Cerpen : Cik Abang BMW

4 November 2012  
Kategori: Cerpen

46,996 bacaan 171 ulasan

Oleh : nurwateeqa

PART 1 :

Nurin Jannah mengesat peluh yang merinik halus di dahinya. Panas terik hari ini seolah-olah membakar kulit wajahnya yang kuning langsat itu. Barang-barang untuk projek rekaciptanya dipegang erat ditangan kiri. Kadangkala, barang-barang yang agak berat itu seakan mahu tercicir daripada pegangan tangannya. Langkah di atur perlahan melepasi deretan kereta yang berada di sekitar Perpustakaan.

Nurin Jannah cuba menyelit di antara kereta, mahu mengambil pintas fikirnya. Belum sempat melangkah melintas, telefon bimbitnya berdering kuat. Dalam kalut mencari telefon bimbit yang masih berdering dan memegang barang projek rekaciptanya, tubuh Nurin ditempuh orang yang cuba mengambil jalan sama. Malang memang tiada bau, plat aluminium yang dibawanya terpelanting dan singgah ke atas salah sebuah kereta yang ada.

“Korang ni langgar saya kenapa, tengok kan dah semua jatuh kena kereta orang.” Marah Nurin kepada dua orang pelajar lelaki yang merempuhnya.

“Apa pulak kitorang, akak yang jalan tak tengok depan.” Belum sempat Nurin mahu membalas, dua orang lelaki tersebut terus sahaja melangkah laju meninggalkannya. Nurin berdecit, mahu bising-bising malu pula nanti jadi ‘free show’ depan perpustakaan yang sememangnya ramai orang. Mahu tak mahu, Nurin terpaksa mengutip semua barang-barangnya kembali termasuk plat aluminiumnya itu.

“Ni awak punya?” Nurin yang sedang membongkok mengutip barang, hanya mengangkat kepala dan mengangguk. Tangannya terus sahaja mahu mencapai plat aluminium yang ditunjukkan oleh lelaki dihadapannya sekarang, tapi…

“Saya punya, so bagi lah…” dari posisi membongkok, terus sahaja Nurin berdiri tegak setelah lelaki itu seakan bermain tarik tali dengan plat aluminiumnya. Lelaki itu mengangkat jari telunjuknya dan menggerakkan ke kiri dan kanan.

“Awak tengok ni…” Lelaki itu menunjukkan ke arah sisi bonet keretanya. Nurin terlopong dengan tangannya menekup mulutnya yang terbuka.

“Saya… saya tak sengaja, diorang yang langgar saya.” Nurin tergagap-gagap.

“Diorang? Ini semua barang awak, jadi awak yang perlu bertanggungjawab. Calar ni dalam tau!” Nurin mendekatkan jarinya kepada kesan calar di kereta lelaki tersebut. Perlahan-lahan dia merasai kesan calar itu.

“Betul tak? Kalau calar biasa saya tak kisah ye cik. Tapi ni dalam, kos nak hilangkan pun ‘dalam’ tau!” Lelaki itu sengaja menekankan perkataan dalam. Nurin sudah hilang arah, apa yang harus dia lakukan?

“Jadi, awak nak saya buat apa? Bayar?” Lelaki itu senyum sinis mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut Nurin.

“Bayar? Kalau kereta MyVi, calar macam ni dah kena dua tiga ratus. Ini kereta BMW cik kak, mau dua tiga kali ganda. Boleh bayar?” Lelaki itu seolah-olah menyindir. Nurin tersentap.

“Ye, memang mahal memandangkan kereta awak ni mahal, kalau saya tak mampu nak bayar awak nak suruh saya buat apa? Letak plaster ke?” Nurin bersuara tegas, kalau tadi dia cuak dengan apa yang berlaku, tapi bila lelaki itu cuba memperkotak-katikkan dirinya, dia tidak dapat mendiamkan diri.

“Amboi, dah buat salah nak main sindir-sindirnya?”

“Awak yang menyindir, jadi jangan salahkan saya. Cakap aje apa yang awak nak saya buat? Bayar or???” Nurin membidas.

“Okay, bagi saya kad matrik awak dan telefon awak.” Lelaki itu menghulurkan tangannya. Mahu tidak mahu, Nurin terpaksa menyerahkan kedua-duanya. Setelah mengambil nombor kad matrik, nombor kad pengenalan dan nombor telefon Nurin, lelaki itu menyerahkan kembali kad matrik dan telefon kepada Nurin.

“Nurin Jannah, nanti saya akan call dengan untuk bagitau apa yang awak boleh buat ye.” Ujar lelaki itu, lalu terus sahaja memasuki kereta dan berlalu dari situ. Nurin mengeluh berat. Belum hilang lelahnya berjalan daripada fakulti, tambah pula dengan lelah berhadapan dengan lelaki yang tidak dikenalinya. Harap aje muka hensem, tapi kerek!

++++++++++++++

“Kau pergi mana Nurin, lambat balik?” Azra yang sedang baring sambil membaca novel menyoal tanpa mengalih muka sedikit pun daripada novel yang dibacanya. Nurin meletakkan barangannya ke atas meja, dan menghempas tubuh ke atas katil. Jam di tangannya dibelek.

“Dah pukul 6, tak solat lagi…” Rungut Nurin tanpa menjawab soalan Azra. Hanya keluhan demi keluhan dan rungutan demi rungutan yang keluar daripada mulut Nurin Jannah. Azra mengerut dahi, Nurin kedengaran sungguh tertekan.

“Bulan mengambang ke cik kak? Mengeluh aje dari tadi?” Nurin mengalih tubuh menghadap Azra yang telah bangun daripada pembaringannya dan duduk bersila.

“Ra… berapa ringgit eh kalau kita repair calar kereta?”

“Kenapa? Selalu calar biasa dia akan polish aje, tak mahal sangat, tapi kalau dalam macam kereta aku kena dulu tu dalam RM250 jugak lah sebab dia kena cat semula whole part yang calar tu… kenapa? Kereta siapa kau calarkan?” Nurin mengembungkan pipinya, lalu nafas dilepas perlahan.

“MyVi kau RM250, calar dalam kan? Tapi kecik aje… kau rasa kalau BMW berapa eh?” Azra ternganga dengan soalan Nurin, lantas dia terus menghampiri Nurin dan duduk disisinya.

“Jangan kata kau calarkan BMW? Siapa punya kereta weh?” Nurin bangun daripada pembaringannya dan bersandar di dinding.

“Entah, lecturer ke student aku pun tak tahu, tapi yang aku tahu dia sangat berlagak!”

“Memang betullah kau calarkan BMW?” Nurin mengangguk perlahan, lalu menyembankan muka ke lutut yang telah dirapatkan ke tubuhnya.

“Apa aku nak buat ni…?” Rengek Nurin seperti kanak-kanak kecil. Azra hanya boleh beristighfar panjang.

“Dia mintak berapa?” Nurin menggeleng.

“Dah tu?” Nurin mengangkat muka.

“Aku rasa beribu la Ra… aku nak bayar dengan apa kalau dia mintak lebih daripada seribu?” Azra mengetap bibir.

“Takkanlah… under seribu kut…”

“Betul?” Azra tersengih. Nurin menyemban muka lagi dan terus merengek.

“Habislah PTPTN aku sem ni…” Suara Nurin dengan suara yang main serak menahan tangis.

PART 2 :

Kelas Psikologi Pendidikan hari ini habis lewat. Sekarang sudah jam 6.30 petang, lagi setengah jam pukul 7 malam. Bas akan berhenti beroperasi dan mula kembali jam 8.00 malam. Kalau terlepas bas, takkan nak tunggu dekat fakulti yang menyeramkan ni seorang diri? Nurin mula berkira-kira sendiri. Dia belum solat asar, jadi keputusan yang terbaik adalah untuk ke Masjid dan pulang ke bilik jam 8 nanti. Perut yang lapar boleh di tunggu, apalah sangat untuk dibandingkan waktu solat yang hampir habis. Pesan arwah abah sentiasa tersemat kukuh diingatannya.

“Payah macam mana pun, solat fardhu jangan tinggal. Kalau tidak lagi payah kita di akhirat nanti.”

Nurin melangkah dengan senyuman. Mengingati pesanan-pesanan abah membuatkan Nurin terasa senang, penat seakan hilang. Abah waktu hayatnya selalu memberikan Nurin semangat dan dorongan, tidak kira waktu susah atau senang.

Langkah Nurin diatur pantas dan kemas, hujan rintik yang mula membasahi tudungnya, membuatkan dia mula berlari-lari anak. Setelah melintasi Fakulti Sains, hujan kian lebat. Langkahnya kian pantas, fail ditangan digunakan untuk melindungi kepala. Baru sahaja melintas jalan dan hendak menaiki anak tangga yang menghala ke arah Masjid, tubuhnya seakan melayang dilanggar oleh satu tubuh lain.

“Aduh… Buta ke!” Suara itu menampar telinga Nurin yang terjelepuk jatuh ke tanah akibat perlanggaran itu.

“Awak yang langgar saya.” Nurin bersuara perlahan, tangan dan kakinya terasa kebas dek kerana terlalu sakit. Nurin bangun perlahan-lahan, lalu membelek bajunya yang kotor akibat tanah yang basah.

“Kau yang lari tak tengok kiri kanan, lepas tu tak nak mengaku pulak?” Lelaki itu masih bersuara tegas, tanpa sedikit rasa belas terhadap Nurin yang lebih menanggung akibat perlanggaran tersebut. Nurin mengangkat muka, ingin membalas kata. Namun, bicaranya mati. Baru sahaja mahu berasa tenang selepas kejadian seminggu lalu, kini jantungnya bagai terhenti sesaat. Terasa seperti hilang darah di mukanya, pucat!

“Oh… awak rupanya. Tak habis-habis bawa malang dekat saya. Mujur tau tak buku-buku saya ni tak jatuh, kalau tidak habis basah semua.” Nurin hanya menelan liur. Lelaki itu hanya tersenyum sindir hujung bibirnya. Di pandang Nurin dari atas hingga ke bawah. Nurin menekap fail ke dada.

“Kenapa pandang macam tu? Tak pernah tengok orang ke?” Lelaki itu menjeling kerana ditegur begitu oleh Nurin, mungkin termalu sendiri.

“Tak pernah tengok panda ada dekat UTM ni…” Lelaki itu bersuara, sengaja menyindir Nurin yang berpakaian kurung kelabu hari ini. Nurin melihat dirinya sendiri, lalu memandang tajam lelaki di hadapannya.

“Panda pun pandalah, asal cukup seperti yang disyariatkan. Saya pergi dulu, maaf sebab buta dan terlanggar encik ye.” Ujar Nurin pedas, lalu mula melangkah menjauhi.

“Eh, Nurin Jannah, awak nak pergi mana?” Nurin terhenti daripada terus melangkah.

“Ada apa?”

“Amboi-amboi… lupa dah? Nak bagi resit, nak claim…” Nurin meneguk liur sekian kalinya. Ingat dah lepas, getus hati Nurin. Bibirnya diketap, lalu kembali melangkah mendekati lelaki itu yang mula berjalan ke arah keretanya. Kalau tadi, dia berlari untuk mengelak hujan, kini tidak lagi. Dibiarkan sahaja hujan membasahi tubuhnya yang sendiri sudah basah dek berpeluh memikirkan jumlah yang perlu dibayar.

“Here you are… tak mahal pun. RM800 aje.” Lelaki itu menghulurkan resit ke arah Nurin yang berada di depannya.

“Lapan…Ratus…?” Nurin mengambil resit tersebut lalu membeleknya beberapa kali. Biarpun lebih rendah daripada dijangka, tapi jumlah itu sememangnya akan mengambil separuh daripada duit pinjamannya semester ini.

“Cash or check?”

“Apa?” Nurin menyoal, lelaki itu merengus perlahan.

“Awak nak bayar, cash or check?”

“Erm… cash tapi…”

“Tapi apa? Takde diskaun okay…” Cepat sahaja lelaki menjawab seolah-olah sudah dapat membaca fikiran Nurin. Nurin mengigit bibir. Duit pinjamannya cukup-cukup sehingga habis semester, kalau separuh dikeluarkan untuk dibayar kepada lelaki ini, pasti duitnya tidak cukup hingga ke hujung semester.

“Saya bayar minggu depan boleh?” Nurin cuba berkompromi. Lelaki itu menjungkit keningnya sebelum mengangguk perlahan.

“Okay, next week. Saya masih ada nombor telefon awak, Nurin Jannah. Jangan mengelat atau cuba-cuba nak lari.” Lelaki itu seolah-olah cuba mengugutnya. Nurin hanya mampu mengangguk.

“Tak lari. Saya dah lewat ni, saya pergi dulu. Terima kasih ye bagi saya tempoh untuk bayar. Assalamualaikum.” Suara Nurin perlahan dan lemah sekali.

“Waalaikummusalam. Dah lewat ni, ada bas lagi ke?” Baru Nurin hendak melangkah pergi, lelaki itu bersoal lagi.

“Saya dah lewat nak solat asar, dah 6.50. Bas kolej saya dah lepas pun, saya tunggu bas malam pulak.” Ujar Nurin pantas.

“Okay.”

Nurin melangkah laju ke arah Masjid yang hanya beberapa meter di hadapan. Bajunya sudah basah ditimpa rintik hujan. Hendak pulang, mesti dia akan terlepas Asar. Nampaknya dia terpaksa solat dalam keadaan yang tidak berapa selesa.

Dari depan masjid, Nurin memandang kereta BMW hitam metallic itu meluncur keluar daripada parkirnya sehingga hilang daripada pandangan. Mungkin rezeki RM800 semester ini bukan miliknya. Nurin redha.

+++++++

Nurin melangkah perlahan ke arah bangunan SUB. Disebabkan hujan sudah berhenti, Nurin mengambil keputusan untuk menunggu bas di hadapan Fakulti Eletrik sahaja, lagi pula takut untuk dia melintasi bangunan Fakulti Alam Bina yang sunyi dan agak menyeramkan. Banyak cerita yang didengarnya sewaktu dia menetap di Kolej Tun Fatimah dulunya.

Sebelum terus ke hentian bas, Nurin melangkah ke arah bank CIMB yang ada di bangunan SUB, niatnya untuk melihat baki wang yang ada. Seingatnya masih ada RM1600 lagi di dalam akaunnya. Kuliah baru sebulan lebih berjalan, duit hanya akan banyak digunakan ditengah-tengah semester yang mana lebih banyak projek dan tugasan akan dijalankan. Nurin mengeluh sendiri.

“Seribu enam ratus… tolak lapan ratus…” Nurin mengeluh perlahan. Cukupkah RM800 untuk 3 bulan lebih dia di sini? Nurin berkira-kira sendiri. Hendak meminta kepada Acik Emah, pasti dia akan dileterinya. Mak tirinya itu sangat berkira apabila timbul soal wang. Kalau abah masih ada, tidak pula dia begitu. Nurin sedar, dia hanya anak tiri Acik Emah, penerimaan Acik Emah untuk menjaganya selama ini, dia sudah rasa lebih daripada syukur biarpun dia tahu Acik Emah tidak suka kepadanya kerana abah terlalu menunjukkan sayangnya kepada Nurin Jannah. Mungkin kerana itu, Acik Emah berasa cemburu. Setelah abah pergi Acik Emah lebih menunjukkan marahnya berbanding sewaktu abah masih bernafas. Nurin mengeluh lemah.

Nurin mengatur langkah perlahan menuruni tangga dilereng bukit itu untuk ke Fakulti Elektrik. Dalam beberapa minit lagi bas untuk ke kolejnya akan tiba. Malam ini tidak sesunyi hari biasa, memandangkan hari ini adalah hari jumaat. Jadi para pelajar akan menghabiskannya di kafeteria bersama-sama rakan ataupun keluar menonton wayang, memandangkan esok adalah hari minggu.

“Seorang aje?” Tegur Pengawal yang kebetulan lalu di situ.

“Ye, Pak cik, saya seorang aje.” Jawab Nurin berbahasa.

“Hati-hati, lain kali bawa kawan sekali. Bahaya malam-malam macam ni.” Pengawal itu menegur. Terpaksa. Selalunya kalau Nurin ke perpustakaan pada malam hari, pasti Azra yang akan menemani. Tetapi malam ini dia terpaksa pulang malam ke kolej kerana kesuntukkan masa. Dia bertawakal kepada Allah sepenuhnya untuk perlindungan.

Pengawal itu berlalu, mungkin mahu mengawasi kawasan pentadbiran dan kawasan fakulti yang berhampiran. Nurin duduk di atas benteng jalan menunggu basnya datang. Dalam fikirannya berkira-kira wang perbelanjaannya semester ini. Jenuh berjimat sepanjang semester. Bagaimana kalau-kalau ada tugasan yang memerlukan jumlah wang yang besar?

Telefon yang berdering mematikan lamunan Nurin Jannah.

“Helo…”

“Nurin, kau kat mana? Kenapa tak balik lagi ni?” Azra bersoal resah. Nurin tidak pernah selewat ini seorang diri.

“Aku dekat fakulti tengah tunggu bas. Kelas lewat habis tadi.”

“Oh… kau dekat mana? Aku nak keluar makan ni, aku boleh pergi ambik kau.” Azra bersuara lagi.

“Takpe lah Ra, kau mesti nak keluar dengan Megat kan?” Nurin sudah lali dengan jadual hujung minggu Azra, pastinya dihabiskan bersama-sama teman lelakinya Megat. Nurin tidak berapa suka dengan Megat yang jelas hanya mengambil kesempatan atas kesenangan Azra. Selalu aje kereta Azra dipinjamnya tapi tidak pernah mengisi minyak, kalau rosak lagilah. Tidak pernah pula mahu menolong Azra membaiki malah teman ke bengkel pun tidak pernah. Mahu bersuara, siapalah dia, takut pula digelar ‘busy body’!

“Ala, aku ambil kau then hantar balik kolej. Kau sorang-sorangkan?” Baru hendak menjawab, sebuah kereta berhenti betul-betul dihadapan Nurin. Nurin lantas bangun dari duduk.

“Ra, takpelah, nanti apa-apa aku call okay. Have fun!” Talian dimatikan. Tingkap kereta dihadapannya itu perlahan-lahan terbuka.

“Jom, saya hantar awak balik kolej.” Lelaki BMW! Nurin tercengang seketika.

“Takpelah, kejap lagi bas saya sampailah.” Ujar Nurin sambil melihat sekilas jam tangannya.

“Serius? Tak takut ke dekat pengawal bangunan tu? He is not Malaysian I think…” Lelaki itu seakan mahu menakut-nakutkan Nurin. Nurin kalih memandang ke arah pengawal bangunan Fakulti Elektri itu, memang bukan orang Malaysia. Alamak! Kenapa tak perasan dari tadi?

“Erm… takpe ke saya tumpang, jauh jugak kolej saya.” Nurin teragak-agak.

“Takpe, saya caslah tambang minyak nanti.” Ujar lelaki bersahaja sambil membuka pintu dari dalam. Mahu tak mahu, Nurin melangkah masuk ke dalam kereta BMW lelaki itu.

“Kolej awak?”

“Kolej 9, dekat stadium.” Lelaki itu mengangguk perlahan.

“Encik rumah dekat mana?” Nurin cuba berbasa basi. Takkan mahu berdiam diri sahaja, sudahlah orang bagi tumpang.

“Encik? Awak tak tahu nama saya?” Nurin menggeleng. Lelaki itu hanya tersenyum menampakkan giginya yang putih bersih.

“Nurin Jannah, saya Tareeq Sufean. Boleh panggil saya Tareeq or Sufean, mana-mana yang selesa.” Lelaki itu memperkenalkan diri.

“Oh…Panjang nama Encik Sufean…” Tareeq tersenyum lagi apabila Nurin menggelarnya Encik dipangkal nama. Gadis ini terlalu jujur dan naïf, getus hati Tareeq.

“Rumah saya dekat Pulai Perdana, kenapa? Nak datang rumah ke?” Nurin pantas menggeleng.

“Saja tanya… Encik Sufean, boleh saya cakap sesuatu” Tareeq mengerut dahi.

“No diskaun, fix price.” Tareeq seakan boleh meneka apa yang ada difikiran Nurin. Nurin mengetap bibir. Baru hendak membuka mulut, mereka telahpun sampai di hadapan Kolej Kediaman Nurin.

“Okay… cas tambang kira sekali dalam ‘hutang’ ye?” Tareeq cuba berseloroh.

“Erm… saya nak tanya satu aje soalan, boleh? Bukan pasal diskaun…” Tareeq mengangguk, melihatkan raut wajah Nurin yang serius, membuatkan dia tidak mahu mengusik gadis itu lagi.

“Antara pilihan, cash or check yang Encik Sufean bagi petang tadi, ada tak pilihan lain, pilihan ketiga misalnya?” Tareeq mengerut dahi, keluhan terluah dari bibirnya.

“Hanya antara dua, tunai atau cek. Takde ketiga dan tidak ada diskaun. Kenapa?”

“Lapan ratus tu jumlah yang besar bagi saya… kalau ada yang ketiga mungkin saya boleh jelaskannya.” Tareeq yang tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Nurin hanya mengerut dahinya. Nurin menarik nafas.

“Encik Sufean belajar atau bekerja di UTM ni?”

“Lecturer sambilan.”

“Kalau macam tu, boleh saya bayar dengan bekerja untuk Encik, boleh? Saya akan kerja sampai Encik Sufean rasa sudah cukup lapan ratus.” Entah bila idea ini muncul difikiran Nurin. Tareeq tersenyum hujung bibir.

“Kenapa tidak awak bekerja sambilan dan bayar dekat saya. Saya tambah tempoh sampai sebulan or dua bulan. Saya tak perlukan pekerja.” Tareeq bersuara tegas.

“Please…” Nurin cuba untuk meminta belas kasihan daripada Tareeq.

“No, untuk makluman awak, Nurin Jannah, harga tu saya dah kurangkan separuh, sebab saya tahu awak adalah pelajar. I’ll give you a month untuk sediakan lapan ratus ringgit sahaja.” Tareeq bertegas, sengaja ditekankan jumlah wang tersebut. Nurin mengalah, dia tahu dia tidak dapat mengubah apa-apa lagi. Sekarang dia hanya perlu menyediakan RM800 untuk membayar kerosakan kereta yang sama sekali bukan dia yang melakukannya.

“Terima kasih tumpangkan saya. Minggu depan hari Khamis saya bayar duit awak. Pukul 2 petang tunggu depan library. Assalamualaikum.” Kalau tunggu sehingga sebulan tentu-tentu sahaja duit dalam simpanannya akan susut. Adalah lebih baik dia memberikan wang itu dengan segera kepada lelaki yang bernama Muhammad Tareeq Sufean itu.

++++++++++++

Tareeq meluncur laju pulang ke rumahnya. Bukan tidak kasihan, tapi tanggungjawab adalah tanggungjawab. Itu yang pegang selama ini. Baginya RM800 itu tidak terlalu besar, dan boleh dibayar oleh sesiapa sahaja.

“Waalaikummussalam. Mama…” Dari hujung talian Ibunya pantas memberikan salam.

“Lama Ean tak call mama?” Tareeq tersenyum, bukan sengaja tapi terlalu sibuk dengan tugasan barunya sebagai pensyarah sambilan. Pagi ke pejabat sebagai arkitek, tengah hari dia akan mengajar. Hanya dua kali dalam seminggu, sebab itu dia menerima jawatan tersebut. Bukan lama mana dia tidak menghubungi ibunya, baru tiga hari dia terlepas untuk mendengar khabar ibu.

“Ean agak busy sekarang mama. As you wish mama, Ean sekarang pensyarah sambilan. Kira pendidik jugalah, betul tak?” Kedengaran tawa halus dihujung talian sana.

“Alhamdulillah, sejuk perut mama… Eh, mama nak tanya pasal kes kereta Ean yang luka parah tu? Apa cerita?”

“Cerita tak best pun ma… Ean tak boleh polish aje, sebab luka dalam. So kena jahit semula, whole part yang luka tu.”

“Mahal la macam tu? Kesian budak tu nak bayar.”

“Ean minta half aje ma…”

“How much?”

“Lapan ratus aje.”

“Aje? Banyak tu Ean… she can pay it?”

“Dia beralasan jugak, tapi ma… itu tanggungjawab diakan, lagi pun lapan ratus aje. Bukan lapan ribu.” Tareeq membela diri. Dia tahu ibu seorang yang sangat pemurah, tambah-tambah soal wang ringgit. Kata ibunya, ‘Papa tinggalkan wang banyak untuk kita buat kebajikan, untung-untung papa merasa pahala yang kita cuba cari untuk dia kat sana, betul?”

“Kalau dia dapat JPA or apa-apa biasiswa, lapan ratus memang tak berapa besar. Tapi kalau PTPTN, jumlah tu macam dah half duit dia tau tak?” Ibu Tareeq mula bersuara. Kadang kala dia risau dengan sikap anaknya yang satu itu, tegas dan kurang timbang rasanya.

“Mama nak kata Ean ni tak berperikemanusian?”

“Tak, lebih kepada tidak prihatin. Berapalah sangat lapan ratus tu dengan gaji Ean? Tak kurang sikit pun kan?” Ibu Tareeq menyindir.

“Tanggungjawab adalah tanggungjawab. Kalau kita baik sangat mama, orang akan pijak kepala.” Tareeq tetap dengan pendiriannya.

“Apa-apalah Ean, tapi mama hanya nak pesan, pendirian yang kita pegang kadang-kadang perlu lihat kepada keadaan dan siapa yang kita berdepan. Siapa tahu, nasib dia tak sama macam kita? Faham sayang?” Tareeq hanya mendiamkan diri. Setelah memberi salam, talian dimatikan. Ibunya selalu sahaja membuatkan dia berfikir dua kali atas tindakannya tapi tidak pula dia mengubah tindakannya, menyesal? Jauh sekali.

Dari kecil dia dibiasakan bertanggungjawab atas setiap sesuatu yang dilakukan. Kesalahan dan kesilapan kecil yang dilakukannya pasti akan dihukum oleh papa. Papa selalu berkata, jadi lelaki kena biasa dengan tanggungjawab, sebab lelaki adalah ketua dan pemutus keputusan dalam sesuatu hal serta seorang pengatur rancangan. Jadi perlu sentiasa bertanggungjawab sekiranya tersalah dalam membuat keputusan atau mengatur rancangan. Jadi dia tidak fikir apa yang dilakukan sekarang adalah salah. Salah ke?

PART 3 :

Nurin merenung barang-barangan projeknya. Aluminium yang menjadi punca permasalahan dia sekarang, di ambil dan direnung tajam. Tukul yang sedari digenggamnya, dihentak kuat ke atas aluminium itu. Bagai melepaskan segala amarah dan tekanannya. Azra yang baru masuk ke dalam bilik, terkejut dengan perlakuan Nurin yang tidak pernah sebegitu.

“Woi, nak bagi rosak ke apa?” Nurin memberhentikan perlakuan setelah ditegur. Tukul dan aluminium dicampak ke lantai. Keluhan berat dilepaskan, kedua lututnya ditarik ke dada.

“Stress!”

“La… stress rupanya. Lepaskan dekat aluminium tu? Pelik pelik aje kau ni Nurin.” Azra meletakkan beg sandang ke atas meja. Nurin yang sedang bersila di lantai didekati dan turut melabuhkan duduk di sisi Nurin.

“What happen? Lately kau asyik menung aje?” Nurin memandang Azra yang menyandar bahu ke bahunya. Keluhan dilepaskan sekian kalinya.

“Mulai esok, aku kena diet, tak boleh nak boros-boros. Kena ikat perut.” Ujar Nurin sayu sambil memeluk perutnya.

“Kenapa pulak?” Nurin menekup muka ke lututnya.

“Esok aku kena bayar RM800 dekat mamat BMW tu…” rengek Nurin.

“What? Lapan ratus? Mahalnya…”

“Dia kata dia minta half daripada yang sepatutnya…” Nurin menjelaskan.

“Memang la, dia naik BMW, jadi lapan ratus bukan satu jumlah yang besar bagi dia. Tapi kita?” Nurin mengangguk perlahan.

“Aku tahu, tapi nak buat macam mana, dah dia minta banyak tu. Aku dah cuba minta cara lain untuk bayar tapi…”

“Cara lain? Jangan kata kau?” Nurin menepuk kuat dahi Azra. Geram!

“Kau ni jangan fikir kotor boleh? Aku waras lagi tau. Dia kan pensyarah, mana tau boleh jadi tea lady kat ofis dia ke, betul tak?” Azra hanya mengangguk dengan sengihan sambil menggosok dahinya.

“Dia tak nak?”

“Saya tak perlukan pekerja” Nurin meniru gaya Tareeq Sufean. Azra hanya ketawa. Nurin mencebik.

“Kau ada duit tak nak bayar? Kalau tak, aku boleh pinjam daripada ayah aku dulu.” Nurin menggeleng laju dengan senyuman. Azra memang baik hati, tapi itu bukan bermakna Nurin akan cuba mengambil kesempatan atas kebaikan sahabatnya itu.

“Aku ada duit. PTPTN kan dah masuk.” Azra mengecilkan matanya. Nurin ketawa kecil.

“Don’t worry, kalau aku sesak nanti aku minta tolong kau okay?”

“Betul? Jangan sampai tak makan tau… ingat aku ada untuk kau, susah senang aku akan ada untuk kau.” Nurin mengangguk faham. Azra dikenali semenjak semester pertama lagi. Umur yang sebaya dan kursus yang di ambil sama membuatkan hubungan mereka sangat akrab, sehinggakan rakan-rakan sekuliah mengatakan wajah mereka ada iras-iras.

+++++++++++

Nurin menapak laju ke arah Perpustakaan Sultanah Zanariah. Jam ditangan dibelek beberapa kali. Dia sudah lewat lima minit! Bank CIMB sesak dengan pelajar-pelajar yang mahu mengeluarkan duit, terpaksalah Nurin beratur panjang untuk mengambil wang. Tinggal dua orang sahaja di hadapannya, mesin ATM kehabisan wang! Terpaksalah menunggu lebih kurang 20 minit untuk pihak bank mengisi semula wang ke dalam mesin ATM.

Dari kejauhan Nurin sudah dapat melihat susuk tubuh Tareeq Sufean yang berdiri tegak betul-betul di tangga perpustakaan. Nurin mempercepatkan langkahnya, hampir sahaja dia berlari. Dek kerana memakai baju kurung, terpaksalah dia menjadi sedikit sopan. Takut juga tersungkur tengah jalan, malu!

“Ingatkan dah tak jadi datang.”Sindir Tareeq sambil matanya tepat memandang ke arah jam ditangannya.

“Maaf, hal yang tak dijangka.” Suara Nurin dalam cungap mencari udara untuk bernafas. Terasa bagai berlari pecut 200 meter sahaja.

“I hate to wait. Kalau students saya, dah lama meraung sebab tak dapat masuk kelas.” Tareeq masih setia untuk mencari fasal. Nurin melepas lelah, sakit hati dengan sindiran Tareeq yang tidak habis-habis.

“Syukur, saya bukan student Encik Sufean.” Jawab Nurin bersahaja. Tangannya pantas sahaja menyeluk ke dalam beg galasnya.

“Nak jadi pendidik kena disiplin, baru berjanji dah tak tepati. Macam manalah nasib anak-anak saya nanti.” Tareeq bersuara lagi, entah kenapa bibirnya sengaja mencari jalan menyakiti hati Nurin Jannah.

“Pendidik juga orang biasa. Maaf sebab saya lambat daripada masa yang saya janjikan. Saya hanya merancang Allah juga yang menentukan. Saya ada sebab kenapa saya lambat, jadi saya minta maaf. Ini…” Nurin menyerahkan satu sampul surat putih yang mengandungi wang RM800 seperti yang dipinta.

“Mujur janji ini tidak dimungkiri…” Tareeq mengambil sampul surat itu, lalu menyimpannya terus ke dalam poket seluar.

“Eh, tak kira dulu? Mana tahu tak cukup…” Ujar Nurin sekadar ingin menyindir.

“Saya percaya Nurin Jannah orangnya jujur, bakal guru pastinya baik-baik orangnya. Assalamualaikum” Ujar Tareeq sambil mengenyitkan sebelah matanya, lalu terus berlalu ke arah keretanya. Nurin hanya mencebik bibir, ada-ada sahaja! Kakinya terus diayun melangkah masuk ke dalam perpustakaan, ada tugasan yang perlu diselesaikan. Inilah rutin harian Nurin jika tiada kelas yang perlu dihadiri. Kalau tidak ke perpustakaan, Nurin akan menghabiskan masanya di Masjid. Jika dulu, masanya lebih banyak dihabiskan bersama Azra, namun kini tidak lagi. Nurin menghormati kawannya yang kini sudah punya kekasih hati, mereka mungkin perlukan ‘privacy’.

+++++++++++

Tareeq mengeluarkan sampul surat putih itu daripada poket seluarnya. Beg kerjanya diletakkan ke atas meja, lalu melangkah ke arah sofa yang berada di penjuru bilik. Tubuhnya dilabuhkan ke sofa. Tali leher yang sedari tadi menjerut dilonggarkan sedikit.

“Rezeki hari ini…” Tuturnya Tareeq dengan senyuman. Not RM50 sebanyak 16 keping itu ditarik keluar dari sampulnya, satu keping kerta yang sudah berlipat dua terjatuh daripada sampul itu. Tareeq memandang sekilas, lalu tunduk mengambilnya.

“Apa ni…?” Tangannya cepat sahaja membuka lipat kertas kecil itu, dia tergelak kecil dengan kerutan di dahi.

“Aik, takkan slip bank pun nak bagi…” Tareeq bersuara sendiri sambil tersenyum besar. Namun tak lama, senyumannya mati. Hatinya dipagut rasa bersalah.

“Salah ke apa aku buat ni?” Tareeq bersuara sendiri. Duit digenggamannya dipandang lama. Malas berfikir lagi, duit itu dimasukkan ke dalam sampul dan diletakkan di meja kecil di tepi sofa. Tareeq lantas bangun untuk membersihkan diri, tuala di ambil lalu terus memboloskan diri ke bilik air.

+++++++++

Semua beg diselongkar. Buku-buku dan alat tulis semua dikeluarkan. Isi dompetnya sudah berselerakkan di atas katil. Nurin berdiri tegak, jari jemarinya bermain dibibir. Di mana? Sekali lagi semua beg itu diselongkarnya satu persatu. Buku-buku diselak setiap helaiannya.

“Jumpa?” Azra yang sedang mengeringkan rambutnya dengan tuala kecil menegur Nurin yang masih berbaju kurung. Hanya tudung sahaja yang sudah tercabut daripada kepalanya.

“Tak… Ish, aku tak tau kat mana aku letak.” Azra menggeleng.

“Tak penting pun…” Nurin menggaru-garu kepalanya. Serabut jadinya rambut yang sedia serabut tidak dikemas.

“Memang, tapi aku bukan jenis buang, kau tau kan? Setiap kali aku draw duit, mesti aku simpan. Tadi pun aku simpan macam selalu.” Nurin merungut lagi.

“Dah tu, kau letak mana? Selalu kau letak mana?” Azra yang sudah duduk di kerusi meja belajarnya menyoal.

“Selalunya, lepas ambil duit dan slip tu, aku lipat masuk dompet. Tadi… Alamak!” Nurin menekup mulutnya yang hampir menjerit kuat.

“Ha… kenapa-kenapa?” Azra terkejut dengan reaksi Nurin yang tiba-tiba.

“Entah-entah, aku terbagi sekali dekat mamat BMW tu, ala…” Azra menggeleng kepala.

“Kau ni, buat aku terkejut je, ingatkan apa lah.” Nurin mengetap bibir. Keningnya bertaut.

“Malunya… nampak sangat miskin.” Azra mengerut dahi.

“Apa cakap macam tu? Syukur masih boleh belajar lagi, ada lagi orang yang susah tau.” Nurin berdecit, langkahnya dihentak kuat kea rah katil, lalu menghempaskan badannya. Bantal bulat kesayangannya di ambil lalu ditekup ke muka.

“Dah settle kan problem kau ni? Aku nak study, jangan buat bising ye. Kemas balik beg-beg tu semua.” Azra menegur, malas melayan sikap Nurin yang kadang kala terlalu keanak-anakan. Azra akui, Nurin memang tidak pernah berkongsi masalah keluarganya apatah lagi masalah kewangan. Tetapi setelah lama bersama dengan Nurin, dia tahu Nurin sering sahaja menghadapi kesesakan wang, namun tidak pernah meminta pertolongannya.

“Ra… Dulu Megat pernah kata, lecturer fakulti dia cari orang yang nak kerja housekeeping kan?” Nurin tiba-tiba bersuara dari balik bantalnya.

“Yup… kenapa kau nak ke?”

“Ada kosong lagi?”

“Nanti aku tanyakan, tapi sempat ke Nurin? Kelas kita agak padatkan, dengan projek akhir lagi?” Nurin terdiam sekejap.

“Terpaksalah, kalau tak jenuh aku nak ikat perut, kau tanya Megat nanti ye?” Azra hanya mengangguk perlahan lalu membalas senyum kepada Nurin yang nyata gembira apabila dia bersetuju untuk bertanyakan kepada Megat.

“Nak mandi kejap…” Tutur Nurin kembali bersemangat, lalu terus keluar dan hilang dibalik pintu.

“Kesian kau Nurin…” Azra mengeluh perlahan.

+++++++++

Nurin mengurut-urut kakinya yang sudah lenguh berdiri. Sudah sejam dia menunggu Megat di depan Fakulti Alam Bina itu, namun kelibat bayangnya pun tidak menjengah tiba. Dek kerana pekerjaan sambilan yang diingininya, dia sabarkan juga menunggu.

“Sorry Nurin, aku lupa yang aku dah janji dengan kau, mujur Azra call aku tadi.” Entah dari mana Megat tiba-tiba sudah tercegat ditepinya. Nurin sabarkan hatinya dengan sikap Megat itu. Ikutkan marah, sudah lama Megat ini diganyang-ganyangnya.

“Takpe, kau dah datang pun.” Megat hanya mengangguk dengan wajah tiada riak bersalah sedikit pun.

“Jom, aku bawa kau jumpa Prof. Azizi, dia yang cari orang untuk kemaskan bilik-bilik lecturer fakulti aku.” Nurin hanya mengangguk, lalu melangkah membuntuti langkah Megat di depannya.

Setelah empat anak tangga dipanjat, akhir mereka tiba di bilik Profesor Azizi yang dikatakan oleh Megat sebentar tadi. Bilik Profesor Azizi diketuk perlahan, suara dari dalam yang menyuruh mereka masuk membuatkan Megat memutar tombol pintu dan melangkah masuk ke dalam, Nurin hanya mengikut tanpa membantah.

“Prof, ni lah student yang nak kerja dengan Prof tu.” Ujar Megat setelah salam diberikan kepada Profesor Azizi.

“Oh… iye-iye, saya dah lama suruh kamu cari, baru sekarang dapat?”

“Biasalah Prof, bukan semua nak buat kerja sambilan.” Ujar Megat berbahasa. Pandai pula dia jaga bahasa dia depan Profesor, hati Nurin membentak.

“Takpelah, nama siapa? Ambil kursus apa?” Profesor Azizi menyoal Nurin yang masih tidak bersuara.

“Nama saya Nurin Jannah, saya Fakulti Pendidikan.”

“Cikgu lah ni? Cikgu memang rajin, bukan macam bakal-bakal arkitek ni, minta tolong yang dapat upah pun payah.” Profesor Azizi cuba menyindir dalam gurauannya. Nurin hanya ketawa kecil, Megat terkulat-kulat dalam sengihannya.

“Kamu boleh kerja malam Nurin? Kalau siang takut kamu ada kelas atau macam mana?” Profesor Azizi cuba berkompromi dengan Nurin. Megat sedari tadi sudah berlalu pergi setelah tugasnya selesai.

“Malam saya susah sikit Prof, saya takde transport, tapi kalau setakat pukul 10 malam boleh la…” Profesor Azizi mengangguk perlahan.

“Kalau macam tu, kamu mula pukul 6 petang sampai pukul 9 malam. Masjid dekat, kafe dekat, so taklah kamu terkejar-kejar kan? Saya kena selesaikan kerja ni sebelum Januari, sekarang dah tengah November, susah kamu je nanti.” Profesor Azizi menjelaskan semua dengan terperinci. Bila masuk tahun baru, pihak Audit 5S akan mula beroperasi.

“Bolehlah, saya akan cuba siapkan sebelum Januari.” Nurin bersetuju walaupun agak berat juga untuk dia bekerja setiap hari dari pukul 6 petang sehingga malam. Kelasnya sahaja kadang kala habis selewat jam 7 petang.

“Jangan terkejut pula nanti tengok bilik-bilik pensyarah dekat sini ye…” Profesor Azizi berseloroh. Nurin hanya tersenyum lebar, dia sendiri tahu bagaimana keadaan bilik pensyarah, yang kadang kala kelihatan seperti gua buku-buku dan kertas!

+++++++++

Nurin mengelap peluh yang mengalir di pipinya. Tudung yang terasa serabut, dibetulkannya. Tangannya dikibas-kibas bagi membuang habuk yang melekat. Nurin berdiri bercekak pinggang, akhirnya! Setelah tiga hari berhempas pulas, bilik Profesor Azizi siap dibersih dan dikemaskan. Nurin tersenyum sendiri, esok bilik pensyarah lain pula, minta-minta tak seteruk ini. Kotak yang mengandungi barang-barang tidak digunakan lagi di angkat untuk dibawa ke bilik kosong di hujung bangunan. Barang-barang ini akan dikelaskan mengikuti barang boleh kitar semula dan tidak boleh dikitar semula.

“Prof, saya….” Tareeq yang baru hendak memasuki bilik Professor Azizi, kini basah kuyup dengan air kopi ais.

“Eh, saya minta maaf, saya tak nampak ada orang masuk.” Nurin mengibas kibas kain buruk itu ke arah tumpahan kopi itu, tanpa langsung mengangkat wajah.

“Stop it…” Tareeq bersuara setelah melihat Nurin mengelap tumpahan air kopi yang mengenai baju kemeja putihnya dengan kain buruk. Nurin yang sudah kelam kabut dengan rasa serba salah, terus sahaja mengibaskan kain buruk itu ke arah kesan tumpahan kopi.

“I said, stop it!” Tareeq bersuara kuat dan tegas. Profesor Azizi yang baru masuk juga terkejut dengan jerkahan itu. Nurin terkaku, keras tidak bergerak, mata terus sahaja melekap pada wajah Tareeq.

“What happened?” Ujar Profesor Azizi.

“She ruined my shirt!” Muka Tareeq mula memerah, marah. Nurin sebaliknya, dia menjadi kaku, tidak bersuara. Nurin sangat takut dimarahi apatah lagi jika dijerkah sebegitu.

“Nurin, apa kamu buat ni?” Profesor Azizi menyoal dengan lembut, tidak mahu menambah tekanan kepada gadis itu.

“Saya betul-betul tak sengaja. Saya minta maaf Prof, Encik Sufean…” Jawan Nurin terketar-ketar.

“Nurin kenal Dr. Tareeq Sufean?” Soal Profesor Azizi. Nurin terkedu sebentar, tidak tahu lelaki itu sudah berpangkat Doktor di awal nama. Doktor pada usia muda? Lelaki ini terlalu hebat!

“She always brought me no luck!” Tareeq masih dalam amarahnya, tangannya mengibas kemejanya yang telah tercemar dengan warna kopi susu. Nurin terguris, ayat itu sering sahaja dituju kepadanya. Kalau dulu Acik Emah, sekarang Dr. Sufean, benarkah dia memang pembawa malang?

“Nurin, you can go now. Esok datang macam selalu ye.” Profesor Azizi bertindak mengawal keadaan. Kedua-duanya perlu dijaga hati dan perasaan, Nurin gadis yang baik untuk terus diberikan tekanan terutama daripada Dr.Tareeq Sufean!

+++++++++

Nurin duduk menekur lantai, sudah setengah jam dia duduk tegak di tepi tandas lelaki itu. Pelajar yang lalu lalang, memandangnya pelik. Iyalah, berdiri tegak betul-betul disebelah tandas lelaki. Untuk apa?

“Nah, hand-wash…” Tareeq menyerahkan bajunya yang telah dikotori tadi kepada Nurin. Mujur sahaja dia seorang yang well prepared, ada sehelai dua baju yang dibawa bersama di dalam kereta. Terkulat-kulat Nurin mengambilnya, kawasan yang kotor dibaju itu dibeleknya.

“Ingat, cuci guna tangan, bukan mesin. Kalau rosak baju saya, jaga awak!” Tareeq seolah-olah mengugut.

“Saya memang basuh baju-baju saya dengan tanganlah, saya faham baju Dr. Sufean mahal. Kalau takut sangat, nah bawa pergi dobi.” Nurin menghulur kembali baju kemeja itu kepada Tareeq, geram!

“Orang bila dah buat salah, bertanggungjawab. Bukan melawan!”

“Saya tak melawan, tapi Dr. Sufean yang takut sangat saya ni rosakkan baju Dr, jadi lebih baik Dr bawa pergi pakar aje. Betul tak?” Nurin menjawab tanpa bersalah. Geram dengan sikap Tareeq Sufean yang berlagak tu!

“Nurin, boleh tak kalau awak tak menjawab. Buat aje apa saya suruh, dah awak boleh pergi. Jaga-jaga depan tu gelap, kalau nampak or dengar apa-apa buat tak tahu aje.” Tareeq cuba mengusik. Nurin mencebik bibir.

“Allah ada, insyaAllah takde apa-apa.” Ujar Nurin bersahaja, Tareeq terkelu lidah, tiada modal untuk membalas. Padan! Bentak hati kecil Nurin. Baju itu dimasukkan ke dalam beg kertas yang ada, lalu terus melangkah ke arah hentian bas utama yang berada di hadapan bangunan Fakulti Alam Bina.

“How much you pay her, untuk kerja-kerja tu semua?” Soal Tareeq sewaktu mengadakan perbincangan kerja dengan Profesor Azizi malam itu. Sesekali dia menyisip air kopi ais kegemarannya.

“Looks like you’ve know her early than me.” Profesor Azizi cuba mengusik.

“Ya, disebabkan satu insiden melibatkan kereta kesayangan I tu…” Ujar Tareeq dalam nada berseloroh.

“Oh… I see. I paid her every week. Sehari lebih kurang tiga jam, satu jam RM3, so sehari I bagi RM10. For 7 days working, she got RM70. Berpatutankan?” Tareeq mengangguk kepala. Jumlah yang agak besar, tapi kerja-kerja house-keeping ni agak berat. RM70 pun boleh nampak kecil nilainya.

“You tak patut marah dia macam tu. Dia perempuan, ada jugalah beberapa kali I nampak dia cakap telefon kemudian menangis. I malas nak tanya, mungkin hal peribadi dia. Dia sangat rajin dan yang paling bagus, dia tak pernah merungut sikit pun.” Profesor Azizi cuba menegur secara lembut.

“Entahlah, marah saya meletus. Mungkin terkejut, lagi terkejut bila tengok muka dia, kali ketiga jumpa dia dan berlaku kemalangan. Malang tak berbaukan?” Mereka ketawa kecil.

“Dia cantik juga orangnya, sopan pulak tu.” Tareeq mengerut dahi.

“Prof nak tambah satu lagi ke?” Profesor Azizi gelak besar dengan soalan Tareeq.

“You jangan buat tak faham, you dah sampai umur di mana seorang lelaki perlukan seorang peneman. Nurin Jannah, calon sesuai untuk dijadikan isteri. Peluang datang sekali aje tau.” Tareeq menelan liur, pulak? Akhirnya, perbualan mereka berakhir dengan begitu sahaja. Tareeq hanya mampu tersengih hujung bibir, tidak tahu untuk berkata apa. Jangan main-main dengan orang tua, kata-kata mereka selalunya menjadi!

PART 3 :

Nurin tercungap-cungap menaiki tangga. Kelasnya baru sahaja tamat, setelah itu dia bergegas ke Fakulti Alam Bina yang tidak jauh daripada Fakultinya. Hari ini dia akan bekerja di bilik pensyarah yang lain. Menurut Profesor Azizi, pensyarah itu akan ada malam ini. Semua tugas kerjanya akan diberitahu oleh pensyarah itu sendiri.

Pintu bilik diketuknya perlahan, lalu tombol pintu dipulas perlahan lantas salam diberikan.

“Waalaikummusalam. Please come in.” Suara itu terlalu biasa di telinga Nurin. Wajah pensyarah itu tidak dapat dilihat kerana dia sedang duduk di kerusinya sambil memandang ke arah bertentangan, seperti sedang mengambil sesuatu di almari belakangnya. Hati Nurin berasa tidak senang. Janganlah dia, Nurin berdoa di dalam hati.

“Saya Nurin Jannah yang bekerja bawah Prof Azizi.” Nurin memperkenalkan diri. Sebaik sahaja kerusi itu dipusing, Nurin terpempan. Dia lagi?

“Saya tahu, terima kasih sebab datang walaupun lambat daripada yang dijanjikan.” Ujar Tareeq tanpa memandang ke arah Nurin sedikit pun, tangannya ligat menyelek helaian kertas di hadapannya.

“Saya minta maaf. Kelas saya baru habis pukul 6.15 tadi.” Nurin cuab menjelaskan.

“Takpe, saya faham. Lagipun ini bukan kali pertama awak lambatkan.” Entah kenapa Tareeq suka benar menyindirnya.

“Dr. Sufean nak saya buat apa?” Tareeq mengangkat muka memandang tepat ke anak mata Nurin yang sedang memandangnya. Beberapa ketika, Nurin mengalihkan wajah ke tempat lain.

“Memandangkan saya pensyarah sambilan, jadi saya dapat bilik lama. Tapi bilik ni agak besar. Barang-barang saya, hanya apa yang ada di meja dan rak belakang ni aje.” Tangan Tareeq digawang ke arah kawasan yang menempatankan barangannya.

“So, selain daripada tempat yang saya tunjuk tu, awak boleh masukkan ke dalam box. Boleh?” Tareeq memberikan penerangan yang terperinci dan jelas. Nurin mengangguk faham.

“Okay, kalau faham, awak boleh mula.” Ujar Tareeq dengan senyuman. Tareeq menyambung kembali kerja-kerja yang tertangguh tadi.

“Dr.Sufean, boleh saya buka pintu ni sikit?” Tareeq memandang Nurin seketika, lalu mengangguk bersetuju. Dia memandang Nurin yang cuba menyekat pintu supaya terbuka sedikit. Bahaya juga kalau berdua-dua dalam bilik waktu malam begini, naya kalau kena cekup!

Mereka berdua senyap membuat kerja masing-masing. Tidak seperti selalu, pasti ada sahaja perkara yang membuat mereka berlawan kata. Nurin mula mengemas rak-rak buku yang ada. Sambil mengemas, Nurin membelek setiap buku, siapa tahu ada buku yang masih elok dan boleh digunakannya.

Suara azan Maghrib memberhentikan kerja-kerja Nurin. Beg sandangnya di ambil dan bekal air dikeluarkan, setelah membaca doa, Nurin meneguk beberapa kali air tersebut. Satu beg plastik kecil dikeluarkan, ada beberapa biji kurma di dalamnya. Nurin ambil satu kurma lalu dijamahnya perlahan. Tanpa dia sedari, tingkah lakunya diperhatikan oleh Tareeq dari arah meja kerja. Tangan Tareeq masih menyelak helaian kertas tetapi matanya tekun melihat tingkah Nurin yang duduk di lantai.

“Awak puasa Nurin?” Nurin terkejut dengan teguran itu, hampir sahaja dia tersedak akibat terkejut.

“Ye, puasa.” Nurin membalas ringkas.

“Rajin puasa. Ganti ke?” Wajah Nurin memerah dengan persoalan itu.

“Tak, puasa sunat.” Nurin cepat-cepat menjawab. Tareeq tersengih sendiri. Nurin mengemas beg sandangnya. Lalu berdiri berdepan dengan Tareeq yang masih duduk di kerusi.

“Dr. Sufean, saya pergi solat dulu ye.” Tareeq memandang Nurin yang berdiri di hadapannya.

“Awak solat dekat mana?”

“Saya pergi masjid, dekat aje.”

“Berani?”

“Dah biasa beberapa hari ni…”

“Toilet perempuan hujung sini aje, awak ambil wuduk then solat dekat dalam bilik ni je. Bolehkan, dekat sikit daripada masjid.” Tareeq memberikan cadangan. Nurin berfikir-fikir, dia segan sebenarnya duduk berdua dengan Dr.Sufean malam-malam begini. Kalau ke masjid sekurang-kurang dia boleh berehat beberapa minit daripada terus berada di depan Dr. Sufean.

“Jom, saya pun nak pergi ambil wuduk.” Tanpa sedari, Tareeq sudah siap menyinting tangan kemejanya ke siku. Nurin yang mengelamun sendiri, terpinga-pinga. Nak tak nak, dia sudah terlambat untuk mengelak. Nasiblah!

++++++++++

Tareeq meletakkan pen yang sedari tadi digunakannya ke atas meja. Nurin masih leka membersihkan rak-rak buku, ada yang sudah siap dimasukkan ke dalam kotak, dan ada juga yang masih bertaburan di lantai.

“Kenapa awak buat kerja part-time?” Nurin kalih memandang Tareeq yang tiba-tiba bersuara.

“Nak cari duit lebih.” Tareeq mengangguk perlahan.

“Sebelum ni pernah kerja part-time?” Soal Tareeq lagi.

“Tak, ni kerja pertama saya. Kalau dekat kampung selalulah buat part-time waktu cuti sem.” Nurin menjelaskan panjang lebar.

“Saya ke yang buat awak buat kerja part-time ni?” Tareeq menyoal lagi, jujur dia ingin tahu.

“Taklah, kenapa pula sebab Dr?”

“Sebab saya minta ganti rugi kereta saya tu…” Nurin tersenyum hujung bibir.

“Itu namanya rezeki Dr. Sufean, mungkin rezeki saya adalah dengan buat part-time ni.” Nurin menjawab sopan, malas mencari pasal. Tareeq tertarik dengan jawapan Nurin.

“Awak nak saya bagi kerja yang sama berat, tapi upah lagi tinggi. Kerja sekarang sebulan awak dapat lebih kurang RM280 kan. Kerja yang saya nak bagi ni double gaji awak sekarang. Nak?” Nurin berkira-kira, wajah Tareeq dipandangnya sekilas.

“Kerja apa Dr?” Tareeq tersenyum lebar, pancingnya mengena.

“Kerja jadi P.R saya. Nak?”

“P.R? Pembantu rumah?” Nurin terkejut, main-main ke apa ni?

“A’ah, basuh baju saya, kemas rumah saya yang sememangnya sedia kemas, masak untuk saya. Kerja yang lebih ringankan?” Tareeq ketawa kecil, Nurin mencerut wajahnya.

“Tak naklah saya.” Nurin menjawab senada. Malas melayan Tareeq yang selalu sahaja mencari fasal.

“Kalau kerja tu tak nak, ada satu lagi kerja, saya bayar lagi mahal. Seribu sebulan. Nak?” Nurin yang tahu Tareeq sedang main-mainkan, hanya mencebik bibir.

“Nak tak?” Soal Tareeq lagi.

“Ish, kerja apa lagi Dr? Tukang urut pulak?” Nurin menggigit lidahnya yang terlepas kata.

“Haa.. tu termasuklah dalam skop tugasan.” Tareeq ketawa lagi.

“Mengarut aje kerja-kerja Dr, kerja apa lagi Dr?”

“Jadi isteri saya.” Nurin ternganga.

“Saya kata nak, baru Dr tau.” Nurin membalas geram. Tareeq masih dengan sisa tawanya.

“Nak? Jom kita pergi masjid, nikah terus.” Nurin mencebik. Kalau layan ni, boleh sewel di buatnya, Nurin merungut dalam hati. Selepas itu mereka berdua masing-masing terus menyepi dengan kerja masing-masing.

Tareeq membelek jam yang sudah menunjukkan jam 8.30 malam. Nurin masih lagi tekun mengemas biliknya, senyap tidak bersuara walau sepatah pun. Tareeq mengemas kerja-kerjanya yang sudah selesai. Esok dia tiada kelas untuk mengajar, tetapi ada mesyuarat yang perlu dihadiri di pejabatnya. Buat dua kerja dalam satu masa memang memenatkan, tetapi satu kepuasan bagi Tareeq Sufean.

“Nurin…” Tareeq yang sedang duduk bersahaja, memanggil Nurin yang sedang asyik membelek sebuah buku di tangannya.

“Ya?” Nurin menjawab panggilan Tareeq, lalu mengalih tubuhnya supaya bertentangan dengan Tareeq yang berada di meja.

“Awak tak lapar?” Nurin hanya menggeleng perlahan.

“Bukan ke awak puasa? Dari tadi awak tak makan apa-apa, kurma aje. Kenyang?” Tareeq menyoal lagi, hairan! Dia yang tidak berpuasa pun sudah merasa lapar.

“Tak kata saya kenyang. Tapi lapar tu tak lah. Saya dah biasa.” Nurin menjawab dengan tidak bernada. Tangannya kembali mengemas buku-buku dan fail yang masih berselerak. Sebentar lagi dia akan pulang ke kolej, jadi dia perlu kemas sebanyak mungkin sebelum pulang, esok tidaklah banyak yang perlu disiapkan lagi.

“Awak belajar waktu siang, kerja waktu malam. Makan kena jaga, kesihatan tu penting bagi seorang pelajar.” Tareeq memberikan nasihat, lagak seperti seorang pensyarah yang prihatin!

“Alhamdulillah, masih sihat lagi.” Nurin menjawab lagi. Kalau tidak kerana membayar RM800 tu, tentu sahaja dia tidak perlu menahan lapar sebegini. Nak tak nak, dia terpaksa ikat perut.

“Jom, saya belanja makan?” Tareeq yang sudah berdiri, mengemaskan beg kerjanya. Tali leher yang sedari tadi ditanggalkan di ambil. Tareeq melangkah menghampiri Nurin yang hanya memandangnya, tanpa bergerak sedikit pun.

“Jom lah, saya belanja GCB. Malam-malam ni makan McD pun best juga kan.” Tareeq bersuara lagi, apabila Nurin hanya berdiam diri.

“Takpelah Dr, saya ada discussion pukul 10 nanti. Saya nak balik rehat dan siap untuk discussion pula.” Nurin turut mengemaskan baranganya kerana Tareeq sudah siap mahu pulang. Nurin berdiri bertentang dengan Tareeq Sufean.

“Tak makan?” Tareeq menyoal penuh prihatin.

“Balik nanti saya makanlah.”

“Makan apa?”

“Apa-apa aje lah, asal perut tak lapar.” Nurin menjawab, sebolehnya dia tidak mahu keluar bersama Tareeq Sufean. Kadang kala sikap Tareeq membuatkan dia rasa kerdil, dan kata-katanya mengguris perasaan Nurin.

“Kita drive through aje, jom.” Tareeq mendepa sebelah tangan, gaya mempersila Nurin untuk bergerak pulang bersama-samanya. Nurin mengeluh lemah. Kenapa payah sangat nak menolak bila Tareeq Sufean ni mula bersuara?

Sampai sahaja di kereta, Nurin mencuba lagi untuk menolak. Dia mereka-reka ayat untuk disuarakan kepada Tareeq Sufean.

“Dr.Sufean, saya tak bolehlah nak ikut Dr. Biar saya balik kolej sendiri ye, lain kalilah Dr. belanja saya.” Tutur Nurin sopan.

“La… dah sampai kereta pun. Rezeki jangan ditolak…”

“Malang juga jangan di cari…” Nurin mencelah. Tareeq mengerut dahinya, menjadikan keningnya tercantum kedua-duanya.

“Perli?” Tareeq menebak.

“Tak… saya cuma takut, kalau saya keluar dengan Dr. Sufean, entah apa pula kemalangan yang akan jadi.” Nurin menyindir. Kalau cara lembut menolak tak jadi, guna ajelah cara sindir menyindir ni. Mana tahu, panas telingan Tareeq Sufean untuk mendengarnya, hati Nurin berbisik sendiri.

Tareeq memeluk tubuhnya. Wajah Nurin ditenungnya tajam. Nurin yang tak betah dipandang begitu terus sahaja menundukkan wajah, pandangnya dilarikan ke tempat lain.

“Saya minta maaf, sebab sebelum ni saya berkasar dengan awak. Tapi, pandai juga awak ni sindir-sindir orang eh. Tengok dari gaya awak ni macam orang yang senyap, pemalu. I like this side of you.” Tareeq terus sahaja bersuara, langsung tidak berkecil hati apatah lagi panas hati. Nurin ternganga, lain yang dijangka lain pula yang jadi. Tareeq yang sudah pun masuk ke dalam kereta, melangkah separuh badan ke luar kereta.

“La… Nurin Jannah, dah lewat ni, kejap lagi awak ada discussion kan? Cepatlah, kita pergi makan kejap kemudian saya hantar awak balik.” Tareeq terus sahaja memberikan arahan. Nurin masih lagi berdiri kaku, dia seboleh-bolehnya tidak mahu!

++++++++++

“Tiba-tiba Ean call mama malam ni?” Tareeq melepas keluhan berat. Ibunya dihujung talian menjadi lebih tertanya-tanya.

“Why Ean? Ada yang menganggu fikiran?” Lembut sahaja suara ibu, seolah mahu membuatkan hati anaknya tenang dan lapang.

“Ean rasa, Ean dah buat silap la mama…” Tareeq bersuara lemah.

“Buat silap? Cuba Ean jelaskan dekat mama sayang…”

“Mama ingat kes kereta Ean tu?”

“Yes, sangat ingat. Kenapa? Orang tu tak nak bayar dan dah lari?” Ibunya cuba meneka.

“No, she already paid. Tapi… mama, dalam akaun dia ada baki tiga ratus aje ma.” Tareeq menyandar tubuhnya ke kepala katil. Matanya dipejam rapat.

“Mungkin dia ada akaun lain kut… macam mana Ean tahu baki duit dia?”

“Dia terbagi sekali slip bank, mungkin terselit…” Ibunya ketawa kecil.

“Dia sengaja nak bagi nampak kesian kut?” Tareeq menarik nafas berat.

“Entahlah, kemungkinan-kemungkinan tu macam tak sesuai dengan dia. She looks very innocent, solehah. Tak mungkin dia sengaja buat.” Tareeq cuba menjelaskan bagaimana Nurin pada pandangan matanya.

“Ean suka dia?” Ibunya cuba menelah, sambil ketawa kecil mengiringi.

“Mama, Ean serius ni…” Rungut Tareeq manja.

“Mama gurau aje la. Dia ada akaun lain la tu, jangan fikir sangat.” Ibunya kembali serius, tawa yang bersisa sudah hilang semuanya.

“Ean cuma rasa bersalah. Ean bagi dia dua pilihan, sepatutnya Ean terima pilihan ketiga dia.” Tareeq meraup wajahnya.

“Pilihan ketiga? Apa pilihan-pilihan ni, mama tak fahamlah”

“Ean suruh dia pilih antara bayar cash or check, dia cadangkan pilihan ketiga iaitu dia kerja dengan Ean sebagai bayaran kerosakan tu. Ean ingat dia nak mengelak dari bayar tapi dia dah cuba cakap yang dia tak boleh nak bayar sebanyak tu. I should believe that.” Tareeq terus dibelengu rasa bersalahnya.

“Okay macam ni, Ean bagi balik lapan ratus tu dekat dia. Selesai masalahkan?” Ibunya cuba mencari penyelesaian.

“Dah cuba bagi balik tapi dia tak nak.”

“Dah tu? Apa yang merisaukan Ean sangat-sangat ni?” Ibu Tareeq pelik dengan sikap anaknya yang tiba-tiba terlebih prihatin.

“Dia kerja part-time, buat housekeeping. Dari petang sampai malam, just to earn money. Just because of me, she has to work after class. Jahatkan Ean? I should listen to you mama.” Tareeq melepaskan keluh beratnya. Ibunya dihujung talian hanya tersenyum.

“Takpe, belajar daripada kesilapan. Ean, jangan terlalu salahkan diri sendiri. Apa yang berlaku atas kehendak Allah. Sebelum tidur nanti, buat solat hajat. Semoga esok Ean akan lebih tenang, kemudian pergi dekat dia dan minta maaf. Takpelah kalau dia taknak duit tu balik, mungkin dia pun dah belajar tentang tanggungjawab.” Ujar Ibunya panjang lebar.

“Thanks mama… I will.”

“Erm… teringin mama nak jumpa dia.”

“Kenapa?”

“35 years, tak pernah Ean mengadu yang Ean buat silap. Tapi hari ni lain, mama nak jumpa gadis yang dah buat Ean diserang rasa bersalah.” Ibu Tareeq ketawa besar dihujung sana.

“Mama!” Tareeq tidak sempat membela, ibunya pantas mematikan talian. Tareeq berfikir sendiri, benarkah?

+++++++++

Nurin merenung jauh ke luar dari tingkap biliknya. Berada di aras tiga membolehkan Nurin melihat kawasan kolejnya dengan lebih jelas. Angin petang itu membuatkan dia terawang lebih jauh mengingati malam selepas Tareeq Sufean menghantarnya pulang ke kolej selepas makan malam secara paksa.

“Nah… saya sepatutnya tidak mengambil sebarang ganti rugi daripada awak. Saya nampak apa yang berlaku, tetapi sebabkan terlalu mengikut prinsip saya paksa awak untuk bayar. Sekarang saya kembalikan.” Tareeq menyerahkan sampul putih kepada Nurin. Nurin dibelengu kehairanan. Tangannya mengambil sampul yang dihulurkan Tareeq.

“Apa ni…” Nurin membuka sampul putih itu, not RM50 beberapa keping terpampang di depan mata.

“Eh, Dr. Sufean, ini hak Dr. Saya tak boleh nak terima.” Nurin menyerah kembali sampul putih itu kepada Tareeq.

“No, itu duit awak.”

“Abah saya kata, bila kita ambil balik apa yang kita bagi, buruk siku jadinya.” Nurin berseloroh, sampul itu disua terus ke tangan Tareeq.

“Same goes to me. Sekarang saya dah bagi dekat awak, jadi tak boleh ambil balik. Saya pun tak nak siku saya buruk.” Tareeq membalas. Nurin mengeluh perlahan, penat melayan karenah Tareeq.

“Saya minta maaf kalau saya berkasar. Tapi dah terlambat untuk Dr kembalikan duit ni. Sepatutnya dari awal Dr tak minta atau terima cadangan saya untuk bekerja dengan Dr. Duit ni, kalau Dr tak nak, Dr sedekah dekat masjid.” Nurin meletakkan sampul putih yang mengandungi duit RM800 itu ke atas dashboard kereta Tareeq. Tareeq terkedu dengan tindakan Nurin, namun tangannya tangkas menahan Nurin yang baru membuka pintu untuk keluar.

“Wait!” Tareeq bersuara tegas.

“Apa ni Dr. Sufean?” Nurin terkejut dengan tindakan pantas Tareeq, matanya melorot terus ke arah cengkaman tangan Tareeq, mujur sahaja berlapik!

“Saya dah minta maaf, dah mengaku salah saya, dan bukan ke sekarang awak memang bekerja untuk saya? Jadi duit ini memang untuk awak. Take it or you’ll regret it?!” Tareeq mengugut, Nurin memandangnya dengan pandangan yang tajam. Ini adalah kesekian kalinya Tareeq seolah-olah memandang rendah kepada dirinya.

“Saya ada hak untuk tidak menerima, dan saya sedar saya adalah pelajar yang bekerja sambilan sebagai house-keeper. Tapi itu bukan sebab yang menjadikan saya objek untuk Dr. Sufean mengarah sesuka hati Dr. Saya masih lagi manusia, perempuan yang ada maruah diri. Saya tahu saya orang susah, dan itu bukannya alasan untuk Dr boleh menggunakan wang sebagai alat untuk menganggu hidup saya. Saya minta maaf.” Nurin merentap pergelangan tangannya, lalu terus melangkah keluar daripada kereta itu. Tanpa menoleh kebelakangan dia terus melangkah laju ke biliknya.

Nurin menghela nafasnya. Angin kuat yang tiba-tiba menampar mukanya menyedarkan dia daripada lamunan panjang.

“Fikir apa lagi? Tak kerja hari ni?” Azra yang baru pulang daripada keluar ber’dating’ menegur Nurin yang sedari dia mula melangkah masuk, dia melihat merenung jauh ke luar bilik.

“Aku minta cuti hari ni. Takut…” Azra ketawa dengan apa yang dilontarkan Nurin.

“Tau pun takut, yang kau emotional sangat kenapa?” Nurin mengalih tubuhnya, lalu dia menyandar di dinding.

“Geram la, sebab dia aku serabut beberapa minggu ni. Aku puasa tiap-tiap hari sebab nak jimat duit. Sebab dia juga Acik Emah asyik call aku tanya kenapa aku draw banyak sangat. Jenuh tau nak jawab.” Azra mendekati Nurin, dia turut menyandarkan batang tubuhnya.

“Duit kau kan, kenapa Acik kau nak sibuk-sibuk? Yang kau pun, kenapa tak ambil aje duit tu?” Nurin kembali memandang ke luar tingkap.

“Kau tak kenal Acik Emah, payah nak terangkan. Aku takkan ambil balik duit tu, duit tu bagi aku nightmare. Setiap hari aku kena buat kira-kira. Sampai aku nak makan apa pun aku takut, takut kalau esok aku tak cukup duit. Kau tau kan, projek semester ni banyak. Duit pun banyak nak guna, aku memang tak boleh tengok duit tu. Hati aku tersiat aje rasanya.” Azra menepuk perlahan bahu Nurin, dia sedar Nurin menanggung banyak beban kerana RM800 itu.

“Aku kan ada, kau selalu macam ni. Aku dah pesankan, ada apa-apa bagitau aje aku.” Azra bersuara. Nurin hanya tersenyum hambar. Hati Nurin berbisik sendiri, “kalau tak Megat warning aku, mungkin aku letak malu aku ke tepi dan minta tolong dari kau Azra.” Nurin akan ingat hari itu sampai bila-bila, hanya kerana tidak berkemampuan, maruahnya juga bagai diinjak-injak orang lain, kenapa?

“Takpe Ra, selagi aku boleh usaha sendiri aku usaha sendiri. Terima kasih sebab sentiasa ada untuk aku.” Azra mengenggam tangan Nurin erat. Nurin hanya tersenyum tawar. Sedikit sebanyak, Megat merenggangkan keakraban mereka.

PART 4 :

Nurin mengesat air matanya yang sedari tadi tidak mahu berhenti daripada mengalir. Sudahlah beberapa hari ini dia berada dalam keadaan tertekan dengan fitnah dan tohmahan Megat yang tidak berasas sehingga Azra memandangnya hujung mata. Panggilan daripada Acik Emah itu membuatkan dia benar-benar sedih dan terguris hati. Berapa sangatlah duit pencen abah setiap bulan untuk menampung makan minumnya sepanjang belajar yang Acik Emah kecohkan? Tak cukup lagikah wang yang abah tinggalkan untuk dia dan anak kesayangannya itu? Hati Nurin berbicara sendiri.

“Dr. Sufean, kalau hari ni saya tak kerja boleh tak?” Tareeq yang sedang membuat kerja hanya mengeluh perlahan. mata sedikitpun tidak dilarikan daripada kerja-kerjanya.

“Kenapa? Kerja awak dah tertangguh beberapa hari, esok sepatutnya awak dah kena siap kemaskan bilik saya kan?” Tareeq menyoal, apabila masuk bab kerja, Tareeq Sufean seorang yang sangat sukar untuk berkompromi.

“Esok saya datang buat kerja dari pagi, kelas saya kebetulan batal esok. Boleh tak Dr. saya nak cuti harini?” Nurin memohon lagi, kepala sudah pening akibat terlalu banyak menangis sebentar tadi. Tareeq mengangkat mukanya dan memandang terus ke arah Nurin, serta merta Nurin menundukkan wajahnya. Malu jika Tareeq Sufean perasan dia baru sahaja lepas menangis.

“Nurin, duduk dulu.” Tareeq yang lebih cepat menangkap raut wajah Nurin, serta merta menjadi gelisah sendiri. Nurin hanya akur, kerusi di hadapannya ditarik lalu dilabuhkan duduk.

“Tell me. Apa masalah awak hari ni?” Tareeq merapatkan tubuhnya ke meja. Tangannya mengambil sekotak tisu di belakang lalu diletakkan di hadapan Nurin. Nurin diam tidak berkata walau sepatah. Nurin sedar kini dia sudah terperangkap sendiri oleh Tareeq. Keluhan dilepaskan perlahan.

“Saya tak sihat, sebab tu saya nak minta cuti hari ni.” Nurin cuba mengelak.

“Saya tak nampak awak macam tak sihat, tapi saya nampak awak macam baru lepas menangis.” Nurin mengeluh lagi. Wajahnya tetap menunduk.

“Awak boleh cerita dekat saya, saya boleh dengar.” Tareeq cuba memujuk. Entah kenapa, sejak terlihat keruhan wajah Nurin, hatinya melonjak mahu tahu.

“Saya tak bersedia nak cerita dekat sesiapa.” Nurin menjawab perlahan. Tareeq mengangguk faham. Tangannya lincah mengemas meja.

“Kalau macam tu, jom… saya belanja awak ais krim. Benda-benda sejuk ni boleh legakan hati dan fikiran yang serabut.” Nurin hanya mendengar, dan tidak terkata apa-apa. Tareeq memang suka membuat keputusan sendiri.

“Saya lebih suka tidur bila ada masalah.” Nurin yang turut bangun daripada duduk, bersuara perlahan. Tareeq hanya ketawa kecil dengan perakuan jujur Nurin Jannah.

“Nanti bangun kita akan lupa masalah tu, kan?” Tareeq menyambung, Nurin mengangguk laju, bersetuju.

“Erm… Dr.Sufean pun suka tidur bila ada masalah?” Nurin menyoal sewaktu mereka melangkah menuruni tangga. Tareeq ketawa lagi, suka benar dia mendengar persoalan Nurin yang kedengaran ‘comel’ ditelinganya.

“Zaman belajar dulu la, saya dulu pun student juga. Tapi saya tidur lepas saya makan ais krim.” Tareeq berseloroh. Nurin hanya mencebik, iye-iye je, bisik hati Nurin.

“Erm… perlu ke saya ikut Dr?” Nurin menyoal sebaik mereka sampai di kereta Tareeq.

“Nurin, Kenapa setiap kali dah sampai kereta mesti tanya lagi? Perlu! Okay?” Tareeq menjawab, serius.

“Saya nak tidur.” Nurin membentak.

“Tidur lepas makan ais krim.” Tareeq menjawab dengan bersahaja, pintu kereta dibuka lalu terus melangkah masuk. Dari dalam kereta, Tareeq membuka pintu untuk Nurin. Nurin menundukkan kepalanya sedikit, sekadar menampakkan wajah.

“Untuk apa saya ikut? Saya nak cuti hari ni…”Nurin menolak lagi. Tareeq berdecit.

“Saya nak awak cerita dekat saya kenapa awak menangis teruk sangat dekat tepi masjid tadi. Clear? Cepat masuk.” Nurin terkedu. Dia nampak ke?

“Tapi, saya meluat tengok kereta ni!” Nurin membentak kuat, tangannya menampar bumbung kereta, membuat Tareeq tersentak. Beberapa saat kemudian Tareeq ketawa.

“Kereta nilah buat kita kenal tau.”

“Tu lagi meluat.” Nurin sekadar berbisik, namun jelas untuk didengari oleh Tareeq.

“I’m your boss after all. Masuk cepat.” Tareeq bersuara tegas. Nurin mengeluh berat, kakinya tetap melangkah masuk ke dalam kereta. Untuk kesekian kalinya, Nurin hanya menurut kata Tareeq, dia sendiri tidak pasti kenapa dia mudah mengalah apabila berdepan dengan Tareeq.

++++++++++++

Nurin merenung semangkuk Tutti Frutti di hadapannya. Tareeq sudah hampir licin dihentamnya. Sesekali Tareeq mengerling wajah Nurin yang monyok di hadapannya. Tareeq menyuap ke mulutnya sudu yang terakhir.

“I’m finished.” Tareeq menolak mangkuk kertas itu ke tengah meja. Nurin tersentak kecil, bagai baru tersedar dari lamunannya.

“Depan rezeki tak baik buat muka macam tu.” Tareeq sekadar mahu menukar situasi kelam yang dirasakan sekarang. Nurin hanya memandang Tareeq sekilas sebelum melepaskan pandangannya ke tempat lain.

“Erm… kalau tak nak makan, jom lah balik.” Tareeq bersuara lagi, kali ini bernada hampa. Kunci kereta yang diletakkan di atas meja di ambil, lalu dia terus bangun dari kerusi. Nurin memandang tanpa perasaan. Nurin menggalas beg kuliahnya, lalu turut bangun dari kerusi. Tutti Fruitti yang tidak diusik turut di bawa bersama. Langkah Tareeq yang sudah ke depan, dikejar perlahan.

“Sorry, saya takde mood.” Nurin bersuara perlahan apabila dia berjaya menyaingi langkah Tareeq. Tareeq serta merta memberhentikan langkah.

“Saya ajak awak ke sini, nak happykan awak. Tak sangka buat awak hilang terus mood awak.” Tareeq seolah-olah berjauh hati. Nurin serba salah.

“Dr. Sufean, itu bukan apa yang saya maksudkan.”

“Habis tu?” Tareeq memeluk tubuh, wajah Nurin ditenung sedalamnya. Nurin kian resah, pandangan orang sekeliling membuatkan dia tidak selesa.

“Tempat ni buat saya lagi serabut. Tengok kiri tu, rasanya tu students Dr kan? Dari tadi pandang kita semacam. Saya tak nak kontroversi.” Tareeq memaling tubuhnya ke arah yang dinyatakan. Sekumpulan pelajar perempuan yang sedang menjamu selera di food court kelihatan sedang memandang dan berbisik-bisik.

“A’ah, students saya. Oh, sebab tu la awak monyok aje. Makan pun taknak?” Nurin mengangguk laju.

“Jom hantar saya balik.” Nurin bersuara lagi, Tareeq menjungkit sebelah keningnya.

“Eh, tak nak kontroversikan? Balik sendiri la. Bye, Assalamualaikum.” Tareeq terus berpusing ke belakang dan melangkah tanpa menoleh kepada Nurin. Nurin tergamam. Pulak? Malas melayan, Nurin melangkah ke arah bertentangan. Tak nak hantar sudah! Hati Nurin membentak perlahan.

Mulanya dia ingin terus ke hentian teksi di hadapan Jaya Jusco itu, tetapi kerana emosi yang belum stabil, dia bercadang untuk merehatkan kepalanya yang memberat itu dengan mencuci mata di kedai buku MPH. Tak beli pun takpe, asal boleh lepas rindu! Nurin berbisik sendiri. Laju kakinya melangkah menaiki escalator untuk ke kedai buku MPH. Sesekali tutti fruitti disuap ke mulut. Tanpa sedar, Nurin melangkah dengan senyuman.

Beberapa buah buku motivasi di beleknya. Tiada yang menarik, kalau menarik pun dia tidak dapat membelinya. Nurin melangkah ke bahagian depan, yang menempatkan novel-novel Bahasa Melayu. Novel yang agak menarik di matanya di ambil dan di belek seketika. Boleh dikatakan, semua novel di ambil dan synopsisnya di baca.

“Baca synopsis pun boleh senyum sorang-sorang?” Suara itu mengejutkan Nurin yang sedang asyik membaca. Hampir sahaja terlepas novel itu daripada tangannya. Tareeq yang tersengih-sengih di hadapannya dijeling tajam. Ada lagi dia ni? Ingat dah balik, bisik Nurin di dalam hati.

“Amboi sombong, siap jeling lagi.” Tareeq mengusik lagi.

“Dr. Sufean buat apa kat sini, bukan nak balik ke tadi?” Nurin menyoal tajam.

“Eh, ni tempat awam. Saya punya suka la.” Tareeq menjawab dengan nada berlagak, sengaja mahu meng‘hangat’kan Nurin.

“Okay.” Nurin terus melangkah keluar daripada kedai buku MPH itu. Menyampah pula apabila sampai sikap Tareeq yang berlagak ini. Nurin melangkah laju ke arah pintu keluar yang berada bersebelahan kedai buku MPH.

“Datang dengan saya, balik dengan saya. Jom.” Lengan Nurin digenggam erat dan ditarik agar menyaingi langkahnya. Nurin tergamam, terasa kakinya bagai mahu tercabut akibat terkejut besar dengan tindakan berani Tareeq Sufean.

“Dr. Sufean.” Nurin bersuara agak terjerit. Tareeq yang masih erat memegang lengan memberhentikan langkah.

“Why?”

“Lepaskan tangan saya.” Nurin bersuara lagi, dengan nada tegas. Matanya disorotkan ke arah lengan yang dipegang oleh Tareeq.

“Tak nak.” Nurin tercengang.

“Kita bukan muhrim. Please.” Nurin masih mengawal suaranya. Tareeq menggeleng, pegangannya di eratkan lagi, hampir sahaja Nurin terjerit akibat sakit dipegang seerat itu.

“Saya tak lari lah.” Nurin cuba melepaskan pegangan itu.

“Okay saya akan lepaskan, tapi bersyarat.” Nurin memandang tajam, Tareeq sudah melampau!

“Kenapa perlu saya ikut syarat Dr tu?” Nurin bertegas.

“Okay kalau tak nak, saya pegang dekat sini….” Tareeq cuba menggenggam jari jemari Nurin.

“Okay!” Nurin cepat-cepat menjawab, dengan Tareeq dia tahu, segalanya mungkin terjadi. Tareeq tersenyum puas.

“Syarat dia mudah. Awak ikut saya, 5 jam lagi saya hantar awak balik kolej.” Lengan Nurin akhirnya dilepaskan. Nurin terus sahaja mengurut lengannya yang terasa kebas. 5 jam lagi dia perlu menghadap si kerek Tareeq Sufean ini? Jam di tangan dibeleknya, baru pukul 6.15 petang.

“Kita solat Asar dulu.” Nurin bersuara sebaik masuk ke dalam kereta. Tareeq sekadar mengangguk perlahan, bibirnya tak lekang dengan senyuman. Menyampah!

++++++++

Tareeq kelihatan asyik benar memandang ke laut. Sesekali didepakan tangannya, seolah-olah membenarkan angin laut itu menampar batang tubuhnya. Nurin hanya memerhati daripada belakang. Tak lama kemudian, Tareeq melabuhkan duduknya di sisi Nurin Jannah.

“So, ceritalah…” Tareeq bersuara. Nurin mengerut dahi.

“Cerita apa?” Nurin pula menyoal.

“Sebab musabab awak menangis tengah hari tadi?” Tareeq menyandar tubuhnya ke bangku yang diduduki olehnya.

“Kena cerita ke?” Nurin kembali menyoal.

“Tak cerita, sampai esok saya bawa lari awak.” Nurin menelan air liur. Kalau dia buat betul-betul, mati aku! Nurin berbisik sendiri. Tareeq yang berada di sebelah di pandang sekilas sebelum melarikan pandangannya. Ada senyuman penuh makna dihujung bibir lelaki itu.

“Ugut.”

“Cerita je lah…” Desak Tareeq. Nurin menarik nafas sedalam-dalamnya.

“Kalau saya cerita, lepas ni Dr buat-buat tak kenal saya ye dan saya harap Dr tak marah.” Tareeq mengerut dahi.

“Kenapa pula?” Nurin menundukkan wajahnya.

“Malu dan memalukan.” Bisik Nurin perlahan.

“Saya pendengar yang baik, bukan penghebah terbaik. Semua saya simpan kat sini.” Tareeq menepuk dadanya perlahan.

“Walaupun berkaitan dengan Dr?” Tareeq mengangguk. Nurin menghela nafas perlahan, lalu mula bercerita dari awal hingga ke akhirnya. Sepanjang Nurin Jannah meluahkan segala apa yang dipendam, tidak sekalipun Tareeq menyampuk atau mencelah. Dia sekadar mengangguk tanda faham. Dan sepanjang Nurin bercerita itulah, dia mengambil kesempatan, menelek setiap ruang wajah gadis berkulit sawo matang itu. Apabila Nurin mengalih wajah, cepat-cepat dia melarikan pandangan. Sesekali hatinya berbisik sendiri, takkan betul pulak apa mama cakap tu? Tak mungkin.

“Erm… sebab tu saya menangis dekat tepi masjid tengah hari tadi. Saya rasa terbeban sangat.” Nurin mengakhiri kisah hatinya.

“Boleh awak tunjukkan Megat tu yang mana satu?” Tareeq bersuara tegas. Nurin sudah tercengang.

“Dr kata Dr takkan marah.” Nurin menyoal, kelam kabut.

“Saya tak marah, cuma nak tahu mana satu.” Tareeq bersuara dengan nada tenang.

“Dr biarkan aje boleh? Tak payahlah tahu mana satu.” Nurin tidak mahu hal itu dibesar-besarkan.

“Nurin, katakanlah satu hari nanti, isu ni akan naik sampai ke pihak atasan. Awak tahukan, isu ni bukan kecil. Kalau pihak atasan dah ambil tindakan, awak boleh dibuang Universiti. Saya takde hal, saya hanya kerja sambilan sebagai pensyarah. Mahu?” Nurin mengetap bibir. Bukan dia tidak fikirkan hal itu, cuma dia tidak tahu apa perlu dilakukan. Megat bukan lawannya, sedangkan kawan baiknya sendiri boleh terpengaruh apatah lagi orang lain.

“Tapi…”

“Jangan risau, saya akan bincangkan hal ini dengan Prof Azizi. Awak tunjukkan siapa Megat Johan tu dekat saya.” Tareeq bersuara lagi, penuh ketegasan.

“Prof Azizi kenal Megat, saya kerja dengan Prof Azizi pun sebab dia yang cadangkan.” Tareeq mengangguk dengan jawapan Nurin.

“About your step mother, nanti awak bagi aje berapa yang dia nak. Duit lapan ratus tu saya tak sentuh, nanti saya bagi balik.” Tareeq betul-betul membuat Nurin terkesima.

“Mana boleh, kan saya kata itu duit Dr.” Nurin bersuara tegas.

“Memanglah, saya tak kata duit awak pun…” Nurin mengetap bibir, geram!

“Saya tak naklah, Acik Emah tak boleh paksa saya. Itu hak saya untuk bersetuju atau tak.” Nurin berkeras. Tareeq menggeleng dengan kedegilan Nurin.

“Nurin, keras lawannya lembut. Bukan keras juga. Nanti saya bagi duit tu, awak bank-in dengan mak cik awak tu. Jangan degil.” Tareeq bersuara dengan tegas.

“Siapa degil sekarang, Dr ke saya?” Tareeq dijeling tajam.

“Ish… budak ni, menjawab pulak.” Nurin menjuih bibir, tangannya memeluk tubuh. Gaya tidak puas hati.

“Kalau keras lawannya lembut, saya setuju ajelah dengan cadangan Acik Emah tu. Lembut sangatkan…” Nurin membidas. Tareeq tergelak kecil. Nurin memang penuh dengan jawapan. Comel!

“Okay, kalau orang tu nak bayar 5 ribu. Apa kata saya pergi jumpa mak cik awak dan tawarkan 10 ribu dekat dia. Awak rasa dia terima atau tolak?” Nurin terpempan, mulutnya ternganga, matanya terbuka besar.

“Keras lawannya lembutkan…” Tareeq menyindir. Nurin tidak dapat membalas, hatinya berdegup laju. Terkejut dengan pernyataan spontan Tareeq Sufean.

“Tak jadi lawan.” Nurin bersuara perlahan. Kata-kata itu meletuskan tawa Tareeq, dari hanya ketawa kecil sehingga mengalir air mata. Nurin hanya mengigit bibir menahan geram. Dia tahu, dia sudah dipermainkan, dasar lelaki kerek!

“Jangan marah nanti kena jual.” Tareeq terus mengusik.

“Memang nak kena jual dah.” Nurin menjawab.

“Haa… tu la jangan marah. Marah kena jual.” Nurin menjeling, Tareeq masih dengan sisa tawanya.

“Nurin, awak perasan tak?”

“Tak.” Nurin menjawab sepatah.

“Awak memang tak perasan tapi perasaan.” Nurin mengetap bibir, Tareeq ni ada-ada sahaja benda hendak mengenakan dia.

“Nurin.” Tareeq memanggil. Nurin hanya berdiam diri.

“Nurin.” Tareeq memanggil lagi.

“Erm…” Nurin masih dengan amarahnya. Tareeq hanya tersenyum.

“Saya mintak maaf.” Pernyataan yang kedengaran ikhlas itu membuatkan Nurin memandang Tareeq yang sedang memandang tepat pada wajahnya.

“Maaf?” Tareeq mengangguk.

“Untuk?” Soal Nurin lagi, tidak faham.

“Sebab pegang lengan awak tadi, walaupun berlapik saya tahu ia tidak manis. Maaf ye.” Nurin menghela nafasnya.

“Dah tahu kenapa buat?” Tareeq cuma tersenyum dengan wajah yang ditundukkan.

“Nak layan degil awak, keras awak. Itu aje caranya Cik Nurin Jannah.” Nurin membeliakkan matanya. Tareeq tersenyum lebar, sehingga kedengaran tawa dihujungnya.

“Sedegil degil saya, sekeras keras saya. Saya tidak sekerek Dr.” Nurin membidas.

“Cececece… Nurin Jannah marah lagi.” Nurin hanya mencebik. Tareeq memandang lepas ke laut yang berada di hadapan mereka. Nafasnya di tarik sedalam yang mungkin. Wajah mulus gadis di sisinya itu, di pandang.

“For all things that I have done, that have hurt you, I’m sorry. For words that have carved your heart, I’m sorry.” Nurin memandang Tareeq yang berada di sebelahnya, pandangan yang mencari keikhlasan lelaki itu. Kata-kata yang keluar dari mulut Tareeq Sufean sebentar tadi, membuatkan degup jantung Nurin berdetak tidak seiring, hilang rentaknya. Ikhlaskah dia?

finale :

Azra menghempas buku-bukunya ke atas meja. Nurin yang baru sahaja hendak mendekati Azra, tersentak,hingga terjungkit bahunya.

“Ra…”

“Jangan kacau aku boleh tak?” Belum sempat Nurin ingin bersuara, Azra sudah melarang kasar. Hati Nurin tersentak hebat. Azra tidak pernah begini.

“Ra… aku boleh jelaskan semuanya.” Azra mengalih tubuhnya, memandang Nurin yang sedia berdiri di belakang.

“Untuk apa? Dah tak guna kau nak jelas apa-apa. Sekarang Megat dah putuskan hubungan kami. Puaslah hati kau Nurin!” Suara Azra yang lantang memenuhi segenap ruang bilik mereka. Mujur sahaja di dalam bilik, kalau di luar? Nurin beristighfar.

“Ra, dengar dulu apa aku nak cakap.” Nurin terus sahaja merayu, merayu agar kawan baiknya itu mendengar penjelasannya. Azra tersenyum mengecek.

“Kau memang dasar tak faham bahasa. Sudahlah, kau pergilah dekat Dr.Tareeq yang kau gilakan sangat tu.” Azra bertempik, lalu terus keluar daripada bilik. Dentuman pintu bilik yang kuat membuatkan Nurin tersentak untuk kesekian kalinya. Bagaimana untuk dia jelaskan segala-galanya kepada Azra? Ah! Megat memang pengadu dan pencetus masalah yang hebat!

Nurin melabuh duduk di kerusi. Bagaimana dia mahu selesaikan masalah ini? Baru sahaja lapang dada dengan isu kontroversi antara dia dan Tareeq yang baru sahaja selesai. Kini datang pula yang lain. Buruk benarkah dia di depan Azra? Takkan Azra tidak nampak Megat itu orang yang bagaimana? Nurin mengeluh berat, kisah siang tadi terlayang di matanya.

“Aduh… tak nampak orang ke? Jalan pakai mata.” Suara itu menampar telinganya, baru sahaja dia hendak meminta maaf kerana tidak perasan akan ada orang di belakang sewaktu dia berundur.

“Kalau jalan pakai mata, apa gunanya kaki?” Nurin membidas. Lelaki yang sedang menggosok lengan itu terus mengangkat wajahnya dengan laju.

“Dah pandai menjawab eh?” Nurin ketawa.

“Sorry Dr Sufean, tak perasan pulak ada orang kat belakang, takde cermin pandang belakang.” Nurin berseloroh.

“Sorry naik feri, jom pergi langkawi?” Giliran Tareeq mengusik. Nurin mencebik.

“Langkawi tu esok-esok lah, sekarang ni kita kena pergi situ…” Nurin menunding jari ke arah bilik di hadapan mereka. Tareeq hanya mengangguk.

“Kenapa awak tak masuk, siap berundur lagi?” Tareeq menjungkit sebelah keningnya.

“Seram… tadi saya nampak Megat masuk, muka dia bengis semacam.” Nurin bercerita dengan penuh gaya. Tareeq hanya menggeleng.

“Nurin, antara saya dengan Megat, awak rasa siapa lagi tough?” Nurin mengerut dahi.

“Dr lah, Megat tu kering je, tanya lagi…” Tareeq tersenyum lebar. Tangannya mencekak pinggang.

“Haa… dah tu, takut apa lagi. Moh le kita masuk bilik Prof Azizi. Kita kena selesaikan fitnah yang melanda kita.” Tareeq bersemangat.

“Tak takut eh?” Nurin menyoal lagi.

“Lahai budak ni… saya dah bincang dengan Prof Azizi sebelum ni. So, don’t worry, everything will be okay.” Tareeq menjelaskan, senyuman tak lekang dari bibirnya. Nurin hanya mengangguk. Langkah mereka seiring memasuki bilik Profesor Azizi yang tentu sahaja sudah lama menunggu mereka berdua. “Aku serah segalanya padaMu ya Allah…” Hati Nurin berbisik sendiri.

“Megat Johan… kamu mesti tahu kenapa saya panggil kamu, betul?” Profesor Azizi memulakan perbincangan. Nurin hanya menunduk wajah, manakala Tareeq memandang tajam wajah Megat. Megat tiada langsung riak takut atau resah.

“Tahu… satu fakulti dah tahu, tapi entah kenapa saya pulak yang dituduh sebagai dalang.” Megat bersuara penuh angkuh. Tareeq tersenyum sinis.

“Kamu tidak dituduh tetapi daripada maklumat yang saya dapat daripada pelajar-pelajar termasuklah Majlis Tertinggi Fakulti, semuanya menunjukkan bahawa awak yang memulakan isu ini.” Profesor Azizi bersuara tegas. Megat masih bersahaja.

“Ini gambar yang awak edarkan kepada pelajar-pelajar fakulti ni. Betul?” Profesor Azizi menyerahkan beberapa helai kertas A4 yang mengandungi cetakan gambar dan tulisan.

“Di sini juga ada mesej-mesej fitnah yang telah tersebar di fakulti. Hasil siasatan pihak Majlis Tertinggi, membuktikan awak adalah pencetusnya.” Profesor Azizi bersuara lagi.

“Ini bukan fitnah tapi kenyataan, kenapa tidak Prof tanya dengan Nurin dan Dr Tareeq?” Megat masih berlagak sombong. Tareeq hanya memandang dengan senyuman sinis. Nurin diam tidak berkutik.

“Kamu ada bukti yang ini adalah kenyataan?” Tareeq Sufean bersuara. Megat mencebik penuh lagak.

“Dah kenyataan kenapa perlu bukti?” Bukan jawapan yang diberikan sebaliknya kembali dengan soalan.

“Nurin, cuba kamu jelaskan dekat Megat tentang gambar ni…” Tareeq mengambil kertas tersebut lalu menghulurkan kepada Nurin. Tanpa berkata apa, Nurin mengambil dan membelek setiap gambar tersebut, biar pun dia sudah pernah melihat gambar-gambar itu sebelum ini.

“Saya tak nafikan, memang waktu ini saya bersama dengan Dr Sufean. Tetapi kami berada berdua di fakulti atas sebab kerja. Dr Sufean adalah pensyarah di sini, dan saya pula bekerja sebagai house-keeper.” Nurin menarik nafas sebentar sebelum meneruskan penjelasannya.

“Kalau daripada gambar kedua ini…” Nurin menyerah gambar tersebut kepada Profesor Azizi untuk melihat.

“Waktu itu, kaki saya terseliuh akibat terjatuh di tandas waktu hendak mengambil wuduk. Dr Sufean tidak memeluk saya, dan saya juga tidak memeluk Dr Sufean seperti yang Prof nampak dari gambar. Dr Sufean hanya membantu saya untuk menuruni tangga, dan saya hanya memegang lengan Dr Sufean waktu itu. Mungkin gambar ini sudah diubah daripada gambar yang asal.” Megat yang mendengar hanya tersenyum sinis.

“Waktu kami turun daripada tangga, kami ada terserempak dengan sekumpulan Majlis Tertinggi, bolehlah bertanya kepada mereka kalau penjelasan saya tidak membuatkan Prof percaya atau masih sangsi.” Nurin menambah lagi.

“Biar saya jelaskan untuk gambar yang ini…” Tareeq mengambil satu gambar yang menunjukkan seolah-olah Tareeq sedang memeluk Nurin daripada belakang, lalu menyerahkan kepada Profesor Azizi.

“Masa tu, petang lagi… dalam jam 6.30 petang. Nurin hendak mengemaskan bahagian atas rak. Tangga yang digunakan agak tidak stabil, jadi saya hanya membantu Nurin memegang tangga tersebut daripada bergoyang sepanjang Nurin mengemas rak tersebut. Itu aje… langsung tidak seperti gambar, dan haa.. lupa pulak, waktu ni Prof Azizi ada di mejakan?” Tareeq menyoal Profesor Azizi yang telah tersenyum lebar.

“Megat, megat… Atas alasan apa awak buat semua ni? Buat fitnah, jatuhkan maruah orang, kenapa?” Profesor Azizi menyoal Megat yang masih tidak beriak bersalah, malah lebih angkuh dan sombong. Megat tidak menjawab sebalik hanya menjungkit bahu dengan bibir yang dicebikkan.

“Saya tidak kisah tentang diri saya, sebab saya hanya pensyarah sambilan di sini. Tetapi ini semua berkisar maruah seorang perempuan, maruah Nurin Jannah. Awak tak kesiankan dia?” Tareeq yang masih menahan sabar, mencelah apabila Megat seolah tidak takut dengan tindakan-tindakan yang bakal di kenakan ke atasnya.

“Apa masalahnya? Dr masih bujang, Nurin pun single… nak selamatkan maruah dia? Kahwin aje lah…” Sebaik jawapan itu menampar anak telinga Tareeq, laju sahaja tangannya mencengkam kolar baju Megat, dan sudah mengenggam penumbuk yang hampir sahaja mencecah muka Megat. Tergamam Megat atas tindakan Tareeq itu, mujur sahaja Nurin cekap menahan Tareeq daripada meneruskan tindakannya.

“Sabar Dr Tareeq, kita masih dalam perbincangan.” Profesor Azizi yang sudah bangun dari duduk bersuara tinggi dan tegas. Tidak mahu pergaduhan berlaku di dalam biliknya.

“Kamu Megat, sudah buat salah masih lagi tidak mahu mengaku dan masih lagi bersikap biadap? Kamu tahu apa kesannya kepada pengajian kamu di sini?” Profesor Azizi bersuara lagi.

“Dr Tareeq dan Nurin, kamu boleh balik dahulu. Saya akan uruskan hal ini, dan Megat, kamu akan saya bawa kepada pihak atasan.” Megat merengus kasar, Nurin dipandangnya tajam. Tareeq terus sahaja bangun daripada duduk, dan keluar daripada bilik itu. Rimas dengan sikap Megat yang melampau!

Dentuman daun pintu mengejutkan Nurin. Azra masuk ke bilik dengan wajah yang suram, seperti baru sahaja selesai menangis. Nurin hanya memerhatikan tingkah laku Azra yang sedang mengeluarkan baju-bajunya dan meletakkannya ke atas katil.

“Kau nak pergi mana Ra?” Nurin mendekati Azra yang sedang memasukkan baju-bajunya ke dalam bagasi. Azra hanya menjeling, tidak menjawab apa-apa. Nurin memegang bahu Azra.

“Ish… kau jangan menyibuk boleh tak?” Tangan Nurin ditepisnya kasar. Nurin terberundur ke belakang. Sepanjang persahabatan mereka di UTM, inilah kali pertama mereka bergaduh.

“Ra, aku akan jelaskan. Aku tak bersalah Ra. Megat…” Mendengar sahaja nama Megat disebut, Azra terus sahaja memandang Nurin tajam.

“Stop Nurin! Megat dari awal lagi dah warning aku, jangan percayakan kau. Tapi sebab aku kenal kau dulu sebelum dia, aku lebih percayakan kau. Tapi akhirnya, sebab kau, aku hilang cinta aku. Aku bodoh sebab percayakan perempuan miskin macam kau! Memang patut Mak Tiri kau tu bencikan kau, sama macam aku bencikan kau sekarang!” Nurin terkedu, kata-kata Azra bagai renjatan elektrik yang merenjat tubuh Nurin. Sehina itukah aku ini? Nurin menyoal dirinya sendiri. Nurin berdiri kaku, memandang Azra yang kian kabur daripada pandangannya dek kerana tubir matanya kini bagai kolam yang sudah mahu melimpah airnya. Adakah selama hayatku ini, akan hanya menyusahkan dan menjadi objek untuk dibenci? Nurin memejam mata, lalu merembeslah air mata mengalir di pipinya yang gebu itu. Dentuman pintu yang dihempas Azra, bagaikan suis yang mengawal kaki Nurin, yang terus terjelepok jatuh ke lantai bilik. Nurin melepaskan segalanya dalam sendu.

+++++++++

Nurin meraup wajahnya selepas mengaminkan doa. Hari ini hari minggu, mujur sahaja tiada apa-apa aktiviti yang perlu dihadiri, bolehlah dia berehat di bilik. Azra mungkin pulang ke rumahnya di Batu Pahat, memandang semalam dia tidak pulang ke bilik. Nurin menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembusnya perlahan. Telekung dibuka dan dilipat. Solat sunat dhuha membuka pintu rezeki, mudah-mudahan lebih banyak rezeki yang baik diperoleh selepas ini, doa Nurin.

Ketukan di pintu membuatkan Nurin tidak jadi melangkah ke meja belajarnya. Tombol pintu dipulas.

“Assalamualaikum. Nurin Jannah eh?” Gadis itu menyoal dengan senyuman yang terhias di bibirnya.

“Waalaikummusalam. Ye saya Nurin. Ada apa ye?” Gadi itu tidak dikenalinya.

“Oh… Ini, ada orang tunggu awak dekat foyer depan pejabat, dia pesan suruh awak pakai cantik-cantik.” Pesanan daripada gadis itu membuatkan Nurin kehairanan. Siapa?
“Siapa eh?” Nurin menyoal.

“Tak tanya pulak, dia naik kereta BMW hitam.” Nurin sudah dapat meneka siapa.

“Okay, takpe. Terima kasih ye.” Nurin bersalaman dengan gadis ‘posmen’ itu sebelum menutup pintu. Nurin melangkah ke almarinya, dia bersiap ala kadar sahaja. Bukan dia tidak tahu, Dr.Kerek itu tidak suka dibiar lama menunggu.

Dari jauh Nurin sudah dapat melihat kereta BMW hitam itu, elok di parker di depan pejabat. Nurin mempercepatkan langkahnya. Sebaik tiba di situ, tingkap kereta diketuk perlahan. Tareeq menurunkan cermin tingkapnya.

“Biru Cik Nurin hari ini.” Tareeq menegur. Nurin melihat badannya yang tersarung blaus biru dan tudung biru, dikenakan pula dengan jeans hitam. Alah ini memang gaya Nurin sehari-hari.

“Dr.Sufean pun biru jugak. Kebetulan la kita eh.” Nurin sekadar berbasa basi.

“Jom, kita pergi discussion.” Nurin mengerut dahi.

“Nak discuss apa?” Nurin menyoal.

“Masuk, kemudian kita discuss…” Nurin mencebik, Tareeq ini ada-ada saja!

Tareeq Sufean memandu keretanya, meluncur laju keluar daripada UTM. Nurin hanya diam di sebelahnya.

“Nurin, semalam stay up ke?” Tareeq tiba-tiba dengan soalan pelik.

“Ha? Tak ah… tidur awal.” Jawab Nurin.

“Oh… tapi mata bengkak aje tu…” Tareeq menyoal lagi. Nurin memegang bahagian bawah matanya.

“Menangis banyak sangat kut.” Nurin menjawab tanpa berselindung.

“Kenapa?”

“Azra dah benci saya… mungkin untuk selama-lamanya.” Tareeq mengangguk.

“Baguslah…” Nurin terpempan dengan apa yang keluar daripada mulut Tareeq.

“Apa pula bagus? Kalau bagus saya tak nangislah, suka pelik-pelik.” Rungut Nurin. Tareeq hanya ketawa kecil.

“Baguslah, at least dia takkan tahu, sampai bila-bila yang sebenarnya pakwe dia tu tergila-gilakan kawan baik dia ni.” Nurin mencebik.

“Awak ni kira hot jugak la eh.” Nurin memandang Tareeq dengan pelik, kemudian dia tersenyum.

“Well… walaupun saya ni tak pandai bergaya, tak pandai berfesyen. Tapi saya amat bersyukur dikurniakan wajah yang cantik…” Nurin menjawab dengan penuh lagak. Tareeq menjuih bibir.

“Sejak bila awak belajar jadi kerek ni?” Soal Tareeq tidak puas hati.

“Sejak kenal Dr Sufean yang kerek.” Nurin laju sahaja menjawab, Tareeq mengetap bibir, menunjukkan dia marah. Tanpa rasa takut atau bersalah, Nurin hanya ketawa.

“Kerek-kerek Dr Sufean, Dr sangat baik dengan saya. Terima kasih.” Nurin bersuara lembut, penuh ikhlas dan jujur.

“Mama saya selalu pesan dekat saya. Jahat mana pun kita, berlagak mana pun kita, apabila tiba soal maruah dan harga diri seseorang perempuan, kita tak boleh buat main-main. Macam awak pernah kata, saya gunakan wang untuk mainkan maruah awak, balik rumah saya terus fikir dan fikir. Mungkin cara saya kasar, sebab itu nampak saya main-mainkan awak.” Ujar Tareeq panjang lebar.

“Saya minta maaf tentang tu. Semua tu diluar kawalan saya. Saya penat sangat masa tu, dengan sms-sms Megat, Acik Emah dan Dr. Sufean.” Nurin ketawa apabila nama Tareeq disebutnya.

“Kenapa awak tak terima Megat?” Soal Tareeq tiba-tiba.

“Sebab saya datang sini untuk belajar, bukan bercinta.” Nurin menjawab dengan pantas, seolah jawapan itu sudah tersedia di bibirnya.

“Oh, kita ni tak bercinta?” Nurin ketawa.

“Kita bekerja bersama-sama. Kerja-sama!” Nurin meniru nada lagu Wonder Pets. Tareeq yang cuba menduga hati Nurin, turut ketawa. Sungguh dia tidak nafi, yang dia sangat suka sisi Nurin ini yang ‘comel’ baginya.

“Dr.Sufean, terima kasih untuk semalam juga. Selamatkan saya daripada Megat.” Tareeq hanya mengangguk dengan senyuman. Hal semalamlah yang membuatkan dia bertemu Nurin hari ini. Tidurnya terganggu dengan kejadian selepas perbincangan lapan mata itu.

“Dulu aku kau tolak mentah-mentah, sebab aku takde apa-apa. Tapi bila jantan tu datang, kau boleh pula bergesel-gesel.” Megat menengking Nurin yang masih berada di Fakulti Alam Bina. Nurin terkaku, dek suara Megat yang kuat menampar gegendangnya. Nurin tidak suka ditengking, dijerit sebegitu, terasa hatinya mengecut laju.

“Kan dah cakap, kami takde apa-apa…”Nurin bersuara perlahan. Malu, apabila beberapa pasang mata memandang ke arah mereka berdua.

“Ingat aku bodoh?! Aku boleh nampaklah korang berdua tu memang ada hubungan!” Nurin yang takut-takut tadi, kini kian hilang sabar.

“Kalau aku dan Dr Sufean ada hubungan sekalipun, yang kau nak marah sangat kenapa? Bukan hak kau nak ambil tahu!” Kata-kata Nurin itu memanaskan lagi telinga dan hati Megat Johan yang sedia panas. Laju sahaja tangan Megat mengayun mahu menampar pipi gebu itu. Mujur ada adiwira yang gagah datang membantu.

“Megat Johan. Enough is enough. Dah fitnah kami merata-rata, dah malukan kami satu fakulti, sekarang kamu nak pukul pula budak perempuan ni?” Tangan Megat dicengkam kuat oleh Tareeq. Sayat hati Nurin dengan tindakan Megat yang tiba-tiba.

“Ahh! Dr Sufean, perempuan ni pandang Dr sebab Dr ber-ada, kalau Dr macam saya. Jangan harap dia nak pandang, sikit pun dia tak pandang.” Megat merentap tangannya.

“Dia pandang saya pun jadi masalah? Dia ada mata dia punya sukalah.” Tareeq sempat lagi dengan lawak ‘bodoh’nya disaat genting sebegitu.

“Aku takkan lepaskan kau Nurin! Takkan….” Tareeq menolak perlahan Nurin supaya berada di belakangnya.

“She has me to protect her, so langkah mayat saya dulu kalau awak terfikir nak buat yang buruk pada dia. Faham?” Ujar Tareeq tegas, Megat mencerlun marah. Nurin hanya tergamam. Sungguh macam hero! Bisik hati Nurin, nakal.

“Kau dah ada Azra.” Nurin mencelah. Megat mencengkam rambutnya kuat dengan kedua-dua belah tangannya.

“Argh! Kau ni bodoh sama macam kawan kau, bodoh! Aku gunakan dia sebab aku nak dekat dengan kau. Dengar sini Nurin, aku akan buat kau menyesal dan ingat aku sampai bila-bila!” Megat mengugut sebelum melangkah pergi. Tareeq hanya menggeleng laju, sungguh tak faham bahasa! Desir hati Tareeq.

“Dr Sufean, yuhuuuu…” Nurin memanggil-manggil nama Tareeq yang sudah hanyut entah ke mana. Tangannya digawang-gawangkan. Tareeq tersentak. Jauh dia mengelamun!

“Mujur tak khayal sampai excident.” Nurin menyindir. Tareeq tersengih sendiri.

“Dr, kita nak pergi mana ni? Dah dekat RnR Machap.” Nurin menyoal, matanya tak lepas memandang ke luar kereta.

“Kita pergi Kluang.” Ujar Tareeq. Nurin tercengang.

“Jauhnya… buat apa?”

“Takde orang akan pandang-pandang kita dekat sana.” Nurin mencebik, perlilah tu!

“Jauhkan kontroversi katakan…” Tambah Tareeq lagi. Nurin menjeling tajam.

“Nak pergi mana kat sana?” Nurin menyoal lagi, Kluang bukan bandar besar, tapi cukuplah untuk sekadar mencuci mata.

“Main bowling, makan-makan and lepas tu saya nak bawa awak jumpa seseorang.”

“Siapa?”

“Siapa yang awak nak sangat-sangat jumpa sekarang?” Soalan dibalas soalan. Nurin mengeluh sebelum menjawab perlahan.

“Azra.” Tareeq mengangguk dengan senyuman penuh makna. Nurin memandangnya dengan wajah penuh tanda tanya, benarkah?

“Semalam saya kebetulan jumpa dia di Petronas. Lepas saya paksa dia untuk dengar penjelasan tentang apa yang berlaku, dia setuju untuk berdepan dengan awak.” Sengaja Tareeq menekan perkataan paksa itu.

“Dia dah tahu semuanya?” Nurin menyoal lagi.

“Yup dan dia dapat terima dengan baik. Sebab tu hari ni dia suruh saya bawa awak jumpa dia. Everything will be fine.” Nurin meraup wajahnya. Hatinya terasa lega, bagai hilang sudah batu yang tersekat di dada. Tubuhnya terasa ringan.

“Alhamdulillah…” Tutur Nurin perlahan.

“So sebagai balasan, hari ni awak kena teman saya, tak boleh kata tak nak.” Nurin memandang Tareeq yang sedang memandu.

“Kira macam tak ikhlaslah tolong eh?” Tareeq tersenyum.

“Ikhlas tu Allah sahaja yang tahu. Tak kiralah awak nak kata apa, sekarang awak dah pun dengan saya. Mahu atau tak, tetap kena mahu.” Ujar Tareeq lagi.

“Dah tahu dah Dr. Sufean oiii…” Nurin membalas, tangannya memeluk tubuh. Jauh dilubuk hati, Nurin benar-benar berterima kasih kepada Tareeq Sufean atas segala-gala yang telah dilakukannya.

“Nurin… lupakan apa yang Azra cakap dekat awak ye? She didn’t mean it.” Nurin melepas pandangan matanya ke arah Tareeq, kemudian memandang terus ke depan.

“Saya mungkin dilahirkan untuk memaafkan orang lain, dan begitu juga dengan saya yang mengharapkan orang lain memaafkan saya. Saya faham.” Tareeq dalam diam, kagum dengan ketabahan Nurin Jannah. Dia sendiri tidaklah sekuat itu.

“Dr… terima kasih untuk semuanya.” Tutur Nurin perlahan. Tareeq menyambutnya dengan senyuman dan anggukan. Semoga apa yang pahit akan pergi, dan yang manis akan hadir dan membawa seri. Kereta BMW itu terus meluncur laju di jalan, menuju ke destinasi.

+++++++++++

Nurin menggelabah, kakinya yang melangkah bagai mahu tercabut dan tersilang akibat melangkah terlalu laju. Tangga dipanjat dengan lari-lari anak. Secepatnya dia mahu bertemu dengan Tareeq Sufean.

“Laju aje Nurin?” Profesor Azizi yang kebetulan menuruni tangga menyapa Nurin, yang kelihatan terburu-buru menaiki tangga.

“Nak jumpa Dr. Sufean, dia ada tak Prof?” Nurin menjawab dengan hela nafas yang ada.

“Dr. Sufean takde kelas harini. Kenapa?” Nurin terasa bagai mahu tertanggal kakinya mendengar jawapan itu. Terasa penat menimpa-nimpa bahunya.

“Ala… saya ada hal penting nak jumpa dia sekarang.” Profesor Azizi hanya memandang dengan penuh hairan.

“Kes hari tu bukan dah selesai ke?”

“Dah, ni hal lain pula.” Nurin menjawab laju.

“Kamu berdua ni, tak habis-habis. Ada jodoh la tu.” Nurin terpana. Mulutnya terkunci rapat.

“Ish, Prof ni, takdelah. Ha… Prof ada no Dr. Sufean?” Nurin menyoal, malas hendak memanjangkan kontroversi yang sudah sedia panjang.

“Ada… Kejap ye…” Profesor Azizi mengeluarkan telefon daripada poket seluarnya. Nama Tareeq Sufean di cari.

“Nah… ambillah…” Telefon diserahkan kepada Nurin.

“Dr. Tareeq? Oh… bukan panggil Dr. Sufean?” Sambil menyalin nombor telefon Tareeq Sufean, mulut becok Nurin sempat lagi menyoal.

“Tu lah saya kata kamu berdua berjodoh. Dr Tareeq Sufean tu, memang orang panggil Dr. Tareeq. Kamu sorang aje yang panggil dia Sufean. Dr.Tareeq kata, kamu orang kedua yang panggil dia Sufean.” Profesor Azizi sudah tersenyum penuh makna. Nurin hanya mengangguk dengan mulut mencebik.

“Mujur tak pertama, kalau tak lagi kontroversi.” Nurin berseloroh.

“Kedua pun macam pertama, sebab yang pertama tu mak dia.” Profesor Azizi menambah sehingga membuat Nurin terkedu. Alamak! Kena balik.

Nombor Tareeq Sufean didailnya, sebaik sahaja dia melabuhkan duduk di bangku tepi Masjid Sultan Ismail. Inilah tempat kegemarannya, sunyi dan tenang tanpa sebarang gangguan. Lama, barulah talian disambungkan.

“Hello, Dr Sufean ke ni?”

“Waalaikummussalam, tak ni Dr. Tareeq Sufean.” Tareeq menyindir sikap kelam kabut Nurin Jannah. Nurin menggigit lidah.

“Sorry, Assalamualaikum Dr Tareeq Sufean.” Lembut Nurin membetulkan salahnya.

“Waalaikummussalam..Haa… kan sedap dengar, ni tak, pakai serbu aje. Kenapa? Ada problem lagi?” Tareeq menebak.

“Ha’ah… ada masalah besar sangat. Dr mesti tau kan?”

“Aik… awak punya masalah, kenapa pulak saya tahu? Awak tak cakap saya tak tahu la.” Nurin mengeluh lemah.

“Dr, Dr jangan main-main. Dr kan yang janji nak bagi 10 ribu dengan Acik Emah semalam?” Nurin menyoal lagi. Terkejut besar dia, apabila Acik Emah tiba-tiba menghubunginya dan mengucapkan tahniah segala bagai.

“Ya Allah, kamu cakap apa ni Nurin, saya tak faham. Boleh terang betul-betul tak?” Tareeq bersuara tegas. Nurin mengeluh lagi, bukan Dr.Sufean ke? Bisik hatinya.

“Jadi, bukan Dr lah yang bagi? Erm…”

“Cuba cerita betul-betul, saya tak faham.” Tareeq menyoal lagi, dari pendengarannya, dia tahu Nurin sedang dilanda resah.

“Macam ni, sebenarnya pagi tadi Acik Emah call saya. Dia kata ada orang datang meminang, duit hantaran 10 ribu. Acik Emah apa lagi, terus aje setuju. Dia setuju, orang tu siap bagi cincin tanda, hujung minggu ni majlis bertunang. Saya terkejut sangat-sangat. Acik Emah langsung tak tanya saya apa-apa. Bila saya tanya siapa, dia just suruh saya balik hujung minggu ni.” Nurin menjelaskan panjang lebar. Tareeq menghela nafas.

“Kenapa kata saya pulak yang meminang awak? Perasan jugak awak ni ye?” Tareeq menyindir, Nurin hanya mengeluh.

“Sebab 10 ribu, kan dulu Dr pernah sebut 10 ribu, sebab tu saya fikir Dr. Perasan pun perasanlah, sekarang ni macam mana Dr…”

“Balik aje la… apa-apa pun selesaikan hal ni face to face.” Tareeq memberi nasihat.

“Dr cakap senanglah, Dr tak kenal Acik Emah tu macam mana. Kalau tahu macam ni jadinya, dari awal saya berkeras. Ini semua salah Dr!” Nurin membentak. Tareeq hanya ketawa dengan pernyataan yang keluar dari mulut Nurin.

“Salah saya pula, sebab awak berkeraslah awak dah kena jual. 10 ribu tu, mahal-mahal…” Tareeq bukan memberikan jalan keluar tapi menambahkan sakit hati kepada Nurin.

“Dr Sufean, ni tak lawak tau.” Nurin bersuara, marah!

“Okay, sorry… Hal ni saya tak boleh nak tolong, awak kena selesaikan sendiri. Awak istikharah, dan buat pilihan awak. Nasihat saya, awak balik dan selesaikan dengan Acik Emah.” Tareeq memberi nasihat, dengan penuh hemah.

“Kalaupun saya punya pilihan adalah menolak, saya tak yakin saya mampu untuk menolak. Menyesal pulak saya tolak cadangan Dr dulu.” Nurin mengeluh lagi, dugaan ini paling hebat dalam hidupnya.

“Cadangan saya?”

“Ha’ah, cadangan Dr untuk bagi 10 ribu dekat Acik Emah dulu tu. Lebih baik saya kahwin dengan Dr dari kahwin dengan entah siapa-siapa yang Acik Emah terima tu.” Nurin bertutur dengan bersahaja. Tareeq dihujung talian sudah tersenyum melebar.

“Seriuosly? Awak memang syok kat saya eh Nurin?” Tareeq cuba menebak hati Nurin.

“Tak ah, saya suka kereta BMW Dr tu aje.” Nurin berseloroh. Tareeq ketawa dengan jawapan Nurin.

“Saya serius ni Nurin, kenapa awak kata macam tu?” Tareeq seakan suka benar bila dia mendengar Nurin meluahkan rasa hatinya.

“Kalau dengan Dr, saya dah kenal. Dah tau kereknya macam mana. At least saya boleh ready dari segi mental.” Nurin sekadar bergurau, namun ada jujur dalam kata-katanya.

“Amboi, mental? Perlilah tu.”

“Gurau aje Dr.” Nurin ketawa kecil.

“Saya tak seteruk tu kan…” Tareeq membela diri sendiri.

“Ye. Dr Sufean baikkkk sangat orangnya.” Nurin sengaja menekan panjang perkataan baik itu, sengaja ingin menyindir Tareeq Sufean.

“Saya tau. Terima kasih kerana memuji. Awak nak saya tolong tak?”

“Macam mana Dr nak tolong? Nak bagi 20 ribu eh?”

“Ingat saya ni buka kilang buat duit ke?” Tareeq membidas.

“Dah tu, nak tolong macam mana?” Nurin menyoal lagi.

“Tolong tepung tawar awak atas pelamin nanti.” Nurin merengus kasar. Tareeq sudah ketawa terbahak-bahak dihujung talian.

“Lawak sangatlah! Takpelah Dr, maaf mengganggu dan menuduh Dr pulak. Maaf ye. Terima kasih sebab selalu dengar masalah saya. Assalamualaikum.” Nurin mematikan talian sebelum sempat Tareeq menjawab salam. Lagi dilayan Tareeq Sufean, lagi serabut kepalanya. Keluhan dilepaskan, terasa berat di dada dan kepala.

Nurin mendongakkan kepalanya, memandang terus ke langit yang membiru. Langit yang cerah, memberi petanda, seolah-olah hujan tidak akan turun hari ini. Tetapi kadang kala, waktu terik matahari memancar, hujan masih bisa menitis membasahi bumi. Semua itu diluar kawalan. Macam keadaan dirinya sekarang, sememangnya di luar kawalan.

“Macam manalah kau boleh fikir Dr. Sufean Nurin…” Nurin menyoal diri sendiri. Hatinya sedikit sebanyak merasa kecewa. Kalau Dr Sufean, aku akan gembira ke? Nurin menyoal dirinya lagi. Setelah itu kepalanya digeleng laju, bagai mengusir andaian demi andaian yang datang untuk menambah keserabutan di kepalanya. Kedua-dua belah tangannya meraup wajah. Pandangannya kemudian dilepaskan ke padang yang menghijau berhadapan dengan masjid.

Deringan telefon bimbitnya mematikan menungnya kala itu. Telefon bimbit di tangan diangkat dan dibelek dahulu nama pemanggilnya, selepas itu barulah talian disambungkan.

“Waalaikummussalam… kenapa Dr?” Salam Tareeq yang menghubunginya dijawab.

“Nurin, betul ke mak cik awak kata 10 ribu orang tu bagi?” Nurin mengerut dahi.

“Yelah, 10 ribu, tu yang Acik Emah beritahu saya pagi tadi.”

“Tapi kan, saya baru aje call mama saya, mama saya kata 12 ribu, macam mana boleh kurang 2 ribu?” Nurin tercengang.

“Kejap, kejap, kejap… Apa kaitan mak Dr pula ni, jangan-jangan…” Nurin menekup mulutnya yang sudah ternganga luas, tidak menghabiskan kata. Tareeq ketawa kecil, kemudian diam beberapa ketika sebelum kembali bersuara.

“Nurin Jannah, saya harap jawapan istikharah awak akan sama seperti mana saya. Saya ingin awak menjadi teman hidup saya di dunia hingga ke syurga, insyaAllah.” Tareeq mematikan talian, tanpa menunggu sebarang kata daripada Nurin yang masih terkedu dan terkaku. Telefon bimbitnya digenggam erat. Benarkah? Nurin bagai bermimpi, pipinya dicubit beberapa kali sehingga terasa perit.

“SubhanaAllah…” Nurin akhirnya tersenyum sendiri. Sungguh dia tidak percaya, dalam soal penting ini pun, dia selalu terkena. Tareeq Sufean memang!

Nurin menaip sesuatu ditelefonnya, setelah selesai terus sahaja dia menghantarnya ke nombor Tareeq. Bunyi beep yang menandakan mesej sudah diterima oleh Tareeq, membuatkan Nurin Jannah tersenyum melebar.

+++ Nampak gayanya, saya memang kena siap sedia dengan mental yang kuat! ==’+++

-TAMAT SATU LAGI KISAH CINTA-

Moga bahagia sentiasa milik mereka.
nurwateeqa




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

171 ulasan untuk “Cerpen : Cik Abang BMW”
  1. AleyaNoor says:

    love this story… suke2 sangat2,,,,, 100 bintang!

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"