Novel : Dan Sebenarnya…cinta 1

2 April 2012  
Kategori: Novel

2,865 bacaan 8 ulasan

Oleh : Syafa’ Ikhwan

Prolog

SUFRINA memberhentikan basikalnya di hadapan sebuah rumah banglo dua tingkat bercat kuning cair itu. Matanya meliar, menjamah setiap penjuru rumah tersebut. Sufrina masuk ke halaman rumah melalui pagar kecil yang berada di sebelah kanan pagar utama rumah tersebut. Kebiasaannya pintu pagar itu berkunci tetapi tidak pula kali ini.

“Assalamualaikum. Kak, Suf ni,” panggilnya dengan nada suara yang lebih kuat dari biasa. Sufrina berasa hairan kerana panggilannya tidak bersahut. Mustahil kakaknya itu tiada di rumah. Sazrina jarang keluar dari rumah kecuali membeli barang mentah di kedai runcit berhampiran demi melengkapkan dapurnya. Meskipun kereta Mercedes milik abang iparnya, Firdaus tiada di tempat meletak kereta, tetapi baginya itu sudah perkara biasa. Abang Firdaus selalu saja tiada di rumah dan begitulah setiap kali dia datang menjenguk Kak Sazrina.

“Kak, Kak Sazrina!” pekik Sufrina yang cuba memanggil kakaknya itu berulang kali.
Dia menghampiri jendela cermin rumah tersebut. Dia menutup-nutup pantulan cahaya matahari yang menyilaukan cermin tersebut dengan kedua-dua telapak tangannya. Tiba-tiba Nur Sufrina ternampak ada bayangan hitam seseorang yang sedang mengesotkan punggungnya ke pintu rumah.

“Kakak! Kakak!” jerit Nur Sufrina lalu bergegas ke pintu yang tidak berkunci. Tanpa berfikir panjang, Sufrina masuk ke dalamnya.

“Aaa… adik… tolong…” rayu Sazrina yang sedang sarat dengan kandungan yang sudah hampir lapan bulan.
Sazrina merangkak perlahan-lahan di atas lantai dengan tubuhnya yang berlumuran darah. Darah ada di mana-mana saja. Sufrina terkedu. Kandungan berusia lapan bulan itu kelihatan sarat pada perutnya. Sufrina berlari ke arahnya dan meletakkan kepala kakaknya itu ke atas pahanya. Semuanya penuh dengan darah dan melekat pada tubuhnya juga. Dia bimbang dengan keadaan kakaknya itu.

“Kakak, kenapa jadi macam ni? Apa Abang Firdaus dah buat?!”
Sufrina menangis teresak-esak melihat keadaan kakak sulungnya yang sedang terketar-ketar, menahan kesakitan yang ditanggungnya. Dia pasti abang iparnya itu telah mengganas dan menyeksa kakaknya, lalu pergi meninggalkannya begitu saja tanpa belas kasihan.

“Suf telefon abang!” tegas Sufrina lalu mengambil telefon bimbitnya untuk menghubungi abangnya, Safwan. Kalau Safwan dapat dihubungi, pasti abangnya itu akan terus datang dan membawa kakaknya ke hospital.

“Abang… abang kena datang sini! Kak Rina kena belasah…” Di sebalik ketegasannya itu, sayu terdengar suara Sufrina dari corong telefon Safwan.
Tanpa berlengah, Safwan terus mengambil kunci keretanya dan memecut ke taman perumahan milik Firdaus. Firdaus memang melampau! Kalau apa-apa terjadi pada kakaknya, dialah yang harus bertanggungjawab, makinya yang sedang geram. Dia terpaksa pergi ke sana tanpa memaklumkan kepada emak dan isterinya, Zulaika. Emaknya pasti cemas dan lebih teruk lagi, kelak dia akan pengsan sebaik saja mendengar berita buruk tentang keadaan anaknya itu.

“Suf, akak rasa, akak tak dapat nak jaga anak ni.”
Ucapan Sazrina bagaikan satu ketentuan daripada Allah yang sudah dapat dirasakannya. Kesakitan yang dialaminya tidak dapat ditanggung lagi. Air ketuban sudah pecah. Dia bakal melahirkan pada bila-bila masa. Anaknya akan keluar juga meskipun cuba ditahan.

“Kakak, janganlah cakap macam ni. Suf sayangkan akak. Anak akak juga nak tengok akak. Suf pasti, Suf jamin. Insya-Allah, kakak akan selamat. Sabarlah, kak…” pinta Sufrina.
Air matanya terus menitis membasahi leher dan bajunya. Wajah tenang dan manis yang selalu terpamer pada wajah kakaknya itu, kini sudah berubah. Insan yang selalu ketawa dan sentiasa memberi semangat kepadanya itu, kini terkulai layu tanpa tenaga. Matanya yang bulat dan cantik itu, kini sembap dek tak henti menangis. Tendangan dan tamparan Firdaus telah menyakitkan tubuhnya dan menyebabkan dia terasa lemah tak berdaya. Mulutnya tak henti-henti beristighfar dan bermohon perlindungan daripada Allah.

“Suf, kakak reda. Cuma, satu janji dengan kakak… Tolong, janji dengan akak.” Permintaan Sazrina lambat dibalas dengan anggukan kepala.

“Kalau… kalau apa-apa jadi kat akak, tolong akak jaga anak ni. Lindungi dia macam anak Suf sendiri. Kakak merayu. Jangan benarkan Firdaus ambil anak ni! Jangan benarkan! Janji dengan kakak. Ya, Suf?” Sufrina terkejut menerima permintaan daripada kakaknya itu. Sufrina terdiam bersama sedu-sedannya. Hingus yang hampir meleleh segera disapu dengan lengan bajunya.

“Tolonglah janji dengan akak, Suf. Janji, jaga anak akak,” pinta Sazrina sekali lagi. Tangan yang memegang tangan Sufrina terasa digenggam erat. Sufrina masih diam, tiada jawapan.

“Kalau Suf janji, kakak akan semakin lemah. Kakak akan pergi tinggalkan kami. Suf tak mahu! Suf nak kakak jaga sama-sama. Dia perlukan emaknya! Kakak yang paling layak!” Sufrina cuba memberi semangat kepada Sazrina agar tidak berputus asa dan terus bertahan. Sazrina memejamkan matanya. Sufrina gelisah.

“Tolonglah, Suf. Janji dengan kakak, ” rayu Sazrina yang masih setia menitiskan air matanya. Terasa sejuk saja pahanya disirami air mata.

“Suf… Suf janji kak,” janji Nur Sufrina.
Genggaman tangan kakaknya semakin lemah. Terbeliak mata Nur Sufrina lalu digoyangkan perlahan kepala kakaknya itu. Sekejap matanya terbuka, sekejap tertutup. Nafasnya semakin lemah dan lambat. Nur Sufrina tak henti-henti merengek, merayu agar kakaknya terus bertahan. Bertahan sehingga abangnya tiba.

“Suf!” jerit seorang lelaki yang sedang berlari ke arah mereka. Sufrina menjerit memanggil nama abangnya. Rengekkan dan esak tangisnya semakin kuat.

“Kak Rina! Kak Rina!” panggil Safwan yang sudah dibasahi dengan air peluh. Kejamnya kakakku dilakukan sebegini!
Safwan mencempung kakaknya yang terkulai dan sarat mengandung itu. Darah mengekori langkah mereka sehingga ke kereta. Sufrina menapak lemah mengikut abangnya dari belakang. Kereta Proton Wira itu melucut laju ke arah bandar.

——————————-

Bab 1

“IBU…”

“Hmmm…”

“Ibu…”

“Hmmm… Apa dia sayang? Ibu nak tidurlah…”

“Tapi… Ibu bangun.”

“Nantilah…”

“Ibu tak ada kelas?”

“Ada… Pukul sembilan. Lama lagilah.”

“Tapi jarum pendek dah pukul sembilan dah.”
Mendengar kata-kata anaknya itu, Sufrina memaksa matanya agar segera celik. Dia memandang jam yang tergantung di dinding biliknya. Sufrina terduduk. Benar kata Syafiqah. Dia juga yang mengajar kanak-kanak itu untuk mengenal waktu jam melalui jarum pendek. Memang sudah pukul sembilan! Dan dia terlewat ke kuliah.

“Sayang! Ibu dah terlambat!” jerit Sufrina lalu kelam-kabut mengambil tuala yang tersangkut di penjuru katilnya. Dia masuk ke dalam bilik air dengan segera. Belum seminit, dia membuka pintu bilik airnya semula.

“Fiqah dah mandi belum?” tanya Sufrina yang mulutnya penuh dengan buih ubat gigi jenama Safi. Kanak-kanak berumur lima tahun yang sedang duduk di atas katil itu menggelengkan kepalanya. Sufrina memanggilnya dan mereka mandi bersama.

“Firda…” Sufrina menyikat rambut Syafiqah yang ikal mayang itu. Dengan segera dia menghubungi kawan baiknya untuk mendapatkan pertolongan. Bantuan kecemasan!

“Kau datang tak? His, petang ni kan kau ada presentation. Jangan main-main, Suf,” pinta Firda yang berleter dengan sikap kawannya itu.
Ini merupakan kali kedua dalam semester akhir mereka, Sufrina meminta Firda menuliskan nama untuk kedatangannya. Firda yang memahami keadaan Sufrina, terpaksa membantunya meskipun perbuatan itu salah. Kalau tertangkap, parahlah!

“Petang ni aku datang. Tapi, kuliah pagi ni tak dapatlah. Aku belum hantar Fiqah pergi rumah emak aku ni,” jelas Sufrina yang sedang menuangkan air susu di dalam gelas Syafiqah. Dia mengambil dua keping roti dan meletakkan jem strawberi di antaranya.

“Yalah, aku kan kawan baik kau. Kalau tak aku, sapa yang nak tolong, kan?” kata Firda yang kasihan dengan keadaan kawannya itu.
Kasihan dia melihat keadaan kawan serumahnya itu. Nur Sufrina terpaksa membahagikan masa antara pelajaran dengan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Pada mulanya, Sufrina asyik berahsia tentang kehadiran Syafiqah yang tinggal bersama mereka. Setelah dipujuk oleh Firda, barulah rahsia terbongkar dan dia mendapat tahu bahawa kanak-kanak perempuan itu merupakan anak saudaranya yang dipertanggungjawabkan oleh arwah kakaknya, Nur Sazrina.
Sufrina dan Syafiqah duduk di dalam KTM yang menuju ke arah Bangi. Mujurlah rumah abangnya, Safwan di Kampung Bangi, berhampiran dengan Stesen Komuter. Kalau tidak, pasti dia lebih berkejar-kejar terutamanya jika lewat sebegini. Bukan tak mampu untuk menghantar anaknya itu ke pusat jagaan kanak-kanak yang berdekatan dengan rumah sewanya, tapi hatinya rasa tak senang. Memikirkan tentang banyak berita di televisyen, surat khabar, dan Internet tentang kekejaman pengasuh terhadap anak-anak yang dijaganya itu, membuatkan dia rasa lebih selamat jika neneknya yang menjaga cucunya sendiri. Biarlah jauh sekalipun, tapi sekurang-kurangnya dia rasa tenang meninggalkan anaknya itu sementara menguruskan pengajiannya di Universiti Malaya.

“Dah terlambat ke kelaslah, ni?” teka emaknya tatkala melihat anaknya itu kelam-kabut semacam saja. Puan Faridah menyambut cucunya dengan senyuman dan Syafiqah mencium tangan neneknya. Syafiq yang sedang bersarapan berlari ke arah Syafiqah yang memang sudah lama dinantikannya. Ada mainan baru yang hendak ditunjukkan kepada Syafiqah. Mainan kereta dengan alat kawalan jauh pemberian Safwan, pasti membuatkan Syafiqah gembira. Sebuah untuknya, sebuah lagi untuk Syafiqah.

“Haah. Tak apalah, dah minta Firda tuliskan nama untuk kuliah. Terpaksalah susahkan dia,” jawab Sufrina lalu mencangkung agar sama tinggi dengan anaknya.

“Sayang, ibu pergi kelas dulu, ya. Jaga diri. Jangan main aje, hafalkan A sampai Z. Nanti ibu balik, mesti dah hafal, tau. Kalau betul, ibu kasi hadiah. Hmmm, ibu belikan puzzle gambar Cinderella. Fiqah sukakan?” ujar Sufrina. Syafiqah menganggukkan kepalanya. Dia tersenyum.

“Baik ibu… Ibu hati-hati… Fiqah tunggu ibu balik,” janji Syafiqah.
Tersentuh hati Sufrina apabila mendengar suara anak perempuannya itu membuat janji. Mungkin inilah perasaan yang sukar digambarkan oleh setiap wanita bergelar ibu. Tambahan pula, sejak kecil Syafiqah selalu menyejukkan hatinya. Kanak-kanak inilah temannya bercerita dan bergurau senda. Dia hampir terlupa pada hakikat hidup bahawa Syafiqah bukan keluar dari rahim perutnya.

“Bye sayang…” ucap Sufrina, sebelum meninggalkan Syafiqah di rumah abangnya, Safwan.

“Kesian emak tengok Suf. Hidup dia terkejar-kejar. Nak belajarlah, nak jaga Fiqah pula. Lagi nak tulis apa tu? Ala, nobel? Hah, novel! Kesian mak tengok dia,” adu Puan Faridah kepada menantunya, Zulaika.
Zulaika tersenyum. Emak mertuanya itu memang nampak lucu apabila menyebut perkataan ‘novel’. Isi kandungannya juga tidak pernah diketahuinya. Zulaika duduk di hadapan Puan Faridah yang turut sama bersarapan. Hakikatnya dia juga berperasaan sebegitu. Mungkin tak akan ada orang yang lebih faham keadaan Sufrina melainkan mereka sekeluarga.

“Tapi susah payah dia pun, keputusan periksa dia bagus, emak. Dah tiga kali dapat anugerah dekan. Suf tahu bahagikan masa. Mak janganlah risau,” sangkal Zulaika, cuba menghilangkan kebimbangan emak mertuanya itu.

“Entahlah, umur dah dua puluh tiga, dah nak habis belajar, tapi mak tengok macam tak nak kahwin aje…”

“Eh, ke situ pula mak ni! Takkanlah dia tak nak kahwin? Dia masih belajar lagi, mak. Tunggulah dulu. Takkan dah tak sabar nak bermenantu ni?”
Gurauan Zulaika membuatkan emak tergelak juga. Semenjak tinggal bersama Zulaika dan Safwan, dia cukup rasa selesa dengan layanan mereka. Tak sia-sia Puan Faridah menjodohkan Safwan dengan anak saudaranya sendiri. Zulaika memang pandai menguruskan rumah tangga dan sabar juga melayannya.

“Rohaizat tu dah lama tunggu dia. Dari tahun satu, dia orang rapat. Tapi macam tak ada perkembangan aje. Suf jual mahal sangat. Rohaizat tu baik. Mak takut dikebas orang aje,” rungut emaknya tentang hubungan Sufrina dan Rohaizat, kawan sekuliahnya.
Rohaizat, kawan lelaki Sufrina yang sudah kenal rapat dengan keluarga mereka. Kebetulan, lelaki sebaya Sufrina itu tinggal selang tiga taman perumahan dari taman perumahan mereka. Tapi mengikut pandangan mereka, Rohaizat saja yang bersungguh-sungguh, sedangkan Sufrina melayannya dengan sikap tak acuh.

“Emak, kalau dia betul-betul sayangkan Sufrina, dia akan sabar. Mungkin Suf belum jumpa apa yang dicarinya. Mak janganlah berharap sangat bermenantukan Rohaizat. Entah-entah Suf anggap dia kawan aje,” balas Zulaika lalu mendekati Syafiqah dan Syafiq yang sedang seronok bermain lari-lari di halaman rumah. Sikap mereka yang diam apabila mendapat barang permainan itu, sesuai sangat dengan nama mereka yang seakan-akan sama. Zulaika menamakan anaknya Mohd Syafiq pun sempena nama anak arwah kakak iparnya itu, Nur Syafiqah.

“His, tak fahamlah dengan anak aku yang sorang ni. Kalaulah Rina ada, mesti dia dengar cakap kakak dia.” Tiba-tiba terpacul nama anak perempuannya itu dari mulutnya. Meskipun peristiwa itu telah lima tahun berlalu, Puan Faridah dan keluarganya masih terasa rindu. Titipan kanak-kanak manis yang ditinggalkan oleh Sazrina itulah mengubat kerinduan mereka kepadanya.

“DAH tuliskan nama aku untuk kuliah pagi tadi?” tanya Sufrina, nafasnya masih termengah-mengah.
Sebaik saja sampai ke dalam dewan kuliah, Sufrina terus duduk di sebelah kawan baiknya itu. Hampir terjerit juga Firda dibuatnya, tetapi mujur dia sempat menahan latahnya.

“Terkejut aku! Dah, Aizat yang tuliskan. Kau kena terima kasih kat dia,” jawabnya.
Firda kembali khusyuk mendengar pensyarahnya yang sedang mengajar di hadapan dewan kuliah. Kepala Rashdan pula sudah terlentuk ke belakang kerusi. Nyenyak pula lelaki itu tidur sedangkan ada pensyarah yang sedang mengajar. Mentang-mentanglah Dr. Zain tak segarang dan setegas Prof. Amri. Kalau di kuliah Prof. Amri, jangankan hendak tidur, batuk pun cuba ditahan-tahan oleh pelajar-pelajarnya.

“Aizat tuliskan? Ala, kenapa kau suruh dia?” bising Sufrina. Firda mengerutkan dahinya sambil memandang muncung panjang milik kawannya itu. Sfurina segera mengeluarkan nota dari mulut beg sandangnya.

“Sejak pukul lapan pagi, dia asyik tanya aku, kau mana? Aku bagitaulah kau tak dapat datang. Lepas tu, dia yang tawarkan diri nak tuliskan attendance. Aku okey ajelah. Kau ni, aku atau Aizat tulis kedatangan kau, kan sama aje?” balas Firda yang kusut dengan hubungan kawannya itu.
Sufrina seperti main tarik tali dengan perasaan Rohaizat. Sedangkan, lelaki itu sangat baik dan jujur orangnya. Dia berterus terang kepada Sufrina termasuklah Firda dan Rashdan tentang perasaan sebenarnya terhadap Sufrina. Tapi lafaz sayang yang diucapkannya ketika berada di tahun pertama semester dua lalu itu, hanya dibalas diam oleh Sufrina. Jawapan yang masih tergantung dan tidak ada muktamadnya.

“Mestilah beza. Kalau dia, aku kena ucap terima kasih,” jawab Sufrina lalu mengeluarkan notanya.

“His, dengan aku, takkan tak ucap juga?” tanya Firda yang memang suka banyak soal.

“Dengan kau lain. Dengan dia, rasa gementar.”
Seloroh Sufrina itu membuatkan Firda ketawa. Gelakannya didengar jelas oleh kawan-kawan sekuliahnya. Dr. Zain terdiam.

“Amboi, macam tengok cerita kelakar pula, ya?” sindir Dr Zain. Muka mereka jadi merah.
Firda menyenggol lengan teman lelakinya. Rashdan tersedar dari tidurnya. Dia tak mahu pandangan Dr. Zain akan beralih ke arah Rashdan yang sedang nyenyak tidur. Dr. Zain menyambung penerangannya berkenaan teknologi orang Melayu. Sufrina memandang wajah Rohaizat yang sudah menyedari kehadirannya di dalam kuliah tersebut. Dia membalas senyuman lelaki itu. Rohaizat memang pelajar yang rajin. Dia duduk paling depan, sedangkan Sufrina lebih selesa memilih barisan tempat duduk yang tengah-tengah.
Tamat sudah kuliah. Sufrina masih duduk, menanti Rohaizat menaiki tangga dewan kuliah dan menegurnya. Begitulah kebiasaannya. Rohaizat pasti akan menegurnya selepas kuliahnya tamat, manakala Sufrina akan menjadi antara pelajar yang terakhir bangun dari kerusi.

“Terima kasih,” ucap Sufrina. Firda sudah berjalan di depan, berleter kepada Rashdan yang sering tertidur di dalam kuliah.

“Ala, seminggu lagi aje pertandingan Festival Seni. Saya kenalah bersekang mata nak training.” Firda naik geram mendengar alasan Rashdan setiap kali dia tidur di dalam kelas.

“His, kalau kalah teruk pertandingan nanti, saya tak tahulah nak cakap apa! Teruk sangat saya tengok awak ni, bersungguh-sungguh berlatih menyanyi sampai pelajaran pun awak abaikan,” balas Firda sebaik saja mendengar alasan kekasihnya itu. Firdaus hanya diam sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Malas hendak berdebat dengan Firda tentang kesalahannya sendiri. Tak fasal-fasal, dia juga yang terkena balik!

“Untuk apa, Suf?” tanya Aizat yang kehairanan menerima ucapan terima kasih itu.

“Hmmm, sebab tolong tuliskan nama saya untuk kedatangan kuliah. Saya segan pula,” jawab Sufrina yang berkulit sawo matang dengan senyuman yang manis.

“Sama-sama. Dah memang itu tugas saya,” gurau Rohaizat. Sufrina tersenyum malu.

“Kena belanja saya, sebagai balasan,” pinta Rohaizat. Sufrina menjelirkan lidahnya.

“Aik, ingatkan membantu dengan ikhlas? Rupa-rupanya nak balasan?” keluh Sufrina. Rohaizat tersengih.

“Bukan balasan, tapi merebut peluang,” jawab Aizat yang turut berebut-rebut masuk ke dalam lif.

“Peluang?” tanya Sufrina hairan.

“Peluang dapat makan tengah hari dengan awaklah.” Jawapan Rohaizat tidak dibalas oleh Sufrina. Ruang di dalam lif itu tidak sesuai untuk membalas gurauan Aizat. Nanti ada pula yang tersalah dengar.
Selepas makan tengah hari bersama-sama Rohaizat, Firda, dan Rashdan, mereka berpisah. Firda dan Rashdan hendak pergi ke Mid Valley sementara menunggu kuliah pada pukul tiga petang. Manakala Sufrina hendak membuat persediaan untuk pembentangannya dalam kelas tutorialnya pada petang ini. Keputusan pembentangan akan mempengaruhi keputusan keseluruhannya kelak. Jadi, dia harus melakukan yang terbaik.

“Hai, pelajar yang selalu membentang dengan baik pun, nervous?” perli Rohaizat sebelum dia berangkat pulang.

“His, saya pun macam awak dan orang lain, kena buat persediaan! Doakan saya, ya,” pinta Sufrina yang sempat mengiringi lelaki yang lebih tinggi daripada itu menuju ke tempat meletak kenderaan. Rohaizat tersengih.

“Macam nak masuk dewan peperiksaan pula, awak ni, Suf. Ya, saya doakan awak berjaya. Saya juga doakan, moga Allah bukakan pintu hati awak,” sempat Rohaizat mengambil peluang untuk menyentuh soal perasaannya.
Nur Sufrina pura-pura tidak mengerti, dia memandang ke kiri dan ke kanan. Tak sanggup rasanya hendak memandang tepat ke arah lelaki yang berdiri di sebelahnya itu. Tak sanggup melihat wajah yang penuh mengharap.

“Suf, dah lebih setahun saya tunggu jawapan awak. Takkan awak tak boleh beri keputusan yang muktamad? Awak tak sukakan saya, ke?”
Pertanyaan Rohaizat itu membuatkan senyumannya mati. Dia memandang wajah Rohaizat yang penuh mengharap. Wajah itulah yang membuatkannya selalu rasa bersalah. Jawapannya jadi tak jelas, sedangkan dia hanya tak mahu mengguris perasaan lelaki itu.

“Aizat, saya sayangkan awak. Tapi setakat ni perasaan saya kat awak, sama macam dulu. Saya anggap awak kawan yang sangat rapat dengan saya. Lagipun, saya belum bersedia untuk fikirkan calon ayah kepada Syafiqah,” jawab Sufrina. Jawapan itu masih sama seperti dulu. Aizat menghembus nafasnya dengan kuat, tanda keluhan yang sangat membebankan.

“Suf, pasal Fiqah, saya dah terima dia dalam hidup saya. Saya sukakan dia dan dia pun suka dengan saya,” balas Aizat. Sufrina hanya diam.

“Kenapa awak masih tak percayakan saya, Suf? Saya ikhlas sayangkan awak. Dan saya sayangkan dia bukan sebab nak pikat hati awak saja. Saya sayangkan dia sebab saya sukakan dia. Meskipun saya dengan awak tak ada jodoh, saya tetap akan sayangkan dia.”
Sufrina memandang wajah lelaki berkulit putih itu. Direnungnya lama-lama. Lelaki ini telah banyak membantunya. Semenjak dia tahu tentang hubungan Nur Sufrina dengan Nur Syafiqah, dia menerimanya dengan baik. Tapi, entah kenapa, hatinya tak pernah mengatakan bahawa dia turut cintakan Rohaizat? Bukan tak dipujuk hatinya, tapi Rohaizat tetap bukan lelaki yang dicari dalam hidupnya. Dia dah berusaha, tetapi gagal!

“MAAFKAN saya, Rohaizat. Awak baik terhadap saya dan saya rasa bersalah kerana mengecewakan awak. Dah banyak kali saya kata, kalau awak tak dapat tunggu saya, pergilah cari gadis yang lebih baik,” bisik Sufrina sendirian sepanjang perjalanan Komuter dari KL Sentral ke Bangi. Tak sabar rasanya hendak berjumpa dengan Syafiqah. Tetapi perjalanan yang mengambil masa hampir setengah jam itu menyebabkan dia termenung dan mengelamun.

“Suf, saya sayangkan awak,” masih teringat kata-kata yang jujur itu keluar dari mulut Rohaizat. Ketika itu, sudah satu semester mereka berkawan rapat. Pertembungan mereka di dalam perpustakaan membibitkan perasaan cinta dalam hati Rohaizat. Pada pandangan matanya, Nur Sufrina seorang yang lucu dan menarik. Gadis itu sentiasa membuatkan perasaannya berbunga-bunga setiap kali bersama. Selepas itu, takdir Allah menemukan mereka sekali lagi dan berulang-ulang kali lagi. Rupa-rupanya mereka belajar di akademi yang sama. Rohaizat menjadi sebahagian dari hidupnya. Sama seperti Firda dan Rashdan. Tetapi, dia tak menyangka layanan baik dari keluarga Sufrina terhadap Rohaizat, membuatkan lelaki itu bertambah rasa selesa dan sayang kepadanya.

“Aizat, saya pun sayangkan awak. Tapi sebagai kawan baik.”
Walaupun dia tahu jawapan itu sangat kejam, namun dia tak mahu memberi harapan kepada Rohaizat. Mendengar jawapan itu, lelaki itu rasa tersentak. Dia sangkakan lafaz cinta itulah yang paling dinantikan oleh gadis berwajah manis itu. Tapi rupa-rupanya, Sufrina menolak!

“Tapi kenapa? Dah dua tahun, Suf. Saya ingatkan itu permulaan untuk kita saling kenal mengenali sebelum declare,” Rohaizat masih tak percaya dengan jawapan Sufrina. Apa sebenarnya yang menyekat perasaan sebenar Nur Sufrina terhadapnya? Dia tidak percaya, seakan-akan mustahil bagi seorang gadis tidak jatuh hati pada seorang jejaka yang selalu berada di sampingnya.

“Masih ada tanggungjawab yang harus saya selesaikan,” jawab Sufrina yang pada mulanya cuba memberi alasan berkenaan Nur Syafiqah.

“Pasal Syafiqah ke? Fiqah dengan saya, dah rapat. Rasa-rasanya dia bukan alasan yang tepat untuk tolak cinta saya,” balas Rohaizat.

“Saya belum bersedialah, Aizat. Fahamlah saya. Saya belum fikirkan tentang soal itu. Tanggungjawab saya masih banyak. Saya perlu belajar, perlu jaga Syafiqah, perlu fokus kepada bidang penulisan. Kerja-kerja saya terlalu banyak. Dan saya tak ada masa untuk fikirkan tentang cinta. Saya belum bersedia.”
Sufrina menjawabnya dengan terus terang. Dia rasa Rohaizat memang perlu jelas dengan keputusannya itu. Dia terdiam. Gadis bertubuh sederhana itu merupakan pendebat terkenal di sekolah menengah dahulu, pastilah dia akan kalah.

“Kalau macam tu, saya akan tunggu. Sampai awak bersedia terima saya,” ikrar Rohaizat.

“Saya takut awak tak dapat bertahan.”

“Saya akan tunggu awak sampai awak terima saya, Suf. Saya tak kisah.”

“Kalau itulah keputusan awak. Tapi setakat ini, keputusan saya tetap sama. Maafkan saya… Kalau awak boleh bertahan, awak tunggulah. Tapi saya tak pernah berikan apa-apa janji tentang itu.” Mendengar permintaan Sufrina, Rohaizat cuba tersenyum. Memang dia rasa kecewa dan kecil hati dengan jawapan Sufrina. Tapi apalah kudratnya untuk memaksa gadis itu agar menerimanya?

“Maafkan saya, Rohaizat. Dah dua tahun, tapi awak masih setia tunggu saya. Dan, jawapan saya tetap sama. Saya tak nak kusutkan fikiran saya sebab awak. Ada perkara yang lebih penting dari itu. Saya perlu melindungi Syafiqah. Fiqah amanat yang harus saya jaga. Selagi Firdaus masih hidup dan tahu tentang anaknya, tak mustahil kalau satu hari nanti dia datang mencari Fiqah. Dan saya takkan benarkan itu berlaku,” ucap Sufrina sendirian.

Perjalanan menaiki KTM setiap hari itu selalu menjadi peluang kepadanya untuk mengimbau kenangan lama.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

8 ulasan untuk “Novel : Dan Sebenarnya…cinta 1”
  1. zareen says:

    best cite niee…baru baca bab satu dah nampak lain cikit…bab 1 dah ade pembunuhan..x sbr nak baca bab seterusnya…
    teruskan usaha syafa’ ikhwan:)

  2. sofea azleen says:

    btol2 zareen… citer ni lain skit… permulaannya lain sangat.. harap bab seterusnya lebih menarik… =)

  3. admin says:

    Selamat membaca dan semoga terhibur

  4. ana says:

    ada blog x

  5. linda says:

    pmulaan yg sedih. ehmmm tk sbr nak tggu smbungan. gud job writer!:)

  6. ieka@88 says:

    best best!!! aizat ke heronya??? cute jek Fiqah tu.

  7. syafa' says:

    thanks…selamat membaca.(^_^)
    maaf,tak ada blog la…

  8. sara aleya says:

    hisy2,dasyt sungguh firdaus belasah isteri dia.cian gak kat rohaizat,cntik sgt sufrina 2 ke?huhuhu..cari ar pempuan len.p’mulaan yg ok la gak.well done syafa’ ikhwan!

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"