Novel : Teduhan Kasih 3,4

10 April 2012  
Kategori: Novel

25,861 bacaan 9 ulasan

Oleh : Marissa

Novel terbaru daripada penulis novel BILA HATI KATA SAYANG. novel Teduhan Kasih akan diterbitkan di PESTA BUKU ANTARABANGSA

Bab 3

AKU duduk di atas lantai tepi sofa. Dua beg pakaian aku susun bersebelahan akuarium. Hanya itu yang mampu aku bawa sebaik sahaja keluar dari rumah Ryzal. Emak dan kak long saja ketika itu yang berada di rumah. Sofea dan Izad masih belum pulang.

“Hmmm… Sudahnya kau menyusahkan aku lagi. Tak pasal-pasal aku kena tanggung biawak hidup semula. Menyusahkan betul. Kenapa kau tak merempat saja tepi jalan?” Mak sambung berleter sejak tadi. Dari mula aku sampai, mak tak sudah-sudah ungkit semua perkara. Habis emak selak kisah luar dan dalam perkahwinanku. Kalau aku ada tempat berteduh yang lain, tak nak aku menumpang di rumah mak tiriku ini. Tetapi aku sudah tiada tempat lain hendak dituju. Mahu atau tidak aku terpaksa juga tinggal di sini buat sementara waktu. Sehingga aku selamat melahirkan anakku.

“Mana lagi dia nak pergi, mak. Dia ni bukannya ada saudara mara lain. Dari kecil tak nak mampus. Sudah besar tak habis-habis nak menyusahkan orang. Ni siapa pula yang nak tanggung makan dia?” Kak long menyindir bersama wajah tidak senang. Aku tahu kak long bakal mengeluarkan kata-kata kesat lagi. Sungguh, aku cuba tidak ambil hati dengan apa yang bakal emak dan kak long hamburkan. Aku perlu bertahan demi kandunganku tetapi perasaan aku bukanlah dari batu atau kayu. Sedikit tidak tentu aku terasa.

“Siapa lagi kalau bukan aku. Habislah duit aku nak pergi umrah,” rungut emak. Wajah emak menampakkan kebencian yang amat sangat.

“Sekejap saja mak. Lepas Iffa bersalin, Iffa janji, Iffa akan cari rumah lain. Iffa nak menumpang masa Iffa mengandung saja, sebab Iffa terpaksa,” balasku perlahan. Benar-benar meraih simpati. Ke manalah mahu membawa diri kalau emak halau aku.

“Baik kau gugurkan sajalah anak kau tu. Budak tu dah dikira bawa sial, tahu tak. Elok saja mengandung mak bapak bercerai-berai. Nanti entah apa sial lagi yang menimpa. Aku tak mahu sial anak kau tu masuk ke dalam rumah aku ni,” kata emak lagi. Hancur perasaanku mendengar kata-kata emak. Tergamak emak lafazkan perkataan sial. Bukankah setiap anak itu adalah anugerah Tuhan? Bermakna yang emak sumpah itu adalah pemberian Tuhan.

“Tapi anak ni tidak bersalah, mak. Dia tidak tahu apa-apa.” Aku pertahankan keputusanku.

“Nak buat apa simpan kalau terang-terang menyusahkan saja. Aku cakap budak tu bawa sial, kau tak percaya. Pergi saja gugurkan. Kalau tak ada duit, aku boleh keluarkan dulu duit.” Makin sayu hatiku. Tidak teragak-agak langsung emak. Tidakkah emak tahu perbuatan menggugurkan anak tu pekerjaan yang terkutuk?
Tidak. Sama sekali tidak. Aku tak akan gugurkan kandunganku. Tak kira apa tanggapan orang, aku tetap akan kandungkan anakku walaupun terpaksa menyerahkan nyawaku. Walau apapun yang bakal terjadi, aku tidak peduli. Aku akan pastikan dia melihat dunia. Betul dia bakal tiada sesiapa, tetapi dia masih ada aku. Aku rasa itu sudah cukup buat anakku.

“Betul tu mak, baik suruh dia gugurkan saja budak tu. Tak guna nak disimpan-simpan. Dah sah memang bawa sial. Menyusahkan orang saja nanti kalau hidup. Dahlah mak dia kita nak tanggung, lepas tu anak dia pula. Anak beranak menyusahkan orang.” Kak long juga nampaknya tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kata-kata kesat.
Aku diam. Aku tak akan cakap apa-apa. Biarlah. Aku akan tanggung semuanya, jadi aku tak peduli lagi.

“Dia ingat dengan anak tu dia boleh ugut Ryzal? Huh! Jangan haraplah. Kawan tu dah hidup bahagia sekarang ni. Ke hulu ke hilir berkepit dengan buah hatinya!” Aku lihat kak long tersenyum. Senyuman yang cuba menyakitkan hatiku. Hmmm, cakaplah kak long apa yang kak long mahu cakap. Aku sudah tak kisah. Dulu-dulu memang aku sakit hati, sekarang ni aku sudah tawar segala-galanya. Suka hatilah hendak cakap apapun. Aku kini tiada langsung perasaan terhadap Ryzal. Aku anggap Ryzal sudah mati sejak dia menghalau aku. Jadi yang tinggal kini hanyalah semangat mahu teruskan hidup.

“Enam tahun kahwin tapi tak mengandung, tiba-tiba bila suami buat perangai, tahu pula nak mengandungnya. Dah nampak kau ni nak perangkap Ryzal, tapi Ryzal tak sebodoh tu nak ikut cakap kau. Hah! Padan dengan muka kau. Sudahlah kena cerai, lepas tu pula suami tak mahukan anak. Memang sah-sah mengandung anak sial!” kata kak long lagi. Kali ini dia ketawa kecil. Ketawa yang kononnya akan menambahkan lagi sakit hatiku.

“Bodoh betul. Ingatkan cerdik. Rupa-rupanya akal atas lutut. Boleh lagi fikir cara jijik tu nak perangkap Ryzal. Tak masuk akal betul.” Kak long masih menghina. Dan penghinaan itu akan aku simpan untuk selama-lamanya. Aku akan ingat.

“Eh, kau dengar sini, kau buatlah apa cara sekalipun, laki kau tu tak akan balik kepada kau sebabnya dia sudah beritahu satu pejabat, berkahwin dengan kau adalah kesilapan yang paling besar pernah dia lakukan. Dia tidak pernah bahagia walaupun sedikit, bahkan anggap kau tu membebankan dia saja. Kau tak malu ke kalau bekas suami cakap macam tu? Nampak sangat kau tu perempuan yang paling tak berguna.” Kedengaran sangat angkuh kata-kata kak long. Dan aku tidak sangka Ryzal begitu tergamak menjaja kisah rumah tangga kami kepada semua orang. Nampak benar Ryzal mahu mencampakkan aku ke lembah paling hina.

Akhirnya aku tewas juga. Pilu dan sendu saling berlagu di dalam diri, namun aku cuba bertahan sedaya mungkin. Tidak boleh tunjuk kelemahan diri di hadapan kak long dan emak. Kalau perlu, aku harus menjadi sekeras batu. Hanya itu saja caranya untuk aku tunjukkan yang aku tidak akan apa-apa sekalipun segunung kebencian mereka terhadapku.

“Ryzal cakap macam tu, long?” soal emak. Jelas emak mahu tahu akan segala-galanya. Seperti suka juga.

“Ya mak. Dah pukul canang cakap tak akan bertanggungjawab satu sen pun terhadap benih sial tu. Dia sendiri cakap dia yang suruh gugurkan, tapi perempuan ni bodoh!” Kak long tolak-tolak kepalaku.

Tak mengapalah kalau dia tidak mahu anak ini. Aku akan kandungkan juga dan akan lahirkan dengan rasa kasih sayang. Aku akan hidup bersama anakku. Bukan aku seorang saja yang lahirkan anak tanpa suami di sisi. Masih ramai lagi di luar sana hidup tanpa kehadiran seorang suami. Jadi tiada alasan untuk aku menyerah dengan mudah.
“Bodoh tak boleh nak diajar. Kau gugurkan aje kandungan kau tu. Eee… geramnya aku tengok muka kau ni. Muka bawa bala!” Kak long sepak aku kemudiannya. Semua kebenciannya sudah berkumpul.

Aku pandang lantai. Langsung tidak berupaya untuk membalas perbuatan kak long itu. Ya Tuhan, Kau jadikanlah aku ini seorang yang tabah.

“Hah! Ini balasan ni. Dulu mak kau rampas laki aku. Sekarang, suami kau pula dirampas orang. Adillah tu. Jadi kau rasalah apa yang aku rasa!” balas emak.

“Betul tu mak. Inilah balasan yang dia harus terima terhadap perbuatan mak dia dulu. Jadi dia kena tanggung semuanya,” tokok kak long lagi. Dendam inilah punca kenapa aku dibenci. Dendam inilah yang sedang menjadi duri dalam hubungan kami adik beradik. Kerana aku ini anak isteri kedua arwah ayah, aku dibenci sehingga sekarang. Tapi itu semua sudah ketentuan. Kenapa aku pula yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Bukan aku yang minta untuk jadi begitu.

Aku buat-buat tak dengar juga. Biarlah mereka nak cakap apa. Kalau penat nanti tahulah mereka berhenti bercakap. Selebihnya aku perlu merancang untuk hari esok dan esoknya juga hari yang bakal aku lalui bersama anakku. Mudah-mudahan ada jalan mudah untuk kami berdua.

DI DALAM bilik sempit yang penuh dengan barang-barang yang tidak digunakan lagi, aku mencari ruang untuk berbaring. Nampaknya aku bakal berkongsi dengan semua barang-barang ini selama aku di sini.

“Nak Izad tolong apa-apa?” soal Izad sambil meletakkan dua biji bantal dan toto yang sudah buruk. Adik lelaki yang sudah mencecah umur 23 tahun dan bekerja sebagai penghantar piza itu sangat rapat denganku. Hanya dia yang sayangkan aku dan aku juga sayangkan dia.

“Kak cik rasa tak ada apa-apa. Okeylah ni. Dapat tempat baring pun dah okey,” jawabku sambil menampakkan wajah yang ceria kepada Izad. Aku tidak mahu Izad tumpang bersedih dengan kemelut yang melanda kehidupanku.

“Hmmm, kak cik jangan peduli sangat cakap mak dengan kak long tu. Buat pekak saja. Penat bercakap berhentilah mereka,” kata Izad lagi.

“Kak long dah balik?” soalku.

“Hai, bukan tak kenal siapa kak long. Dah kenyang perut dia anak beranak, barulah berambus,” jawab Izad selamba. Aku senyum lagi. Lega bila mendengar kak long sudah pulang ke rumahnya.

“Ni pinggan penuh singki tak reti nak basuh ke? Ingat duduk kat rumah ni free aje ke?” Emak menjerit dari dapur. “Ingat ni rumah kebajikan masyarakat?” jerit emak lagi.

“Hah! Dah menjerit mak tu,” kata Izad sambil berjalan meninggalkan aku. Tanpa berlengah lagi aku terus ke dapur. Di atas meja, penuh dengan bekas makanan yang tidak berkemas. Di dalam singki pula dengan pinggan mangkuk yang tidak berbasuh. Nampaknya aku kembali menyambung tugas lama, tugas orang gaji.

Bab 4

AKU duduk seketika di ruang menunggu Mahkamah Syariah Petaling Jaya. Hari ini secara rasminya, aku sudah diceraikan dengan talak satu di hadapan Hakim. Ryzal membawa dua orang saksi dan ditemani kedua ibu bapanya, serta Ayu. Aku pula hanya ditemani Izad.

“Hah, tunggu apa lagi?” sergah Puan Salina.

“Tunggu adik ambil kereta kejap,” jawabku. Aku pandang wajah Puan Salina dan juga Ayu. Ryzal dan Encik Hisyam sudah keluar awal. Tadinya Ryzal langsung tidak memandang ke arahku. Seolah-olah aku ini tidak pernah wujud di dalam hidupnya. Seperti tiada langsung kenangan manis yang tercipta ketika bersamaku.

“Ingat, kau dengan anak aku sudah putus hubungan, jadi selepas ini kau tak ada kena-mengena dengan anak aku lagi. Kau kena ingat tu,” tegas Puan Salina.
Aku bertenang dan bersabar.

“Sekali lagi aku ingatkan kau, jangan sesekali ugut Ryzal dengan anak kau tu. Kalau rasa tak sanggup nak bela nanti, kau campak saja mana-mana tong sampah. Habis cerita. Jangan sesekali nak guna anak kau tu untuk buat apa-apa pada Ryzal. Kalau aku tahu, nahas kau aku kerjakan. Kau tu memang tidak pernah menyenangkan. Bawa bala saja!” Puan Salina tolak-tolak kepalaku. Tergamaknya seorang manusia berkata begitu dan mengumpamakan aku seperti barang.

“Faham apa yang aku cakap?” soal Puan Salina dengan kasar.

“Iffa faham,” jawabku tenang.

“Kalau faham, baguslah. Tak payahlah aku cakap banyak lagi.” Puan Salina pegang tangan Ayu dan mengajak berjalan sama. Ayu hanya tersenyum sinis memandang aku. Tapi kenapa perasaanku jadi kosong? Benar-benar kosong. Sudah tidak terasa apa-apa lagi. Mungkin semuanya sudah selesai agaknya jadi aku tidak terasa apa-apa. Tetapi luka yang mereka tinggalkan rasanya akan mengambil masa yang lama untuk sembuh. Tak mengapalah, aku akan ubati sedikit demi sedikit.

Aku berjalan perlahan sebaik sahaja ternampak kereta Kancil Izad. Waktu aku mahu buka pintu kereta, aku lihat kereta Ryzal bergerak menuju pintu keluar pekarangan mahkamah. Aku nampak dia ketawa sambil memandu. Senang agaknya sebab semua sudah selesai dengan mudah. Puan Salina juga nampak sedang ketawa. Ayu pandang aku dari dalam kereta dengan senyuman angkuh. Senyuman yang mahu memberitahu aku bahawa dia sudah berjaya. Dia sudah berjaya merampas Ryzal daripada hidupku dan sekali gus meranapkan rumah tanggaku.

Tak apalah Ayu. Kau menang kali ini.

Aku terus masuk ke dalam kereta. “Kak cik okey?” soal Izad waktu aku menarik tali pinggang keselamatan. Kemudian aku jawab dengan keluhan yang panjang. Entahlah. Susah untuk aku beri jawapan tepat. Bagaimana untuk aku kata okey, kalau semuanya sudah berakhir dan jalan yang bakal aku tempuhi nanti nampak sangat samar-samar.

“Izad yakin ada hikmah di sebalik semua ni. Kak cik sabar ya.” Izad pujuk aku.

“Insya-Allah, kak cik akan tabah hadapi semua ni,” balasku tenang. Ya, aku perlu lebih tabah untuk menghadapi masa-masa akan datang demi anakku.

“Tapi talak kak cik jatuh masa kak long melahirkan anak nanti, bukan?”soal Izad sambil memandu meninggalkan bangunan mahkamah.

“Emmm, idah habis pun serentak dengan talak kak cik jatuh,” jelasku.

“Tak perlu tunggu tiga kali bersuci. Itulah kelebihan wanita yang diceraikan ketika mengandung,” tokokku lagi. Izad terangguk-angguk.

“Kak cik jangan bimbang. Selagi Izad ada, Izad akan tolong kak cik. Yang penting sekarang ni kak cik kena jaga kandungan kak cik saja. Pasal mak dengan kak long, kak cik buat pekak saja. Sudah mulut mereka begitu nak diapakan macam mana lagi. Karang cakap lebih-lebih, kita juga yang kena balik. Baik diam aje.”

Aku tarik nafas panjang lagi. Rasa memang ada yang berat bakal aku lalui. Aku sangat pasti tentang itu. Apapun, sudah tiada jalan lain untuk aku pilih. Terpaksa juga melalui jalan yang ada.

“Terima kasih Izad, sebab sedia tolong kak cik dan sentiasa sokong kak cik. Tanpa Izad, kak cik tak tahulah apa nak jadi.” Aku pandang Izad yang bertubuh sederhana besar itu.

“Apa pula? Izad tak tolong apa-apapun.”

“Tapi Izad memang banyak bantu kak cik. Kalau Izad tak ada, kak long tak tahu apalah jadi dengan kak cik. Tengoklah hari ni. Sanggup bercuti semata-mata nak hantar kak cik pergi mahkamah.”

“Kak cik tetap kakak Izad. Takkan Izad nak biarkan kak cik macam tu saja. Lagipun antara kakak-kakak Izad, kak cik paling baik. Kalau kak long yang jadi macam ni, jangan harap Izad nak tolong.”

Aku ketawa kecil mendengar pengakuan Izad. “Tapi kak long pun kakak Izad juga, tak baik macam tu.”

“Kakak apa macam tu. Tak ada kakak pun lagi bagus.”

Aku hanya pandang depan selepas itu. Kemudian aku pejamkan mata. Teringat kembali kata-kata Ryzal ketika melafazkan talak tadi. Dia nampak yakin dan gembira ketika menjatuhkan talak kepadaku. Semudah itu. Tidak menampakkan rasa bersalah langsung. Terima kasih Ryzal untuk kelukaan ini. Aku akan ingat sampai aku mati.

Namun inilah julung-julung kalinya, aku berjaya tidak menangis. Baru aku sedar aku tidak menitiskan air mata walaupun setitis. Bermakna aku juga sudah berjaya. Berjaya untuk tidak menangis. Dan semoga aku akan lebih tabah pada masa akan datang. Mudah-mudahan.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

9 ulasan untuk “Novel : Teduhan Kasih 3,4”
  1. HaS says:

    Sedihnyer..

  2. reen_zarini says:

    sedihnya.semakin kita diuji semakin kita menjadi kuat.insyaallah!

  3. eka says:

    sedih la cite ni…
    xsbr nk tau smbungannye….
    hrap2 best giler..

  4. edashaliza says:

    cite nie mmg best…xsabar nk tggu buku dia hujung bln nie…nk tau cite seterusnya…

  5. arneza says:

    alahaii….knp la jauh sgt pesta buku tu..bile nak pasarkan kt popular??

  6. aini says:

    dah beli kat pesta buku, siap dpt authograph penulis, tapi page 252-285 missing..cmna nak tukar…

  7. sedih sedih & sedih sangat. tapi tak sabar nie

  8. khairunnisaa says:

    APE LAH SI RYZAL NIE ISTERI DAH MENGANDUNG NK MINTAK CERAI PLAK!!!!!!!!!HA BILA SI AYU 2 X MENGANDUNG BARU PADAN MUKE

  9. BakalPrincessU says:

    Best lah cerita NIy . Pandai penulis novel niy

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"