Novel : Status Hati : Dia Milikku 2

11 September 2012  
Kategori: Novel

1,338 bacaan Jom bagi ulasan

Oleh : Ayumi Syafiqah

BAB 2

KIRANA bersetuju untuk menyertai Wani dan Ja keluar membeli-belah pada sebelah petang. Walaupun asalnya Wani dan Ja yang membuat rancangan untuk keluar membeli-belah, tetapi sudahnya Kirana yang lebih banyak memborong berbanding mereka berdua. Barang yang ‘wajib’ dibeli sudah tentulah kasut. Dia memang suka mengumpul kasut. Alasannya, setiap kasut yang dibeli sangat comel untuk dibuat koleksi. Setelah penat ke hulu ke hilir, Wani mengajak Kirana dan Ja untuk singgah di mana-mana restoran buat mengisi perut.

“Banyaknya kau borong, Kira!” kata Wani dengan riak penuh kagum. Tergeleng kepalanya melihat beg-beg kertas yang bergantungan di tangan Kirana.

Kirana tersengih. “Siapa suruh ajak aku? Kan dah tak pasal-pasal aku borong banyak ni. Ni kalau mak aku tahu, seguni dia membebel,” balasnya lantas tergelak kecil. Teringat perbualan dengan emaknya malam tadi.

“Kalau macam nilah gayanya kan… tak ada lelaki yang nak kat kau,” celah Ja pula. Jus oren di dalam gelas disedut sedikit. Lega rasanya bila air sejuk itu mengalir di alur tekaknya yang kering sejak tadi.

“Ya ke? Habis yang kau duk bawak cerita pasal Abang Azri kau hari-hari tu apahal?” Kirana menjegilkan matanya.

Ja tersengih. Sedar yang dia sudah tersilap menyusun ayat. Hakikatnya, Kirana memang punya ramai peminat. Cuma gadis itu saja yang terlalu memilih.

“Kalau driver teksi macam Abang Azri tu mungkin tak mampu nak tanggung si Kira ni. Tapi kalau Encik Syahril… aku rasa dia mampu!” Wani tersenyum lebar membayangkan Kirana dan Syahril bersanding di atas pelamin nan indah.

Kecil anak mata Kirana merenung Wani. “Korang ni kan… tak habis-habis nak kenenkan aku dengan dua orang pak cik tu. Dah aku cakap tak nak, meaning tak nak. Tak faham?” rengusnya. Nada suaranya cukup menggambarkan rasa hati yang sangat bosan dengan topik yang sering dibuka Wani dan Ja itu. Kalau tak Encil Syahril, mesti Abang Azri. Urgh! Sabar ajelah…

Ja dan Wani mengangguk serentak. “Faham. Cuma kitorang tak faham lelaki jenis apa lagi yang kau nak. Kau ni, dah boleh dikatakan popular tau? Rancangan Jejak Santai kau tu dah jadikan kau meletup-letup. Peminat ramai…”

“Korang pun sekarang nak jadi macam mak aku jugak, kan? Tak habis-habis membebel pasal kahwin. Kan aku dah cakap, aku dah tegaskan berkali-kali, aku takkan kahwin selagi aku tak jumpa lelaki yang menepati ciri-ciri lelaki idaman aku,” ujar Kirana tegas.

“Yalah, yalah… aku tahu kau nak yang hensem, kaya, romantik, bla… bla… bla…” Wani mencebik. Muak pula mendengar ayat yang sama berulang-ulang kali.

Kirana tersenyum mengada. “Tahu tak apa! Korang cakap pasal aku ni, habis tu korang berdua dah ada calon ke? Umur kita sama aje tau? Kalau aku dah layak kahwin, korang pun sama.” Dia mengalih arah bicara, memulangkan soalan pada Wani dan Ja.

Wani dan Ja saling berpandangan. “Aku belum. Ja dah!” Laju jawapan itu keluar dari mulut Wani. Mata Ja terbuntang.

Kirana tertawa. “Dah tu kenapa kau belum?” Mulutnya termuncung ke arah Wani.

“Aku lainlah, Kira. Aku ni memang nak sangat kahwin. Niat tu memang dah lama terpasang dalam hati ni. Tapi… tak ada orang nak kat aku…” Suara Wani berubah rendah. Straw di dalam gelas dimain-mainkan dengan hujung jari.

“Ya ke? Entah-entah, kau tu yang pemilih. Cakap aku konon,” perli Kirana selamba.

“Mana ada,” nafi Wani. “Betullah… tak ada orang nak kat aku.” Sungguh-sungguh dia menegaskan.

“Tak kisahlah betul ke tak. Tapi yang penting, kalau ada orang tanya kau kenapa kau tak kahwin-kahwin lagi, kau jawab aje yang kau belum jumpa lelaki yang betul-betul sesuai dengan kau. Macam yang selalu aku buat tu.” Kirana tersenyum memberi cadangan. Kononnya baguslah cadangannya itu.

“Yalah tu. Lepas tu nanti, tak pasal-pasal mak aku pun membebel seguni jugak,” cebik Wani. Tidak setuju dengan idea Kirana yang entah apa-apa itu.

Kirana menarik muka sementara Ja sudah tergelak-gelak.

~~~

KIRANA membawa mug yang berisi Nescafe panas ke ruang tamu. Gelas itu diletakkan di atas meja sebelum dia melabuhkan duduk di atas sofa. Wani yang ketika itu sedang duduk di lantai sambil menghadap komputer ribanya yang diletakkan di atas meja terus mencapai mug itu.

“Terima kasih, Kira! Kau ni tahu-tahu aje aku tengah haus,” ujar Wani lalu meneguk air itu dengan selamba.

Mata Kirana membulat. “Amboi, amboi… sedap aje minum air aku ya? Buat sendiri malas!” jelingnya.

Wani tersengih. Mug itu diletakkan semula di atas meja dan kembali memandang skrin komputer. Siaran drama yang ditayangkan di televisyen tidak langsung menarik perhatiannya.

“Ja mana?” Kirana melilaukan mata ke sekeliling rumah. Bayang seorang lagi rakannya itu tidak kelihatan di mana-mana. Apatah lagi dengan pandangannya yang kabur semacam tanpa kaca mata.

“Bergayut dengan pakwelah tu dalam bilik,” jawab Wani tanpa mengalihkan anak mata dari skrin komputernya.

Kirana buat muka. Tiba-tiba saja dia teringatkan sesuatu. Lantas dia turun dari sofa dan duduk di sisi Wani. “Wani, tolong google pasal Hotel Diamond EYE kejap boleh tak?” pintanya sambil mencapai kaca mata miliknya di atas meja. Di rumah, dia memang lebih selesa mengenakan kaca mata tetapi bila di luar, sebagai seorang pengacara yang dikenali ramai, dia lebih suka memakai kanta lekap saja.

“Hotel Diamond EYE? Apa tu?” Berkerut muka Wani.

“Hotellah. Takkanlah kuih pulak?” Kirana berdecit geram.

Wani mencebik. Namun diturutkan juga permintaan Kirana itu. Sekejap saja, skrin komputernya sudah memaparkan maklumat tentang Hotel Diamond EYE, seperti yang disebutkan Kirana tadi. “Kenapa dengan hotel ni? Jangan cakap kau nak honeymoon kat sini sudah,” gurau Wani.

Spontan Kirana memukul bahu gadis itu. “Untuk next episode, aku kena buat liputan kat hotel ni. Pasal tu aku suruh kau google,” terangnya.

Wani terangguk-angguk faham. “Hotel Diamond EYE… Hotel yang ditubuhkan dengan nama Diamond EYE, yang juga mewakili nama anak-anak kepada pemilik hotel ini…” Wani membaca perlahan maklumat yang tertera di depan mata. “Kau agak, anak-anak dia ni lelaki ke perempuan?” tanya dia tiba-tiba saja berminat mahu tahu.

“Hmm…” Kirana mengetuk-ngetuk dagu. “Kalau lelaki, mesti kaya, kan? Ada canlah aku nak tackle!” Dia tersengih nakal pula.

Wani menjeling. “Amboi… Habis kalau tak hensem, nak jugak?” duganya. Bukan dia tidak tahu bagaimana ciri-ciri lelaki idaman Kirana. Kalau tidak punya raut wajah yang tampan, jangan harap Kirana sudi pandang.

“Kalau tak hensem… mungkin boleh dipertimbangkan lagi. Asalkan, poket penuh.” Kirana mengerdipkan mata, penuh makna.

“Yalah tu! Bila kau nak pergi shooting kat sana?”

“Lusa,” jawab Kirana. Tidak sabar pula rasanya mahu membuat penggambaran di hotel itu. Sambil membuat penggambaran, dapat juga dia mengetahui lebih banyak maklumat tentang hotel itu. Bertambah bonusnya jika dapat berkenalan dengan anak pemilik hotel itu. Senyuman manis sudah pun terukir di bibirnya.

“Beranganlah tu,” sindir Wani. Faham sangat dengan perangai ‘gatal’ rakannya itu. Suka bergaul dan berkawan dengan ramai lelaki tapi tiada satu pun yang melekat di hati.

Kirana terus dengan senyuman manisnya. Namun senyuman itu hilang ketika terdengar bunyi dentuman pintu bilik yang kuat. Serentak dia dan Wani berpaling. Ja sedang melangkah ke ruang tamu dengan wajah monyok.

“Apahal pulak ni? Gaduh lagi ke?” tanya Wani. Ini lagi satu perangai rakannya yang dia cukup faham. Kalau Kirana susah nak ‘lekat’ dengan mana-mana lelaki, Ja pula selalu bergaduh dengan kekasihnya.

“Gaduh, baik, gaduh, baik, gaduh, baik lagi, gaduh lagi, baik lagi, lepas tu gaduh, baik, then gaduh, baik lagi. Jangan nanti gaduh tak baik-baik sudahlah ya!” tambah Kirana pula.

Ja mendengus. “Mana tak gaduh? Dia ni kan… suka sangat buat aku sakit hati. Ada ke patut tadi, dia boleh ajak secretary dia keluar makan? Berdua pulak tu!” cerita Ja sungguh-sungguh.

“Alah… kau tu yang cemburu buta sangat. Takkan nak keluar makan dengan secretary pun tak boleh? Entah-entah diorang baru balik dari jumpa klien ke, apa ke… Cubalah positif sikit.” Nampak matang sekali Wani memberi nasihat. Sedangkan hakikatnya, dia sendiri tidak pernah ada pengalaman bercinta.

“Eh, tapi kan… orang lelaki ni bukan boleh percaya sangat. Entah-entah betul diorang ada scandal, Ja.” Kirana bertindak menyokong Ja.

Makin cemberut wajah Ja mendengar kata-kata Kirana itu.

Wani menyenggol lengan Kirana. Bulat matanya memberi isyarat pada Kirana agar jangan menambahkan sakit hati rakan mereka itu. Kirana yang baru tersedar terus tersengih kelat.

“Ja, janganlah fikir negatif sangat. Aku yakin diorang tak ada apa-apa. Bukan ke si Remy tu sayang gila kat kau?” ujar Wani lagi. Dengan harapan kata-katanya itu dapat menyejukkan hati Ja yang pastinya sedang panas membara.

Ja menghela nafas panjang. Dia turun dari kerusi dan duduk di sisi Kirana. Dengan selamba mencapai mug milik rakannya itu dan menghirup air yang sudah pun hilang panasnya. Kirana terkebil-kebil memandang. Sementara Wani terkemut-kemut menahan tawa. Ja, marahnya sekejap cuma. Tengoklah esok jika Remy tidak henti-henti memujuk, cair juga hatinya nanti.

~~~




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"