Novel : Cita-Cita + Cinta 1

23 October 2012  
Kategori: Novel

395 bacaan Jom bagi ulasan

Oleh : Iha Zaliza

1

“Boleh tak saya ambil Nina masa cuti sekolah, Puan?” Soal Shizune lagi tanpa berputus asa. Kalau dia putus asa habislah, sia-sia sahaja dia datang ke rumah Nina yang jaraknya beribu-ribu batu dari Jepun ke Malaysia tapi tidak membuahkan hasil. Senyuman manis cuba ditunjukkan agar dapat meyakinkan wanita yang muda sedikit darinya itu.

Naqiyah memandang anaknya, Nisrina atau lebih sempoi dipanggil Nina pula. Hanya keluhan yang mampu dilepaskan tatkala melihat mata Nina turut bersinar ketika mengharapkan jawapan darinya.

Bukan dia tidak mahu membenarkan permintaan ibu angkat anaknya itu, namun jauh di sudut hati dia gusar kerana ini kali pertama anaknya akan meninggalkannya sejauh ini. Mengizinkan anak bawah umur pergi membuatkan dia kurang yakin dengan keputusan tersebut.

Nak ditanya ayah si Nina, dia sendiri suruh aku yang buat keputusan. Nina tu anak mak katanya, kena dapat restu dari ibu dia. Ada pulak macam tu. Gumam Naqiyah.

Dengan keluhan yang perlahan dilepaskan sekali lagi, akhirnya Naqiyah mengangguk. Merestui pemergian Nina ke Negara Matahari Terbit itu. Lagipun bukanlah Nina pergi seorang diri, ibu angkatnya sendiri yang datang dan meminta izin untuk membawa anaknya untuk pergi bercuti di sana.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa ibu angkat Nina itu tak mengajak ahli keluarganya sekali bercuti ke Jepun. Jawapan mudah, mereka takut untuk melancong ke tempat yang jauh sebab mereka merasakan sukar untuk cari makan di negara orang lagi-lagi negara bukan Islam. Tu belum lagi gempa bumi, ribut taufan, tsunami, dan yang sewaktu dengannya. Kalau melancong setakat kat Malaysia je bolehlah. Sesiapa yang mendengarnya mesti akan menepuk dahi sambil berkata: “Ruginya!!!”

Hanya Nina seorang sahaja yang tak menghidap ketakutan tersebut. Itu yang menambahkan lagi kerisauan Naqiyah, jika Nina seorang yang ‘sempurna’ mungkin dia tidak risau sebegini. Tetapi kerana anaknya merupakan anak istimewa membuatkan dia berasa susah hati.

“Boleh Puan Shizune, cuma satu je saya nak pesan.”

“Apa pulak panggil saya Puan, panggil akak je cukup. Macam formal sangatlah pulak.” Tegur Shizune sambil ketawa. Namun ketawa itu hanya sementara kerana ada persoalan yang mula bermain di fikirannya kini.

“Pesanan apa tu ya?”

Kini Naqiyah pula yang memandang Shizune dengan penuh pengharapan. Harapan yang mungkin manusia bergelar ibu sahaja yang bisa memahami. Namun sebelum memulakan bicara, dia memandang pada wajah Nina seketika.

“Nina, bawak pinggan ni ke dapur.” Nina akur lalu terus bangun mengambil dulang berserta pinggan kotor menuju ke dapur. Dia tahu ibunya tidak mahu dia mendengar perbualan mereka berdua. Jangan gosip pasal aku sudah, omelnya sendirian.

“Kak, ini kali pertama saya lepaskan Nina jauh dari pemantauan saya. Akak pun tahu kan Nina tu sakit. Bukan kuat sangat dia tu. Saya takut dia tak boleh jalani kehidupan macam biasa kat sana. Akak jangan salah faham pulak ya, bukan saya tak izinkan langsung, saya tahu sejak kecil Nina dah pasang angan-angan nak ke sana. Tapi sebagai seorang ibu saya takut kalau apa-apa terjadi kat dia. Saya risau jugak kalau Nina menyusahkan akak sekeluarga di sana.” Luah Naqiyah sambil melepaskan keluhan yang sedikit berat.

Shizune yang mendengarnya turut tersentuh dan sebagai seorang ibu dia turut memahami luahan seorang ibu di sebelahnya.

“Akak faham Naqiyah, akak tahu Nina tu sakit. Sepanjang akak kenal Nina, dia selalu buat akak ceria. Cara percakapan pun macam orang dewasa walaupun masih dikira bawah umur. Naqiyah..” Shizune menepuk perlahan bahu Naqiyah.

“Naqiyah jangan risau, akak janji akan jaga Nina dengan baik. Beri akak peluang untuk memenuhi ‘cita-cita‘ Nina ya?” Pujuk Shizune lagi cuba untuk meyakinkan Naqiyah lagi. Dia faham situasi Naqiyah sekarang. Tapi dia benar-benar ikhlas mahu memenuhi permintaan Nina dan membahagiakan gadis itu hujung tahun ini.

Kelas Tingkatan Tiga akan berakhir pada hari Jumaat ini. Jadi esok merupakan hari terakhir Nina berada di rumahnya sebelum bergerak ke Jepun pada hari Sabtu. Majlis doa selamat akan diadakan pada malam sebelum berangkat. Apa yang menarik perhatian Nina sekeluarga, Shizune tanpa segan silu turut membantu menyiapkan juadah masakan Melayu pada malam itu.

Jiran-jiran ada yang bertanya siapa Shizune, ramai yang seakan tidak percaya bila mendengar bagaimana mereka berkenalan. Bagi sesetengah orang yang pernah memiliki Facebook, itu bukanlah satu keajaiban malah sudah acapkali akan menemui teman rapat di alam maya.

Begitu juga dengan Nina, dia menjadi semakin rapat dengan Shizune setelah mereka berkenalan di laman tersebut. Shizune yang pernah menetap lebih dua tahun di Malaysia membuatkan dia fasih bertutur dalam berbahasa Melayu. Manakala Nina yang memang meminati budaya Jepun semenjak kecil membuatkan dia terlalu gembira menemui insan sebegitu. Sikap Shizune yang peramah dan tidak sombong telah membuatkan mereka semakin hari semakin akrab.

Semalaman Nina resah membayangkan perjalanannya di sana. Walaupun dia berasa gembira kerana mendapat restu dari ahli keluarga namun dalam masa yang sama Nina tidak nafikan dia berasa gentar untuk berhadapan dengan kelemahannya. Kelemahannya ialah kesihatannya sendiri.

Fizikalnya yang agak lain dari yang lain pasti menimbulkan tanda tanya semua orang. Kalau di Malaysia bolehlah dia beritahu mengenai penyakitnya. Tapi jika di Jepun dia sendiri khuatir bagaimana mahu berkomunikasi. Tulah nak sangat terhegeh-hegeh pergi sana, dahlah sepatah haram pun aku tak hafal. Rungut Nina perlahan.

“Nina tak tidur lagi ke?” Tegur Shizune yang turut tidak dapat melelapkan matanya sedari tadi. Disangka Nina dah tidur. Kalau tak mesti dia akan buat kecoh kat bilik tu tanpa mengira pagi petang siang malam.

Nina tersentak, dia juga menyangkakan bahawa ibu angkatnya dah tidur. Dia menoleh ke arah Shizune dan tersenyum.

“Belum, tak boleh tidurlah haha..” kata Nina ringkas sambil menggeliat kecil.

Shizune cuba menangkap masalah Nina yang sebenar. Jelas tampak riak bimbang di wajah anak angkatnya.

“Nina risaukan esok ya?” Duga Shizune. Nina memandang ibu angkatnya. “Risau? Nak risau apa?” Shizune ketawa.”Eleh, macamlah haha tak tahu Nina tu tengah susah hati fikirkan esok kan?”

Shizune merapatkan dirinya pada Nina. Rambut Nina diusap lembut.

“Nina fikirkan apa sayang? Boleh kongsikan dengan haha?” Nina mengetap bibir, terkejut barangkali. Dalam hatinya sudah mengatakan bahawa ibu angkatnya ada ‘ilmu’ membaca fikiran orang. Suka hati je buat kesimpulan kat orang lain, bisik hati Nina.

“Erm, tak ada apalah haha. Cuma Nina susah hati sikit sebab Nina ni kan tak sempat belajar bahasa Jepun lagi. Err jadi Nina takut kalau..” belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Shizune sudah ketawa kecil.

“Sayang tidur je, jangan fikir pasal tu lagi. Sebenarnya haha dah rancang semua ni. Nanti bila kita dah selamat sampai kat sana, haha akan kenalkan Nina dekat beberapa orang yang bertanggungjawab untuk menjadi penterjemahan dan pembantu dalam hal-hal keagamaan okey?” Shizune mengusap dan mencium ubun-ubun Nina lembut. Terasa tersentuh pula Nina dengan layanan yang diberikan Shizune. Biarpun mereka baru berapa bulan mengenali antara satu sama lain namun kasih sayang antara mereka membuatkan mereka sudah mengenali lebih sepuluh tahun.

Ya Allah, berikanlah jalan yang mudah kepada hambaMu.. sesungguhnya aku hanyalah insan yang lemah tanpa bantuan dariMu. Doanya sebelum melelapkan mata.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"