Novel : Dan Sebenarnya…cinta 2,3

10 April 2012  
Kategori: Novel

3,937 bacaan 3 ulasan

Oleh : Syafa’ Ikhwan

Bab 2

SELEPAS kuliah tamat, Sufrina bercadang hendak singgah ke Kedai Buku Santai di Jalan Bangsar. Dia menaiki bas saja. Bukan Sufrina tidak ada lesen kereta dan motosikal, tetapi dia memang suka menaiki kenderaan awam. Baginya, dia dapat menjimatkan duit minyak petrol dan berpeluang melihat ragam orang di sekelilingnya.

Sufrina masuk ke dalam kedai buku tersebut. Rancangannya, dia hendak melihat sambutan novel pertamanya yang sudah tiga bulan berada di pasaran. Dia sangat gembira apabila manuskrip yang lebih dua tahun disimpannya itu, akhirnya dapat diserahkan kepada Syarikat Penerbitan Idola. Sangkanya, manuskrip itu tak akan dilayan oleh bahagian panel, tapi sangkaannya meleset. Setelah dua bulan dihantar, Puan Dahlia, selaku editor kanan telah menelefonnya. Katanya, mereka berminat hendak membukukan manuskripnya itu, lalu dia diminta untuk datang ke syarikat tersebut untuk perbincangan lanjut. Sufrina rasa bersyukur. Novel bertajuk Nokhtah Kasih itu merupakan kisah benar dari kehidupan arwah kakaknya,

Nur Sazrina. Cuma bahagian akhirnya saja, diubahnya kepada kehidupan yang bahagia, terbalik dengan pengakhiran hidup Sazrina. Itulah impiannya. Dia mahu watak-watak dalam novelnya dapat mengecap kebahagiaan. Pengakhiran yang bahagia. Bukan seperti lumrah hidup manusia yang realiti. Baru sekejap menikmati kebahagiaan, pasti akan dilanda dugaan dan akhirnya kesengsaraan. Kenapa realiti hidup harus begitu?

“Kak Qarinah, apa khabar?” tanya Hidil yang sudah enam bulan menjadi jurukaunter dan penjaga kedai abangnya itu. Hidil yang baru saja lepas mengambil peperiksaan Sijil Penilaian Malaysia (SPM) itu memang kenal rapat dengan Sufrina. Tetapi, dia masih terpengaruh dengan nama pena Sufrina, iaitu Qarinah. Sehinggakan setiap kali bertemu atau bertembung, itulah saja panggilan yang akan automatik keluar dari mulutnya.

“Baik. Hidil apa khabar?” tanya Sufrina lalu berdiri di hadapan kaunter, berbual dengannya.

“Okey semuanya, kak. Akak datang nak tengok novel akak eaaa…” teka Hidil sambil tersengih. Sufrina tersenyum lalu menganggukkan kepalanya.

Gadis di hadapannya itu bukanlah seorang gadis yang boleh dikategorikan sebagai wanita cantik, tetapi senyuman yang selalu terukir dan menampakkan gigi-giginya yang tersusun dan cantik itu, menyerlahkan lagi keayuan wajahnya. Bukan Hidil saja yang menyifatkannya sebegitu, malah abangnya, Hamdan, juga bersetuju dengannya.

“Kalau dibuat bini, rasa indah aje hidup ni, sebab sejuk mata memandang. Senyuman dia, cara dia bercakap, memang… cairlah!” Hidil masih ingat pujian abangnya pada tempoh hari.

“Jangan risaulah, kak. Hidil letak rak paling depan dan bahagian atas sekali. Kalau novel tu letak kat rak bawah pun,
larisnya tetap sama!”

Mendengar kenyataan Hidil itu, Sufrina tersenyum puas. Gembira dia mendengarnya. Tak sangka, novel berhalaman 520 muka surat dan kulit hadapannya bercorak bunga tulip berwarna kuning itu laris di kedai itu.

“Ya ke? Alhamdulillah. Ni mesti Hidil promote lebih ni…” teka Sufrina pula.
Hidil menggaru kepalanya yang kemas dan berminyak itu. Dia suka memandang personaliti lelaki itu. Sudah pandai bergaya meskipun sekadar duduk seharian di dalam kedai buku. Tak mustahillah dia selalu menjadi rebutan ramai kawan perempuan di sekolahnya.

“Bukanlah, kak. Memang best ceritanya. Kak, hmmm… ada masalah sikitlah, kak.” Hidil yang teragak-agak hendak bercakap itu menyebabkan hati Sufrina rasa kurang enak.

“Kenapa ni? Masalah apanya?” tanya Sufrina dengan tenang. Hidil sekejap menjeling, sekejap menundukkan muka.

“Hidil ada bagitau kawan-kawan yang, Kak Qarinah ni kakak angkat Hidil. Jadi, dia orang minta Hidil jumpakan dia orang dengan kakak. Dia orang minat sangat dengan novel akak, jadi teringin nak tengok akak depan-depan. Hmmm, boleh tak, kak?” Pertanyaan Hidil dibalas dengan tawa.

“La, Akak ingatkan apalah tadi! Buat cemas ajelah Hidil ni!” Masih ada sisa-sisa gelak kedengaran.

“Habis tu, boleh tak kak? Hidil malulah kalau dia orang tahu Hidil tipu. Mesti dia orang perli Hidil nanti.”

Wajah Hidil nampak risau. Dia fikir, penulis muda itu takkan memenuhi permintaan kawan-kawannya. Hidil sudah bersedia untuk mendapat malu. Memang padan mukanya sendiri juga kerana cakap besar. Penulis berbakat dalam bidang penulisan itu, takkanlah sudi menunaikan permintaannya itu.

“Bolehlah, Hidil. Esok hari Sabtu, kan? Cakap dengan kawan-kawan Hidil, akak ada kat sini esok. Hmmm, pukul dua petang. Suruh dia orang bawa novel akak tu, ya?”

“Hah? Betul ke ni, kak? Kak Qariah nak jumpa dia orang?”

Sufrina mengangguk dengan bersungguh-sungguh untuk meyakinkan Hidil. Gembiranya Hidil mendengar jawapan itu. Dia meramas-ramas kedua-dua belah tangannya, seolah-olah tidak sabar hendak menghubungi kawan-kawannya. Pasti mereka gembira dapat berjumpa dengan Qariah, dapat autograf pula tu!

“Jadi, bolehlah kakak jadi kakak angkat Hidil?” tanya Hidil yang cuba mengambil peluang itu.
Memang dah lama Hidil pasang niat untuk menjadi adik angkat Sufrina. Kakak berumur 23 tahun itu memang baik orangnya. Sopan santun dan selalu menjadi penasihatnya yang baik. Itulah yang selalu dipujinya di hadapan kawan-kawannya. Sufrina memang seorang penulis yang merendah diri. Hidil tak sangka, permintaannya untuk menemukan penulis novel Nokhtah Kasih itu dengan peminat-peminatnya bakal berjaya.

“Kakak dah lama anggap awak macam adik akak sendiri. Tapi kena janji dengan kakak, lepas ni, kena mohon masuk IPT. Jangan terus kerja macam ni. Boleh?” pinta Sufrina. Hidil meletakkan tangan berdekatan telinga kanannya. Dia tabik. Lagaknya seperti bertemu dengan inspektor polis.

“Hidil janji kak! Cita-cita Hidil nak jadi seorang peniaga yang berpelajaran! Hidil janji dengan kakak!” janji Hidil. Sufrina mengangguk setuju.

“Yalah. Akak nak beli buku ABC,” kata Sufrina. Hidil menemankannya ke rak buku di bahagian kanak-kanak. Setelah membelek-belek sebuah buku, dia ke kaunter untuk membayarnya.

“Awak ke tuan punya kedai ni?” tanya seorang lelaki yang berdiri di belakang Sufrina.

Nur Sufrina dan Hidil terkejut kerana suara itu kedengaran tegas, seperti orang yang sedang marah. Sufrina mengerlingnya. Lelaki berbaju T-Shirt hitam dan berseluar jean lusuh yang sedang menjinjit komputer riba itu nampaknya memang sedang marah.

“Bukan saya, saya pembantunya. Ada apa, ya, bang?” tanya Hidil yang terketar-ketar hendak menjawabnya. Lelaki itu mengeluh kuat.

“His, kenapa letak buku tulisan saya kat rak ketiga? Padahal buku ni masih baru! Patutnya letaklah kat bahagian atas sekali. Novel cintan-cintun ni letaklah rak bawah-bawah! Buku macam tu, bukan ada ilmunya pun, makin buat perempuan berangan aje!” leter lelaki itu.

Tersentak Sufrina mendengar leterannya itu. Bukan saja tak puas hati dengan kedudukan bukunya, malah dikutuk dan diejeknya pula hasil karya berbentuk novel cinta. Sebagai seorang penulis novel sebegitu, pastilah Sufrina rasa marah bercampur malu. Baginya, novel cinta bukan sekadar mencurahkan karya tentang perasaan romantik dan imaginasi semata-mata, tetapi ada juga ilmu di dalamnya! Ilmu berkenaan kehidupan dan masyarakat. Kenapa penulis sepertinya begitu berfikiran cetek tentang ilmu itu?

“Maaflah, bang. Lagipun, kedudukannya pelanggan nampak. Bukan terlindung,” nafi Hidil, antara takut dan berani. Melihat kemarahan lelaki itu, tahulah dia bahawa itulah penulis kepada buku bertajuk Himpunan Puisi Kembara Pendekar yang dijual di Kedai Buku Santai. Hidil datang semula ke kaunter bayaran. Dia berbisik ke telinga Sufrina, “dialah tu penulisnya, Amirul Haikal.”

“Buku-buku Himpunan Puisi Kembara Pendekar tu sangat bagus isinya. Kalau diletak kat rak paling bawah sekalipun, ada aje orang yang membelinya. Tak perlulah nak melatah,” sindir Sufrina dengan nada suara yang tinggi.

Nur Sufrina memang sengaja berbuat begitu, agar penulis ego itu mendengar sindirannya. Lelaki itu keluar dari celah-celah rak buku tersebut. Dia menghampiri Sufrina dengan perasaan yang tidak puas hati.

“Hei, cik adik, awak tu bukan penulis. Awak takkan faham perasaan penulis macam saya. Sebab buku tu sangat bagus untuk bacaan oranglah, saya minta ia diletak kat rak paling atas. Puisi-puisi saya ni, puisi yang pernah disiarkan di surat khabar. Hanya orang yang pandai menilai puisi-puisi yang berkualiti saja yang tahu menghargai puisi-puisi penyair macam saya ni,” ujar Haikal sambil memandang wajah gadis yang berani menyindirnya tadi. Sufrina masih enggan memandangnya. Malas hendak melayan penulis ego sepertinya.

“Oh, yake? Kalau macam tu, Hidil, simpankan sebuah untuk akak. Esok akak beli.”

Permintaan Sufrina kepada Hidil itu bunyinya seperti memerli penulis itu saja, sedangkan kalau Sufrina benar-benar hendak membelinya, pastilah dia boleh mengambilnya sendiri di rak. Hidil masih bingung melihat pertengkaran mereka. Nampaknya kakak angkatnya itu memang berani bersuara. Tak hairanlah ada bekas guru di sekolahnya, menyifatkan dulu Sufrina seorang pendebat yang baik dan tegas ketika menjadi pelajar di sekolah mereka.

“Orang macam awak tahu menilai hasil tulisan saya, ke?” sindir Haikal. Sufrina memandang pantas ke arah wajahnya yang tersengih. Terasa berdebar-debar pula jantung Haikal apabila sepasang mata berhias pelukis mata berwarna hitam itu bertentang mata dengannya. Siapakah gadis yang sangat berani melawan kata-katanya ini?

“Saya memang kurang ilmu berbanding awak. Jadi tak salahkah kalau saya belajar dari tulisan awak?” Pertanyaan itu tidak sempat dijawab oleh Haikal. Sufrina mengucapkan selamat tinggal kepada Hidil dan dia terus keluar dari kedai tersebut.

“Cik! Cik!” panggil Haikal yang mengekorinya dari belakang.

Nur Sufrina masih terus berjalan. Dia tak mahu menghentikan langkahnya dan terus-menerus melayan sikap penulis gila
seperti Amirul Haikal. Dia pernah juga bertemu dengan ramai penulis di Idola, tetapi tak pernah lagi bertemu dengan penulis seperti ini. Berlagak. Sombong. Biadap. Semua sifat buruk beri kepadanya!

“Awak pekak ke atau rasa tak layak nak berbual dengan penulis macam saya?” Mendengar perlian itu, Sufrina berhenti. Pantang pula apabila dicabar sebegitu. Dia menoleh Amirul Haikal yang hanya lima inci dari tubuhnya.

Amirul Haikal tekad untuk bertikam lidah dengan gadis berwajah manis itu. Pertama kali dalam hidupnya, dia bertemu dengan perempuan yang sangat berani menyindir dan berdebat dengannya. Tak pernah lagi dia rasa marah dengan perempuan, lebih-lebih lagi perempuan yang baru ditemuinya. Perasan cantik atau hebat sangatkah gadis ini? hairan Amirul Haikal dalam hatinya.

“Saya bukan pekak. Eh, saya rasa hari ni sangat malanglah, jumpa orang macam awak ni,” kata Sufrina yang sengaja menyakitkan hati lelaki itu. Haikal juga telah menyebabkannya berasa panas pada hari ini.

“Amboi, mulut! Awak ingat saya pun nak jumpa perempuan mulut jahat macam awak ni ke?” balas Haikal pula.
Muka Sufrina sudah berona merah. Fikirnya, mengambil keputusan untuk keluar dari kedai itu, akan melegakan perasaannya. Nampaknya, lelaki ini benar-benar ego. Seperti baru saja bergaduh dengan teman wanitanya lalu melepaskan marahnya kepada orang lain pula.

“Saya tahulah awak baru lepas putus cinta. Tapi janganlah lepaskan marah awak tu kat saya! Kedudukan buku kat rak dalam kedai tu, bukan satu-satunya punca laku atau tidak buku awak tu! Kalau bukunya bagus dan promosinya hebat, adalah yang membacanya! Apa yang nak dirisaukan sangat. Ah, macam baru sehari dua menulis! Saya yang tak tahu bidang penulisan pun, tahu fikir!”

Sufrina mematikan leterannya setakat itu saja. Haikal terdiam dan kemarahannya mula dipendamkannya saja. Gadis itu membelakanginya dan melangkah pantas menuju entah ke mana. Walaupun kata-katanya agak berbisa, tapi Haikal merasakan ada juga betulnya.

“Macam mana dia tahu aku baru lepas bergaduh dengan girlfriend? Ah, bukan setakat bergaduh, putus terus! Tapi, siapa perempuan ni? Terkesan betul kata-katanya.” Amirul Haikal berteka-teki sepanjang perjalanannya ke tempat meletak kenderaan. Kalaulah mereka tidak dipertemukan lagi, wajah serta kata-katanya akan tetap diingatinya.

“HIS, geram betullah Suf!” adu Sufrina kepada Zulaika yang sedang menggoreng ikan. Zulaika berasa hairan dengan adik iparnya itu. Jarang sekali dia marah sebegini. Pasti ada orang yang menjolok sarang tebuan.

“Kenapa ni, dik? Marah dengan siapa? Tak pernah marah-marah macam ni,” tanya Zulaika yang duduk di hadapan Sufrina. Kedengaran suara gelak tawa Syafiqah dan Shafiq yang sedang bergurau di halaman rumah. Mulutnya dicebikkan.

“Tadi Suf bertekak dengan sorang penulis ni. Geram Suf! Suf tahulah dia penulis puisi-puisi tentang orang Melayu! Suf tak sepandai dia! Tapi janganlah berlagak sangat. Hina penulis novel! His, geramlah, kak!” leter Sufrina.
Zulaika mengerutkan dahinya. Patut pun adik iparnya itu marah. Penulis yang dijumpanya itu telah menghina seorang penulis novel sepertinya. Sesiapapun akan marah jika kerjayanya diperendah-rendahkan.

“His, teruk betul orang tu! Penulis novel pun ada bagusnya. Dia pun ada bagusnya. Semua ada kebaikannya. ak perlulah nak menghina orang,” tambah Zulaika. Sufrina angguk puas. Lega apabila kakak iparnya turut berfikiran sepertinya.

“Itulah kak. Tapi, dia tak tahu Sufrina penulis novel.” Zulaika menepuk dahinya.

“Aduh, dia tak tahu? Agaknya kalau dia tahu dia takkan cakap main sedap macam tu, dik. Kenapa tak bagitau? Malu?”

“His, bukan malu! Buat apa nak kenalkan diri kat penulis sombong macam tu. Tak pernah Suf jumpa penulis berlagak. Kononnya dia banyak ilmu. Tulah sebab Suf malas nak kecoh-kecoh yang Suf ni penulis kat orang. Macam orang berlagak! Macam orang tu tadilah,” jawab Sufrina.

“Eh, kenapa ni Suf? Ada orang buat adik abang ni marah ke?” tanya Safwan yang baru saja pulang dari kerja.
Zulaika mencium tangan suaminya. Safwan menuang air kopi ke dalam cawan dan menghirupnya. Nampak letih benar abangnya kerana bekerja seharian sebagai pengurus syarikat kilang makanan di Shah Alam. Jawatan yang baru disandangnya itu menyebabkan dia terpaksa ditukarkan ke syarikat yang lebih jauh.

“Tak ada apa-apalah, bang. Biasalah orang perempuan, datang bulan,” jawab Sufrina lalu bangun membantu kakak iparnya menghidangkan makanan untuk Safwan.

“Hai, perempuan ni asal datang bulan aje, bad mood. Serupa macam kakak kau ni, Suf,” gurau Safwan sambil menjeling ke arah isterinya. Zulaika mengerutkan dahinya. Sufrina tersengih.

“Pandailah abang,” balas Zulaika.

“Itu bad mood minta perhatian…” jawab Sufrina lalu mencuit pinggang Zulaika. Safwan bersetuju dengan kenyataan adiknya itu.

Sufrina duduk di hadapan televisyen. Dia menghembuskan nafas leganya lalu memejamkan mata. Dia diam. Dia masih teringat kata-kata penulis bernama Amirul Haikal yang ditemunya tadi. Sakit hatinya masih terasa. Walaupun Sufrina mudah memaafkan seseorang, namun marah terhadap lelaki itu masih belum reda. Baginya, penulis yang dalam fikirannya itu lebih berpengalaman dalam bidang penulisan berbanding dirinya. Hasil tulisan lelaki itu berbeza dengannya. Haikal penulis tentang orang Melayu dan kebudayaan orang Melayu. Sufrina pula menulis tentang emosi dan perasaan tentang cinta dan kasih sayang. Baginya kedua-dua aliran itu tetap sama, menyumbangkan ilmu pengetahuan kepada pembaca. Itulah tugas seorang penulis.

“Ibu tak sihat ke?” Pertanyaan Syafiqah mengejutkan lamunan Sufrina. Dia membuka mata dan wajah anaknya betul-betul di hadapannya. Sufrina tersenyum.

“Ibu tak apa-apa, cuma geram aje,” jawab Sufrina. Syafiqah memicit-micit kepala ibunya tanpa disuruh Sufrina memejamkan matanya.

“Pandainya anak ibu picit kepala…” puji Sufrina. Syafiqah yang bertocang itu tersenyum gembira mendengar pujian ibunya. Lesung pipitnya jelas kelihatan. Sama seperti arwah Sazrina.

“Ibu geram sebab Sufrina tak dapat baca A sampai Z laju-laju ke? Fiqah janji esok Fiqah hafal laju-laju,” janji Syafiqah yang menyangka bahawa ibunya marah kepadanya.

Sufrina menyuruh Syafiqah duduk di atas pahanya. Dia menurut kehendak ibunya. Sufrina mengusap-usap rambutnya.

“Sayang, ibu tak marah Fiqah tak lancar lagi. Kan Fiqah dah usaha. Bagus anak ibu ni!” puji Sufrina lalu mencium pipinya. Tali baju yang terlondeh itu dibetulkannya.

“Baiklah, ibu. Fiqah akan usaha lagi!” jerit Syafiqah. Sufrina ketawa melihat telatah Syafiqah.

“Seronoknya dia,” tegur Puan Faridah yang baru saja selesai solat Asar. Emaknya duduk di sebelahnya.

“Ala, mak. Dialah pengubat hati Suf. Kalau tak ada dia, tak tahulah Suf nak ketawakan siapa!” kata Sufrina lalu menggeletek perut Syafiqah. Anaknya ketawa berdekah.

“Fiqah, sini kejap,” panggil Syafiq yang memanggil sepupunya itu. Syafiqah meninggalkan ibu dan neneknya.

“Dah lima tahun Suf jaga Fiqah. Tak penat ke?” Pertanyaan itu sudah lama ingin ditanyakan kepada anak bongsunya itu.
Tapi kesibukan Sufrina membataskan perbualan mereka.

“Kenapa nak penatnya, mak? Suf ada duit nak sara Fiqah. Lagipun lepas tulis novel ni, bertambah lagi rezekinya. Semua tuah dia, mak,” jawab Sufrina sambil memandang mereka yang sedang membelek-belek kereta mainan milik Syafiq.

“Hmmm, mak tahu. Tapi mak kesian tengok Suf. Belum berumah tangga dah sibuk macam ni. Kalau Suf letih, tinggalkan ajelah terus Fiqah kat sini. Mak boleh tolong jagakan,” cadang Puan Faridah. Sufrina memeluk emaknya.

“Emak, kalau Sufrina tak jumpa dia sekejap pun dah rasa rindu. Inikan kalau berhari-hari Suf tak dapat jumpa dia. Mak jangan risau, Suf kuat lagi. Suf ingat pesan Kak Rina, Suf akan jaga dia sampai bila-bila. Itu janji Suf, mak… Muka dia, senyuman dia, tangis dia, semuanya mengingatkan Suf kat kakak. Macam mana Suf nak berpisah dengan dia?”

Ada air mata yang bertakung dalam matanya. Sufrina menyedut hingus yang hampir meleleh itu. Emak mengusap-usap rambut panjangnya itu. Puan Faridah juga terasa hibanya. Sufrina sudah menjalankan tanggungjawabnya itu dengan baik. Kalaulah arwah Nur Sazrina boleh hidup kembali, pasti dia tak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada adiknya itu. Tapi, takdir telah meragut nyawanya. Amanah telah diberikan kepada Nur Sufrina.

Safwan berdiri di muka pintu dapur. Dia curi-curi mendengar perbualan antara emak dan adiknya. Tersentuh hatinya apabila mendengar perbualan mereka. Walaupun peristiwa hitam itu telah berlaku lima tahun yang lalu, namun mereka masih meratapi pemergian Sazrina. Sazrina kakak sulung Safwan. Sejak kecil kakaknya itulah kawan sepermainan dan kakaknya itulah yang selalu memberi nasihat kepadanya. Kini, hanya kenangan dan Syafiqah saja pengganti dirinya.

“Abang…” panggil Zulaika yang menyentuh bahu suaminya. Safwan tersentak.

“Suf dah tunaikan janjinya pada Kak Rina. Kalaulah abang bertegas dan bertindak cepat, pasti Firdaus takkan apa-apakan Kak Rina. Abang adik lelaki, abang pengganti tempat arwah bapa, tapi… abang tak dapat buat apa-apa, Ika,” sayu suaranya kedengaran. Zulaika turut merasa sedihnya.

“Sabarlah bang… Ini ujian abang sekeluarga. Kalau Suf boleh tabah, abang pun kena!” pinta Zulaika memberi semangat kepada suaminya. Safwan duduk di kerusi. Dia cuba mengawal emosinya. Benar kata isterinya, dia harus tabah, lebih tabah daripada Sufrina untuk menjaga keluarganya serta emak dan Sufrina.

Bab 3

“TERIMA KASIH Kak Qarinah. Boleh ambil gambar tak?”

Sufrina memberikan senyuman manisnya ketika bergambar bersama-sama mereka. Tatkala kawan-kawan Hidil datang ke kedai tersebut untuk berjumpa dengan penulis novel Nokhtah Kasih, Sufrina nampak selesa danperamah. Semuanya berjalan lancar. Sufrina seharusnya mengucapkan terima kasih kepada Hidil kerana membuat perancangan yang baik pada hari ini. Ada juga beberapa pelanggan yang datang ke kedai buku tersebut mengambil peluang membeli novel dan mendapatkan tanda tangannya.

“Ceritanya memang best! Kesian akak tengok watak Maisarah, heroin dalam cerita ni. Nasib baik ending dia Maisarah bahagia semula. Bila nak tulis novel kedua, Qarinah?” tanya seorang kakak yang memang menjadi peminat setia novel. Sufrina tersenyum mendengar soalan itu.

“Tengah menulis, kak. Doakan siap cepat. Nanti dah terbit, kakak kena jadi pembeli pertama tau!” jawab Sufrina.

“His, mesti! Tak sabar rasanya,” balas kakak itu.

Golongan wanita memang suka membaca buku-buku jenis novel cinta seperti tulisannya. Sufrina tahu tentang itu. Membaca novel kadangkala bukan setakat minat, tetapi mereka memanfaatkannya untuk mengisi masa lapang terutamanya golongan suri rumah. Dia suka menambahkan ilmu tentang percintaan melalui wayang dan drama-drama di televisyen. Sufrina juga gemar bercampur gaul dengan ramai wanita terutamanya wanita-wanita yang sudah berumah tangga. Pendapatnya, pengalaman diri sendiri itu boleh bertambah dengan menumpang pengalaman orang lain.

“Terima kasih sebab sudi datang, Qarinah. Eh, bukan… Sufrina. Errr, maaf, keliru,” ucap Hamdan, abang kepada Hidil, pemilik kedai buku tersebut.

Mendengar cadangan adiknya, Hamdan terus bersetuju. Kedatangan Sufrina bukan saja menemukan peminat-peminat dengan penulis kegemaran mereka, tetapi dapat juga menarik perhatian para pelanggan mengunjungi kedai bukunya. Tapi Hamdan masih mengikut syarat Sufrina yang meminta pertemuan dengan peminat novelnya itu sekadar kecil-kecilan.

“Panggil aje Qarinah, tak kisah. Oh, sama-sama. Sekadar suka-suka. Kalau apa-apa hal, awak boleh berurusan dengan syarikat penerbitan buku saya, Idola,” cadang Sufrina. Hamdan mengangguk setuju. Sufrina keluar dari kedai tersebut dan bercadang hendak ke Bangi, mengambil Syafiqah pulang.

“Ibu, boleh minta autograf?”

Terdengar suara kanak-kanak perempuan yang menari-narik bajunya dari arah belakang. Sufrina seperti pernah mendengar suara itu. Dia menoleh. Sufrina terkejut.

“Fiqah? Dengan sapa ni?” tanya Sufrina kehairanan. Dia mencium pipi Syafiqah. Anaknya menuding jari ke arah Rohaizat yang sedang berdiri di hadapan sebuah warung. Sufrina tersenyum membalas lambaian tangannya.

“Sorry, saya tak minta izin,” ucap Rohaizat sambil memegang telinganya sebagai tanda bersalah. Sufrina ketawa kecil.

“Tak apalah. Terima kasih hantarkan dia untuk saya,” jawab Sufrina. Syafiqah mengerutkan dahinya. Dia menjungkitkan keningnya kepada Rohaizat. Rohaizat pula membalasnya dengan kerutan dahi dan gelengan kepala.

“Hei, kenapa ni? Ada rahsia yang ibu tak tahu? Hah, berahsia apa dengan Pak Cik Aizat ni?” tanya Sufrina kepada Syafiqah yang tersengih.

Mereka memang sudah mesra. Tiga tahun selepas Syafiqah dilahirkan, Rohaizat dan keluarganya berpindah ke Bangi dan mereka sentiasa bertegur sapa dan mesra dengan keluarga Rohaizat. Jadi, tidak hairanlah sehingga Syafiqah berumur lima tahun, dia menganggap Rohaizat seperti sebahagian daripada hidupnya. Selain menumpang kasih dengan pakciknya, Safwan, Rohaizatlah bapa kedua bagi diri Syafiqah.

“Ibu, Fiqah nak makan aiskrim. Jom! Pak Cik Aizat dah janji nak belanja,” jelas Syafiqah kepada ibunya. Sufrina memandang Rohaizat. Rohaizat mengangguk, penuh mengharap.

“Saya dah janji dengan dia. Jomlah… Saya belanja!” ajak Rohaizat. Sufrina terdiam. Dia fikirkan Sufrina akan menjawab, “lain kali sajalah.”

“Jom! Tapi, takkan belanja aiskrim aje,” gurau Sufrina. Syafiqah menepuk tangan, tanda gembira mendengar persetujuan daripada Sufrina.

“Habis, nak belanja apa lagi? Tengok wayang?” Rohaizat membuat tawaran. Nur Sufrina memandang Syafiqah. Syafiqah mengangguk dengan segera.

“Belanja kita orang… tengok cerita kartun. Boleh?” cadang Nur Sufrina.

Dia tahu Rohaizat tidak begitu gemar dengan cerita kartun. Filem aksi dan genre seramlah yang paling diminatinya. Tapi Sufrina pula gemar menontonnya, perangainya seperti kanak-kanak sebaya Syafiqah pula. Apakan daya, turuti sajalah, sementara masih ada peluang untuk bersama-sama, pujuk Rohaizat kepada dirinya sendiri.

“Ala. Hmmm, bolehlah. Jom,” ajak Rohaizat yang seolah-olah terpaksa bersetuju. Sufrina bertepuk tangan riang, mengikut gaya anaknya.

Rohaizat ketawa melihat gelagat mereka anak beranak. Dia selalu terlupa, tatkala bersama-sama mereka, dia merasakan seperti berada dalam sebuah keluarga yang cukup lengkap. Mempunyai isteri semanis dan sesabar Sufrina, dan ada juga seorang anak perempuan yang comel. Impiannya tetap sama seperti setahun yang lalu. Dia ingin menjadikan gadis itu pemaisuri dalam hidupnya serta menjadikan Syafiqah sebagai anak sulung antara adik-adiknya kelak.

Pukul enam petang, Rohaizat menghantar mereka ke rumah sewa Nur Sufrina. Syafiqah kelihatan gembira. Dia mendekati kawan serumah ibunya, Firda yang sedang menonton televisyen. Dia bercerita kepada Firda tentang aktivitinya tadi bersama-sama Sufrina dan Rohaizat. Ceritanya meleret tanpa berhenti, seperti tidak akan berjumpa tanda nokhtah.

“Suf, boleh cakap sikit?” tanya Firda yang hanya berbaju nipis tanpa lengan dipadankan dengan seluar pendek bercorak bunga-bunga. Dia duduk di sebelah Sufrina yang sudah menukar pakaian tidurnya.

“Apa dia Cik Firda?” tanya Sufrina kembali.

“Suf, kalau kau bukan kawan baik aku, aku takkan cakap hal ni,” kata Firda yang masih membuat pendahuluan kata sebelum menghuraikan isinya.

“Cakaplah. Kau macam tak kenal aku, Firda. Aku okey,” kata Sufrina yang sudah duduk di sebelah kawannya itu.

“Pasal Aizat. Aku rasa kau tak patut buat dia macam ni,” Firda memulakan bicara. Mendengar nama lelaki itu disebut oleh sahabatnya, Sufrina berubah wajah. Dia berdiri untuk mengambil komputer ribanya. Diletaknya di atas katil lalu dia baring meniarap.

“Kau dengar tak aku cakap ni, Suf?” tanya Firda lalu menutup komputer riba Sufrina yang baru saja dibukanya. Sufrina memandang wajah Firda.

“Aku dengar. Tapi apa yang aku dah buat sampai kau kata aku tak patut ni?” tanya Sufrina kembali. Firda mengeluh.

“Suf, kau selalu macam ni. Lambat pick up! Aizat tu, dah usaha gigih nak pikat Fiqah dan emaknya Takkan kau tak kesian kat dia? Atau, kau terima sajalah dia, Suf,” cadang Firda.

Sufrina menggelengkan kepalanya. Sedap-sedap aje nak buat keputusan bagi pihak aku, desis hati Sufrina.

“Bukan kau aje yang nasihatkan aku macam ni, Firda. Aku faham. Tapi aku layan dia macam kawan aje. Aku dah cakap dengan dia, aku anggap dia kawan aje. Dia kata dia faham, jadi, apa masalahnya?” jelas Sufrina kepada Firda.

“Kau ni, kan! Langsung tak ada perasaan. Aizat tu punyalah baik dengan kau dan keluarga kau. Takkan kau rasa tersentuh ke, his, kaukan penulis novel! Takkan aku kena nasihatkan kau pula! Kau lebih pandai dalam bab-bab macam ni,” leter Firda. Dia sedar, dia tak layak hendak menasihati Sufrina tentang soal hati dan perasaan. Gadis itu lebih faham dan pakar, seperti tulisannya juga.

“Firda, aku menulis berdasarkan pengalaman orang di sekeliling. Bukan atas pengalaman aku. Pengalaman aku tentang cinta? Zero! Aku tak kisah kalau kau nasihatkan aku macam-macam. Aku hargai, tapi Firda, Aizat memang baik, tapi tak semestinya aku kena pilih dia sebab baik. Macam mana perasaaan aku?” jelas Sufrina.

“Tapi Suf, Aizat dah lama tunggu kau. Dia sanggup tunggu kau. Dia sesuai jadi ayah Syafiqah,” nasihat Firda lagi. Dia tahu kawan baiknya itu tidak pernah berkecil hati dengan nasihat orang lain terutamanya dirinya yang sudah lama hidup serumah dengannya.

“Dia memang boleh jadi ayah yang baik. Tapi kalau ada jodoh kita orang, aku takut tak dapat jadi isteri yang baik. Aku, aku tak cintakan dia. Tulah masalah aku,” adu Sufrina kepada Firda.

“Suf, orang selalu kata, cinta tu boleh dipupuk. Kebaikan dia akan mengajar kau untuk cintakan dia,” jawab Firda. Sufrina memandangnya.

“Kalau aku terima dia, lepas tu aku tak cintakan dia… siapa pula nak kata, cinta itu tak boleh dipaksa? Siapa pula nak cakap tentang soal hati dan perasaan tak boleh dibuat-buat?”

Pertanyaan Sufrina itu mematikan akal Firda. Ada benarnya kata-kata Nur Sufrina. Dia mengalah. Segala-galanya terpulang kepada Sufrina. Dia tak boleh memaksanya.

“Entahlah Suf. Aku tak tahu nak cakap macam mana lagi. His, susahlah!” keluh Firda lalu keluar dari biliknya dan membiarkan Sufrina berseorangan. Dia tahu Firda merajuk. Tak tahulah sama ada merajuk kerana sering kalah dalam perbicaraan dengan Sufrina ataupun susah hendak membuat Sufrina mengerti tentang hubungannya dengan Rohaizat.

“Awak marahkan saya ke?” tanya Sufrina melalui panggilan telefon Rohaizat. Rohaizat diam. Dia tahu, dia harus berkata jujur.

“Suf, terus terang. Saya kecewa dengan keputusan awak. Dah macam-macam saya buat untuk awak terima saya. Tapi jawapan awak tetap tak berubah. api siapalah saya untuk memaksa?” jawab Rohaizat. Kali ini, Sufrina pula diam. Dia tahu Rohaizat tak pernah berputus asa untuk memikat hatinya.

“Suf, saya nak tahu awak tak terima saya, adakah sebab awak… awak dah ada lelaki lain?” Pertanyaan Rohaizat mengejutkan Sufrina.

“Hati saya belum dimiliki oleh sesiapapun, Aizat. Saya tak ada alasan untuk menolak awak. Cuma berilah saya masa.”

“Saya sentiasa beri awak masa, Sufrina. Macam yang selalu saya lakukan. Tapi sepertimana sukarnya hendak memujuk awak untuk menerima saya, samalah sukarnya untuk melupakan perasaan saya kat awak. Suf, apa yang harus saya lakukan? Saya terlalu sayangkan awak…”

Sufrina menitiskan air matanya. Berhadapan dengan masalahnya dengan Rohaizat, membuatkan hatinya selalu rasa tersentuh dan dibelenggu rasa bersalah. Barangkali, dia menyedari bahawa dirinya terlalu kejam dengan insan yang sangat baik dan sabar seperti Rohaizat itu. Tapi kenapa dia begitu kejam terhadap lelaki ini? Lelaki yang sentiasa bersama-samanya dalam mengharungi kehidupan yang ibarat ibu tunggal ini. Tapi, soal perasaan dia sendiri jadi tak mengerti. Mengapalah cintanya tidak seperti kisah cinta dalam novelnya? Kenapa tak ada jalan penyelesaian?

“Maafkan saya, Aizat. Lupakanlah saya! Jangan terus menyeksa diri awak!” pinta Nur Sufrina lalu memutuskan panggilan telefon.

“Suf? Suf!” panggil Rohaizat. Tiada suara yang kedengaran di corong telefon. Rohaizat jadi buntu. Dia mundar-mandir di dalam rumahnya sendiri.

“Kenapalah Sufrina? Kalau awak tak cintakan saya, saya tak boleh salahkan awak. Tapi kenapa saya tak boleh lupakan awak? Kenapa mesti awak yang saya cinta?” marah Rohaizat kepada dirinya sendiri.

Sufrina mengetuk pintu bilik kawan serumahnya. Firda keluar dengan wajah yang masam mencuka. Masih tak mahu menegurnya. Mungkin masih merajuk dengan perbincangan pada malam tadi.

“Aku dah sediakan sarapan. Sarapanlah dulu,” ajak Sufrina kepada Firda. Firda yang membuka peti sejuk, menuang air kosong ke dalam gelasnya. Dia membiarkan saja Sufrina dan Syafiqah bersarapan. Dia tak mahu menjamah sarapan yang dibuat oleh kawannya itu. Biarlah, biar Sufrina tahu betapa marahnya dia terhadap sikap degil gadis itu.

“Aku pergi dulu,” kata Firda yang sudah menutup pintu pagar rumahnya. Kuliah Firda pada pukul sembilan pagi, manakala Sufrina cuma ada kelas pada pukul dua petang. Dia masih sempat untuk membuat sarapan dan menghantar anaknya ke rumah abangnya.

“Ibu, Auntie Firda kenapa? Dia marah ibu ke?” tanya Syafiqah yang sedang menyuap mi goreng ke dalam mulutnya. Syafiqah memang suka segala jenis makanan yang dimasak oleh ibunya. Sufrina selalu memberitahu kepada anaknya itu bahawa makanan buatan tangan ibu sendirilah yang akan membuatkannya jadi pintar. Nasib baiklah, Sufrina pandai memasak, kalau tidak, mungkin tidak berselera juga anaknya itu.

“Haah. Auntie Firda marah ibu, dia merajuk. Ibu tak dengar cakap dia,” jawab Sufrina.

“Oh. Tapi, kenapa ibu kena dengar cakap dia? Dia bukannya emak ibu. Kata ibu, kita kena dengar cakap emak kita.”

Mendengar pertanyaan Syafiqah, Sufrina ketawa.Terasa lucu apabila anaknya mengibaratkan hubungan Sufrina dan Firda dengan hubungan mereka.

“Kadang-kadang, kita kena dengar cakap orang lain. Tapi kalau kita rasa betul,” jawab Sufrina. Syafiqah yang comel dengan lesung pipitnya itu semakin keliru.

“Maknanya, Auntie Firda cakap tak betul? Sebab tu ibu tak nak dengar cakap dia?” Sufrina terdiam. Dia memikirkan dahulu jawapan yang sesuai kepada soalan Syafiqah.

“Entahlah Fiqah, ibu pun tak tahu,” jawab Sufrina ringkas.

Syafiqah menghirup air susunya tanpa menyoalnya lagi. Pening kepalanya memikirkan tentang masalah orang dewasa. Mujurlah dia masih kecil dan hanya tahu bermain dan menghafal huruf A sampai Z.

Sufrina pulang ke rumah Safwan. Kebetulan abangnya ada di rumah. Katanya masuk kerja sebelah petang.

“Suf, abang nak tanya sikit ni,” panggil Safwan yang duduk di sebelah emaknya di ruang tamu. Wajahnya kelihatan serius. Sufrina datang mendekati mereka.

“Abang nak tanya, sampai bila Suf dengan Aizat nak macam ni?” Pertanyaan abangnya bagaikan taufan yang memukul dahan pokok yang sememangnya sudah menanti masa untuk jatuh ke tanah.

“Macam ni apa? Suf tak fahamlah.” Sufrina masih berlagak tidak mengerti soalan yang diajukan oleh abangnya itu. Safwan mengeluh.

“Emak, mak cakaplah, susah nak bercakap dengan budak universiti ni,” malas Safwan lalu menyerahkan kepada emaknya untuk meneruskan perbincangan.

“Emak pun kesian kat Aizat tu. Dia nampak berkenan sangat dengan kamu, Suf. Suf tak sukakan dia, ke?” tanya emaknya pula. Puan Faridah lebih tenang bertanya, berbanding dengan Safwan yang kurang sabar. Soalan daripada dua ahli keluarganya itu memang membebankannya.

“Entahlah emak. Suf bukan tak cakap dengan dia. Suf tak bersedia nak fikir pasal hal ini… Suf dah cakap dengan dia. Tapi dia kata dia nak tunggu Suf juga. Apa yang Suf boleh buat lagi, emak?” jawab Sufrina yang sudah bosan mendengar soalan sebegitu. Sudah penat juga hendak dijawabnya. Semua orang bagai menyalahkannya kerana tidak memahami perasaan Aizat. Habis tu, bagaimana pula perasaannya sendiri?

“Suf, abang bukan suka sangat nak masuk campur hal adik abang. Tapi Suf satu-satunya adik yang abang ada. Suf dah besar, dah tahu buat pilihan. Kami suka dengan Aizat. Dia tak kekok dengan kita. Keluarganya pun tak jauh dari rumah abang. Dah hampir tiga tahun rasanya Suf rapat dengan dia. Takkan Suf nak anggap dia kawan aje?”

Abang Safwan seperti tidak faham-faham lagi dengan jawapan Sufrina. Hendak saja dia menjerit dan berlari-lari keliling taman perumahan mereka untuk memberitahu kepada semua orang. Dia tak suka dan tak suka!

“Terus terang, Suf anggap dia kawan saja. Suf belum jumpa ayah untuk Fiqah. Itu keputusan Suf.”

Jawapan Sufrina seperti tidak dapat diterima oleh mereka. Safwan hendak menyampuk, tetapi adiknya itu sudah dewasa dan sudah matang. Fikirnya, pelajar universiti seperti Sufrina pasti boleh membuat pilihan untuk teman hidupnya. Sufrina bukan budak kecil yang perlu dikerah dan dipaksa.

“Mak faham. Jelaskanlah baik-baik kat Aizat. Dia baik, pasti boleh dapat yang lebih baik,” pinta Puan Faridah yang bernada kesal. Hakikatnya, dia rasa kecewa dengan keputusan Sufrina. Anak bongsunya memang sukar difahami. Benarlah kata kawan-kawan seusianya, anak perempuan lebih susah dijaga apabila dewasa berbanding anak lelaki.

Sufrina termenung sepanjang perjalanan KTM ke KL Sentral. Sufrina masih mengingatkan pesanan emaknya.

“Bukan aku tak fikirkan tentang lelaki yang bergelar suami. Lelaki yang bakal menjadi ayah kepada Fiqah dan bakal anak-anakku yang lain. Tapi, Aizat bukan pilihanku. Dia baik, tapi aku tak ada jiwa dengannya. Senang cerita, dia tak ada ciri-ciri pilihanku. Aku juga mahukan Fiqah mendapat ayah yang dapat menerima kehidupan kami. Tapi bukan Aizat. Dia baik…memang sangat baik.”

Sufrina menangis dalam hatinya. Serba salah juga dibuatnya apabila hati dan mulutnya sama bersetuju untuk menolak cinta lelaki itu. Hendak saja dia menyuruh Rohaizat menjauhinya, tetapi dia juga tak mahu kehilangan seorang kawan yang baik.

“Ibu, ibu sedih?” tanya Fiqah yang duduk di sebelahnya. Sufrina berhenti mengelamun. Dia memeluk Syafiqah.

“Tak adalah, sayang. Kenapa? Ibu nampak sedih ke?” balas Sufrina kepada anaknya. Syafiqah seperti memahami perasaannya.

“Ibu, Fiqah menyusahkan ibu ke?” Sufrina berubah wajah. Dia memandang wajah Syafiqah lama-lama.

“Hei, kenapa cakap macam ni? Fiqah tak pernah menyusahkan ibu,” jawab Sufrina.

“Fiqah tak nak ibu sedih sebab Fiqah…” pinta Syafiqah. Ada air mata bertakung di dalam sepasang matanya yang kuyu. Sufrina merasa hairan. Adakah dia fikir masalah ibunya dengan Rohaizat disebabkan dirinya?

“Fiqah, sejak kecil ibu jaga Fiqah. Fiqah buat ibu ketawa dan sangat bahagia. Percayalah. Fiqah tak pernah buat ibu sedih.”

Syafiqah menyambut pelukan ibunya dengan penuh erat. Dia merasakan dirinya selalu menyusahkan Sufrina. Dia tahu. Ibunya ini bukan ibu yang melahirkannya. Sufrina pernah memberitahunya bahawa gambar yang tergantung di dalam biliknya itu, adalah wajah ibunya yang sebenar, Sazrina. Sufrina tak mahu berbohong dengan mengatakan dialah ibu kandungnya. Dia tak mahu apabila dewasa kelak, dia tercari-cari asal usulnya sendiri.

“Fiqah sayangkan ibu…” bisik Syafiqah. Tersentuh hatinya mendengar ucapan itu.

“Ibu juga sayangkan Fiqah…” balas Sufrina. Perjalanan ke rumah sewanya dirasakan pantas berlalu.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : Dan Sebenarnya…cinta 2,3”
  1. Nia says:

    Menarik ! Smbung cpt ye ^^

  2. eja says:

    ada blog x?

  3. zue says:

    besh!!! ^^

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"