Novel : Rasa Yang Tertinggal 42,43

7 October 2012  
Kategori: Novel

9,534 bacaan 43 ulasan

Oleh : ma asma

BAB 42

SUASANA pagi yang hening mengejutkan Balqis daripada tidurnya yang lena. Dia melihat jam di telefon bimbitnya. Sudah pukul 6.15 pagi. Subuh sudah menyingkap tirainya lantas Balqis bingkas ke bilik air untuk membersihkan diri dan bersolat subuh. Sekilas dia memandang katilnya yang kosong. Mana Ryan? Balqis tertanya di dalam hati namun dia meneruskan langkah ke bilik mandi. Perkara wajib perlu dilakukan terlebih dahulu.

Selepas Balqis selesai menunaikan solat subuh dan berdoa, Balqis keluar daripada bilik mencari Ryan. Ke mana hilangnya mamat ni? Selalunya dia yang paling lambat bangun pagi. Takkan dah balik KL kot. Balqis membuat andaian.

Balqis menapak ke ruang dapur. Dia melihat Mak Kiah sedang menyiapkan sarapan. Namun Ryan tidak kelihatan di dapur.

“ Assalamualaikum mak.” Sapa Balqis sambil tersenyum.

Mak Kiah mendongak dan tersenyum.

“ Wa’alaikummusalam. Awal kamu bangun.”

“ Baru lepas solat mak. Mak nampak tak abang Ryan? Tadi masa Qis bangun dia tak ada dalam bilik.” Tanya Balqis sambil membuka peti sejuk dan mencapai air masak untuk di minum.

“ Ryan pergi ke pantai lepas solat subuh tadi. Mak tanya dia kenapa dia nak pergi sana pagi- pagi buta ni dia cakap saja nak ambil angin. Korang ada masalah ke? Mak tengok Ryan macam tak bermaya je. Kau tak jalankan tanggungjawab kau sebagai isteri ke?” Tempelak Mak Kiah.

Balqis tersedak mendengar pertanyaan Mak Kiah. Habis semua air masak yang diminum disembur ke luar. Dia terbatuk- batuk kecil. Air matanya mengalir kerana banyak sangat batuk.

“ Kenapa mak tanya macam itu?” Soal Balqis pelik.

“ Yelah mak ni pun isteri orang mak dah cukup arif dengan alam perkahwinan ni. Kalau kamu ada masalah sekalipun dengan Ryan, tanggungjawab sebagai seorang isteri jangan kamu abaikan nanti suami kamu cari lain.” Pesan Mak Kiah.

Kalau jalankan tanggungjawab pun Ryan tetap cari perempuan lain mak. Jawab Balqis cuma dalam hati.

“ Tapi Ryan tak macam itu mak. Dia cukup faham Qis. Kalau dia ada masalah pasti dia akan beritahu pada Qis.”

“ Suka hati kamulah Qis. Mak Cuma nasihatkan saja. Mak nak tengok anak menantu mak bahagia. Ryan tu lelaki yang baik rugi kalau kamu lepaskan lelaki sebaik dia. Sebab itu kamu kena ikat dia dengan anak. Ini tak dah berbulan kamu kahwin takkan tak ada tanda- tanda lagi.” Bebel Mak Kiah lagi.

Balqis tersentak. Pertanyaan Mak Kiah membuatkan Balqis terjerat. Dia menunduk menekur lantai. Nak ada anak macam mana mak, kalau diri ini pun tak pernah disentuh. Bisik hati Balqis.

“ Tak ada lagi mak. InsyaALLAH kalau ada rezeki adalah. Mak bersabar je.” Balas Balqis bersahaja. Tiada apa yang perlu diperbahaskan lagi. Akhirnya Balqis meminta diri untuk mencari Ryan. Langkah yang dihayun lemah. Sakitnya hati ini hanya ALLAH yang tahu mak. Bisik hati Balqis lalu meninggalkan Mak Kiah.

RYAN duduk sambil berpeluk tubuh memandang ke dada laut yang terbentang luas di hadapan mata. Bayu pagi di Pantai Beserah begitu mendamaikan hatinya yang keresahan. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata gara- gara memikirkan kata- kata Khairul petang semalam. Oleh kerana terlalu memikirkan perkara itu, Ryan mengambil keputusan untuk mencari ketenangan di pantai setelah selesai solat subuh. Hajat hati ingin mengejutkan Balqis yang sedang lena tidur namun dia tidak sampai hati akhirnya dia berlalu pergi setelah memaklumkan kepada Mak Kiah.

Ryan mengeluh berat. Kini dia di himpit dengan perasaan yang berbelah bahagi antara janji dan cintanya kepada Zarryn dan juga perasaan sayangnya kepada Balqis. Mana satu yang harus dipilih. Jika dia memilih Zarryn bermakna dia terpaksa melepaskan Balqis pergi namun jika dia memilih Balqis, dia akan kehilangan cinta hatinya yang ditunggu bertahun lamanya. Apa yang harus aku lakukan Ya ALLAH? Ryan merintih. Dia mendongak ke langit yang sudah mula menampakkan cahaya samar- samar.

“ Betul ke kau tak cintakan Balqis Ryan?” Suara Khairul bergema di telinga Ryan.

Saat itu Ryan hanya mendiamkan diri. Tidak lama kemudian baharulah dia menggelengkan kepala tanda dia tidak mempunyai apa- apa perasaan pada Balqis.

“ Takkan tidak ada sekelumit kasih kau pada dia? Kau dah kawan dengan dia dah lama, perangai dia kau dah masak. Takkan kau tak boleh sayangkan dia?” Khairul bertanya lagi seakan menguji ketahanan hati Ryan.

“ Aku hanya sayangkan dia sebagai seorang kawan tak lebih daripada itu. Dia dah tahu perasaan aku dan aku rasa tak ada perlu diperbahaskan lagi. Aku tak cintakan Balqis malah aku tak pernah berfikir untuk jatuh cinta pada dia.” Jawab Ryan penuh keyakinan namun matanya di alihkan ke tempat lain. Langsung tidak memandang wajah Khairul yang setia merenung wajahnya.

“ Kau hipokrit Ryan, aku tahu kau sukakan Balqis sejak daripada sekolah menengah lagi. Siapa yang kau nak tipu Ryan? aku? dah lama aku kenal kau malah aku dah masak dengan perangai kau. Kalau betul kau tak cintakan Balqis kenapa kau rapat dengan dia waktu sekolah dahulu. Perempuan lain tak pulak kau rapat macam tu sekali sampaikan kami satu kelas dah anggap kau bercinta dengan Balqis tapi tup- tup kau bercinta dengan Zarryn. Apa kes Ryan? Apa lagi yang kau ingin sembunyikan?” Bertubi soalan daripada mulut Khairul keluar bagaikan peluru berpandu.

Ryan diam membisu. Rahsia hatinya biar dia seorang yang tahu. Dia tidak mahu sesiapa pun menanyakan rasa hatinya yang pernah ditinggalkan dulu.

“ Atau sebab Balqis itu tak cantik macam Zarryn? Tak manja macam Zarryn? Sebab itu kau tak berminat dan tak boleh jatuh cinta pada dia? Ryan, Balqis dah jadi isteri kau yang sah dan selayaknya kau mencintai dia bukan perempuan lain walaupun Zarryn pernah menjadi kekasih kau tetapi dia bukan isteri kau yang layak dicintai sepenuh hati. Sebaliknya hargai Balqis. Dia sentiasa ada di saat kau susah kenapa payah sangat kau nak terima dia?

Ryan, memang Balqis tak cantik berbanding Zarryn namun akhlaknya cantik lengkap sebagai seorang muslimah yang solehah walaupun sikapnya kasar tapi sikap kasarnya itu melengkapi sikap manja kau. Ketidaksempurnaan dia melengkapi ketidaksempurnaan kau. Aku tak nak kau menyesal satu hari nanti jika kau melepaskan dia.” Nasihat Khairul panjang lebar.

Kata- kata Khairul tersemat kukuh di dalam fikiran Ryan yang dilanda perasaan gundah gulana. Dia menarik nafas panjang dan dihela perlahan. Pandangannya bertebaran di kaki langit yang sudah mula merah menunjukkan sang suria akan menjelmakan dirinya tidak lama lagi.

‘ Benarkah tiada cinta di hati ini buat Balqis?’ Hati Ryan bertanya.

‘ Jika ia bukan cinta kenapa hati aku sentiasa berdebar- debar apabila di sampingnya? Kenapa aku cemburu dan sakit hati bila melihat dia di samping lelaki lain? Jika bukan cinta kenapa aku tak sanggup kehilangan dia walaupun aku tahu hanya perpisahan yang akan mengakhiri hubungan ini? Kalau bukan cinta kenapa aku sentiasa merinduinya jika kami berjauhan? Kenapa, kenapa? Adakah aku telah jatuh cinta pada dia?’ Ryan bermonolog di dalam hati. Ingin mencungkil rasa hati sendiri.

Senyap. Tiada satu suara pun yang menjawab setiap soalan yang diajukan tadi. Suasana hening dan hanya kedengaran unggas- unggas berterbangan keluar mencari rezeki di bumi ALLAH yang luas. Ryan meraup wajahnya yang tidak bermaya.

“ ASSALAMUALAIKUM…” Sapa satu suara yang cukup Ryan kenal. Dia berpaling. Kelihatan Balqis berdiri di belakangnya sambil tersenyum manis menyerlahkan lesung pipit yang melekuk di pipi kanannya. Lama Ryan merenung senyuman itu dengan hatinya bergetar sebelum wajahnya di palingkan semula mengadap lautan yang terbentang indah di hadapan mata.

“ Tak jawab salam aku pun. Berdosa tau tak jawab salam aku.” Suara itu ceria kedengaran di telinga Ryan.

“ Wa’alaikummusalam.” Jawab Ryan pendek.

Balqis menghampiri Ryan. Dia berdiri di samping Ryan. Dia merenung wajah Ryan yang kelihatan kusut. Ada masalah ke mamat ni? Tanya hati Balqis.

“ Hah, macam itulah. Boleh aku duduk sini?” Tanya Balqis sambil menunjukkan ke tempat duduk di sebelah Ryan. Lelaki itu mengangguk. Balqis melabuhkan punggung di sebelah Ryan. Dia memeluk lutut meniru gaya duduk Ryan. Lelaki itu termenung.

“ Awal kau bangun? Dah tu tak kejutkan aku solat subuh pun. Aku ingatkan kau dah lari balik KL sebab masa aku bangun pagi tadi aku tengok kau dah tak ada atas katil. Kau tak boleh tidur ke?” Soal Balqis lembut. Dia menolak bahu Ryan dengan bahunya berharap agar lelaki itu tersedar daripada lamunan.

Ryan tersentak pantas dia berpaling ke sisi. Bulat mata Balqis merenung wajahnya. Serentak jantung Ryan bergetar di panah dengan sinar mata itu.

“ Aku nak kejutkan kau tapi aku tengok kau syok je tidur jadi aku tak nak ganggu lagipun aku tahu kalau aku tak kejutkan kau boleh bangun sendiri kan. Lagipun aku cuma nak ambil angin je kat pantai ni dah lama aku tak datang sini. Sekali sekala aku nak lepaskan rindu tengok pantai ni.” Ujar Ryan.

“ Kenapa mata kau bengkak? Kau tak boleh tidur?” Balqis mengulang pertanyaannya.

Ryan tersenyum hambar. Dia mengangguk perlahan. Bagaimana aku nak tidur jika bayang wajah kau yang sentiasa muncul dalam fikiran aku. Desis hati Ryan.

“ Kau tak selesa ek? Aku mintak maaf, rumah aku banyak kekurangan jika nak dibandingkan dengan rumah kau. Aku minta maaf kalau kau tak selesa selama tinggal di rumah aku maklumlah rumah aku rumah kampung.” Ucap Balqis merendah hati. Dia terkilan kerana tidak mampu memberi keselesaan pada Ryan. Kehidupan Ryan yang serba mewah memang berbeza dengannya yang serba kekurangan. Balqis menunduk sedar akan kekurangan dirinya.

“ Apa kau merepek ni Qis? Aku tak boleh tidur tak ada kena mengena dengan keadaan rumah kau. Otak aku tengah berserabut sebab tu tak boleh tidur. Kau jangan nak fikir yang bukan- bukan, aku tak suka.” Balas Ryan. Balqis menarik nafas lega.

“ Kau fikirkan apa? Fikir pasal Zarryn? Kau rindukan dia ke?” Soal Balqis. Hatinya terasa pedih bila menyebut nama Zarryn.

Ryan terdiam. Dia malas menjawab pertanyaan Balqis itu kerana bukan itu yang membuatkan fikirannya sesak. Ada benda lain yang mengganggu fikirannya di kala ini.

“ Diam tanda setuju. Jadi betullah kau rindukan dia. Kalau kau nak balik jumpa Zarryn pergilah aku tak kisah nanti aku cakap pada mak yang kau ada urusan kat hotel tentu mak faham. Tak pun kau telefonlah dia. Aku tengok selama kau balik kampung, belum pernah kau telefon dia tentu dia tengah tunggu panggilan daripada kau.” Ucap Balqis separuh hati.

“ Aku dah telefon dia dah. Dia okey je kau jangan risau.” Bohong Ryan.

Giliran Balqis pula yang terdiam. Dia mengetap bibir.

“ Kau nak buat apa selepas kita berpisah nanti?” Terpacul soalan itu daripada mulut Ryan membuatkan Balqis tersentak. Jari jemarinya yang asyik menguis pasir terhenti. Dia berpaling memandang Ryan.

“ Kau pulak nak buat apa?” Soal Balqis kembali tanpa menjawab soalan Ryan.

“ Aku yang tanya kau dulu, kau jawablah.”

“ Hmmm, aku belum fikirkan lagi cuma aku rasa aku akan pergi dari sini…”

“ Kau nak ke mana?” Pintas Ryan cepat. Hatinya mula dilanda gelisah.

“ Mungkin ke tempat yang orang tak kenal aku ataupun ke tempat yang mampu menenangkan aku tapi apa yang penting aku akan pergi dari KL dan pergi jauh dari kampung ni.” Jawab Balqis dengan senyuman kecil.

“ Kau nak tinggalkan aku Qis?” Ryan bersuara sayu. Entah kenapa hatinya sebak memikirkan Balqis akan meninggalkannya. Arh, kenapa perasaan ini muncul?

Balqis tersenyum. Dia membalas pandangan Ryan yang setia merenung wajahnya. Kelihatan ada sendu di sebalik anak mata hazel itu. Mata kau cantik Ryan tetapi sayang, bukan diri aku yang menetap di dalam itu. Kalau boleh aku tidak mahu berlalu dari hidup kau tapi apakan daya, aku bukan sebahagian daripada hidup kau. Benak Balqis berkata.

“ Aku tinggalkan kau untuk cinta yang kau cari Ryan. Aku rela lakukan apa sahaja asal kau bahagia dengan cinta kau. Lepas kau kahwin dengan Zarryn tentu kau boleh lupakan aku. Lagipun aku bukanlah perempuan yang istimewa yang tak boleh kau lupakan.” Ucap Balqis bersama tawa kecil. Tawa yang hanya ingin menutup duka di hati.

“ Habis itu cinta kau bagaimana? Takkan kau nak terus berseorangan?”

“ Kau jangan risau pasal aku. Kalau ada jodoh aku akan kahwin lagi kalau tak ada aku tunggu suami aku di syurga kelak. Apa yang kau nak risau, aku kan bakal janda berhias tentu ramai yang hantar borang pada aku nanti.” Balqis bergurau. Dia tergelak.

Ryan hanya tersenyum. Dia membuang pandangan ke desiran ombak yang memukul pantai. Fikiran dan hatinya bertambah kacau dengan rancangan Balqis. Balqis akan meninggalkannya dan mungkin dia tidak akan berjumpa dengan Balqis lagi selepas mereka berpisah. Bahagiakah dia bersama dengan Zarryn jika terpaksa melepaskan Balqis? hati Ryan mula berbelah bahagi.

“ So bila kita nak kenalkan Zarryn pada umi dan abah?” Soal Balqis tiba- tiba mengejutkan Ryan daripada lamunannya.

“ Hah?”

“ Bila kita nak kenalkan Zarryn pada keluarga kau? Itupun tak dengar ke?” Balqis ketawa kecil.

“ Perlu ke?”

“ Laaa…memanglah perlu. Umi dan abah perlu tahu siapa bakal menantu mereka selepas kita berpisah. Aku tak nak hal ini dilambatkan. Kesian Zarryn dah lama tunggu nak kahwin dengan kau.” Ucap Balqis. Kini giliran dia pula memandang lautan yang terbentang indah. Dia mengelak daripada bertembung pandang dengan Ryan. Bimbang lelaki itu dapat membaca hatinya.

“ Boleh tak kalau kita tak payah berpisah tetapi aku tetap kahwin dengan Zarryn?”

Pertanyaan Ryan mengundang tawa Balqis. Dia ketawa sehingga menitis air mata.

“ Kau nak aku bermadu dengan Zarryn gitu?” Soal Balqis selepas tawanya reda. Ryan mengangguk.

“ Ryan, kau tak boleh dapat keduanya. Memang Islam membolehkan poligami tapi aku tak suka berpoligami dan aku ada hak untuk tidak terlibat dalam poligami. Aku takut akan menambah dosa nanti dan aku tak nak kau berdosa jika tak mampu berlaku adil. Poligami bukan perkara yang mudah Ryan. Kau jagalah Zarryn baik- baik. Aku tak layak untuk berada di samping kau kerana wanita yang kau cinta adalah Zarryn bukan aku.” Ujar Balqis menahan sebak. Air matanya hampir gugur akibat menahan luka di hati.

Ryan menunduk. Dia tidak tahu apa perasaannya di kala ini. Sedih, sebak, terkilan semuanya bercampur aduk. Apa yang pasti dia tidak mahu kehilangan Balqis. Dia masih memerlukan Balqis dalam hidupnya. Apa pilihan yang aku ada?

“ Tak ada pilihan lain ke Qis?”

Balqis menggelengkan kepala. Serentak dia berdiri mengibas- ngibas seluarnya yang berpasir. Dia tidak boleh berada lama di situ bimbang hatinya akan berubah. Dia juga bimbang akan menitiskan air mata di hadapan sahabatnya itu.

“ Sebelum kita benar- benar berpisah, apa kata kita manfaatkan masa yang ada ini dengan penuh kegembiraan. Aku mahu pergi dengan kenangan yang terindah antara kita berdua. Aku akan ingat kau sebagai sahabat aku sampai bila- bila. Okey?” Balqis berkata ceria sambil menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Ryan.

Lama Ryan merenung tangan halus itu sebelum menyambut huluran Balqis. Dia turut bangun berdiri berhadapan dengan Balqis. Sahabat? Tapi aku suami kau Balqis…

“ Hah, macam itulah. Aku balik dulu. Kau janganlah duduk lama- lama kat pantai pagi- pagi ni. Dahlah sejuk ni nanti kau demam pulak. Aku mintak diri dulu.” Balqis berpaling untuk melangkah pergi. Setapak demi setapak dia melangkah meninggalkan Ryan yang masih tunduk memandang pasir pantai yang memutih.

Ryan tidak keruan. Kata- kata Balqis bermain di fikirannya berselang- seli dengan kata- kata Khairul. Fikirannya kusut. Dia mengangkat muka memandang Balqis yang semakin menjauh.

“ Aku rasa aku akan pergi dari sini. Tinggalkan KL dan kampung.” Suara Balqis bergema.

“ Takkan tak ada sekelumit pun kasih kau untuk Balqis?” Pertanyaan Khairul menyesakkan dada.

Ryan meraup wajahnya berkali- kali. Rambutnya yang berjuntaian di dahi di selak ke belakang. Dia tidak keruan. Dia memandang Balqis yang semakin jauh. Relakah aku dengan perpisahan ini? Hatinya menjerit. Dadanya berombak kasar. Akhirnya…

“ Balqisss!!” Laung Ryan sekuat hati. Dia berlari- lari anak mendapatkan Balqis yang sudah berpaling ke arahnya. Mungkin terkejut kerana mendengar jeritan Ryan.

“ Kenapa?” Tanya Balqis pelik sewaktu Ryan tiba di hadapannya. Mata mereka bertentangan. Dahi Balqis berkerut. Dia pelik melihat Ryan yang kegelisahan.

“ Betul kau berpisah dengan aku?” Tanya Ryan.

Balqis tidak dapat menangkap maksud pertanyaan Ryan. Bukankah semuanya sudah jelas?

“ Kitakan dah bersetuju nak berpisah. Kenapa kau tanya soalan macam itu lagi?”

“ Err…aku..aku..” Ryan tergagap- gagap. Suaranya tenggelam timbul. Hatinya bergetar hebat. Dadanya sudah tidak mampu menahan debaran. Berombak dadanya menahan debar yang maha hebat.

“ Aku apa Ryan? Peliklah kau ni.” Ucap Balqis. Dia berpeluk tubuh memandang wajah Ryan yang kelihatan gugup.

Ryan tidak mampu berkata- kata. Lidahnya kelu. Tiada kata- kata yang mampu dia luahkan saat ini. Sepantas kilat Ryan menarik lengan Balqis dan disandarkan tubuh gadis itu ke pokok kelapa. Tubuh isterinya dihimpit. Kedua tangan Balqis digenggam erat. Bibir Balqis yang mungil itu dikucup lembut dengan penuh perasaan. Lama.

Balqis tergamam. Terasa seperti bumi berhenti berputar. Tindakan Ryan begitu pantas menyebabkan dia tidak mampu mengelak. Sentuhan lelaki itu lembut sehingga membuai perasaannya yang semakin menyayangi lelaki itu dalam diam. Lantas Balqis memejamkan mata membiarkan ciuman itu bertaut di bibirnya. Dia dapat rasakan bahawa Ryan juga merasakan apa yang dirasakan saat ini.

Setelah agak lama hanyut dalam perasaannya yang indah, Ryan mengangkat muka memandang wajah Balqis yang menunduk. Dia tahu gadis itu malu dengan perbuatannya di tempat yang terbuka itu. Namun, apakan daya dia tidak mampu menolak gejolak di dalam hati.

“ Kau marah?” Tanya Ryan lembut. Dia mencari raut wajah Balqis yang tertunduk.

Balqis menggigit bibir. Tak ada sebab untuk dia marah lelaki itu berhak ke atasnya cuma dia malu. Teramat malu.

Ryan mengangkat dagu isterinya. Mata gadis itu ditenung dalam mencari sinar dalam kesamaran waktu pagi. Namun, Balqis menundukkan pandangan.

“ Aku minta maaf kalau kau tak suka dengan perbuatan aku tadi. Aku tak dapat kawal perasaan aku. Aku betul- betul minta maaf.” Ucap Ryan sambil mengelus lembut pipi Balqis. Rasa sayang mula menjalar ke setiap urat nadinya. Itu yang tidak dapat dia nafikan lagi.

Balqis menggelengkan kepala. Dia tersenyum dengan wajah yang ditundukkan. Dia tidak dapat mengungkapkan kata- kata sekarang ini. Hatinya tidak kuat menahan debaran di dada.

“ Aku balik dulu ye.” Ucap Balqis tanpa membalas kata- kata Ryan.

Ryan tidak dapat menahan Balqis daripada pergi. Dia hanya memerhatikan lenggok tubuh gadis itu yang semakin menghilang. Dia menarik nafas panjang. Telapak tangan di letakkan di dada. Jantungnya berdenyut pantas. Satu senyuman terukir di bibirnya. Dia berasa bahagia.

BAB 43

LANGKAH Balqis tidak tentu arah. Dia berasa berada di awang- awangan. Jantungnya berdetak tidak keruan bila teringatkan apa yang berlaku sebentar tadi. Dia menelan air liur yang terasa kesat di kerongkong. Walaupun perasaan malu menyelubungi dirinya tetapi Balqis tidak dapat elakkan yang dia turut berasa bahagia. Pertama kali lelaki itu menyentuhnya dengan begitu mesra.

Balqis menghentikan langkah di simpang rumahnya. Perlahan jari- jemarinya yang runcing menyentuh bibirnya. Masih terasa hangat ciuman tadi membuatkan Balqis disapa perasaan malu yang teramat sangat. Bagaimana ingin dia berhadapan dengan Ryan jika peristiwa tadi masih segar di ingatannya. Balqis menutup muka. Ya ALLAH malunya aku.

“ Hai, Kak Balqis buat apa kat sini?” Sapa Furqan yang melintasi Balqis.

Balqis tersentak. Dia memandang Furqan yang berada di sisinya. Kelihatan lelaki itu baru selesai daripada berjoging.

“ Eh Furqan. Akak penat jalan daripada pantai sebab itu berhenti kat sini sekejap. Furqan dari mana?” Soal Balqis ramah. Sempat lagi dia berbohong pada Furqan.

“ Furqan dari pantai juga kak. Joging. Tapi tak nampak pun akak. ”

“ Err, mungkin akak dah balik masa tu.” Jawab Balqis tergagap- gagap. Dia berharap agar Furqan tidak menyaksikan kejadian tadi. Kalau tak, malu besar dia.

“ Mungkin jugak.” Jawab Furqan. Dia tersenyum pada kakak iparnya itu.

Wajah Balqis seiras dengan Hani cuma Hani kulit Hani kuning langsat jika hendak dibandingkan dengan Balqis yang hanya berkulit cerah. Tapi mata Balqis lebih cantik dan mempunyai senyuman yang cukup menawan kerana lesung pipit yang terukir di pipinya manakala Hani tidak mempunyai lesung pipit. Furqan membuat penilaian.

“ Kenapa tak ajak Hani sekali? Mesti dia tidur lagi kan?” teka Balqis.

Furqan hanya tersenyum. Dia cukup senang dengan kakak iparnya itu yang selamba dan gila- gila.

“ Adik akak tu kan tak suka senaman. Jenuh jugak Furqan ajak dia pergi jogging. Dia kata dia lebih suka tolong mak daripada berjoging.” Balas Furqan. Dia menggelengkan kepala mengenangkan kemalasan isterinya bila diajak berjoging.

“ Furqan sabarlah dengan Hani tu. Dia memang malas kalau ajak buat senaman tapi benda lain dia suka buat. Pokoknya Hani boleh jadi isteri yang solehah kalau Furqan bimbing dia betul- betul.” Balqis memberi nasihat.

“ InsyaALLAH kak saya harap dia dapat jadi isteri yang solehah macam akak. Beruntung abang Ryan dapat akak jadi isteri dia.” Puji Furqan ikhlas.

Balqis hanya ketawa. Dia menutup mulut. Solehahkah aku?

“ Apa yang bertuahnya? Akak manusia biasa jugak banyak lagi kekurangan dalam diri akak. Banyak yang akak perlu perbaiki untuk jadi seorang isteri yang solehah.” Balas Balqis tenang.

“ Tapi Furqan tengok abang Ryan gembira hidup di samping akak. Furqan harap Furqan boleh bahagiakan Hani sampai ke hujung nyawa Furqan nanti.”

Balqis terdiam. Luaran memang Ryan nampak bahagia tetapi dalam hatinya ada satu nama yang sentiasa dirinduinya iaitu Zarryn. Balqis menunduk. Ryan tidak pernah mencintainya seperti mana lelaki itu mencintai Zarryn.

“ Kenapa Furqan kahwin dengan Hani?” Soal Balqis tiba- tiba. Furqan menoleh ke arah Balqis. Dahinya berkerut.

“ Sebab Furqan cintakan Hani. I love her because ALLAH kak.” Jawab Furqan yakin.

Balqis tersenyum senang. Nampaknya Hani tidak salah memilih lelaki. Alangkah indahnya jika Ryan mengatakan sebegitu kepadanya. Pasti dia akan setia mencintai lelaki itu.

“ Alhamdulillah, jika cinta yang berdasarkan cinta kepada ALLAH akak yakin kamu berdua akan bahagia. Jika tidak berpanjangan di dunia mungkin akan bersambung di akhirat kelak. Akak percaya pada kamu Furqan untuk menjaga adik akak yang satu itu. Dia mungkin akan manja tetapi dia seorang wanita yang mendengar kata.” Ucap Balqis lembut.

“ Terima kasih kak. Furqan janji Furqan takkan sia- siakan hidup Hani sebab dialah satu- satunya wanita yang mampu mencuri hati Furqan.” Luah Furqan.

Balqis menarik nafas lega. Untung kau Hani!

“ QIS, kau okey tak ni?” Bisik Ryan menghampiri Balqis yang sedang mengemas meja makan.

Balqis menjeling sedikit ke arah Ryan. Serta merta hatinya menjadi tidak keruan. Peristiwa di pantai menjelma kembali di fikirannya membuatkan Balqis tertunduk malu.Jika boleh dia mahu melupakan apa yang terjadi namun dia hanya manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Mungkin lelaki itu tidak sengaja melakukan hal tersebut. Fikir Balqis.

“ Apa yang tak okeynya? Biasa je.” Jawab Balqis tanpa memandang wajah Ryan. Segala pinggan kotor di bawa ke dapur. Ryan membuntuti Balqis. Dia berdiri sambil menyandarkan badannya di tepi sinki bersebelahan dengan isterinya.

“ Pasal yang kat pantai tadi, kau tak marah ke?”

“ Kau rasa aku marah ke?” Soalan di balas soalan. Ryan mengetap bibir.

“ Aku bimbang kau marah. Tempoh hari kau dah beri amaran pada aku. Kali ini aku betul- betul tak dapat kawal perasaan aku. Aku mintak maaf.” Ucap Ryan.

Balqis menarik nafas dan menghembusnya dengan perlahan. Dia memberanikan diri menentang pandangan mata Ryan. Dia sedikit kecewa dengan Ryan. Mungkin bagi lelaki itu kejadian tadi hanya satu kesalahan tetapi bagi Balqis tidak. Dia memang mengharapkan lelaki itu faham perasaannya yang sebenar.

“ Kau mintak maaf? Kau rasa apa yang kau buat tu satu kesalahan ke?” Tanya Balqis agak tegang. Merah wajahnya.

Ryan terkulat- kulat. Dia terdiam. Balqis mengeluh.

“ Kalau kau rasa apa yang kau buat tu satu kesalahan, baik aku maafkan dan aku harap selepas ini kau jangan ulangi kesalahan kau tu!” Ucap Balqis sedikit marah.

Lantas, Balqis mencuci tangan dan meninggalkan Ryan dengan rasa bengang. Kenapa lelaki itu tidak merasa apa yang sedang dia rasakan sekarang ini? Adakah lelaki itu hanya ingin mempermainkan hati dan perasaannya? Setitis air mata Balqis gugur.

Ryan hanya memerhatikan langkah Balqis yang berlalu pergi. Kenapa gadis itu tidak mengerti rasa yang ingin dia sampaikan? Ryan tidak pernah merasakan apa yang dilakukan pada gadis itu satu kesalahan kerana itu adalah haknya. Malah dia tidak pernah rasa bersalah dengan apa yang terjadi cuma dia bimbang jika perbuatannya akan menyakiti hati sahabatnya itu. Akhirnya Ryan mengeluh.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

43 ulasan untuk “Novel : Rasa Yang Tertinggal 42,43”
  1. MA ASMA says:

    wsalam, pasti ramai yg tunggu novel ni kan…novel ni akan dinovelkan tidak lama lagi sebab itulah sambungannya dihentikan…jadi harap semua bersabar dan tunggu pengumuman drpd phak karyaseni…terima kasih atas sokongan semua…:-)

  2. MA ASMA says:

    alhamdulillah..pada sesiapa yang ingin dapatkan novel ini..novel ni sudah berada di pasaran keluaran september 2013…boleh dapatkan terus daripada Karyaseni ataupun di kedai2 buku berdekatan…

  3. melati says:

    Alhamdulillah …akhirnya leh tau kesudahan cinta balqis n ryan..tahniah ye penulis

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"