Novel : The Wedding Breaker 26,27,28

27 July 2012  
Kategori: Novel

166,665 bacaan 158 ulasan

Oleh : Evelyn Rose

BAB 26

Bila Ariana bangun daripada tidur, rumahnya agak lengang. Jam sudah pun menunjukkan pukul 7.00 pm. Lama betul dia tidur…Bila dia menelefon umminya, kata ummi mereka sekeluarga sudah mengejutkan dia tadi, tapi Ariana tidur macam orang pengsan. Langsung tak berganjak dari diulit mimpi. Jadi mereka keluar dulu, ayahnya ada temujanji dengan kawannya dari Kuala Lumpur. Selesai makan malam dengan kawan ayahnya tu, mereka akan terus pulang. Umminya juga sudah meninggalkan nasi dan lauk pauk di dapur. Kak Nab orang gajinya dari Thailand juga ada di rumah menemaninya.

Usai dia mengerjakan solat dan makan malam, terdetik di hatinya untuk ke ruang tamu kedua rumahnya. Pelamin indah daripada alas bantal di dudukinya. Kan bagus kalau dia yang berada di situ? Berjumpa dengan Prince Charmingnya yang akan membela nasibnya. Menjaga dirinya hingga dia menginjak tua, tetap menyintainya walaupun wajahnya sudah berkedut sejuta..

Ariana senyum memasang angan…perkahwinan ala-ala fairy tales wedding, dia ayu berkebaya putih, puteranya datang dengan kuda putih…..kuda? ke kereta lambang kuda? a.k.a ferrari? hehe…Ferrari lagi best!

Sekejap sahaja senyumnya hilang, yang ada hanyalah kerutan di dahi dan wajah yang gusar. Adakah orang yang mahukan dirinya? Adakah lelaki yang sanggup memperisterikan perempuan sepertinya? Yang ikhlas menerimanya?

Hmm…ada lelaki atau tiada dalam kamus kehidupannya kelak, itu sudah diterlakar di dalam buku takdirnya. Seperti kata Hadith ke empat dalam Koleksi Imam Nawawi yang pernah dibacakan oleh kawan karibnya Najjah suatu ketika dulu..

Sewaktu dia masih belajar di United Kingdom. Najjah gadis Arab yang dia kenali sewaktu mengikuti demonstrasi aman untuk meminta pihak Israel berundur dari tanah Palestine. Ratusan ribu orang muslim dan bukan muslim berkumpul untuk menunjukkan ketidaK setujuan mereka terhadap sokongan British terhadap tentera Israel. Perarakan yang begitu ramai jumlah pesertanya, Ariana ke sana bersama temannya Jess, Kate, Matt dan Daniel. Mereka berpimpin tangan supaya tidak terpisah, tapi pihak polis yang melepaskan gas pemedih mata menyebabkan beberapa peserta demonstrasi bertempiaran lari. Mereka menolak dan bertindih-tindih cuba mengubah arah, saat itu Ariana juga dirempuh memaksanya menjauhi rakan-rakannya. Dia terjatuh dan hampir di pijak, tetapi sempat di selamatkan oleh seorang gadis Arab, Najjah dan adik lelakinya Arman.

Kebetulan Najjah juga tinggal di Cambridge, ayahnya seorang pensyarah Kolej. Persahabatan yang terjalin semakin utuh, Ariana selalu ke rumah Najjah pada hujung minggu. Ada satu masa yang dia terlalu kecewa, kecewa bila Daniel teman rapatnya hilang pertimbangan dan membunuh diri.

Awalnya hubungan mereka sangat akrab, keakraban yang sering ditafsirkan sebagai pasangan kekasih…Ariana sendiri tidak pasti apa perasaannya pada Daniel, yang dia tahu, dia sayang Daniel. Sayang yang menggunung tingginya. Daniel pernah mengucapkan cinta padanya, tapi kerana agama yang berbeza Ariana tidak mampu menjanjikan apa-apa…Hinggalah suatu masa tabloid memaparkan tentang keluarga Daniel yang telah disahkan muflis dan ayahnya di dakwa atas kesalahan pecah amanah. Daniel malu, dia di pandang jengkel oleh teman sekampus. Hampir dibuang universiti atas sebab kekurangan wang untuk pembayaran yuran tahunan hinggakan Daniel yang asalnya hidup mewah terpaksa membuat kerja separuh masa di pelbagai tempat.

Pada Ariana lah dia mengadu. Ariana akan sentiasa menyokong Daniel. Membantunya apa ada, tapi lama kelamaan Daniel semakin menjauhkan diri darinya. Semakin murung dan tidak hadir ke kelas…sampailah mayat Daniel ditemui oleh pihak Kolej kerana mengambil ubat penenang secara berlebihan.

Ariana menyalahkan dirinya yang tidak mampu menasihatkan Daniel. Tidak mencari Daniel bila lelaki itu menjauhkan diri darinya. Ariana yang terlalu mementingkan pelajaran sehingga dia sanggup menerima on site project dan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa Bangsa bersatu selama seminggu di Afrika.

Daniel menghubunginya sewaktu dia mahu berangkat ke Afrika. Memberitahunya yang dia perlu berjumpa Ariana, tapi saat itu dia sudah berada di dalam kapal terbang. Kata Daniel itu mungkin kali terakhir mereka berjumpa…tapi Ariana tetap pergi meninggalkan Daniel sendirian…Projeknya, kerjanya adalah segala-galanya waktu itu.

Bila dia pulang Daniel sudah tiada. Kawan-kawannya tidak dapat menghubunginya untuk memberitahu mengenai kematian Daniel. Coverage telefonnya memang tiada di sana…Talian internet jauh sekali.

Hampir seminggu dia bermalam di rumah Najjah. Menghamburkan sedih di hatinya, berkongsi penyesalan yang dia rasa…Bila Najjah memberitahunya satu hadith, luka di hatinya semakin pulih…

‘Sesungguhnya salah seorang daripada kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah, kemudian menjadi seketul daging, iaitu 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkannya menulis empat kalimat, iaitu rezekinya dan umurnya dan amalnya dan celakanya atau bahagianya……(bersambung)’

[Hadith 4 Imam Nawawi, Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim]

Kata Najjah, segalanya sudah terlakar di dalam buku takdirnya. Telah tertulis yang Daniel akan diuji dengan musibah keluarganya tapi Daniel telah memilih jalan yang salah untuk menghadapinya. Telah tertulis juga Ariana akan diuji dengan musibah kehilangan Daniel, terpulang pada Ariana bagaimana mahu menghadapinya. Semua itu adalah ujian dari Allah untuk melihat hambaNya yang benar-benar beriman…Sebagai seorang hamba dia hanya perlu percaya pada aturan Tuhan terhadapnya. Redha dengan ketentuanNya. Pasti dan yakin akan hikmah yang menanti di sebalik semua yang telah berlaku.

Kenangan sewaktu di United Kingdom dulu bermain di layar mata. Saat awal dia mengenali Daniel Robinson…sewaktu mereka sering menghabiskan masa mengulangkaji bersama….petang musim bunga yang banyak mereka habiskan di taman sambil Daniel memainkan lagu untuknya….

Kelopak matanya semakin pedih, menahan tangis. Air mata gugur jua membasahi pipi..Jangan dikenang orang yang dah pergi, Ariana..bisiknya pada diri sendiri.Lagu Someone Like You bergema dalam kotak mindanya..

Nevermind, I’ll find someone like you,
I wish nothing but the best for you,
Don’t forget me, I beg,
I remember you said,
“Sometimes it lasts in love,
But sometimes it hurts instead,”

Ariana termenung jauh.. Menyintai itu boleh jadi mengasyikkan, dan menyintai juga boleh jadi menyakitkan….Sangat menyakitkan.

* * * * * * * *

Tan Sri Tengku Mukhriz dan Puan Sri Lisdania memerhatikan sekitar lobi hotel. Tercari-cari bakal besannya, Dato’ Jusoh sekeluarga. Mereka bertemu janji untuk makan malam bersama. Tengku Mukhriz baru sahaja sampai petang tadi, usai berehat dia mengajak Datuk Jusoh dan Datin Asra untuk makan malam bersama mereka. Beberapa orang kenalan dan kerabatnya akan sampai esok pagi.

Seorang lelaki separuh abad memasuki lobi hotel, seorang perempuan yang hampir sebaya dan dua orang anak mereka ada bersama. Dato’ Jusoh dan Datin Asra, bersama dua orang anak mereka. Tapi Ariana tiada bersama.

Tengku Mukhriz terus mengangkat tangan dan memanggil pasangan tersebut. Mereka bersalaman dan bertanya khabar sebelum beriringan ke aras 3, untuk makan malam di situ.

“Ariana tak ikut serta Soh?”

“Tak Mukhriz..dia penat, baru juga sampainya tu”

Kerusi di meja tengah diduduki oleh mereka. Bimbang juga Dato’ Jusoh, dia masih belum memberitahu Ariana, tapi….anak sulungnya itu biasanya tidak akan memalukan keluarga. Kalau diberi peluang dia akan menolak, tapi jika dah tak ada peluang memang Ariana akan mengikut.

Pelayan hotel mula menghidangkan pembuka selera. Beberapa jenis kuih Kelantan disediakan. Memang menyelerakan, walaupun Tengku Mukhriz dan Puan Sri Lisdania bukan orang Kelantan, tapi dia suka dengan masakan Kelantan.

“Asra, ni anak you yang lepas Ariana la ye?” tanya Puan Sri Lisdania penuh minat. Lain sikit dari Ariana, kalau wajah Ariana memang sama dengan gambarnya, memang lain sikit wajah mereka. Azman tidak seputih umminya, mata pun sepet ala-ala ayahnya, cuma hidungnya mancung macam ummi dan ayahnya. Azman pun segak orangnya, nampak macho.

Azman senyum mengiyakan pertanyaan Puan Sri Lisdania.

“ Ni yang bongsu?”

Amalina memerhatikan Puan Sri yang asyik merenungnya sebelum dia kembali menyeduk pengat durian di pinggannya.

“Ha ah Kak Lis, inshaAllah bongsu lah ni” terburai ketawa keduanya. Tak kanlah dia nak beranak lagi, usia pun dah 50.

“Nak tambah lagi pun apa salahnya Asra…. Akak ni kalau boleh dapat anak perempuan, memang akak sukaaa sangat! Tapi tu lah rezeki takat tu je kan…”

“Tak pe kak…nanti biar Adam dan Ariana tu beranak ramai-ramai. Kita tunggu main cucu ajelah. Hehe”

Sakan keduanya memasang angan. Lagi lah Puan Sri Lisdania suka, dia memang dah lama ternantikan cucu. Usianya pun dah 55 tahun. Adam pun bukan ada kat rumah. Dari kecil sampai lah anaknya tu besar, tak pernah ada di rumah. Salah dia juga hantar Adam ke England seawal umurnya 13 tahun…

“Hee tak sabar saya Asra, nak tengok dia orang ni kahwin, dapat anak!” makin teruja kedua-dua bakal besan berbincang. Sudah terbayang bakal-bakal cucunya nanti, kalau ikut Ariana pun cantik, kalau ikut Adam pun kacak. Kalau ikut dua-dua, meletop!

“Ewahh…jauh nye berangan…” tegur Tan Sri Tengku Mukhriz pada isterinya. Padahal dia pun dah lama berangan sama,tak bagitau je.

“Apa salahnya bang…” gurau Puan Sri Lisdania. Mereka ketawa. Meriah dan mudah mesra, itu yang membuatkan Dato’ Jusoh selesa dan yakin dengan pilihannya untuk Ariana. Perkahwinan ni akan bertambah keberkatannya kalau kedua belah keluarga sama-sama merestui..

Selesai pembuka selera ikan siakap goreng tiga rasa, cendawan dan oyster goreng tepung, tom yum kung, udang goreng butter dan daging goreng gajus pula yang dihidangkan. Memang membuka selera. Sakan Tengku Mukhriz dan Puan Sri Lisdania makan.

“Tut….Tut….Tut….Tut…..” telefon bimbit Tengku Mukhriz berbunyi sakan, macam tak mahu menunggu. Tertera nama ‘Adam’ di skrin telefonnya. Telefon diangkat.

“Hello, Assalamualaikum….”

“Hi, Daddy. Daddy kat mana?” cemas sahaja suara Adam. Boleh pula anak terunanya bertanya dia kat mana? Di Kelantan lah, dia juga yang nak bertunang. Tengku Mukhriz bangun dari tempat makan, beredar ke tempat yang agak jauh.

“Adam, Daddy di Kelantan la…kat mana lagi? Esok kan pertunangan Adam…Daddy tengah dinner dengan keluarga Datuk Jusoh ni. Call Daddy after 10.00 okay” hampir sahaja Tengku Mukhriz memutuskan talian. Cepat-cepat Adam memintas,

“Daddy! No, please listen”

“Apa lagi Adam?”

“Daddy…I have my own girl. My own choice, pertunangan tu tak kan berjalan. I’m against it”

” Apa Adam cakap ni? No turning back Adam. Muktamad.”

” No Daddy. Enough, ini perkahwinan Adam. Let me decide. ”

” Adam dah ada calon ? Adam, stop being a player. Sampai bila Adam nak membujang? Hubungan tanpa kahwin tu salah Adam! ” tegas tapi suaranya terpaksa diperlahankan.

” Adam dah ada calon Daddy. Adam pasti. Muktamad ” wah Adam dah pandai guna perkataan muktamad dengannya. Siapa perempuan yang dah berjaya mengubah Adam tu?

” When you come home I will show her to you ” yakin sahaja Adam yang dia akan menemui Ariana. Walhal sedari tadi sudah merata tempat dia mencari gadis itu, tapi tetap tak berjumpa. Hilmi, Dolman dan beberapa orang upahannya yang lain turut sama mencari Ariana tapi hampa. Ke pejabat Ariana pun dia sanggup pergi semata-mata mahu mencari Ariana, tapi semuanya hampa. Ariana tidak ke pejabat. Keretanya juga tiada.

“Tell me her name”

” Ariana Rose ”

Tengku Mukhriz sudah mengagak pasti Ariana Rose gadis yang akan dipinangnya esok adalah pilihan Adam.

“ Rose lah Daddy nak pinangkan ni ”

“No Daddy…Ni Ariana Rose anak Encik Hussein, anak orang biasa. Ayah dia buka gerai je Daddy, not the rich Datuk Jusoh your friend tu…dia bukan lulusan Cambridge, dia kerani je. But who cares?! ”

“I see no point for us to stop. No point at all Adam”

” Trust me Daddy, if you proceed, majlis kahwin nanti Adam tak akan sesekali muncul”

Pulak dah. Berani sungguh Adam melawannya sekarang. Tak takut dia guna kuasa veto dan tidak memberikan hartanya pada Adam?

“Kalau itu berlaku Adam, Adam tidak akan sekali-kali menjadi pewaris Daddy. Is that clear”

Adam ketawa halus, tak habis-habis itulah ayat yang Daddy nya guna untuk memaksa dia bersetuju. Ariana hilang seharian pun dia rasa bagai nak gila. Boleh Daddy nya memaksa dia kahwini perempuan lain? Kusut!

Adam ketawa sinis.”You can keep all that money to yourself Daddy” tanpa harta Daddynya pun dia boleh hidup. Harta hasil titik peluh dia sendiri pun dah mencapai jutaan ringgit.

Talian diputuskan oleh Adam. Berani betul anak terunanya sekarang, gertak pun dah tak jalan. Adam tak kisah hartanya berbillion jatuh ke tangan orang lain? Hanya kerana seorang perempuan? Macam drama.

Tengku Mukhriz mengeluh bila mengingatkan sikap Adam yang sudah banyak berubah semenjak berjumpa dengan Ariana. Perubahan yang baik, tapi mengejutkan. Ariana Rose binti Hussein adalah anak tiri kepada Datuk Jusoh, itu yang Adam tidak tahu dan Encik Hussein Bin Ridhwan Lee adalah seorang jutawan, usahawan gerai franchaise. Senyum kembali menghiasi wajah Tengku Mukhriz, pilihan dan tindakannya ternyata tepat. Adam pasti berterima kasih padanya nanti tapi dia tidak akan memberitahu Adam mengenai perkara itu, biar Adam mengetahuinya sendiri. Degil sangat, tadi tak nak dengar cakap dia.

BAB 27

“Mak…tolong mak….Rokiah tidak mahu menikah dengan Zazali..mak…Kiah cintakan Abang Meon….Tolong kasihankan Kiah mak….” Rokiah menangis teresak-esak. Air matanya jatuh tanpa dapat dikawal lagi. Kaki Ibu Maimon, ibu tirinya dipegang kuat sambil merayu-rayu.

“Abang meon yang kau pilih?” Ibu Maimon memandang Rokiah dengan jengkel. Bodoh punya anak perempuan, si Zazali orang kaya kampung itu pun ditolaknya semata-mata kerana Sameon lelaki kudung, kerjanya pun hanyalah nelayan.

Tangan Rokiah dipegang Ibu Maimon. Tubuh Rokiah ditolak kasar. Kepalanya ditolak sambil Ibu Maimon mencemuh, “Dasar anak tak sedar dek untung! Aku jaga kau sampai kau besar, ini balasan kau pada aku? Sudah!!! Masuk ke bilik kau sekarang. Esok kamu akan menikah dengan Zazali!!” bagai halilintar suara Ibu Maimon. Rokiah ditariknya ke bilik sebelum dikunci dari luar.

Ariana yang leka menonton berkalih duduk. Cerita ‘Rokiah’ terbitan The Brothers tahun 1950-an dulu ditontonnya seorang diri. Macam tak ada cerita lain, cerita macam tu juga yang dia tengok.

“Hmmpph bodoh betul Rokiah ni, kalau aku dah lama aku lari dari rumah” herdik Ariana tak puas hati. Ini lah tipikal perempuan melayu terakhir, tidak tahu hak sendiri. Kalau kahwin paksa macam tu, mana sah, gumamnya sendiri. Kalau salah seorang pengantin tidak redha perkahwinan tu tidak sah hukumnya !

Butang siaran ditukarnya beberapa kali sehingga tersiar program masakan dari chef antarabangsa Jamie Oliver. Ariana bersorak teruja, Jamie Oliver sangat diminatinya. Sejak belajar di UK lagi dia mengikuti siaran program masakan yang dikendalikan oleh Jamie Oliver. Santai, macho dan enak!

Pergerakan Oliver yang sedang memasak dengan mulutnya yang betah ditontonnya dengan penuh khusyuk. Terasa meleleh air liurnya menahan selera, walaupun masakan ringkas tapi baked baby potatoes with cheese and herbs dengan oyster kelihatan sangat menggiurkan.

“Rose….tak tidur lagi?”

Ariana berpaling, memandang kearah pintu utama. Langsung dia tak tersedar keluarganya sudah pulang. Ariana segera bangun menyalami ayah dan umminya. Azman juga turut bersalaman dengan Ariana.

“Man sampai bila? Akak tak tahu pun Man nak balik juga” Ariana senyum, ketawa mesra. Suka juga bila dapat berkumpul ramai-ramai macam ni.

“Eh, akak ni….mestilah Man balik. Esok kan…”

“Man,cuba tengok pintu pagar ayah dah tutup ke belum” cepat-cepat Datuk Jusoh memintas. Dia tidak mahu Ariana mengetahui mengenai perkara itu daripada orang lain. Lebih baik jika dia dan Datin Asra sendiri yang memberitahunya.

Azman menurut sahaja kehendak ayahnya. Datin Asra pula cepat-cepat mendukung Amalina yang sedang nyenyak tidur ke atas untuk dibaringkan dalam biliknya. Bila Azman masuk semula ke dalam rumah dan terus naik ke atas, Datuk Jusoh mengambil tempat di sebelah Ariana yang masih menonton rancangan masakan Jamie Oliver. Datin Asra pun turut sama turun semula ke bawah.

Ummi dan ayahnya dipandang pelik. Bila masa pula mereka ni suka Jamie Oliver?

“Ayah suka ke Jamie Oliver?” muka ayahnya dipandang dengan senyuman mengusik. Serba salah jadinya Datuk Jusoh nak menjawab siapa Jamie Oliver pun dia tak tahu?

“Ha…ayah baru suka…kacak juga budaknya pandai masak pula tu” Datuk Jusoh buat-buat menonton sama. Datin Asra sudah menyorokkan senyuman.

Ariana mengangguk-angguk. Matanya masih leka menonton. Jamie Oliver yang mula merasa masakannya. Sedang menjilat ibu jari…..hadoi…meleleh air liuq!

Ayahnya berdehem.

Ariana buat bodoh.

Berdehem sekali lagi, baru Ariana berpaling. “Ayah okay ke? Tak sihat ye?”

Ke situ pula anak sulungnya ni. Susah rupanya nak bagitahu hal pertunangan mengejut pada anak sendiri rupanya. Hari tu gatal-gatal nak setuju, sekarang dah berpeluh dahi cari idea nak maklumkan pada Ariana.

Datuk Jusoh buat muka serius campur kesian, “Rose….ayah nak cakap sikit boleh?”

“Boleh ayah, ada apa?”

“Kalau ada lelaki yang pandai masak, macho, membesar di England macam tukang masak tu, sukakan Rose, Rose terima tak dia?”

Ariana ketawa. Jamie Oliver datang meminang? Mak aih, mestilah nak.

“Haha ayah ni….Jamie Oliver mana kenal Rose…tapi kalau betul apa salahnya kan ayah? Hehe”

Bagi Ariana ayahnya hanya bergurau. Tapi tidak bagi Datuk Jusoh. Baginya jawapan Ariana menandakan anaknya sudah membuka peluang untuk disunting.

“Rose…pernah tak selama ni ummi dengan ayah paksa Rose buat apa yang Rose tak suka?”

Hmm…pelik pula mood ayah dengan umminya malam ni. Ariana mula serius. Siaran televisyen dimatikan. Ariana mengambil tempat ditengah-tengah antara ummi dan ayahnya. Keduanya dipeluk erat.

“Kalau ada pun ummi ayah…….Rose tak pernah menyesal ikut nasihat ayah dengan ummi. Akhirnya Rose tahu tu untuk kebaikan Rose juga…You are the best parent in the whole world”

Datin Asra dan Datuj Jusoh rasa terharu. Tangan Ariana digenggam oleh Datin Asra. Datuk Jusoh mengangguk sambil tersenyum, terharu dengan pujian anaknya.

“Terima kasih Rose..”

“Terima kasih juga kerana besarkan Rose, sayangi Rose selama ni…” kalau tiada ummi dan ayahnya ke mana lagi dia mahu pergi? Keluarga baru papa nya membenci dirinya…

“Rose….dah 25 tahun ummi jaga Rose…Rose tahu kan ummi sayang Rose sangat-sangat” giliran Ariana pula yang sayu. Pelukan pada ummi dan ayahnya dikuatkan sambil dia mengangguk sakan.

“Ummi nak yang terbaik je untuk Rose…ayah pun sama…”

Ariana angguk lagi. Hiba. Sayu. Terharu.

“Ummi dengan ayah dah pilihkan lelaki yang terbaik untuk jaga Rose sampai ke akhir hayat hendaknya Rose…”

Ariana angguk lagi.

Sorry?

Apa ummi cakap tadi? ‘pilih lelaki terbaik?’

Wajah ummi dan ayahnya dipandang silih berganti, “maksud ummi?”

“Macam ni Rose…kawan ayah dari Kuala Lumpur berkenan sangat nak jadikan Rose menantu untuk anak terunanya…Kelaurga dia orang baik-baik Rose..kawan ayah dengan isterinya tu pun baik sangat..ayah segan nak menolak…”

Berdebar jantung Ariana Rose menanti satu persatu tutur bicara ayahnya. Tangan umminya digenggam kemas. Mencari kekuatan.

“Ayah dah terima Rose…esok dia datang meminang, sekali dengan majlis pertunangan Rose….kami harap sangat Rose faham niat ummi dengan ayah…”

Aduhai….oksigen! Ariana Rose dah lupa cara untuk bernafas!Otaknya kosong bagai di block. What should I think? Kalau ikutkan hati mahu saja dia menjerit katakana TIDAK!!! Tapi dia bukan anak yang sebegitu. Dia bukan anak derhaka. Dia hormati ayah dan umminya sangat-sangat….

“Bila rombongan nak datang ummi,ayah…?”

“Esok lepas Zohor Rose….”

Ya Allah cepatnya ! Liurnya ditelan kasar. Terasa tersekat di kerongkong tapi digagahkan juga untuk bersuara.

“Kalau ini membuatkan ummi dan ayah gembira Rose terima…tapi…kalau ummi boleh bagi Rose peluang untuk kenali dia dulu…tu lebih baik ummi..ayah…”

“Rose…rombongan lelaki dah datang Rose. Keluarga kita baru je keluar makan malam dengan dorang tadi..pertunangan tu dah tak boleh ditunda lagi..” umminya pandang penuh mengharap.

“Tempoh pertunanganlah tempoh saling mengenali Rose…sebab tu adanya tempoh pertunangan. Waktu ni lah kita nak nilai calon suami kita macam mana, tapi dalam batas-batas yang dah ditetapkan..bukan dah sakan bercinta baru bertunang sekadar ambil nama je..Tunang tu ada peranan dia, bukan sekadar adat” nah, kan dah panjang lebar Datuk Jusoh bagi ceramah percuma. “Kalau sepanjang bertunang ada yang Rose rasa tak kena, bagitahu ummi dengan ayah. Kami tak kan biarkan sesiapa aniaya Rose..Ya Rose?” bahu anak perempuannya dipeluk erat. Tanda mahukan Rose percayakannya.

Ariana angguk. Dia percaya ayah dan ummi sayangkannya…Cuma perkara ni sangat mengejutkan. Dia takut nak hadapi hari esok. Bertunang dengan orang tak kenal, tapi tunang je okaylah dari terus kawin. Kan?

Rahsianya? Bagaimana? Ya Allah….peningnya..!

“Ya Rose?” suara ayahnya memecah gegendang telinga sekali lagi.

“Ya ayah, ummi…” macam tak percaya dia yang tuturkan ayat tu. Dia dah bersetuju? Yang pasti ummi dan ayahnya terus memeluknya erat. Bahagia kerana anaknya sangat mendengar kata, itu tanda penghormatan Rose pada mereka.

“Percayalah Rose, Rose akan bahagia dengan keluarga ni. Nanti esok Rose jumpa mereka ya. Dalam tempoh 3 bulan ni Rose ambil kesempatan ni untuk kenali mereka dengan lebih dekat” ayahnya senyum lebar. Bahagia.

Ariana angguk lagi. Dalam tempoh ni lah dia akan tanya lelaki itu, berterus terang tentang keadaannya. Andai lelaki itu mahu menerimanya, mungkin itulah lelaki yang di hantar Allah untuknya. Yang boleh menerima dia seadanya…Jika tidak ? Good bye to you Mr Fiancee. Habis cerita.

“ Okay Rose ummi dah sediakan baju. Jom tengok ” Datin Asra bangun. Bersemangat. Tercapai juga cita-citanya nak tengok Ariana kahwin, dapat cucu. Tangan Ariana dipegangnya, mengajak anaknya ke bilik tetamu di bawah.

Sepersalinan baju bertunang indah tergantung di dalam almari. Bilik itupun sudah dihias cantik. Bersedia untuk menyambut tetamu esoknya.

Ariana mengamati dress labuh bertangan panjang yang dijahit dari butik umminya. Cantik.Baju itu disuakan pada badannya. Baju pink wine, sangat kena dengan kulitnya dan warna rambutnya…tapi kali ini Ariana mahu mengenakan tudung…wajah umminya dipandang sayu…

“ Tudung warna apa yang sesuai ye ummi?”

Umminya memeluk Ariana erat. Gembira dengan perubahan Ariana. “Nanti esok ummi minta Kak Beth bawakan tudung yang sesuai ye Rose..mesti Nampak lagi cantik..”

“Terima kasih ummi…”

* * * ** * * ** * * * * *

Malam itu Ariana berteleku di tikar sejadah, menghadap Tuhannya yang Maha Mengetahui. Dia sedar status dirinya yang sudah tidak suci. Dia juga tahu perihal ayat yang menyatakan, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Adakah dia yang sudah tidak suci dikira sebagai perempuan yang tidak baik?

Dia tiada jawapan kepada semua persoalan itu, tapi dia ada Allah swt sebagai tempat rujukan. Sepertiga malam itu digunakannya untuk melakukan solat sunat taubat, tahajud, istikharah dan hajat. Satu sahaja permohonannya, moga Allah swt menetapkan lelaki yang terbaik buat dirinya. Hanya Tuhan yang tahu siapakah lelaki yang tercipta untuk menjadi imam pada kehidupannya.

Cuma pohonnya, walau siapa pun lelaki itu, moga dia adalah lelaki yang menyintai Allah swt sepenuh hatinya. Jika sinar cahaya hidayah masih belum muncul, munculkanlah ia sebelum si dia sah bergelar suaminya. Dia tidak meminta lelaki yang sempurna ilmu agamanya, tetapi cukup jika lelaki itu mahu mencari Islam, mahu mendekati Allah swt kerana kecintaan dia pada Allah swt…Bukan ilmu yang menggunung yang dia pinta, tetapi lelaki yang dahagakan ilmu dan turut sama membawanya ke jalan yang sama.

Lelaki yang boleh menerima seadanya, tidak memandang kekurangannya sebagai satu cela, tetapi memandang 1001 kebaikannya. Yang menghormatinya sebagai seorang perempuan dan mengasihinya sepenuh hatinya tanpa mengabaikan kecintaan dia pada Tuhan. Yang dia akan berasa tenang bersama dengannya dunia dan akhirat. Seorang pemimpin untuk dia, keluarganya dan generasi mereka di masa akan datang….Andai ciri-ciri itu ada pada bakal tunangannya, dia pohon Allah swt berikan dia ketenangan dan redha di lubuk hatinya. Semoga pertunangan esok berjalan lancar, andai kata tunangannya itu bukan jodohnya, semoga Allah elakkan ia dari berlaku. Hanya Dia yang berkuasa melakukan sesuatu…..

BAB 28

Usai disolek rapi, Ariana duduk dibirai katil menunggu waktu dia dipanggil untuk ke bawah. Dia tahu rombongan sebelah lelaki sudah sampai. Bunyi riuh rendah mereka berpantun pun dia dengar bagai ombak yang beralun dari biliknya. Amalina setia dengannya. Manja betul adiknya yang sorang tu dengan dia. Amalina asyik bertanya kalau Kak Rose dah kahwin nanti dah tak balik rumah lagi ke? Dia ketawa bila itu yang ditanya oleh Amalina. Lucu. Pastilah dia masih balik, lagipun dia baru bertunang bukan kahwin pun lagi.

” Kak Rose cantik sangatla hari ni…macam Snow White dalam buku Lin…” pandai je Amalina memuji. Pasni mesti nak bodek dia ke McD makan slurppy sebenarnya tu.

” Nak slurppy eh puji-puji Kak Rose? ”

” Hehe kalau Kak Rose nak bagi Lin terima je…” pandai betul budak ni berceloteh. Dah makin besar adiknya yang sorang ni. Memang mereka adik beradik tiri, tapi dia langsung tak terasa begitu.

Pintu biliknya diketuk dari luar. Umminya memanggil dia turun. Emma sepupunya pun ada sama. Tangannya dipimpin sampai ke bawah. Semua sedaranya yang dekat ada bersama. Semua mata memandangnya yang masih tercegat ditangga paling bawah.

” Tu dia….puteri kita dah turun dah…” seloroh Pak Cik nya dalam dialek Kelantan. ” Sayangnya puteranya je yang tak ada sama…”

Blushing habis muka Ariana. Terasa membahang pipinya bila diusik. Okay juga rasa bila bertunang, tak adalah menakutkan seperti yang dia selalu bayangkan. Kalau tahu macam ni lah rasanya, dah lama dia setuju untuk kahwin. Atau memang Allah lapangkan dadanya, mungkin lelaki ini adalah pilihan tepat untuk dirinya. Ariana senyum membayangkan masa depan yang lebih cerah.

Dia duduk bersimpuh diatas kusyen bulat yang besar berada di tengah-tengah ruang tamu. Kusyen bersulam emas dan bewarna cream membuatkan dia terasa seperti betul-betul macam puteri raja. Hiasan bunga hidup bewarna pastel menghiasi ruang tamu juga menaikkan mood.

Sepasang suami isteri sedari tadi memandangnya. Dia melemparkan senyuman paling manis untuk mereka. Dia agak itulah ayah kepada lelaki yang masuk meminangnya. Si isteri datang mendekatinya. Senyumnya manis, nampak baik dan keibuan. Umminya ada disebelahnya. Ummi menyuruhnya menghulurkan tangan bila si isteri lelaki tadi duduk bersimpuh di depannya.

Dia menyalami perempuan itu. Dirinya dipeluk dan pipinya dicium. ” Mommy harap Rose akan bahagiakan Adam…”

Tersentap Ariana bila nama Adam disebut.

Mungkinkan ini keluarga Adam?

[I can’t marry you Ariana. You cantik. The most beautiful woman I had ever met. Thanks God you tak jadi model ke artis ke..but..we are from a two big different status. You stay dengan I, I bagi you apa sahaja yang you nak. Kereta? Duit? Rumah. Just say it. I tahu gaji you as a kerani tak cukupkan?]

Kata-kata Adam kembali bergema di telinganya. Tak mungkin. Adam begitu bongkak dengan statusnya , tak mungkin kedua lelaki dan perempuan yang sungguh merendah diri ini adalah ibu bapa Adam. Tak mungkin Adam mahu menjadikan dia isterinya yang sah. Pilihan Adam adalah Sophie, anak Tan Sri Roslan. Sama taraf dengannya. Perempuan seperti Ariana hanyalah mainan buat Adam. Adam ini Adam lain, Adam yang menilainya sebagai perempuan. Bukan mainan.

Tangan Ariana ditolak oleh umminya ke depan. Mengembalikannya ke alam nyata. Puan Sri Lisdania menyarungkan cincin ke jari manisnya tanda Ariana Rose Hussein sudah selamat ditunangkan. Pipinya dicium sekali lagi oleh bakal mertuanya. Tangan wanita itu disalaminya sekali lagi.

” InshaAllah…” ucapnya perlahan. Datang dari lubuk hatinya. Mungkin inilah pengakhiran cerita dia dan Adam Kamil. Mungkin statusnya kini mampu menjauhkan Adam Kamil dari kembali menghantui hidupnya…

Umminya juga turut memeluknya. Kedua belah keluarga kelihatan gembira. Rombongan sebelah lelaki ada seramai 10 orang. Sebelah perempuan pula 12 orang. Kata ayahnya bertunang tak elok dibuat besar-besaran. Cukup dengan ahli keluarga terdekat sahaja.

Ariana bersalam dengan semua tetamu. Sepupu dekatnya pun ada sama. Sakan mereka mengusiknya. Si tunangannya Adam sahaja yang tiada, tapi tak mengapa. Itu lebih baik..kalau ada dia pula yang naik segan.

“ Rose…meh datang sini ” panggilan ummi yang berada di sebelah ibu kepada tunangannya disambut dengan senyuman dan anggukan. Ariana berjalan sopan kearah mereka. Beberapa orang saudara mara Adam juga ada di sekitar itu. Ariana menyalami mereka satu persatu sebelum duduk bersimpuh di tepi perempuan yang dipanggil Kak Lis oleh umminya.

“ Rose, ni mommy Adam. Pu…” belum sempat umminya mahu menyebut Puan Sri terus katanya disangkal oleh bakal besannya. Apa pula nak berPuan Sri bagai kalau dah nak jadi anak menantunya.

“ Mommy. Panggil mommy. Sekarang, Rose adalah anak perempuan tunggal mommy dan daddy ye ? Jangan nak segan-segan dengan mommy ”

“ Terima kasih mommy…. ” Ariana memaniskan muka. Baik betul bakal mertuanya ni. Bimbang dia. Bimbang sekiranya pertunangan ini akhirnya hanya separuh jalan. Ya Allah…tolong…!

“ Ni mommy kenalkan, tu Pak Ngah dengan Mak Ngah, kakak mommy, yang sebelah sana pula Pak Long dengan Mak Long, abang mommy. Yang dua orang lagi tu sepupu Adam. Sepupu Rose juga. Kakak dengan abang mereka tidak dapat datang, kerja. Yang baju kelabu tu Pak Mat dengan isterinya, pekerja kat rumah mommy dengan daddy ”

Semuanya Ariana dah bersalaman tadi. Semua pun nampak baik-baik belaka. Sepupu Adam kedua-duanya lelaki. Masih muda, mungkin masih di universiti atau di kolej.

Ayah dengan daddy masih sibuk berbual. Azman dan Pak Ngah pun ada sekali. Topik apa? Dia sendiri pun tidak pasti. Orang lelaki, macam-macam lah yang dibincangkannya.

“ Tiga bulan je lagi tarikh kahwin mereka ni kan Kak ye ? Bimbang pula saya dengan persiapan ”

“ Jangan risau lah…Guna wedding planner je. Kita bagitahu konsep, pilih apa patut, semua boleh siap. ”

Amboi, ibu mertuanya ni cakap gaya orang kaya meletop je. Bimbang dia.

“ Rose, nanti datang KL kita ukur baju ye ? ” mommy bersuara lagi seraya matanya memandang tepat pada anak mata Ariana. Ariana senyum mesra.

“ Okay, inshaAllah ummi.. ”

Puan Sri senyum lebar. Sudah terbayang di benaknya untuk menemukan Ariana dan Adam. Pasti Adam akan berkenan juga.

Usai beramah mesra sesama ahli keluarga mereka semua mengadakan sesi bergambar. Kata bakal mertuanya untuk simpanan di masa depan. Bertunang, berkahwin sekali sahaja seumur hidup. Anak terunanya pun nak tengok gambar tunangannya nanti.

Rombongan lelaki meninggalkan rumah pada sebelah petang. Mereka ke hotel terlebih dahulu sebelum check out dan ke lapangan terbang. Ibu dan ayah Ariana, adik-adiknya dan dia sendiri pun turut serta menghantar mereka pulang.

Masing-masing masih sibuk berbual walaupun dah berada di balai berlepas. Puan Sri Lisdania masih melekat dengan Ariana, bakal anak perempuannya. Hmm bukan bakal, tapi dah dikira sebagai anaknya sendiri dah! Orang dah lama nak anak perempuan…

“Nanti bila Rose nak balik Putrajaya?” Ariana yang ayu bertudung hijau muda dipandangnya penuh kasih. Tangannya masih memeluk bahu Ariana.

Ariana senyum, “Rose ingat nak berhenti kerja mommy…inshaAllah Rose nak tinggal di Kelantan je..sebelum kahwin nak tolong ummi kat butik dulu…”

“Alahai Rose…mommy ingat boleh Rose selalu datang rumah…Adam bukan selalu ada kat rumah pun. Dia travel merata-rata…” ucap Puan Sri bersungguh-sungguh.

“InshaAllah mommy..kalau Rose pergi KL Rose call mommy ye? Rose pun nak selesaikan urusan perletakan jawatan juga nanti, cuma tak tahu bila tarikhnya. Bila dah confirm Rose bagitahu mommy ye?” pandai pula si Ariana memujuk.. Dia memang suka orang tua, ah, orang tua, kanak-kanak, orang cacat semua dia suka. Orang jahat je yang dia benci. Si jahat macam Tengku Adam Kamil !

“Okay, ingat tu Rose. Datang KL tidur rumah mommy”

“Ye mommy..inshaAllah” Ariana senyum lagi. Kelakar pula dengan gelagat emak kepada tunangannya.

Tengku Mukhriz datang mendekati mereka. Bahu isterinya ditepuk lembut, “Dah la tu…awak ni…kapal terbang dah panggil tu. Kesian si Rose ” seulas senyum kebapaan dilayangkan pada Ariana. Ariana membalas hormat.

“Hisy, ye lah awak ni. Mommy pergi dulu la Rose ye”

“Okay mommy, daddy, take care. Ada apa-apa bagitahu la Rose”

Mereka bersalaman. Satu-satu persatu kaum kerabat tunangannya di salami. Mereka dihantar hinggalah selamat masuk ke balai berlepas.

Alhamdulillah, dia tak pernah rasa setenang itu, sebahagia itu. Menjadi tunangan orang walaupun dia tak mengenali bakal suaminya membuatkan dia rasa lebih selamat. Bakal mertuanya pun sangat baik…




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

158 ulasan untuk “Novel : The Wedding Breaker 26,27,28”
  1. Haslinda Mokhtar says:

    alahai…knp smpai situ je ceritanya? kenapa x sampai habis? nampak gayanye kena dapatkan jugak laa novel dia ni…

  2. Rahimah Lanambai says:

    Sy dah beli novel ni dan dah baca berulang kali. Sebuah novel yg sgt menarik kerana kita disajikan dgn ayat al quran, hadis dan lagu2 yg menarik. Plot yg menarik dan kesudahan yg mengembirakan. Tetapi sy sgt tidak bpuas hati bila novel ini dijadikan drama, ceritanya dah jauh menyimpang. Watak jahat sgt ditonjolkan, hadis dan alquran dah tenggelam…. menyedihkan dan rasa sgt tak berpuas hati!

  3. sue says:

    satu karya nukilan yang terbaik..jalan cerita yang lain dari yang lain,terutama saat hero heroin bertemu, penuh dengan nilai2 keagamaan..dan yang penting tiada yang tidak boleh berubah…semuanya terletak pada diri sendiri..superb,tahniah everlyn rose!!

  4. Norkammisiah says:

    Jalan cerita menarik….

  5. Amaliya amalina says:

    Sebuah novel yang sangat menarik,memang rugi jika tidak beli novel ni.Memang best dalam cerita pon best,tapi kalau nak tau lebih lanjut beli lah,,

  6. norhidayah says:

    karya novel yang sangat menarik….paling suka kalau dapat baca novel nie sampai habis dari tengok adaptasi novel ke drama….mesti tak sama,pe2 pun karya nie the best…..

  7. shirleyjelihie says:

    Nak sgt bli novel ni tp kat swak ni ssah nak cari stok utk novel ni.. Bleh spa2 tlg bgtau mcm mna nak dpatkan ni mlalui post taupun online order?

  8. Jenifer Sharon says:

    Sebuah karya yg mnarik… marvelous.. Evelyn Rose mmang berbakat ibarat sebutir permata yg tdak ternilai.. hasil karya Evelyn Rose sememangnya tdak mengecewakn.. sya mula mminati novel Evelyn Rose selepas sya mmbaca 13 Jam A380.. jln critanya membuatkn sya seakn2 brada di dlm crita trsebut.. TAHNIAH EVELYN ROSE..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"