tahu macam mana Zara yang aku kenal boleh buat macam tu. Aku rasa kan Zara, kau lebih sayangkan dia dari Nuqman. Sebab itu kau berani luahkan perasaan kau pada Luqman.”
“Sya…kita tak payah cerita pasal Nuqman lagi lah ye lepas ni. ” Suara Mya Zara sedikit menurun. Wajahnya yang tadinya ceria berubah mendung. Perlahan-lahan megi goreng di hadapannya di suap.
” Kenapa ni? Kau betul-betul dah lupakan Nuqman ye Zara?” Mya Zara mengeluh panjang. Perlahan-lahan dia menarik nafas dan kemudian menghembuskannya semula.
“Aku…aku dah jadi isteri Luqman, Sya. Berdosa kalau aku ingatkan dia lagi. Aku dah buat keputusan, aku akan lupakan kisah antara aku dengan Nuqman. Yang penting untuk aku jaga sekarang adalah hubungan antara aku dengan Luqman.”
” Kau yakin yang tinggal dengan kau sekarang ni, Luqman?” Terbeliak mata Mya Zara mendengarkan soalan Farisya. Fikirnya, kes itu sudah lama selesai. Bukankah apa yang berlaku sebelum ni memang sudah membuktikan yang lelaki itu Luqman?
” Kenapa kau tanya macam tu Sya? Kau masih fikir dia tu Nuqman ? ”
” Kau memang dah ada bukti ke dia tu Luqman? Tanda yang ummi cakap hari tu, kau ada nampak pada dia?”
Mya Zara menggeleng perlahan. Tanda lahir pada belakang leher! Sampai sekarang dia belum berpeluang untuk melihatnya. Tiba-tiba hatinya mula di pagut kerisauan bila dimomok kan oleh Farisya dengan soalan-soalan tadi.
**************************
Mya Zara sedang bersiap-siap untuk ke kampus pagi itu. Hari ini dia ditugaskan untuk menjadi pengawas peperiksaan bagi subjek Termodinamik. Pagi itu dia hanya memakai blaus labuh warna merah jambu dan juga seluar slack perang muda. Tudung bunga-bunga kecil warna sedondon dengan baju dililitnya kemas di atas kepala.
Sedang dia sibuk mengemaskan lilitan tudungnya di hadapan meja solek, matanya menangkap kelibat Luqman dari balik cermin sedang sibuk membetulkan tali lehernya. Sekejap-sekejap tali leher itu ditanggal semula. Berkerut dahi Mya Zara melihatkan gelagat lelaki itu.
” First time pakai tie ke?” Teguran Mya Zara sedikit mengejutkan Luqman. Dengan wajah bersahaja, dia angguk.
“Meh…saya pakaikan.” Tali leher di tengkuk Luqman di tarik keluar perlahan. Tangannya ligat melipat tali leher untuk membentuknya supaya lebih mudah untuk dipakai. Luqman hanya melihat dengan rasa kagum dengan kelincahan tangan Mya Zara. Gayanya seperti sudah biasa sahaja.
” Dulu-dulu saya selalu tengok mama lipat tali leher ni untuk papa. Diam-diam, saya cuba sendiri. Lepas-lepas itu, saya yang siapkan semua tali leher papa dan kemudian saya gantung satu tempat. So, bila-bila papa nak guna dah siap. Boleh terus pakai sahaja.” Mya Zara bercerita tanpa di pinta.
” Okey. Siap dah. Emmm….tapi. Kejap. Koler baju ni kena biar kat atas dulu macam ni. Barulah mudah nak pakaikan.”
Luqman telan air liur. Tubuh Mya Zara benar-benar hampir dengannya. Wangian “white musk” yang biasa di pakai oleh Mya Zara terasa begitu dekat. Lagi pula tangannya yang sibuk membetulkan kolar bajunya seolah-olah seperti sedang merangkul lehernya. Dadanya mula berombak kencang, fikirannya juga mula melayang entah ke mana.Terasa sudah tidak betah untuk dia dalam keadaan seperti itu lagi.
” Tak payahlah betulkan kolar. Sempoi-sempoi cukup. Bukan nak pergi jumpa Perdana Menteri. Setakat pembentangan projek rekabentuk industi je.” Tangan Mya Zara ditepis perlahan. Mya Zara tarik muka.
” Bukan masalah nak jumpa siapa, tapi tentang penampilan diri. Bila awak kemas macam ni, awak akan rasa lebih yakin nak bercakap dan buat pembentangan nanti. Ehhh…belakang kolar ni terlipat pula.” Mya Zara beralih ke belekang tubuh Luqman pula. Tegahan Luqman tadi, sikit pun tidak diendahkan.
Sedang dia mebetulkan kolar baju Luqman, dia teringatkan perbualannya dengan Farisya tempoh hari. Rasanya, inilah waktu yang paling sesuai. Perlahan-lahan belakang kolar baju kemeja Luqman dilipatnya untuk melihat lebih jelas.
Kemudiannya, kolar baju kemeja itu dibetulkan semula. Dia beralih semula ke hadapan. Tali leher dikemaskan. Tangannya menggosok perlahan bahu Luqman.
” Okey. Siap! Dah hensem dah!” Sengaja Mya Zara mengusik Luqman yang kelihatan agak tegang dan kekok sejak tadi.
“Terima kasih.” Luqman mula mengatur langkah ke bilik kerja untuk mengambil fail dan begnya sebelum tangannya di tarik perlahan oleh Zara.
” Kenapa? Aku dah lewat ni. ”
Mya Zara senyum. Perlahan-lahan dia mendekati Luqman lalu tubuh lelaki itu dipeluk rapat ke tubuhnya. Hatinya benar-benar rasa lega ketika itu. Segala kerisauannya dan persoalan dihatinya selama ini sudah terjawab. Memang benar lelaki dihadapannya ini Luqman dan tanda itu mengesahkannya.
” Saya sayang awak!” Diam. Yang kedengaran hanya bunyi hembusan nafas lelaki itu.
“Luqman…saya sayang awak!” Sekali lagi Mya Zara ulangi kata-katanya. Masih tiada respon seperti tadi. Perlahan-lahan pelukannya diregangkan oleh Luqman. Kemudiannya wajah lelaki itu direnungnya penuh tanda tanya.
Kenapa lelaki ini terlalu dingin? Mustahil dia tak rasa apa-apa pada aku. Bagaimana pula dia boleh berdiri tegak macam tu sahaja bila aku memeluknya? Mya Zara bermonolog sendiri. Timbul kehairanan padanya dengan respon Luqman tadi.
“Aku dah lewat. Aku pergi dulu.” Luqman terus berlalu tanpa sabarang pamitan meninggalkan Mya Zara dalam keadaan terpinga-pinga. Tidak lama kemudian, Mya Zara tersenyum. Tak mengapa Zara, yang penting dia tak tolak dan yang paling utama….dia memang Luqman Hakim! Mya Zara senyum lagi.
*******************************
Luqman meraup perlahan wajahnya. Kepalanya benar-benar sakit. Tekak pula rasa perit. Hendak buka mulut dan bersuara, rasa seksa sungguh. Matanya meliar memandang ke sekeliling bilik kuliah yang di ubah suai jadi bilik pameran untuk projek reka bentuk industri mereka. Masih ada lagi 1 kumpulan yang perlu di lawati oleh Professor Ani dan Dr. Rosli sebelum tiba ke kumpulan mereka. Luqman tarik nafas panjang. Tenang Luqman, tenang. Sikit saja lagi dan semuanya akan berakhir. Cuma tinggal satu lagi kertas periksa yang perlu dia duduki dan akhir sekali pembentangan projek akhirnya sebelum dia akhiri pengajiannya selama 5 tahun di situ.
Dalam kekalutan bilik pameran itu, peristiwa pagi tadi dan beberapa hari sebelum ini kembali bermain di fikirannya. Tentang Zara dan juga sikapnya yang agak berubah akhir-akhir ini. Zara menyayanginya dan dengan beraninya dia menunjukkan perasaannya secara terang-terangan. Mungkin pada lelaki lain, sepert Dr.Iskandar atau Fakrul memang itu yang diharapkan dari Zara tapi entah kenapa hatinya rasa takut . Natijahnya, bila berhadapan dengan Zara dia rasa kekok dan buntu.
Luqman menghembus nafas kasar. Sesekali dia menggeleng. Tak mungkin dia akan mengakui perasaannya. Dengan mengakuinya, bermakna dia memberi harapan pada Zara untuk terus hidup bersamanya. Bagaimana dengan Nuqman pula nanti? Apa akan jadi kalau dia pulang dan lihat Zara bersamanya? Tentu tuduhannya selama ini ke atas dirinya sebagai perampas akan terus melekat hingga ke tua.
Ahhhh..Luqman. Lupakan tentang Nuqman. Sekarang Zara isteri kau yang sah! Salah Nuqman, kerna tinggalkan perempuan itu di hari nikah mereka dan kau hanya menjadi pengganti tempat yang kosong. Itu saja!
Cepat-cepat pipinya ditampar perlahan. Fikiran jahat itu cuba di halau jauh-jauh dari fikirannya. Mungkin juga Zara sendiri keliru dengan perasaannya dan segala luahan hatinya itu mungkin hanya dibuat-buat! Luqman berteka-teki sendiri. Matanya dipejamkan semula. Kepalanya terasa makin berat memikirkan hal itu. Tidak lama selepas itu, terasa bahunya ditepuk perlahan.
” Apesal bro ?Tak sihat ke?” Pertanyaan Fakrul hanya dijawab dengan anggukan perlahan.
“Morning sickness kot. Kadang-kadang kalau isteri yang mengandung, suami yang rasa. Hehehe…berapa minggu dah bro?”
” Kau gila ke apa? Baru duduk seminggu dah tanya berapa minggu pregnant. Logik sikit la kot!” Lengan Zakri ditamparnya. Zakri sengih.
“Aku saja nak kasi kau releks sikit. Aku tengok dari tadi muka kau ketat saje. Lepas ni, tak ada lah kau gelabah nak jawab soalan Professor Ani yang garang tu!” Luqman senyum sendiri. Kepalanya di picit perlahan. Makin dipicit, terasa makin sakit pula kepalanya .
“Beb, kau duduk saja okey. Kalau ada soalan, baru kau jawab. Habis je turn group kita, aku hantar kau balik. Zack, kau bawa motor aku.”
Zakri angguk perlahan sambil tangannya menepuk-nepuk bahu Luqman, seakan memberi semangat.
**********
Mya Zara baru saja selesai memasak. Tadinya di fakulti, dia sudah pun menghubungi ummi bertanyakan makanan kegemaran Luqman. Ternyata, Luqman bukan jenis lelaki yang memilih makan. Asalkan makanan itu baru dimasak panas-panas, dia akan makan saja tanpa banyak soal. Tapi antara semua, kata ummi Luqman sukakan paprik ayam dan sayur kailan ikan masin. Kebetulan semua bahan sudah ada di dalam peti sejuk. Balik saja petang tadi, tanpa sempat menukar pakaian dia terus masuk ke dapur.
Qaseh terus memerap dalam bilik sejak pulang tadi. Luqman pula entah di mana. Mungkin juga dia berehat di bilik lepas kepenatan bersoal jawab tentang projek akhir rekabentuk industrinya.
30 minit berlalu, kedua-dua menu hari itu siap dimasak. Kemudiannya Mya Zara menghidangkannya di atas meja makan. Dia tersenyum puas. Rasa gembira dapat menjamu Luqman makan malam dengan hasil air tangannya sendiri.
Jam di tangannya dikerling. Sudah pukul 7.30 malam. Baik dia mandi dan solat dulu sebelum menyenduk nasi untuk dihidangkan. Langkah di atur ke tingkat atas apatment mewah itu. Bila dilihatnya tiada bayangan Luqman membuat kerja sewaktu dia melewati bilik itu, cepat-cepat dia berlalu ke arah bilik tidur utama.
Pintu biliknya sedikit terbuka. Berkerut dahinya seketika. Seingatnya, dia dengar pintu bilik ditutup semasa Luqman masuk ke bilik itu tadi. Tidak pula dia nampak kelibat Luqman keluar selepas itu. Jadi, macamana pula pintu bilik terbuka ya?
Perlahan-lahan Mya Zara menjenguk ke dalam bilik itu melalui pintu yang sedikit terbuka itu. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Mukanya terasa panas. Entah dari mana, perasaan marah yang meluap-luap hadir dalam dirinya.
” Qaseh! Apa hang buat dalam bilik ni?” Nada suara Mya Zara sedikit menjerit, tapi masih tidak menganggu Luqman dengan tidurnya yang lena.
” Aku…aku..”
” Keluar dari bilik ni. Sekarang!” Tegas Mya Zara. Mencicit Qaseh keluar dari situ. Tidak lama kemudian, pintu bilik bawah berdentum, ditutup kuat. Mya Zara mendengus kasar. Dia beristighfar panjang.
Wajah Luqman yang sedang tidur lena tanpa berbaju di tenung penuh rasa kasih. Pada mulanya terasa ingin marah kerana kelekaan lelaki itu tidur tanpa menutup pintu bilik itu hingga memudahkan Qaseh masuk tanpa di sedari tapi entah kenapa rasa itu hilang. Tidak mahu mengganggu, dia terus beredar ke bilik air untuk membersihkan diri.
Dia baru saja selesai solat maghrib dan Luqman masih seperti tadi, lena tidur. Sedikit pun badannya tidak bergerak. Mungkin dia benar-benar letih. Sejak beberapa hari yang lepas, dia memang sering tidur lewat kerana menyiapkan “slide” pembentangan projek akhirnya. Tanpa fikir panjang, Mya Zara berlalu keluar dari bilik itu.
Perlahan-lahan pintu bilik tetamu diketuk. Daun pintu terkuak. Wajah Qaseh yang sedikit murung menyambut kehadirannya.
” Aku minta maaf Zara.Aku…”
“Apa tujuan sebenaq hang mai sini Qaseh? Betui ka hang ada kerja atau hang saja cari alasan nak tengok macam mana aku dengan Luqman duduk kat sini ? ” Bertalu-talu soalan keluar dari mulut Mya Zara. Qaseh yang sedang duduk di birai katil hanya tunduk memandang ke lantai.
“Qaseh, aku nak jawapan ! .” Tegas Mya Zara.
” Memang niat aku mai, tak berapa baik. Aku…aku suka dengan Luqman. ” Darah Mya Zara terasa berderau mendengarkan jawapan Qaseh. Nafas di tarik perlahan, cuba membina kesabaran . Sabar Zara…sabar!
“Yang hang suka tu, laki aku. Hang sedaq ka dak ? Hang mai sini nak jadi apa? Saja nak jadi peroboh “masjid” orang ? Lagu tu ? ”
Qaseh terdiam. Walau nada suara Zara tidak tinggi, tapi kemarahan memang jelas terpancar di wajahnya.
” Qaseh, kita sedara rapat. Tak syiok la nak gaduh pasai lelaki lagu ni. Aku rasa, baik hang lupakan saja perasaan hang pada dia. Dia laki aku dan aku tak mau kongsi dia dengan sesiapa. Ramai lagi lelaki kat luaq tu yang tengah tungu hang. Hang muda..cantik lagi, terpelajaq. Jangan lah hang buat lagi lagu ni kat orang laen. ”
Qaseh angguk perlahan. Memang kesilapan besar untuk dia kali ini. Fikirnya, lelaki muda dan kaya seperti Luqman mudah untuk digoda. Tapi Luqman sememangnya berbeza. Tidak sekali pun dia beri ruang untuk dirinya didekati dan tindakannya memasuki bilik utama itu ternyata satu langkah yang silap.
Perlahan-lahan tangannya dihulurkan, lalu bersalaman dengan Mya Zara.
“Maafkan aku Zara.”
Zara angguk lalu tersenyum. Bahu Qaseh di tepuk perlahan.
” Tak apa. Tak dak manusia yang sempurna Qaseh. Aku harap perkara ni habis tang sini ja. Aku anggap, perkara tadi tu tak berlaku pun. Hang pi makan dulu. Aku nak pi kejut Luqman. Dari tadi tidoq tak bangun-bangun pasai pa ntah.” Tanpa menunggu balasan dari Qaseh, Mya Zara berlalu meniti tangga menuju ke tingkat atas.
p/s: terima kasih yang tak terhingga di atas sokongan anda pada zara dan luqman selama ini…tanpa anda tiadalah mereka berdua hingga ke hari ini….kita sambung lg ye…













terima kasih buat semua yang sudi mengikuti dan membaca kisah zara dan luqman ni…
insyaAllah…iainya happy ending….
cerita ini insyaAllah akan terbit dalam versi cetak tak lama lagi jika
tak ada sebarang aral melintang…
luv u all n thanx for all the support…
yang ikhlas,
aifa batrusya
sambunglh cepat kak oiii…
la…ble nak smbung ni…xsabor jer rsenye….smbung la cpat cik aifa oooiiii
thankz 4 the cute story sis..
ble agaknye nak kuar novelnyer?????
mase pameran buku bulan 4 nanti rase2 dh ade ke?
tak sabar nak baca sambunganya….. cpt skit ya siarkn smbgnnye…..