Novel : Teduhan Kasih 5,6

19 April 2012  
Kategori: Novel

26,404 bacaan 7 ulasan

Oleh : Marissa

Bab 5

KESUNGGUHAN untuk meneruskan hidup di samping berusaha untuk membina laluan harapan untuk esok dan hari-hari seterusnya sudah cukup membuatkan aku hampir saja melupakan semua cerita sedih. Dugaan demi dugaan yang tidak terhingga, aku cuba menghadapinya dengan rasa tabah. Dan sebahagiannya telah aku selesaikan tanpa mahu mengingati semula apa yang telah berlaku. Sebahagian lagi, aku kurang pasti pula bagaimana keadaannya. Namun tak lepas aku mengangkat kedua-dua tanganku lalu menadah doa. Tuhan, tabahkanlah hatiku dalam menempuh kemelut ini. Aku ini hanya insan biasa yang hanya mahu hidup bahagia. Kalau mahu aku diuji, ujilah dengan batas kemampuanku agar aku tidak tersesat jauh.

Sungguh hidup ini seperti sudah tertimpa dengan pelbagai masalah. Satu dan kemudian menyusul satu lagi masalah. Hari ini bertambah lagi dengan satu masalah. Dan aku kira semuanya hanyalah semata-mata rancangan jahat kak long.

“Mak nak pergi juga ke?” Aku tanya emak sambil berusaha menyembunyikan perasaanku. Aku bukan tidak mahu percaya dengan keputusan emak itu, tetapi rasa seperti tidak patut benar.

“Habis tu, kenapa? Aku tak boleh pergi?” soal mak dengan nada marah. Waktu itu aku rasa cukup serba salah. Bukan mak tidak tahu keadaan aku bagaimana. Aku hanya bergantung kepada emak sekarang ini. Aku sudah tiada siapa-siapa. Aku hanya mohon emak berbelas kasihan terhadapku.

“Hah! Kalau dah sampai masa nak beranak, pergi sajalah mana-mana hospital. Beranak saja kat situ, apa susah!” balas emak. Masih dalam nada yang sama. Nampaknya emak tetap dengan keputusannya. Langsung tidak berbelas kasihan terhadapku.

Aku patahkan kacang panjang yang bakal digulai bersama ikan kembung, seperti sedang mematahkan tangkai hatiku. Kenapa rasa sakit sangat? Kenapa rasa terseksa benar? Bukankah aku sudah berjanji untuk membuang semua rasa itu dari dalam diri? Bukankah aku juga yang berpesan kepada hati agar jangan mudah rasa terkilan lagi? Aku juga yang putuskan untuk menjadi manusia tabah. Rupa-rupanya aku terlupa, aku ini masih manusia yang memiliki hati dan perasaan. Jadi, mana mungkin akan terlepas daripada rasa-rasa begitu.

“Jangan sebab kamu nak beranak, aku tak boleh nak pergi Langkawi. Bukan senang aku nak pergi sana. Ini nasib baik kak long kamu yang ajak aku pergi sama. Kalau tidak, tak merasalah aku pergi!” Mak cakap lagi.

Aku menangis. Tetapi tangisanku singgah di dalam hati saja. Untuk sekian kalinya, hati kecil yang sudah hancur itu hanya mampu menangis dan terus menangis. Aku tahu ini semua rancangan kak long. Kak long sudah tahu aku bakal melahirkan anak dalam waktu terdekat ini, tapi kak long masih buat rancangan mahu bercuti ke Langkawi. Kak long memang mahu lihat aku sakit sendirian. Agaknya memang kak long mahu melihat aku mati sorang-sorang. Yang lebih menyakitkan hati aku, semua adik beradik lain kak long ajak pergi. Sudah nampak kak long mahu biarkan aku sendirian menghadapi saat-saat sukar ini.

Kenapalah sampai benar hati kak long buat aku begini? Kenapalah kak long benci benar dengan aku? Aku tak salah apa-apapun dengan dia sampai dia patut bencikan aku begitu sekali. Hanya disebabkan aku ini anak isteri kedua arwah ayah, kak long dendam dengan aku sehingga ke hari ini. Tetapi bukankah kami tetap adik beradik, hanya berlainan ibu sahaja?

Tak mengapalah. Mungkin sudah nasib aku. Nanti kalau betul aku sakit nak melahirkan, aku pergilah sendirian. “Lepas masak tu tolong mandikan Imran dengan Haziq. Lepas tu bagi makan sekali!” arah mak sebelum meninggalkan ruang memasak.
Penatnya. Aku sudahlah dalam keadaan begini. Emak suruh aku mandikan anak-anak kak long yang berusia dua tahun dan empat tahun itu. Mak tidak nampakkah aku sudah tidak berdaya hendak uruskan semua tu?

Air mata luruh juga. Sejak menumpang rumah emak selepas Ryzal halau aku dari rumahnya, aku merasakan emak semakin mendera aku. Sudahlah semua urusan rumah emak bulat-bulat serahkan kepadaku, kini tugas menjaga anak-anak kak long juga tergalas di bahuku. Sebelum ini kak long hantar anak-anaknya di tadika asuhan. Tapi bila dapat tahu aku tinggal dengan emak, terus kak long hantar anak-anaknya ke rumah emak. Aku tahu kak long nak jimatkan kos. Kalau aku yang jaga, kak long tak perlu keluarkan satu sen pun. Anak-anak kak long pula nakal yang amat. Pernah sekali mereka bergaduh dan aku cuba leraikan, sudahnya perutku menjadi mangsa tendangan mereka.

Namun apakan daya. Aku perlu bertahan untuk sedikit masa lagi. Sehingga aku selamat melahirkan anakku, aku perlu bertahan. Kemudian baru aku merancang masa depanku bersama anakku.

“MAK jangan tak jadi pula. Along dah tempah semuanya.” Aku dengarkan saja perbualan antara emak dan kak long waktu kak long nak ambil anak-anaknya.

“Jadi, kenapa pula tak jadinya…” jawab emak.

“Manalah tahu. Nak tunggu orang tu beranak pula ke…” kata kak long lagi. Dan aku mula merasakan kak long sedang mengapi-apikan emak. Sengaja hendak mencipta suasana panas agar emak tidak berubah fikiran.

“Hisy! Pandai-pandailah dia nak beranak. Kenapa menyusahkan mak pula. Kita semua dah suruh dia gugurkan budak tu, tapi dia degil juga. Hah! Sekarang tanggunglah sendiri!” kata-kata emak tambah menghiris perasaanku. Mata sudah mula pedih. Tapi aku sedar. Aku hanya anak tiri emak, jadi aku wajib dibenci emak.

“Hmmm, sampai bila pula nak menumpang di sini? Takkan mak nak tanggung makan pakai dia. Mak pun anak-anak yang kasi duit!”

“Ikutkan mak, mak halau saja. Tapi sebab dia tu dah tak tahu nak menumpang kat mana, jadi tu yang mak benarkan tinggal rumah mak ni,” jelas emak. Waktu itulah air mata pertama luruh ke pipi. Sakitnya perasaan sudah tak tertanggung. Tergamaknya emak berkata begitu.

“Hah! Faham-fahamlah ya, jangan buat tak tahu pula…” kak long sindir aku.
Faham kak long. Aku faham. Nanti aku keluar juga dari rumah ni. Jangan bimbang. Bukan aku tak ada telinga, aku dengar dengan jelas. Insya-Allah, pandai-pandailah nanti aku uruskan kehidupanku.

“Habis kalau dia keluar dari rumah mak ni, siapa yang nak jaga anak-anak kamu? Mak dah tak larat!” soal emak. Aku faham benar akan kebimbangan emak itu. Emak juga sejak akhir-akhir ini seperti bergantung sepenuhnya kepadaku untuk menguruskan semuanya. Emak hanya tahu goyang kaki sahaja.

“Ah! Mak jangan bimbanglah. Tak ke mana dia tu. Dia tu bukannya ada kelulusan apa-apa. Tahu makan tidur aje. Alamat sampai bila-bilalah duduk dengan mak…”

“Hmmm, elok juga. Senang sikit mak ada orang gaji.” Emak gelak gembira. Emak salah tu. Aku bukan lagi orang gaji, tapi sudah sama tahap hamba abdi.

“Oh ya, kalau mak nak tahu, Ryzal nikah minggu ni. Majlis kahwinnya kat dewan hotel. Dia ada jemput kak long. Rasanya kak long nak pergi. Dengar cerita juga dia nak bawa isteri dia berbulan madu ke Bali. Hmmm, nampak bahagia betul si Ryzal tu. Yalah, dapat isteri cantik, ada kerjaya. Siapa yang tak bahagia. Bukan perempuan yang tak berguna tu. Tahunya menyusahkan hidup Ryzal saja.” Kak long seperti ingin menambahkan lagi kesakitan yang ada. Tapi percayalah, aku sudah tak rasa apa-apa. Kak long beritahulah Ryzal bahagia setinggi langit, kasih sayangnya melimpah ruah terhadap Ayu, aku sudah kisah akan semua itu. Aku sudah menamatkan semua perasaanku terhadap Ryzal ketika dia menghalau aku tempoh hari. Jadi, aku sudah tiada perasaan lagi terhadap Ryzal.

“Hmmm, itulah. Ada orang menolak tuah. Ada suami tak tahu nak jaga dengan baik. Padanlah muka, kalau laki cari perempuan lain.” Emak menokok dengan nada menyindir tanpa sedar kedudukan emak sama juga dengan aku. Bezanya emak dimadukan dan aku diceraikan.

“Alah mak, bukan masalah tak jaga. Masalahnya orang dah tak suka. Orang dah jumpa yang lebih cantik, lebih bagus. Hmmm… memang padan dengan muka dia, mak. Inilah balasan yang dia perlu terima. Dulu arwah mak dia rampas suami orang. Sekarang giliran suami dia pula yang kena rampas. Adillah tu…” kata kak long lagi bersama gelak menyindirnya. Aku rasa, kata-kata itu bakal diulang sampai bila-bila. Semua akan diungkit selalu tanpa rasa jemu. Jadi tiada masalah untuk aku mendengarnya walau diungkit seribu kali.

Aku bangun meninggalkan meja makan. Bukan tidak sanggup untuk mendengar semuanya, tetapi aku sudah cukup penat. Bersama langkah longlai aku menuju ke bilik belakang. Bilik di mana menempatkan barang-barang yang sudah tidak digunakan lagi. Sama seperti keadaan barang-barang yang bakal dibuang, keadaan diriku juga begitu. Cuma bezanya, barang-barang tersebut masih kekal di situ dan aku sudah sedia dibuang sejak mula.

Aku terbaring di atas toto usang sambil memandang dinding. Kembali mengingati kata-kata kak long. Aku tidak menjaga Ryzal dengan baik? Malas aku mahu kenangkan segala jasaku terhadap Ryzal. Suami yang aku jaga sepenuh hati, akhirnya berlaku curang juga. Kalau dengan orang lain mungkin aku tak terkilan benar, tetapi dengan sahabat baikku sendiri. Jadi aku tak mahu ungkit apa-apa. Mungkin jodoh kami sampai di situ saja. Aku reda.

Bab 6

PAGI itu, aku ke klinik untuk lawatan ibu mengandung. Alhamdulillah. Sudah sembilan bulan usia kandunganku. Kata jururawat tadi, kandunganku tiada apa-apa masalah. Lega perasaanku. Tekanan darah dan kandungan gula dalam badan juga normal. Dan aku akan melahirkan dalam tempoh terdekat ini.

Aduhai, tidak sabarnya menantikan saat itu.

Aku duduk seketika di ruang menanti teksi di hadapan klinik. Aku pegang perut yang mula ada gerakan. Hmmm, mahu bergurau dengan mama rupa-rupanya. Nakal! Aku senyum sendiri. Susah untuk aku gambarkan perasaanku ketika itu. Rasa sangat aneh. Gembira dan cukup bahagia walaupun sengsara tetap juga bertandang tanpa jemu. Tapi semua itu bukan alasan untuk aku menikmati rasa bahagia. Aku berhak rasa bahagia.

“Iffa…” Tiba-tiba aku disapa seseorang. Cepat aku toleh. Terpandang wajah emak Ayu sambil berdiri memandang tepat ke arahku.

“Mak Cik Zaiton?” soalku terperanjat. Belum apa-apa Mak Cik Zaiton memeluk aku dengan erat. Dia tersedu-sedan selepas itu. Aku jadi serba salah melihatkan keadaan Mak Cik Zaiton. Apa lagi tingkahnya diperhatikan oleh orang-orang yang sedang menanti bas atau teksi.

“Mak cik tak sangka tergamak Ayu buat macam ni terhadap Iffa. Betul mak cik tak sangka. Kalau orang lain mak cik tidak terkilan benar. Ini Iffa, sahabat baik Ayu sejak dulu lagi. Dalam banyak-banyak lelaki, dia pilih suami kawan baik dia sendiri. Macam dah tak ada lelaki lain nak dibuat suami.” Esakan Mak Cik Zaiton tambah menjadi. Aku tambah tergamam. Langsung tidak boleh bersuara. Aku sesungguhnya tidak menyangka Mak Cik Zaiton akan teresak begitu. Sangkaku selama ini Mak Cik Zaiton bersetuju dengan rancangan Ayu.

“Kenapalah Ayu tergamak buat begitu sekali.” Tangisan Mak Cik Zaiton sangat mengharukan perasaanku. Akhirnya aku dakap juga Mak Cik Zaiton. Cuba mendamaikan perasaannya.

“Tak apalah mak cik. Mungkin sudah tersurat begitu. Nasib Iffa agaknya suami dirampas teman baik sendiri.” Kali ini aku pula yang sebak. Mata juga kian pedih. Sekali lagi gagal mengawal perasaan walaupun sedaya mungkin aku berusaha untuk bertahan.

“Mak cik sudah nasihatkan Ayu, tapi Ayu langsung tak mahu dengar nasihat mak cik dan pak cik.” Penjelasan Mak Cik Zaiton sudah cukup buat aku rasa sedikit senang hati. Setidak-tidaknya ada juga yang tidak suka dengan keputusan mereka berdua. Namun aku tahu, Mak Cik Zaiton langsung tidak berupaya. Dan aku memang faham benar dengan perangai Ayu. Dia mana pernah mahu mendengar nasihat orang.

“Mak cik tak perlulah rasa bersalah. Iffa reda akan semuanya. Iffa doakan Ayu akan bahagia. Iffa tak simpan apa-apa dendam pun. Mak cik jangan susah hati ya.” Bersungguh aku pujuk Mak Cik Zaiton dengan harapan Mak Cik Zaiton tidak terus-terusan menanggung rasa kesal. Tidak mahu gundahnya bertimpa-timpa lagi. Dia sudahlah susah hati, kalau aku tunjukkan sikap yang tidak sepatutnya bakal bertambah pula sarat duka hati Mak Cik Zaiton. Sebagai menghormati orang yang lebih tua, rasanya tak salah aku bermuka-muka. Biar pahitnya aku saja yang rasa.

“Betapa mulianya hati Iffa. Masih lagi mahu mendoakan kebahagiaan Ayu. Mak cik rasa betul-betul bersalah terhadap Iffa. Kalau mak cik tak kenal Iffa, mungkin mak cik kurang terasa, tetapi mak cik kenal siapa Iffa. Mak cik dah anggap Iffa macam anak mak cik sendiri. Tergamaknya Ayu buat begini…” Air mata Mak Cik Zaiton tidak surut-surut. Aku tahu Mak Cik Zaiton juga tidak setuju dengan perkahwinan Ayu. Siapa yang merelakan anak perempuan mereka bertindak begitu.

Aku senyum dan tahan sebak. Wajah Mak Cik Zaiton aku tatap. Wajah yang mengingatkan aku kepada Ayu.

“Sudahlah mak cik. Kita doakan saja mereka bahagia. Mungkin sudah begitu kehendak takdir. Apa yang penting sekarang ni buat Iffa, Iffa mahu mulakan hidup baru bersama anak Iffa. Iffa tak mahu ingat apa-apa lagi.”

Mak Cik Zaiton seperti sudah boleh mengawal perasaan. Tangisannya juga sudah reda. Namun sisa air mata yang tertumpah masih berbekas di pipi tuanya.

“Hmmm, mak cik pergi klinik juga ke?” soalku. Mahu berkalih tajuk bicara.

“Biasalah. Mak cik ada kencing manis dan darah tinggi,” jawab Mak Cik Zaiton perlahan. Air mata yang mengalir di pipinya dibiarkan begitu saja.

“Bila Iffa dijangka bersalin?” soal Mak Cik Zaiton lagi sambil memegang perutku.

“Tunggu masa lagi, mak cik. Tapi nurse beritahu dalam dua minggu nilah.”

“Kesian dia, kan. Waktu dia nak melihat dunia, waktu itulah ayah dia buat majlis kahwin.” Air mata Mak Cik Zaiton tumpah lagi. Kalau Mak Cik Zaiton rasa kepiluannya, apatah lagi aku yang menanggungnya. Aku lebih merasakannya. Namun setiap kali anakku bergerak, setiap kali itulah rasa piluku berkurang dan ingatanku terhadap Ryzal juga semakin berkurang.

Aku juga agak pelik, kenapa Ryzal dan Ayu memilih tarikh perkahwinan mereka ketika aku sedang menantikan masa untuk melahirkan anak. “Hmmm, lama juga Ayu dan Ryzal berkawan, tapi kenapa baru sekarang nak kahwinnya?” soalku merisik rahsia. Entah kenapa semangat mahu tahu itu berkobar-kobar, sedangkan aku sudah berjanji tidak mahu mengambil tahu tentang hal mereka berdua.

“Entahlah Iffa. Tiba-tiba saja Ayu pilih tarikh tu, sedangkan Ryzal memang dah lama ajak Ayu kahwin. Lepas Ryzal ceraikan Iffa, Ryzal terus ajak Ayu kahwin. Tapi tak tahulah kenapa Ayu pilih tarikh minggu depan,” jawab Mak Cik Zaiton perlahan. Dia menoleh untuk melihat kenderaan yang datang. Kemudian pandang aku semula.

“Kalau tak disebabkan anak mak cik, Iffa tak akan terima nasib begini.”

“Mak cik jangan cakap begitu. Namanya mak cik tidak percaya dengan takdir Tuhan. Inilah nasib yang telah tertulis dalam hidup Iffa. Jadi Iffa kena terima dan reda dengan setiap ujian yang menimpa Iffa. Iffa tak nak mak cik terganggu dengan semua ni.”

Mak Cik Zaiton nampak lebih tenang selepas itu. Mungkin lega dapat berbual dan meluahkan rasa denganku. Sebenarnya aku lebih mendapat kelegaan. Mungkin aku sekarang lebih ke arah untuk menenangkan hati atau mungkin aku tidak sabar-sabar lagi untuk bergelar ibu.

“Mak cik doakan hidup Iffa akan bahagia selepas ini. Mana tahu nanti ada seorang lelaki yang lebih menyayangi diri Iffa dan lebih menghargai Iffa.” Mak Cik Zaiton pegang kemas tanganku.

“Mudah-mudahan. Mak cik doa-doakan sama ya. Kut-kut adalah lelaki yang mahu sayangkan Iffa dan anak Iffa ni.” Aku gosok perutku perlahan. Ada gerakan lagi.

“Galak betul dia bergerak.” Aku tersenyum sendiri.

“Insya-Allah. Mak cik hanya mampu berdoa untuk kebahagiaan Iffa pada masa akan datang.”

Mak Cik Zaiton minta diri selepas itu sebaik saja kereta anaknya sampai. Aku hanya mengiringi pemergian Mak Cik Zaiton dengan keluhan berat. Bermakna Ayu sekali lagi membuat rancangan jahat. Sengaja memilih tarikh perkahwinan sama dengan saat-saat aku melahirkan. Ternyata Ayu punya agenda sendiri.

Nampaknya Ayu dan kak long sengaja merancang sesuatu. Sengaja mencipta kesulitan buatku.

Jangan bimbang, Iffa. Walaupun setahun hujan, belum boleh mengubah air laut menjadi tawar. Samalah juga dengan keadaanku. Rancangan Ayu dan kak long, sama sekali tidak akan mematahkan semangatku.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

7 ulasan untuk “Novel : Teduhan Kasih 5,6”
  1. nor says:

    sangat menyentuh hati…novel yg lain dari novel yg pertama…..semoga iffa akan lebih bahagia selepas derita…….

  2. gurangak aja says:

    kak sarah..sayunya bab ni..
    kasihan iffa..
    sesungguhnya kelukaan itu mmg payah untuk dilupakan begitu saja..
    dugaan..semua org pernah menghadapinya..cuma penerimaan sahaja yg berbeza..
    suka dgn watak iffa yang sangat tabah..
    gaya penulisan akak yang bersahaja mmg menusuk kalbu.
    Tahniah..Teduhan Kasih sudah berjaya ‘dilahirkan’..
    teruskan berkarya…

  3. ros biru says:

    sedih nye…..meyntuh perasaa…cpat2 siap kn bab
    laen…x sbr nk bce

  4. KAK SITI says:

    Sedihnya membaca novel ini.tak sabar nak beli.Masih adakah sinar bahgia untuk Ifa?Bila novel ini ada dalam pasaran? KAt pesta buku PWTC ada tak?

  5. HaS says:

    Sedih betul… tak sabar nak tunggu selanjutnya.

  6. lean md says:

    huhu…sedihnya…sure kene beli by end of this mth…always support you!

  7. moon says:

    best.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"