Novel : Mr. Secret Admirer 9

2 August 2012  
Kategori: Novel

8,998 bacaan 23 ulasan

Oleh : SHILA ALISH

BAB 9

“Abang Haziq!”

Zureen hampir terjerit sebaik sahaja melihat abang angkatnya berjalan beriringan dengan Datin Raja Fatimah.

Seluruh anggotanya dirasakan tiba-tiba lemah. Dia bagaikan tidak percaya. Adakah dia bermimpi? Bagaimana abang angkatnya itu tiba-tiba sahaja boleh berada di banglo mewah ini?

Entah kenapa tiba-tiba sahaja Zureen jadi sebak dengan kehadiran abang angkatnya di situ. Selama ini dia tidak pernah merasa perasaan seperti itu kerana dia menganggap kehadiran Haziq dalam hidupnya hanya biasa-biasa sahaja dan bukanlah sesuatu yang penting sangat untuk dirinya.

Mungkin kerana ketika itu, dia sememangnya sedang berperang dengan emosinya sendiri. Perang emosi yang dicetuskan oleh Syed Redza!

Ketika itu, Zureen sememangnya amat memerlukan seseorang yang amat rapat dengannya seperti Haziq. Dia perlu meluahkan apa yang berbuku di hatinya sebaik sahaja dia memulakan tugasnya tadi.

Selama ini, Zureen menyangkakan dirinya kuat dan mampu menghadapi apa jua rintangan yang mendatang ketika dia menjalankan tugas sebagai jururawat peribadi tetapi belum pun sehari di situ, dia merasakan dia semakin tewas dengan serangan emosi yang datang bertubi-tubi dari Syed Redza.

Suasana menjadi hening. Mata Zureen melekat pada wajah abang angkatnya itu. Jika ketika itu yang berdiri di hadapannya adalah abang kandungnya sendiri, Zahin, sudah pasti akan dipeluknya lelaki itu bagi melampiaskan perasaannya yang bercelaru ketika itu, tapi apakan daya, lelaki itu hanya seorang abang angkatnya dan juga bukan muhrimnya. Apa yang mampu dilakukannya hanyalah berbicara melalui pandangan matanya.

“Zureen…kenapa ni sayang? Kenapa Zureen nampak terkejut dan sedih sangat ni?”, tegur Datin Raja Fatimah yang agak pelik melihat perubahan sikap Zureen ketika itu.

Zureen tersentak. Dia baru tersedar yang Datin Raja Fatimah dan Syed Redza juga berada di bilik itu. Seketika tadi dia hanya merasakan dirinya hanya bersama dengan abang angkatnya sahaja kerana seperti dirinya, abang angkatnya itu juga saling berbalas renungan dengannya. Abang angkatnya itu seolah-olah tahu apa yang sedang menimpa Zureen. Kalau tidak masakan dia boleh berada di banglo mewah itu ketika ini.

Kuat sungguh aura aku dan abang Haziq ni rupa-rupanya! Bisik hati Zureen.

“Err…tak ada apa-apalah auntie. Zureen cuma terkejut. Zureen pelik macam mana ‘abang’ Zureen ni boleh ada kat sini?”, balas Zureen tergagap-gagap. Bimbang jika Datin Raja Fatimah salah faham dengan situasi ketika itu.

“Ooo….Zureen terkejut ke? Kenapa? Zureen tak sangka abang Zureen boleh sampai sini ye? Tadi kebetulan masa auntie baru sampai dari butik, auntie nampak ada seorang lelaki dalam kereta di luar pagar. Auntie tengok dia macam menunggu seseorang. Auntie tak sedap hati. Manalah tahu kalau-kalau dia ada niat tak baik. Auntie beranikan diri bertanya. Rupa-rupanya dia abang Zureen. Dia kata nak jumpa Zureen sekejap. Tu yang auntie terus bawa datang ke sini. Nasib baik auntie tak bertindak yang bukan-bukan. Yela…sekarang ni kan macam-macam kes. Maaflah auntie tak tahu pun yang Zureen ni ada abang. Doktor pulak tu!”, cerita Datin Raja Fatimah panjang lebar.

Abang aku? Salahlah auntie…bukan abang tapi abang angkat! Datin Raja Fatimah tak tahu ke lelaki yang sedang berdiri di sebelah dia tu hanya abang angkat aku aje!

Zureen sempat mengerling seketika ke arah Syed Redza. Lelaki itu dilihatnya sedang merenung tajam ke arah abang angkatnya. Mak aih, masamnya muka dia!…Dan yang lebih membimbangkan Zureen ketika itu ialah….abang angkatnya juga berbalas renung dengan Syed Redza.

Keadaan tiba-tiba dirasakan tegang semacam. Tak boleh jadi ni! Sebelum apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku, dia mesti mententeramkan keadaan di bilik itu dengan segera.

“Abang Haziq tunggu kat luar? Kenapa abang tak call Zureen? Nasib baik ada auntie…kalau tak keraslah abang menunggu kat luar”, balas Zureen dalam usahanya untuk meredakan suasana yang dirasakan tegang ketika itu.

“Nak ke Zureen angkat telefon kalau abang call?”, jawab Haziq pula dengan selamba.

Amboi! Sempat pulak dia nak sindir aku. Sajalah nak balas dendam kat aku tu! Dia tu pun apa kurangnya, aku call pun tak angkat?

Tiba-tiba Zureen baru tersedar.

Alamak! Habislah aku kalau abang Haziq panjangkan cerita ni. Minta-minta auntie tak bertanya kenapa aku tak angkat telefon. Tambah parah kalau manusia sejuk beku kepala batu tu pulak menambah perisa kat cerita ni! Dah tu dia ceritakan pulak peristiwa masa aku ambil darah dia tadi. Aduh, parah!! Apa nak buat ni?

Ok! Dapat satu idea!

“Err…auntie, Zureen minta izin nak cakap dengan abang Zureen ni kejap, boleh?”

“Zureen…apa pulak minta izin? Takkanlah nak bercakap dengan abang sendiri pun nak kena minta izin?”, jawab Datin Raja Fatimah sambil ketawa kecil.

Geli pula hatinya bila Zureen minta izin untuk bercakap dengan abang sendiri. Dah mengalahkan macam nak berbual dengan buah hati pulak!

“Bukan apa auntie…Zureen ni kan sedang bekerja. Nanti dikatakan makan gaji buta pulak…Zureen nak cakap kat luar sekejap ye auntie…”, balas Zureen pula.

Nada suaranya sengaja ditekan pada perkataan ‘gaji buta’ sambil matanya menjeling ke arah Syed Redza yang sedang merenung dirinya seperti hendak menelannya. Marahlah tu! Padan muka kau!

Datin Raja Fatimah hanya mengangguk memberi persetujuan.

Zureen menarik abang angkatnya untuk segera meninggalkan bilik panas itu.

“Belum sehari pun bekerja kat sini dah berani bawa jantan masuk rumah ni! Kalau dah lama entah siapa pulak nak diangkutnya. Entah-entah satu kampung nak dibawanya ke sini!”,tiba-tiba Syed Redza bersuara dengan nada yang agak sinis.

Langkah Haziq terhenti sebaik mendengar kata-kata yang keluar dari mulut lelaki yang duduk di atas kerusi roda itu. Jantan? Dia panggil aku jantan? Namun, Zureen cuba menahan Haziq dari berhenti.

Dia bimbang jika tercetus perbalahan. Cukuplah dia sahaja yang dilemparkan kata-kata kesat. Dia tidak mahu abang angkatnya menerima nasib yang sama sepertinya. Tambah membimbangkannya lagi jika abang angkatnya itu menyuruh dia berhenti sahaja setelah melihat layanan Syed Redza kepadanya. Sememangnya sejak awal, Haziq memang tidak bersetuju dia bekerja di banglo mewah itu.

Kedengaran suara Datin Raja Fatimah memarahi Syed Redza.

“Redza! Kenapa cakap macam tu? Hormat sikit pada tetamu!”, marah Datin Raja Fatimah.

Datin Raja Fatimah merasa amat malu dengan kelakuan anak tunggalnya itu. Jika sikap itu ditunjukkan di hadapan Zureen sahaja tidak mengapa kerana Zureen mungkin sudah tahu perangai Syed Redza tetapi dia cukup malu apabila kata-kata kesat itu dilontarkan ketika ada orang asing di situ. Apatah lagi orang asing itu adalah abang Zureen dan seorang doktor pula. Dia malu jika dianggap tidak tahu mendidik anak sendiri.

Setelah mempastikan Zureen dan abang angkatnya meninggalkan bilik itu, Datin Raja Fatimah menghampiri Syed Redza. Dia ingin tahu apakah punca anak bujangnya bersikap begitu. Mesti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya hingga dia berkata begitu.

Syed Redza memusingkan kembali kerusi rodanya menghadap pemandangan luar. Sebolehnya dia tidak mahu bercakap dengan mamanya ketika itu kerana dia merasakan mamanyalah yang menyebabkan Zureen berani bertindak seperti itu. Beri sangat muka kat perempuan tu!

Dari tindak tanduk Syed Redza, Datin Raja Fatimah sudah dapat mengagak memang ada yang tak kena dengan anak bujangnya itu.

Dia menghampiri Syed Redza dan seperti biasa akan membelai anak bujangnya bagi meredakan amarahnya.

“Redza….kenapa ni sayang? Kenapa marah-marah ni?”, sapanya lembut dalam usaha memujuk anak bujangnya itu.

Syed Redza hanya membisu. Langsung tidak dipedulikan mamanya yang berada di belakangnya ketika itu.

Melihatkan anak bujangnya hanya membisu, Datin Raja Fatimah cuba berbasa-basi.

“Macam mana anak mama hari ni? Ok ke? Redza dah makan ubat? Macam mana Zureen layan Redza?”

Mendengar nama Zureen meniti di bibir mamanya, tiba-tiba hatinya menjadi geram kembali. Sememangnya dari tadi dia memang tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh Zureen. Siap bawa jantan masuk rumah lagi!

Siapakah lelaki itu? Adakah itu abang angkat yang dimaksudkannya tadi? Kalau ya, memang betullah telahannya tadi. Kelakuan lelaki itu langsung tidak menunjukkan gaya seorang abang. Dari cara pandangan dan renungannya kepada Zureen, seperti ada maksud yang lain.

Syed Redza amat pasti dengan nalurinya. Hanya lelaki yang tahu isi hati seorang lelaki!

“Kenapa mama terlalu beri muka sangat pada perempuan tu?!”

“Perempuan tu ada nama….Zureen!”,Datin Raja Fatimah memotong kata-kata Syed Redza kerana dia berasa kurang senang dengan ganti nama yang digunakan oleh anak bujangnya apabila merujuk kepada Zureen. Namun, nada suaranya masih terkawal.

“Whatever! Sebab mama terlalu beri muka sangat pada dia, sebab tulah dia berani nak angkut jantan dalam rumah ni. Ini baru sehari bekerja. Kalau lebih lama entah apa lagi yang berani dibuatnya!”,bentak Syed Redza.

Datin Raja Fatimah cuba bertenang walaupun dia kurang senang dengan cara Syed Redza mengeluarkan kata-kata. Terlalu pedas dan kedengaran sangat kurang ajar. Datin Raja Fatimah juga amat pelik, apa yang anak bujangnya marahkan sangat sebenarnya?

“Redza…tak baik cakap macam tu. Kan mama dah beritahu tadi, bukan Zureen yang suruh abangnya datang ke sini. Redza tak tengok ke tadi? Zureen sendiri pun terkejut bila tengok abangnya datang.”, pujuk Datin Raja Fatimah lembut.

“Budak perempuan kesayangan mama tu kan pandai berlakon. Pura-puralah terkejut. Entah-entah memang dia dah plan dari awal. Mama tak tahu tadi, masa dia tengah sibuk bertugas, telefon bimbitnya tak berhenti-henti berbunyi. Tu mestilah jantan tu yang telefon. Ma…dari awal Redza dah cakap kat mama, macam mana mama boleh terlalu percayakan dia. Mama tengoklah sendiri apa yang dia buat?”,balas Syed Redza masih tidak berpuas hati.

“Redza…tak baik buruk sangka macam tu sekali. Lagi satu mama minta, kalau Redza rasa tak puas hati sekali pun, cubalah kawal kata-kata Redza. Kata-kata Redza kedengaran terlalu kesat. Bahasa Redza juga kesat. Mama malu. Nanti apa kata abang Zureen tu. Dahlah dia tu seorang doktor, Redza pulak boleh gelar dia jantan. Mama tak nak dikatakan tak tahu mendidik anak. Redza…tolonglah jaga air muka mama ni!”, luah Datin Raja Fatimah geram.

“Redza peduli apa! Dia doktor ke perdana menteri ke….kelakuan macam tu memang layak dapat gelaran macam tu!”,balas Syed Redza masih tidak mahu mengalah.

“Redza…mama nak tanya. Apa sebenarnya yang Redza marahkan sangat ni? Takkanlah Redza marahkan sangat kalau abang Zureen nak datang menjenguk adik dia di sini? Itukan abang Zureen. Lainlah kalau yang datang tu kekasihnya. Memanglah tak patut. Kalau yang datang tu kekasih Zureen, mama pun marah…”, Datin Raja Fatimah cuba mengorek punca anak bujangnya naik angin.

“Ini lagi satu Redza nak tanya mama. Mama pasti ke yang datang tu abang dia??”

“Kenapa Redza cakap macam tu? Kan tadi Zureen dah beritahu itu abang dia. Doktor Haziq pun cakap dekat mama tadi dia nak datang melawat adik dia. Takkanlah Redza nak suruh mama check kad pengenalan dia pulak? Hishh…Redza ni kenapalah cakap yang bukan-bukan?”

“Itulah silapnya mama. Terlalu percayakan orang. Mama tahu tak, perempuan tu sendiri pun dah mengaku pada Redza tadi yang asyik menelefonnya tak berhenti-henti masa dia tengah check darah Redza tadi tu sebenarnya abang angkat dia. So, lelaki yang datang jenguk si budak perempuan tu sebenarnya cuma abang angkat dia aje! Lagi pun, takkan mama tak boleh fikir, kalaulah betul lelaki tu abang dia, takkan perangai macam tu? Siap tenung-tenung adik dia pulak?”

Betul ke kata-kata anak bujangnya itu? Lelaki yang datang itu tadi sebenarnya hanya abang angkat Zureen dan bukannya abang kandung seperti yang disangkakannya. Jika benar, kenapa Zureen tidak memberitahunya tadi.

Ah! Aku tak mahu berburuk sangka. Mungkin Zureen ada sebabnya berbuat begitu. Nanti saja. Aku akan tanya sendiri. Aku mahu dengar dari mulut Zureen sendiri. Itu lebih baik dari berburuk sangka. Bisik Datin Raja Fatimah.

Datin Raja Fatimah merasa agak pelik di hujung kata-kata anak bujangnya sebentar tadi. Kedengaran seperti nada cemburu!

“Redza….dahlah. Redza jangan fikir yang bukan-bukan lagi. Mama tengok Redza ni terlalu banyak berfikir. Tak baik untuk kesihatan Redza tau! Oklah…Redza rehat dulu ye. Mama nak solat asar.”, akhirnya Datin Raja Fatimah memutuskan untuk tidak terus melayan Syed Redza kerana dilihat anak bujangnya memang sedang marah. Sah! Memang dia cemburu.

Datin Raja Fatimah mula melangkah meninggalkan Syed Redza. Namun, baru sahaja beberapa langkah, langkahnya terhenti sebaik sahaja mendengar soalan anak bujangnya.

“Kenapa mama beritahu dia tentang Lisa?”, payah sekali untuk Syed Redza menyebut nama yang telah menyebabkan hidupnya terseksa begini.

Datin Raja Fatimah agak tersentak dengan soalan yang didengarnya itu. Bagaimana anak bujangnya boleh tahu? Adakah Zureen yang memberitahunya?

Datin Raja Fatimah terdiam seketika. Dia sedang berfikir jawapan yang terbaik untuk diberikan kepada anak bujangnya itu kerana semenjak Syed Redza sedar dari koma, sememangnya nama itu tidak pernah langsung disebut di dalam banglo ini. Tetapi kini, tiba-tiba Syed Redza yang menyebutnya.

“Kenapa mama diam? Jadi memang betullah mama yang beritahu budak perempuan tu tentang Lisa? Kenapa ma? Kenapa mama buat macam tu? Apa sebenarnya niat mama?”, soal Syed Redza bertubi-tubi kerana dia tidak menyangka hingga ke tahap itu mamanya mempercayai perempuan yang baru saja dikenalinya itu.

“Redza….dengar dulu cakap mama. Jangan tuduh mama secara melulu begitu.”

Datin Raja Fatimah menarik nafas dalam untuk mencari kekuatan. Kemudian disambung semula kata-katanya.

“Ya…memang betul mama yang ceritakan pada Zureen. Tujuan mama ceritakan kisah Redza pada Zureen sebenarnya untuk memudahkan Zureen merawat Redza..”

“Mudah untuk rawat Redza? Mudah untuk merawat atau mudah untuk dia mempermain-mainkan dan mengejek Redza??!!”, potong Redza geram.

“Redza…takkanlah Zureen nak mengejek Redza pulak dengan perkara sebegitu?”, soal Datin Raja Fatimah pelik. Tidak mungkin Zureen akan berbuat begitu.

“Itulah mama….tak habis-habis dengan sikap terlalu percaya dengan perempuan tu! Redza yang berhadapan dengan dia. Depan mama memanglah dia tunjuk baik tapi di belakang mama….hal peribadi Redza pun dia berani campur!”,balas Syed Redza yang semakin berang dengan sikap mamanya itu.

Benarkah Zureen begitu? Atau mungkin Syed Redza hanya mengada-adakan cerita kerana sememangnya dia sudah masak sangat dengan perangai anak bujangnya itu. Jika dia tidak sukakan seseorang, dia akan berusaha apa saja asalkan orang yang tidak disukainya itu hilang dari matanya.

Aku mesti bijak bertindak! Aku tidak boleh terlalu mendengar kata-kata Syed Redza walaupun dia adalah anakku sendiri. Aku juga tidak boleh terlalu mempercayai orang yang baru kukenali walaupun naluriku sangat mempercayainya. Aku akan mengambil jalan tengah untuk kebaikan kedua-duanya, bisik Datin Raja Fatimah.

“Oklah…mama mengaku mama salah. Mama minta maaf kerana mama tak sepatutnya beritahu Zureen tentang hal ini. Nanti mama akan tanyakan sendiri pada Zureen kenapa dia buat macam yang Redza ceritakan tadi. Sekarang ni, Redza rehat dulu. Jangan banyak sangat berfikir. Mama nak solat asar. Dah lewat sangat ni. mama pergi dulu ye…”, akhirnya Datin Raja Fatimah memutuskan untuk membiarkan Syed Redza bersendirian seketika. Mungkin dengan cara itu sahaja yang boleh mengurangkan perasaan marahnya itu.

Datin Raja Fatimah berlalu meninggalkan Syed Redza sendirian di biliknya.

Sebaik sahaja mamanya berlalu, hatinya meronta-ronta ingin tahu apakah yang dilakukan oleh Zureen dan lelaki itu. Apakah betul lelaki itu abangnya atau abang angkatnya atau mungkin juga kekasih hatinya!

Entah kenapa dia merasakan dirinya tercabar dengan tindakan Zureen itu.

Dia menolak perlahan kerusi rodanya di sepanjang balkoni sambil meninjau-ninjau di manakah Zureen dan lelaki itu berbual.

Akhirnya dia tersenyum setelah ternampak Zureen dan lelaki itu sedang berbual. Dia cuba mengintai dari atas balkoni. Kebetulan kedudukan tempat Zureen dan lelaki itu berbual dapat dilihat dengan jelas dari balkoni biliknya.

Walaupun dia tidak dapat mendengar butir bicara antara kedua-duanya, tetapi dia dapat melihat perlakuan kedua-dua mereka. Dia ingin melihat sejauh manakah kebenaran dakwaan Zureen bahawa lelaki itu adalah abangnya sendiri atau abang angkatnya sahaja.

Pada pengamatan Syed Redza, dari gaya perbualan kedua-dua mereka, memang jelas kelihatan ianya bukanlah perbualan antara seorang abang dan adiknya.

Syed Redza sendiri pelik kenapa dia beranggapan begitu, namun dia dapat merasakan bahawa lelaki itu memang bukan abang kandung Zureen atau juga bukan sebagai seorang abang angkatnya walaupun tingkah laku Zureen pula tidak menampakkan layanannya itu adalah suatu layanan untuk seseorang yang istimewa di hatinya.

Zureen dilihatnya kelihatan seperti sedang meluahkan perasaannya sementara lelaki itu pula khusyuk mendengar. Sesekali kelihatan lelaki itu berkata sesuatu kepada Zureen.

Nalurinya kuat mengatakan bahawa lelaki itu sebenarnya menyimpan perasaan pada Zureen. Dari cara renungan matanya, dari cara senyuman yang terukir di bibirnya sudah cukup untuk menggambarkan betapa dia menyukai wanita yang sedang duduk di hadapannya.

Entah kenapa, tiba-tiba sahaja hatinya rasa seperti dicucuk-cucuk sembilu.

Ya Allah….kenapa pulak aku rasa macam ni? Cemburukah aku? Kalau benar, tetapi kenapa pula aku harus cemburu? Dia bukan sesiapa padaku!

Tidak! Tak mungkin aku cemburu. Ini bukan perasaan cemburu tapi perasaan benci pada golongan yang telah menyebabkan hidup aku bercelaru begini!

*p/s: Thanks di atas kesudian anda membaca. Do leave a comments….tq




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

23 ulasan untuk “Novel : Mr. Secret Admirer 9”
  1. sya says:

    hhmm… mane satu agknye eh zureen pilih??

  2. Aliah Mohd Salleh says:

    Penat menanti apa jadi pada Zureen dan Syed Redza. Masih best. Tunggu sambungan.

  3. SHILA ALISH says:

    Thanks to sha & aliah….
    baca jgn x baca sambungannya ye…..kita tengok sape yg kena….

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"