Novel : Projek Memikat Suami 11, 12, 13, 14

15 March 2012  
Kategori: Novel

67,794 bacaan 67 ulasan

Oleh : Hanina Abdullah

BAB 11

Dengan kata putus dari Husna itu, langkah pertama Projek Memikat Suami itu pun dimulakan. Target pertama, butik pakaian dalam. Husna teragak-agak hendak masuk ke butik sedemikian, pakain dalamnya semua sporty belaka. Ringkas untuk mudah bergerak bagi perempuan kaki travel macam dia.

“Jom masuk. Ini peralatan wajib bagi perempuan yang bakal berkahwin,” arah Najla dengan nada suara komandan platun. Nawrah terkedek-kedek masuk dan mula membelek-belek pakaian dalam untuk diri sendiri. Perempuan yang sudah berkahwin pun perlukan peralatan wajib ni!

Di dalam butik, Husna hanya berdiri dan memandang Najla dan Nawrah memilih-milih pakaian dalam dan pakain tidur untuknya. Macam-macam warna dan macam-macam fesyen yang dipilih mereka.

“Alamak, Kak. Ini pakai macam mana ni?” tanya Husna sambil memegang sehelai suspender belt.

“Kalau Una tak tahu, balik nanti Kakak ajar,” wah ringkasnya jawapan Kak Najla, Husna dah mula berasa cuak.

“Kak, banyaknya Akak pilih, berapa ringgit semua ni Kak?” hai cukupkah duit nak bayar ni, Husna berkira-kira dalam kepala. Sudahlah pakaian-pakaian dalam dalam butik ini mahal-mahal belaka.

“Una, diam boleh tak? Ini perlaburanlah,” jawab Najla, sambil terus memilih-milih pakaian dalam. Kan sudah kena marah!

Husna cuba menutup mulut tapi dia “ngeri” melihat pilihan-pilihan kakak-kakaknya.

“Kak, seumur hidup Una, Una tak pernah pakai yang kecil-kecil macam ni. Una tengok pun geli,” kata Husna, siap dengan aksi kegelian macam tengok katak.

“Shh, duduk diam-diamlah. Yang pentingnya, bila suami Una tengok, dia nampak Una seksi!” jawab Najla sambil menepis tangan Husna yang memegang sehelai g-string bagai memegang getah untuk melastik cicak. Nawrah yang melihat muka Husna yang semakin pucat, ketawa mengekek-ngekek.

“Jangan takut Dik, ini Master-ji kita dari Prague ada. Dengan ilmu yang dia bakal turunkan, semua akan beres nanti,” kata Nawrah sambil mengangkat-angkat keningnya. Dengan usikan Nawrah itu, semakin berdebar dada Husna.

Bukan satu, malah tiga butik pakaian dalam yang mereka masuk. Husna sudah tidak terkata apa-apa.

“Ikut sajalah rancangan Kak Naja. Untung-untung berjaya. Kalau tak berjaya…..kalau tak berjaya….hmm….sekurang-kurangnya aku dah berusaha sehabis daya, serah kepada Tuhan sajalah,” Husna cuba memujuk dirinya agar tidak goyah pendirian dari keputusannya untuk cuba menjadi isteri yang terbaik mungkin.

Selepas selesai misi di butik-butik pakaian dalam, mereka masuk pula ke kedai pakaian wanita.

Secara automatik, Husna memprotes, “Membazirlah Kak, baju Una dah banyaklah.”

“Una, kan Kakak kata diam-diam saja. Kakak akan tolong Una sampai berjaya tahu,” senang saja Najla mengarah.

Di kedai-kedai pakaian wanita, Najla dan Nawrah memilih-milih pakaian yang Husna tidak pernah pakai seumur dewasanya. Baju bertali halus, baby t-shirt yang sendat, skirt ketat dan pendek, seluar pendek, baju baby doll, baju kain lycra nipis tanpa lengan dan separas paha, baju bare-back. Berpinar-pinar mata Husna.

“Kak, bila pula Una nak pakai baju-baju seksi-meksi ni. Tak sanggup Una nak pakai Kak!” protes Husna lagi. Eeeei, kalau aku pakai ni, sahlah macam dot, dot, dot saja aku nanti, getus Husna gabra habis.

“Nawwal Husna, dengar sini,” Najla yang sedang sibuk memilih-milih pakaian terus berhenti dan memandang Husna tepat-tepat. “Una tidak boleh pakai baju kelawar, T-shirt dengan kain batik atau T-shirt dengan track pants bila berdua bersama suami, tahu?” serius wajah Najla memberi arahan kepada Husna. Terkejut Husna dibuatnya, sampai terkesima.

“Tahu tak?” Najla menekan Husna untuk menjawab.

“Tahu, tahu, tahu” cepat-cepat Husna menjawab. Serius betul kakak aku ni.

“Hmph, tahu tak pe!” sibuk pula Nawrah menambah. Mencerun mata Husna, nasib baiklah dia itu kakak, kalau dia adik, aku ketuk-ketuk kepala dia!

Selepas berhenti seketika untuk makan tengahari solat zohor, misi mereka disambung di butik-butik pakaian anggun. Sebelum Husna sempat nak berkata apa-apa, Najla sudah siap beri amaran, “Una perlukan baju-baju untuk temankan Zahrain ke majlis-majlis formal. Biar kakak pilihkan siap-siap. Nanti kalau Una pilih sendiri, tak cantik pula. Una tu kalau pilih baju, yang paling ringkas, yang paling murah.”

O-key, kata Husna dalam hati. Bagus juga kalau Kak Naja pilih baju-baju formal untuk aku. Dia memang ada citarasa yang tinggi bila bab pakaian ni. Tidak pernah Husna lihat Kak Najla pakai baju yang selekeh, dia anggun 24 jam!

Kebaya moden kain sutera penuh dengan sulaman kerawang, kebaya moden kain chiffon berbatu-batu hiasan, jubah moden kain chiffon, blaus feminin berlengan panjang dipasangkan dengan seluar panjang, baju kurung kain sari. Mata Husna sudah berpinar-pinar. Letih, keluar masuk bilik mencuba pakaian. Selepas kedua-dua juri berpuas hati, barulah baju dibeli. Juri mana lagi jika bukan Najla Huda dan Nawrah Hanna.

Husna memejam mata melihat jumlah wang yang dibelanjakan untuk membeli sedozen pakaian formal untuknya. Najla membayar segala pembelian dengan menggunakan kad kreditnya sendiri. Bila ditanya Husna, dia menjawab, “Balik kakak claim dengan Ummi.”

“Ummi tak marah ke Kak?” tanya Husna lagi dengan penuh bimbang.

“Eh, duit hantaran awak kan banyak, apa nak gaduh?”

“Membazirlah, Kak”

Najla yang sedang cepat menghayun kaki ke arah kereta, berhenti dan memandang Husna tepat-tepat. O-oh, amaran tsunami akan keluar. “Nawwal Husna, ini semua kelengkapan wajib awak, tahu? Awak tu bakal kahwin dengan anak Tan Sri. Bakal suami awak pula CEO syarikat besar. Kalau awak berpakaian selekeh, jatuh maruah suami dan bapa mertua awak, tahu?”

Bila tiada jawapan dari Husna, Najla bertanya sekali lagi, “Tahu?” Kening kanannya sudah terangkat.

“Tahu, tahu, tahu,” cepat-cepat Husna menjawab, takut tsunami melanda.

“Hmph, tahu tak pe!” tanpa melepaskan peluang, cepat saja Nawrah mencelah. Eei, geramnya aku dengan side-kick sorang ni.

“Hmph, tahu tak pe,” Husna mengejek-ngejek aksi Nawrah, dengan bibir yang mencebik-cebik.

“Oh, perli Akak ye! Eh, Akak tinggalkan beg-beg ni semua atas lantai, baru kau tahu, Una! Awak bawalah semua ni ke kereta” ugutan cepat saja keluar dari mulut Nawrah.

“Eh sorry, sorry, sorry. Amboi! Mentang-mentang ada Kak Naja, Kak Nora ni garang bukan main,” sempat lagi Husna mengutuk Nawrah.

BAB 12

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Najla dan Husna turun ke dapur. Ada tugasan dari Najla: Husna perlu menyediakan nasi lemak berlauk sambal sotong untuk sarapan pagi. Selepas sarapan, Husna terus menerima tugasan kedua, iaitu menyediakan nasi beriani untuk makanan tengahari.

Sambil memasak, dia memakai kasut tinggi 4 inci. Rasa macam dalam Extreme Race sahaja. Hajjah Rahmah menggeleng kepala.

“Apa hal ni pakai kasut tumit tinggi di dapur ni? Tanyanya kehairanan.

“Tak apa, Ummi. Husna perlu berlatih pakai kasut tumit tinggi ini. Bukan saja masa wedding nak pakai. Kalau pergi formal dinner dengan suami pun dia kena pakai.” Relaks saja jawapan Najla.

Berpeluh-peluh Husna memasak. Setiap masakannya dikomen oleh Najla bagaikan dia juri Masterchef Malaysia. Si Nawrah tukang menghabiskan makanan. Sejak sibuk dengan persiapan kenduri Husna, setiap hari dia di rumah keluarganya, membantu apa yang patut. Nasib baik dia suri rumah sepenuh masa.

Belum sempat berehat selepas separuh hari memasak, Husna dibawa oleh Najla ke sebuah spa untuk mandi lulur, dan rawatan muka. Selepas itu, destinasi berikutnya adalah sebuah salon kecantikan, di mana Husna diajar bagaimana untuk mengenakan solekan. Dia diajar perbezaan di antara solekan siang dan solekan malam.

Hampir maghrib juga baru mereka berdua tiba ke rumah. Nawrah yang sudah lama menunggu kepulangan mereka, terus memberi komen percuma!

“Eh, tak sangka cantik juga adik bongsu kita ni bila bermekap ye, Kak Naja!” Cis, teruk sangat ke aku? Cebik Husna dalam hati.

“Kak Naja, penatlah nak jadi cantik ni. Berjam-jam duduk kat salon, kat spa. Boring gila!” keluh Husna.

“Eh, awek macam kau ni memanglah kena sental dua, tiga jam, barulah nampak okey.” Ooo lasernya mulut Kak Nora ni!

“Kak Nora, mulut tak de insuranslah!” hmmm perang dah mula. Najla menggeleng kepala.

“Sapa suruh kau tu jadi kutu rayau? Satu Eropah kau sukat tanahnya. Manalah tak berjelaga muka tu. Daki satu inci agaknya” Kusyen pun dah mula terbang sana sini. Si Nora ni pun satu, anak dah dua, perangai macam budak-budak.

“Eee, kalau tak bergaduh tak boleh ke? Kalau macam ni Akak nak lari balik ke Praguelah. Pening!” Najla pura-pura merajuk.

“Ala, Akak, sorry, sorry, sorry. I need you, don’t go!” Kalut Husna memujuk kakak sulungnya.

“Akak ni macam tak tau, usik mengusik membawa bahagia,” sengih Nawrah.

“Membawa bahagia….? Husna, apa-apa pun jangan buat perangai gaduh-gaduh ni dengan Zahrain, tahu. Hodoh tau perangai gaduh dengan suami ni,” Najla tak habis-habis dengan petua kebahagiaan rumah tangganya.

“Tak de lah, Kak Naja. Gaduh dengan Kak Nora saja.” Dan boom, sebiji kusyen dibaling tepat mengena muka Nawrah. Daaaaah, berkejar-kejar keliling meja makanlah pula.

“Ish, tak elegant langsung adik-adik aku nih!” getus Najla dalam hati. Give up!

BAB 13

Dalam sibuk berlatih masak, menjalani segala macam rawatan kecantikan dan membantu keluarganya dengan persiapan majlis akad nikahnya, sedar tak sedar, tarikh keramat itu pun tiba. Tiada majlis berinai diadakan. Malam sebelum majlis akad nikahnya, Husna duduk di dalam bilik tidurnya, dikelilingi kakaknya berdua dan sepupu-sepupu perempuannya. Najla dan Nawrah sambil menepuk tidur anak-anak mereka, memantau kerja sepupu mereka menginai jari Husna.

Di tingkat bawah dan di luar rumah, ahli-ahli keluarganya sibuk membuat persiapan-persiapan terakhir. Khemah sudah siap terpasang dari semalam. Pelamin yang dipasang pun cuma sederhana, dua tilam empuk diletakkan di atas pentas kecil, tirai satin sebagai latar belakang, beberapa jambangan bunga hidup serta dua pokok bunga telur di kiri kanan. Keluarga Husna memang sebuah keluarga yang sederhana. Husna selesa dengan gaya hidup mereka yang tidak suka membazir.

“Kak Naja, dah siap. Akak nak tengok?” tanya Thura, sepupu mereka, si tukang menginai.

“Mana?” Perlahan-lahan Najla bangun, meninggalkan anak bongsunya Anas yang terlena tidur beralas tilam kecil di atas lantai.

Husna sudah bertukar menjadi patung cendana, dengan tangannya diangkat ke depan, serta jari-jarinya dikembangkan macam kipas. Itu arahan Thura, supaya lukisan inai di tangan dan jari tidak rosak.

“Cantiknya, Thura. Boleh buka bisnis ni,” puji Najla.

“Achik Thura, my turn,” rengek Khadijah, anak sulung Najla. Si adik, Mawaddah turut menghulurkan tangannya meniru gaya kakak.

“Baby girls pun nak juga ye?” tanya Thura. Sepupu-sepupu lain pun mula mengerumuninya, nak minta diinai.

“Thura, pakaikan mereka inai di ruang TV ye. Kak Naja bimbang nanti comot pula bilik pengantin.” Thura dan “pelanggan-pelanggannya” berpindah ke ruang TV di luar bilik.

“Waaaa! Kenapa Kak Thura tak pakaikan Una inai di depan TV saja, boleh Una tengok TV sementara tunggu inai kering.”

“Apa ni, esok dah nak kahwin, kepala masih ingat TV lagi?” Nawrah dah mula serangan.

“Boringlah Kak Nora!”

“Tak pe lah boring malam ni. Malam esok Akak gerenti mesti exciting punya,” usik Nawrah dengan kening terangkat-angkat. Eww, tak ada benda lain ke nak dilawakkan? Cebik Husna dalam hati.

“Una, our lessons are not over yet,” kata Najla. Nawrah dah mula tersengih macam kerang busuk.

“Lessons apa lagi, Kak Naja. Otak Una dah tepulah dengan ilmu-ilmu rumah tangga ni!”

“Dah tepu? Haaa, kau dengar kuliah Kak Naja malam ni, cair balik otak kau, Una.” usik si Nawrah.

Kuliah apa pulak ni? Blurr lah!

“Una, Una tahukan tanggung jawab isteri?” Najla mula memberikan kuliah.

Oooh, tanggung jawab itu, kata hati Husna, sambil matanya memandang ke arah katil pengantin yang dihias indah. Kemudian dia mengalih pandangan ke arah kakak sulungnya. No escaping this!

“Dalam Islam, ianya suatu tanggung jawab penting bagi isteri. Sebab inilah caranya membentuk ummah yang jauh dari maksiat. Kalau Una tidak menjalankan tanggung jawab Una, dan suami Una melakukan maksiat, bayangkan impak negatif ke atas perkahwinan Una, keluarga kita, keluarga Zahrain, kepada masyarakat. Implikasinya besar Una.”

“Una rasa Una tak bolehlah Kak,” jujur jawab Husna. Seumur hidupnya, dia tidak pernah bercinta, tidak pernah menyimpan perasaan kepada mana-mana lelaki. Tiba-tiba malam esok…..

“Biasalah Una, kita perempuan Melayu dibesarkan dengan penuh rasa malu bila berdepan dengan lelaki. Tapi bila sudah berkahwin, nak bersama dengan suami, tentulah kita malu,” pujuk Najla.

“Kak Nora, Akak kahwin dengan Abang Din, suka sama suka, malam pertama pun malu jugakah?” tanya Husna. Terkejut Nawrah dibuatnya bila adiknya menanyakan soalan itu.

“Eh, tentulah malu. Kau ingat kakak kau ini dot, dot, dot ke?” terjegil mata Nawrah.

“Manalah Una tahu, kut-kut orang yang bercinta sebelum kahwin ni lainkan…”

“Ish, budak ni,” sergah Nawrah sambil bercekak pinggang. Aksinya disambut deraian ketawa Husna.

“Dah hafal doa bila bersama suami?” tanya Najla.

“Bab hafal doa tu senang Kak. Bab implementasi tu, yang susah Kak. Kalau Una pengsan macam mana?” serius Husna bertanya.

“Una, dalam perkahwinan ni mesti ikhlas menjalankan tanggung jawab. Bila ikhlas, nanti timbul kasih dan sayang.”

Semudah itukah hidup bersuami isteri? Bagaimana pula kalau suami tak pernah cintakan kita? Malah langsung tidak suka?

“Senang macam tu ke Kak?” Walau pendek soalan Husna, Najla sedar maknanya dalam.

“Senanglah kalau kita senangkan. Kalau kita susahkan, maka jadi susah,” jawab Najla. Riak muka Husna bagaikan berkata, “Iyelah tu.”

“Seriously, Una. Berjuta-juta orang kahwin atas pilihan orang tua dari zaman dulu-dulu lagi. Okay saja mereka.” Air muka Husna masih lagi menunjukkan dia belum termakan kata-kata Najla.

“Zahrain ke siapa ke, suatu hari Una perlu juga melalui malam pertama kan. Suratan di Luh Mahfuz menyatakan jodoh Una adalah Zahrain. Jalankan tanggung jawab sebaik mungkin Una, moga mendapat keberkatan Allah. Perasaan kita pun anugerah Allah kan. Jangan bersangka buruk dengan Allah. Berdoa denganNya agar perkahwinan Una dilimpahi kebahagiaan.”

“Bab ikhlas dengan bakal suami Una, Una rasa otak Una dah boleh compute. Masak, makan, minum, no problem. Ini, tanggung jawab yang satu ini, serius Una tak tahu samada Una boleh ke tidak.”

“Una, humans and animals are born with natural mating instinctlah,” Nawrah pula mengambil giliran memberi kuliah.

Mak aih, mating instinct? Ini kuliah biologi ke apa? Lagi menyeramkan. Baik dengar kuliah Kak Naja, angle Islamiknya lebih senang untuk diterima.

“It will come naturally, because you are born with the instinct,” sambung Nawrah.

“Jadi, Kak, malam tu, instinct tu tetiba keluar ye?” Husna mengusik kakaknya.

“Right, go with the flow.”

O-key….ada instinct, ada flow….

“Tapi jangan pulak kau jadi patung cendana!” Nawrah dah makin syok menurunkan ilmunya.

“Ha? Patung cendana?” terlopong mulut Husna.

“Yeah…you’ve gotta move it, move it. You’ve gotta move it, move it.” Tiba-tiba saja Nawrah menyanyi-nyanyi sambil meniru gerakan tarian karakter kartun dalam filem animasi Madagascar.

Najla, si miss-prim-and-proper itu pun pecah terburai ketawanya. “Teruklah kau ni Nora, ada ke pulak ke filem Madagascar perginya.” Anak-anak mereka memang gemarkan filem animasi ini. Najla dan Nawrah sudah hafal jalan ceritanya sebab sudah beribu kali video ini dimainkan di rumah mereka.

Husna yang tidak faham jenaka “dewasa” kakak-kakaknya terpinga-pinga.

“Err, kena menari? Kena move?” terkeluar soalan dari mulut Husna. Serentak berderai ketawa Najla dan Nawrah. Eh, tersedut laughing gas ke kakak aku dua orang ni? Amboi bila cakap pasal topik ini bukan main suka lagi mereka.

“Mari sini adik manis…Master-ji dari Prague nak turunkan ilmu,” gurau Nawrah, sambil disiku oleh Najla.

Maka mulalah kuliah yang paling ngeri yang pernah Husna dengar. Seram sejuk rasanya mendengar cerita kakak-kakaknya. Ada kalanya terlintas dalam mindanya, eee tak senonohlah kakak aku berdua ni. Ada kalanya, dia hampir tersembur, “Kak Naja, you did that too huh? Eeew!” Macam mana kakak aku, anak mithali dalam keluarga, pun boleh buat benda-benda tak senonoh macam ni.

“Cukup, cukup. Sensor, sensor!” jerit Husna sambil menekup telinganya. Serius, aku tak tahanlah mendengar lagi petua-petua rumah tangga bahagia versi yang satu ini.

“Hoi!” jerit kedua-dua kakaknya serentak, terkejut Husna dibuatnya.

“Hah?”

“Habislah inai kau tu!” cepat-cepat Nawrah menarik kedua belah tangan adiknya ke depan. Berdekah-dekah ketawa mereka tiga beradik. Geli hati betul Najla dan Nawrah dengan telatah Husna, dengar cerita malam pertama sampai terlupa inai di jari.

“Amboi, apalah yang lawak sangat ni, ketawa mengilai-ngilai, sampai boleh dengar ke bawah?” Hajjah Rahmah menjenguk masuk ke bilik pengantin. Apalah yang dibuat anak perempuannya tiga beradik ni, bingit sungguh.

“Alamak, sorry Ummi,” kata Husna sambil menekup mulutnya dengan tangan.

“Hoi!” Sekali lagi kedua orang kakaknya menjerit serentak ke arahnya.

“Hah?” Husna terlopong kali kedua.

Bila Husna sedar apa yang dibuatnya, cepat-cepat dia meluruskan tangannya ke hadapan. Pecah berderai sekali lagi ketawa tiga beradik itu.

Hajjah Rahmah hanya menggeleng-gelengkan kepala. Biarlah anak perempuannya bertiga ini bergembira bersama-sama pada malam ini. Esok nanti habislah ketiga-tiga anak perempuannya menjadi milik orang. Sedih pun ada. Bahagia pun ada, sebab anak bongsunya akan memulakan lembaran baru dalam hidupnya.

BAB 14

Seperti kakak-kakaknya, majlis akad nikah dijalankan di rumah keluarga mereka. Haji Nuqman dan Hajjah Rahmah hanya menjemput ahli keluarga dan rakan-rakan rapat sahaja ke majlis ini. Husna sendiri tidak menjemput seorang pun kawan ke majlis itu, tidak sempat dan dia sendiri pun tidak terasa nak menyambut hari bahagianya dengan sesiapa. Kerana dia sendiri tidak pasti samada apa yang dirasainya itu bahagia.

“Pengantin lelaki dah sampai, pengantin perempuan diminta turun ke bawah untuk majlis akad,” kedengaran suara Pak Longnya dari tingkat bawah.

Dengan ditemani oleh Najla, Nawrah dan beberapa orang sepupu-sepupu perempuannya, Husna melangkah menuruni tangga ke tingkat bawah. Kekok rasanya bila seisi rumah memandang tepat ke arahnya. Dengan ekor matanya, dia melihat Zahrain sudah siap bersila hadapan Tok Kadhi. Segak! Dengan baju melayu putih suci. Macam putera raja! Putera Raja Jajahan Kutub Utara, cebik Husna dalam hati. Tengoklah tu, matanya tertancap ke lantai, langsung tak pandang ke sini. Macam dia tak kisah, siapa-siapa sajalah pengantin perempuannya.

“Senyum!” bisik Najla ke telinga adiknya. Rasa menyampah Husna kepada Zahrain dipadamkan dari mindanya. Fikirkan Babah! Fikirkan Ummi! Kalau mereka bahagia, aku pun bahagia. Yang lainnya redha kepada Allah.

“Aku terima nikahnya Nawwal Husna binti Nuqman Hakim dengan mas kahwinnya RM300.00 tunai,” lafaz Zahrain. Para saksi mengangguk-anggukkan kepala, sah!

Bagai melayang-layang rasanya Husna. “Aku dan dia sudah terikat. Simpul mati!” Kenapa pula simpulan itu Husna rasa bagaikan semakin ketat dilehernya sehingga susah untuknya bernafas.

Dah sudah, pucat lesi adik aku ni. “Astaghfar, Una. Tarik nafas dalam-dalam,” bisik Najla ke telinga adiknya. Jangan pula dibuatnya pengsan di sini, doanya dalam hati.

“Okey, tarik nafas, lepas nafas…..” berulang-ulang Husna mengingatkan dirinya sambil disulam dengan ucapan Astaghfar. Matanya tunduk ke bawah. Tahu-tahu saja, Zahrain sudah sampai di depannya untuk upacara membatalkan air sembahyang. Najla mencuitnya untuk menghulurkan tangan. Secara automatik, Husna menghulurkan tangannya. Cincin berlian bermata satu disarung ke jari. Diikuti gosokan lembut Najla dibelakangnya, Husna tunduk mencium tangan suaminya.

“Cium dahi isteri kamu, Zahrain.” Disuruh Mamanya, barulah bibir Zahrain singggah di dahi Husna.

“Hai, takkan malu kut. Dah halal pun,” entah suara siapa mengusik pengantin, sambil disambut gelak tawa hadirin. Merah padam muka Husna. Matanya terus ke bawah, tak panggung langsung. Seram dia hendak memandang muka Zahrain. Tak sanggup dia memandang muka suaminya kerana dia tahu tiada kasih sayang di situ. Cinta jauh sekali.

“Ini suratan hidupku. Happiness is a choice.No matter what happens, I choose to be happy!” Dengan azam itu, Husna mengangkat kepalanya dan memandang wajah Umminya. Melihatkan deraian air mata di pipi Umminya, air matanya pun turut jatuh berguguran. Buat seketika mata ibu dan anak bertaut.

“Sedaya mungkin aku akan pertahankan kebahagiaan Ummi,” janji Husna dalam hati. Matanya bergerak mencari Babah yang masih duduk bersila di sebelah Tok Kadhi. Redup saja pandangan Babahnya.

“Seumur hidup, tak kurang sedikit pun kasih sayang Babah. Aku akan balas kasih sayangnya dengan caraku sendiri,” janjinya lagi.

“Salam mertua kamu, Husna,” arah Mak Longnya. Husna bangun dan membongkok berjalan ke arah Puan Sri Maimun. Tangan wanita itu disalam dan diciumnya. Puan Sri membalas dengan mencium kedua belah pipi dan dahinya.

“Sayang Mama,” ucap Puan Sri Maimun lembut. Terharu sungguh rasa Husna. Walau pun wanita berdarjat ini baru saja mengenalinya, kasih sayangnya terhadap Husna terasa ikhlas sungguh. Mulai saat ini, wanita ini adalah ibuku dunia akhirat. Sayangku kepadanya sama seperti sayangku pada Ummi, janji Husna dalam hati.

“Terima kasih, Mama,” balas Husna. Bahagia rasa Puan Sri Maimun mendengar menantu barunya memanggilnya Mama. Rasa macam dapat anak perempuan barulah pulak. Menantu pertama dalam keluarganya. Bertambah yakin rasa Puan Sri Maimun dengan pilihannya.

Giliran Zahrain pula untuk bersalaman dengan Mamanya. “Ingat, tanggung jawab suami besar tahu,” nasihat Puan Sri. Zahrain hanya mengangguk kecil tapi masih diam membisu.

Husna bangun dan membongkok berjalan ke arah bapa mertuanya pula. Tangan Tan Sri Zainal disalam dan diciumnya.

“Elok-elok dengan Zahrain ya,” kata Tan Sri sambil menepuk-nepuk bahu Husna. Husna hanya mengangguk kerana dia masih berasa segan dengan bapa mertuanya.

Apabila Zahrain pula menyalami tangan Papanya, Tan Sri Zainal berkata, “Dah ada isteri, jaga baik-baik.” Ketawa ahli keluarga kedua belah pihak mendengarnya. Respon Zahrain tetap sama, mengangguk kecil tanpa berkata apa-apa.

Seterusnya mereka bersalam pula dengan ibu bapa Husna. Umminya tak terkata apa lagi, hanya berderai-derai air mata apabila memeluk Husna. Anaknya ini baik, sentiasa mahu membahagiakan ibu bapa. Ya Allah berkatilah perkahwinan anakku ini, doa Hajjah Rahmah dalam hati.

Bapa Husna memeluk kedua-dua pengantin baru selepas tangannya di salam dan dicium. Tak sanggup rasanya Husna untuk melihat Babahnya memeluk Zahrain. Terngiang-ngiang di telinganya penghinaan yang diucapkan oleh Zahrain mengenai bapanya. Cepat-cepat Husna terus bersalaman dengan jemputan-jemputan wanita di majlisnya itu.

Usai majlis akad nikah, hadirin dijemput menjamu selera di khemah. Husna dan Zahrain pula makan di meja pengantin. Hilang selera Husna. Penat dengan persiapan kenduri, ditambah dengan debar menjadi isteri, makanan yang disuap terasa bagaikan pasir. Selepas tiga, empat suapan, Husna berhenti. Zahrain disebelahnya hanya menjeling melihat isterinya yang makan terlalu sedikit. Sejak dari upacara akad nikah, kedua-dua pengantin tidak bercakap waima sepatah perkataan pun kepada satu sama lain.

Selepas makan, sibuk pula mereka mengambil gambar dengan para jemputan. Husna mula terasa letih kerana sedari pagi, dia belum sempat berehat. Apabila surut bilangan tetamu, Najla cepat-cepat mengarahkan pengantin pergi berehat di bilik pengantin. Semua orang diingatkan supaya jangan menganggu pengantin baru kerana selepas asar nanti, mereka perlu bertolak ke hotel untuk bersiap-siap kerana majlis resepsi bagi keluarga Zahrain yang dijalankan malam itu juga.

Pintu bilik pengantin rapat ditutup, mereka belum lagi menunaikan solat zohor. Husna mengambil dua helai sejadah dan ditebarkannya di atas lantai sebagai isyarat dia mengajak Zahrain solat bersama.

Tanpa memandang muka suaminya, dia duduk di depan meja solek. Dia sudah tidak tahan kepanasan, kepalanya sudah lama berdenyut-denyut. Selendang lace yang dipakainya memanglah cantik, sayangnya diperbuat dari kain yang agak tebal. Pertama sekali, dia menanggalkan tiara comel di atas kepala. Kemudian perlahan-lahan dia menanggalkan selendang putih lace yang membaluti kepalanya. Banyak sangat pin yang dipasang oleh Mak Andam, sehingga susah dia mahu menanggalkan selendang itu. Sebatang demi sebatang pin ditanggalkannya.

Bila pin terakhir sudah ditanggalkan, Husna berasa lega kerana dapat menanggalkan selendang lace dan tudung. Barulah lehernya terasa angin. Dibukanya ikatan sanggulnya, rambutnya yang panjang melepasi bahu, diurai-urainya dengan jari. Kemudian dia mengambil kipas tangan dari atas meja soleknya dan mengipas-ngipas mukanya. Dek kerana terlalu kepanasan, udara sejuk dari alat pendingin hawa bilik pun bagai tidak terasa.

“Fuuuh, leganya..,” Husna memejamkan mata sambil menikmati udara nyaman yang membelai lehernya. Bila reda sedikit kepanasan yang dirasanya barulah dia membuka matanya. Terus dia terpandang Zahrain di cermin meja solek. Sudah lama dia merenung aku rupanya. Aku yang tidak sedar. Timbul rasa malu di hati Husna. Inilah kali pertama lelaki yang bukan ahli keluarga melihat auratnya.

Mamat ketul ais beku itu betul-betul sudah jadi ketul ais beku. Badan kaku tidak bergerak-gerak, matanya pula tidak berkelip-kelip memandang Husna. Dari rasa malu, timbul pula rasa tidak selesa di hati Husna. Rasanya macam mahu lari masuk ke bilik air. Tapi dia perlu menanggalkan mekapnya dulu.

Lantaklah dia nak pandang, bukan luak sedikit pun. Lalu Husna pun mula membuka penutup botol losyen menanggalkan mekap. Inilah kali pertama dalam hidupnya memakai mekap tebal sekali. Mamat ketul ais itu masih tidak bergerak-gerak. Patut panggil Kak Nawrah untuk beri kuliah mengenai patung cendana. Tersembur ketawa kecil di mulutnya.

“Apa yang lucu?” Aik patung cendana sudah keluar suaralah.

“Saya teringatkan kakak saya.” Takkan nak ceritakan pada suaminya tentang cerita patung cendana versi Kak Nora tu. Sah nanti dia ingat kami ni adik beradik nympho. Sekali lagi tersembul ketawa di mulut Husna. Sudah-sudahlah ketawa sorang-sorang ni, nanti dia ingat aku ni tak betul ke apa.

“Tak nak ambil wudhu?” Husna bertanya untuk mengelak dari asyik memikirkan tentang patung cendana Kak Nora.

“Tolong bukakan butang baju Melayu saya ni. Susah saya nak buka” selamba saja Zahrain meminta tolong dari isterinya. Hampir tersembul mata Husna mendengar permintaan suaminya. Erk!!

Di cermin meja soleknya Husna melihat Zahrain duduk di birai katil, memandang Husna tanpa berkelip matanya. Oh! Nak menguji aku ya. Tapi memang aku segan pun nak menghampirinya. Tapi kalau aku tak buka butang baju Melayunya, tentu aku diketawakannya. Little girl, little girl, dia panggil aku. Macamlah aku ni budak ingusan. Tapi memang pun aku ni budak hingusan! Sedar diri.

Nak tolong, tak nak tolong, nak tolong, tak nak tolong? Dah suami minta tolong, nak kata apa lagi kan. Lelap mata, buat sajalah!

Husna duduk di hadapan suaminya dan cuba membuka butang-butang kecil itu. Memang susah! Eei, tukang jahit manalah yang menjahit baju ni. Lubang butangnya kecil sangat.

Bila tinggal satu saja lagi butang yang perlu dibuka, Husna terasa rambutnya disentuh. Bila dipalingnya, dia melihat jari-jari Zahrain membelai-belai rambutnya. Hah! Dia pula yang jadi patung cendana.

“What is he doing?!!” jerit Husna dalam hati.

Bila dia melihat Zahrain mencium rambutnya, dia terus melompat! Satu langkah saja, dia sudah mendarat ke atas sofa di hujung kaki katil.

Terlopong mulut Zahrain. Hm, athletic juga bini aku ni, sekali lompat dah sampai ke sana. Di bibirnya terbit senyum kecil, senyum menyindir. Dalam hati, dia cuba menahan ketawa sebenarnya.
Huh, baru cium rambut dah takut. Nak kahwin dengan aku sangat! Ha, ha, tonight is going to be very interesting.

“Ss…ss…saya ambil wudhu dulu!” kata Husna sambil lari menikus ke dalam bilik air.

Selepas pintu bilik air ditutup, barulah terlepas ketawa di mulut Zahrain.

————————-




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

67 ulasan untuk “Novel : Projek Memikat Suami 11, 12, 13, 14”
  1. sayaBudakBaek says:

    it’s ok…
    tggu je laa…
    budak baek mesti bersabar… hehe

  2. Kathy Tuah says:

    bestnya dapat kakak2 mcm ni..tergelak2 je bila baca part nak turunkan ilmu rumah tangga tu..hahaha..

  3. cikkakinovel says:

    haha . . l0ve it . .

  4. adyan says:

    blank smbg… x sbr la…

  5. Qaireena Airysha says:

    lwknye…

  6. Qaireena Airysha says:

    truskan mnulis!!! i love it!!

  7. niezsha says:

    ee .. tergelak sndri jer pabile bce part nihh .. hihiix

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"