Novel : Tak Seindah Fairytale 1

4 July 2012  
Kategori: Novel

665 bacaan 4 ulasan

Oleh : Aiena Amieyna

Selesai menghabiskan bacaan novel setebal 300 muka surat itu, Tania lalu meletakkan novel tersebut di atas mesin basuh berhampirannya yang masih beroperasi itu. Fikirannya mula hanyut melayankan angan – angan. ‘Kenapa lah hero dalam novel – novel ni semuanya hebat, kacak, bergaya, kaya…?’ Haiii.. aku nak bakal suami aku nanti pun macam tu jugak. Bakal suamiku yang romantik macam Aaron Aziz masa jadi Seth Tan dalam cerita Nora Elena. Arh.. perfecto! Body pulak biar tegap, tough, ketul – ketul, ada six packs. Macam Aaron Aziz yang jadi Malik dalam cerita KL Gangster tu. Ada lengan kenyal macam marshmallow yang sedap di makan bersama yoghurt tu. Eh? Hehe..

“Bummmm!!” Amboi, sound effect nak hebat saja macam cerita perang pulak. Bunyi apa tu, ek? Macam biasa ku dengar saja.. Alamak!

“Amboi amboi amboiii… sedapnya duduk berangan dekat sini yerrr. Kerja dah siap? Tu baju tu semua bila nak kering? Kejap lagi customer nak datang ambik dah.” Suara Mak Ucu yang ibarat halilintar membelah bumi itu kedengaran. Dah nak macam Azwan Ali pulak part amboi amboi amboiii tadi tu. Hehe. Cuma bezanya, Mak Ucu kena tambah aksesori leher bulu – bulu baru sama macam Azwan Ali. Kihkihkih.

“Oi, Taniyatul Wadda’ Binti Bukhari Bin Ahmad…. Aku ni bercakap dengan kau, bukannya tunggul. Hai laaaa budak sorang ni. Pening aku.” Sakit hatinya melihat anak saudaranya itu yang tidak beriak respon walaupun sudah ditegur berkali – kali itu.

Tania yang baru tersedar itu hanya tersengih – sengih. Cepat – cepat dia memulakan tugasnya mengeluarkan baju – baju dari mesin basuh itu untuk dijemur dan seterusnya ditrimkan mengikut kehendak pelanggan. Sebelum Mak Ucunya itu meletup lagi teruk, lebh baik dia bertindak cepat. Silap – silap nanti habis nama tujuh keturunan disebutnya nanti. Hisy, bahaya bahaya bahaya. Lariii.. Dia segera bergegas ke ruangan pengeringan di sudut belakang kedai dobi milik ibu saudaranya itu.

“Hisy, baju pun nak kena trim bagai. Baju aku ni, gosok pun tidak. Huh.” Sambil tangan bekerja, sambil itu jugak mulutnya bergerak mencicit itu ini. Sekejap membebel, sekejap menyanyi pulak. Rambutnya yang lurus paras bahu itu diikat tocang dua kiri dan kanan kepalanya. Memang dia selesa begitu setiap kali ingin melakukan kerja.

Jam sudah menunjukkan ke angka 12.15 tengah hari. Lega, selesai jugak kerja – kerja pembasuhan untuk pelanggan pada hari ini. Tania bergerak keluar dari ruangan pengeringan menuju ke ruangan hadapan kedai. Kelihatan Mak Ucunya sedang melayan beberapa orang pelanggan untuk urusan pembayaran dan mengambil pakaian yang dicuci di kaunter utama. Tania mengelap peluh yang masih bersisa di dahinya. Panas betul hari ni. Dia mengibas – ngibas t- shirt lusuh yang tersarung di tubuhnya untuk menyejukkan badan.

“Itu pekerja kamu ke, Miah?” Datin Maziah yang sejak tadi khusyuk memerhatikan gadis yang duduk kepenatan di sofa tengah kedai itu bertanya. Salmiah menangguk. “Anak saudara saya jugak tu. Nak sangat kerja dekat sini.” Datin Maziah masih leka memerhatikan gadis itu. Cantik benar gadis itu. Walaupun agak rendah, namun gadis itu memiliki susuk tubuh yang agak menarik. Paras rupa juga cantik. Dia tersenyum sendiri. “Miah, kenalkan saya dengan anak saudara kamu tu.” Pinta Datin Maziah. Sebagai pelanggan tetap di kedai dobi itu, dia memang sudah rapat benar dengan Salmiah.

“Tania..” Salmiah melaung memanggil anak saudaranya itu yang dilihat sedang termenung jauh itu. Hurm, berangan lah tu. Tak sudah – sudah. Dia menggerutu sendiri di dalam hati.
Tania yang baru berkira – kira hendak menyambung angan – angan tentang bakal suaminya yang terbantut tadi tersentak sedikit apabila namanya dilaungkan. ‘Isy, Mak Ucu ni kan. Kacau line betul lah!’ Bentaknya sendiri namun kaki dilangkahkan jua menuju ke arah Mak Ucu yang sedang duduk di sudut rehat bersama seorang wanita yang tidak dikenalinya.

“Ada apa Mak Ucu?” Tania menyoal sebaik menghampiri mereka. Salmiah menjegilkan mata ke arah anak saudaranya itu. Tania bingung tidak faham dengan reaksi ibu saudaranya itu. “Salam dengan Datin Maziah ni. Pelanggan tetap kedai kita ni.” Salmiah akhirnya akur dengan kebingungan anak saudaranya itu. Memang lambat faham betul. Datin Maziah menyambut mesra huluran salam gadis di hadapannya itu. “Duduklah kejap, Tania.” Pelawa Datin Maziah. Sebolehnya, dia ingin berbual lama dengan gadis itu. Ada hajat yang ingin disampaikannya.

“Saya ke belakang dulu ye Datin. Ada hal nak diuruskan sikit.” Salmiah meminta diri meninggalkan Datin Maziah bersama anak saudaranya itu. Entah apa yang ingin dibualkan, dia sendiri tidak tahu. Namun, jika ada hal mustahak, sudah tentulah Datin Maziah akan merujuk kepadanya juga nanti.

“Tania belajar lagi ke sekarang? Tengah cuti semester ye?” Datin Maziah memulakan perbualan. Mengikut tafsirannya, Tania mungkin sebaya dengan anak perempuan bongsunya, Marlissa.

“Eh, tak lah datin. Tania tak sambung belajar pun. Tak ada rezeki. Lepas SPM, terus je tinggal dengan Mak Ucu, kerja dekat sini. Mendobi.” Tania tersengih sendiri. Datin Maziah mengangguk faham. “Memang tak nak sambung belajar dah ke?” Datin Maziah menyoal lagi. Kali ini dengan nada yang sedikit serius. Sayang rasanya jika usia begitu tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk menimba ilmu.

“Eh, Tania nak sangat datin. Tapi, tu lah. Tak ada rezeki lagi. Tania nak kumpul duit dulu sekarang ni.” Tania menjelaskan niatnya. Memang sekarang dia sedang berusaha menyimpan wang untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bukan ibu bapanya tidak mampu untuk menampung perbelanjaannya untuk menyambung pelajaran, namun dia nekad untuk tidak menyusahkan mereka. Biarlah dia berusaha sendiri untuk kehidupannya. Dia sudah dewasa. Bukan dia tidak sedih melihat kawan – kawan sekampungnya sudah ramai yang melanjutkan pelajaran ke menara gading. Bahkan, Syamsul, rakan sekelasnya yang mendapat keputusan SPM tidak sebaik dia juga sudah menyambung pelajaran di UiTM Shah Alam dalam bidang perniagaan.

“Erm, tak payahlah berdatin – datin, panggil auntie je sudah Tania. Kalau auntie nak offer job untuk Tania, Tania sudi terima? Mungkin sebagai alternatif untuk Tania menambah duit poket.” Datin Maziah mengusulkan hajatnya. Baginya, Tania adalah calon yang sesuai untuk memperagakan busana – busana butiknya di convention busana yang bakal berlangsung beberapa hari sahaja lagi di PWTC nanti.

Tania teruja mendengar kata – kata Datin Maziah. Wah, ini sudah macam orang mengantuk disorongkan bantal! Dia menjerit kesukaan di dalam hati. “Kerja apa auntie?” Beria – ria Tania bertanya. Di dalam fikirannya sudah bersusun andaian yang pelbagai tentang kerja yang bakal diberikan kepadanya nanti. Kalau jadi orang gaji dekat rumah datin pun dah cukup ok. Mesti anak lelaki dia handsome. Macam cerita dalam novel yang pernah dia baca sebelum ini. Untung – untung dari orang gaji terus jadi menantu kesayangan. Hehehe.
Datin Maziah hanya tersenyum. Manis gadis di hadapannya itu pada pandangan mata tuanya. “Jadi model muslimah untuk butik auntie.”

Tania terlopong seketika sebelum cepat – cepat dirapatkan rahangnya yang terbuka luas itu dengan tapak tangannya. Model?? Yang macam dalam majalah tu ke?? Yang posing macam – macam gaya tu?? Yang cun melecun, make – up, pakai baju berjenama semua tu?? Hek eleh Tania.. Kau buat jakun pulak kan? Satu suara memperli dirinya sendiri. Terasa seperti bermimpi mendengar kata – kata yang baru diucapkan oleh Datin Maziah tadi. Tania jadi model? Sesuai ke? Boleh ke? Berasak – asak soalan menujah ke benaknya ketika itu.

“Auntie biar betik.. Eh, betul. Tania jadi model? Auntie lupa pakai spectacles ek?” Tania masih tidak percaya. Memang sukar untuk dipercayai. Durian runtuh woi!! Tania dapat durian runtuh!! Hahaha.
“Auntie tak rabun lagi, Tania. Mata auntie ni, walaupun dah pakai lama, masih elok lagi tau. Cerah lagi dari mata Tania, kot.” Giliran Datin Maziah pula berseloroh. Senang hati benar dia dengan perilaku gadis di hadapannya itu. Nampak sempurna, semulajadi. Tidak langsung kekok walaupun baru pertama kali mereka bertemu.

Tania hanya tersengih tidak percaya. Tergamam seketika rasanya mendengar tawaran yang tidak disangka – sangka itu. Haih! Tak pernah terjangkau dek akal pun yang dia akan mendapat tawaran sebegitu rupa. Memang sesuai peribahasa tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Kini, memang sah dia bukan ayam sebab tuah dia tak pernah ada manusia yang tahu. Eh? Hehe. Terlebih sudah.

“Auntie, Tania betul – betul susah nak percaya ni. Tapi, kalau auntie dah percayakan Tania, bagi Tania peluang ni, Tania takkan tolak.” Tania akhirnya memberikan kata putus setelah melihat Datin Maziah yang seakan – akan tertunggu – tunggu keputusannya. Datin Maziah akhirnya tersenyum senang dengan keputusan Tania. Dia yakin, Tania mempunyai peluang yang cerah dalam bidang tersebut. Apatah lagi, mungkin boleh mempercepatkan lagi niat Tania untuk mengumpul wang dan menyambung pelajaran.

“Tapi, Tania ada satu permintaan.” Tania kelihatan teragak – agak. Datin Maziah mengerutkan keningnya. “Apa dia Tania?” Tanyanya lembut.
“Tania tetap dalam masa yang sama nak kerja dekat kedai dobi Mak Ucu ni.” Tania bersuara. Entah apa yang membuatkan hatinya berat untuk meninggalkan kedai dobi itu. Mungkin kerana di situ lah tempat pertama dia menimba pengalaman sebagai seorang pekerja dan di kedai dobi ini jugalah dia telah berpeluang mendapat tawaran yang sebegini baik daripada Datin Maziah, wanita yang baru dikenalinya itu.

“Oh, tak ada masalah. Auntie hormat semua keputusan Tania. Lagi pun, bila ada masa lapang bolehlah Tania tolong Mak Ucu. Beruntung Mak Ucu kamu. Ok lah, Tania. Esok pukul 8 pagi, driver auntie datang jemput Tania dekat sini. Kita akan mulakan dengan rehearsel dulu esok.” Datin Maziah sempat menghulurkan kad bisnesnya kepada Tania sebelum pulang. Tania mencium tangan wanita itu yang masih bergaya walaupun usia mungkin sudah mencecah separuh abad. Ah, orang kaya. Apadehal kalau setakat nak bergaya mewah begitu. Dia tersenyum mengiringi Datin Maziah ke luar kedai namun dalam hatinya, bagai paluan kompang yang tak henti berpalu. Aku jadi model?? Pengsan.

Seperti yang dijanjikan, tepat jam 8.00 pagi, kelihatan sebuah Mercedes hitam terpakir di hadapan kedai dobi Mak Ucu. Tania hanya berpakaian ringkas. Sekadar mengenakan skirt labuh bersama dengan kemeja lengan pendek paras siku berwarna putih dengan solekan tipis. Ah, dia memang tak gemar bersolek tebal – tebal konon up – to – date semua tu. Rimas tahu? Rimas. Cukuplah sekadar compact powder, lip bulm dan siap! Oh, sungguh ringkas. Natural beauty itu lebih menawan. Ye ke? Tapi Tania, starting from now onwards, kau kena biasakan dengan make – up semua tu. Model kan? Model! Tania tepuk dahi. Oh, macam mana aku boleh lupa tentang semua tu? Aku akan menjadi model. Bagai mimpi sampai ke bintang. Ohh. Tapi, tu bukan tajuk drama ke Tania? Ah, persetankan. Aku dah lambat.

“Boleh kita bergerak sekarang, Cik Tania?” Suara Pak Ali, pemandu Datin Maziah merencatkan segala peperangan dalaman dirinya tadi. Dia kembali ke dunia realiti yang kini dia sudah pun duduk di tempat belakang kereta mewah tersebut. Pertama kali seumur hidupnya menaiki kereta mewah sebegitu. Ah, selesa betul kereta ni. Kejap, Cik Tania? Pak cik ni panggil aku cik?? Tania terasa bagai berada di awangan. Terasa tinggi benar statusnya apabila dipanggil sebegitu rupa. “Boleh pak cik. Lagipun, dah lambat ni. Nanti Datin Maziah marah pulak.” Tania membalas dengan senyuman manis terukir di bibirnya. Melalui cermin pandang belakang itu, dia dapat melihat seraut wajah pemandu Datin Maziah itu. Dari tilikannya, pak cik Ali mungkin sudah berusia hampir separuh abad. 50 – an mungkin. Ah, seketika hatinya dicengkam rasa rindu terhadap babanya yang sudah lama tidak bersua muka dengannya.

“Cik Tania dah sarapan?” Pertanyaan Pak cik Ali memeranjatkan Tania yang sedang ralit berkhayal ketika itu. “Belum lagi pak cik. Tak sempat tadi. Kenapa?” Tania menjawab dengan pertanyaan jua. Memang dia tidak sempat bersarapan tadi memandangkan dia perlu membantu Mak Ucu menyelesaikan beberapa kerja sebelum bertolak untuk berjumpa Datin Maziah tadi. “Kalau macam tu, saya hantar Cik Tania ke rumah datin dulu sebab tadi sebelum ke sini, datin ada pesan untuk ajak Cik Tania bersarapan dengan keluarganya sekali.” Pak Cik Ali membalas tenang. Tania hanya sekadar mengangguk. Jika itu yang sudah diarahkan oleh Datin Maziah, siapa dia untuk menghalang? Meskipun dalam hati terbit juga rasa malu dan nervous. Sarapan dengan keluarga Datin Maziah yang kaya itu pasti lain benar dengan cara dia bersarapan selama ini. Huhu.

Tidak sampai 30 minit perjalanan, mereka akhirnya sampai di hadapan Villa Kaseh milik Datin Maziah sekeluarga. Teruja benar Tania tatkala pertama kali melihat villa kepunyaan Datin Maziah itu yang sangat cantik dan mewah. Halamannya sahaja sudah besar bahkan turut menempatkan sebuah kolam ikan dan taman mini yang sangat cantik. Tania terpesona. Memang kaya sangat Datin Maziah ni. Desis hati kecilnya sendiri. “Jemputlah masuk, Cik Tania. Datin ada dekat dalam tu.” Pak cik Ali bersuara setelah melihat Tania masih lagitercegat di hadapan kereta. Tania mengalihkan pandangan ke arah lelaki tua di hadapannya itu. “Pak cik Ali, tak payahlah panggil cik, panggil Tania je. Tania seganlah pak cik panggil Tania macam tu.” Tania akhirnya meluahkan rasa tidak selesanya dengan panggilan yang digunakan oleh Pak cik Ali terhadapnya tadi bahkan sepanjang perjalanan tadi lelaki itu asyik memanggilnya dengan pangkal cik. Tak senang duduk dibuatnya. Bukan apa, dia bukannya siapa – siapa yang selayaknya dipanggil secara hormat begitu. Lainlah kalau dia anak Datin Maziah. Pak Cik Ali hanya tersenyum mendengar kata – kata Tania. Dia hanya mengangguk. Akur dengan permintaan Tania. “Jah, ni bawak Tania masuk. Datin yang jemput.” Tania mengikut wanita separuh abad yang dipanggil oleh Pak cik Ali tadi masuk ke dalam villa tersebut.

“Haa, dah sampai pun Tania. Kami pun baru je nak mula sarapan. Mari sini.” Setibanya di ruangan makan, Tania disambut mesra oleh Datin Maziah yang ketika itu sedang turut sama menghidangkan sarapan pagi di meja makan. Tania mencium tangan Datin Maziah sambil senyuman masih terhias di bibirnya. Gugup juga rasanya apabila mendapati ahli keluarga Datin Maziah yang lainnya juga turut sama berada di meja makan tersebut dan semuanya sedang memerhatikan dirinya.

“Tania duduk sini.” Pelawa Datin Maziah sambil menarik kerusi bersebelahannya mengajak Tania duduk bersamanya. Tania hanya akur dan mengikut sahaja. Sebaik melabuhkan punggung, Datin Maziah memperkenalkannya kepada ahli keluarganya yang berada di situ. “Tania, ni satu – satunya anak perempuan autie, tunggal dan bongsu, Marlissa.” Tania menghalakan pandangan ke arah gadis yang duduk berhadapan dengan Datin Maziah dan tidak jauh darinya.

Dia menghadiahkan senyuman ke arah gadis yang pada amatannya, mungkin sebaya dengan dirinya atau muda setahun dua daripadanya. Anehnya, gadis itu dilihatnya menghalakan pandangan tajam yang sukar untuk ditafsirkan maknanya. Seolah – olah tidak senang dengan kehadirannya di situ. Sudahnya, Tania hanya menundukkan sahaja pandangannya menghadap makanan yang menyelerakan di hadapannya ketika itu. Yummy! Macam – macam ada. Air saja dah macam – macam jenis. Susu, jus oren, kopi pun ada. Terpegun seketika Tania melihat hidangan yang terhidang di atas meja tersebut. Mewah, sangat mewah. Berbeza dengan hidupnya. Sarapan pun bukannya selalu. Jika bersarapan sekalipun, menunya sekadar nasi goreng dengan telur dadar atau telur mata kerbau. Itupun sudah cukup menaikkan nafsu makannya yang sememangnya tiada tara bandingannya. Mujur badan bukan jenis yang cepat membesar mengumpul lemak. Hisy.
Tidak lama kemudian, kelihatan dua orang lelaki menuruni anak tangga menuju ke arah mereka. Ha, mesti ni suami dengan anak lelaki datin. Desis hati kecilnya. Tania sekadar mengerling sekilas melihat kedua – dua beranak itu berjalan ke arah meja makan untuk sama – sama bersarapan. Tania perasan salah seorang daripada mereka memandangnya tanpa kalih pandang. Hisy, cantik sangat ke aku hari ni? Tania perasan sendiri. Jangan – jangan, kau pakai baju terbalik tak, Tania? Hatinya mengusik sendiri. Berkali – kali Tania memeriksa bajunya bimbang kalau – kalau betul dia pakai baju terbalik. Nasib baik tak betul. Malu rasanya kalau betul – betul terjadi macam tu. Mahu sorok muka bawah meja ni jugak jawabnya. Hadoi! Sabor je lah.

“Abang, ni lah Tania yang Yah cakapkan semalam dekat abang.” Datin Maziah bersuara sebaik sahaja suaminya melabuhkan duduk di kerusi bersebelahannya sementara anak lelakinya pula melabuhkan duduk berhadapan Tania. Gelabah Tania jadinya apabila lelaki itu asyik memerhatikan dirinya bagai ada yang tidak kena dengan dirinya pada pandangan mata lelaki itu. Hisy, dia ni. Aku cucuk mata dengan garfu ni kang! Naya je. Tania menggumam sendiri. Rimas benar dia bila dijadikan perhatian sebegitu. “Apa khabar, Dato’?” Tania berbahasa apabila Dato’ Rahim memandangnya. Lelaki yang masih segak bergaya dengan pakaian korporatnya itu kelihatan masih sihat dan bertenaga walaupun usia sudah menjangkau usia emas. “Tak payahlah panggil Dato’, panggil uncle je sudah. Jadi, Tania akan jadi model untuk Butik Bridal’s Beauty lah ye?” Dato’ Rahim bertanya. Dia sudah tahu mengenai hal tersebut apabila isterinya itu sudah memaklumkan kepadanya mengenai hal tersebut semalam. Tania hanya mengangguk sambil senyuman masih setia terukir di bibirnya. Dia harus pandai membawa diri. Sebolehnya dia tidak mahu keluarga Datin Maziah beranggapan yang bukan – bukan mengenai dirinya nanti.

“Ha, Tania yang ini pulak anak lelaki sulung dan tunggal uncle dan auntie. Kami ni ada dua orang anak je Tania. Itu pun sepasang, seorang lelaki, seorang perempuan. Adam, ni Tania. Mama ambil Tania sebagai model baru untuk butik mama.” Datin Maziah memperkenalkan pula anak lelaki tunggalnya. Boleh tahan kacak juga anak lelaki datin yang seorang ini. Ada ciri – ciri jejaka idaman Tania selama ini. Tania hanya tersenyum. “Ehem, Adam jangan tenung anak dara orang lama – lama macam tu. Nanti dah berkenan susah.” Dato’ Rahim tiba – tiba bersuara. Hampir tersedak Tania dibuatnya mendengar teguran Dato’ Rahim yang secara tiba – tiba itu. Datin Maziah hanya ketawa kecil mendenga kata – kata suaminya itu. Bukan dia tak perasan yang anak lelakinya itu sudah sejak awal tadi lagi asyik merenung Tania, gadis polos yang cantik itu. Adam Hazril hanya beriak selamba meneruskan suapan nasi lemaknya. Mamat ni memang sengal. Tak beragak – agak betul. Apa yang pelik sangat dengan aku ni sampai tak habis – habis nak tenung aku? Tenung sampai ayah dia pun boleh perasan pulak tu! Cis! Tania menyumpah di dalam hati. Marlissa hanya mencebik mendengar teguran papanya itu.

“Pa, ma, Lisa gerak dulu. Dah lewat. Lisa ada shooting untuk cover magazine ni.” Marlissa terus bergerak meninggalkan ruangan makan sebaik bersalam dengan mama, papa dan juga abangnya. Sempat juga gadis itu menghadiahkan satu jelingan maut ke arahnya. Tania hanya tersenyum hambar. Oh, model rupanya. Desisnya dalam hati sambil mengiringi kepergian Marlissa dengan ekor matanya. Seketika kemudian, Dato’ Rahim dan juga anak lelaki mereka turut sama bergerak meninggalkan mereka untuk ke pejabat. Jam 9.30 pagi, Tania dan Datin Maziah dihantar oleh Pak Cik Ali ke butik milik Datin Maziah untuk rehearsel pertama photoshoot Tania sebagai model butik tersebut. Nervousnya! Entah apa hasilnya nanti, Tania. Huhu.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

4 ulasan untuk “Novel : Tak Seindah Fairytale 1”
  1. Mira says:

    Saya orang pertama baca!!! BEST GILER… sila la sambung lagi ya… =)

  2. mama says:

    Pemulaan cerita yg bagus. harap dpt smbung secepat mngkin ok, penulis ada blog ke?????

  3. huhuhu..excited mira… tapi memang best pon.. :)

  4. terima kasih sudi baca dan komen.. :) ada sambungan ke dua untuk penulisan saya ni di blog saya. jemput singgah. boleh klik nama saya utk terus ke blog saya. :)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"