Cerpen : Harga Sebuah Persahabatan

24 June 2012  
Kategori: Cerpen

13,674 bacaan 63 ulasan

Oleh : Syu Ariani

Persahabatan.. Memerlukan pengorbanan, kepercayaan dan kejujuran. Itulah yang paling penting. Dan inilah kisah persahabatan di antara dua orang wanita, Farina Athirah dan Nurul Raisya. Kisah yang mengajar erti persahabatan sebenar.

*****

Salah seorang dari lima gadis itu membaling beg berwarna merah jambu itu ke lantai. Dia betul-betul marah dan bengang. Empunya beg pula hanya diam, takut mahu menjawab apa-apa.

“Kau ni.. Nama je anak orang kaya, tapi kedekut sangat kenapa? Aku suruh kau bagi duit sikit pun susah sangat ke?!” jerkahnya lagi. Dari tanda nama yang dipakainya, Farina tahu namanya ialah Wulan. Huh, nama je unik. Perangai macam penyangak! Marah Farina di dalam hati.

Wulan selaku ketua kumpulan itu mendengus kasar. Sakit hatinya apabila Farina masih tidak mahu memberikan apa yang dia inginkan. Lantas tangannya memulas lengan Farina hinggakan gadis itu terjerit kecil.

“Kau ni bodoh, ke? Baru masuk sekolah ni nak tunjuk lagak. Nama je anak orang kaya, aku mintak duit pun susah sangat, ke?! Weh, kitorang ni anak orang miskin.. Tak macam kau, anak Dato’ Hamdan.. Duit berkepuk-kepuk..”

“Yang kaya tu bapak aku, bukannya aku!” dari mana datangnya keberanian itu, Farina sendiri tidak tahu. Tangannya masih lagi kesakitan gara-gara tindakan Wulan.

“Eh, berani pulak dia nak lawan cakap.. Hoi, perempuan! Kaya mana pun bapak kau, sekolah ni bukan dia punya tau! Sebagai junior, kau kena dengar cakap kitorang!” sampuk seorang lagi. Siapa namanya, tidak pula Farina tahu kerana dia tidak memakai tag nama. Farina tersentak dan memutuskan untuk tidak melawan lagi.

Ini semua gara-gara Papa. Kalaulah Papa tidak berpindah ke Johor, pasti ini tidak akan berlaku padanya. Hidupnya di KL sebelum ini senang-lenang. Semua rakannya menghormati dirinya. Tidak ada seorang pun yang berani melakukan itu. Tapi di sini.. Farina bermonolog di dalam hati.

“Mana duit?!” Wulan terus meminta. Lagaknya yang seperti penyangak itu benar-benar menggerunkan.

“Erm.. Aku.. Aku tak.. Tak bawak duit banyak.. Aku bawak RM10 je, itupun dah habis..” terketar-ketar Farina menjawab.

“Eh, budak ni!” Tangan Wulan hampir sahaja menampar mukanya jika bukan kerana sebuah jeritan dari belakang. Farina menutup matanya dengan rapat sekali.

“Hoi! Korang gila ke apa?!”

“Eh.. Raisya.. Mana ada kitorang buat apa-apa.. Kitorang cuma.. Mm.. Nak kenal dengan dia je..” kalut Wulan membetulkan lengan bajunya. Genggamannya dilepaskan. Seorang rakan Wulan mengambil semula beg Farina di atas lantai. Perlahan-lahan Farina membuka matanya.

“Korang.. Lain kali kalau nak pau budak, jangan sampai kena tangkap.”

“Eh, taklah..”

“Dah! Blah sana! Menyusahkan hidup orang je! Blah la! Sebelum aku tampar sorang-sorang nanti!” Gadis yang bernama Raisya menghalau mereka berlima pergi dari situ. Sempat kakinya menendang punggung Wulan. Terkocoh-kocoh mereka berlari.

Dengan orang lain, bolehlah mereka buat hal. Tapi, bukan dengan Raisya. Nama sedap, muka cantik, tapi garang nak mampus!

Melihatkan Wulan dan yang lain beredar, Farina menghela nafas lega. Alhamdulillah.. Itulah lafaz pertama yang diucapkannya. Farina membetulkan tudung dan bajunya. Bimbang juga kalau Papa perasan keadaannya yang kusut itu.

“Terima kasih.. Kalau kau tak ada, aku tak tahu nak buat apa..” ucap Farina tulus. Raisya mengangguk-angguk.

“Nama aku Raisya. Kau budak baru tu, kan? Lain kali, jangan jalan sorang-sorang.. Diorang tu memang kaki pau!” sempat Raisya memberi nasihat kepadanya. Dia kenal Farina, kerana gadis itu merupakan rakan sekelasnya yang baru. Farina tersenyum manis.

“Insya Allah..”

“Aku chow dulu!”

“Raisya!” langkah Raisya terhenti apabila namanya dipanggil. Dia menoleh, memandang Farina. Gadis itu mendekatinya.

“Sebenarnya, aku tak ada kawan kat Johor ni.. Kalau kau sudilah.. Boleh tak kita berkawan?” satu permintaan yang tidak pernah diduga Raisya. Farina mengajaknya untuk berkawan? Biar betul?

“Kau tak kisah ke kawan dengan aku ni? Aku bukan anak Dato’.. Aku cuma anak kerani biasa je..”

“Tak kisah.. Alah, tu semua rezeki Allah yang bagilah.. Nanti kalau kena tarik, aku bukan anak Dato’ lagi.. Boleh, eh?” bidas Farina seraya menghulurkan tangannya untuk bersalam. Raisya berfikir sejenak dan akhirnya dia menyambut huluran itu. Bermula saat itu, terciptalah persahabatan di antara dua gadis berbeza perwatakan, Farina Athirah dan Nurul Raisya.

*****

Farina melangkah penuh yakin keluar dari pejabatnya. Selaku bakal peneraju Dania Holdings, dia perlu sentiasa yakin dalam setiap perkara. Dania Holdings adalah syarikat kepunyaan ibunya, Dania Aminah. Farina mahu menjaga amanah dari arwah ibunya berbekalkan bantuan dan tunjuk ajar Dato’ Hamdan.

Masa pejabat telah pun tamat. Semua mesyuarat yang dijadualkan pada hari ini telah dia hadiri. Dan sekarang, niatnya Cuma mahu berjumpa dengan Raisya. Rakannya itu pasti sedang menunggu di Danga Bay. Sebelum itu, Farina menuju ke surau untuk menunaikan solat Asar.

Raisya yang sedang menunggu di Danga Bay sudah tidak senang duduk. Manalah Farina ni.. Janji nak datang pukul 6:30.. Dah nak pukul 7 ni..

“Assalamualaikum.. Sorry, aku lambat.. Hari ni banyak meeting weh..” kata Farina seraya menarik kerusi di hadapannya. Raisya tersengih. Panjang umur, baru je sebut.

“Kau dah lama tunggu aku?”

“Eh, tak.. Baru sesaat yang lepas aku sampai..” jawapan Raisya yang agak selamba itu mengundang tawa Farina. Raisya, Raisya.. Tak pernah berubah dari dulu. Siapalah sangka jodoh mereka untuk bersahabat agak panjang? Tamat sekolah menengah, mereka memasuki kolej yang sama tanpa diduga. Kemudian, untuk menyambung Ijazah Sarjana pula, mereka turut memasuki universiti yang sama. Bezanya, Raisya masuk semester lambat dari Farina.

“Sorrylah beb.. Aku tak sengaja.. Okey okey, kita buat macam ni. Since aku yang lambat, aku belanja kau makan.. Nak tak ?” Farina mengumpan Raisya kerana dia tahu itulah yang Raisya suka. Bab makan ni, Raisya memang suka! Hulurlah apa saja kat dia, confirm dia cekau! Raisya berpura-pura membetulkan duduk dan rambutnya. Sengaja dia membuat muka serius.

“Betul ke ni? Kalau sekadar makan warung mamak, aku tak main tau!” Eh eh, berlagak pulak Raisya ni!

“Iya.. Secret Recipe, boleh?” Farina tersenyum gembira. Dia tahu umpannya mengena. Raisya tersenyum riang dan menepuk tangan persis anak kecil. Dia bersorak gembira.

“Yeayyy! Alhamdulillah.. Syukur.. Murah rezeki aku hari ni! Sebab tulah aku sayang kau! Jomlah pergi sekarang!” Raisya bingkas bangun dari tempatnya. Tangannya sudah memegang beg tangannya.

“Eh, cop.. Sembahyang dululah.. Dah nak masuk Maghrib ni..”

“Mm, Rin.. Aku sebenarnya nak ajak kau tengok wayang malam ni.. Teman aku, jom? Kau busy tak?” Raisya meluahkan apa yang dipendamnya dari tadi. Farina berfikir sejenak. Seingatnya, esok dia ada dua mesyuarat dengan pembekal. Kemudian dia perlu pergi melawat beberapa tempat. Penat hari ni tak hilang lagi, tapi kesian pulak dengan Raisya. Farina masih berkira-kira sebelum Raisya memujuknya lagi.

“Boleh tak ?”

“Hmm.. Okey la.. Solat dulu, eh..” Akhirnya Farina mengalah. Apalah salahnya dia mengalah untuk sahabatnya sendiri. Tak apalah.. Paling lewat pun sampai ke rumah dalam pukul 1.. Siapkan paperwork sikit.. Esok bangun pukul 6.. Fuhh..

*****

Setibanya di Jusco Tebrau, Raisya terus menarik Farina ke kaunter untuk membeli tiket wayang. Sengaja mereka memilih Mid Night Movie, supaya mereka sempat makan dan berborak terlebih dahulu. Pada awalnya Farina memberi cadangan ke City Square sahaja tetapi Raisya menolak. Katanya, orang ramai sangat. Sesak. Malas mahu membantah, akhirnya Farina akur walaupun Jusco Tebrau agak jauh dari rumahnya.

“Kau makan apa?” tegur Raisya apabila Farina menelan tiga biji pil. Lasagna disuapkan ke mulutnya. Farina tidak menjawab sebaliknya mengelap bibirnya dengan tisu.

“Kau ni.. Dah berapa tahun aku nampak kau makan ubat.. Waktu mula-mula kita kenal tak ada pun..” jelas Raisya masih tidak berpuas hati. Dia benar-benar ingin tahu. Sudah lama dia meragui Farina. Tiga tahun kebelakangan ini Farina sering menelan pelbagai jenis ubat. Entah ubat apa, Raisya tidak tahu.

“Kau bila nak beli kereta? Tak penat ke nak berulang-alik naik teksi? Kadang-kadang terpaksa naik bas.. Aku nak bagi pinjam kereta Papa aku, kau tak nak.” Farina mengubah topik. Biarlah tiada siapa yang tahu rahsianya. Biarlah itu tersimpan kemas antara dia, Papa dan Allah Taala.

Raisya tersengih bagaikan kerang busuk. Balik-balik itulah soalan dia, sampai naik rimas aku dibuatnya! Omel Raisya di dalam hati.

“Aku tak ada duitlah.. Adik-adik aku nak sekolah, mak aku nak pakai duit.. Nanti kalau pakai kereta, membazir duit. Nak pakai minyak lagi.. Servis.. Isy, taknaklah!” alasan demi alasan diberikan Raisya.

“Aku bukannya macam kau.. Nak apa-apa senang je.. Bapak kau boleh bagi sekelip mata. Hmm, nasib badan..” sambungnya lagi, membandingkan dirinya dan Farina.

Kadang-kala perasaan cemburu datang menerpa namun cepat dia menepis. Raisya tidak mahu mengeruhkan persahabatan mereka kerana rasa cemburunya. Iyalah, Farina seorang wanita yang terlalu sempurna. Sempurna sangat hinggakan Raisya tidak tahu di mana kekurangannya.

Farina Athirah.. Wajahnya yang cantik, orangnya sopan dan lemah lembut, dilimpahi kasih sayang seorang ayah, hidup dalam keadaan serba mewah. Kepimpinannya di Dania Holdings ternyata memberi impak yang positif. Farina juga tidak pernah leka dari tanggungjawabnya sebagai makhluk Allah di bumi ini. Selama mengenali Farina, gadis itu rajin bersolat dan membaca al-Quran. Begitulah hebatnya seorang wanita bergelar Farina Athirah hingga Raisya rasa dirinya terlalu kerdil.

“Tak payah nak kaitkan aku pulak.. Eh, kau lambat lagi ke makan? Aku pergi toilet dulu, eh..” tanpa menunggu jawapan Raisya, Farina terus bangun meninggalkannya. Raisya hanya menghantar Farina dengan pandangan matanya.

“Kalaulah kau tahu betapa aku cemburukan kau, Farina..” tanpa sedar, Raisya berkata sendiri sebelum melepaskan keluhan berat.

Sementara itu, di tandas pula Farina terbatuk-batuk. Ada darah yang keluar dari hidungnya, segera dia mengesat darah itu. Dadanya sakit. Farina memandang dirinya sendiri di cermin. Wajahnya yang pucat itu segara dicaliti dengan sedikit mekap. Setelah berpuas hati, Farina keluar dari tandas.

Sebuah kedai kamera menarik perhatian Farina. Polaroid berwarna biru. Sudah lama dia menginginkan polaroid itu, tetapi Dato’ Hamdan melarang. Katanya, membazir beli sesuatu yang tidak digunakan. Apa lagi Farina sentiasa sibuk. Kata Papanya lagi, membazir itu amalan syaitan. Seperti biasa, Farina akan mengembungkan pipinya setiap kali dia merasa hampa.

“Athirah? Is this you?” sapa seorang lelaki dari belakang. Farina menoleh. Matanya membulat semerta. Jantungnya juga berdegup kencang, seakan mahu pecah pada bila-bila masa. Hanya seorang yang memanggilnya dengan gelaran Athirah. Dia!

“Pipi you tu kenapa?” tegurnya lagi. Farina menoleh lalu menampar pipinya lembut. Aduh, malunya! Jelas wajahnya kemerahan. Lelaki itu tergelak sendiri. Farina masih tidak berubah. Bersikap keanak-anakan.

“Hai, Nizam.. You buat apa kat sini?” soal Farina tersipu-sipu, cuba menahan rasa malunya. Tak pernah ada orang menegurnya setiap kali pipinya dikembungkan. Boleh pulak si Nizam ni tegur!

“Jalan dengan member I.. Dah lama tak jumpa you.. You nampak.. Elegan!” ikhlas pujian yang diberikan Nizam. Kembang setaman Farina dibuatnya tetapi sekejap sahaja. Dia cepat-cepat beristighfar.

Nizam masih lagi menatap wajah Farina. Sudah lama dia tidak bertemu wanita cantik itu. Setelah dia berhenti menuntut di universiti dan melanjutkan pelajaran ke Oxford University, hubungan mereka terputus. Dalam diam, Nizam berharap agar pertemuan ini membawa sinar baru untuknya. Sudah lama dia mencintai Farina dan wanita itu sendiri sedia maklum. Tetapi, sayang.. Farina menolaknya mentah-mentah.

“Nizam.. I got to go.. Raisya is waiting for me..”

“Raisya?”

“A ah.. Raisya.. Kenapa?” Farina menyoal kembali, pura-pura tidak mengerti. Dia sengaja menyebut nama Raisya di hadapan Nizam.

“Tak ada apa-apalah.. Okay, I pun nak gerak dulu. By the way, Athirah.. May I have your number?” Farina tercengang. Nak nombor telefon? Dia ni masih berharap lagi, ke? Soal Farina di dalam hati. Nizam masih lagi menunggu, mengharap jawapan daripada Farina.

“Sorrylah.. My phone hilang, jadi I tak ada nombor telefon sekarang ni..Assalamualaikum..” Walaupun hatinya sendiri pedih dengan penipuan itu tetapi itulah yang terbaik. Farina terus berlalu pergi tanpa menunggu lagi. Ya Allah, ampunkan aku kerana aku menipu. Tapi ini sahaja jalan yang terbaik untuk aku, dia dan Raisya.. rintih hati Farina.

Salam yang diberi dijawab di dalam hati. Nizam masih tidak mengerti. Mengapa Farina bersikap sedemikian? Apakah salahnya hingga Farina tidak sudi memberi nombor telefon sekalipun?

Di Secret Recipe, Farina terus mengambil tempat di hadapan Raisya yang sedang menantinya. Perasaan serba salah menghantui dirinya. Berkali-kali Farina mengingatkan dirinya supaya bertenang. Dia tidak mahu Raisya berprasangka kepadanya.

“Lambatnya kau pergi.. Aku dah siap makan dah ni.. hisy..” ada nada marah di situ tetapi Farina masih lagi mampu tersenyum.

“Sorry.. Aku jumpa kawan lama tadi, berborak sekejap.”

“Dahlah.. Jomlah gerak..” Raisya berdiri dan mencapai beg tangannya. Dia terus keluar, meninggalkan Farina. Wanita itu mengeluh sendiri sebelum mengejar sahabatnya itu.

*****

Dua minggu sudah berlalu sejak pertemuan dengan Shahrul Nizam. Farina menjalani kehidupannya seperti biasa. Semalam dia singgah ke rumah Raisya untuk bertemu dengan ibunya. Itulah rutinnya. Setiap kali dia rindukan belaian seorang ibu, dia akan ke rumah Raisya. Sesungguhnya ibu Raisya seorang yang kaya dengan kasih sayang. Alhamdulillah, ibu Raisya menerima kedatangannya dengan hati yang terbuka.

Di rumah banglo tiga tingkat itu, Farina duduk bersama Dato’ Hamdan dan tiga orang gaji. Kadang-kala hanya tinggal Farina dan orang gaji sahaja kerana Dato’ Hamdan sibuk dengan urusan perniagaan. Farina mengerti tugas bapanya. Bila rindu, dia cuma perlu membuat panggilan video sahaja.

Di dalam biliknya, Farina mengeluarkan kotak berwarna biru laut dari almari bajunya. Farina tersenyum sendiri melihatkan satu persatu gambarnya bersama Raisya. Gambar mereka mengikuti perkhemahan, menjadi fasilitator, percutian ke Bali tahun lepas.. Semuanya merupakan kenangan indah.

Sekuntum bunga mawar yang sudah layu beserta sekeping gambar pula yang menarik perhatiannya. Terketar-ketar Farina mengambil bunga dan gambar itu. Gambarnya bersama Nizam diambil secara candid oleh rakan mereka. Waktu itu, Nizam sedang memujuk Farina untuk menerima cintanya tetapi Farina tekad untuk menolak. Farina berpaling dan ingin meninggalkan Nizam, tetapi Nizam bertindak pantas dengan menggenggam lengan Farina. Ketika itulah gambar tersebut diambil.

Ada air mata bergenang di tubir matanya, hanya menanti masa untuk jatuh. Benar, dia mencintai lelaki itu. Biarpun sekarang ini umurnya sudah mencecah 27 tahun, hanya lelaki itu yang dicintainya. Tetapi, demi Nurul Raisya.. Farina rela berundur. Farina tahu betapa dalamnya cinta Raisya kepada Nizam. Pada Farina, dia rela lakukan apa sahaja untuk membuat Raisya gembira, termasuk mengorbankan cintanya sendiri.

“Ya Allah.. Kau hilangkanlah cinta di hati ini.. Hamba mohon pada-Mu Ya Allah.. Berikan Raisya kebahagiaan dengan pengorbananku ini, Ya Allah.. Dia juga berhak bahagia.. Ikhlaskan hati ini, Ya Allah..” doa Farina. Kedengaran azan dilaungkan. Farina mengesat air matanya lantas menuju ke tandas untuk mengambil wudhu’.

Usai menunaikan solat, Farina mengambil al-Quran yang terletak di atas meja soleknya. Kitab suci itu diselak.

“Auzubillahiminasy syaitanirrajim.. Bismillahirahhmanirrahim.. Alif.. Lam.. Mim.. Ra..” ruang biliknya bergema dengan bacaan al-Quran dari Farina. Bacaannya mampu melembutkan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Subhanallah..

*****

“Farinaaaa!” Farina menjauhkan sedikit telefon bimbit dari telinganya. Teriakan Raisya yang secara tiba-tiba itu meruntun semangatnya. Astaghfirullahalazim..

“Kau ni dah kenapa? Lepas bagi salam terus menjerit macam ni..”

“Farina! You won’t believe me..” suaranya masih lagi riang di sebelah sana. Farina menggeleng, bibirnya tidak berhenti tersenyum. Ada-ada sahaja rakannya ini.

“Apa dia? Kau nak bagitau ke taknak ni?”

“Farina.. Aku.. Aku jumpa dengan Nizam! Shahrul Nizam! Ya Allah, aku rasa macam tak percaya je! Lunch tadi aku siap makan dengan dia lagi! Farina!! Aku happy!!” sorak Raisya. Farina tergamam. Bibirnya kelu hinggakan tidak mampu untuk berkata apa-apa. Entah mengapa, hatinya terasa sakit.

“Kitorang siap tukar nombor telefon lagi.. Esok, dia ajak kitorang lunch sama-sama. Farina, aku rasa macam mimpi je ni.. Farina! Kau dengar tak?”

“Ha? Mm, dengar dengar.. Alhamdulillah..Baguslah kalau macam tu..” tutur Farina. Ikhlas? Jangan ditanya kerana Farina sendiri tidak tahu isi hatinya saat ini. Ketukan di pintu mengalih perhatian Farina.

“Raisya.. Nanti aku call kau semula. Okey?”

“Okey, bos! Bye!” suara Raisya masih lagi riang sehingga perbualan ditamatkan. Farina merenung telefon bimbitnya. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya doanya diperkenankan Allah. Tentang hatinya, biarlah masa yang mengubatinya.

“Miss.. Kawan Miss datang.. Dia cakap Miss ada buat appointment privately dengan Miss..” ujar Lina, setiausaha Farina sebaik sahaja membuka pintu. Farina tercengang. Kawan? Privately?

“Ouh, okay.. Awak suruh je la dia masuk..” Dalam keraguan, Farina memberi keizinan kepada Lina. Farina berdiri bagi menghormati kedatangan tetamunya. Itulah yang diterapkan di dalam dada oleh bapanya sejak kecil lagi.

“Assalamualaikum..” serentak dada Farina bergetar hebat mendengar suara itu.

“Nah, untuk you..” Farina memerhati sejambak bunga yang dihulurkan kepadanya.

“Nizam.. Macam mana..”

“Raisya.” Seperti mengetahui soalan yang bakal diajukan, Nizam menjawab dengan tenang. Ternyata nasib menyebelahinya hari ini. Pertemuan secara tidak sengaja dengan Raisya membuka peluang kepadanya mendekati Farina. Lelaki itu tersenyum lebar, gembira dengan pertemuan ini.

*****

Gila! Nizam benar-benar gila! Semakin hari semakin menjadi-jadi. Penat Farina memarahinya, meminta dia menghentikan semua itu. Bagi Nizam, apa yang dia lakukan hanyalah untuk meluahkan rasa cintanya.

Farina masuk ke dalam pejabatnya yang penuh dengan bunga. Dah macam kedai bunga pun ada. Di atas mejanya pula ada sekotak coklat berbentuk hati beserta kad. Tak perlu diteka, semestinya penghantarnya ialah Shahrul Nizam. Dalam rasa bimbang perkara ini diketahui Raisya, terselit rasa bahagia kerana Nizam telah membuktikan betapa dalamnya cinta dia. Tidak pernah Nizam mengalah walaupun ditolak berkali-kali.

Kad di atas meja dibuka dengan kalimah Bismillah. Bimbang juga jika ada jampi yang dikenakan untuknya.

I tak kisah kena reject dengan you seribu kali pun, sebab I akan tetap kejar you sampai hujung nyawa I. With love, Shahrul Nizam.

Senyuman terukir tidak semena di bibirnya. Nizam, Nizam..

“Fari.. Wow! Apa ni?” Raisya masuk tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Matanya tertancap pada bunga yang memenuhi pejabat Farina. Sepantas kilat, Farina menyembunyikan kad tersebut ke dalam lacinya.

“Fuhh! Tak sangka kau ada peminat! Wahh! Coklat! Farina! Siapa yang admire kau ni?” tergambar rasa terkejut dan gembira di wajah Raisya. Sungguh dia tidak menyangka sahabatnya itu punya peminat sehebat ini.

“Oh.. Mm.. Tak.. Ni semua.. Klien. Ha, klien yang bagi..” terkulat-kulat Farina menjawab. Mana mungkin dia berterus-terang kepada Raisya. Seboleh mungkin dia mahu Raisya gembira sahaja.

“Klien? Macam tak boleh percaya.. Jom! Teman aku makan!” Dalam keraguan, Raisya mengajak Farina untuk menemannya makan.

“Tapi, lepas ni aku ada meeting..”

“Ala.. Please..” rayuan Raisya tidak mungkin dapat ditepis Farina. Selama mereka bersahabat, sukar sekali dia menolak permintaan Raisya. Jika orang lain hanya mendengar kata kekasih mereka, Farina pula sentiasa akur dengan permintaan Raisya.

“Okaylah.. Naik kereta aku.”

“Yeayy! Takkan naik kereta aku pulak..” ujar Raisya disusuli tawa. Farina tersengih. Dia menekan butang interkom, meminta Lina membatalkan mesyuaratnya pada petang ini. Farina dan Raisya berjalan beriringan menuju ke kereta.

Beberapa minit kemudian, mereka tiba di Danga City Mall. Rancangan untuk makan bersama mereka ganti dengan bermain bowling. Raisya berkeras untuk membayar pada harga tiga orang. Farina yang tidak mengesyaki apa-apa sekadar menurut.

Sudah lima kali Farina mendapat strike manakala Raisya tetap dengan spare. Raisya membuat muka masam. Sudahlah orang yang dinanti tidak tiba-tiba.

“Nizam!” Raisya terjerit kecil apabila matanya terpandangkan insan yang dinanti. Hatinya gembira bukan kepalang. Farina yang sedang duduk segera menoleh, mencari insan yang bernama Nizam itu. Raisya sudah pergi mendapatkan Nizam.

“Hai, Athirah..” tegur Nizam seolah-olah tiada apa yang berlaku di antara mereka. Wajah Farina berubah menjadi kelat. Dia sudah dapat mengagak, ini semua rancangan Nizam. Pasti Nizam yang mengajak Raisya keluar kerana dia tahu, Raisya pasti akan mengajak Farina.

“You duduklah dulu.. Lepas ni turn you tau! You nak air apa-apa tak?” soal Raisya ramah. Ketara sekali kegembiraannya dengan kehadiran Nizam. Raisya sudah mula membayangkan yang muluk-muluk bersama Nizam.

Nizam menolak sopan. Matanya masih lagi menatap wajah Farina hinggakan Farina tidak senang duduk.

“Okaylah.. Sekarang ni turn I.. Ingat, lepas ni turn you!” sekali lagi Raisya berpesan kepada Nizam. Lelaki itu tidak pula menjawab, hanya tersenyum tipis. Raisya segera mengambil bola dan bersedia. Dia mahu menunjukkan kebolehannya pada Nizam.

“Kenapa tak call I?”

“Tak ada sebab untuk I call you..” jawab Farina tegas. Hatinya dikeraskan supaya dia tidak mudah cair dengan Nizam.

“Tapi..”

“Yeay!” sorakan Raisya mengalih perhatian mereka. Farina segera menoleh dan bertepuk tangan. Akhirnya, Raisya strike! Raisya gembira. Nizam telah menaikkan semangatnya pada hari ini. Raisya memandang Nizam dengan pandangan penuh cinta dan Farina sedar akan itu. Saat ini, ada sekeping hati yang sedang merintih, menahan sakit. Ya Allah, kuatkanlah hamba-Mu ini..

Sejam kemudian, mereka bertiga menjelajahi kedai di Danga City Mall itu. Satu persatu kedai mereka masuk dan Raisya kelihatan bersungguh-sungguh melayan Nizam. Lelaki itu pula hanya melayan sahaja kerenah Raisya. Tiba-tiba Farina terasa pitam. Dirinya akan tumbang bila-bila masa sahaja.

Sementara Raisya dan Nizam sedang asyik berborak di hadapan, langkah Farina semakin perlahan. Mujurlah di situ terdapat sebuah kerusi. Tanpa berlengah, Farina terus duduk. Wajahnya pucat lesi tika itu. Tiba-tiba pandangannya pinar dan dia terus pengsan tanpa disedari sesiapa.

“Eh, mana Rin?” soal Raisya sebaik menyedari rakannya tiada di sisi. Rasanya sejak tadi dia tidak mendengar suara Farina. Nizam menoleh dan turut berasa hairan. Gelisah, risau.. Semuanya bercampur baur.

Raisya dan Nizam berpatah balik untuk mencari Farina. Berkali-kali mereka memanggil Farina tetapi tiada jawapan. Sehinggalah mata Raisya tertancap pada sekujur tubuh yang terbaring di atas kerusi.

“Rinnn!” jerit Raisya. Dia terus berlari untuk mendapatkan sahabatnya itu. Mencerlang mata Nizam semerta. Nizam juga berlari dan mendekati Farina yang lemah.

“Rin.. Bangun, Rin.. Bangun..” Raisya menggoncang tubuh Farina dengan harapan Farina akan bangun. Ternyata usahanya tidak sia-sia. Mata Farina terbuka perlahan-lahan.

“Athirah!”

“Rin! Kau okey tak ni?” Farina mencuba untuk duduk sambil dibantu oleh Raisya. Farina mengangguk perlahan dan menguatkan diri untuk mengukir senyuman.

“Aku okey je.. Penat sangat agaknya.. Aku balik dululah..”

“Macam mana you nak balik dengan keadaan macam ni? Biar I hantar you!” jelas terpancar keprihatinan Nizam. Farina menolak dengan sopan. Dalam keadaannya seperti ini pun, dia tetap memikirkan perasaan Raisya.

“Tak apa.. I balik naik teksi je.. Sya.. Kau balik naik kereta aku, eh.. Esok aku suruh driver aku ambik..” kata Farina seraya menyerahkan kunci kereta kepada Raisya. Farina cuba untuk berdiri dalam kepayahan. Raisya segera membantunya.

“Aku temankan kau..” Raisya menawarkan dirinya tetapi ditolak Farina. Biarlah tempoh ini digunakan oleh mereka berdua sebaik mungkin. Farina tidak mahu mengganggu lagi. Dengan langkah longlai, Farina berjalan perlahan-lahan.

“Athirah tu degil, kan?” Nizam berkata sendiri namun didengari Raisya.

“A ah.. Dia memang macam tu.. Kita doakan dia selamat je la.. Eh, Nizam tahu tak yang dia ada admirer! Hebatlah! Sampai penuh office dia dengan bunga tu.. Dah la tu, siap bagi coklat lagi!” Raisya mula membuka cerita kepada Nizam. Lelaki itu tersengih-sengih sendiri.

“Athirah ada bagitau tak siapa yang bagi?” Harapannya memekar. Kalau Farina menceritakan perkara tersebut kepada Raisya, bererti dia mempunyai peluang cerah. Peluang untuk merebut hati Farina Athirah. Tapi, sayang.. Jawapan yang diterimanya mengecewakan.

“Dia cakap klien yang bagi.. Tadi waktu on the way ke sini, dia bagitau klien dia tahu dia suka bunga, jadi klien tu hadiahkan pada dia..”

“Oh..” hanya itu yang mampu keluar dari bibir Nizam.

“I jealous dengan dia tau!”

“Kenapa?”

“Because she’s just too perfect. Dia sempurna serba serbi. I selaku kawan baik dia pun tak pernah nampak mana kekurangan dia. Everything about her is just perfect. She is perfectly perfect.” Melambung pujian yang diberikan kepada sahabatnya. Nizam mengiyakan di dalam hati. Benar kata Raisya, Farina terlalu sempurna. Mungkinkah disebabkan sempurnanya itu dia menolak cintaku? Soal hati Nizam.

*****

Di dalam pejabatnya, Farina mengambil beberapa helai tisu untuk mengesat darah yang mengalir keluar dari hidungnya. Tangannya segera menarik laci untuk mengambil ubat. Walaupun payah, Farina berusaha untuk mencapai air namun gelas kaca tersebut terjatuh lalu berderai.

“Miss! Miss okay tak?” Lina yang terdengar bunyi kaca pecah segera masuk ke pejabat. Alangkah terkejutnya dia bila mendapati hidung Farina berdarah teruk. Lina mendapatkan Farina terlebih dahulu sebelum mengambil air untuknya.

“Bis.. mil.. lah..” Lina menyuapkan beberapa pil ubat ke dalam mulut Farina. Lina juga membantu Farina untuk menghirup air. Selepas itu, Farina dilihat semakin tenang. Darah yang mengalir keluar juga semakin berkurangan.

“Saya call Dato’..” Tangan Lina sudah memegang telefon namun Farina menghalang. Dia menggeleng lemah.

“Jangan.. Saya.. Tak nak susahkan.. Papa..” terputus-putus Farina menutur kata. Lina mengeluh. Jika itu pintanya, dia tidak mampu membuat apa-apa. Serpihan kaca disapu. Farina bersandar ke kerusi, cuba untuk menenangkan dirinya.

*****

“Assalamualaikum!” ucap Farina lantas mengambil tempat di sebelah Raisya. Sahabatnya itu diam tidak berkutik. Wajahnya muram. Farina hairan. Kenapa dengan Raisya ni? Tadi beriya-iya ajak jumpa kat Istana Garden. Ni aku dah datang, dia tak layan pulak.. gumam Farina di dalam hati.

“Raisya. Sya! Kau okay tak ni?” senyuman masih tidak lekang di bibir Farina. Tiba-tiba Raisya menoleh. Matanya mencerlang seakan mata seekor singa yang sedang kelaparan. Hanya menanti masa untuk membaham.

“Kau ni memang tak guna, kan?” kasar kata-kata yang keluar dari mulut Raisya. Farina tersentak. Tak guna? Farina beristighfar di dalam hati, memujuk dirinya bersabar.

“Apa yang kau cakap ni?” soal Farina lembut. Raisya bangun, menjauhkan diri daripada Farina. Terasa jijik mahu mendekati perempuan itu.

“Sya..”

“Jangan sentuh aku! Aku tak suka kau pegang aku! Dasar perempuan tak guna! Aku benci kau! Aku benci kau!!” jerit Raisya sepenuh hati. Farina masih lagi tergamam. Mujurlah hari masih siang, tidak ramai orang di situ.

Farina cuba untuk memegang Raisya, sebaliknya dia ditolak hinggakan terjelepok ke tanah. Air mata mula bergenang di tubir matanya. Ya Allah, dugaan apakah ini?

“Aku jijik dengan kau!”

“Astaghfirullahalazim! Raisya, bawak mengucap!”

“Tak payah nak tunjuk baik depan aku,lah! Kau ni pakai je tudung! Sembahyang tiap-tiap hari tapi sampai hati kau tikam aku dari belakang?!” Farina terus menghamburkan air matanya. Tidak sanggup rasanya untuk mendengar makian sebegitu dari bibir sahabatnya sendiri.

“Selama ni kau bercinta dengan Nizam kat belakang aku, kan?! Kan?!” bagaikan dirasuk, Raisya terus-terusan menengking Farina. Farina dilihatnya sedikit terkejut. Matanya mencerlang.

“Ya Allah.. Kau salah faham ni, Sya..” Farina cuba menarik tangan Raisya namun direntap sekuat hati.

“Jangan sentuh akulah!! Nizam dah mengaku segala-galanya kat aku. Nizam cakap yang dia cintakan kau. Dia cintakan kau sepenuh hati dia. Kau pun tahu dia cintakan kau, kan? Semua bunga, coklat.. Semua tu daripada dia, kan?!” bengkak hati Raisya apabila Nizam mengaku kepadanya sebentar tadi. Tidak cukup dengan itu, Nizam meminta agar Raisya menjauhkan diri darinya. Raisya benar-benar sakit hati. Tidak pernah dia sangka orang yang selama ini menjadi sahabatnya telah merampas orang yang paling dicintainya.

“Sya.. Aku boleh terangkan..”

“Tak payah terangkan lagi! Aku jijik dengan kau Farina Athirah! Tak cukup ke dengan segala apa yang kau ada?! Kau ada rupa, harta, kemewahan, kasih sayang! Kau lengkap segala-galanya tapi mesti kau nak berebut dengan aku?!” tanpa disedari, ada air mata mengalir di pipi Raisya. Walaupun dia marah, hatinya tetap sebak.

“Kau ada segala-galanya Farina.. Segala apa yang kau nak, semua kau boleh dapat dalam sekelip mata. Tak payah kau nak bertungkus-lumus.. Tapi, aku? Pagi petang siang malam aku berusaha untuk perbaiki diri aku, supaya satu hari nanti aku setanding dengan kau! Supaya orang lain tahu aku juga boleh jadi macam kau!

Tapi, kau? Dengan semua kesenangan kau, kau lupa.. Kau rampas insan yang paling aku cintai dalam dunia ni.. Kau rampas Nizam dari aku!!” jerkah Raisya lagi. Farina tidak mampu berkata apa-apa. Perkara yang paling ditakutinya kini terjadi.

“Aku bosan jadi bayang-bayang kau, Farina! Mulai hari ini, detik ini.. Kita putus kawan! Sampai bila-bila pun aku tak nak kawan dengan kau lagi!” begitu mudahnya seorang insan bergelar Nurul Raisya memutuskan persahabatan yang telah terbina lamanya. Farina terkesima. Dia cuba mengumpul kekuatan untuk berkata-kata.

“Nurul Raisya!” dalam tangis, Farina berusaha untuk mengawal nadanya. Langkah Raisya terhenti.

“Kau sanggup putuskan persahabatan kita gara-gara Nizam? Kau sanggup lupakan semua yang kita lalui sama-sama disebabkan Nizam?!” meninggi suara Farina tika itu. Raisya tersengih sinis.

“Memang.. Aku sanggup. Sebab Nizam. Sebab aku cintakan dia dengan sepenuh hati aku!”

“Kau.. Betul-betul tak berhati perut, kan? Kenapa kau nak tinggalkan aku?! Aku perlukan kau sekarang ni, Raisya! Aku betul-betul perlukan kau! Aku perlukan kau untuk..” Farina tidak sanggup menyambung kata-katanya. Air mata sahaja yang mengalir deras.

“Untuk apa?” soal Raisya. Farina terdiam. Tidak mungkin dia akan membuka mulut memberitahu perkara yang satu itu kepada Raisya. Melihatkan Farina tidak memberi respons dan hanya menangis, Raisya melangkah pergi dengan angkuhnya. Bagi Raisya, dia tidak memerlukan seorang sahabat seperti Farina. Biarlah segalanya berakhir di sini.

Farina terduduk di atas rumput. Hanya air matanya sahaja yang menemaninya saat ini.

“Raisya.. Raisyaaaa!!” jerit Farina bagi menggambarkan betapa dia memerlukan sahabat yang seorang itu. Farina menangis teresak-esak. Tika itu, segala kenangan manisnya bersama Raisya terbayang di mata. Pertama kali mereka berkenalan, sewaktu mereka di kolej.. Di Universiti.. Berjalan-jalan mengelilingi bandaraya Johor Bahru..

‘Raisya.. Kalaulah kau tahu perkara sebenar, kau mesti tak akan tinggalkan aku, Raisya! Kau takkan tinggalkan aku!’ Farina sudah tidak berdaya untuk lagi. Tubuhnya benar-benar lemah. Untuk berdiri pun dia tidak mampu.

Farina terus menangis, meratapi hilangnya seorang sahabat yang bererti baginya.

Tiba-tiba Farina terasa ada seseorang memegang bahunya.

“Raisya!” wajahnya yang tadi mendung bertukar ceria namun bertukar marah semerta.

“You buat apa kat sini?”

“Lina cakap..”

“You buat apa kat sini?! Kenapa you datang sini?! Disebabkan kau la Raisya putuskan persahabatan aku! Kau nak apa lagi?!” kini giliran Farina pula untuk menengking Nizam. Lelaki itu tidak terkejut walhal bagaikan bersedia untuk menghadapi kemarahan Farina. Gelaran ‘I-You’ yang bertukar kepada ‘Aku-Kau’ mengguris perasaan Nizam.

“Puas hati kau? Puas hati kau sekarang ? Puas?!”

“Athirah.. I cuma..”

“Cuma apa?! Aku dah cakap kat kau banyak kali, kan? Lepas kita pergi Danga City Mall, malam tu aku dah bagitau kau, lupakan aku. Cuba untuk cintai Raisya. Susah sangat, ke?!” siapa sangka orang yang selama ini lembut, berbudi bahasa boleh bertukar menjadi seperti singa betina. Kemarahan dan rasa kecewa Farina tidak dapat dibendung lagi.

“I cuma cintakan you, Athirah. Itupun susah sangat ke you nak faham?”

“Ya Allah.. Nizam..Aku dah tak tahu nak cakap macam mana kat kau.. Kita tak mungkin bersatu.. Kenapa kau masih harapkan aku lagi?” Farina mengesat air matanya dari terus mengalir. Nizam mendekati Farina.

“Kita boleh bersatu kalau you jujur.. I tahu you pun cintakan I, kan?” Nizam masih berusaha untuk memujuk Farina. Entah kenapa, dia begitu yakin dia tidak bertepuk sebelah tangan selama ini. Farina sendiri tidak pernah mengaku yang dia tidak mencintai Nizam. Lalu untuk apa Nizam menyerah? Selagi Farina tidak berpunya, dia akan cuba sedaya upaya untuk memiliknya.

Farina menghela nafas panjang seakan baru tersedar tentang sikapnya tadi. Dia menggenggam tangannya, cuba untuk mengumpul kekuatan.

“Shahrul Nizam.. Dengar sini..” Farina beristighfar, meminta Allah menguatkan hatinya. Air mata tidak lagi mengalir keluar dari matanya.

“Demi Allah.. Memang aku cintakan kau.. Aku cintakan kau sejak dulu lagi..”

“I dah agak!” Nizam gembira kerana akhirnya Farina mengaku jua.

“Tapi, sekarang tak lagi. Cinta aku dah terkubur lepas Raisya mengaku yang dia cintakan kau. Lepas aku tahu, aku rela untuk berundur.. Asalkan kawan aku bahagia, itu dah memadai bagi aku..”

“But, why? Kenapa you nak berkorban untuk Raisya?!” jelas rasa tidak puas hati di wajah Nizam.

“Sebab.. Aku sayangkan dia. Aku sayangkan dia lebih dari segala-galanya. Aku cuma nak dia gembira.. Itu je.. Dan kalau inilah harga sebuah persahabatan, aku rela. Aku rela asalkan Raisya tetap menjadi kawan aku. Aku harap kau faham..” Tanpa berlengah, Farina mencapai beg tangannya. Hatinya hancur lebur tika itu. Setiap langkahnya meninggalkan Nizam bersendirian menyakitkan hatinya sendiri.

‘Maafkan aku, Nizam.. Ampunkan aku Ya Allah.. Aku terpaksa menipu. Nizam, kalaulah kau tahu tak pernah sekalipun aku lupakan kau.. Aku cintakan kau Nizam! Aku cintakan kau!!’ kata hati Farina sepanjang langkahnya. Sebaik tiba di kereta, Farina terus menghamburkan tangisnya.

“Raisya.. Nizam!!” jerit Farina sambil tangannya menghentak stereng kereta berkali-kali. Tiba-tiba Farina merasakan ada cecair pekat mengalir dari hidungnya.

*****

Panggilan telefon yang berdering-dering tidak dijawab Raisya. Malas. Sejak lima hari yang lalu dia begitu. Peristiwa yang menyakitkan hati itu masih berbekas.

“Kenapa tak angkat call tu?” tegur ibunya yang muncul dari dapur.

“Malaslah bu.. Orang gila lah tu yang telefon!” jawab Raisya selamba. Ibunya mendekati Raisya lalu mengambil telefon bimbit itu. Sakit telinganya mendengar lagu yang entah apa-apa itu. Tanpa meminta izin dari Raisya, dia terus menekan butang angkat.

“Ni siapa?”

“Ibu!” terduduk Raisya dibuatnya. Ibu ni pun.. Angkat call tu buat apa! Marah Raisya. Dia terus merampas telefon bimbit itu dan berlalu masuk ke biliknya. Ibunya tersenyum puas. Dia kenal benar perangai anaknya itu.

“Helo! Kau nak apa?” kasar Raisya menjawab. Tidak perlu diduga, Nizam yang menelefonnya. Entah apa-apa je.. Farina sendiri pun tak sibuk nak cakap dengan aku! Bisikan amarah Raisya.

“Apa yang aku nak cakap ni.. Kau kena dengar betul-betul..” walaupun menyampah dengan nada Nizam seakan serius, Raisya tetap memasang telinga.

*****

Raisya berlari sekuat hati menuju ke Hospital Sultanah Aminah. Air matanya mengalir tanpa henti. Di fikirannya Cuma satu. Farina Athirah! Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Nizam sebentar tadi.

“Kau.. Dengar betul-betul..”

“Athirah.. Orang yang kau putuskan persahabatan tu.. Dia betul-betul perlukan kau..”

“Dia cakap.. Memang dia cintakan aku.. Tapi, dia rela berkorban untuk kau.”

“Farina Athirah memang bodoh.. Dan si bodoh tu cakap.. Kalau inilah harga sebuah persahabatan, dia rela..”

“Farina.. Dia tengah bergelut dengan maut sekarang.. Kalau kau masih anggap dia sahabat.. Datanglah. Jangan sampai kau menyesal.” Semua kata-kata Nizam membuatkan dia separuh gila. Tanpa berfikir panjang, Raisya terus berlari. Boleh sahaja dia menahan teksi tetapi hatinya degil. Egonya mengatakan dia perlu berusaha sendiri untuk berjumpa dengan Farina.

Tiba-tiba Raisya tersepak batu membuatkan dia jatuh terjelepok. Lututnya berdarah, tali seliparnya juga tercabut. Raisya tunduk dan menangis. Menangisi segala apa yang dia lakukan kepada Farina. Menangisi segala pengorbanan Farina untuknya.

“Farina.. Farina!!!” jerit Raisya. Dia bingkas bangun. Selipar ditanggalkan. Lutut yang berdarah juga diabaikan. Dia terus berlari dan berlari.

“Farinaaaaa!!!”

Sementara itu, di dalam wad kelas pertama, semuanya sedang menangisi nasib Farina. Dato’ Hamdan, orang gaji mereka, Lina, Nizam.. Kesemua mereka turut sedih melihatkan keadaan Farina. Nafasnya sudah tercungap-cungap bagaikan tidak cukup oksigen. Dato’ Hamdan ingin memanggil doktor tetapi dihalang Farina. Katanya, dia tidak mahu mati di dalam wad kecemasan. Andai ditakdirkan dia mati, biarlah dia mati di hadapan orang tersayang. Selain itu, Farina juga masih berharap Raisya akan datang melawatnya.

Dato’ Hamdan menggenggam kuat tangan Farina. Berkali-kali dia mengajar anaknya itu mengucap. Farina tetap sukar untuk bernafas. Bantuan pernafasan yang diberikan bagaikan tidak membantu. Air mata lelaki Nizam jatuh. Air mata Lina apatah lagi. Sejak lima hari yang lalu dia setia bersama Farina. Membantu menyediakan apa yang diperlukan.

“Rai.. Rai.. Sya..” kata Farina walaupun agak payah sekali. Semua menangis semerta. Di saat-saat terakhirnya, Farina tetap berharap dapat berjumpa dengan Raisya. Nizam mengesat air matanya. Dia tidak mahu Farina melihatnya bersedih.

Nizam mengeluarkan telefon bimbitnya lalu mendail nombor Raisya setelah Dato’ Hamdan memberi isyarat mata kepadanya. Nizam menggeleng hampa.

“Sayang.. Mengucap, nak.. Insya Allah, kejap lagi Raisya sampai.. Sayang Papa kan baik.. Mengucap ye sayang.. Asyhadualla.. Ilahaillallah..”

“Asy.. Ha.. Du..” Farina mengikut Papanya dengan senyuman di bibir. Dato’ Hamdan tidak dapat menahan sebaknya lagi. Puterinya yang satu itu benar-benar anugerah Ilahi. Dalam menghadapi sakaratulmaut pun, Farina masih lagi mampu tersenyum.

“Rinnnn!” semua mata tertumpu kepada Raisya. Alhamdulillah.. Hanya itu yang mampu mereka ucapkan. Keadaan Raisya yang agak berserabut itu tidak dipedulikan. Raisya mendekati sahabatnya dengan tangisan. Nafas Farina dilihat mulai reda sedikit.

“Rin.. Rin.. ampunkan aku, Rin!” hanya itu yang mampu dia katakan. Melihatkan wajah pucat Farina, membuatkan hatinya hiba. Selama ini, wajah itu sentiasa sahaja ceria tetapi hari ini..

Farina menggerakkan tangannya untuk membuka bekalan oksigen tersebut. Dato’ Hamdan membantunya.

“So.. So.. Sorry..” ucap Farina perlahan. Air mata Raisya semakin laju. Ya Allah! Aku yang berdosa, kenapa mesti dia yang meminta maaf? Raisya menggenggam tangan Farina dengan kuat, seakan tidak mahu melepaskannya.

“Aku.. Cu.. Ma.. Nak.. Kau.. Ba.. Baha.. Gia..”

“Aku tahu, Rin.. Aku tahu! Kau janganlah tinggalkan aku.. Aku perlukan kau!” jawab Raisya. Farina menggeleng perlahan. Tangannya dikuatkan pula untuk mengesat air mata Raisya. Raisya mendekatkan wajahnya dengan Farina.

“Ja.. Jangan.. Na.. ngis.. A.. Aku.. Sa.. Sayang.. Kau..” tiba-tiba nafas Farina menjadi kuat. Tercungap-cungap dia menarik nafas.

“Rin! Jangan macam ni, Rin!” Raisya kalut memasang kembali bantuan pernafasan Farina.

“Cik Farina!”

“Sayang!”

“Athirah!” keadaan menjadi huru-hara. Nafas Farina bertambah teruk. Lebih teruk daripada tadi. Raisya membisikkan syahadah di telinganya.

“Asyhadualla.. Ilahaillallah..”

“Asy.. Ha.. Du.. Alla.. I.. La.. Ha.. Il.. Lallah..” serentak Farina habis mengucapkan kalimah syahadah, satu bunyi kuat keluar dari mesin di sebelahnya. Bacaan jantung Farina menjadi datar secara tiba-tiba. Dato’ Hamdan terpempan sementara orang gaji mereka memeluk satu sama lain. Lina pula terketar-ketar menahan tangisnya. Nizam terduduk di atas lantai.

“Rin! Jangan tinggalkan aku, Rin!! Farinaaaa!!” jerit Raisya seraya memeluk Farina. Tubuh Farina yang tidak bernyawa itu dirangkulnya.

“Farinaaaa!!” jeritnya lagi. Innalillahiwainnailaihirrajiun..

Dato’ Hamdan bangun lalu menutup mata anaknya. Dahi Farina dicium sekali dengan penuh kasih. Dato’ Hamdan perasan bibir Farina seakan-akan tersenyum. Alhamdulillah.. Barangkali Farina sendiri redha dengan pemergian-Nya..

‘Anakku.. Kau berehatlah.. Papa tahu, kau mesti bahagia di atas sana..’ Wajah Farina seakan-akan bercahaya. Mungkin itulah cahaya keimanannya selama ini.

Raisya masih lagi memeluk Farina. Jika boleh, dia berharap biarlah dia yang pergi, dan bukannya Farina Athirah.

*****

Urusan pengebumian Farina Athirah berjalan dengan lancar. Tiada sedikitpun gangguan yang menghalang. Dato’ Hamdan mendekati Raisya yang masih bersimpuh di tepi pusara Farina.

“Sya.. Sudahlah.. Redhakan pemergian arwah..”

“Tapi ni semua salah saya, Uncle.. Disebabkan saya, dia meninggal..” ujar Raisya. Air matanya setia mengalir sejak semalam. Biarpun dia membantu memandikan jenazah, tetapi itu tidak mungkin membasuh segala dosanya.

“Mengucap, Sya.. Ini semua takdir-Nya.. Sejak tiga tahun yang lalu dia disahkan leukemia.. Waktu tu kami dapat kesan awal.. Doktor kata kemungkinan untuk hidup cuma setahun atau setahun setengah sahaja.. Tapi, Allahuakbar. Dia Maha Berkuasa. Farina dapat hidup lebih lama daripada itu. Kami tak dapat penderma tulang sum-sum yang sesuai. Pakcik punya tak sesuai untuk dia. Memandangkan dia tak ada adik beradik ataupun ibu, kami memang tak berpeluang langsung.

Pakcik ada cadangkan pada dia untuk mohon bantuan orang lain. Tapi, dia tolak.. Farina cakap, cukuplah dia sendiri menderita. Orang lain tak perlu mengorbankan diri mereka..” Dato’ Hamdan mula membuka cerita tentang penyakit Farina.

Itu semua sudah cukup untuk menjelaskan mengapa hidung Farina selalu berdarah, lemah dan selalu mengambil ubat. Dato’ Hamdan mengeluarkan sesuatu dari poketnya lalu diserahkan kepada Farina.

“Ini amanah terakhir Farina.” Raisya menyambutnya lambat-lambat. Sampul surat berwarna biru. Biru.. Warna kesukaan Farina. Dengan lafaz Bismillah, dia membaca surat tersebut. Dato’ Hamdan melangkah pergi, memberi sedikit ruang untuk Raisya.

‘Assalamualaikum.. Nurul Raisya.. Maaflah, tulisan aku macam cakar ayam. Doktor punya pasallah ni, cucuk aku dengan macam-macam tiub. Hehe..

Raisya.. Sebenarnya aku nak mintak maaf dengan kau. Mintak maaf sangat sebab aku banyak kali tipu kau. Sebenarnya aku ada penyakit.. Leukimia.. Kau mesti tak percaya, kan? Jangan risaulah, aku okay.. Insya Allah, aku akan baik-baik je..

Aku nak ucapkan terima kasih pada kau untuk semua kenangan manis yang kita bina bersama. Aku hargai setiap saat tersebut. Aku nak kau tahu, aku sayang kau sangat-sangat. Aku rela kehilangan orang yang aku cintai asalkan bukan aku. Selain Papa, kaulah orang yang paling aku sayang. Aku tak sanggup kehilangan kau, Raisya..

Nurul Raisya..

Aku juga nak minta maaf.. Aku tak jujur dengan kau tentang perasaan aku. Betul, Nizam cintakan aku dan aku juga cintakan dia. Tapi, aku tahu kau jugak cintakan dia. Sebab tu aku rela undurkan diri.. Waktu Nizam mengaku tentang perasaan dia, aku masih sihat lagi waktu tu.. Percayalah.. Aku bukannya mengalah sebab aku tahu aku akan mati. Tapi sebab aku sayangkan kau.

Kalau inilah harga sebuah persahabatan, aku rela hilang seribu cinta asalkan aku tetap kawan dengan kau. Sorry, kertas ni dah basah pulak. Air mata aku ni degil, nak jatuh jugak..

Aku ada satu permintaan. Aku cuma nak kau bahagia.. Kalau kebahagiaan kau ada pada Nizam, pergilah pada dia. Aku dah nyatakan hasrat aku pada dia. Insya Allah, dia akan terima kau.. Aku harap kau bahagia. Sorry sekali lagi sebab aku tak dapat hadir ke majlis kahwin kau nanti. Huhu..

Aku mintak maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Sungguh, aku sayangkan kau.

Dari sahabatmu, Farina Athirah..’

Raisya mengesat air matanya yang mengalir. Betapa hebatnya pengorbananmu Farina. Inikah harga persahabatan kita? Maafkan aku.. Maafkan aku sebab aku bukan kawan yang baik..

Raisya melipat kembali surat tersebut. Tiba-tiba dia terasa ada seseorang berdiri di sebelahnya. Raisya menoleh perlahan-lahan.

Nizam sedang berdiri di situ. Walaupun matanya bengkak, Nizam tetap tersenyum. Tangannya dihulurkan kepada Raisya. Perlahan-lahan, Raisya menyambut huluran tangan tersebut.

“Aku tahu kau akan bahagia, Raisya..” Raisya seolah-olah terdengar suara rakannya itu berbisik di telinganya. Raisya mengulum senyum.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

63 ulasan untuk “Cerpen : Harga Sebuah Persahabatan”
  1. cite sad ending,.. tp siyes ckp xnyesal baca…sgt best and sarat!

  2. nufinajaunty says:

    best sngt..good job..inilah rupanya harga sebuah persahabatan?

  3. ummu ainan says:

    subhanallah…masterpiece btol la..menitis air mata huhu.. :’)
    anyway..good job..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"