Novel : Teduhan Kasih 1, 2

2 April 2012  
Kategori: Novel

54,659 bacaan 6 ulasan

Oleh : Marissa

Novel terbaru daripada penulis novel BILA HATI KATA SAYANG. novel Teduhan Kasih akan diterbitkan di PESTA BUKU ANTARABANGSA

Bab 1

AKU hanya terdaya melihat Ryzal dan Ayu dengan perasaan yang cukup membara. Betul-betul aku tidak menyangka semua ini akan berlaku terhadap diriku. Sekelip mata semuanya berubah. Hancur dan berderai. Kepercayaan yang aku berikan terhadap mereka berdua telah dibalas dengan kecurangan. Sungguh menyakitkan hati. Sakitnya tidak terluah dengan kata-kata. Sakit dari segala yang sakit.

“Iffa, maafkan abang. Abang betul-betul tidak boleh berpisah dengan Ayu. Abang benar-benar cintakan Ayu.” Kata-kata Ryzal bukan lagi menghiris hati dan perasaanku bahkan telah menghancur lumatkan segala-galanya. Tergamak dia berterus terang begitu. Aku hanya bertanyakan gambar-gambar Ryzal bersama Ayu dalam keadaan mesra beberapa hari lepas dan kami bergaduh besar kerana itu. Hari ini, Ryzal dan Ayu tampil di hadapanku untuk menjelaskan keadaan sebenar. Luluh hati dan perasaanku bila mendapat tahu mereka sudah lama menjalinkan hubungan.

“Abang memang tak boleh berpisah dengan Ayu,” ulang Ryzal. Wajahnya jelas tidak menunjukkan rasa bersalah langsung. Seolah-olah berita yang dikhabarkan kepadaku itu adalah berita gembira dan mahu aku berkongsi sama kegembiraan itu dengannya. Sampainya hati Ryzal. Macamlah aku ini orang luar yang tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya. Lupakah dia aku ini isteri yang sudah bertahun-tahun hidup bersamanya? Semudah itu dia melupakan aku.

Apa ertinya semua ini? Apa maknanya dia tidak boleh berpisah dengan Ayu? Dia sudah cintakan Ayu? Tapi sejak bila? Kenapa aku tidak sedar semua itu sedangkan Ayu dan Ryzal sentiasa bersamaku? Kenapa aku langsung tidak terhidu hubungan mereka?

“Abang memang betul-betul sayangkan Ayu,” kata Ryzal lagi dalam nada paling menjengkelkan. Seperti aku ini bodoh benar hendak memahami maksudnya sehingga harus diulang-ulang setiap perkataan itu. Apakah hanya kerana aku berdiam diri bermakna aku bodoh? Tidak faham apa yang berlaku? Aku hanya mahu mengumpulkan kekuatan yang sudah hilang sebaik sahaja melihat Ryzal dan Ayu datang bersama tadi.

“Jadi, Iffa ni siapa buat abang?” Aku tanya Ryzal dengan berani. Air mata mula jatuh. Bukan sedikit rasa kecewaku pada saat ini. Aku benar-benar kecewa mendengar pengakuan Ryzal. Sudah tidak tertanggung rasanya.

Ryzal hanya membatukan diri selepas itu. Tidak berkata apa dan mungkin sukar untuk memberi jawapan jujur. “Siapa Iffa buat abang?” Aku ulang sekali lagi pertanyaanku dengan nada sedikit keras. Sambil air mata sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi. Luruh semuanya membasahi pipi. Sekilas aku memandang Ayu yang hanya membisu sejak tadi. Aku lihat Ayu seperti berusaha melarikan wajahnya dari menjadi tatapan marahku.

“Maafkan abang, Iffa. Abang tak boleh berpisah dengan Ayu. Abang tak pernah rasa begitu bahagia seperti abang rasa sekarang ini. Waktu abang bersama Ayu, abang benar-benar bahagia. Abang tak boleh lepaskan rasa bahagia abang begitu saja bila abang langsung tidak rasa bahagia bersama Iffa. Abang fikir…” Ryzal pandang wajah Ayu. Masa itulah Ryzal pegang tangan Ayu. Sakit hatiku bukan kepalang lagi. “Kita bercerai saja!” kata Ryzal kemudiannya.

Seperti ada batu besar yang sedang menghempap kepalaku. Seperti semuanya sudah hancur dan berderai satu demi satu. Inikah penghujung cerita cinta kami? Cinta yang kami pupuk hampir enam tahun?

“Semudah itu, bang? Abang dah lupa kasih sayang Iffa untuk abang selama ni, hanya kerana abang cintakan Ayu? Bang, Ayu tu kawan baik Iffa sendiri. Tergamaknya dia rampas abang daripada Iffa.” Aku pandang tepat ke wajah Ayu yang tidak bersuara langsung. Sampai sungguh hati Ayu melakukan perkara itu. Seperti sudah tiada lelaki lain di dalam dunia ini sehingga tergamak merampas suami teman baik sendiri.

“Ayu tak rampas abang daripada Iffa. Abang yang sukakan Ayu. Abang yang jatuh cinta dengan Ayu. Ayu tak bersalah dalam hal ni.” Ryzal nampaknya seperti sedang membela kekasihnya. Pengakuan Ryzal benar-benar menambah luka yang ada. Aku tidak akan maafkan Ryzal untuk kelukaan ini sampai bila-bila pun. Aku akan ingat kesakitan ini sehingga aku menutup mata.

“Maaf Iffa, kami dah terlanjur…” Akhirnya aku terdengar juga suara Ayu. Kalau begitulah tutur bicaranya, lebih baiklah dia tidak bersuara langsung.

“Sudah terlanjur? Apa maksud kau sudah terlanjur?” soalku dengan berani.

Ayu tunduk. Ryzal juga, namun tangan mereka masih berpegangan tangan. “Abang rasa benar-benar bersalah dan abang harus bertanggungjawab di atas perbuatan abang. Kami sudah tidak boleh berpatah balik, Iffa. Kami memang sudah terlanjur.”

Air mata sudah tidak tertahan. Dari tangisan kecil, tangisanku mula kuat. Ini satu pengkhianatan buatku. Sungguh aku tidak berdaya lagi. Suami dan sahabat baikku sudah melakukan perkara terkutuk itu. Hampir saja aku tidak boleh bernafas.

“Tergamak abang…” Tak sanggup aku teruskan kata-kataku lagi. Tersekat di situ dan sudah tidak tertanggung lagi. Tempat aku bernaung selama ini membuat onar di luar pengetahuanku. Bukan sekecil dosa. Terlanjur itu maknanya sudah berbuat dosa besar.

“Iffa tak nak bercerai. Kalau abang nak kahwin, abang kahwinlah. Iffa izinkan tapi Iffa tak nak bercerai. Iffa sedia bermadu,” putusku. Aku rela berkongsi kasih daripada aku kehilangan Ryzal terus. Aku masih sayangkan dia. Dan sampai bila-bila aku akan sayang dia.

“Tapi masalahnya, Ayu suruh abang buat pilihan. Jadi abang sudah putuskan untuk pilih Ayu. Maafkan abang!”

“Apa abang cakap ni? Abang pilih Ayu? Jadi bagaimana dengan Iffa? Bagaimana dengan rumah tangga yang kita bina hampir enam tahun ini?” Semudah itu Ryzal membuat keputusan? Lupakah dia, aku ini isteri yang dinikahinya hampir enam tahun. Dan dia pernah berjanji untuk menjaga aku seumur hidupnya. Mudahnya Ryzal mungkir janji.

Ryzal pandang muka Ayu. Ayu juga pandang muka Ryzal. Seperti mereka sedang berbicara sesama mereka. “Ayu tak mahu bermadu. Abang terpaksa buat pilihan sama ada pilih Iffa ataupun pilih Ayu. Jadi abang sudah ambil keputusan untuk pilih Ayu.” Masa itu aku sudah hilang sabar. Terus aku tarik rambut Ayu.

“Kawan tak guna!” kataku sambil menjerit kuat. Tiba-tiba aku rasa pipiku sudah pijar. “Kau tu yang tak guna!” Ryzal menjerit dan tolak aku ke tepi sofa. Terduduk aku jadinya.

“Abang…!”

“Mulai hari ini, aku ceraikan kau dengan talak satu. Tunggu saja surat dari mahkamah!” kata Ryzal dengan suara yang agak kuat. Kemudian aku nampak Ryzal ajak Ayu keluar. Aku hanya mampu menangis dan melihat Ryzal berlalu pergi. Tiada upaya untuk menahan Ryzal lagi.

SELEPAS itu Ryzal tidak pulang ke rumah beberapa hari. Puas aku menghubunginya namun gagal. Ayu juga gagal untuk aku hubungi. Aku bertanyakan juga kepada teman-teman Ryzal namun seperti semua sudah sepakat. Tinggal lagi aku tidak ke tempat kerja Ryzal saja. Demi maruah Ryzal, aku tidak tergamak memalukannya di tempat kerja walaupun perasaanku sarat dengan kemarahan. Sehinggalah kemunculan Puan Salina, emak mertuaku pada petang itu. Namun aku sudah dapat mengagak apa yang bakal berlaku. Kalau Puan Salina sudah muncul, bermakna yang mahu dikhabarkan bukanlah sesuatu yang baik.

“Ryzal sudah ceraikan kau. Buat sementara waktu, Ryzal akan berpindah semula ke rumah aku sehingga semuanya selesai. Dia minta kau keluar dari rumah ni segera. Dia nak cakap sendiri, dia tak sampai hati. Jadi aku harap kau faham!” kata Puan Salina dengan selamba dan langsung tidak teragak-agak. Wajahnya juga menunjukkan satu kepuasan yang tidak terhingga. Mungkin inilah harapannya dan mungkin mertuaku sangat gembira atas perceraian ini. Sejak mula Puan Salina tidak pernah mahu merestui perkahwinan kami. Tidak hairanlah kalau dia rasa begitu gembira.

“Mak, kalau Iffa keluar dari rumah ni, Iffa nak tinggal di mana lagi? Iffa bukan ada sesiapa untuk menumpang teduh. Iffa cuma ada Abang Ryzal saja. Dengan Abang Ryzallah Iffa bergantung harap.” Mataku jadi pedih. Tidak sangka Ryzal akan sekejam ini. Dia benar-benar sudah mencampakkan aku jauh tanpa rasa belas kasihan.

“Itu aku tak tahu. Itu masalah kau. Pandai-pandailah kau selesaikan sendiri. Dari awal lagi aku sudah cakap, kau berdua memang tak serasi langsung, tapi kau degil juga. Hah! sekarang padan dengan muka kau. Inilah balasan yang harus kau terima sebab tak mahu dengar cakap aku.” Puan Salina mula mengungkit semula kisah-kisah lama. Seperti selalu, kata-kata Puan Salina tidak pernahnya menyenangkan. Ada saja kekuranganku di matanya. Ada saja silapku yang menjadi bahan ungkitannya. Kalau sudah tidak suka, begitulah adatnya.

“Mak, Iffa merayu sangat-sangat. Sekarang Iffa sudah mengandung. Takkan Abang Ryzal tak nak anak dia? Takkan sampai benar hati Abang Ryzal buat Iffa macam ni!” Satu-satunya alasan yang mampu menyelamatkan rumah tangga kami adalah anak yang sedang aku kandungkan ini. Ini saja harapanku untuk memulihkan hubungan yang retak ini.

“Kau mengandung?” soal Puan Salina. Aku lihat ada perubahan pada wajah Puan Salina dan aku berharap benar emak mertuaku itu bakal gembira. Selama ini dialah yang paling mendesak untuk melihat aku mengandung. Sehinggakan tergamak menuduh aku mandul.

“Baru sekarang nak mengandung? Kau jangan fikir dengan kandungan kau tu boleh mengubah keputusan Ryzal. Walaupun kau sudah mengandung, aku akan pastikan dia tak akan balik kepada kau. Dia sudah ada Ayu. Aku rasa sekarang ini di antara kau dan Ayu, Ayu lebih sesuai untuk jadi isteri Ryzal. Dan aku memang sukakan Ayu.”

Air mata luruh juga. Sakit hatiku bukan kepalang lagi. Nampaknya Ayu sudah bertempat di dalam hati Puan Salina. Ayu sudah diterima dengan mudah. Sekian lama, aku cukup berusaha untuk mendapat tempat di dalam hati Puan Salina, dan Ayu lakukannya dengan mudah. Ternyata Ayu memang seorang perempuan yang licik.

“Tapi mak juga yang nak cucu. Mak juga yang suruh Iffa mengandung. Sekarang Iffa sudah mengandung. Takkan mak pun tak nak cucu mak? Mak mahu cucu mak ada keluarga yang kucar-kacir?” Aku masih berusaha untuk mengubah keputusan Puan Salina dan berharap usahaku ini bakal membuka sedikit pintu hati Puan Salina.

“Eh! Kau dengar sini, Iffa. Aku memang tak suka Ryzal kahwin dengan kau dari mula lagi. Aku tak setuju dan aku tak pernah merestuinya. Aku ikutkan saja cakap Ryzal sebab dia satu-satunya anak aku. Lagi satu, aku tak kisah dengan anak kau ni, sebab selepas ini aku percaya Ayu akan berikan aku cucu! Jadi tak perlulah kau nak ugut aku atau Ryzal dengan anak kau ni. Aku tak ingin cucu dari perut kau ni!” Suara Puan Salina sudah kuat. Semahu-mahunya dia melemparkan rasa benci terhadapku.

Air mata jatuh lagi.

“Kau ni memang jahat, Iffa. Sengaja rancangkan semua ini untuk menganggu kebahagiaan anak aku. Jenis perempuan apa kau ni, hah! Sanggup gunakan alasan mengandung untuk perangkap Ryzal? Tapi kau jangan mimpilah aku benarkan dia balik kepada kau. Jangan harap!” kata Puan Salina lagi. Kali ini kepala aku pula ditolak-tolak.

Air mata sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi. Laju menuruni pipi. Tergamaknya Puan Salina berkata begitu. Sampainya hati.

“Mak, kasihankanlah Iffa. Kalau mak tak kasihankan Iffa, mak kasihankanlah anak dalam kandungan Iffa ni. Dia tak bersalah dalam hal ini. Berilah dia peluang untuk menikmati hidup yang lebih sempurna.” Aku merayu. Sungguh-sungguh aku merayu. Sudah tiada jalan lain lagi. Kemudian aku melutut dan aku peluk kaki Puan Salina. Pantas Puan Salina menyepak aku. Tergerak aku sedikit.

“Aku sikit pun tak hairan dengan anak kau tu. Tak perlulah kau nak merayu-rayu, Iffa. Semuanya sudah tidak berguna lagi. Ryzal memang tak perlukan kau lagi. Jadi sekarang ini, kau lupakan sajalah Ryzal. Lepas ni pandai-pandailah kau nak hidup. Selagi aku hidup, aku tidak akan benarkan sama sekali Ryzal balik kepada kau. Aku memang bencikan kau. Kau kena faham tu.”

Aku sudah tidak terkata. Kalau Puan Salina tidak memberitahu sekalipun, aku sudah lama tahu dia memang bencikan aku.

“Aku nak cakap itu saja. Aku harap kau faham. Sila tinggalkan rumah ini segera. Ini rumah Ryzal dan Ayu. Kau tak ada apa-apa hak lagi!” Arahan Puan Salina seperti arahan untuk menggantung diriku. Semuanya sudah berakhir rupa-rupanya. Aku tidak boleh harapkan apa-apa lagi.

Puan Salina tinggalkan aku bersama esakan yang sudah memenuhi ruang tamu.

Bab 2

KEESOKAN harinya, aku mencari Ayu. Ingin mendapat penjelasan daripadanya. Selagi aku tidak mendengar penjelasan daripada mulut Ayu sendiri, aku tidak akan puas. Kali ini apa nak jadi, jadilah. Aku sudah tidak peduli. Tidak perlu menjaga hati Ayu lagi. Dia bukan lagi sahabatku yang perlu aku jaga hati dan perasaannya. Aku memang tiada kawan bernama Ayu lagi. Kawan aku bernama Ayu sudah mati.

Aku hadiahkan satu tamparan ke pipi Ayu sebaik sahaja dia membuka pintu pagar. Setakat itu sahaja kesabaranku yang mampu aku pertahankan. Kalau dia itu orang lain, aku kurang terkilan. Tetapi ini sahabat baikku sejak zaman sekolah lagi. Satu-satunya sahabat yang aku ada. Harapkan pagar, pagar makan padi. Rupa-rupanya dia jadi duri dalam daging tanpa aku sedari.

Ayu pegang pipinya yang berbekas dengan kesan tamparanku. Mukanya merah dan aku tahu dia sedang marah. Tetapi aku lebih marah lagi. Marahku sudah tidak terungkap dengan kata-kata. Perbuatannya benar-benar di luar batas kesabaranku.

“Sampai hati kau, Ayu. Tergamak kau hancurkan rumah tangga sahabat baik kau sendiri. Jenis perempuan apa kau ni? Kalau sekalipun kau begitu terdesak untuk bersuami, kenapa tergamak rampas suami kawan sendiri? Sudah habiskah lelaki di dunia ini sampai suami kawan sendiri juga yang kau nak!” Aku herdik Ayu tanpa mengira rasa malu lagi.

“Dasar perampas!” Aku menjerit.

“Eh! Untuk pengetahuan kau, aku tak rampas suami kau, Iffa. Ryzal sendiri yang tergila-gilakan aku. Aku tak boleh buat apa-apa lagi kalau setiap hari dia datang merayu aku,” ujar Ayu. Ada nada angkuh pada kata-katanya. Seolah-olah dia tidak bersalah langsung dalam hal ini.

“Tapi kalau kau tak sama naik, benda ni tak jadi bukan? Kalau kau sendiri tak nak, Ryzal pasti tak akan menaruh sebarang harapan kepada kau. Kau pun sama, Ayu!” Aku tengking lagi Ayu.

“Kau tak boleh salahkan aku Iffa, kalau kau sendiri tak pandai nak jaga Ryzal. Kalau kau pandai jaga Ryzal, aku rasa Ryzal tak akan berubah kasih. Dalam hal ni kau memang salah. Kau memang seorang isteri yang tak pandai nak jaga suami!” Suara Ayu juga semakin lantang.

“Perempuan tak guna!”

“Hey, kau tu yang tak guna! Tak sedar diri. Sendiri punya salah, tahu nak salahkan orang saja. Kau cermin dulu diri kau tu barulah nak buat tuduhan. Sekarang ni berambus kau dari sini sebelum aku panggil polis!” Ayu tolak bahuku dan terus tutup pintu pagar dengan kasar.

Tidak sangka begitu rupa-rupanya perangai Ayu. Betul-betul aku tidak menyangka, Ayu memiliki perangai seburuk itu. Aku begitu percayakan dia. Apatah lagi Ryzal dan Ayu satu tempat kerja. Rupa-rupanya di belakangku mereka berlaku curang. Sungguh-sungguh aku rasa begitu menyesal menjadi kawan Ayu.

Panggg!!! Hampir terpusing aku dibuatnya. Terasa sangat pedih pipiku. “Sekali lagi kau jumpa dengan Ayu, nahas kau aku kerjakan!” Ryzal menjerit. “Dasar perempuan tak sedar diri!” Rambutku ditarik dan terus Ryzal tolak ke dinding. Sakitnya bukan kepalang lagi.

“Abang cukup, Iffa sedang mengandung ni!” aku merayu. Kalau setakat aku saja, aku tidak kisah, tetapi ada satu nyawa lagi yang perlu aku selamatkan. Nyawa itulah yang perlu aku lindungi dengan sepenuh hatiku.

“Kau mengandung atau kau apa, peduli apa aku. Kau sudah terlalu berani menyerang Ayu. Kau sudah sentuh perempuan kesayangan aku. Perbuatan kau ni aku tak boleh maafkan sama sekali. Aku tak boleh diamkan begitu saja!” jerit Ryzal lagi.

Sakit sungguh hatiku mendengar kata-kata Ryzal. Perempuan kesayangannya? Jadi aku ini apa? Perempuan yang hanya untuk memuaskan nafsu dia saja?

“Abang, tergamak abang cakap macam tu. Abang memang tak sayang Iffa lagi?” Ke manakah pergi kasih sayang Ryzal sehingga sewenang-wenangnya aku dicampak. Bukankah aku yang setia selama ini terhadapnya. Inikah balasan yang aku terima setelah aku korbankan semuanya?

“Memang tak ada lagi kasih sayang aku terhadap kau. Kau ini terlalu menyusahkan aku. Selama aku hidup dengan kau, kau langsung tak pernah mahu menyenangkan hidup aku.” Bahasa Ryzal semakin kasar.

“Abang, sampainya hati abang. Langsung tidak menyimpan walaupun sedikit rasa sayang untuk Iffa. Abang, Iffa sekarang sudah mengandungkan anak abang. Abang tak nak anak abang?” Air mata mula luruh. Pilu dari segala pilu.

“Ingat aku kisah sangat dengan anak kau ni? Aku tak ingin anak dari perut kau ni!” Ryzal tendang pula belakangku. Sakitnya sudah tidak boleh tergambar, tapi aku cuba bertahan. Cuba melindungi perutku dari tindakan ganas Ryzal. Tak kisah kalau anggota badan lain Ryzal kasari, tapi jangan sesekali sentuh perutku.

“Kau ingat dengan anak ni kau boleh paksa aku ubah keputusan aku? Kau nak ugut aku dengan anak kau ni? Eh! Kau jangan haraplah aku akan ikut kehendak kau. Aku tetap dah ceraikan kau!”

Luluh perasaanku.

“Aku nak kau gugurkan kandungan kau ni. Aku tak nak anak ni. Aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan kau. Aku tak nak disebabkan anak ni akan menganggu kebahagiaan aku dengan Ayu! Kau gugurkan sekarang juga!” jerit Ryzal lagi.

“Abang…!” Aku sudah tidak boleh lagi menahan perasaan. Tergamak Ryzal berkata begitu. Sedangkan anak ini juga anak dia. “Ini mesti Ayu yang suruh, bukan? Ayu yang minta supaya abang paksa Iffa gugurkan kandungan. Semua ni kerja Ayu, bukan?” tekaku. Aku yakin Ayu yang menghasut. Kalau tidak, pasti Ryzal tidak memaksa aku gugurkan kandunganku.

Ryzal diam. Diam Ryzal buat aku tambah yakin semua ini mesti kerja Ayu. Memang perempuan tu bukan manusia. Perempuan paling jahat. Sudahlah dia berjaya menghancurkan rumah tanggaku, sekarang dia mahu membunuh anakku pula. Kau jangan fikir kau boleh menang kali ni, Ayu.

“Abang, sudah lama kita menantikan kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga kita. Inilah anugerah Tuhan untuk kita. Masakan abang sanggup suruh Iffa gugurkan.” Aku merayu bersama tangisan.

“Ini keputusan aku. Aku nak kau gugurkan kandungan kau sekarang juga! Kau faham tak?” kata Ryzal selepas dia diam buat seketika.

“Tidak bang, Iffa tak akan gugurkan kandungan Iffa. Iffa nak anak Iffa. Iffa tidak mahu menjadi seorang pembunuh.” Aku bertegas. Kali ini aku perlu pertahankan hak untuk hidup anakku. Apapun yang terjadi, aku akan pertahankannya meskipun nyawaku sebagai gantinya.

“Jadi kau nak ugut aku dengan anak kau ni?” tengking Ryzal.

“Iffa terima semua keputusan abang. Tak mengapa abang ceraikan Iffa, Iffa akan terima. Tapi Iffa tak sanggup untuk gugurkan anak Iffa. Iffa tak sanggup!”

“Baik. Kalau kau nak kandungkan juga, suka hati kaulah, tapi jangan sesekali ugut aku dengan anak kau ni. Aku bunuh nanti. Sekarang aku nak kau berambus dari rumah aku ni. Aku tak nak tengok muka kau lagi. Berambus!” Ryzal menjerit lagi.

Baik, kalau itu yang dia inginkan. Aku akan keluar dari sini. Aku pergi dan aku bersumpah, aku tak akan pijak lagi rumah ni.

“Abang jangan bimbang. Iffa akan keluar dari rumah ni. Tapi Iffa harap, abang jangan menyesal nanti.” Bersama sakit di badan, aku atur langkah ke bilik. Hendak mengemas pakaianku.

“Sebenarnya, aku yang terlalu menyesal kerana berkahwin dengan kau. Betul kata emak, kau ni memang perempuan bawa malang. Selama aku hidup dengan kau, kau langsung tak pernah membahagiakan hidup aku. Aku sungguh-sungguh menyesal!”

Aku menangis lagi dan langkah kaki terhenti. Aku pandang wajah Ryzal dengan perasaan hiba. Rupa-rupanya dia benar-benar tidak bahagia hidup denganku. Baru hari ini aku tahu aku ini terlalu menyusahkan hidupnya. Kenapa baru hari ini dia meluahkan semuanya? Kenapa tidak dari dulu? Huh! Dasar lelaki lupa diri.

“Iffa harap abang akan bahagia bersama Ayu,” ujarku perlahan.

“Memang aku cukup bahagia dengan Ayu. Dengan dialah aku kenal erti bahagia. Bahagia yang tak pernah aku rasa langsung bersama dengan kau.” Aku tatap lagi wajah Ryzal. Sombong benar kau Ryzal. Aku harap suatu hari nanti kau akan menyesal kerana sudah mengeluarkan kenyataan itu. Aku pasti, kau akan rasa juga sebagaimana yang aku rasa. Kau tunggulah Ryzal. Tak selamanya kau di atas. Kau tatanglah perempuan itu baik-baik.

“Sikit pun abang tidak bahagia ketika bersama Iffa?” Aku soal Ryzal. Persoalan itulah yang mahu aku ajukan sejak mula lagi. Dan sebelum aku pergi, aku mahu mendengar jawapannya dari mulut Ryzal sendiri.

“Betul abang tidak pernah bahagia dengan Iffa?” Aku soal lagi bila Ryzal kelihatannya bingung. Mungkin sedang berfikir mahu memberikan jawapan yang bagaimana.

“Sikit pun tidak!” Akhirnya jawapan pasti itu terlafaz juga dari mulut Ryzal.

“Terima kasih, bang. Sebelum Iffa pergi, Iffa mohon ampun dan maaf daripada abang. Halalkan semua makan dan minum Iffa. Jujur Iffa katakan, Iffa cukup bahagia bersama abang. Dan abanglah satu-satunya lelaki yang pernah Iffa sayang.” Aku membulatkan tekad. Terus melangkah tanpa mahu merayu lagi.

Cukup derita sampai di sini.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Novel : Teduhan Kasih 1, 2”
  1. lyn says:

    wow tak sabarnya nak tunggu versi cetak!

    selepas baca BHKS, kak marissa adalah penulis favourite saya!!!!

  2. alisha says:

    Citer nie mmg best…xsabar nak tggu novel dia kluar…

  3. Aizah Arshad says:

    Miss PAPA EHSAN…x sabar nak tunggu pesta buku….

  4. fatin says:

    erm!!! jumpa kat pesta buku! mesti beli punye!

  5. ct says:

    Tak sabar nak tunggu teduhan kasih ni…hehe.ending yang memuaskan.

  6. maziatul afiqah says:

    xyah bli novel gi cyter ni dah ade…:)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"