Novel : Suami Tak Kuhadap 1

21 May 2012  
Kategori: Novel

10,669 bacaan 21 ulasan

Oleh : Rehan Makhtar

PROLOG

WAJAH itu aku renung tajam. Bencinya pada dia, hanya Tuhan yang tahu. Aku tahu dia tak sudi menentang padangan matanya namun, aku terus beranikan diri merenung dia. Permintaannya gila. Sama gila dengan kehendak ayah. Sama juga gila dengan Mak Usu hinggakan aku rasa aku berada di tengah-tengah hospital sakit jiwa.

“Kamu dengar tak ni, Syaima?” jerkah ayah membuatkan pandanganku pantas beralih dari seraut wajah tenang itu.

“Syai tetap dengan keputusan Syai, yah,” ujarku tegas tanpa memandang ayah.
Ayah mengeluh. Mak Usu menggeleng. Budriz diam dan senyum tipis dia hadiahkan padaku membuatkan aku hampir mengangkat tubuhku mahu mendekat pada dia andai ayah tidak menahan tubuhku.
Liur aku telan berkali-kali. Mata ini kembali terpaku pada wajah Budriz. Bencinya aku, sakitnya hati sukar hendak aku gambarkan dengan kata betapa bencinya aku pada dia. Setelah segalanya dia rampas, hari ini hidup aku juga dia ingin rampas dariku sendiri dan apa lagi yang tinggal jika tiada apa yang berbaki?

“Duduk, Syaima!” tekan ayah sambil menarik lenganku membuatkan aku kembali terduduk di sisinya.

“Benda sampai jadi macam ni, kamu boleh cakap tak nak kahwin lagi ke, Syai? Berapa kali lagi kamu nak malukan ayah? Berapa tebal lagi kamu nak conteng arang kat muka ayah ni, Syaima?” tanya ayah dengan suara yang semakin lemah.
Dia menggeleng berkali-kali. Kepalanya dipicit, kopiahnya ditanggalkan. Aku diam merenung dua beranak itu silih berganti. Andai dunia ini tiada undang-undang manusia, sudah lama aku robek hati Budriz dan aku telannya mentah-mentah demi menzahirkan rasa benci yang meluap-luap.

“Budriz… kenapa kamu buat adik kamu macam ni?” Suara Mak Usu lembut menyapa telingaku.
Airmatanya tidak sudah-sudah mengalir melihat pada anak lelakinya itu. Aku tahan hati. Bukan di sini aku harus melatah. Bukan di sini tempatnya. Perjalananku baru bermula namun sayang bila Budriz mencantas jalanku membuatkan aku hampir tersungkur.
Namun, hendak tersembam mengalah, itu bukanlah aku. Bukanlah seorang gadis bernama Nur Syaima. Aku perlu kuat. Andai dia tegar merosakkan hidupku, aku juga tidak gentar hendak menjahamkan seluruh hidupnya.

“Riz minta maaf, bu. Tapi, jujur Riz tak sangka semua ni terjadi dan Syai sendiri tak menghalang,” luah Budriz membohongi mereka.
Aku tarik nafas sedalam mungkin. Bertahan dari terus menghamburkan airmata mendengarkan kata-katanya.

“Jaga tutur kata kau, Budriz! Kau sedar tak yang kau sedang fitnah aku?” tanyaku dengan gigi yang aku ketap hebat. Geram sememangnya geram.

“Fitnah apa kalau mata kami sendiri nampak perbuatan kamu berdua, Syai?” soal ayah membentak.
Tersentak aku dibuatnya kala ini. Ayah memang begitu sejak dari dulu. Dia memang hanya nampak kesilapanku. Tak pernah sekali dia memeluk diri ini, mengusap rambutku demi meminta penjelasan.

“Boleh tak sekali je ayah percayakan Syai?” AKu ukir senyum pada ayah dengan airmata yang berlinangan di pipi.
Wajah tua itu aku renung semahuku. Aku tatap dalam-dalam bagi menggambarkan betapa kecewanya aku kala dia melayani sebegini. Terbuang jauh dari hak dan tertewas oleh kasih sayangnya buat Mak Usu dan anak tirinya itu.

“Macam mana ayah nak percayakan kamu, Syai sedangkan mata ayah sendiri nampak apa yang berlaku waktu itu? Macam mana ayah nak percayakan kamu bila sejak dari remaja sampai hari ini kamu tak sudah-sudah nak conteng arang ke wajah ayah?” soal ayah kembali. Dia menggeleng berkali-kali menyatakan rasa kesal yang tak berkesudahan dengan sikapku.

“Kenapa ayah tak pernah nak mengerti perasaan dan hati Syai? Kenapa ayah? Kenapa ayah lebih percayakan mereka dari darah daging ayah sendiri?” Aku terus menyoal biarpun aku tahu, ayah tak mungkin memberikan jawapan yang aku mahu.
Sejak dari dulu, hanya soalan yang bertebaran. Meliar keluar dari celah bibirku tanpa disambut oleh jawapan dari bibir ayah. Diam ayah membawa tawa dari celah bibirku. Tawa yang aku buat-buat. Tawa untuk menutup sakitnya di hati.
Waktu untuk aku sandarkan kepala pada dia juga sudah lama berlalu dan hari ini, aku akan sendiri mencari hala tuju dan matlamatku hanya satu. Syed Ahmad Budriz aku berasa kesal dilahirkan ke dunia ini. Itu janjiku pada diri sendiri.

“Jawablah Syai sekali ini je, yah. Syai mohon. Bertahun soalan ni Syai tanya ayah tapi sudahnya, ayah diam. Atau ayah rasa bersalah sebab melayani Syai dan arwah ibu macam tu dulu?” soalku sinis dengan senyuman yang tersungging di hujung bibir.
Ayah bangkit membentak. Pasu bunga yang ada di atas meja kopi ditepisnya kuat lalu jatuh ke marmar lantas pecah berderai namun hati ini telah lama berderai angkara mereka.

“Kamu nak tahu sangat jawapan tu, kan? Nak sangat, kan?” Berdentum suara ayah.
Mak Usu aku lihat mendekat pada dia dan menyapa belakang ayah. Aku pejamkan. Jijik hendak melihat mereka berada rapat bersama. Mesra begitu sedangkan kami tersisih jauh.

“Sabar, bang. Jangan marah Syai macam tu. Sekarang ni, Budriz pun salah,” pujuk Mak Usu pada ayah.
Menggelegak dadaku kala dia mengatakan demikian. Benci bila dia berlagak baik denganku. Jijik bila dia memujuk ayah untukku.

“Mak Usu jangan berlagak baik dengan saya! Saya tak salah! Anak Mak Usu yang salah. Dia tu perosak! Sama macam Mak Usu!” tempikku kuat dan serentak itu aku terduduk di atas permaidani menahan pijar di pipi.
Wajah ayah aku pandang. Pertama kali jemari itu singgah di pipiku kerana Mak Usu dan Budriz membuatkan aku yakin, aku bukan sesiapa pada ayah.

“Kau nak tahu sangat, kan? Nak tahu sangat kenapa, kan?” soal ayah bertempik.

“Sebab kamu memang anak yang tak cukup ajar, Syaima! Silap ayah meninggalkan kamu dengan arwah ibu kamu sampaikan begini sekali sikap kamu! Dingin, keras macam mayat hidup!” sambung ayah melengking.
Airmata ini kian lebat. Hendak ku seka rasanya tidak perlu. Biarlah ianya mengalir kerana aku akan pastikan ini adalah kali pertama dan terakhir. Dengan kudrat yang tersisa, aku angkat tubuhku berdiri tegak memandang ayah dan Mak Usu silih berganti.

“Terima kasih, yah sebab akhirnya ayah bagi juga jawapan pada persoalan Syai selama ni. Hati ni…” AKu lekapkan telapak tanganku ke dada.

“… rasa lega dah.”
Aku pasang langkah hendak berpaling naik ke bilikku namun langkah ini terpaku pula bila suara ayah berdentum sekali lagi.

“Kamu jangan buat-buat lupa dengan aib yang kamu dah buat ni, Syaima!”
Aku hela nafas sekali lagi. “Ayah bunuhlah Syai sekalipun, Syai tak mungkin dengan dia,” ujarku separuh berbisik lalu aku menjeling pada Budriz yang sedang menapak ke arahku.

“Dalam ni ada tanda kasih abang pada Syai.” Syed Ahmad Budriz sentuh perutku tiba-tiba dan tahulah aku apa yang bermain dalam mindanya kala ini bila ayah jatuh, rebah ke lantai.

BAB 1

AKU tongkat dagu di atas meja. Lama sungguh waktu berlalu. Rasanya hampir bengkok belakangku duduk di bangku sekolah mengadap papan putih dan guru yang sedang mengajar di depan. Bosan.
Buku aku belek berkali-kali. Sengaja aku keluarkan bunyi bising kesan daripada buku tersebut sampaikan guru kelasku berpaling.

“Kenapa kamu buat bising, Syaima?” tanya dia tegas.
Aku senyum dan berdiri. “Saya nak balik cikgu.”
Cikgu Siti gamam dengan kata-kataku. Dia tutup buku di tangannya nak menutup marker pen lalu dia bertenggek di atas meja.

“Kenapa kamu nak balik? Masa sekolah tak habis lagi ni. Kamu ingat sekolah ni tempat kamu datang nak bersuka ria? Ikut suka kamu bila masa kamu nak datang dan bila masa kamu nak balik? Dalam minggu ni saja baru tiga hari kamu ke sekolah, Syaima dan hari ni kamu nak minta balik awal?” soal dia mendatar.

Aku tahu dia menyindirku dan bila aku tebarkan pandangan ke seluruh kelas, kawan-kawan yang lain sedang berbisik sesama sendiri dan aku sendiri tidak mahu ambil peduli. Dalam kepalaku hanya ada ibu. Ibu yang sedang terlantar tidak sihat. Makankah ibu, mandikah ibu. Aku tidak mampu menolak persoalan itu.

Bersungguh aku merayu ibu agar dia membenarkan aku menjaganya di rumah namun sayang, bila ibu lebih keras memaksa aku ke sekolah. Masa depanku bermula di sini katanya memandangkan dia bagaikan tidak mampu mendidik aku lagi kesan daripada kesihatannya yang kurang memuaskan itu.

“Mak saya sakit, cikgu. Sebab tu saya tak datang!” AKu menjawab dengan suara yang agak kasar. Gigi aku ketap kuat.

“Kalau mak kamu sakit, dia boleh jaga diri sendiri. Tak pun, kenapa kamu tak hantar je dia ke hospital?”
Semudah itu Cikgu Siti melontarkan kata buatku sedangkan dia tidak tahu, sukarnya aku hidup tanpa ayah di sisi kami. Sukarnya aku memujuk ibu ke hospital dan sukarnya aku berjalan kaki menapak dari sebuah klinik ke klinik yang lain untuk membeli ubat ibu dengan saki baki wang yang ada. Melihatkan pada pakaianku yang lusuh, tak mungkin dia tidak tahu akan keadaanku yang yatim sebelum tiba waktunya.

“Mak saya tak nak pergi, cikgu,” jawabku perlahan.

“Kalau mak kamu tak nak pergi, ibu bukan salah kamu. Tugas kamu belajar dan saya percaya, mak kamu nak kamu belajar baik-baik. Sudah. Duduk. Kita sambung!” tekan dia lalu dia bangkit dan terus menyambung kelas.
Aku duduk dan menelan liur berkali-kali. Entah mengapa, ada rasa memberontak di dalam hati. Tidak lama lagi SPM bakal menjelma dan aku sudah tidak peduli semua itu. Di mata ini hanya ibu. Di jiwa ini hanya nama ibu bersemadi.
Semakin waktu berdetik, semakin resah hatiku. Aku renung jam di atas papan putih di depan kelas. Terlalu perlahan waktu melewati dan belum sempat aku jatuhkan pandanganku ke papan putih, wajah Syed Ahmad Budriz muncul mengah di muka pintu kelasku.
Serta-merta aku bangkit dan merenung dia. Lelaki kedua yang aku benci dalam hidupku setelah ayah. Lelaki yang merampas segalanya daripada aku dan ibu.

“Assalamualaikum, cikgu.” Dia menyapa lantas menapak mendekat pada Cikgu Siti.
Bibirnya di dekatkan dengan telinga Cikgu Siti yang hanya setinggi dagunya saja. Pelajar Tingkatan Enam Atas ini nampak berkarisma pada zahirnya dan pada mata semua orang sedangkan di mataku, dia adalah parasit di jiwa ini.
Mata Cikgu Siti bulat. Dia kemudiannya merenung aku dengan pandangan yang sukar aku ertikan. Kakinya menapak perlahan dan kala dia hampir padaku, belakang tanganku di sapa lembut.

“Syaima… cikgu minta maaf atas apa yang cikgu nak sampaikan ni. Awak boleh balik dengan Budriz. Biar dia hantarkan.”
Aku mengerutkan wajah. “Kenapa pulak dengan dia. Saya boleh balik sendiri!”
Tiada siapa tahu hakikat sebenar hubunganku dengan Syed Ahmad Budriz. Tiada satu orang pun mengerti akan apa yang tersirat di balik renungan kami kala kami bertatapan. Penuh dendam, penuh benci!

“Syai… cepat Syai. Ibu Syai nazak!” Suara Budriz berdentum membawa halilintar dalam hatiku. Bergetar seluruh tubuh ini.

“Nur Syaima?”
Aku tersentak sendiri. Terkejut bukan kepalang bila ada yang menegur. Cepat-cepat aku angkat wajah dan melihat ke arah Faez yang senyum memandangku.

“Aez… dah lama sampai?” tanyaku lembut.
Dia senyum dan menggeleng. “Baru je. Syai termenung ingat apa tadi?”
Sehabis lebar aku ukir senyum menutup kepahitan masa lalu. Langkah ini bermula setapak dan Faez juga sama menapak bersamaku.

“Tak ada ingat apa pun,” selaku senada.
Dia senyum. “Maaf, Aez lambat. Jalan jammed pulak waktu puncak ni.”

“Tak apa. Syai pun baru je sampai sini.”
Kami sama-sama menapak di dalam Amcorp Mall hendak mencari tempat untuk mengisi perut. Mata melilau dan kaki terus melangkah. Waktu tengah hari begini, agak ramai orang di sini. Hendak mencari tempat yang sesuai juga susah.

“Macam mana interview?”
Aku pandang Faez yang merenung sisi wajahku. Lambat-lambat aku angguk dan tersenyum senang. Lega bila dia ada di sisi selama ini. Biarpun kami sudah jarang bertemu namun, rindu padanya menggebu sentiasa.

“Alhamdulillah. Okey. Daripada tak ada kerja, Syai terima jelah kerja kat situ. Kerani pun okey. Lagipun, Syai tak ada kelulusan apa-apa pun. SPM pun tak lepas,” ujarku rendah diri.

“Tak apalah. Nanti kita dah kahwin, Syai duduk rumah je. Jaga makan pakai Aez dan anak-anak, ya?” pinta Faez sambil menjongket kening.
Aku tersenyum malu. Kesan benci pada ayah dan Syed Ahmad Budriz agak berkurangan kala ini. Rasanya, tidaklah semua lelaki jahat di muka bumi ini. Mungkin ayah begitu dan Syed Ahmad Budriz begini tapi yang pasti, Faez sentiasa ada menemani.

“InsyaAllah… mudah-mudahan ada jodoh kita,” sahutku lantas aku raup tangan ke wajah. Mendoakan kesejahteraan hubungan kami.
Sudahnya kami hanya duduk saja di sebuah restoran makanan segera bila Faez mencadangkannya. Dia beratur memesan makanan dan aku, hanya melarikan mataku ke sana sini melihat gelagat orang.
Tanpa sedar, mata ini tertancap pada seraut wajah yang sedang asyik bergelak ketawa di hujung restoran bersama beberapa orang temannya. Aku kerutkan wajah dan tajamkan renungan hendak mengamatinya lagi. Sudah lama tidak bersua dengan dia. Hampir sepuluh tahun rasanya.

Kali terakhir dulu adalah setelah beberapa hari pemergiaan ibu kala ayah dan Mak Usu serta anaknya menjejakkan kaki ke rumah arwah mak. Pengkebumian ibu tanpa dihadiri oleh ayah sendiri kerana menghantar Budriz yang kemalangan motorsikal kala itu. Pengkebumian yang menarik simpati imam dan orang masjid yang lain. Pengkebumian yang aku uruskan sendiri kala aku berusia tujuh belas tahun.

“Syed Ahmad Budriz bin Syed Ahmad Baihaki.” Hati ini menyeru nama dia dan serentak itu, dia berpaling tepat padaku.
Bunga tawanya layu lantas padam langsung. Dia juga membalas renungan ini dan akhirnya, dia angkat tubuh. Kala temannya bagaikan bertanya, dia juihkan bibirnya padaku lalu dia atur langkah kemas menuju kepadaku.
Aku betulkan duduk. Dia kian mendekat dan terus mendekat. Sudah makin mampir dan terus menghampiri namun renungan mata kami tidak lepas tautannya.

“Oh God… maaf Syai. Ramai orang sungguh. Mujur cepat jugak ni.” Faez mengeluh di tepi telingaku.
Langkah Budriz pegun. Dia merenung kami silih berganti dan aku hanya tersenyum senang melihat ke arah Faez yang sedang meletakkan makanan di atas meja. Dia lantas mengambil tempat di depanku dan kali ini, Budriz sudah benar-benar ada di belakang Faez.

“Nur Syaima, kan?” tanya dia tanpa salam. Faez berpaling dan aku hanya mampu bertenang.

“Syai, kan? Syaima, kan?” tanya dia lagi dan kali ini lebih yakin.
Lambat-lambat Faez mengangguk bagi pihakku dan Budriz mengeluh berat lantas dia meraup wajahnya.

“Ya Tuhan, dah lama abang cari Syai? Mana Syai pergi?” tanya dia padaku tanpa mempedulikan Faez yang nampak terkedu.

“Sorry… kita kenal ke?” tanyaku dengan kening yang hampir bertaut.
Wajah Budriz berubah langsung. Dia memandang aku dan Faez silih berganti.

“Betul kan dia Nur Syaima binti Syakri?” tanya dia pada Faez dan sekali lagi Faez mengangguk.

“Tapi, encik ni siapa?” soal Faez pelik.
Budriz duduk tanpa dipelawa. “Saya Budriz. Abang Syaima,” jawab dia lancar dan aku pejam mata kala dia bersalaman dengan Faez.
Wajah Faez nampak pegun. Aku tahu dia terkejut dengan kenyataan Budriz dan aku tahu, dia akan menuduhku menipu dia andai Budriz membuka semua sejarah lalu. Sejarah yang telah lama aku tinggalkan dalam rumah di mana ada kenangan arwah mak setelah dia pergi menghadap Ilahi sepuluh tahun lalu. Lantas aku membawa diri mencari kekuatan hati. Sekolah entah ke mana dan mujur juga aku mampu kembali menduduki peperiksaan kala itu.

“Errr… Syai tak pernah cakap pun dia ada abang?” tanya Faez pada Budriz.
Aku telan liur menantikan butir bicara Budriz yang selanjutnya. Seleraku mati langsung. Sejuk di hati kala ini, hangat tiba-tiba. Pertemuan yang tidak dirancang, malah takdir membawa dia di mataku untuk aku lunaskan apa yang belum terbayar.

“Err… maaf. Saya memang abang dia. Tapi, Syai macam tak ingat abang je?” Mata dia beralih semula ke arahku.
Aku menggeleng. “Memang aku tak pernah ingat aku ada abang sebab aku anak tunggal. Anak terbiar yang telah ditinggalkan sendiri. Mencari hala tuju hidup aku tanpa tanda arah,” sinisku.
Budriz merenungku tajam. “Kami cari Syai dulu tapi Syai yang menghilangkan diri, kenapa?” Suara dia sudah agak meninggi.
Aku tolak makanan ke depan Faez dan bangkit bersedia hendak berlalu pergi namun pantas Budriz melelar pergelangan tanganku.

“I am talking to you, Syai. Ayah rindu Syai. Kami semua rindu Syai,” ucap dia padaku. Keras dan tegas.
Aku ketawa sinis. Wajah Faez yang berkerut sana sini langsung tidak ku endah. Kini, seluruh mataku terbias dengan wajah Budriz. Seluruh jiwa dan hatiku hanya ada nama dia saja kini. Namun, bukan kerana cinta dan sayang. Hanya kerana kisah lama yang perlu aku tamatkan setelah mereka memulakan.

“Aku tak tahu kau cakap apa dan untuk pengetahuan kau, aku ni anak yatim sebelum waktunya. Malah yatim piatu setelah ibu aku pergi. Kalau kau rasa, kau ada keluarga bahagia. Ada bonda dan ayah yang menyayangi kau, sila jaga baik-baik,” tekanku sambil aku rentap tanganku dari genggamannya.

“Eh, apa ni Syai?” Faez bersuara tiba-tiba.
Aku juga sabar menahan wajah dan tanganku agar tidak naik singgah di pipi Budriz. Wajah ini juga aku biarkan saja ditatap pengunjung lain yang sudah mula perasaan akan keadaan kami.

“Riz, kenapa ni?”
Tanpa sedar, ada satu suara lain yang menegur Budriz dan bila aku memandangnya, seorang lelaki, mungkin juga teman Budriz sedang mententeramkannya.
Dia menggeleng. “Tak ada apa, Mi. Adik aku ni. Kan yang aku cerita tu. Jumpa akhirnya.” Budriz menjawab bersama jelingan ke arahku.

“Syai tahu tak betapa payah abang cari Syai selama ni? Mana Syai pergi selama ni? Jawab dulu soalan abang ni Syai,” rayu dia.

“Your life is nothing to do with me, Budriz!” gumamku keras dengan mata yang tajam menikam.

“Yes, you do. You do, Syai. Syai adik abang. Mana Syai hilang, abang nak tahu. Abang perlu tahu!” tekan dia juga tak kalah.
Aku hanya diam tidak menjawab. Malas bertekak di tengah-tengah umum. Lantas aku menjarak daripada dia dan memandang Faez.

“Aez, jom kita keluar. Aez nak balik pejabat, kan? Syai nak balik ni,” ajakku pada Faez dan seperti lembu dicucuk hidung, Faez bangkit meninggalkan makanan yang masih belum terusik.
Kami sama-sama melangkah dan sempat aku capai gelas air yang berisi Coke itu bagi menghilangkan hangat dalam diri. Baru saja hendak menghampiri escalator, lenganku sekali lagi dilelar.
Tanpa mampu aku tahan amarah, tanganku ringan menyimbah Coke itu ke wajahnya. Teman-temannya terpempan. Faez juga. Budriz kelu dengan wajah yang basah. Hanya aku yang tersenyum meraikan kemenangan pertama.

“Ini sikit je akibat untuk orang yang sesenang ini memegang tubuh aku!” bisikku dekat di telinganya lantas aku menapak laju menuruni escalator.
Namun, hati ini masih belum puas dan aku tahu, syaitan bersorak sarai meraikan kemenangan atas kekalahanku.

~~> bersambung




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

21 ulasan untuk “Novel : Suami Tak Kuhadap 1”
  1. AliahMohdSalleh says:

    Cerite ni menarik,santai dan best..Ada unsur misteri dan mesej 2x kekeluargaan mengujer perasaan pembaca.Best.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"