Novel : Revolusi Muda 11

5 April 2012  
Kategori: Novel

158 bacaan Jom bagi ulasan

Oleh : aina balqis

Bab 11

Di alam bottleneck

Bukan alam sebarang alam

Ini alam penuh gentingan

Bukan genting beratap genting

Ini genting padat gelora

Bukan gelora berombak gelora

Ini gelora padah menyeksa

Bukan seksa cinta menyeksa

Ini seksa seluruh bangsa.

Jun 1989

1 : SETELAH 24 jam berlalu….

YA ALLAH!

Tanpa sebarang kekuatan, sememangnya tidak banyak yang dapat dia dilakukan buat masa ini. Apa yang tergambar di depan matanya adalah di negara Malaysia kini. Bukan di kota Seoul di mana para siswazahnya berani menidakkan kata putus pemerintah. Bukannya di Dataran Tiannamen di mana hasilnya negara China mula membuka pintu dan jendela kepada dunia luar.

Tidak juga di Semenanjung Gaza seperti selalu, menyaksikan keterlantaran rakyat palestin hari demi hari. Sengsara warga palestin masih belum mencapai 100 tahun lagi. Manakan sama dengan penderitaan orang-orang melayu di bawah penjajahan Portugis. Zaman itulah zaman yang terlalu perit bagi sejarah nenek-moyang warga melayu sebelum negara mencapai nikmat merdeka.

Merdeka adalah satu rahmat dari Tuhan. Sebagai seorang warganegara, dia merasa bertanggungjawab untuk menjaga kemerdekaan negaranya daripada terus dicabuli. Penjajahan kali kedua oleh bangsa yang sama tidak akan berulang lagi.

Di hadapan Adam kedapatan 5 ruang wad berasingan yang menempatkan setiap jenis kemelaratan. Koma, kecederaan parah, neorologi, dan psikotik. Cukup mengerikan. Limpahan darah dan kehilangan air mata telah sama banyaknya. Mangsa-mangsa merupakan ratusan pelajar pilihan yang tidak berdosa sedang terbaring nazak tanpa kerelaan. Keparahan tanpa membabitkan sebarang guna peluru atau mata pisau. Kecacatan anggota, koma dan psikotik bakal menyelubungi mereka nanti. Masa depan yang menunggu penuh api dan debu.

Bagi Adam mangsa-mangsa pengeboman bukanlah calang-calang pelajar – kesemuanya adalah calon-calon yang bakal menerajui negara ini kelak tidak kira di dalam bidang apa. Di satu masa yang belum diketahui namun pasti, negara ini akan mundur oleh kehilangan mereka. Negara ini akan lemah dan hilang daya saingannya. 10 tahun, 20 tahun paling lewat 30 tahun tanpa pengganti.

Jikalau tersilap percaturan, lambat-laun negara ini bakal dijajahi semula. Kerana itulah adanya slogan pemuda-pemudi tiang negara, harapan bangsa. Tanpa tiang, bumbung negara akan runtuh berkecai tanpa sokongan para manusia yang bijaksana.

Bilangan pelawat melebihi hampir lima kali ganda daripada bilangan pesakit yang ada. Selain daripada ahli keluarga dan sanak-saudara mangsa, yang turut prihatin terdiri daripada para wartawan, orang-orang kenamaan, wakil-wakil pihak kementerian dan wakil-wakil negara jiran.

Situasi muram masih berlanjutan semenjak ketibaan Adam. Dari kejauhan dia hanya meninjau dari dinding cermin lutsinar, Dia tidak dibenarkan masuk kerana ada keraguan yang munasabah, memiliki identiti yang mengkaburkan. Dia adalah rakan baik seorang pengganas. Pergerakannya juga akan diawasi. Akan ada mata-mata polis galak memerhati.

Beredar dari bangunan hospital, dia kembali memfokuskan perkara yang lebih merumitkan. Amran masih lagi di dalam tahanan reman, menunggu hari-hari perbicaraan. Seorang remaja yang terhimpit dalam pergolakan dunia politik yang cukup dewasa.

Adam mengharapkan sahabat karibnya akan tabah menghadapi cabaran hidup sebagai banduan termuda. Hati remaja itu perlu lebih cekal dan kental. Sementara hati ini tidak akan tenang selagi keruh belum bertukar jernih, yang gelap menjadi terang.

YA RABBI!

Akhbar harian Utusan Negara yang baru dibeli ditatapnya berkali-kali dengan perasaan yang tidak berpuas hati. Tajuk muka surat hadapannya rasanya sudah cukup untuk melariskan jualan akhbar untuk ke angka yang melebihi 3 kali ganda. Pastinya berebut-rebut rakyat ini mendapatkan setaip inci perjalanan peristiwa.

Kuala Lumpur – Seorang pelajar pengganas bakal dihadapkan ke mahkamah Juvana pada keesokan hari.

Pengganas Remaja? Cukup senang menuduh tanpa menunggu hukuman dijatuhkan. Bukti yang ada seakan digesa oleh keadaan. Melatah itu dan ini bila berkesempatan.

JIHAD : Sepanduk besar ‘ Selamatkan Al-Aqsa’ terpampang dalam satu bantahan anti Israel di Jakarta semalam. Bantahan turut diadakan di luar kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta. Di pusat bandar, penunjuk perasaan itu menjerit slogan anti Amerika di luar kedutaan dan ramai juga yang mengibarkan bendera Palestin.

Berita kecil turut menceritakan tentang negara Korea Selatan dan China telah berpakat untuk membantah hasrat Jepun untuk memiliki kuasa veto dalam pertubuhan PBB. Sejarah silam kekejaman tentera Jepun terhadap warga China dan Korea telah dikupas satu persatu demi pembentangan bukti yang sempurna.

Di negara India pula, kedapatan siri rusuhan agama yang masih tak kunjung reda. Islam serang Hindu. Hindu rejam Islam. Masjid dibakar, kuil dirobohkan. Manusia disembelih bagaikan ayam. Manusia dibakar bagaikan ikan. Emosi kehidupan diserabuti oleh marah dan dendam. Semua gejala ini berlanjutan tanpa ada titik kesudahan.

Di muka surat yang lain pula pada ruangan yang agak sederhana didapati ada petikan suara hati pemimpin Singapura yang menasihati kerajaan Malaysia agar bijak bertindak umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Penahanan Amran yang disifatkan sebagai ala Gestapo membabitkan maruah negara mereka juga.

Sementara itu di petikan bersebelahan yang lebih kecil, Perdana Menteri Russia turut menasihati kerajaan untuk menimbang semula dakwaan mengenai komplotan warga British yang terlibat dalam siri pengeboman berangkai. Sebelum menuding jari periksalah dulu 4 anak jari yang lain.

Berita lain pula dipenuhi dengan kekecohan di mana berlaku hampir di semua negara.Apakah ini satu kebetulan? Atau sememangnya malapetaka sedang menduga hidup manusia di mana saja?

2 : SETELAH 48 jam berlalu….

LANGIT berpayung mendung, bumi menunggu kebasahan hujan. Pagi syahdu di tapak perhimpunan, sesudah lagu kebangsaan Negaraku dinyanyikan, pengetua Ishak membuat ucapan sebagaimana kebiasaan. Wajahnya nampak tenang namun hati yang gundah-gulana hanya segelintir yang faham.

“Kepada pelajar-pelajar muslim, marilah kita berdoa agar roh-roh mangsa pengeboman itu agar tenang di sisi Tuhan. Al-Fatihah..“

Setelah bertafakur sejenak, beliau telah memberikan satu taklimat penting. Bahawasanya satu mesyuarat pengetua-pengetua seluruh negara telah diadakan. Demi keamanan, sebulat suara telah pun bersetuju bahawa segala bentuk demonstrasi akan diharamkan.

“Satu memorandum dikeluarkan oleh pihak kementerian. Barang sesiapa yang terlibat dalam demonstrasi atau sebarang bentuk rusuhan, pelajar-pelajar terbabit akan digantung persekolahan. Mana-mana guru atau pemimpin pelajar yang terlibat dalam mengepalai mana-mana demonstrasi akan diberhentikan serta-merta selepas dikehendaki mengemukakan surat tunjuk sebab.“

Para murid terdiam menunduk sepi. Marah dan benci berselindung di lubuk hati. Masing-masing hanya mampu merenung muram sesama sendiri.

Pengetua Ishak melanjutkan penerangannya lagi.

“Ini membabitkan soal keselamatan negara. Pihak polis telah dikerahkan untuk mengawal situasi sekolah. Tiada kemaafan bagi mereka yang terlibat. Saya berharap sangat para pelajar sekolah ini dapat mematuhi peraturan tersebut“

Meskipun pahit untuk ditelan, begitulah kesimpulan yang diberikan

Waktu begitu deras berlalu. Secara zahir segala gerak persekolahan perlu kembali berjalan lancar. Kecuali aksi-aksi nakal para pelajar seperti tiada lagi di sana sini. Namun Adam percaya topik para pelajar di mana-mana jua sekelip mata pasti bertukar ke arah topik pengeboman berangkai. Para pelajar sekolah Seri Sendaya pastinya masih diwabaki demam demonstrasi.

Guruh menggegar lantang mengisi ruang dengar, namun tiada langsung titis hujan yang menimpa bumi. Situasi penuh terharu terus menyelubungi. Menerusi saluran media masa, setengah pihak masih menunggu keputusan terkini.

Di waktu rehat sesudah loceng berderingan sekali, Adam telah dipanggil oleh Cikgu Ghaffar. Tanpa memberikan sebarang jawapan, Cikgu Ghaffar terus mengajaknya memasuki kamar Alat Pandang dan Dengar (APD). Cikgu Che Seah turut berada di situ. Akhirnya ketiga-tiganya berwajah gusar dengan hati menyimpan debar.

Dugaan Adam memang tepat sekali. Guru disiplin itu ingin menunjukkan sesuatu yang amat penting padanya. Tak kenal maka tak cinta. Guru disiplin sekolahnya itu semakin diketahui rupa-rupanya mempunyai kredibiliti yang amat menarik dan menyenangkan sekali.

“Awak tahu tentang usaha penat-lelah Amran dalam revolusinya di Sekolah Seri Sendaya?

“Belum lagi cikgu..saya sekadar tahu secara ringkas saja“

“Memang cukup menakjubkan..“

Tanpa memberikan penerangan lanjut, Cikgu Ghaffar memainkan satu petikan video. Di atas paparan skrin kelihatan satu siri ucapan di perhimpunan pagi sekolah yang dilakukan oleh Amran selaku ketua Pengawas.

“Lihatlah..dalam beberapa bulan saja, Amran telah berjaya merubah sekolah Seri Sendaya….“

Paparan video direnungi dengan penuh erti. Struktur pengucapannya bagaikan Presiden Sukarno yang terkenal kerana berjaya menyatukan rakyat Indonesia yang mendiami lebih daripada 1000 buah pulau.

“Dia memang seorang reformis…reformis sejati..“,

Demikianlah pengakuan ikhlas Adam. Cikgu Che Seah masih diam memerhati paparan video tersebut.

“Cikgu rasa kita tidak punya banyak masa lagi“, jelas Cikgu Ghaffar lagi.

“Apa maksud cikgu?“

“Pengeboman itu barangkali hanya satu permulaan..“

“Ya..saya juga bersependapat dengan cikgu..Pasti akan ada yang lebih dahsyat akan berlaku..“

“Komplot asing itu perlu diburu..“

“Tetapi apa bukti yang kita ada?“ tiba-tiba saja Cikgu Che Seah mula bertanya. Mereka bertiga saling bertentangan mata sambil meresahi perkara yang sama.

Cikgu Ghaffar melanjutkan penerangannya.

“Kewujudan Amran dapat dihidu oleh komplot asing yang menyebabkan Amran mengambil keputusan berpindah sekolah. Dengan perpindahan itu strategi mereka terpaksa dirombak semula..namun ternyata mereka lebih pintar, mereka telah membuat rancangan lain pula dan beginilah jadinya..“

“Bagaimana kita ingin buktikan yang dalang itu sebenarnya hanya klon semata-mata?“ Setelah bertanya, Adam semakin berminat untuk mendengarkan.

Namun belum sempat Cikgu Ghaffar meneruskan penjelasan, gegendang telinganya menangkap bunyi siren sedang menghampiri perkarangan sekolah. Ketiga-tiga mereka bergegas keluar dari bilik APD. Sebuah kereta polis peronda didapati sedang berada di hadapan pejabat sekolah. Bagaikan ada satu tarikan medan magnet, mereka menghampiri 2 anggota polis yang sedang berbicara dengan pengetua Ishak di luar koridor.

Memang sudah diduga oleh Adam. Satu dugaan yang memaksa fikirannya kian memuncak gelisah. Sebaik saja kereta polis peronda meninggalkan sekolah, pengetua Ishak berpaling kepadanya lalu memberikan sepucuk surat tanpa sebarang kata.

“Surat apa ini, tuan pengetua?“ soal Adam dengan penuh curiga.

“Surat perintah dari mahkamah agar kamu menjadi saksi perbicaraan Amran.
“Mahkamah Juvana?..di mana?”

Belum sempat pengetua Ishak memberikan jawapan, Bernard dan Jerry Leong lantas tiba untuk memaklumkan tentang demonstrasi yang sedang berlaku di luar Mahkamah Juvana. Puluhan pelajar Sekolah Tinggi Sendaya telah terlibat sama.

“Bukankah demonstrasi telah diharamkan?” Pengetua Ishak sengaja bertanyakan demikian dengan wajah yang cukup berang.

3 : SETELAH 72 jam berlalu….

DI DALAM mahkamah, ruang tempat duduknya telah penuh menyebabkan ramai yang terpaksa berdiri.

Puan Zaiton selaku Pengetua Sekolah Seri Sendaya baru saja menamatkan sessi soal jawab sebagai saksi pertama. Hasil bersoal jawab dengan pihak pendakwaraya dan peguam bela, beliau banyak menerangkan tentang usaha Amran dalam menegakkan semula disiplin para pelajar sekolah namun masih belum membuktikan aktiviti selebihnya yang Amran lakukan di luar waktu persekolahan. Pihak pendakwaraya masih bekerja keras mencari sejumlah bukti bahawa telah wujudnya unsur-unsur terrosistme di kalangan anak-anak remaja.

Kelihatan ketika ini Nek Besah sedang berada di dalam kandang saksi, baru saja mengangkat sumpah untuk bercakap benar demi sesi soal-jawab dengan pendakwaraya.

“Benarkah Amran semenjak tiga bulan kebelakangan ini sering menghilangkan diri pada setiap hujung minggu?”

“Benar…”jawab Nek Besah sambil terbatuk-batuk kecil.

“Pernahkah dia memberitahu di manakah dia berada ketika itu?”

“Tidak..”

“Apakah selama ini Amran tidak pernah memberitahu setiap kali keluar rumah?”

“Tidak..Lagipun dia sudah dewasa, saya tidak mahu menghalang kebebasannya..“

“Tanggal 13 februari 1989, Amran didapati tidak hadir di sekolah dan telah menghilangkan diri selama tiga hari,dua malam…benarkah begitu?”

Nenek Besah kelihatan teragak-agak untuk menjawab. Soalan yang diterima benar-benar memaksanya berfikir lebih dalam daripada kebiasaan. Namun usia yang lanjut tidak mengizinkan. Lidahnya tiba-tiba menjadi kelu sebelum tiba-tiba saja dia tersedu-sedan selepas itu. Para hadirin mula menunjukkan wajah kurang senang dengan kejadian itu.

Melihatkan fenomena itu peguam bela mengemukakan bantahan sambil berdiri.

“Tuan hakim saya minta pihak pendakwaraya perlu berhati-hati dalam mengajukan soalan memandangkan usia saksi ini tidak berapa mengizinkannya berfikir secara pantas…dan diminta juga agar pihak pendakwaraya agar dapat berlemah-lembut dengan resam budaya kita agar menghormati orang tua..”

“Bantahan diterima…“ jawab Hakim tanpa ragu-ragu. Wajah pendakwaraya menunjukkan rasa keliru.

“Tuan Hakim…demi Allah..cucu saya tidak bersalah…bebaskanlah dia..“

Setelah berkata demikian, Nek Besah ternyata telah gagal mengawal emosi. Menyedari tubuhnya ingin rebah ke lantai, serta-merta Adam bingkas bangun dari tempat duduknya untuk pantas membantu.

Hakim berbangsa Serani itu mengelengkan kepala. Serentak dengan itu sessi perbicaraan diputuskan agar dapat direhatkan buat sementara waktu.

LANGKAH demi langkah diatur untuk memasuki kandang saksi. Dalam seumur hidup, inilah pertama kali dia berpakaian kemas dan wangi. Nampaknya kali ini Adam tidak terkecuali untuk terlibat sama.

Seluruh mata kini sedang tertumpu ke arahnya. Darah gemuruh mula menerpa. Sebaliknya dia cuba menenangkan fikiran lalu merenung ke arah Amran yang berada di sisi peguam bela. Wajah reformis itu cukup tenang dengan senyum menguntum yang dilemparkan. Dia merenung pula wajah Nek Besah dan Tuk Baharom. Kedua-dua wajah itu jelas terlalu mengharapkan satu keajaiban dari hujah-hujahnya nanti.

Setelah mengangkat sumpah sebagaimana diperintahkan dia terus mendiamkan diri, bersedia menanti agar bersungguh-sungguh untuk menjawab segala pertanyaan yang bakal diajukan.

“Saudara Adam, dari keterangan yang diambil anda merupakan seorang pelajar yang paling rapat semasa defendan masih bersekolah di Sekolah Seri Setanggi..”

“Ya, benar..“

“Berapa lama saudara kenal dengan Amran?”

“Semenjak dari tingkatan 2 hinggalah sekarang”

“Awal tahun ini kamu berdua pernah bergaduh besar..benarkah begitu..?”

“Itu hanya masalah peribadi saja..dan tidak lebih dari itu..”

“Bukan kerana cemburu?”

“Cemburu?..cemburukan apa?”

“Bukan kerana Amran merasakan yang kamu lebih berbakat besar darinya?”

Mendengarkan itu anak mata Adam lantas tertembung pandang dengan Amran.

“Tidaklah..saya tidak pernah merasakan sedemikian..“

“Daripada data-data yang saya perolehi mendapati kamu adalah satu-satunya pelajar terbaik dalam pencapaian SRP yang masih bersekolah di Seri Setanggi. Kenapa kamu bertindak tergesa-gesa menolak tawaran ke sekolah teknik Cheras?“

“Saya…saya kurang berminat..”

“Jikalau begitu kenapa awak memohon kalau tidak berminat?”

“Sebenarnya saya menunggu jawapan kemasukan MRSM tetapi gagal. Sekolah teknik hanyalah pilihan kedua saya ..”

“Setelah awak mendapat tawaran ke Sekolah Teknik Cheras tetapi awak menolaknya. Adakah penolakan sekolah teknik itu adalah disebabkan oleh pujukan defendan?”

“Tidak, sebenarnya saya sendiri yang merasa keberatan”

“Dan di samping itu anda juga bergiat serius dalam teater dan pidato..tidak begitu?”

“Saya hanya menyumbangkan skrip untuk teater..itu saja. Sementara itu guru-guru di sekolah telah menasihati saya agar mengisi lompang yang ditinggalkan oleh saudara Amran dalam pidato …itu saja…”,

Percakapan Adam ternyata lancar dan tenang. Para hadirin mahupun pendakwaraya agak terpegun mendengarkan.

“Apakah perasaan defendan apabila beliau mendapat tahu akan kemasukan anda dalam pertandingan pidato?”

“Saya tak tahu perasaan orang….saya, saya bukannya akhli psikologi”

“Maksud saudara?“

“Saya cintakan sastera..saya sayangkan bahasa..saya sukakan perjuangan, saya tahu dalam sastera dan bahasa ada sesuatu yang mesti diperjuangkan..”

Pendakwaraya kematian akal untuk bertanyakan lagi. Beliau memutuskan untuk tidak meneruskan sessi soal-jawab. Sebaliknya pula meminta kebenaran hakim untuk memindahkan perhatian para juri dengan menyelitkan paparan rakaman CCD kamera.

Setelah hakim memberikan persetujuan, pendakwaraya lantas memainkan peranan. Berbantukan sebuah projektor, wayang tersebut dimainkan.

Adam cuba memejamkan mata bagaikan enggan percaya. Di dalam rakaman itu kedapatan seorang klon yang menjelma menyerupai struktur fizikal Amran. Secara zahir Amran dan klon di layar skrin itu benar-benar serupa. Kecuali gaya pakaian yang tampak lebih dewasa.

“Menurut beberapa orang saksi dan rakaman CCD kamera ini, Amran memang sering kelihatan di kedua-dua sekolah terbabit pada setiap hujung minggu kerana sedang melakukan kerja teknikal, berpakaian seperti seorang juruteknik yang ingin memperbaiki sambungan pendawaian elektrik di blok-blok bangunan.”

“Selain daripada rakaman ini, siapa saksi-saksi tersebut?” Peguam bela bangun bertanya.

“Tukang kebun dan para pekerja kantin sekolah, kerani…”

“Saksi terdekat tidak ada?” soal peguam bela lagi.

“Ada beberapa orang tetapi mereka sudah jadi arwah…kita masih belum tahu lagi jumlah pelajar yang meninggal dalam letupan itu : 150 orang lebih daripada suku jumlah keseluruhan dan hampir kesemuanya adalah pelajar tingkatan lima…”

Ruang mahkamah agak bingit seketika. Perbalahan pendapat sedang tercetus di kalangan para hadirin dan juri. Dalam keriuhan yang tidak terkawal, secara tiba-tiba saja kedengaran satu bunyi yang kuat di atas bumbung mahkamah bagaikan telah dihempap sesuatu. Bunyi dentuman bertalu-talu tanpa henti menyebabkan dinding-dinding mahkamah benar-benar bergegar.

Ruang mahkamah semakin bingit. Para hadirin semakin panik. Pihak hakim terpaksa menangguhkan perbicaraan sekali lagi dan meminta agar semua hadirin agar dapat bertenang.

“Di luar mahkamah sedang berlaku rusuhan!!.”

Kedengaran jeritan seorang pegawai polis yang baru muncul dari pintu hadapan. Wajahnya agak cemas sekali.

“Berundur semua!..Berundur!..sessi perbicaraan sedang dijalankan“

Dari pintu hadapan yang belum tertutup sepenuhnya, amaran dari pembesar suara milik pihak FRU tidak berapa jelas kedengaran.

“Diharapkan semua pelajar dapat bertenang dan pulang ke rumah masing-masing!..” Laungan suara dari pembesar suara itu bergema lagi.

Adam beristigfar panjang, seperti dapat menjangkakan apa yang telah berlaku di luar sana. Di dalam mahkamah, masing-masing sibuk memasang telinga, dengan hati penuh debaran menantikan apakah yang berlaku seterusnya.

4 : SETELAH 86 jam berlalu….

SITUASI persekolahan tidak seperti minggu-minggu berlalu. Bagi sesetengah pelajar dan guru, waktu rehat bukan lagi menjadi waktu menjamu selera. Akhbar-akhbar yang dipinjam dari bilik guru telah menjadi satu jamuan yang lebih menyelerakan.

Berita tentang penahanan sekumpulan pelajar Sekolah Seri Sendaya yang terlibat dalam rusuhan di hadapan Mahkamah Juvana terpampang di muka surat hadapan Utusan Negara. Petikan akhbar juga disusuli dengan satu petikan berita nestapa. Akibat rusuhan terbabit, kedapatan seorang remaja telah mati terpijak, sementara 2 remaja yang lain mengalami cedera parah ketika berpusu-pusu melarikan diri dari gas pemedih mata.

Memandangkan mereka terdiri daripada para pelajar, pihak kerajaan mengambil keputusan agar FRU tidak lagi menggunakan gas pemedih mata. Ditakuti akan menyebabkan kematian berulang. Sejajar dengan itu alternatif lain seperti pancutan air bertekanan tinggi akan digunakan.

Kawalan ketat imigresen turut dikuatkuasakan serentak di semua pintu masuk dan keluar negara, jalan darat, air mahupun udara temasuklah di tambak Johor dan sempadan Thailand. Penggubalan undang-undang ke atas juvana juga telah dibentang di sidang parlimen agar remaja bawah 18 tahun boleh didakwa di Mahkamah Tinggi.

Satu petikan kecil turut memaparkan keresahan pihak kerajaan dan kementerian di atas perkembangan yang tidak sihat ini. Tiada jalan lain selain penggantungan pelajar sekolah yang terlibat walau pun ini kurang membantu.

“Tak sangka yang Amran rupanya betul-betul berkarisma…sehingga ada yang sanggup masuk lokap kerananya..”, Lingam membuat kesimpulan.

“Tanda-tanda kelahiran seorang pemimpin apabila ada sekumpulan manusia yang akan setia menurut katanya, mengikutinya dan sanggup mati kerananya.“ Adam memberikan pendapatnya.

“Tetapi kita..apa yang patut kita lakukan?..takkan mahu berpeluk tubuh saja?” soal Iqbal pula.

“Walau apa cara sekalipun kita mesti menolong Amran..kita mesti!..”, jawab Bernard dengan bersungguh-sungguh sekali.

“Tetapi bagaimana caranya?..berdemonstrasi tidak akan membantu apa-apa malah mengeruhkan keadaan…berbincang?..nak berbincang dengan siapa? Polis, hakim atau menteri…Atau, mencari bukti?”

“Mencari bukti Amran tidak bersalah bukannya kerja senang…pertamanya kita harus mencari bukti bahawa Amran menghilangkan diri pada hampir setiap hujung minggu kerana ingin menyiapkan sebuah novel secara rahsia…tetapi di manakah manuskrip itu?”

“Berada di rumahnya adalah satu kebarangkalian..tetapi kalau pun ada di situ tentunya sudah disita oleh pihak polis untuk tujuan siasatan..”

Memandangkan masa tidak mengizinkan, pembahagian kerja akhirnya terus diberikan. Seusai sessi persekolahan, Adam terus bertolak menuju ke rumah Amran sementara Iqbal dan Bernard ditugaskan ke Mahkamah Juvana. Azhar masih lagi sibuk dalam latihan teaternya. Sementara Lingam dan Jerry Leong akan pergi ke Sekolah Seri Sendaya untuk memberikan pandangan bahawa demonstrasi tidak akan membawa apa-apa perubahan.

DI DALAM kamar itu hanya terdapat kesan-kesan penggelidahan pihak berkuasa. Tiada apa-apa yang menarik pandangan kecuali terdapat sebuah dairi dan sebuah buku tulisan Menteri Pendidikan berjudul ’Menangani perubahan’. Di dalam terdapat satu catatan berhuruf besar berbunyi : Benarkah sebelum kedatangan Portugis dunia melayu begitu tenteram dan damai? Beberapa buah sajak ciptaan yang terperam juga terselit dicelahan muka surat yang tertentu.

Keluar dari kamar Amran sambil ditemani Tuk Baharom, didapati pula Puan Safiah baru saja pulang dari penjara. Berita sedih yang dibawa mengatakan Amran tidak dibenarkan di ikat jamin atas sebab-sebab keselamatan negara.

“Makcik sudah sampaikan pertanyaan saya kepada Amran?”

“Sudah …kamu kena cari bukti tulisan novel itu di dalam pondok di dalam kebun Tok Siak Bakar yang selalu kamu berdua pergi dahulu…”
“Hah?…Sampai ke situ ?..tapi saya sudah lama tak bertandang ke situ”

Sebelum meminta diri untuk pulang, muncul satu rahsia dari mulut puan Safiah mengenai sebab utama Amran berhijrah ke Malaysia. Pesan arwah bapanya, ketika lahirnya Amran mempunyai tanda-tanda untuk jadi seorang pemimpin besar. Dia sukar menonjol di Singapura tempat terbaik adalah di negara asal ibunya, Malaysia.

FIKIRANNYA masih belum tenang walaupun dia berjaya bersua muka dengan Puan Safiah. Ini diperkuatkan lagi oleh cerita dari mulut Nek Besah. Amran menghilangkan diri setiap minggu kerana ingin menyembunyikan rahsia dalam mempersiapkan satu novel tentang pengalaman peribadinya yang berjudul Juara Pidato.

Inilah masa untuk memperlakukan segala teori. Kata-kata mesti dikotakan.

Petang itu, hujan baru saja berhenti, namun langit masih berwarna kelabu. Hembusan bayu terasa begitu dingin dan segar. Benar-benar menandakan langsung tiadanya satu pencemaran yang berleluasa.

Kabus masih menyelimuti lereng bukit bertarah itu. Bunyi sahutan monyet seolah-olah sedang menyambut kedatangannya tempat dia meletakkan motosikal. Di bawah bukit itu kelihatan hanya dua buah kereta dan sebuah motosikal – langsung tidak memberikan petanda bahawa Tok Siak Bakar datang ke kebunnya hari itu.

Adam mula mendaki lereng menerusi anak sungai yang jerneh sambil menggeleng kesal. Dengan begitu teliti dia mula berloncatan dari satu batu ke satu batu yang meminggir anak-anak sungai yang tidak sama rata dan besar. Kesemuanya nampak kasar. Walaupun pernah dilarang oleh sesetengah orang tetapi sudah jadi kegemarannya untuk berloncatan seperti ahli sarkas. Batu-batu itu tetap licin walaupun dihinggap embun atau sesudah hujan, yakin hatinya lagi.

Sudah terlalu lama dia tidak lagi menjengah kawasan kebun itu. Semenjak perselisihan faham, dia hanya memungkinkan bahawa Amran juga telah bertindak sepertinya. Semangat berkebunnya telah berpindah ke Dengkel. Namun nyatalah jangkaaannya jauh meleset. Amran tetap mengunjungi kebun Tok Siak Bakar seorang diri di luar pengetahuannya.

LEWAT petang, barulah Adam pulang dari kebun Tok Siak Bakar. Hatinya berdebar kecewa dengan letih tubuh yang menyeksa. Manuskrip novel yang ingin dicarinya di dalam pondok atapun di persekitaran kebun itu langsung tak terjumpa. Dicuri orang ataupun kerana apa?

Setelah dimarahi bapa kerana tidak memberitakan sebarang pesan, paling tak diduga pula Tuk Ayah kini sedang berada dirumahnya. Kedatangan lelaki berusia 74 tahun itu mengingatkannya tentang watak Su Usul dalam novel tunggul-tunggul gerigis. Melebihi separuh abad namun masih utuh berbicara sekitar memori lama sebelum merdeka.

“Tuk Ayah?…bila sampai?“

Tuk Ayah tidak menjawab apa-apa melainkan menyambut salam dan ciuman tangan cucunya. Lalu bermulalah perbalahan kecil di antara 2 generasi berbeza. Secara ringkas masing-masing sepakat tidak setuju dengan perbuatan para remaja yang berdemonstrasi di pelusuk ibu kota.

“Dalam keadaan begini kita sepatutnya lebih banyak berdoa..minta petunjuk pada yang Maha Esa”, saran Tuk Ayah

“Secara jujur, saya pun tidak menyokong demonstrasi, tuk..“

“Atuk ingat lagi masa jepun menjajah..ini satu malapetaka sebenarnya nak menghalau penjajah bukan sekadar berlawan saja…ramai yang tak tahu bahawa orang-orang alim yang bangun tengah malam bertahajjud itu pun satu perjuangan namanya”

Merenung jauh di wajah Tuk ayah, Adam terlihat akan satu perjuangan yang tidak kelihatan. Bagaikan seekor semut hitam berjalan di batu hitam di malam pekat menghitam. Wajah Tuk Ayah kelihatan begitu bernyawa. Seolah-olah wajah itu bukan sekadar gabungan cat air yang dihasilkan oleh kreativiti sepasang tangan.

“Dulu kita tentang penjajah, sekarang ini tentang penjajah dalam bentuk berlainan pula..”

“Ini penjajahan bentuk baru,Tuk”

“Hidup ini sia-sia tanpa perjuangan. Hidup tidak bermakna tanpa perjuangan… perjuangan tak mengira usia..”

TERLALU sukar untuk Adam memejamkan mata. Walaupun letih tubuh telah lama terlena.

“Ayah kau dulu sibuk bercinta..mana dia tahu sangat tentang politik tapi bila datuk ditangkap british, dia mula termenung lama, dia mula tergesa-gesa menyusun langkah, waktu itu usianya sebaya kamu…masih remaja.. “

Selain daripada gangguan bisikan Tuk Ayah, kali ini dia teringatkan pula rusuhan kaum 13 mei, di mana ramai yang mati percuma. Andainya pihak British tahu, ada kemungkinan kemerdekaan akan ditarik semula.

“Orang melayu bimbangkan kuasa melayu tergugat sensitiviti orang melayu ..Tetapi rupa-rupanya penjajah sengaja menduga kita”

“Tak sangka…tarikh 1 April itu hanya April Fool buat bangsa kita..betul ke tuk?”

“Siapa kuat dialah kudrat..kuat dulu lebih kepada fizikal,

Mengenangkan keadaan Amran kini secara tidak langsung akan teringat jua sejarah perjuangan Onn Jaafar ketika berdemonstrasi menentang Malayan Union. Malayan Union bukanlah 1 kesungguhan. Penjajahan sengaja nak menguji kekukuhan melayu bersatu kita.

“Kuat sekarang lebih kepada minda..”

“Dari sejarah lalu Tuk belajar .kau faham bagaimana Datok Onn mengumpul orang-orang melayu agar berdemonstrasi semata-mata untuk membantah penubuhan Malayan union?”
„Dengan pidato..“

Ya, kenapa baru sekarang terfikir darah seni yang mengalir adalah berpunca dari bapanya sendiri. Bagaimanakah pula dengan datuknya? Moyangnya?

Pandangan peribadi Nek Besah satu ketika dulu menjentik ruang kepalanya pula. Secara peribadi beliau mendakwa di antara sebab-sebab kenapa melayu mundur adalah kerana leka dengan Seni.

Inilah punca kenapa Nek Besah membenci seniman Tan Sri P-ramlee. Namun itu adalah hak individu untuk membenci. Walaupun rata-rata semua orang melayu menyanjunginya sehingga kini. Paling tidak pun sekarang ada juga yang terkilan kerana hak cipta filem-filem itu bukanlah milik orang kita. Sudah menjadi khazanah orang lain.

Kata Tuk Ayah pula setiap genarasi ada perjuangan tersendiri. Setiap dekad ada visi yang perlu dipenuhi. Inilah medan perjuangan bangsa kita yang tak pernah berakhir. Bagi generasi kami ada bahagian-bahagiannya, bagi generasi kamu pula ada bahagian-bahagiannya. Sudah sekian lama kita berjuang menentang penjajahan, kini konsep perjuangan tidak pernah bertukar arah, namun harus bertukar tangan, perlu berganti generasi. Tanpa menukar visi.

Pidato Tuk Ayah masih terngiang-ngiang hinggalah Adam sedang berada di atas katilnya. Kali ini dia bertekad dengan penuh semangat. Keesokan hari dia perlu melakukan sesuatu yang lebih bermakna.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"