Novel : Biar Bulan Jadi Saksi 3,4

24 July 2012  
Kategori: Novel

711 bacaan Jom bagi ulasan

Oleh : Lya Zara

3

SUDAH hampir setengah jam Amani berdiri di hadapan cermin. Sesungguhnya dia tidak punya banyak baju. Dia hanya membawa sepuluh pasang baju kurung. Itu pun ada yang dicilok dari adiknya. Mereka bukan orang ada-ada yang boleh bertukar baju setiap bulan. Yang penting cukup makan setiap hari. Dan…cukup kasih sayang. Wajah emak dan adik-adiknya terbayang di mata. Waktu begini mesti riuh rendah emak mengejutkan mereka solat subuh berjemaah. Amani berasa sayu.

Dia tidak biasa berpisah dengan keluarga. Seumur hidupnya dua puluh tiga tahun ini, dia hanya tinggal di Kampung Selayang. Cuma apabila keadaan ekonomi keluarga semakin menghimpit, dia terpaksa berkorban untuk ke bandar mencari wang tambahan. Adik-adik yang semakin membesar dan bakal melanjutkan pelajaran memerlukan pembelanjaan wang yang banyak. Emak yang sudah berusia lebih separuh abad juga sudah tidak kuat untuk melakukan kerja seperti dulu.

Bukan emaknya tidak risau melepaskan dia ke Kuala Lumpur. Mujurlah ada teman sekampung di sini yang boleh ditumpang kasih. Syuhada merupakan kawan baiknya yang bekerja di Hotel Valencia. Bilik sewa Syuhada tidak seluas mana, sesuai dengan pendapatan yang sederhana. Namun Amani cukup bersyukur diberi peluang menumpang tidur buat sementara waktu.

“Kau buat apa lagi tu Amani? Nanti lambat masuk kerja. Hari pertama kena jaga imej, beb,” Syuhada menegur dari belakang.

“Eiii…aku tak tahulah nak pakai baju apa. Bos aku tu poyo sangat la. Koleksi baju yang paling lawa aku pakai semalam pun dia kata menyakitkan mata dia. Kalau aku pakai yang ini mahu berdarah mata dia. Silap-silap boleh jadi buta agaknya!” Amani mengacukan sepasang baju kurung yang sudah pudar warnanya.

Syuhada berasa kasihan. Dia juga berasal dari kampung. Bezanya dia punya bapa yang dapat menambahkan pendapatan keluarga. Berbeza dengan Amani yang sudah kematian ayah. Sewaktu mereka di bangku sekolah dulu hanya emak Amani yang menampung nafkah keluarga. Amani dan adik-beradiknya sering saja dimarahi guru kerana lewat membayar yuran persekolahan. Namun Amani dan adik-adiknya semua lulus cemerlang. Malah keputusan Amani jauh lebih baik darinya. Cuma nasib yang membezakan mereka. Dia dapat menyambung pelajaran sehingga ke peringkat Diploma Perhotelan di UITM. Sedangkan Amani terpaksa menolak tawaran belajar dan tinggal di kampung untuk membantu emaknya.

Syuhada melangkah ke almari pakaiannya. Dia mencari-cari pakaian yang sesuai untuk dipinjamkan kepada Amani. Sepasang baju kurung polos berwarna ungu dikeluarkan. Dia menuju pula ke arah laci tetingkat di mana koleksi tudungnya di simpan. Sehelai tudung awning ala Ariani dikeluarkan. Dia sendiri tak mampu memiliki tudung mahal dari butik-butik terkenal. Tudung pasar malam juga yang menjadi pilihannya.

“Nah. Cuba kau pakai ni. Kita pun lebih kurang saja saiz kan. Warna ungu ni kan warna kesukaan kau,” Syuhada cuba mengambil hati Amani. Amani berasa serba salah. Sudahlah menumpang tidur, baju pun terpaksa dipinjam dari Syuhada. Tak tahu malu betul rasanya!

“Ish, tak naklah aku susahkan kau lagi Syuhada. Nanti lama-lama kau menyampah pulak dengan aku,” Amani menolak lembut perlawaan Syuhada.

“Apa sangat lah bantuan aku ni Amani. Sekurang-kurangnya kalau kau pakai baju aku ni, kita dapat menyelamatkan sepasang mata daripada menjadi buta!” Amani turut tersengih mendengarkan kata-kata sahabat baiknya itu. Dengan bingkas dia bersiap untuk ke tempat kerja.

Beberapa kali dia melihat penampilan dirinya sendiri di hadapan cermin. Baju polos dipadankan dengan tudung bercorak abstrak itu menampakkan dia lebih berketrampilan. Walaupun tidak setanding dengan pakaian orang lain, namun dia sudah cukup bersyukur. Diharap penampilannya hari ini dapat mengunci mulut si Zafran daripada mengeluarkan komen-komen pedas yang menghiris hati.

“Manisnya!Silap-silap bos kau tu jatuh hati pulak nanti,” Syuhada mengusik Amani.

“Hah, dari kahwin dengan orang macam dia, baiklah aku kahwin dengan Razak anak Pak Dolah kat kampung kita. Biar miskin harta Syu, jangan miskin budi pekerti,” Amani memuncung panjang. Ikat dengan riben pun boleh.

“Iyalah tu. Dah tu kenapa kau tolak pinangan Razak tahun lepas?” Syuhada pantas mengenakan Amani. Amani pura-pura tidak mendengar soalan Syuhada.

“Aku dah lewat la Syu. Terima kasih sebab baik hati sangat-sangat bagi aku pinjam baju kurung moden ni. Kau memang sahabat dunia akhirat,” Amani memeluk bahu Syuhada.

“Sama-sama. Lain kali kau nak pinjam baju aku ambil je. Aku tak kisah. Eh, kau ingatkan stesen tren yang kau kena turun nanti? Jangan dok berangan sampai terlepas stesen pulak. Hati-hati dengan orang sekeliling kau. Tren tu nanti padat mengalahkan tin sardin cap ayam. Jaga barang-barang dan diri jangan sampai kena raba,” Syuhada berasa bertanggung jawab tentang keselamatan Amani. Dulu masa dia mula-mula sampai di Kuala Lumpur, dia umpama rusa masuk kampung. Dia bimbang akan keselamatan Amani.

Amani tersenyum. “InsyaAllah Syu. Aku selalu amalkan baca ayat kursi sebelum keluar rumah. Moga Allah melindungi setiap langkah kita hari ini. Kau kerja syif malam ye hari ini? Esoklah nampaknya kita baru jumpa kan. Aku pergi dulu. Assalammualaikum,” pamit Amani.

MEGAH HOLDINGS tersergam indah di hadapan matanya. Dia sampai awal hari ini. Jaga imej bak kata Syuhada. Melissa juga masih belum sampai sewaktu Amani melewati front desk itu. Seluruh ruang pejabat kelihatan sunyi.

‘I want my coffee on my table when I arrive.’

Kata-kata Zafran bagaikan terngiang-ngiang di telinganya. Amani melangkah ke arah pantry. Ruang yang sederhana luas itu dilengkapi dengan meja bulat untuk empat orang, peti ais, mesin pemanas air, pembakar roti dan rak dipenuhi pinggan dan cawan.

Amani memanaskan air dan mengeluarkan cawan. Dia memasukkan sepeket kopi segera dan menuangkan air panas.

‘Hai lah kopi. Minta-mintalah kena dengan selera si poyo tu,’ Amani berkata sendiri.

Selepas menghidangkan secawan kopi di atas meja Zafran, Amani mengemas meja serta bilik pejabat itu ala kadar. Semuanya tampak kemas serta teratur tatkala pekerja lain mula sampai.

Amani mengambil tempat di meja yang dahulunya milik Munirah. Meja yang terletak dekat dengan pintu masuk bilik Zafran itu tersusun kemas. Amani melabuhkan punggung di atas kerusi merah itu. Di belakang tempat duduk Amani terletaknya almari yang dipenuhi dengan fail pelbagai warna. Dia pasti perlu menghafal kesemua kegunaan fail-fail itu nanti.

Amani jadi serba salah. Tidak ada kerja yang boleh dilakukan. Dalam masa yang sama hatinya berdebar menanti ketibaan Zafran. Dia membetulkan tudung supaya lebih kemas dan tidak mengundang sakit mata kepada Zafran.

Amani terdengar suara beberapa pekerja yang mengucapkan selamat pagi. Amani pasti Zafran sudah tiba. Dia terkenangkan kata-kata Syuhada yang perlunya menjaga imej di hari pertama. Amani berkorbar-korbar mahu menunjukan sikap pekerja yang terpuji supaya Zafran tidak lagi memandang rendah kepada kemampuannya.

Sepantas kilat tangannya mencapai beberapa lembaran dokumen di dalam laci. Amani pura-pura menelaah isi kandungan dokumen yang entah apa-apa itu tatkala Zafran melewati mejanya. Matanya saja ditala ke atas kertas, sedangkan tumpuannya bukan di situ.

* * * * * * * * * *

Zafran berhenti sebaik menghampiri meja setiausaha barunya. Dia meneliti penampilan Amani dari atas ke bawah.

“Assalammualaikum. Selamat pagi Encik Zafran,” Amani bingkas bangun tanda hormat kepada bosnya.

“Morning. Where is my coffee?” Zafran masih memerhatikan Amani yang kelihatan gugup.

“Saya dah letakkan atas meja macam yang Encik Zafran pesan semalam,” Amani memberanikan diri memandang ke wajah majikannya. Aduh kacaknya! Zafran yang berkemeja tangan panjang kelihatan sungguh mempesonakan seperti bintang filem. Wangian maskulin menusuk ke hidung Amani.

“Good. Tolong carikan surat tawaran tender daripada Berjaya Holdings dan buatkan dua salinan untuk saya,” Zafran melangkah beberapa tapak ke arah biliknya sebelum berhenti dan berpaling ke arah Amani.

“Hebat ya awak boleh baca tulisan terbalik. You should have added that skill in your resume,” Zafran tersenyum sinis sebelum hilang di balik daun pintu.

Amani melihat ke arah dokumen yang dipegangnya dari tadi. MasyaAllah! Pegang kertas pun terbalik. Ada hati nak tunjuk rajin depan bos! Amani mengutuk diri sendiri. Pipinya terasa hangat menahan malu. Apa pula yang ada di fikiran Zafran tentang dirinya kali ini.

4

ZAFRAN menghempas briefcasenya ke atas meja. Yang sebenarnya dia jarang tiba awal seperti hari ini. Tetapi lambakan kertas kerja serta duedate yang semakin hampir menyebabkan tidurnya setiap malam juga sudah tidak lena.

Zafran terkenangkan Munirah. Biasanya setiap pagi dia akan disapa dengan senyuman manis serta lenggok menggoda gadis itu. Namun pagi ini dia disambut dengan wajah pucat Amani yang sedang membaca kertas terbalik. Spoil terus anginnya.

‘Muka macam mayat hidup. Tak berseri langsung. Tak boleh ke pakai lipstick kat bibir tu? Gumam hati Zafran. Dia mengintai Amani yang sedang kalut mencari surat tawaran tender yang diminta tadi. Pakaian yang tersarung di tubuh gadis itu lebih menarik dari semalam namun langsung tidak menambat hatinya. Zafran sukakan gadis yang berpenampilan up to date. Ikut arus fesyen. Fesyen tak cukup kain. Pada pandangan matanya, Amani langsung tidak menarik perhatiannya.

Zafran mencapai cawan berisi kopi yang telah dibancuh oleh Amani. Dia meneliti sekeliling cawan untuk memastikan kebersihan berada pada tahap yang memuaskan. Dia menghirup sedikit kopi tersebut. Hatinya kembali panas sebaik sahaja seteguk kopi itu melalui kerongkongnya.

“Amani! Come here!” suara lantang Zafran kedengaran. Jantung Amani bagaikan terhenti berdenyut buat seketika.

‘Ah, bala apa pula nak datang ni…’ desis hati Amani sambil melangkah laju ke bilik bosnya. Amani memandang wajah Zafran yang kelihatan seperti singa lapar. Hilang terus aura kehenseman ala-ala Adi Putra.

“Ye Encik Zafran. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Amani bersuara perlahan. Dia melarikan pandangan mata ke arah kasut yang tersarung di kakinya. Tidak berani menatap wajah Zafran.

“Macam mana awak buat kopi ni? It is too bitter!Pahit!” Zafran meninggikan suara. Dia memandang Amani yang sedang menunduk. Entahlah, ada sahaja perkara yang dilakukan Amani yang membangkitkan rasa marah di hati Zafran. Serba-serbinya dirasakan tak kena.

“Saya masukkan sepeket kopi segera encik. Kandungan gula dalam tu dah cukup manis selalunya,” Amani beranikan diri untuk menjawab. Dia mengerling sedikit ke arah Zafran. Terasa bagaikan ada asap yang keluar dari kepala bosnya itu.

“Saya tak suka. Pahit! Awak pegi tanya Melissa macam mana dia buat kopi saya. Lain kali kalau tak tahu tanya. Jangan memandai! Dah, get out!!!” Zafran memalingkan badan. Pemandangan kota raya Kuala Lumpur dari tingkat 10 terbentang luas di hadapannya. Dadanya turun naik menahan marah. Hidungnya kembang kempis. Pada pandangan mata Amani, Zafran tak ubah seperti lembu jantan Mexico yang pantang nampak kain merah. Kalau Zafran punyai tanduk, pasti dirodoknya perut Amani tatkala ini.

Amani melangkah keluar dengan hati yang sebal. Terkilan hatinya dengan sikap Zafran yang tidak bertimbang rasa. Malu betul rasanya apabila diherdik begitu di hari pertama bekerja. Down terus semangat!

Dia melangkah ke pantry. Kopi yang sudah suam itu dihirupnya sedikit. Dah cukup rasa! Tak terlalu manis, tak terlalu pahit.

‘Nak manis macam mana lagi? Nak kena penyakit kencing manis agaknya!’ Amani bermonolog sendirian. Dia terbayangkan wajah Zafran tadi. Kulit cerah bosnya bertukar kemerah-merahan apabila marah. Sepasang mata membulat macam nak telan orang. Tak macho langsung! Dia terbayangkan aksi Zafran yang membentak macam budak kecil. Nak lebih gula ke atau nak gula-gula? Amani tergelak sendiri.

“Dah kena marah pun boleh gelak lagi ye?” suara yang menegur dari belakang mematikan terus sisa tawa di bibir Amani. Dia berpaling dan kelihatan sesusuk tubuh Melissa sedang bersandar pada dinding. Amani berdebar. Matilah kalau Melissa ni kaki report!

“Bos kita memang suka yang manis-manis. Lain kali kalau kau buat kopi dia, pastikan sepeket instant coffee dan tambah lagi dua sudu kecil gula. Okay? By the way my name is Melissa,” Melissa menghulurkan tangan sambil tersenyum.

Amani terpegun. Manis rupanya senyuman Melissa. Kan bagus kalau Melissa tersenyum begini dari semalam. Perlahan-lahan huluran tangan Melissa disambut kemas. Amani turut mengukirkan senyuman.

“Hmm…Saya Amani. Budak kampung yang baru nak belajar. Sila beri tunjuk ajar, ye,” Amani masih tersengih.

“Lain kali kalau ada apa-apa yang kau tak pasti, tanyalah dulu. Kalau boleh, aku tolong. Kalau tersalah jolok buah cempedak tak ape. Tapi kalau dengan Encik Zafran tu ibarat menjolok sarang tebuan tau,” Melissa tersengih lagi menampakkan sebaris gigi yang tersusun kemas.

“ Hmm, selalu ke Encik Zafran marah-marah macam tu?” Amani berasa ingin tahu. Dia pelik dengan sikap bosnya yang asyik mencari kesalahan dirinya sejak semalam.

“Sejak Munirah, secretary yang dulu berhenti kerja, memang jadual dia jadi tak terurus. Tambah lagi sekarang ni company kita tengah kejar tender besar. Bos kita tu tengah serabut siapkan proposal la tu,” Melissa memerhatikan Amani yang sedang membancuh secawan kopi baru untuk bos mereka. Terdetik rasa kasihan di hatinya melihat Amani ditengking sebegitu kuat sebentar tadi. Sepanjang dua tahun bekerja di bawah Encik Zafran, rasanya itu adalah kali kedua dia melihat bosnya begitu marah. Sebelum ini Rahim pernah ditengking sebegitu rupa kerana kesalahan pecah amanah. Tidak lama selepas itu Rahim telah diberhentikan kerja. Namun apa sangatlah kesalahan Amani hendak dibandingkan dengan kesalahan Rahim. Melissa sendiri tidak punya jawapan.

“Dia tak ade girlfriend ke?” pertanyaan yang terpacul dari mulut Amani mengundang reaksi di wajah Melissa.

“Kenapa? Nak masuk tender ke?” Melissa mengusik Amani. Amani rasa ingin menampar mulutnya sendiri. Bagaimanalah soalan yang berlegar di kepala boleh terpacul di mulut. Amani bimbang Melissa tersalah tafsir terhadap dirinya. Dia perlu bijak menangani situasi.

“ Eh, Encik Zafran tu kan hensem, takkan lah tak ade girlfriend kan.Tapi kalau betul tak ade, boleh lah saya masuk tender..” Wajah Amani berona kemerahan. Ya Allah mulut ni! Kenapa tak dengar arahan otak?

“ Yang selalu datang sini pun Cik Arisya. Girlfriend lah agaknya kot. Eh, Encik Zafran tu memang hensem kan? Nasib la aku dah nak kahwin. Tapi pandang muka dia tiap-tiap hari memang sejuuuuuk hati,” Melissa terkekeh-kekeh ketawa. Kedua-dua tangannya disilangkan ke dada. Mujurlah Melissa tidak memanjangkan persoalan yang ditimbulkan oleh Amani. Amani nekad mengunci mulut. Bimbang mulutnya tersalah cakap lagi. Namun hatinya tertanya-tanya bagaimana rupanya Cik Arisya si buah hati bosnya.

“What took you so long? Buat kopi ke bergosip? Hah, Melissa! Awak pun sama ya?” kedatangan Zafran yang secara tiba-tiba membuatkan kedua-dua mereka terdiam. Amani menjeling sekilas ke wajah Melissa yang kelihatan pucat disergah sebegitu.

“Ehem, saya ajar Amani buat kopi macam citarasa boss!” Melissa berdiri tegak di sebelah Amani. Zafran memerhatikan kedua-dua pekerjanya sebelum mendengus berlalu pergi. Dia berasa geram mendengar mereka berdua ketawa sejak beberapa minit yang lalu. Entah apa saja la yang digosipkan dari tadi.

Selepas disergah oleh Zafran di pantry, Amani lekas-lekas menghantar secawan kopi manis kepada Zafran. Dia juga menyediakan dua salinan tender seperti yang diminta. Mujurlah Melissa memberi tunjuk ajar bagaimana dokumen penting syarikat di simpan. Dan mujur juga Amani pandai menggunakan mesin fotostat. Di sekolah dulu dia merupakan salah seorang petugas koperasi. Jadi Amani sudah biasa membuat salinan. Tak adalah nampak kampung sangat di mata Zafran.

Selepas waktu rehat tengahari, Zafran tidak pulang ke pejabat langsung. Amani berasa lega kerana tidak perlu berdepan lagi dengan bosnya. Kali terakhir dia masuk ke bilik untuk meminta tanda tangan Zafran, bosnya itu langsung tidak mahu memandang ke arahnya. Seolah-olah jijik dengan dirinya. Amani berasa sayu. Dia tidak pasti berapa lama dapat bertahan dengan kerenah bosnya yang berangin taufan itu. Amani seram sejuk mengenangkan apa yang bakal menanti di hari-hari seterusnya.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"