Novel : Seiras 13

2 August 2012  
Kategori: Novel

1,636 bacaan 7 ulasan

Oleh : Wild Cherry

“ASSALAMUALAIKUM…” Adeeba memberi salam sebaik saja membuka pintu rumah. Sebelah kakinya sudah memijak lantai rumah.

“Waalaikumussalam…” jawab Datin Rosnah dan Dato’ Azhar serentak.

“Eh, papa dengan mama tak tidur lagi?” Adeeba terkejut melihat Dato’ Azhar dan Datin Rosnah di ruang tamu. Selalunya waktu begini kedua orang tuanya sudah masuk ke dalam bilik.

“Mata belum mengantuk lagi.” jawab Datin Rosnah.

“Kenapa tengok tv dalam gelap ni papa, mama?” Di sebalik pintu rumah yang terbuka sedikit itu, Adeeba membawa tangan kanannya ke belakang badan, memberi isyarat kepada Rania yang berada di luar rumah supaya tunggu sebentar.

“Tengok tv dalam gelaplah best. Romantik gitu dapat berkepit dengan mama…”

Jawapan Dato’ Azhar membuatkan Adeeba ketawa besar.

Rania yang mendengar dari luar juga terasa mahu gelak namun ditahan dengan tangan kanan yang dibawa ke mulut. Tangan kirinya yang sakit sejak semalam digoyang perlahan. Nasib baik dia masih dapat menahan rasa sakit ketika memandu tadi.

“Hesy, abang ni! Ada ke jawab macam tu dekat anak?” Datin Rosnah memukul manja bahu suaminya. “Tadi papa yang suruh mama tutup lampu sebab carak. Tu yang bergelap tu,” jelasnya.

“Apa lagi tercegat kat situ, masuklah.” kata Dato’ Azhar.

“Papa, mama… Deeba bawak kawan datang sekali ni.” Adeeba sudah tersengih membayangkan reaksi yang bakal Dato’ Azhar dan Datin Rosnah tunjukkan sebentar lagi. Jangan ada yang pengsan macam aku dulu sudahlah, bisik hatinya.

“Ooo, ada kawan datang rupanya. Mana dia?” Dato’ Azhar menegakkan duduknya.

“Ada kat luar.” Ibu jarinya diangkat lantas menunjuk ke arah luar.

“Laa… kenapa biarkan kawan kat luar? Panggillah dia masuk. Deeba tolong bukak lampu tu, mama nak ke dapur buat air.” Datin Rosnah bangkit mahu berlalu ke dapur.

Sebaik membuka suis lampu yang berada di sebelah pintu, Adeeba melapangkan bukaan pintu. “Jemput masuk, kak…” pelawanya.

Rania mula melangkah masuk “Assalamualaikum…” Dia memberi salam sambil melemparkan senyuman manis.

Terhenti langkah Datin Rosnah. Pantas dia berpusing. Matanya membulat, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

Begitu juga dengan Dato’ Azhar. Rancangan di televisyen sudah tidak dihiraukan. Apa yang lebih menarik perhatiannya kini, wajah gadis yang berdiri di sebelah Adeeba.

Rania gelisah melihat reaksi kedua orang tua Adeeba. “Mama dengan papa Deeba macam tak suka akak datang je. Akak rasa baik akak balik dululah,” bisik Rania ke telinga Adeeba.

“Eh, taklah kak. Mama dengan papa Deeba okey. Dia orang cuma terkejut je tu.” Adeeba pantas memegang lengan kanan Rania. Dia takut segala rancangannya musnah jika Rania meninggalkan rumah itu.

Rania mengerut dahi mendengar kata-kata Adeeba. “Kenapa pulak nak terkejut?”

“Mama, papa… ni junior plus roommate Deeba, Rania Hafiya.” Adeeba mula memperkenalkan tanpa mempedulikan soalan Rania. Nama Rania ditekankan sedikit agar dapat menyedarkan papa dan mamanya yang masih lagi mempamerkan riak terkejut.

“Eh, ajaklah kawan tu duduk,” kata Datin Rosnah sebaik saja hilang dari rasa terkejut. Dia duduk kembali di sebelah Dato’ Azhar, tidak jadi mahu ke dapur.

“Haah, ajaklah kawan tu duduk. Mesti penat dari tadi berdiri kat luar tu,” sampuk Dato’ Azhar pula.

Adeeba menarik tangan Rania lantas menyalami tangan mama dan papanya.

Rania turut menyalami tangan Datin Rosnah. Kemudian dia melabuhkan punggung di sebelah Adeeba yang sudah duduk di sofa berangkai dua.

“Siapa nama tadi?” tanya Dato’ Azhar.

“Rania…” jawab Rania sepatah.

“Erm… Rania duduk dulu ya, auntie nak ke dapur, buat air.” Datin Rosnah mula bangkit. Sempat dia membuat isyarat mata pada Adeeba agar mengikutnya ke dapur.

“Tak payah susah-susahlah auntie,” tolak Rania. Dia tidak mahu menyusahkan Datin Rosnah.

“Tak ada susah mana pun. Rania kan tetamu, kenalah layan. Lagipun ni pertama kali Rania datang rumah kami.” Datin Rosnah tersenyum.

“Kalau macam tu, biar saya tolong auntie ya?” Rania mahu bangkit.

Adeeba menahan tangan Rania. “Tak apa kak, biar Deeba je yang tolong mama. Akak duduk je.” Adeeba berlalu ke dapur bersama Datin Rosnah.

Rania bermain dengan jarinya. Di tinggalkan sendirian di ruang tamu bersama Dato’ Azhar membuatkn dia membisu. Dia tidak tahu apa yang ingin dibualkan.

“Erm… uncle nak ke toilet kejap ya.” Dato’ Azhar mula bersuara. Melihat anggukan Rania, dia berlalu ke dapur mendapatkan Datin Rosnah dan Adeeba yang berdiri di tepi sinki. Sengaja dia memberi alasan hendak ke tandas kerana mahu mendengar penjelasan anaknya. “Deeba, macam mana…”

“Kak Ran ke pa?” potong Adeeba. Dia dapat mengagak soalan Dato’ Azhar. Mamanya juga bertanyakan soalan yang sama sebentar tadi.

Dato’ Azhar mengangguk kepala.

“Deeba pun terkejut jugak masa pertama kali tengok muka Kak Ran. Sebijik sangat macam arwah Kak Manda. Tapi dia bukan arwah Kak Manda. Nak kata adik-beradik pun bukan sebab Abang Kif cakap adik-beradik arwah Kak Manda tiga orang je. Lagipun dekat dalam dunia ni memang wujud tujuh wajah yang serupa tapi bukan dari darah daging sendiri kan papa, mama?”

“Tapi kenapa Deeba bawak Rania ke sini? Kalau Abang Kif nampak nanti macam mana? Mesti dia fikir tu arwah Manda.” Datin Rosnah meluahkan kegusarannya.

“Sebab nak bagi Abang Kif nampaklah Deeba bawak Kak Ran datang sini.” Adeeba tersengih nakal.

“Maksud Deeba? Papa tak fahamlah.” Dato’ Azhar sudah mengerut dahi.

“Deeba nak Abang Kif bangkit balik lepas jumpa dengan Kak Ran. Lepas tu kita boleh suruh Kak Ran pujuk Abang Kif berubat. Abang Kif mesti dengar kata Kak Ran punya sebab muka Kak Ran kan seiras arwah Kak Manda,” cerita Adeeba sambil tersenyum.

“Rania tahu tak pasal plan Deeba ni?” Dato’ Azhar ingin tahu.

Adeeba menggeleng. “Dia tak tahu langsung.”

“Habis tu, macam mana Rania boleh ikut Deeba datang ke sini?” Datin Rosnah pelik.

“Tadi Deeba sakit perut, tu yang Kak Ran tolong drive kereta Deeba. Lepas tu Deeba pun ajaklah dia bermalam kat sini,” ceritanya lagi.

“Perut Deeba dah okey ke?” tanya Datin Rosnah risau.

“Okey sikit.” Adeeba segan mahu memberitahu punca sakit perutnya di hadapan Dato’ Azhar. “Mama dengan papa tak kisahkan kalau Kak Ran tidur sini?”

“Mama tak kisah kalau dia nak tidur sini tapi yang mama risaukan, mama takut kalau-kalau di terasa diri dia dipergunakan je,” Datin Rosnah mempamerkan wajah risau.

Dato’ Azhar mengangguk, bersetuju dengan isterinya.

“Tapi Deeba buat untuk kebaikan Abang Kif jugak.” Adeeba menundukkan wajahnya.

“Papa faham perasaan Deeba. Papa dengan mama pun nak tengok Abang Kif jadi macam dulu jugak tapi tindakan Deeba ni salah. Papa tak nak nanti Rania fikir Deeba tak ikhlas berkawan dengan dia.” Dato’ Azhar meletakkan tangan di atas kepala Adeeba.

Adeeba pantas mengangkat muka memandang papanya. “Tapi Deeba ikhlas berkawan dengan Kak Ran, pa.” Perlahan nada suaranya. “Deeba sedar yang Deeba ni terlalu pentingkan diri. Pertama kali tengok Kak Ran, Deeba dah anggap dia arwah Kak Manda. Muka dia dan suara dia mengingatkan Deeba pada Abang Kif. Masa tu, yang ada dalam fikiran Deeba hanya nak Abang Kif sembuh je. Tapi Deeba memang ikhlas berkawan dengan dia.”

“Okey, papa percaya yang Deeba ikhlas berkawan dengan dia tapi papa nak Deeba berterus-terang pasal plan Deeba tu pada Rania. Papa tak nak dia salah sangka pulak dengan Deeba.” Dato’ Azhar menepuk perlahan bahu Adeeba.

“Deeba tak tahu macam mana nak bagitau Kak Ran. Boleh tak kalau esok je Deeba bagitau Kak Ran?” Dia memohon simpati. Dia tidak kuat untuk berterus-terang.

“Tak boleh, sayang. Macam mana kalau Abang Kif dah ternampak Rania? Kalau Deeba cerita pasal Abang Kif kat Rania sekarang, mesti dia dah cukup bersedia bila berdepan dengan Abang Kif. Deeba dengar cakap mama dan papa. Deeba bagitau kat Rania ya?” Datin Rosnah memujuk.

“Baiklah, kejap lagi Deeba bagitau.” Dengan berat hati Adeeba bersetuju.

“Dato’, Datin, Deeba… buat apa kat dapur malam-malam ni?” tegur Mak Pah yang baru keluar dari biliknya yang berhampiran dapur.

Datin Rosnah, Dato’ Azhar dan Adeeba berpaling ke belakang.

“Eh, Kak Pah tak tidur lagi ke?” tanya Datin Rosnah tanpa menjawab pertanyaan Mak Pah.

Adeeba melangkah untuk mematikan dapur elektrik apabila melihat cerek sudah mengeluarkan asap.

“Saya dahaga. Tu yang saya ke dapur nak minum air. Datin, Dato’ dengan Deeba nak minum air ke? Biar saya je yang buat. Itu kan tugas saya.” Mak Pah mula merapati majikannya.

“Tak apalah Kak Pah, saya boleh buat sendiri. Kak Pah tolong potong puding karamel kat dalam peti ais tu ya,” pinta Datin Rosnah. Dia mula menuangkan serbuk teh ke dalam teko kaca, kemudian menyambut cerek panas yang dihulurkan Adeeba. “Deeba pergi susun cawan, letak atas dulang, lepas tu bawak karamel tu ke depan. Kesian pulak tinggalkan Rania sorang-sorang kat depan tu,” arah Datin Rosnah.

“Ada tetamu ke Datin?” tanya Mak Pah yang sibuk memotong karamel.

“Haah, kawan Deeba datang.” Datin Rosnah mengacau air teh O yang sudah diletak gula.

“Kalau macam tu, biar saya je yang bawak karamel ni ke depan. Deeba pergilah layan kawan,” kata Mak Pah.

Adeeba yang sudah selesai menyusun cawan ke dalam dulang, mula melangkah meninggalkan dapur.

“Deeba, jangan lupa bagitau Rania.” Dato’ Azhar mengingatkan.

Adeeba berpaling lantas mengangguk lemah. Kemudian dia meneruskan langkahnya ke ruang tamu.

“Kak Pah…” panggil Datin Rosnah.

“Ya, Datin?” Mak Pah mengangkat muka memandang isteri majikannya.

“Nanti kalau Kak Pah bawak karamel tu ke depan, jangan Kak Pah terkejut pulak tau.”

“Kenapa Datin? Ada yang tak kena ke dengan kawan Deeba tu? Kawan Deeba pakai baju tak cukup kain ke?” Mak Pah mula meneka.

“Tak ada apa-apa yang tak kena. Kawan Deeba tu okey, baik budaknya. Tapi muka dia jelah…” Datin Rosnah menggantungkan ayat.

“Kenapa dengan muka dia?” Mak Pah bertambah ingin tahu.

“Muka dia macam arwah Manda,” jawab Datin Rosnah perlahan.

Terlopong Mak Pah mendengarnya. “Betul ke Datin?”

“Betul…” Datin Rosnah mengangguk.

“Kalau macam tu, saya hantar karamel ni ke depan dululah.” Mak Pah pantas menghayun langkah ke ruang tamu, tidak sabar mahu melihat dengan matanya sendiri. Sampai saja di ruang tamu, tidak berkelip matanya melihat wajah yang ada di hadapannya. Dia meletakkan piring yang berisi karamel di meja kopi.

Rania yang dari tadi memicit perlahan pergelangan kirinya mula menghulur tangan untuk bersalam dengan Mak Pah.

“Anak ni kawan Deeba ya?” tanya Mak Pah setelah menyambut huluran tangan Rania.

“Ya, mak cik. Saya kawan sekolej Deeba.” Dia melemparkan senyuman manis.

Nampak sopan je budaknya, puji Mak Pah di dalam hati. “Nama anak apa?” Mak Pah cuba beramah.

“Nama saya Rania, mak cik,” jawabnya lembut.

“Tak payah panggil mak cik, panggil je Mak Pah. Mak Pah ni orang gaji kat sini,” ujar Mak Pah yang masih lagi berdiri di hadapan Rania.

Rania mengangguk kepala. “Mak Pah dah lama kerja kat sini?” Rania menyoal untuk menghilangkan rasa bosan yang menjengah ketika dia duduk berseorangan di ruang tamu.

“Dah lamalah jugak, sejak Kif…” kata-kata Mak Pah terhenti apabila Datin Rosnah dan Dato’ Azhar muncul semula di ruang tamu.

“Jemput minum, Rania.” Datin Rosnah meletakkan cawan yang berisi air teh O di hadapan Rania.

Rania mengangguk lantas mencapai cawan.

“Makanlah karamel tu. Mak Pah yang buat petang tadi,” pelawa Dato’ Azhar.

Perlahan-lahan Mak Pah melangkah mahu meninggalkan majikannya bersama tetamu.

“Kak Pah, mehlah minum sekali. Tadi kata dahaga, kan? Boleh sembang-sembang sekali dengan tetamu kita ni,” pelawa Datin Rosnah.
Mak Pah menghentikan langkahnya lantas berpusing kembali dan melabuhkan punggung di sofa dan mencapai cawan.

“Deeba mana?” tanya Datin Rosnah apabila tidak nampak kelibat anaknya.

“Dia ke atas sekejap, hantar beg,” jawab Rania. Sepotong karamel dicapai lalu dibawa ke mulut. Hmm… sedap! komennya dalam hati.

Setelah meletakkan beg sandang, Adeeba melangkah keluar dari biliknya. Langkahnya dibawa ke bilik Thakif yang terletak selang satu bilik dari biliknya. Perlahan-lahan pintu bilik itu dibuka dan dia mengintai ke dalam. Dia lihat Thakif sedang nyenyak tidur di atas katil. Dia merapati katil lantas menarik selimut hingga ke paras dada Thakif. Dia tersenyum melihat wajah Thakif melalui lampu tidur yang tidak ditutup. Wajah itu kelihatan tenang sekali.

“Deeba harap apa yang Deeba buat ni bakal merubah hidup abang,” bisiknya perlahan. “Tak sabarnya Deeba nak tunggu esok, nak kenalkan Abang Kif dengan Kak Ran. Agak-agak, apa reaksi abang eh bila tengok Kak Ran nanti? Mesti terkejut macam mama dan papa tadi, kan?” bisiknya lagi dengan suara perlahan sambil tersenyum. Kemudian dia mematikan lampu tidur dan berlalu keluar dari bilik abangnya.

“Family Rania duduk mana?” Dato’ Azhar cuba menyelidik latar belakang Rania.

“Family Kak Ran duduk kat Perak,” sampuk Adeeba yang baru turun. Dia melabuhkan punggung di sebelah Rania. Sepotong karamel diambil lalu disumbat ke mulut.

“Hesy, budak ni. Orang tanya Rania, dia pulak yang menjawab.” Datin Rosnah menjeling sedikit ke arah Adeeba yang sudah tersengih.

Rania turut tersenyum. “Haah, mak dengan abah saya ada kat Perak.” Dia mengeyakan kata-kata Adeeba.

“Rania ada berapa orang adik-beradik?” tanya Dato’ Azhar lagi.

Rania tidak sedap hati apabila soalan itu ditanya. Ya Allah, apa aku nak jawab ni? Perlu ke aku berterus-terang? bisik hatinya. Dia berasa gelisah. Dapat dirasakan tapak tangannya sedikit berpeluh. “Erk… empat orang, uncle…” jawabnya lambat-lambat. “Saya anak sulung,” sambungnya lagi.

Air teh O disisip lagi untuk mengurangkan gelojak perasaannya. Baginya, Dato’ Azhar dan Datin Rosnah tidak perlu tahu perihal dirinya yang dianggap oleh sesetengah orang kampung sebagai anak tidak sah taraf. Sudah puas emaknya menegaskan yang dia bukan anak tidak sah taraf tetapi orang kampung tetap juga dengan anggapan mereka. Apa yang boleh dia buat hanyalah bersabar. Dan berkat kesabarannya itu, orang kampung sudah kurang mengata tentang dirinya.

“Mak dengan abah Rania kerja apa?” tanya Datin Rosnah pula.

Rania meletakkan cawan di atas meja kopi. “Mak saya ambil upah menjahit dan tukang urut. Abah pulak kerja sendiri,” jawabnya merendah diri.

Datin Rosnah memandang Adeeba sambil mengisyaratkan agar Adeeba memberitahu tentang apa yang mereka bincangkan di dapur tadi.

Adeeba yang faham dengan isyarat mata mamanya, mengeluh perlahan. Dia memandang Rania di sebelahnya. “Tangan Kak Ran dah okey ke?” tanya Adeeba yang baru mengingati tentang tangan Rania yang sakit.

“Dah okey dah,” bohong Rania. Dia mencapai sepotong karamel lagi.

“Kenapa dengan tangan Rania?” tanya Mak Pah yang sedari tadi diam.

“Saya terjatuh semalam,” jawab Rania sambil tersenyum.

“Dah pergi hospital ke?” Datin Rosnah mempamerkan wajah risau.

“Kak Ran ni tak nak ma. Deeba nak bawak, dia tolak. Dia kata sikit je,” jawab Adeeba tanpa sempat Rania menjawab.

“Betul ke dah okey? Takut ada urat terputus je,” kata Dato’ Azhar pula.

“Betul, uncle… lagipun saya drive tadi okey je,” bohongnya lagi.

“Kalau macam tu tak apalah. Tapi kalau rasa sakit, cepat-cepat pergi jumpa doktor tau,” ujar Datin Rosnah penuh sifat keibuan.

Rania tersenyum lantas mengangguk.

Mak Pah merenung Rania. Bukan dia tidak perasan Rania memicit pergelangan tangan kiri ketika dia mahu menghantar karamel tadi. Budak ni, dah sakit pun mahu sorok, gumam hati Mak Pah.

Datin Rosnah menjeling kembali wajah Adeeba.

Kali ini Adeeba buat-buat tidak nampak jelingan mamanya. Dia berpura-pura menguap. “Deeba dah ngantuklah. Jom Kak Ran, kita naik bilik,” ajaknya sambil berdiri.

Hesy budak ni, sengaja nak mengelak! desis hati Datin Rosnah. Dia menggeleng kepala.

Rania mencapai cawan yang digunanya lantas berdiri mahu ke dapur.

“Eh, nak buat apa tu?” tanya Datin Rosnah.

Rania yang baru melangkah dua tapak, terhenti. “Erk… saya nak hantar cawan ni ke dapur,” ujarnya sambil memandang Datin Rosnah.

“Tak payahlah. Rania pergi naik atas. Cawan-cawan ni biar auntie je yang kemas,” Datin Rosnah mengambil cawan di tangan Rania dan diletakkan semula di meja kopi.

“Saya masuk tidur dulu ya uncle, auntie, Mak Pah,” pinta Rania sopan.

“Selamat malam mama, papa, Mak Pah…” ucap Adeeba lantas menarik tangan Rania agar mengikutnya naik ke atas.

“Abang tengoklah anak abang tu. Pandai nak mengelak!” ujar Datin Rosnah sedikit geram.

“Mungkin dia nak bagitau kat bilik kot,” teka Dato’ Azhar. “Kat bilik kan privacy sikit,” sambungnya lagi. “Dahlah, abang pun dah mengantuk ni. Abang pun nak naik atas dululah.” Dato’ Azhar bangkit meninggalkan isterinya dan Mak Pah.

Datin Rosnah meletakkan cawan-cawan ke dalam dulang.

“Datin rasa betul ke tangan Rania tu dah tak sakit?” Mak Pah memulakan perbualan.

“Betullah kot sebab tuan punya badan yang mengaku sendiri,” jawab Datin Rosnah tanpa memandang Mak Pah.

“Tapi tadi saya ada nampak dia picit-picit tangan dia.”

Tangan datin Rosnah yang memegang cawan milik Rania terhenti. Wajah Mak Pah dipandang. “Betul ke Kak Pah?”

“Betul, Datin… bila saya sampai je dia terus berhenti picit tangan.”

“Kejap lagi saya urutkan sikitlah tangan dia,” putus Datin Rosnah. Dia sudah mahu mengangkat dulang.

“Tak apa Datin, biar saya je yang basuh. Datin pergilah tengokkan Rania tu.” Mak Pah mengambil dulang di tangan Datin Rosnah lantas berlalu ke dapur.

*****

ADEEBA membuka pintu biliknya yang diketuk dari luar. “Eh, mama… masuklah,” pelawa Adeeba sambil melapangkan bukaan pintu bilik.

Datin Rosnah melangkah masuk lantas duduk di birai katil. “Rania mana?” tanyanya apabila tidak nampak kelibat Rania di dalam bilik itu.

Adeeba melabuhkan punggung di kerusi meja solek. “Kak Ran ada kat toilet, tukar baju,” jawabnya.

“Deeba dah bagitau Rania?” Datin Rosnah merenung Adeeba.

Adeeba menggeleng kepala.

Datin Rosnah mengeluh perlahan. Sudah tidak tahu mahu bercakap apa.

Pintu bilik mandi dibuka dan Rania keluar dengan memakai baju kelawar milik Adeeba. “Eh, auntie tak tidur lagi?” Rania melabuhkan punggung di sebelah Datin Rosnah apabila wanita itu menggamitnya agar duduk di sebelah.

“Auntie nak urut tangan Rania. Kata jatuh semalam, kan?” Datin Rosnah membuka penutup minyak angin.

“Eh, tak apalah auntie… dah tak sakit pun,” tolak Rania.

Terhenti perbuatan Datin Rosnah yang mahu menuang minyak ke tapak tangan. “Mana boleh. Jatuh ni tak boleh main-main tau. Buatnya ada urat yang putus ke, kamu jugak yang menanggung sakitnya. Mana satu tangan yang sakit tu?” Dia memandang kedua-dua belah tangan Rania.

Kerana tidak mahu menghampakan Datin Rosnah, Rania mengangkat tangan kirinya.

Datin Rosnah membelek tangan kiri Rania. “Dah bengkak sikit ni. Kalau tak cepat urut, masuk angin pulak nanti.” Datin Rosnah melumurkan minyak pada pergelangan tangan Rania dan mengurut perlahan.

Rania mengetap bibir menahan sakit. Dahinya turut berkerut. Kalau di rumahnya, pasti dia sudah menjerit meminta emaknya menghentikan urutan. Tetapi sekarang dia di rumah orang, takkanlah dia nak menjerit tengah-tengah malam macam ni. Nanti ada pula yang kata terdengar suara pontianak menjerit!

“Auuu!” Rania terjerit kecil apabila tidak dapat menahan sakit.

“Tahan sikit ya. Cuma terseliuh sikit je ni,” pujuk Datin Rosnah sambil mengurut dengan lebih kuat.

Rania mencengkam cadar. Terasa mahu tumpah air matanya ketika ini.

Adeeba yang sedari tadi memerhati, berasa kasihan melihat wajah Rania yang menahan sakit.

“Okey, dah siap. Tidurlah. Insya-Allah, nanti surutlah bengkak tu,” ujar Datin Rosnah sambil menutup botol minyak. Kemudian dia mula melangkah keluar dari bilik.

“Terima kasih, auntie,” ucap Rania.

Datin Rosnah tersenyum lantas menutup pintu bilik.

Adeeba menghampiri katil dan berbaring di sebelah Rania yang sudah berbaring. Selimut ditarik ke paras pinggang. “Sorry ya Kak Ran… Deeba langsung tak ingat yang tangan akak sakit and lepas tu suruh akak hantar Deeba balik pulak.” Dia memandang siling.

“Tak ada apa-apalah. Kereta Deeba kan jenis automatik, tak ada la rasa sakit sangat tangan akak masa drive tadi. Lagipun akak yang nak hantar Deeba balik tadi, kan? Lepas dah kena urut ni, tangan akak rasa macam dah okey sikit. Dah tak rasa sakit macam tadi.” Rania cuba menghilangkan rasa bersalah Adeeba. Perlahan-lahan dia memejamkan matanya.

“Kak Ran…” Meleret suara Adeeba.

“Hmm?” tanya Rania tanpa membuka mata.

“Tak ada apa-apalah. Nite…” Adeeba masih belum bersedia untuk bercerita. Dia memadam lampu tidur di sebelahnya dan mula memejamkan mata.

~BERSAMBUNG~




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

7 ulasan untuk “Novel : Seiras 13”
  1. icha says:

    best2,,,, nk lagiiiiiiii

  2. jannah says:

    wowowowo! best larrr~ mesti nanti kif seronok dgn kmunculan rania kan kan haha. can’t wait for the next en3 wieee >.<

  3. sara kirana says:

    alahai Deeba..wat terus terang kt Rania..
    mst tkejut Kif tngk Rania…
    susupennnyee..x sbr nk tau reaksi Kif.

  4. Diya says:

    alah Rania x jumpe kif lg… best larh.. x sabaq nk tau selanjutnya…. nape x upload kt blog cik penulis???

  5. hada says:

    ceptla wat sambunganye…tak sabar nk bace lgi..best3…..

  6. Icah, Jannah, Sara Kirana n Hada: thnks sudi baca… insya-Allah minggu depan ade sambungannye…

    Diya: WC saje xletak kat blog coz nak naikkan rating kat p2u ni sebab rating untuk cerita ni rendah… mungkin sebab tajuk dia biasa kot. BTW, thnks ya sudi baca…

  7. imane says:

    waaaa….esok mst kif t’kejut tgk rania…hope jgn jd mende len udahlah…sambung cpt2 noh…hehehe

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"