Novel : Mr. Secret Admirer 4

27 June 2012  
Kategori: Novel

11,420 bacaan 40 ulasan

Oleh : SHILA ALISH

BAB 4

Kini hanya tinggal Zureen bersendirian di bilik Redza. Datin Raja Fatimah keluar sebentar untuk menghantar Dr. Rashdan. Pintu bilik dibiarkan terbuka. Walau dalam keadaan apa jua pun, Zureen tetap perlu berhati-hati. Dia sedar, bila bekerja dalam keadaan berdua-duaan, apatah lagi mereka berdua bukan muhrim, jika tidak berhati-hati boleh menimbulkan fitnah. Zureen mesti sentiasa memelihara maruah dirinya di samping tidak mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.

Zureen termenung seketika. Tidak tahu apa harus dilakukan ketika itu. Walaupun senarai tugas yang harus dilakukan telah sedia menanti, tetapi apabila melihatkan Syed Redza yang masih lena tidur, dia jadi bingung. Sepatutnya, sekarang adalah masa untuk Syed Redza makan ubat. Dr. Rashdan telah berkali-kali mengingatkannya agar mematuhi waktu pemberian ubat kepada Syed Redza.

“Macam mana ni? Nak kejut ke tidak ni? Kalau tak kejut, macam mana nak bagi makan ubat? Tapi…kalau aku kejutkan dia, nak ke dia bangun? Silap-silap aku pulak kena tengking dengan dia!”, Zureen bercakap sendiri.

Zureen masih berkira-kira. Dia benar-benar serba salah. Kali pertama untuk menguruskan Syed Redza, sudah pasti perasaannya sangat berdebar-debar. Apatah lagi mendengar cerita dari Datin Raja Fatimah sendiri mengenai perangai Syed Redza dan apa yang telah dilakukan kepada jururawat-jururawat peribadinya sebelum ini. Ah! Apa pun yang berlaku, aku harus kuat. Akhirnya Zureen memutuskan untuk mengejut sahaja Syed Redza.

“Kalau aku nak tunggu dia bangun, sampai bila pun tak dapat bagi dia makan ubat!”, gumam Zureen.

Zureen memberanikan diri mengejut Syed Redza.

“Encik Redza….Encik Redza…bangun..sekarang masa untuk Encik Redza makan ubat”, Zureen mengejut dengan suara yang lembut.

Zureen sedar, dia harus berhati-hati. Umpama mengejut harimau yang sedang tidur, kalau tersilap langkah, dia akan dibahamnya.

Masih tiada reaksi dari Syed Redza. Tidur mati ke apa ni? Zureen mula merungut. Namun, dia tidak berputus asa. Dicubanya lagi mengejut Syed Redza. Kali ini suaranya sedikit ditekan. Manalah tahu kalau-kalau memang Syed Redza tidak sedar langsung.

“Encik Redza…bangunlah. Dah sampai masa Encik Redza makan ubat ni!”, dibongkokkan sedikit badannya dan suaranya sengaja dihalakan dekat dengan telinga Syed Redza.

Syed Redza tersentak. Matanya dibuka sedikit. Dia menjeling Zureen seketika. Tajam jelingannya seolah-olah memberi amaran JANGAN GANGGU AKU! Kemudian matanya dipejamkan kembali.

Aikk? Tidur balik? Dia ni sengaja nak mencabar aku ke? Tak boleh jadi ni!

“Encik Redza…bangunlah! Sampai bila Encik Redza nak tidur ni?”, Zureen sedikit menjerit.

Dia tidak peduli kalau Syed Redza akan menengkingnya. Apa? Ingat aku takut ke? Ini Zureenlah! Entah semangat apa yang telah menyerap ke dalam dirinya hingga menjadikan dia begitu berani. Hilang sudah perasaan takutnya tadi.

Syed Redza membuka matanya. Siapa budak perempuan ni? Berani aje dia nak jerit-jeritkan aku!

“Hei!…kau ni siapa hah? Apahal kau nak jerit-jeritkan aku? Siapa yang benarkan kau masuk bilik aku ni?”, suara Syed Redza tidak kurang kuatnya.

Kurang ajar betul! Belum ada sesiapa pun sebelum ini yang berani memperlakukan dirinya seperti yang dilakukan oleh budak perempuan itu tadi!

Terkedu seketika Zureen apabila dijerkah sebegitu kuat. Namun, dia tidak boleh mengalah begitu sahaja. Jika dia mengalah, sampai bila-bilalah Syed Redza akan berkelakukan seperti itu sedangkan dia sudah berjanji kepada Datin Raja Fatimah untuk membantu merawat Redza dari segi fizikal dan mentalnya.

“Haa…Sedar pun! Ingatkan dah mati tadi!”, Zureen pun tidak sangka dia boleh mengeluarkan kata-kata seperti itu.

Ah! Biarlah. Kadang-kadang orang yang kurang ajar seperti Syed Redza juga perlu dilayan dengan cara kurang ajar. Mungkin dengan cara ini sahaja boleh membetulkan semula sikap Syed Redza itu.

Kali ini Syed Redza benar-benar tersentak dengan ungkapan yang keluar dari mulut gadis comel itu sehingga dia terus terbangun dan duduk menghadap Zureen. Matanya tajam menikam merenung Zureen. Siapa dia ni? Kenapa begitu berani sekali? Tak padan dengan kecil, bukan main bisa lagi mulutnya! Getus hati Syed Redza.

Zureen dan Syed Redza saling berbalas renungan. Dua renungan yang membawa tafsiran berbeza. Renungan Zureen yang mengharapkan Syed Redza kembali kepada dirinya yang asal, manakala renungan Syed Redza yang penuh dengan dendam dan api kebencian terhadap kaum sejenis Zureen.

“Hei, perempuan! Apa masalah kau ni hah? Yang kau nak menyibuk hal aku ni apahal? Kau siapa nak jerit-jeritkan aku ni?”, bergegar banglo mewah itu dengan jeritan Syed Redza. Dia betul-betul hilang sabar dengan Zureen.

“Habis tu, dah orang kejut elok-elok tak reti nak bangun, apa lagi jeritlah! Kalau tak dijerit tadi, mesti Encik Redza tak bangun-bangun lagikan??!!”, Zureen tidak mahu kalah. Suaranya sama kuat Syed Redza.

Zureen sudah nekad. Apa nak jadi, jadilah! Syed Redza memang perlu diajar.

Datin Raja Fatimah yang terdengar jeritan Syed Redza dan Zureen bergegas menuju ke bilik anak bujangnya. Dia bimbang jika sesuatu yang buruk berlaku dan yang paling membimbangkannya jika Zureen juga akan bertindak meninggalkan Syed Redza seperti jururawat-jururawat sebelum ini.

Sementara itu, di dalam bilik, Syed Redza sudah hilang sabar dengan keberanian Zureen. Tangannya sudah diangkat untuk menampar pipi gebu Zureen. Mujur Datin Raja Fatimah sampai tepat pada masanya.

“Redza!! Stop it”, jerit Datin Raja Fatimah sambil meluru ke arah Syed Redza. Dia tidak menyangka Syed Redza akan bertindak sejauh itu kerana sebelum ini, Syed Redza hanya akan menengking atau mengherdik jururawat yang merawatnya.

“Redza…..kenapa ni? Kenapa sampai nak angkat-angkat tangan? Mengucap sayang…istighfar banyak-banyak”, Datin Raja Fatimah cuba untuk menenangkan Syed Redza. Dipeluk anak bujangnya itu persis si ibu yang sedang memujuk anak kecilnya.

Zureen pula hanya diam terpaku. Dia sendiri juga agak terkejut dengan tindakan drastik Syed Redza itu. Kini dia sedar, bahawa dia sangat memerlukan kesabaran yang tinggi apabila berhadapan dengan Syed Redza.

Tiba-tiba hatinya menjadi sayu dan terharu dengan kelembutan dan kesabaran Datin Raja Fatimah melayan Syed Redza. Hampir saja dia berputus asa tadi apabila melihat penerimaan Syed Redza terhadap dirinya, namun tidak sampai hati pula melihat pengorbanan Datin Raja Fatimah dalam usaha untuk memulihkan anak tunggalnya itu.

“Mama….dah banyak kali Redza beritahu yang Redza tak perlukan sesiapa untuk jaga Redza. Redza bukan budak kecil yang nak kena jaga. Cukuplah Dr. Rashdan sorang aje yang rawat Redza. I don’t need any outsider to take care of me and not even that rude girl!”, balas Syed Redza dengan marah sambil matanya menjeling ke arah Zureen.

“Redza…please…kalau Redza sayangkan mama, tolonglah dengar cakap mama…mama merayu…cuma sekali ni saja mama minta Redza dengarlah cakap mama. Mama yang minta tolong Zureen untuk jaga Redza. Dia datang ke sini untuk bantu mama…untuk bantu Redza…mama tak minta yang lain…mama cuma minta Redza beri peluang untuk Zureen jalankan tugasnya. Itu saja!”, Datin Raja Fatimah merayu. Air jernih sudah kelihatan bergenang di kelopak matanya.

Zureen masih terpaku di sudut yang sama. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu. Dia masih terharu melihat kesungguhan Datin Raja Fatimah.

“Ok fine…Redza terima dia sebab mama…kalau sebab budak kurang ajar tu, Redza lebih rela tanggung sakit Redza ni selama-lamanya”, akhirnya Syed Redza tunduk juga dengan rayuan ibunya walaupun sekaligus seolah-olah sedang memberi amaran kepada Zureen.

Sabar Zureen sabar! Zureen yakin jika dia ikhlas menjalankan tugasnya, pasti Allah akan mempermudahkan tugasnya. Itulah doa dan harapannya ketika itu.

“Thanks sayang…Redza janji dengan mama yang Redza tak akan buat macam tadi lagi ye?”

Syed Redza hanya mengangguk. Namun, matanya sesekali masih menjeling tajam ke arah Zureen seolah-olah memberi amaran YOU BETTER WATCH OUT!!

Kecut perut Zureen melihat jelingan tajam Syed Redza itu.

“Ok now… Redza bangun…pergi mandi…sekejap lagi Zureen nak bagi makan ubat”

“Zureen…tolong auntie ambilkan tongkat Redza”,arah Datin Raja Fatimah sambil membantu untuk memapah Syed Redza bangun dari katilnya.

Zureen menghulurkan tongkat kepada Syed Redza. Disambutnya dengan agak kasar. Masih berbaki lagi sisa kemarahannya terhadap Zureen di atas kelancangan mulut gadis comel itu. Dengan terdengkot-dengkot Redza berjalan menuju ke bilik air.

Apabila sudah pasti Syed Redza berada di dalam bilik air, Datin Raja Fatimah segera menghampiri Zureen.

“Maafkan auntie di atas kelakuan Redza pada Zureen tadi”, digenggamnya tangan Zureen erat.

“It’s okey auntie…Zureen pun nak minta maaf sebab Zureen dah terlepas cakap pada Encik Redza tadi. Zureen betul-betul tak sengaja”

“Takpe auntie faham. Auntie harap Zureen tak putus asa. Zureen kena banyak-banyak bersabar sebab…auntie tahu Redza macam mana. Dia anak auntie. Sikap sebenarnya bukan begitu. Kalau Zureen boleh bersabar, auntie yakin Redza akan berubah”

“Insyallah auntie. Selagi terdaya, Zureen akan cuba”

“Thanks sayang…ok auntie keluar dulu ye. Don’t worry, auntie tahu Zureen boleh buat”, ujar Datin Raja Fatimah sambil menepuk-nepuk bahu Zureen. Datin Raja Fatimah segera berlalu meninggalkan Zureen untuk memulakan tugasnya.

Lebih kurang 15 minit menunggu, akhirnya Syed Redza muncul dari bilik air. Zureen cukup terperanjat apabila melihat Syed Redza hanya bertuala. Merah padam mukanya menahan malu. Badannya menggeletar hingga dia terlupa apa yang patut dilakukannya. Zureen segera memalingkan badannya membelakangkan Syed Redza.

“Hishh…salah aku juga. Yang aku pergi tunggu dia keluar dari bilik air tu kenapa? Patutnya aku tunggu di luar biliknya aje”, gumam Zureen.

“Hah! Apa lagi yang kau tercegat kat situ? Ambilkan baju aku! Kau nak sangat jaga aku kan? Mulai hari ni, kau kena sediakan semua keperluan aku”,sergah Syed Redza.

“Datin beritahu saya yang saya dibayar gaji untuk menjadi jururawat Encik Redza saja. Bukan jadi orang suruhan Encik Redza. Saya hanya menguruskan berkaitan penjagaan kesihatan Encik Redza sahaja!”, balas Zureen tidak puas hati.

“Itu mama aku yang cakap! Kalau kau nak aku bekerjasama dengan kau, ikut arahan aku! Kau tak nampak kaki aku ni tak boleh berjalan? Kau nak suruh aku buat sendiri semua? Kalau aku boleh buat semua, tak payahlah mama aku susah payah buang duit gajikan kau! Faham?”

Ya Allah…sabarkanlah hatiku ini! Kalau tak disebabkan aku dah terjanji dengan mama kau tu, dah lama aku tinggalkan manusia tak tahu bersyukur, kepala batu macam kau ni tahu tak? Namun, kata-kata itu hanya setakat menjerit di dalam hatinya sahaja.

Dengan penuh rasa terpaksa, Zureen akur juga dengan arahan si kepala batu itu. Dia membuka almari pakaian Syed Redza. Dia benar-benar bingung. Tidak tahu, baju apa yang patut diambilnya. Malas mengusutkan fikirannya, dicapai sehelai T-shirt berwarna hitam. Kemudian dihulurkannya kepada Syed Redza dengan keadaan masih membelakangkan Syed Redza. Tidak sanggup untuk melihat Syed Redza yang hanya bertuala sahaja.

“Kau nak suruh aku pakai baju dengan tuala mandi ni aje ke?”

Malas bertekak, dicapainya sehelai track bottom berwarna putih dan dihulurkan kepada Syed Redza.

“Kau nak suruh aku terus pakai track bottom ni aje ke?”

Ya Allah. Apa lagi yang si kepala batu ni hendak? Zureen mula berang.

“Encik Redza nak apa lagi?”, suaranya masih cuba dikawal.

“Spender aku!!”

“What??!! Encik Redza ni dah melampau!”, Zureen terus sahaja berlari keluar meninggalkan Redza yang ketawa besar.

“Hah! Padan muka kau! Nak sangat jaga aku kan? Tadi bukan main bisa lagi mulut kau ye?? Aku ingatkan berani sangat?”, sengaja dijeritkan suaranya sambil ketawa.

Zureen menerpa masuk ke dalam biliknya. Tanpa disedarinya, dia telah menghempas pintu bilik dengan agak kuat ketika ingin menutupnya. Badannya menggeletar dan wajahnya pucat lesi. Badannya dirasakan seram sejuk tiba-tiba.

Apa yang berlaku sebentar tadi sungguh tidak diduganya. Belum pernah lagi dia mengalami keadaan seperti itu. Dia duduk memeluk lututnya di atas katil. Badannya digoyangkan ke hadapan dan ke belakang bagi menghilangkan perasaan takutnya itu.

“Ya Allah…macam mana aku nak bekerja kat sini kalau begini keadaannya? Aku tak kuat Ya Allah…tolonglah hambaMu ini. Permudahkanlah segala urusanku. Aku tak sampai hati nak mengecewakan auntie tapi….aku takut Ya Allah”, Zureen merintih.

Baginya, dia mampu bersabar dan rela menerima apa juga tengkingan atau herdikan dari Syed Redza tapi dia cukup takut jika insiden seperti tadi akan berlaku lagi. Walaupun, Syed Redza memang tidak melakukan apa-apa kepadanya, tetapi baginya, tindakan lelaki itu tadi telah sedikit sebanyak mencalarkan maruah dirinya sebagai seorang wanita.

Sedang dia berkira-kira apakah yang patut dilakukan seterusnya, tiba-tiba kedengaran pintu biliknya diketuk. Zureen segera menyeka air matanya. Dia tahu pasti Datin Raja Fatimah ingin memujuknya. Dia tidak mahu Datin Raja Fatimah melihatnya mengalirkan air mata. Dia juga tidak mahu menunjukkan sikapnya yang mudah mengaku kalah walaupun perjuangannya belum pun bermula.

“Aku mesti kuat!!”, bisiknya untuk memberikan kekuatan kepada dirinya sendiri sebelum membenarkan Datin Raja Fatimah memasuki biliknya.

Riak kebimbangan jelas tergambar di wajah Datin Raja Fatimah sewaktu wanita itu masuk ke bilik Zureen. Dia segera menerpa ke arah Zureen.

“Kenapa ni sayang? Zureen ok ke? Redza ada buat apa-apa ke pada Zureen? Kenapa muka Zureen pucat ni?”, bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Datin Raja Fatimah.

Dia benar-benar bimbang. Walaupun dia sendiri tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Niatnya tadi ingin melihat bagaimana Zureen memulakan tugasnya, namun sebaik sahaja dia memasuki bilik anak bujangnya, didapati Zureen tiada di situ. Ubat yang sepatutnya dimakan oleh Syed Redza juga masih belum terusik.

Syed Redza pula dilihatnya kelihatan tenang duduk di atas kerusi rodanya di balkoni seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Redza, mana Zureen? Kenapa Zureen tak bagi Redza makan ubat lagi ni?”, soal Datin Raja Fatimah yang agak pelik. Apa yang sebenarnya berlaku? Adakah anak bujangnya itu ada melakukan sesuatu kepada Zureen?

“Manalah Redza tahu ma…macam manalah mama boleh ambil budak kurang ajar tu untuk jadi jururawat Redza? Dahlah pemalas, makan gaji buta aje. Kalau dialah yang nak tolong rawat Redza ma, nampak gayanya Redza ni bukan makin sembuh, makin sakit lagi adalah. Tengoklah tadi tu, belum apa-apa dah berani nak menjerit-jerit macam tu. Kurang ajar betul!”, balas Redza cuba untuk melepaskan perasaan tidak puas hatinya. Insiden dijerkah oleh gadis itu masih tidak dapat dilupakannya.

“Redza….jaga sikit mulut tu!”, tanpa sengaja, Datin Raja Fatimah telah meninggikan suaranya.

Selama ini dia cukup berhati-hati apabila bersama anak bujangnya itu kerana dia tahu Syed Redza yang ada di hadapannya kini bukan Syed Redza yang dahulu. Syed Redza kini cukup sensitif sebab itulah Datin Raja Fatimah sentiasa berlembut dengan anak bujangnya itu. Dahulu anak bujangnya itu cukup periang orangnya. Malah, dia sendiri sebagai ibu sering dijadikan bahan usikan anaknya ketika bergurau.

Sebagai anak tunggal, sudah pasti Syed Redza agak kebosanan apabila berada di banglo mewah itu. Bagi menghilangkan kebosanan, Datin Raja Fatimahlah menjadi tempat untuk bergurau atau tempat untuk mencurah perasaannya. Bagi Syed Redza, mamanya itu adalah segalanya tetapi kini keadaan sudah berubah. Semenjak sedar dari koma, Syed Redza lebih banyak mendiamkan diri. Sepatah yang ditanya, sepatah jualah yang dijawabnya.

Syed Redza agak tersentak dengan jeritan mamanya itu. Belum pernah mamanya melayannya sebegitu selama ini. Adakah disebabkan budak kurang ajar itu mamanya jadi begini? Jika benar, apa istimewanya dia?

Seolah-olah baru tersedar keterlanjurannya, Datin Raja Fatimah segera menghampiri Syed Redza. Seperti biasa, dipeluk dan dibelainya anak bujangnya itu. Kesal sungguh hatinya kerana tidak dapat menahan amarahnya apabila Syed Redza menghina Zureen. Dia sendiri jadi bingung kenapa dia begitu mengambil berat tentang Zureen. malahan, tidak keterlaluan jika dikatakan, dia amat menyayangi dan menyenangi Zureen walaupun baru sahaja mengenali gadis itu. Baginya, Zureen bukan gadis biasa.

“Redza….mama minta maaf. Mama tak sengaja”

Datin Raja Fatimah mengambil tempat di sebelah Syed Redza. Dia memeluk bahu Syed Redza dan kepalanya dilentokkan di bahu anak bujangnya itu seolah-olah dia yang sedang bermanja dengan anaknya itu.

“Redza….Redza tahu kan mama sangat sayangkan Redza? Redza tahu kan macam mana mama dan papa sayangkan Redza? Mama buat semua ni sebab mama nak Redza pulih seperti dulu. Mama nak sangat tengok Redza yang ceria dan periang seperti dulu. Redza tahu tak, tiap kali mama tengok Redza dalam keadaan macam ni, hati mama cukup hancur….dan sebab itulah mama cuba cari jururawat terbaik untuk bantu mama, papa dan Dr. Rashdan untuk merawat Redza…..”

“Jururawat terbaik? Budak perempuan yang berperangai kurang ajar macam tu mama kata jururawat terbaik? Kalau setakat budak yang entah dari mana tu yang nak tolong rawat Redza ma, Redza lebih rela selamanya dalam keadaan macam ni”

“Sayang….tak baik Redza cakap macam tu. Redza tak percayakan mama? Takkanlah mama nak ambil jururawat yang tak senonoh untuk merawat Redza. Dah tentulah mama akan cari yang terbaik untuk bantu Redza. Mama tahu Zureen tu macam mana”

“Dah berapa lama mama kenal dia? Setahun? Dua tahun? Macam mana mama boleh percayakan sangat dia kalau mama pun baru aje kenal dengan dia?”

“Sayang….sebagai seorang ibu, nalurinya tak pernah salah. Memang mama akui mama baru aje kenal dengan Zureen semalam tapi….mama tak tahu kenapa naluri mama seolah-olah dah kenal Zureen lama. Mama percaya dia ikhlas. Dia memang perlukan kerja ni. Redza kena ingat, Zureen tu pun manusia biasa. Ada perasaan. Tentulah dia pun hilang sabar kalau Redza memaki hamun dia sedangkan dia datang ke sini untuk tolong rawat Redza. Mama mohon sangat, Redza janganlah ulang lagi sikap yang sama Redza lakukan pada jururawat-jururawat sebelum ni sebab kalau Zureen pun mengambil tindakan yang sama, mama belum pasti mama akan dapat lagi jururawat sebaik Zureen lagi…”

Syed Redza hanya mendiamkan diri. Dia malas untuk terus berbalas cakap dengan mamanya. Semenjak sedar dari koma, memang dia lebih senang berdiam diri dari berkata-kata.

“Sayang….mama tanya lagi sekali, apa yang dah Redza buat pada Zureen sampai dia keluar dari bilik Redza ni sebab setahu mama dia memang tunggu Redza dari tadi untuk bagi makan ubat”

“Redza tak buat apa-apalah ma….mama tanyalah dia sendiri… Macam mana nak sembuhkan Redza kalau setakat benda kecil macam tu pun dah tak boleh nak handle?”

“Benda kecil? Maknanya memang Redza ada buat sesuatulah pada Zureen?”

Syed Redza tidak menjawab sebaliknya hanya senyuman sinis yang tersungging di bibirnya. Dalam hatinya menyorak.

“Padan muka kau! Itu baru sikit. Kau tunggulah apa aku akan buat kalau kau tunjukkan lagi sikap kurang ajar kau tu!”, bisiknya.

Datin Raja Fatimah hanya menggelengkan kepala. Dia segera bangun meninggalkan Redza. Dia sedar, dia perlu segera memujuk Zureen. Dia amat bimbang jika Zureen akan berputus asa.

Apabila melihat keadaan Zureen yang seolah-olah ketakutan, Datin Raja Fatimah amat pasti bahawa memang sesuatu telah berlaku antara Zureen dan anak bujangnya itu. Walaupun Zureen cuba menafikan apa yang telah berlaku, namun nalurinya kuat mengatakan Zureen cuba untuk menyembunyikannya. Apatah lagi senyum sinis yang terukir di bibir Syed Redza tadi, dia pasti telahannya benar.

“Sayang….cuba cakap dengan auntie apa yang dah Redza buat pada Zureen? Zureen jangan takut. Zureen boleh beritahu auntie kalau ada apa-apa yang Redza buat pada Zureen”, pujuk Datin Raja Fatimah dengan lembut.

“Takde apa-apalah auntie…betul, Zureen tak tipu”, Zureen masih cuba menafikan kerana seboleh-bolehnya dia tidak mahu Datin Raja Fatimah tahu apa yang telah berlaku. Biarlah ianya menjadi rahsia antara dirinya dengan Syed Redza sahaja.

Malas untuk terus mendesak, akhirnya Datin Raja Fatimah mengalah. Biarlah jika Zureen ingin merahsiakannya. Mungkin Zureen mempunyai alasannya tersendiri untuk berbuat begitu.

“Betul ni takde apa-apa?”

Zureen hanya tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Ok, kalau betul takde apa-apa, kenapa Zureen masih tak bagi anak auntie makan ubat lagi? Dah lewat sangat ni tau?”, Datin Raja Fatimah masih cuba mengorek rahsia.

Zureen bingkas bangun dari katilnya sebaik sahaja mendengar pertanyaan Datin Raja Fatimah itu.

“Alamak! Dah lewat ke? Ok…ok Zureen pergi sekarang…Oh! Ye..”, langkah Zureen terhenti kembali. Dia seolah-olah sedang berfikir seketika.

“Kenapa Zureen?”, soal Datin Raja Fatimah yang melihat Zureen dengan pandangan pelik. Apa pula kali ini?

“Hmmm….auntie, Zureen minta maaf. Boleh tak auntie keluar sekejap. Zureen nak salin baju”

“Salin baju? Kenapa? Zureen nak pakai baju apa?”, Datin Raja Fatimah tambah pelik.

“Adalah….”. balas Zureen tersengih-sengih.

Datin Raja Fatimah menarik nafas lega. Dia berlalu meninggalkan Zureen dengan perasaan pelik. Biar pun Zureen cuba berahsia, namun sekurang-kurangnya dia tidak perlu risau akan kehilangan Zureen

“Auntie…”

Langkah Datin Raja Fatimah terhenti kembali sebaik mendengar Zureen memanggilnya.

“Ada apa Zureen?”

“Auntie…auntie kata auntie percayakan Zureen kan?”

Datin Raja Fatimah tersenyum mengangguk.

“Ya….auntie percayakan Zureen….kenapa?”

“Kalau auntie percayakan Zureen, Zureen harap kalau ada sesuatu tindakan Zureen terhadap Redza yang tak menyenangkan hati auntie atau agak keras dan kasar, auntie janganlah terperanjat ye….dan kalau boleh biarkan saja Zureen dengan Redza aje masa tu. Auntie jangan berada bersama kami ketika tu…boleh auntie?”

Datin Raja Fatimah agak pelik dengan permintaan Zureen itu. Menyedari Datin Raja Fatimah yang kebingungan, Zureen terus sahaja menerangkan.

“Auntie…Zureen buat macam tu sebab Zureen nak tolong anak auntie sebab kadang-kadang kita perlukan cara yang lebih agresif untuk memulihkan kembali Redza jika dengan cara lembut masih tak mampu mengubah dirinya. Percayalah, Zureen akan pastikan kesihatannya tidak akan terjejas dan tiada sebarang perkara buruk yang berlaku….insyallah”

Datin Raja Fatimah menarik nafas panjang. Redup matanya memandang Zureen. Dari kata-kata gadis itu, dia tahu Zureen ikhlas ingin membantunya.

Akhirnya, Datin Raja Fatimah kembali tersenyum mengangguk tanda bersetuju. Zureen terus menerpa ke arah Datin Raja Fatimah dan memeluk wanita itu dengan penuh kasih.

“Terima kasih auntie….terima kasih. Insyallah, Zureen takkan hampakan auntie”

Setelah Datin Raja Fatimah berlalu pergi, Zureen kembali kepada misi untuk menyalin pakaiannya. Entah kenapa, tiba-tiba idea itu terlintas di fikirannya. Apa yang pasti, Zureen yakin idea spontannya itu akan dapat membantunya menjalankan tugas dengan baik dan ianya juga adalah merupakan titik permulaan kepada kariernya sebagai jururawat peribadi kepada seorang lelaki sejuk beku kepala batu, Syed Redza bin Dato’ Syed Munawar.

*P/S: Harap enjoy membaca & sudilah berikan komen……….tq




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

40 ulasan untuk “Novel : Mr. Secret Admirer 4”
  1. SHILA ALISH says:

    Boleh Iklil…mmg saya tulis utk dibaca oleh pembaca sekalian…thanks sbb sudi mmba…hrp2 setia menanti bab seterusnya ye…

  2. saliah says:

    suka sgt…tk sabar nk tggu next entry…kalau boleh wat pnjg ckit boleh tk?….

  3. insyaallah,,sy follow ..he…

  4. mama_athirah says:

    same mcm cite sebelom ni… siapa orang gaji ku…..

  5. SHILA ALISH says:

    Ye ke mama athirah? Maaflah sbb saya mmg x tahu cerita tu n x pernah baca…cerita ni mmg ilham saya semata-mata tanpa ikut mana2 cerita…klu ada mgkn hanya kebetulan saja….mohon maaf klu trsama…

  6. fairus says:

    jalan cerita da ok, bahasa pun ok, asal tak boring membacanya… setakat ni, puas hati dah..

  7. Aliah Mohd Salleh says:

    So far so good .Ceriter ni menarik minat pembaca.

  8. SHILA ALISH says:

    Thanks Aliah…..teruskan membaca ye…

  9. Nur_Ain says:

    novel ni ade ke pasaran?klau ade teringin jugak la nk beli buat koleksi ..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"