Novel : Mr. Secret Admirer 16,17,18

25 September 2012  
Kategori: Novel

14,826 bacaan 88 ulasan

Oleh : SHILA ALISH

BAB 16

Suasana tiba-tiba menjadi hening. Masa seolah-olah terhenti seketika. Renungan mata kedua-dua insan itu membuatkan lidah menjadi kelu. Begitu mengasyikkan!

Astaghfirullah! Zureen seperti baru tersedar . Spontan dia menolak badan Syed Redza. Namun, badan sasa Syed Redza langsung tidak berganjak walaupun Zureen berusaha menolaknya dengan kuat.

“Encik Redza….Encik Redza okey ke? Encik Redza tak apa-apa?”,soal Zureen cemas. Lebih tepat, dia cemas dengan kedudukan dan cara renungan Syed Redza ketika itu.

Syed Redza juga seperti baru tersedar. Dia cuba untuk bangun, namun kakinya yang tidak mampu berjalan menyebabkan badannya terasa berat dan amat susah untuk bergerak.

“So…sorry”, hanya itu yang mampu diungkapkan oleh Syed Redza bagi menutup gejolak hatinya. Dia masih berusaha untuk bangun, namun terasa amat payah. Dia mencuba pula untuk berganjak sedikit setelah menyedari amat sukar untuk membangunkan dirinya.

Zureen bingkas bangun setelah Syed Redza berjaya mengalihkan sedikit badannya. Dia menjarakkan sedikit badannya dari lelaki itu. Seperti tidak percaya akan apa yang telah dilauinya sebentar tadi. Biarpun insiden itu hanya beberapa saat, tapi kesan yang dirasakannya cukup mendalam. Namun, segera ditepisnya jauh apa yang dirasakannya itu.

Setelah perasaan aneh itu beransur hilang, Zureen segera mendapatkan Syed Redza semula. Dia berusaha membantu lelaki itu untuk bangun. Takkanlah hendak dibiarkan sahaja lelaki itu terduduk di situ. Dia segera mengambil kerusi roda dan mendudukkan lelaki itu.

“Saya rasa Encik Redza tak perlulah sambung sesi rawatan fisioterapi ni lagi. Cukuplah dulu untuk hari ni. Esok kita sambung lagi ye….”,Zureen memulakan bicara setelah keadaan kembali tenang. Lelaki itu diam sahaja. Setuju tidak membantah pun tidak.

Zureen menolak kerusi roda Syed Redza terus ke biliknya. Lelaki itu dilihatnya cukup letih. Mungkin kerana usahanya yang ‘gigih’ tak bertempat itu tadi.

Sesampainya di bilik Syed Redza, Zureen tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu. Adakah harus dibiarkan sahaja Syed Redza berehat di atas kerusi rodanya atau lelaki itu ingin berehat di atas katilnya. Zureen memberanikan dirinya untuk bertanya.

“Encik Redza berehatlah dulu. Saya tengok Encik Redza keletihan. Encik Redza nak berehat di balkoni saja atau nak baring di katil?”,soal Zureen yang masih merasa agak gemuruh.

“Aku nak tidur..”, jawabnya pendek antara dengar dengan tidak menandakan dia cukup keletihan.

Zureen terus sahaja menolak kerusi roda ke arah katil. Dipapahnya lelaki itu dan membantunya berbaring di atas katil. Mata lelaki itu dilihatnya terus terpejam rapat. Tidak tahu sama ada disebabkan dia terlalu mengantuk atau sememangnya dia mengelak dari terus memandang wajah jururawat peribadinya itu. Mungkin juga terlalu mengantuk disebabkan tidur lelaki itu tidak sempurna malam tadi dan tambahan pula kedegilannya melakukan rawatan fisioterapi sendirian.

Setelah mempastikan Syed Redza telah pun lena, Zureen segera keluar dari bilik lelaki itu. Biarlah dia berehat sepenuhnya, bisik Zureen.

Sebaik sahaja Zureen keluar dari bilik Syed Redza, lelaki itu kembali membuka matanya. Memang dia sangat letih tetapi entah kenapa matanya tidak mampu untuk terlelap biarpun seketika. Mungkin disebabkan otaknya yang ligat berfikir dan perasaan baru yang baru sahaja muncul di sudut hatinya.

Sesungguhnya dia amat takut dengan perasaan barunya itu. Terasa terlalu sukar untuk ditepis keluar. Semakin dia berusaha untuk menanam kebencian kepada gadis itu, semakin kuat pula perasaan suka datang mencengkam hatinya walaupun dia tahu tiada sebab untuk dia membenci gadis kecil molek itu.

“Ya Allah kenapa aku rasa macam ni?….”,rintihnya resah.

Syed Redza berusaha untuk melelapkan matanya dengan harapan sebaik sahaja dia bangun dari tidurnya, perasaan barunya itu akan hilang. Semakin dipaksanya untuk tidur, semakin bulat pula matanya. Akibatnya dia keletihan. Keletihan akibat peperangan diantara kehendak mata yang memang sangat mengantuk dan akal fikirannya yang memaksanya untuk terus berfikir.

Syed Redza terus sahaja mencapai ubat tidur yang memang sedia ada di dalam laci almari kecil sebelah katilnya. Tanpa berfikir panjang dia terus sahaja menelan dan meneguk air masak yang sudah sedia terhidang. Memang itulah yang kerap dilakukannya apabila fikirannya berkecamuk. Tidak sampai lima minit dia telah pun terlelap.

“Encik Redza dah solat?”, soal seorang gadis yang entah dari mana datangnya.

Angin sepoi-sepoi bahasa menyapa lembut wajah Syed Redza. Namun ia belum cukup untuk mendinginkan hatinya yang sedang kepanasan. Soalan gadis yang entah dari mana datangnya dibiarkan seperti angin lalu.

“Encik Redza dah solat ke?”, soal gadis itu lagi.

“Hei! Kau ni siapa? Apahal kau nak sibuk aku sembahyang ke tidak? Entah dari mana datang, berlagak nak jadi ustazah pulak?!”, jerkah Syed Redza akibat berang dengan soalan demi soalan yang ditanya gadis itu.

“Nafsu amarah hanya dapat dilenyapkan dengan solat yang penuh khusyuk dan tawadduk…”, balas gadis itu seperti tidak menghiraukan herdikan Syed Redza.

“Aah…ye…memang nafsu aku akan tambah marah dan menggila bila tengok kau ni! Kau nak kena ke?…”, balas Syed Redza sengaja untuk mengejek kata-kata gadis itu.

Sudahlah kepala aku berserabut macam nak pecah, dia datang nak buat lawak bodoh kat sini pulak! Getus Syed Redza geram.

“Ingat pada seseorang , dia mungkin tak ingat pada kita. Ingat pada Allah, DIA akan merahmati kita….Insyallah”, gadis itu terus berkata-kata.

“Apa yang kau tahu fasal aku? Soal aku nak ingat pada sesiapa itu hak aku urusan aku dan kau tak ada hak nak halang-halang aku….”, bentak Syed Redza. Hatinya semakin panas apabila gadis itu seolah-olah tidak mempedulikan langsung amarannya tadi.

Di kala itu hatinya sedang merintih mengenangkan perbuatan tunangnya, Lisa. Kenapa dia buat aku macam ni? Selama ini Syed Redza meletakkan diri gadis itu di suatu tempat yang amat istimewa dalam hatinya, tetapi inikah balasannya?

Sampai hati kau Lisa! Keluh Syed Redza.

“Kadang-kadang yang terindah bukanlah yang terbaik….yang kelihatan sempurna tak menjanjikan bahagia. Namun, jika kita dapat terima sesuatu kekurangan itu menjadi kelebihan, itulah yang dikatakan kesempurnaan yang sebenar”, gadis itu bersuara lagi.

Syed Redza pelik dengan kehadiran gadis itu yang secara tiba-tiba. Tambah memelikkan apabila gadis itu seolah-olah boleh membaca apa yang ada di fikirannya.

“Pandailah kau bercakap! Bercakap memang senang. Kau boleh ke terima kekurangan aku ni? Boleh ke gadis macam kau ni terima lelaki yang dah tak sempurna macam aku kalau kau disuruh? Boleh kau tukar pandangan kau bila tengok keadaan aku ni dari seorang lelaki yang cacat dan tak sempurna kepada seorang Mr. Perfect? Boleh??…”, soal Syed Redza untuk menduga gadis itu.

Gadis itu tidak menjawab sebaliknya terus tersenyum memandangnya dengan tenang. Syed Redza terus melontarkan kemarahannya kepada gadis itu apabila dilihatnya gadis itu langsung tidak menjawab soalan yang diutarakannya itu tadi.

“Orang macam kau ni memang bersepah kat luar sana. Kononnya datang nak bagi nasihat percuma pada orang yang malang macam aku ni. Kenapa aku yang ditimpa nasib malang sebegini? Kenapa tak orang-orang yang pandai bercakap macam kau ni aje yang ditimpa musibah macam aku? Masa tu aku nak tengok boleh tak kau bercakap macam ni kalau kau yang kena musibah tu?”, luah Syed Redza geram.

Gadis itu tersenyum lagi. Dia diam seketika. Kemudian bersuara.

“Akan ada suatu ketika kita akan rebah di bumi. Ketika itu, hanya Allah yang tahu apa yang kita rasa. Kita mencari penyelesaian di sana sini. Namun, semuanya menghampakan. Kita hampir-hampir putus asa dan ketika kita tersedar, inilah teguran dari Sang pencipta. Saat itulah juga kita akan kembali mendekati diri padaNYA kerana Allah menegur tanda DIA rindu dan Allah menguji tanda DIA sayang….”,ucap gadis itu dengan tenang.

Api kemarahan yang sedang menyala marak di dalam dirinya tiba-tiba sahaja bertukar menjadi salji yang turun membasahi bumi. Amarah yang menggunung tadi luruh bagaikan daun-daun kering yang terbang berterbangan ditiup angin.

Satu perasaan aneh menyelinap masuk menyusuri setiap aliran darah di dalam badannya dan bersatu menjadi satu. Seperti jantung yang mengepam darah ke seluruh tubuh badan manusia, perasaan aneh itu juga seolah-olah dipam bersama darah ke suluruh anggota tubuh badannya.

Tiba-tiba sahaja, Syed Redza merasakan dirinya begitu kerdil. Terasa indah sekali bait-bait akhir yang terungkap dari bibir gadis itu.

Dia hanyalah seorang gadis yang entah dari mana datangnya dan tiba-tiba sahaja telah membuatkan dirinya begitu insaf tanpa melakukan apa-apa sebaliknya hanya melalui kata-katanya. Siapakah dia? Kenapa aku seperti mengenalinya?

Baru sahaja syed Redza ingin bertanya, tiba-tiba sahaja gadis itu ghaib hilang bersama angin yang datang menderu. Syed Redza cuba mengejar hingga dia terlupa keadaan dirinya yang tidak mampu berjalan sendiri dan akibatnya dia terjatuh dari kerusi rodanya.

“Astaghfirullah…..Ya Allah, aku bermimpi rupa-rupanya!”, bisik Syed Redza yang baru tersedar di tepi katilnya. Rasa sakit akibat terjatuh dari katil tidak dirasai akibat terlalu memikirkan maksud mimpinya itu.

Apa yang pasti, mimpi di siang hari yang baru dialaminya itu benar-benar menginsafkan dirinya dan tambah membingungkan kenapa hatinya kuat mengatakan gadis di dalam mimpinya itu adalah ZUREEN…..

BAB 17

Zureen termenung di tepi tingkap di biliknya. Hatinya masih resah apabila memikirkan insiden sebentar tadi. Fikirannya semakin berkecamuk teringatkan insiden yang amat memalukan dirinya apabila Syed Redza telah melihatnya berenang tanpa bertudung dan ditambah pula dengan satu lagi insiden yang tidak kurang juga memalukan sebentar tadi.

Masih teringat-ingat akan cara Syed Redza merenungnya tadi. Sukar untuk ditafsirkan makna renungan itu. Apa yang pasti, hatinya juga agak terusik dengan renungan lelaki itu tadi. Namun, segera ditepis perasaannya itu. Mungkin itu hanya perasannya sahaja.

Baru sahaja dua hari menjalankan tugas sebagai jururawat kepada seorang lelaki yang amat sukar untuk dijangka tingkah lakunya, tetapi pelbagai insiden yang telah dilalui bersama lelaki itu. Sangkanya tugas sebagai jururawat peribadi ini mudah, tetapi rupa-rupanya lebih mencabar berbanding menjadi jururawat di klinik atau di hospital. Apatah lagi mendapat pesakit seperti Syed Redza. Rasa-rasanya lebih mudah untuk menjaga pesakit satu hospital berbanding menjaga pesakit yang seorang ini.

Tiba-tiba sahaja senyuman terukir di bibir Zureen apabila dia teringatkan fikirannya sewaktu kali pertama diperkenalkan kepada Syed Redza oleh Datin Raja Fatimah. Tidak dapat dinafikan, dia memang rasa agak teruja apabila mendapat pesakit yang sehandsome Syed Redza, tetapi rupa-rupanya wajah yang kacak itu tidak mampu menutup sikap pelik lelaki itu.

Sekali pandang, wajah dan personaliti lelaki itu ada iras-iras dengan pelakon Hans Isaac. Bezanya kulit lelaki itu lebih cerah dan kemerah-merahan jika dibandingkan dengan warna kulit Hans Isaac. Itu pun berdasarkan pemerhatiannya di majalah atau di kaca TV. Tidak pernah pula dia melihat Hans Isaac secara live. Mungkin mewarisi darah keturunan Arab-Pakistan dari sebelah ayahnya. Rasa-rasanya dia pasti lebih kacak lagi sekiranya semua jambang yang berserabut di wajahnya dicukur bersih. Rambut yang bergulung-gulung dipotong kemas. Kalaulah mendandan dan merapikan wajah kacak lelaki itu juga termasuk dalam bidang tugasnya, sudah pasti itu yang pertama dilakukannya. Barulah sedap mata memandang biarpun hati sakit melayan perangainya!

“Hmmm….ingatkan dapat pesakit handsome dapatlah sejukkan sikit hati aku, rupa-rupanya, makin sakit jiwa aku adalah…..”,desis Zureen sambil tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya.

Tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu, menyebabkan Zureen kebosanan. Hendak bersiar-siar di luar banglo, rasa-rasanya tidak sesuai. Dengan cuaca panas terik di luar, ditambah pula dirinya yang lengkap beruniform, mahu lencun bajunya dek peluh.

Tiba-tiba Zureen terasa hendak bersembang dengan kak Siti.

“Hmm…daripada aku fikir yang bukan-bukan, baik aku berborak dengan kak Siti. Taklah bosan sangat…”,putus Zureen sambil terus melangkah keluar dari biliknya dan terus menuju ke dapur.

Sesampainya di dapur, pembantu rumah Indonesia itu sedang sibuk menyediakan hidangan tengahari.

Tak ada kerja lain ke kak Siti ni? Asal aku nampak muka dia, mesti tengah masak. Masak…masak…masak! Omel Zureen dalam hati.

Hishh!! Dah nama pun pembantu rumah. Apa lagi dia nak buat? Takkan nak suruh dia cat walk macam model pulak! Akhirnya Zureen tersenyum dengan fikirannya sendiri. Inilah akibatnya kalau kebosanan. Fikiran pun merapu. Entah apa-apa yang difikirkannya.

“Kak Siti masak apa tu?”,soal Zureen sebaik sahaja dia memasuki ruang dapur.

Ternyata pembantu rumah itu sangat terkejut. Hampir terlepas senduk di tangannya.

“Astaghfirullah….waduh Embak Zureen. Kaget dong saya! Kok enggak beri salam duluan? Hampir saja kepala embak Zureen dikatuk sama centong saya ini”,balas kak Siti sambil tangannya mengurut-urut dadanya. Memang dia kelihatan sangat terperanjat.

Zureen ketawa gelihati mendengar bebelan wanita itu.

“Oooppss…sorry…sorry..kak Siti. Zureen tak sengaja. Sedap sangat bau masakan kak Siti ni sampai saya terlupa nak beri salam. Maaf ye…”,jawab Zureen terkekeh-kekeh.

Hmm…nasib baik senduk ni tak sampai kat kepala aku. Kalau tak, mahu benjol dibuatnya!

“Apa embak Zureen udah mau makan? Saya kok belum siap masak lagi…”,soal wanita itu cemas.

“Eh, tak…tak…Zureen datang sini bukan sebab nak makan. Perut Zureen kenyang lagilah. Sarapan tadi Zureen makan banyak…”

“Loh! Jadi ngapain embak Zureen ke sini?”, soal wanita itu pelik.

“Takde apa-apalah kak Siti. Janganlah cemas sangat. Takkanlah saya nak masuk dapur pun tak boleh….”,balas Zureen sedikit berkecil hati dengan kata-kata pembantu rumah itu.

“Jangan salah faham dong embak Zureen. Embak Zureen bisa aja ke sini. Cuma sekarang kan embak Zureen lagi merawat mas Redza….”

“Encik Redza tengah tidur. Saya bosan tak ada apa-apa nak buat sekarang. Sebab tu saya ke dapur. Saja nak borak-borak dengan kak Siti. Tak boleh ke?”

“Oooo begitu ya? Ya bisa aja kalau embak Zureen mau ngobrol…”,balas wanita itu lega.

Aduhai! Pekat betullah loghat indon kak Siti ni!

“Kak Siti masak apa tu? Sedapnya bau..”, Zureen memulakan sesi ‘ngobrol’.

“Saya masak ayam lemak cili api…”

“Hmm…sedapnya kak Siti. Ini masakan Indonesia ke?”

“Enggak. Masakan embak Zureen enggak tau. Ayam masak cili api inikan masakannya orang Malaysia. Apa tu namanya? Waduh, kok lupa…oh, ya..ya…masakan orang Negeri Sembilan….”

Sebenarnya Zureen bukannya tidak tahu bahawa masakan itu memang terkenal di kalangan orang ‘nogori’, tapi disebabkan kecekapan wanita itu ketika memasaknya, sehingga dia menyangkakan di Indonesia juga ada masakan seperti itu.

“Tapi cara kak Siti masak macam dah expert…err…maksud Zureen sangat cekap. Sebab tu Zureen sangkakan di Indonesia juga ada lauk macam ni….”

“Datin yang ngajarin saya sebabnya masakan ini adalah kegemaran datuk dan mas Redza. Saya udah kerja sama datin lebih lima tahun. Bukan masakan ini aja, malah banyak lagi masakan orang Malaysia yang saya udah bisa masak…”,terangnya dengan bangga.

Mendengar nama Dato’ dan Syed Redza disebut, terasa pula hendak mengorek maklumat dari wanita itu memandangkan dia sudah berkhidmat di sini lebih lima tahun, sudah pasti dia sudah masak benar dengan perangai penghuni-penghuni di banglo mewah itu.

“Macam mana sikap Dato’? Dia ok tak?”

“Embak Zureen mau tahu ya? Kalau embak Zureen mau tau, saya udah bekerja banyak tempat tetapi di sinilah saya bekerja paling lama. Mau tau sebabnya? Sebab datuk, datin dan mas Redza begitu baik sekali…”

Baik? Kalau Datin Raja Fatimah tu memang aku dah pasti baik. Dato’ pulak aku tak pernah jumpa lagi tapi mungkin baik juga seperti isterinya tapi…..kalau manusia seorang tu kak Siti kata baik, susah sikit aku nak percaya. Betul ke dia baik? Omel Zureen di dalam hatinya.

“Datuk orangnya enggak cerewet. Baik sekali. Sama seperti datin. Cuma wajahnya agak serius. Mula-mula kerja dulu, saya kok takut banget sama datuk sebab wajahnya yang serius, tapi rupa-rupanya orangnya cukup lucu sekali…”, sambung kak Siti dah terlebih excited.

“Lucu?”

“Ya…maksud saya datuk suka berjenaka….”

“Oooo…..”

“Encik Redza pulak macam mana? Dia baik juga ke?”, soal Zureen sengaja untuk mengetahui perangai sebenar lelaki itu kerana seingat-ingatnya Syed Redza belum pernah lagi melayannya baik.

Kak Siti diam seketika. Zureen jadi suspen dengan reaksi wanita itu.

“Dahulu memang mas Redza sangat ceria orangnya. Dia sama seperti datuk. Suka berjenaka. Biarpun wajahnya cukup ganteng, saya enggak pernah lihat mana-mana cewek yang dibawanya pulang. Cuma seorang saja. Apa namanya….”,kak Siti menggaru-garu kepalanya. Mungkin sedang cuba mengingati nama ‘cewek’ yang dimaksudkannya itu.

“Lisa….”,potong Zureen.

“Loh! Kok embak Zureen bisa tau?”, soalnya pelik.

“Datin pernah beritahu saya…”

“Oh ya?”

Kak Siti diam lagi. Kemudian dia menyambung.

“Semenjak mas Redza kemalangan, terus aja sikapnya berubah. Enggak seperti dulu lagi….”,sambung kak Siti sayu.

“Kak Siti tahu ke macam mana Encik Redza boleh kemalangan?”

“Saya pun enggak pasti tapi katanya sebab hubungan mas Redza sama ceweknya itu berantakan….terus mas Redza kemalangan…”, cerita kak Siti bersungguh-sungguh.

Hmmm…nampaknya versi cerita kak Siti dan Datin Raja Fatimah memang ada persamaan. Maknanya memang benarlah cerita datin. Bukanlah niat Zureen untuk meragui cerita Datin Raja Fatimah, tetapi dia inginkan kepastian kerana mungkin ada perkara yang tidak disampaikan sepenuhnya kepada dirinya.

“Macam mana pulak dengan jururawat-jururawat yang lepas? Kenapa mereka berhenti?”

“Waduh, embak Zureen. Bagaimana mereka bisa tahan jika mas Redza terus-terusan memarahi mereka….kasihan banget saya sama mereka. Mereka langsung nangis bila dimarahin sama mas Redza….”

Sadisnya aku dengar cerita kak Siti ni, bisik Zureen.

“Embak Zureen pula bagaimana? Apa mas Redza enggak marah-marah sama embak Zureen?”

“Hmmm….bukan marah aje kak Siti, dah macam-macam dia buat pada saya…”

“Loh! Kok embak Zureen bisa tahan?”

“Dah itu kerja saya…kenalah saya banyak-banyak bersabar…”

Zureen tiba-tiba melihat kak Siti tersenyum sendiri. Entah apa pula maksud senyuman wanita itu. Rasa-rasanya dia tidak buat apa-apa lawak pun!

“Hah, kenapa pulak kak Siti senyum-senyum ni? Apa yang lucu? Saya tak buat apa-apa lawak pun?”, soal Zureen pelik.

“Enggak ada apa-apa kok…saya cuma terfikir. Udah tentu marahnya mas Redza pada embak Zureen enggak sama seperti dia marahin mereka dulu. Embak Zureen kan cantik banget….”, jawab kak Siti tersengih-sengih.

“Hishh….ke situ pulak kak Siti ni. Kak Siti tak tahu saya lagi teruk kena marah dengan dia tau tapi datin minta saya bersabar dan sebab datinlah saya masih di sini. Kalau tak, saya pun dah berhenti macam jururawat-jururawat yang dulu….”

Wanita itu ketawa lagi. Dia seolah-olah tidak mempercayai kata-kata Zureen.

“Apa embak Zureen enggak terpikat sama wajah ganteng mas Redza?”

Sah! Memang wanita ini sudah mula nak mengarut. Patutlah tersengih-sengih macam kerang busuk.

“Kak Siti, saya datang sini untuk bekerja…bukannya untuk memikat Encik Redza..”, jawab Zureen acuh tak acuh kerana malas hendak melayan wanita itu yang sudah mula mengusik Zureen.

“Waduh embak Zureen…saya sendiri bisa terpikat sama wajah ganteng mas Redza…masakan embak Zureen enggak terpikat? Atau embak Zureen udah ada pacar?”

Hishh!! Makin dilayan makin galak pulak perempuan ni!

“Pacar? Saya muda lagilah kak Siti. Malaslah nak berpacar-pacaran….menyusahkan aje. Nanti, sikit-sikit nak cemburu, sikit-sikit nak control…lebih baik saya single macam ni. nak buat apa-apa pun takde siapa yang nak marah. Bebas. Betul tak kak Siti??”, giliran Zureen pula mengusik wanita itu.

“Apa benar embak Zureen belum ada pacar? Lalu, cowok yang datang semalam itu siapa?”

“Siapa? Oooo yang semalam tu ke? Itu bukan pacar saya tapi abang saya….”

“Kakak?”

“Abanglah…apa pulak kakak? Kakak tu kalau perempuan?”

“Di Indonesia, kakak itu maksudnya abang…”

“Oooo…”

“Kalau benar cowok itu kakaknya mas Zureen, tapi kok kelihatannya enggak seperti seorang kakak? Mesra banget!”

Amboi! Lasernya mulut kak Siti ni. Dia pun pandai nak meragui aku. Dah macam Syed Redza juga.

“Betullah kak Siti. Yang datang semalam tu memang abang saya…”, Zureen malas untuk menceritakan siapa sebenar Haziq dengannya. Nanti panjang pula ceritanya.

“Waduh! Kakaknya embak Zureen itu juga ganteng!”

Boleh tahan juga perempuan ni.

“Ah, kak Siti ni…itu ganteng…ini ganteng…saya yang genting mendengarnya…”

“Genting? Genting itu apa?”, soalnya bodoh.

“Takde apa-apalah kak Siti. Genting tu tempat peranginan terkenal di Malaysia. Nama tempat tu Genting Highland….”, balas Zureen terkekeh-kekeh ketawa. Apatah lagi melihat wajah blur kak Siti.

“Kok ke situ jadinya?”,balas pembantu rumah itu masih terus blur sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Oklah kak Siti. Saya nak naik atas dulu. Sekejap lagi dah nak solat zuhur. Saya nak rehat sekejap sebelum Encik Redza yang ‘ganteng’ itu bangun…..”, sambil berlalu meninggalkan kak Siti, Zureen mencucuk pinggang wanita itu. Apa lagi, melatahlah wanita itu. Hmmm…dah melatah pulak! Memang pakej kak Siti ni cukup lengkap.

BAB 18

Sungguh pantas masa berlalu. Pejam celik pejam celik, tanpa disedari sudah hampir seminggu Zureen bertugas di banglo mewah itu. Pelbagai kerenah lelaki itu yang terpaksa dihadapinya. Semuanya diatasi dengan penuh kesabaran dan profesional. Satu perkara yang tidak dapat Zureen nafikan, sememangnya sikap Syed Redza ada sedikit perubahan. Dia lebih banyak akur dari membantah segala arahan Zureen. Walaupun, masih ada kata-kata kesat dan kasar, tetapi semua seperti sudah menjadi alunan irama di telinga Zureen.

Pagi itu hatinya lebih riang dari biasa. Apataknya, hari ini hari Sabtu dan Zureen hanya akan bekerja separuh hari. Selepas itu, dia akan pulang ke rumahnya. Inilah kali pertama dia akan pulang ke rumah semenjak menjadi seorang jururawat peribadi. Biarpun baru seminggu, tetapi perasaan rindu terhadap umi, baba dan paling utama biliknya tidak dapat dibendung lagi. Walaupun hanya cuti satu hari setengah, tapi bagi Zureen itu sudah cukup menggembirakan hatinya.

Pagi-pagi lagi, Haziq sudah menelefonnya. Haziq yang akan menjemputnya. Walaupun Zureen menolak, Haziq tetap berkeras hendak menjemputnya. Malas untuk berbalah, akhirnya Zureen terpaksa akur. Biarlah kalau Haziq yang ingin menjemputnya kerana dia terasa segan pula apabila Datin Raja Fatimah menyuruh pemandunya menghantar Zureen pulang. Terasa macam ‘mem’ besar pula bila driver yang menghantarnya.

Zureen menjalankan rutin hariannya seperti biasa. Dia perlu menyiapkan tugasnya sebelum jam satu petang kerana menurut Haziq tepat jam satu dia akan menunggu di hadapan banglo mewah itu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu abang angkatnya itu menunggu terlalu lama di luar kerana dia tidak mahu Datin Raja Fatimah akan menyuruh abang angkatnya masuk ke banglo itu. Bimbang jika terjadi lagi insiden yang tidak diingini diantara Syed Redza dan abang angkatnya lagi.

Tugas terakhir Zureen sebelum pulang adalah menghantar hidangan makan tengahari kepada Syed Redza. Memang hari ini dia sengaja menghantar hidangan itu awal supaya dia dapat terus pulang jam satu petang nanti. Lebih kurang jam 12.30 tengahari, hidangan sudah siap terhidang di atas meja di balkoni bilik Syed Redza. Memang di situlah tempat dia makan.

Zureen terus sahaja menyorong kerusi roda Syed Redza ke balkoni. Memang sudah menjadi rutinnya untuk menunggu Syed Redza makan sehinggalah lelaki itu selesai makan. Hatinya agak resah apabila lelaki itu lambat untuk makan. Beberapa kali dia menjeling jam tangannya. Bukanlah dia berkira soal masa tetapi sebenarnya apa yang amat membimbangkannya jika abang angkatnya dipelawa masuk setelah dirinya dilihat menunggu di luar pagar banglo mewah itu.

“Kenapa awal sangat makan hari ni?”, soal Syed Redza pelik.

Syed Redza dapat menghidu keresahan Zureen apabila gadis itu asyik mencuri pandang jam di tangannya.

Zureen agak serba salah untuk menjawab soalan lelaki itu kerana dia bimbang sesi soal jawab yang tidak berkesudahan akan semakin melambatkan dirinya.

“Aku tanya, kenapa makan awal sangat? Yang kau ni asyik tengok jam tangan kau ni kenapa?”, soal Syed Redza lagi tetapi kali ini nada suaranya agak keras. Memang menjadi pantang lelaki itu apabila soalannya tidak dijawab.

Aduh! Macam mana nak jawab ni? Dia tak tahu ke yang hari ni aku kerja setengah hari aje?

“Err…sebenarnya hari ni saya cuma bertugas setengah hari. Sekejap lagi saya nak balik ke kampung saya….”, jawab Zureen agak gugup. Di dalam hatinya berdoa agar isu ini tidak dipanjangkan oleh Syed Redza lagi.

“Kerja setengah hari? Balik kampung? Apa kau ingat kau kerja pejabat ke? Ada pulak setengah-setengah hari….”, soal Syed Redza tidak berpuas hati.

“Datin tak beritahu Encik Redza ke? Memang itulah yang datin beritahu saya masa mula-mula saya nak bekerja dulu…”, balas Zureen lembut masih cuba mengawal nada suaranya.

“Itu semua aku tak mahu tahu. Aku tahu tugas kau di sini adalah sebagai jururawat peribadi aku. Ini bermakna kau mesti ada 24 jam di rumah ini. Bila-bila masa saja aku perlukan kau, kau mesti datang. Faham?”

Ya Allah dia dah mula lagi dah! Macam mana aku nak balik ni?

“Encik Redza…saya di sini adalah sebagai seorang pekerja. Tak kiralah apa pun jawatannya. Bila sudah bergelar pekerja, mestilah ada time rehatnya, time cutinya sebab yang bekerja ni bukanlah robot tetapi manusia. Encik Redza pun pernah bekerja kan? Apa Encik Redza tak pernah ambil cuti ke?”, nada suara Zureen sudah mula bergetar. Zureen menjeling lagi jam tangannya. Aduh! Dah pukul 12.50 tengahari.

“Aku tak izinkan kau pergi mana-mana. Hari ni kau mesti temankan aku!”,tegas Syed Redza.

“Apa Encik Redza ingat saya ni orang suruhan atau perempuan simpanan Encik Redza? Ingin saya tegaskan sekali lagi, saya di sini adalah sebagai jururwat peribadi yang bertanggungjawab tentang kesihatan Encik Redza dan bukannya menjadi penunggu setia Encik Redza. Come onlah Encik Redza. Cubalah jadi matang. Saya rasa bukan Encik Redza tak tahu tapi sengaja tak mahu tahu kan? Kenapa Encik Redza tak habis-habis mendera perasaan saya. Saya dah letihlah nak melayan perangai budak-budak Encik Redza ni”, luah Zureen dengan nada yang agak tinggi. Sememangnya kesabarannya selama ini telah sampai ke kemuncaknya.

Syed Redza terdiam seketika. Tidak pernah dia melihat gadis itu marah sehingga begitu sekali.

“Now you tell me why did you do this to me all this while? Apa salah saya? Adakah perkhidmatan saya masih tidak cukup baik untuk Encik Redza lagi? Cakaplah! Kenapa Encik Redza diam?”,Zureen separuh menjerit. Mujur dia masih boleh mengawal dirinya. Jika tidak memang dia akan menjerit sekuat hatinya bagi melepaskan geramnya.

“Kau nak tahu kenapa?”, soal Syed Redza perlahan. Kali ini suaranya agak tenang.

“Ye…beritahu saya sekarang kenapa….”

“Sebab aku dah mula sukakan kau…”,balas Syed Redza sambil merenung tepat wajah Zureen yang tiba-tiba sahaja menjadi pucat.

“Apa Encik Redza cakap?”,soal Zureen gementar.

“Aku rasa telinga kau belum pekak lagi. Suara aku cukup kuat untuk kau dengar apa yang aku cakapkan tadi”

Zureen terdiam seribu bahasa. Lidah menjadi kelu. Ungkapan Syed Redza itu benar-benar memeranjatkannya. Perkara yang cuba dihindari sejak dari awal lagi, akhirnya berlaku juga.

Tiba-tiba sahaja pintu bilik Syed Redza dikuak. Kelihatan Datin Raja Fatimah berjalan masuk ke dalam bilik anak terunanya.

“Zureen dah siap? Abang Zureen dah sampai tu. Dia ada kat bawah tunggu Zureen”, soal Datin Raja Fatimah.

Soalan Datin Raja Fatimah membuat Zureen hampir pengsan. Kejutan dari Syed Redza belum habis lagi. Kini Datin Raja Fatimah pula memberikan satu lagi kejutan. Mujur dia tak ada penyakit jantung. Kalau tidak rasanya dia sudah keras di situ.

“Redza tak makan lagi ke?”, soal Datin Raja Fatimah apabila melihat hidangan tengahari belum lagi terusik.

Kehadiran Datin Fatimah yang secara tiba-tiba itu telah menjadi penyelamat untuk Zureen. Sudah pasti Datin Raja Fatimah tidak menyedari pergeseran yang sedang berlaku.

Melihatkan Zureen yang dalam keadaan serba salah, Datin Raja Fatimah bersuara lagi.

“It’s ok Zureen. Zureen boleh balik sekarang. Kesian abang Zureen dah tunggu lama kat bawah tu. Lagi satu, jangan suruh abang Zureen tunggu kat luar pagar. Suruh dia tunggu di dalam. Nasib baik Siti nampak tadi. Auntie tak tahu pulak yang abang Zureen nak datang jemput Zureen. Lain kali tak payahlah menyusahkan abang Zureen. Pak Din kan ada. Dia boleh tolong hantar Zureen balik. Bukan jauh sangat pun rumah Zureen tu…”,Datin Raja Fatimah terus bercakap tanpa menyedari wajah anak terunanya yang semakin kelat dan Zureen yang semakin tidak keruan.

Apa yang dibimbangkan Zureen akhirnya berlaku juga. Apabila mendengar abang angkatnya sudah berada di bawah, bermakna apa yang sangat dibimbanginya pasti akan berlaku. Apatah lagi apabila melihat Syed Redza merenungnya dengan sangat tajam seolah-olah sedang memberi amaran kepadanya.

“Eh, kenapa ni Zureen? Kenapa muka pucat ni?”, Datin Raja Fatimah bertanya pelik melihat reaksi Zureen. Serentak dengan itu dia berpaling melihat Syed Redza pula.

Seolah-olah mengerti ketegangan yang sedang berlaku, Datin Raja Fatimah segera mendapatkan Zureen dan menghantarnya ke muka pintu.

“Zureen turun dulu. Sekejap lagi auntie turun. Zureen jangan balik dulu ye. Tunggu auntie sekejap…”

Setelah Zureen meninggalkan bilik itu, Datin Raja Fatimah segera mendapatkan anak bujangnya yang sedang menahan marah itu.

“Kenapa Redza tak makan lagi? Dah sejuk semua lauk-pauk tu…”, Datin Raja Fatimah memulakan bicara dengan anak bujangnya yang sedari tadi membisu.

“Kenapa mama izinkan dia balik?”, soal Syed Redza tiba-tiba.

“Eh, kenapa pulak? Hari ni kan dia half day. Dah tentulah mama benarkan dia balik. Lagipun, mama dah janji dengan Zureen. Dia cuma perlu kerja lima hari setengah seminggu. Takkanlah mama nak suruh Zureen kerja tujuh haru seminggu…”, balas Datin Raja Fatimah yang sudah mula dapat menghidu bibit-bibit cemburu di hati anak bujangnya.

“Habis tu siapa yang nak uruskan Redza masa dia tak ada?”

Datin Raja Fatimah hanya tersenyum mendengar soalan anak bujangnya. Lucu pula mendengar soalan itu. Dah tua bangka begini masih tidak tahu untuk mengurus diri sendiri.

“Siapa lagi? Mamalah…”

Syed Redza merengus.

“Kenapa ni? Apa yang sebenarnya Redza bimbangkan?”

“Kalau dia tak balik semula ke sini, macam mana?”

“Kita jemput kat rumah dia. Bukan jauh sangat pun…”, Datin Raja Fatimah sengaja melayan resah anak bujangnya kerana dia pasti Zureen tidak akan melakukan perkara yang dibimbangi Syed Redza.

“Mama tahu ke kat mana rumah dia?”, soal Syed Redza lagi. Dia masih tidak berpuas hati lagi.

“Kalau kat London pun mama boleh cari dia…”

“Mama…I’m serious ok…”

“Apa Redza ingat mama main-main ke?”, balas Datin Raja Fatimah. Seronok pula dapat mempermainkan anak bujangnya.

Hmmm….memang sah! Kalau perangai yang garang tak tentu fasal, tapi tiba-tiba saja boleh berubah begini, sudah pasti ini penangan cinta!

“Dahlah sayang…tak payah nak risau tak tentu fasal. Insyallah Zureen tak akan buat macam tu. Mama kenal dia….”, akhirnya Datin Raja Fatimah memujuk anak bujangnya. Tidak sampai hati pula melihat dia resah begitu. Melihatkan perubahan anaknya yang selama ini hanya membisu, dan kini tidak lokek untuk bersuara pula, sudah cukup melegakannya.

“Redza makan dulu ye. Mama nak turun kejap. Mama nak tengok Zureen balik. Nanti apa pula kata abangnya…”

“Redza pun nak turun…”

Datin Raja Fatimah amat terkejut. Tidak disangkanya anak bujangnya juga ingin turun ke bawah. Sudah sekian lama Syed Redza tidak menjejakkan kakinya ke bawah semenjak dia sedar dari koma dahulu.

“Macam mana Redza nak turun? Redza boleh jalan ke?”,soal Datin Raja Fatimah bimbang.

“Tolong ambilkan tongkat Redza…”, pinta Syed Redza nekad.

Walaupun agak ragu-ragu dengan permintaan anak bujangnya, tetapi Datin Raja Fatimah akur juga. Dicapainya tongkat tetapi teragak-agak untuk diberikan kepada Syed Redza.

“Redza….are you sure?”

Syed Redza hanya tersenyum untuk melegakan kerisauan mamanya walaupun di dalam hatinya sedang membengkak ketika itu. Jika diikutkan hatinya, mahu saja dia berlari menuju ruang tamu tempat di mana ‘abang’ Zureen sedang menunggu. Dia ingin melihat dengan matanya sendiri bagaimana caranya lelaki itu melayan Zureen dan dari situ dia boleh menilai sejauh mana kebenaran dakwaan gadis itu mengenai status hubungan lelaki itu dengan diri gadis itu.

Datin Raja Fatimah memimpin anak bujangnya dengan berhati-hati. Biarpun dia sangat pelik dengan tindakan Syed Redza, tetapi dia turutkan jua demi untuk tidak menghampakan perasaan anak bujangnya. Tidak sampai hati pula melihat anak tunggalnya itu menjeruk rasa.

Dengan penuh berhati-hati, akhirnya mereka sampai juga di bahagian ruang tamu. Kelihatan Haziq sedang menunggu sambil membelek-belek majalah yang terdapat di situ. Terlalu khusyuk membaca hingga Haziq tidak menyedari kehadiran kedua beranak itu. Zureen masih tidak kelihatan. Mungkin masih di bilik untuk mengambil beg pakaiannya.

“Assalamualaikum….”, Datin Raja Fatimah memberi salam setelah mendapati Haziq tidak menyedari kehadiran mereka.

“Waalai……kumsalam”, salam yang dijawab Haziq terhenti seketika akibat terkejut dengan kehadiran Syed Redza kerana setahunya lelaki itu memang tidak mampu berjalan. Agak pelik dengan tindakan lelaki itu turun ke bawah.

Matanya terpaku kepada lelaki yang bertongkat itu. Seketika kedua-dua lelaki itu saling berbalas renung. Episod saling berbalas renung tempoh hari nampaknya berulang lagi. Haziq menjadi serba salah. Tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu. Hendak bersapa, pandangan lelaki itu sudah cukup menunjukkan dia tidak sudi untuk ‘beramah mesra’ dengan dirinya. Hendak buat tidak tahu, rasanya kurang sopan pula. Apatah lagi, Datin Raja Fatimah juga ada di situ.

Bertindak mengikut fikirannya yang rasional, Haziq bangun dan menghulurkan tangan kepada Syed Redza sambil memperkenalkan dirinya.

“Haziq Daniel…”, pendek saja Haziq memperkenalkan dirinya.

Lambat-lambat Syed Redza menyambut huluran tangan Haziq. Mujur ketika itu dia juga mampu berfikir secara rasional. Tidak mahu merendahkan martabat dirinya dengan berkelakuan angkuh dan sombong, dia juga memperkenalkan dirinya.

“Redza….Syed Redza..”, balasnya juga pendek dan bernada agak tegas. Tiada senyuman yang mengiringi sesi perkenalan yang penuh keterpaksaan itu. Datin Raja Fatimah pula hanya jadi pemerhati.

“Eh, kenapa berdiri? Duduklah Dr. Haziq. Jemput minum…”, seperti menyedari ketegangan pada suara anak bujangnya, Datin Raja Fatimah cepat-cepat mengendurkan suasana yang mulai tegang itu.

“Terima kasih datin…”, jawab Haziq cuba menunjukkan kemesraannya. Seboleh-bolehnya dia tidak manu terikut-ikut dengan lagak anak bujang Datin Raja Fatimah.

Ketika itu juga kelihatan Zureen berlari anak menuruni tangga sambil ditangannya menjinjing beg pakaiannya. Syed Redza menjeling Zureen seketika apabila melihat gadis itu begitu riang dan kelihatan tidak sabar menuruni anak tangga.

Langkah Zureen tiba-tiba terhenti sebaik sahaja terpandangkan Syed Redza. Dia agak terkejut kerana tidak menyangka Syed Redza boleh berada di situ. Selama hampir seminggu dia merawat lelaki itu, tidak pernah sekali pun lelaki itu meninggalkan biliknya kecuali untuk menjalankan rawatan fisioterapi di bilik bersebelahan dengan biliknya.

Zureen cuba bertenang dan berlagak selamba walaupun di dalam hatinya hanya tuhan saja yang tahu. Berdebar, gementar, resah dan pelbagai lagi perasaan bersatu di dalam hatinya. Dia berjalan perlahan menuju ke arah ruang tamu. Langkahnya tidak seriang dan selaju tadi. Semua mata tertumpu padanya walaupun setiap satu pandangan memberi cerita yang berbeza-beza. Dia yang santai tanpa beruniform, membuatkan penampilannya agak berbeza dari biasa.

“Zureen dah siap?”, sapa Datin Raja Fatimah cuba untuk memecahkan suasana yang tiba-tiba sahaja menjadi sunyi seperti baru dilanggar garuda.

“Dah auntie…..”, jawabnya gugup. Gugup akibat renungan maut Syed Redza.

Menyedari renungan yang agak mencurigakan, Haziq segera meminta diri untuk pulang. Tidak boleh berlama-lama di situ! Bahaya!

“Err…datin…Encik Redza, Zureen pun dah siap…so kami minta diri dulu..”,Haziq sekadar berbasa-basi.

Datin Raja Fatimah yang seolah-olah mengerti akan ketidakselesaan Haziq hanya mengangguk tersenyum. Berbeza dengan anak bujangnya, lelaki itu dilihat agak kurang senang dengan tindakan Haziq.

Zureen bersalaman dengan Datin Raja Fatimah. Tanpa diduga huluran salamnya telah dibalas dengan pelukan oleh Datin Raja Fatimah. Wanita itu memeluknya dengan begitu erat sekali seolah-olah enggan melepaskan Zureen pulang. Zureen yang agak terkejut dengan tindakan Datin Raja Fatimah itu, juga membalas pelukan wanita itu walaupun di hatinya timbul seribu tanda tanya terhadap tindakan wanita itu.

Aku bukannya nak balik sebulan. Setakat sehari aje! Zureen berbisik sendiri.

Sebaik sahaja pelukan dileraikan, Zureen menjadi semakin serba salah. Tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada ‘pesakit istimewa’nya yang sedang berdiri merenungnya dengan pandangan yang tajam menikam. Hendak terus pulang tanpa sepatah kata kepada lelaki itu, terasa kurang sopan pula. Hendak berkata sesuatu, tidak tahu apa pula yang harus dikatakan kerana dia bimbang jika tersilap cakap, memang nahas! Akhirnya, Zureen mengikut apa yang terlintas di fikirannya ketika itu.

“Encik Redza….saya minta izin balik dulu. Insyallah, esok saya balik semula ke sini. Jangan lupa makan ubat. Semuanya saya dah aturkan dalam bekas ubat. Encik Redza cuma perlu makan ikut waktu yang saya dah labelkan….”, akhirnya hanya kata-kata nasihat yang terkeluar dari bibir mongel gadis itu. Terasa seperti mak-mak yang berpesan pada anak-anaknya sepanjang peninggalan si emak pergi keluar bekerja pulak!

Lelaki itu tidak menunjukkan sebarang respon. Dia diam tidak berkutik. Entah kenapa Zureen dapat mengesan riak resah di wajah lelaki itu tetapi cuba disorokkan di sebalik wajah serius dan renungan tajamnya.

“Aku tunggu kau balik……”, ringkas dan padat kata-kata yang meluncur keluar dari mulut Syed Redza.

Matanya redup merenung Zureen. Dia langsung tidak mempedulikan mamanya yang agak ternganga mulut memandangnya dan Haziq yang merenungnya dengan seribu satu persoalan. Sememangnya amat sukar ditafsirkan akan kata-kata yang sepatutnya amat mudah difahami itu.
Dan…orang yang paling terkejut dengan kata-kata dari Syed Redza itu adalah Zureen sendiri. Kenapa dia cakap macam tu? Apa maksud kata-katanya? Getus Zureen

P/S: KHAS UTK PEMBACA2 MSA….SAYA POSKAN AGAK PANJANG ENTRY UTK MINGGU INI…HARAP ENJOY MEMBACA & JGN SEGAN SILU TINGGALKAN KOMEN….TQ




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

88 ulasan untuk “Novel : Mr. Secret Admirer 16,17,18”
  1. ainadanilia says:

    Tahniah , dear… bestt sgt .

  2. SHILA ALISH says:

    Thanks ainadanilia…..
    Alhamdulillah…..teruskan membaca ye…tq

  3. Wana says:

    Best nye novel ni. Nak beliiii. Xsuka baca sekerat sekerat. Hehee

  4. SHILA ALISH says:

    Thanks Wana…..
    Insyallah kalau ada rezaki, dptlah diterbitkan….
    Masa tu jgn x beli pulak ye….hehe

  5. rayyan fantasi says:

    Ada blog tak

  6. nia says:

    Novel ni da dterbitkn ke??

  7. hokage says:

    menarik..teruskan usaha

Trackbacks

Check out what others are saying about this post...
  1. [...] Cerita Lawak Pendek Antara Pesakit Jiwa Dan Pilot [...]



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"