Cerpen : Kisah Cinta

17 April 2012  
Kategori: Cerpen

19,796 bacaan 50 ulasan

Oleh : ana sofiya

1

Anis Syahira menyisip air milo tarik kesukaannya perlahan-lahan. Tidak mahu ada sedikit pun jatuh dan mengotori bibir mungilnya. Takut tak cantik dan comot bila si dia yang ditunggu-tunggu memandang dirinya nanti.

Sejam, dua jam, tiga jam…. penantian ini bagai tiada kesudahan. Kemanakah lelaki kesayangannya itu pergi sehingga menghalang langkahnya ke mari? tanya hati.

Tak boleh jadi ni! Bukan sekali dua dia menjadi penunggu setia. Bukan hari ini sahaja dia dibiarkan menunggu. Sudah acap kali benar!

Langkah yang laju kini berhenti betul-betul di hadapan meja pembantu peribadi suami tercinta. Namun, meja itu kosong. Kerusi itu tidak berpenghuni. Ah, setiausaha dengan pengurus sama saja. Sorang suka benar menghilangkan diri saat diri diperlukan. Yang seorang lagi pula sentiasa bijak mengelak tiap kali dia ingin berjumpa. Dah berpakat kut?

Lantas langkah diatur laju ke arah pintu bilik Ahmad Kamil. Pintu itu kemudian ditolak dengan kasar. Kalau orang-orang yang berada di dalam tu tak terkejut, memanglah… pasti segala perasaan sudah hilang agaknya, hati mengomel.

“Hmm, kat sini rupanya awak, Rasyidah? Tak puas-puas ke nak bercengkarama berdua? Kat rumah, kat pejabat? Sampai abang Kamil ni tak ada masa untuk saya langsung. Apa kes?” tanya Anis Syahira sebaik terpandang pasangan sejoli yang sedang asyik masyuk berdua. Pasangan yang kini terkejut dengan kehadirannya.

“Anis, Anis buat apa di sini? Anis lupa pada janji Anis dulu? Yang Anis tak boleh cari abang di pejabat. Lupa?” Ahmad Kamil bersuara keras. Malu bila perbuatannya bersama Rasyidah dilihat oleh isteri keduanya ini.

2

“Aku tak faham dengan sikap kau ni, Anis. Kau tu isteri nombor 2. Kau tahu tak apa isteri nombor 2 kena buat? Okey, tak apa kalau kau tak tahu. Biar aje aku yang cakap. Dengar…”

Ahmad Kamil hanya memerhati. Bagai merelakan Rasyidah mengeluarkan pendapatnya. Sementara Anis tiba-tiba jadi kaku. Masih terkejut agaknya bila melihat suami kesayangan bermesra dengan madunya.

“Anis, sebagai perampas, kau kena selalu beralah. Kau yang mengambil hak aku. Aku dah izinkan, tapi itu tak bermakna, abang Kamil hak mutlak kau. Kita kongsi, kan? Tapi, bukan 50-50, ya! 70-30. Malah, kalau aku nak bagi kau 1% aje pun, kau tak boleh kata apa-apa, tahu? Sebab, kau tu bukan isteri pilihan abang Kamil, kan? Kau, menantu pilihan emak dia. So, lebih baik kau jaga hati mak mentua kita la. Biar aku aje yang jaga abang Kamil. Okey?”

Anis Syahira perhatikan sahaja Rasyidah, kembali duduk di atas pangkuan suami mereka. Tanpa silu padanya. Aduhai, memang membakar perasaan bila melihat tingkah mereka. Tapi apakan daya. Dia sayangkan Ahmad Kamil. Sayang sangat!

Tapi, sayang sebelah pihak memang malang. Itulah dirinya. Dia kahwin dengan lelaki ini kerana dia, sejak lama, menjadi pilihan puan Amna, ibu Ahmad Kamil. Dia pula sesungguhnya sudah lama jatuh hati kepada lelaki ini. Cintanya satu dan sentiasa setia, untuk lelaki ini. Mereka tinggal serumah, namun, setiap malam, Ahmad Kamil milik Rasyidah. Dia? Dia hanya sekadar orang gaji mereka.

Adik beradiknya mengatakan dia bodoh. Sanggup berhenti kerja menurut permintaan Ahmad Kamil. Sanggup tinggal serumah dengan madu, mengikut kehendak Rasyidah. Sanggup buat semua yang orang gaji buat, demi membahagiakan suami tercinta. Dia sanggup semuanya, kerana cinta.

“Kau tak jawab soalan aku lagi, Anis. Kenapa kau cari aku sampai ke pejabat? Kan aku dah pesan pada kau yang tempat kau di rumah aje. Di sini, aku dengan Syidah,”

“Abang bohong! Abang dengan Syidah di mana-mana. Di rumah pun, Anis tak ada peluang nak bersama abang. Abang sentiasa lebihkan Anis. Abang tak adil!”

Tidak disangka-sangka, pasangan di hadapannya itu ketawa. Anis Syahira tersentak. Sebak rasa hati bila suami sendiri bagai tidak berperasaan.

“Isteri atas kertas la tu. Kan, bang?”

“Hmm,”

“Itulah fasal. Kahwin lagi dengan suami orang? Macam dalam dunia ni tak ada lelaki lain dah, kan?” Rasyidah terus menyindir.

“Sebab Anis cintakan abang Kamil saja,”

Bulat mata Rasyidah. Geram mendengar pengakuan tulus wanita yang baru sebulan menjadi madunya ini. Sakit hati usah ceritalah. Memang tidak terucap!

“Berani kau, ya? Mengaku macam tu depan aku?”

“Nak takut apa? Anis bagitahu sebab Anis nak hak Anis, Syidah!”

Rasa putus nyawa bila Rasyidah mendengar pengakuan itu. Spontan mata memandang Ahmad Kamil. Kiranya, suaminya juga terkejut mendengar. Hisy, tak boleh jadi ni. Kang, kalau dia orang bersama, dapat anak, gigit jari dirinya. Tentu wanita ini akan lebih disayangi ibu mentuanya. Tak boleh! Mana boleh! Ahmad Kamil miliknya sahaja!

Mata Rasyidah berair. Rajuknya dirasai Ahmad Kamil. Terus lelaki itu menghampiri isteri kesayangan. Isteri pertama, isteri pilihan hatinya.

“Kenapa nangis, sayang?” tanya dia. Hati resah bila Rasyidah menolak jemari yang ingin menyeka air mata yang tumpah.

“Pergilah balik! Bini abang dah datang jemput tu. Dia lebih perlukan abang dari Syidah. Yalah, kan? Siapa Syidah ni? Menantu yang dibenci. Syidah tak ada hak atas diri abang. Dah la! Pergilah! Bawak isteri abang pergi honeymoon. Dia dah lama tunggu tu,”

Anis Syahira menggelengkan kepala. Dia sudah masak dengan taktik madunya. Dia tahu, bahawa selepas ini, dia yang akan jadi mangsa amukan suami mereka. Dialah yang akan dipersalahkan kerana telah membuat Rasyidah menangis. Dia yang akan dimarahi Ahmad Kamil, itu yang pasti terjadi.

Ahmad Kamil tidak berkata apa-apa. Terus bangun berdiri dan membetulkan pakaiannya. Dia kemudian menarik tangan Anis Syahira. Jelas, dia ingin membawa Anis keluar dari pejabat itu.

Tindakannya mengejutkan Anis Syahira. Namun, yang lebih terkujat tentu sahaja Rasyidah. Wajah sudah pucat. Hati sudah menggelabah.

Mengapakah begini tindakan suaminya? Hanya Ahmad Kamil sahaja yang ada jawapannya…

3

Ahmad Kamil memandu masuk ke dalam rumah milik ibubapanya sebaik pintu pagar automatik terbuka. Lama dia memaut stereng, berdiam diri sehinggalah bila suara ibunya kedengaran, baru dia mengajak Anis turun.

“Kenapa kita datang sini, bang?” tanya Anis. Namun soalan itu terbiar sepi. Ahmad Kamil terus laju meninggalkan isterinya.

Puan Amna terkedu melihat wajah kelat Ahmad Kamil. Dia tahu ada sesuatu mengganggu fikiran anak lelaki tunggalnya itu. Kehadiran bersama Anis ini tentu membawa khabar yang tidak enak. Dia harus bersedia.

“Mak suruh saya kahwin dengan dia, saya ikut. Tapi mak tahu tak apa menantu kesayangan mak ni buat? Dia hendap saya dengan Syidah, mak. Saya dah pesan, jangan datang ke pejabat. Tapi, ada dia dengar pesan saya? Haram! Tidak! Sekarang, saya nak mak tepati janji mak pada saya. Mak cakap, kalau dia ingkar, saya boleh ceraikan dia. Jadi, saya nak mak setuju dengan permintaan saya ni. Saya nak ceraikan dia!”

Anis Syahira termangu. Puan Amna terkedu. Nekadnya Ahmad Kamil menyebabkan mereka kehilangan kata-kata. Masing-masing cuba menyelami ke dasar hati lelaki itu.

“Saya nekad, mak. Saya pun bukannya teringin sangat nak ada dua bini. Mak paksa, saya ikut. Tapi, sekarang, dia ni dah mungkir syarat yang mak buat dengan saya. Jadi, saya nak kebebasan saya. Sekarang juga!”

Anis akhirnya bersuara lemah, “Apa maksud abang tu, mak? Syarat apa? Mak tak cakap pada Anis pun?”

Puan Amna terhenyak ke kerusi. Dia sendiri bingung bila syarat menjadi cagaran hutang. Dia sudah berjanji. Haruskah dimungkiri?

“Mak?” Anis sudah menangis. Dia rasa jantungnya bagai hendak pecah melihat wajah ibu mentua yang nampak sangat bersalah. Ibu mentua sedang mengelak daripada bertentang mata dengannya. Argh..

“Anis, meh aku cerita pada kau, apa sebenarnya, okey! Kita berdua ni kahwin kontrak, aje. Aku kahwin dengan kau sebab bapak kau nak jaminan satu projek dengan bapak aku. Bila tahu yang kau cintakan aku, dia orang peralatkan kau la. Mak aku setuju bantu parents kau, atas dasar kawan. Aku tak nak tapi mak cakap, aku kena kesiankan ayah kau. So aku bagi syarat yang kita kahwin tapi kau tak boleh menyibuk urusan aku dengan Syidah. Tapi, kau dah mungkir janji. Maka aku rasa, dah tiba masa untuk aku ceraikan kau. Aku lemas dengan pernikahan kita. Aku lemas dengan kau. Dan, yang lebih penting, aku lemas bila Syidah menangis sebab kau. Faham tak ni? Jadi, sampai di sini perkahwinan kita. Kau bebas sekarang,”

Apa yang mampu dikatakan lagi. Cintanya dengan mudah diperolok. Perasaannya dipermainkan. Dia kecewa. Kecewa dengan semua, Ibu, ayah, mentua, namun kesakitan itu tidak menandingi keperitan akibat perbuatan suami sendiri.

Mereka berpisah. Talak sudah jatuh. Dan, Anis Syahira tidak menoleh lagi. Dia ingin melupakan. Kisah cinta ini harus berkubur. Harus menjadi nesan. Tanpa tangisan!!!
……………..

4

“Kamil datang tadi,”

Anis Syahira mengangkat muka perlahan-lahan. Hilang sudah konsentrasi terhadap bacaan. Novel yang dibaca itupun hampir terlepas dari tangannya.

“Dia cari kamu, Anis,” puan Zahira memberitahu lagi. Wajah ayu itu ditatap lembut.

Anis hanya menjungket bahu. Malas hendak berkata apa-apa. Nama itu, lelaki itu, adalah kenangan silam. Kala cinta bodohnya sedang membara dalam jiwa. Cinta bodoh, itu yang sering dimarahi diri sejak mereka berpisah hampir dua tahun dahulu.

“Mak rasa, dia cari kamu sebab dia perlukan pertolongan kamu, Nis,”

Ayat itu buat jiwanya memberontak. Wajah sudah merona merah, menahan marah. Pantang baginya jika dihubungkait antara pertemuan, cinta dan pernikahan dengan pertolongan. Memang itu akan menyebabkan dia hangin satu badan!

“Kenapa? Kali ini dia perlukan Anis, ya? Terbalik pulak? Dulu, ayah dengan emak yang perlukan dia dan keluarga dia. Hmm, let me think!” Tiba-tiba sesuatu menyapa minda. Sesuatu yang buat dia nanar. “Jangan cakap yang dia, Ahmad Kamil, perlukan isteri untuk jaga anak dia?”

Wajah Puan Zahira yang tetiba nampak serba salah, menyebabkan Anis akhirnya ketawa kecil. Dia tahu bahawa kini tekaannya tepat mengena. Sah, memang lelaki itu perlukan ibu kepada anaknya yang berumur enam bulan itu.

“Suruh aje dia rujuk balik dengan bini dia tu, mak!” ujarnya tanpa perasaan. Alat kawalan jauh ditekan-tekan, mencari stesen yang dapat memberi sedikit keseronokan. Kerana, perbualan ini membuat jiwa jadi kacau.

Puan Zahira senyum pula. “Dia memang nak rujuk. Dengan kamu!”

Kalau bola matanya boleh melompat keluar dari soket, memang itulah yang akan terjadi akibat rasa terkejut yang teramat sangat. Terkejut dengan kehendak lelaki itu, satu hal, tapi, melihat betapa teruja ibunya sendiri, aduhai…. dah rasa macam nak pitam pun ada! Geram, sakit hati dan kemarahan yang sedang dikawal ini, silap haribulan, bisa terhambur tanpa selindung sebentar lagi. Rasa hendak menjerit ARGHHHHHHHH!!!!

“Usah marahkan Kamil lagi, Anis. Dia dah sedar kesalahan dia dulu. Dia dah tahu, yang mana kaca, mana intan. Dah mengaku yang kamu jauh lebih baik daripada Rasyidah tu,”

“Cukuplah, mak! Tak payah nak buat promosi kat sini. Kaca ke intan ke, mintak maaf! Jangan nak atur hidup saya macam dulu. Mak faham tak ni?”

Puan Zahira segera menggenggam tangan Anis. “Jangan macam tu! Kamu pernah cintakan dia, dan mak yakin cinta tu masih ada lagi. Anis, setiap orang buat silap. Kamil tak terkecuali. Tapi, tak ada salahnya kalau kamu memaafkan dia. Demi anak dia, mak rasa, kamu perlu berkorban. Terima dia semula, Anis. Dia tentu akan sayangkan kamu. Percayalah!”

Anis menolak tangan emaknya. Dia kemudian bangun. Cadangnya, dia nak masuk bilik, kemas beg dan keluar dari rumah itu seketika. Dia hendak pergi ke rumah Noraini, kawan sepejabatnya. Nak menumpang duduk di rumah itu sehari dua.

“Kamu nak ke mana?” tanya si ibu.

“Nak keluar, nak pergi rumah kawan,” balasnya.

“Tak boleh! Kamu jangan nak pergi mana-mana. Kejap lagi keluarga mentua kamu sampai. Kita nak tetapkan hari nikah kamu dengan Kamil,”

Menyirap darah naik ke muka. Sakit hatinya, Allah sahaja yang tahu. Terus telefon bimbitnya dicapai. Nombor lelaki itu didail. Bila suara Kamil kedengaran, kemarahanpun terhambur, “Listen, kalau kau nak rujuk, rujuk dengan Syidah. Sebab dia emak anak kau. Aku tak nak jadi emak pada anak kau dengan dia, okey!”

“Anis…”

“Dah, jangan nak cakap lembut-lembut dengan aku. Aku tak akan terpikat. Lagi pun, nama kau dah aku padam sebab dulu kau buang aku, campak cinta aku, macam kau buang kain buruk. Ni, satu lagi aku nak pesan. Jangan guna emak bapak, tok nenek semua untuk berbaik dengan aku. Buang karan aje, tahu?”

Puas hatinya dapat menghambur kemarahan. Dia segera berpaling, nak masuk ke dalam bilik, ambil baju dan chao… lagi cepat dia beredar, lagi baik.

“Sampai hati kamu, Anis. Kasar betul bahasa kamu guna pada Kamil. Kenapa kamu berubah sampai macam ni? kenapa, Anis?” Puan Zahira sebak. Air mata sedih sudah mula menitis.

Anis merapati ibunya semula. Lancar lidahnya berkata, “Sebab, saya dah ada pengganti Ahmad Kamil, mak.”
……….

5

Dia sudah berada di hadapan kediaman Noraini, yang terletak di tingkat 17, Kondominium Sederhana Mewah di Seri Petaling. Fuh, lega! Dapat juga dia meloloskan diri biarpun emaknya naik angin tak tentu sebab.

“Kamu nak putuskan silaturrahim antara keluarga kita dengan keluarga Kamil? Kamu tahu tak apa hukumnya memutuskan hubungan sesama manusia?”

Tak sangka sampai ke situ ibunya memikir. Hendak sahaja dia bertanya siapa yang terlebih dahulu memutuskan hubungan? Namun mungkin mata semua orang sudah buta dan telinga sudah tuli untuk melihat dan mendengar kebenaran. Oleh kerana kalau cakap banyak-banyak pun tidak ada gunanya, dia keluar. Keluar membawa segala macam perasaan bersamanya.

Laju sahaja langkah diatur menuju ke bilik yang sudah Noraini isytiharkan sebagai biliknya. Sebenarnya, Noraini sudah lama mengajak dia tinggal bersama gadis itu, cuma dia yang selalu mengelak. Tapi, nampaknya, inilah peluang untuk dia tinggal berasingan daripada keluarga. Sudah tiba masanya!

Meskipun jam baru menunjukkan pukul sembilan setengah malam, Anis mengambil keputusan untuk tidur sahaja. Nanti, fikirnya, bila Noraini balik, pasti temannya itu akan mengejutkan dirinya dan bolehlah mereka berbual panjang. Sekarang, biarlah dia tenangkan fikirannya. Suasana rumah yang gelap tidak dipedulikan. Lebih baik begitu. Lebih mudah untuk dia lelapkan mata dalam kegelapan itu.

Noraini tiba di rumah dalam keadaan marah-marah. Mahunya tidak? Punyalah lama dia menunggu seseorang di KLIA, namun manusia itu tidak juga muncul-muncul. Setelah naik kematu kakinya berdiri menanti, dia akhirnya membuat keputusan untuk balik. Dia kasihankan Anis yang sudah hampir tiga jam menunggunya. Hisy, nantilah! Bila dia jumpa lelaki itu esok-esok, tahulah dia bagaimana hendak mengajarnya, desis hati.

Ketika memasuki ruang tamu, sepasang mata mengecil. Di satu sudut, ada dua buah beg besar dengan label KUL terletak. Di atas sofa pula, sebuah ‘overnight beg’ elok terletak.

Mulutnya ternganga. Hati berdetak. Dia orang berdua ada di sini? Makkk…..

Berlari Noraini ke arah bilik yang satu. Habislah! Habislah! Hati terus menerus menjerit.

Dan, ketika lampu terpasang, apa yang dirisaukan benar-benar menjadi kenyataan. Atas katil, elok sahaja dua orang makhluk sedang tidur dengan nyenyak. Seorang di sebelah kanan, seorang di kiri dan terpisah oleh bantal peluk di tengah-tengah. Aik? Rasa tak percaya tengok mereka yang sedang lena. Tapi, mana boleh dibiarkan, kan? Bukan muhrim tu!

Pada masa yang sama, mungkin kerana cahaya lampu mengganggunya, Anis tersedar. Dalam mamai, dia menggeliat. Noraini sudah panik bila melihat tangan Anis ‘landing’ atas muka lelaki itu. Dia melihat Anis membuka mata, terkejut dan melompat turun dari katil. Lelaki itu juga sudah terjaga. Juga terkejut dan terus duduk tegak atas katil.

“Nor? Apa ni? Siapa dia?” Anis yang panik, hampir menangis.

“Pukul berapa, Nor? Lama ke abang tertidur?” Lelaki itu bagai tidak mempedulikan keadaan sekeliling.

Noraini mencapai bantai peluk dan membaling ke muka lelaki itu. “Abang suruh Nor tunggu abang di airport, tapi abang dah sampai ke rumah. Pasal apa jadi macam tu?”

Mata lelaki itu masih terpejam. “Alah, kerja abang habis awal. So, malas nak tunggu lama, abang tukar flight. Sebab tu abang sampai awal.”

“Kenapa tak call Nor? Kenapa balik rumah? Kenapa tidur atas katil tu dengan… dengan… kawan Nor ni?”

Soalan Noraini menyebabkan mata yang tertutup, kini terbuka luas. Pandangan tajam tertuntas ke arah gadis yang berlindung di belakang Noraini sejak tadi. “Bila pulak abang tidur dengan dia? Masa abang masuk dalam rumah ni, tak silap pukul tujuh, abang terus tidur. Tak ingat dunia. Kalau ada yang menceroboh, dialah tu! Bukan abang!”

Anis tepuk dahi. Lelaki itu menang sebab memang kalau dah begitu keadaannya, dialah yang salah. Masa masuk tadi langsung tak buka lampu. Langsung menonong masuk bilik dan baring, tak ingat dunia juga. Aduh, kenapa hidupnya mesti penuh dengan adegan yang memalukan? Mengapa?

“Aku nak balik la, Nor. Aku malu ni. Mintak maaf ya, menyusahkan kau dengan… dengan…,”

“Anis, ini abang sulung aku, abang Is, Iskandar, yang selalu aku cerita pada kau tu. Dia baru balik dari London,”

Lelaki itu ketawa. Gigi yang tersusun cantik kelihatan.

Kalau selama ini Anis mengkagumi kecantikan Noraini, malam ini, dia kagum dengan ciptaan Tuhan yang pertama kali bertemu. Memang cukup sempurna ciptaanNYA.

“Kalau abang tahu, hadiah menarik sebegini yang abang dapat, dah lama abang balik Malaysia, tahu!”

Usikan lelaki itu semakin membuat Anis gelabah. Terus dia mengatur langkah untuk keluar dari rumah itu. Malunya, tak boleh nak luah lagi.

“Anis, tunggulah! Dah tengah malam ni. Toksah pergi mana-mana, bahaya! Kau dengan aku nanti, ya? Sori?”

“Cik adik, saya minta maaf, okey. Lupakan apa yang jadi tadi. Sebab kita sama-sama tak sedar, kan? Lagipun, bahaya kat luar tengah-tengah malam ni. Awak dengan Nor malam ni, ya. Sori sekali lagi sebab curi bilik awak ni,”

Tersentuh hati Anis. Lembut tutur kata dan keikhlasan meminta maaf meskipun kesalahan itu jelas adalah dirinya, buat dia kehilangan kata-kata. Hati terus beralun dengan satu lagu baru.

Hisy! Tak sedar diri betul minah janda ni, diri dimarahi!

Namun redup pandangan dan senyum yang terukir pada bibir Iskandar benar-benar menyebabkan jiwa Anis keresahan. Aww…

…………

6

“Awak, saya tak pernah buat macam ni pada keluarga saya. Saya tak pernah tipu dia orang. Saya takut,”

Lelaki yang sedang memandu kereta itu hanya tersenyum mendengar pengakuan tulus daripada Anis Syahira. Gadis, ops, janda muda yang seusia adiknya yang juga lima tahun lebih muda daripada dirinya ini, kelihatan gelisah di tempat duduk sebelah. Jari jemari kanan dan kiri diramas, digenggam dan diletupkan sesama sendiri. Bukankah itu perlakuan seorang yang sedang tidak yakin diri?

“Anis, abang ada. Anis jangan takut la. Selagi daya, abang bantu Anis hari ini. Percayalah,”

Anis angguk. Dalam hati, dia sendiri tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku dalam hidupnya kini. Tetiba sahaja, ada watak baharu, muncul dalam jalan ceritanya. Watak hero kedua yang juga menagih cintanya. Sanggup berebut dengan Kamil pulak tu!

“Mak nak jumpa buah hati kamu tu. Mak nak tengok apa istimewanya dia sampai kamu menolak Kamil. Bawak dia jumpa mak,”

Ketika dia memberitahu Noraini tentang kemahuan ibunya, Nor, tanpa teragak-agak terus menelefon Iskandar. Balik daripada pejabat hari tu, mereka balik ke kondominium.

Terkejut Anis bila mendapati lelaki itu sudah siap menyediakan hidangan makan malam untuk mereka. Baru dia tahu bahawa Iskandar sebenarnya ialah seorang ‘chef’. Dia kembali ke Malaysia setelah puas mengelilingi dunia luar, untuk bekerja di Hotel Impiana KLCC.

Dan, nampaknya, kali ini, bukan pakej luaran lelaki itu sahaja yang telah menggoda naluri wanitanya, malah keenakan nasi goreng kerabu yang dijamah itu juga memikat jiwa. Tapi, dalam hati semuanya disimpan kemas. Sebab, Anis sudah belajar daripada kesilapan silam. Sayang dan cinta kepada lelaki harus dipendam kemas di lubuk hati.

Rahsia dalam hati, tidak siapa boleh mengetahui!

“Tapi abang ada satu permintaan,”

Anis melihat raut wajah Iskandar. Lama.

“Anis kena tunjukkan rasa mesra sikit dengan abang. Kalau dok tergagap-gagap, kekok aje, memang kantoi la jawabnya. Sah, Anis kena kahwin dengan Kamil tu balik! Jadi, kalau betul Anis tak nak dia dan Anis dah pilih abang, Anis kena buktikannya.”

Kepala yang digeleng-geleng bersama jeritan halus, tamo, tamo.. menyebabkan Iskandar ketawa besar. Aduhai, sejak balik lebih dua minggu lalu, wanita ini sering berjaya buat dia gelak sakan. Buat dia gembira dan rasa bahagia. Tak sangka, dalam masa dua minggu, cinta boleh berputik dalam hatinya. Dan demi cinta ini, dia akan pastikan, sebentar lagi, Anis menjadi miliknya…. dengan izin Allah jua. Semoga, lelaki bernama Ahmad Kamil itu akan mengalah biarpun mendapat sokongan moral yang penuh dan padu daripada semua.

“Kenapa Kamil bercerai dengan Syidah, siapa ke nama madu Anis tu?” tanya Iskandar.

“Syidah, betul la tu! Entah, tapi, kata Syidah, Kamil tu banyak songeh sangat. Nak kongkong hidup Syidah. Semua Syidah kena ikut cakap dia. Syidah tak tahan la,”

“Anis, bila kita kahwin nanti, nak anak berapa orang?”

“Awak?” Muka Anis merah dah. Macam udang kena bakar. “Kenapa tanya?”

Iskandar ketawa. “Saja,” Kereta sudah sampai di hadapan rumah keluarga Anis. Nampaknya, mereka yang terakhir tiba. Di halaman, sudah ada ramai tetamu nampaknya.

“Wah, ini dah macam isytihar perang. Abang akan dilanyak dari semua sudut ni,” kata Iskandar.

“Ha ah la. Macam mana? Nak teruskan jugak? Kalau abang nak undur diri, sempat lagi ni,”

Iskandar geleng. “Abang tak akan mengalah selagi belum benar-benar tewas. Lagipun, Anis ada untuk bagi sokongan padu pada abang, kan?”

Anis mengangguk. Laju. Penuh perasaan.

“Yakin dengan abang. Biar abang buktikan cinta kita,”

Erk? Cinta kita? Macam tahu-tahu aje Iskandar tentang isi hatinya.

“Abang?”

Iskandar segera menoleh, menatap anak mata Anis.

“Tapi, pun… jangan lebih-lebih, ya!”

Mulanya Iskandar kerut dahi. Tak faham. Lepas tu, ketawanya lepas. Lama baru dia dapat mengangguk. Namun tawa itu masih bersisa.
……………..

“Dah berapa lama kenal Anis?”

“Dekat 3 minggu,”

“Iya? Kamil dengan Anis kawan sejak kecil lagi. Childhood sweetheart ni!”

Iskandar senyum. “Tapi, saya dah lama cintakan dia. Sebab adik saya, Noraini, selalu cerita tentang Anis sepanjang berhubung dengan saya masa kat luar negara dulu. Jadi, dalam diam, saya dah jatuh hati pada dia,”

Mata Anis bulat merenung wajah Iskandar seolah-olah bertanya, Betul ke? Kepala Iskandar terangguk-angguk.

“Anis nak buat pembetulan sikit, bang. Takut abang salah faham pulak. Anis dengan Kamil bukan childhood sweetheart. Kalau kami bercinta sejak lama, tentu dia kahwin dengan Anis dulu, kan? Tapi, dia kahwin dengan Syidah dulu. Itu bukti yang dia tak cintakan Anis sepenuh hati. Abang jangan risau, ya!”

Semua orang memandang wajah Anis dengan geram kecuali Iskandar. Iskandar yang tersenyum senang dengan pengakuan itu.
……………..

“Kamil ada anak. Anak tu perlukan seorang ibu. Anislah perempuan tu. Kau boleh cari orang lain, tapi Kamil? Siapa yang sudi kahwin dengan duda yang ada anak. Kesiankan dia?”

“Susah tu. Malang nasib anak Kamil nanti. Sebab Anis tak suka Kamil. Bila tak suka ayah, takut anaknya juga dia benci nanti,”

Anak comel itu diletak atas ribaan Iskandar. “Kau rasa, Anis sanggup ke nak ketepikan sicomel ni?”

Wah, main perasaan pulak dah. Emo ni!

“Macam ni la, semua. Apa kata, biar saya dengan Anis jadikan si comel ni anak angkat kami? Yalah, daripada main perasaan Anis macam ni, paksa secara halus, izinkan saya dengan Anis ambil dia, bela dia. InsyaAllah, kami akan sayang dia macam anak kami sendiri. Kan, Anis?”

Cepat-cepat Anis mengangguk. Sokong aje cakap Iskandar. Biar KO habis orang-orang yang sudah berpakat ni!
…………….

“Engkau ni, tak faham bahasa ke? Dia orang ni semua nak Anis kahwin dengan aku. Bukan dengan kau. Tanpa restu keluarga, hubungan korang takkan ke mana, tahu? Ni aku ni, yang mampu bahagiakan dia. Aku saja!” Kamil mendabik dada.

Anis panas telinga. Mulutnya sudah siap sedia hendak melontar kemarahan namun Iskandar dengan tenang menahannya.

“Allah dah bagi peluang sekali pada awak. Masa tu, cinta Anis penuh hanya untuk awak sorang, kan? Tapi, awak dah tolak dia, Kamil. Awak dah ceraikan dia. Saya tak tahu apa kisah di sebalik hubungan awak dulu tu, tapi, saya nampak luka yang Anis pendam dalam hati dia. Luka yang jadi benteng dan tembok pemisah sehingga cubaan demi cubaan awak untuk rebut hati dia semula, gagal tembus. Kan?”

Kamil telan liur. Tergugat dengan tembakan demi tembakan Iskandar yang mengena sasarannya.

“Awak ingat, senang ke untuk saya lepasi tembok yang Anis buat selepas awak bunuh cinta dia? Kalau awak sendiri pun, lelaki yang pernah dicintainya tak berjaya, bolehkah saya? Tapi, dengan kuasa Allah, dibukakan pintu hati Anis untuk terima saya,” Kali ini, pandangan Iskandar yang berkaca tertuntas kepada dua ibu bapa Anis yangsedang tunduk memasang telinga. “Pak cik, mak cik, saya datang tanpa syarat. Hanya dengan sekeping hati saya ni saja. Kalau hajat saya ditolak, saya reda. Cuma, saya nak semua orang beri Anis hak untuk tentukan hidup dia. Biar dia bahagia. Jangan paksa dia untuk memilih sebab dia bukan budak kecil lagi,”

“Dan, hak si kecil tu sebenarnya atas saya, abang Kamil. Saya ibu kandungnya, bukan Anis. Kalau kerana anak ini abang nak paksa si Anis ni balik pada abang, ni, saya serahkan surat kuasa mahkamah. Saya nak perjuangkan balik hak penjagaan saya yang abang rampas,”

Rasyidah berpaling menatap wajah Anis dengan sekuntum senyum penuh ikhlas kali ini.

“Dia ego. Lepas ceraikan kau, baru dia sedar yang dia buat salah. Tu yang jadi gila talak tu. Tengok aku pun nampak kau. Mana tahan? Aku mintak cerai la. Dah bercerai, dia rampas anak aku. Siap beritahu mahkamah yang aku ni isteri nusyuz. Semata-mata sebab nak paksa kau balik pada dia. Mujur kau kuat menolak dia, Anis. Lelaki macam Kamil ni, memang wajar diajar begitu. Biar dia hormat sikit perasaan kita sebagai wanita,”

Suasana hening bila Rasyidah pergi dengan anaknya. Kamil bagai anak ayam hilang ibu, termangu sendiri. Anis sudah lemas dengan keadaan ini. Lantas dia mengajak Iskandar meninggalkan rumah itu.

“Anis, kamu nak ke mana?” tanya puan Zahira perlahan.

Anis mengeluarkan sesuatu daripada tas tangannya. Sekeping kad. Kad itu dihulurkan kepada ibunya. “Kami nak kahwin esok, mak. Kalau mak sudi, datanglah,”

“Anis…”

Suara Kamil sayu memanggil namanya. Tidak dia peduli. Langkahnya laju membontoti Iskandar. Dia takut untuk menoleh.

“Anis, jangan tinggal aku, Nis. Aku sayang kau!”

Anis segera masuk ke dalam kereta yang pintunya sudah siap dibuka oleh Iskandar. Sebaik pintu itu tutup, terus dikuncinya. bila Iskandar masuk saja, dia suruh Iskandar memecut.

“Cepatlah, bang. Anis takut dengan orang gila talak tu. Seram ni!”

Iskandar ketawa. “Patutnya Anis suka, tahu. Maklumlah, cinta Anis dah berbalas sekarang,” usiknya.

“Anis nak balas cinta abang. cinta dia? Boleh blah!”

Iskandar menggelengkan kepala. “Jangan takbur, cik adik. Tak nampak apa jadi pada orang yang sombong tu? Kalau Allah nak terbalikkan hati??”

Anis kalut. Terus saja beristighfar, minta ampun pada Tuhan kerana kelancangan mulutnya tadi. Sungguh, dia tak mahu pada Kamil lagi tapi, benar kata Iskandar, jangan takbur dengan Allah kerana Dia boleh membolak balikkan hati. Bukankah dia Pemilik Sebenar Hati semua insan, semua makhluk?

“Allah sentiasa menguji kita, Anis. Kita aje yang tak sedar dan lalai. Diuji dengan kesusahan, insyaAllah, ramai yang dapat bertahan. Diuji dengan harta yang banyak… menakutkan jika kita bakhil. Diuji dengan kata-kata…. sehingga kita teringin menjadi bisu. Tapi angkuh dan kesombongan, memang langsung dibenci NYA. Janganlah hendaknya kita tergolong dalam kalangan mereka. Azabnya pedih, Anis. Sakit!”

Sesungguhnya, kata-kata yang lahir dari lidah tidak bertulang itu ujian untuk kita. Fahamilah….




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

50 ulasan untuk “Cerpen : Kisah Cinta”
  1. full house says:

    auch ! saya suka … lain dari yg lain … thumb up

  2. azie says:

    aloha!!!!
    bez bez bez bez bez…
    keep it up writer..
    hakuna matata~

  3. afiqah izzati says:

    Bestnya… Cerita ini spatutnya jadi pengajaran kepada smua lelaki… Teruskan perjuangan anda…

  4. master mind says:

    cewahhh…
    cite bagus utk jadikn pengajaran wat sume orang
    to the writer..
    superb!!!
    bagus dan boleh diperbaiki jalan citerrr

  5. Kekurex says:

    citernya bagus.. berlainan dr citer lain yg hanya jalan citernya cinta kahwin…teruskan lg usaha.. mungkin cerita ini boleh teruskan lg.. ending seolah-olah tergantung ja

  6. bRaineater says:

    aww..

  7. yunix77 says:

    Byk iktibar dr cerita ni. Cuba nak jd baik tp nk juga cakp ” pada muka kau Kamil”. Hihi.

  8. Harryfeles says:

    Menarik sekali..teruskan usaha…

  9. wan noor says:

    menrik…teruskan usaha anda:)

  10. eyzhaliesha says:

    best…novel-novel kak ana pun best..beli dan berbaloi baca..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"