Cerpen : Cinta Dari Jabbal Rahmah

4 November 2012  
Kategori: Cerpen

10,656 bacaan 23 ulasan

Oleh : Karlina Sari

‘Pengarah baru sampai hari ni …’

Aku memandang Fakhrul yang termengah-mengah macam orang baru lepas masuk pertandingan lumba lari dalam sukan olimpik. Dia memang suka kecoh tak tentu pasal. Padahal semua orang kat dalam pejabat ni dah tahu akan perkara tu sejak dari semalam lagi.

‘Aiikkk ???..’

Dia kehairanan.

Aku mengangkat kening. Rona wajah aku calit dengan warna-warna tanpa perasaan. Ku benam jauh-jauh gelak yang rasa macam nak terpecah dari dalam perutku ini. Dia memandang mukaku dengan rasa tak puas hati.

‘Kita patut heran ke ??..’

Wajahnya keruh bercampur kelat.

‘Eii..boss baru tu…dibuatnya cerewet ke..garang ke ..’

‘ahh….aku peduli apa .. aku tak takut la….aku sekeh je kepala dia tu nanti’

Fakhrul menjuih mendengar jawapanku yang mecam terer je. Sakit matanya memandang aku yang tersenyum berlagak. Aku pulak memang sengaja menunjuk depan ‘sotong’ tu. Aku memang suka sakitkan hati jantan yang sorang ni.

‘Berlagak la pompuan ni ..’

Dia mula angkat kaki meninggalkan aku yang tersengih-sengih.

…padan muka kau..menyibuk sangat..

Pun begitu ‘sotong’ tu sebenarnya adalah antara kawan terbaik yang aku miliki. Walaupun kami berdua selalu bertekak, jarang sependapat .. tapi dia adalah seorang kawan sejati yang tahu segala kepahitan dan kegembiraan dalam hidupku. Dan dia selalu tahu menghibur hatiku ketika aku di dalam jatuh dan bangun, suka dan duka.

Aku tersenyum sendiri lagi sambil meneruskan kerjaku yang masih menimbun. Sejak aku bercuti, banyak kerjaku yang tertangguh. Rasa lenguh kepala otakku memandang kertas-kertas yang sarat dalam tray ‘in’ di atas mejaku.

Ku renung jari manisku yang di hiasi sebentuk cincin permata bermata satu. Sungguh indah, namun keindahannya tidak mampu mengusir dingin di hatiku.

Segalanya berlangsung dengan tenang. Lelaki asing yang belum pernah ku tatap wajahnya itu menghampiriku. Aku hanya menundukkan wajah. Enggan bertatapan dengan anak sahabat papa yang tadinya menjabat tangan kadhi melafazkan akad. Dia meraih jari jemariku yang di merahi inai lalu menyarungkan sebentuk cincin permata yang indah. Terasa sejuk tanganku ketika buat pertama kalinya di sentuh lelaki. Aku menunduk jua. Kali ini menunduk untuk mengucupi jari jemarinya yang sudah sah memilikiku. Terasa panas wajahku ketika dia kemudiannya tunduk mengucupi dahiku lama.

Silau mataku dek percikan flash kamera dari setiap sudut. Hari bahagia kami di rakam teman dan saudara mara yang tumpang bahagia. Tapi .. bahagiakah aku … melalui sebuah perkahwinan yang tidak pernah aku impikan. Sedang harapanku sendiri punah. Harapan dan impianku untuk menempuhi sebuah perkahwinan bersama seorang lelaki yang mampu membuat hatiku tunduk. Dan majlis yang aku impikan akan berlangsung di sebuah taman dipenuhi bunga-bunga mawar putih, hanyalah sebuah mimpi yang tidak mungkin akan menjadi kenyataan.

Sudah seminggu aku menukar status dari cik kepada puan. Seminggu juga dia meninggalkan aku. Sebaik tamat majlis akad nikah, dia terpaksa menaiki pesawat ke Jerman atas tiket urusan kerja. Katanya jadualnya begitu padat. Majlis persandingan akan di adakan pada hari yang lain. Walaupun aku berkeras untuk tidak mengadakannya namun ibu dan papa tetap mahu aku naik pelamin. Tiada makna semuanya itu bagiku. Aku sendiri tidak pernah mengenali siapa suamiku. Wajahnya juga belum sempat aku tatap. Dan namanya sendiri tidak ku tahu. Hanya ku dengar papa menyebutnya sebagai ‘Ilham’.

Ketika akad nikah dibacakan, aku juga tidak menumpukan perhatian. Fikiranku jauh menerawang, meninggalkan majlis. Entahlah… aku tidak mahu ambil pusing siapapun namanya. Bagaimana rupa parasnya. Hatiku sudah beku sejak papa dan ibu sibuk dengan perancangan perjodohan kami. Papa begitu gembira bila sahabat baiknya datang meminang aku untuk di jadikan menantu. Katanya anak lelakinya tidak pandai dalam soal memikat perempuan. Dia menyerahkan jodoh ke dalam tangan kedua orang tuanya bulat-bulat.

Agaknya Ilham ni jenis orang yang ada simpan berlian dalam mulut. Takut nak bukak mulut depan orang, takut berlian dia berterabur jatuh. Aku senyum sendiri.

Isshhh … apalah kau ni Sufi .. suka suka hati kau je nak nutuk orang. Pulak tu orang tu kan suami kau sendiri. Aku menutup mulut menyedari kesilapanku.

Maaf ….

‘Sufi….jauhnya kau berangan…’

Aku tersentak.

Sofea Lubna tersenyum-senyum memandang aku yang pucat.

‘Tak guna kau Fea….nasib baik aku tak mati..’

Marahku padanya. Dia ketawa terkekek-kekek. Seronok nampaknya membuat aku terperanjat.

‘Ada apa ..? ’

Aku pura-pura marah. Aku bulatkan mata merenung wajahnya yang putih bersih. Rambutnya yang pendek lurus terurai lembut mencecah bahu.

‘Boss baru dah sampai .. dia nak jumpa semua staff.. sekarang’

‘Aiii .. cepatnya sampai …. kata petang ..’

Sofea Lubna menjongketkan bahunya tanda dia tidak tahu. Aku memanjangkan muncung sambil meletak pen di tanganku.

Berdebar juga pertama kali nak jumpa boss baru. Namun kuatur langkah mengekori Sofea Lubna. Ketika kami berdua melangkah masuk ke bilik mensyuarat, semua staff lain sudah berada di sana. Namun boss baru tu masih tidak kelihatan. Aku mengambil tempat di sisi Sofea Lubna. Debaran jantungku kian kuat.

Macamlah aku nak jumpa si jantung hati. Kenapa iya – iya sangat hatiku berdetup detap. Terasa teruja dan takut sama banyak menggaru perasaanku.

Aku makin cemas sebaik pintu bilik mensyuarat terkuak. Seorang lelaki muda bertubuh tinggi tegap melangkah masuk di ikuti oleh ‘si gedik’ Ayushiela di belakangnya.

Mentang-mentang la dia setiausaha syarikat. Cantik pulak tu. Bukan main berlagak lagi dia depan boss baru tu. Meluat aku di buatnya. Aku pandang lelaki yang bakal menerajui syarikat itu. Terpukau aku ketika mata kami bertemu. Pandangannya begitu teduh. Aku melarikan anak mata memandang lantai.

‘Kenalkan semua … ini boss baru kita .. Encik Mohammad Firdaus Adham’

Ayushiela ‘gedik’ membuat pengumuman. Semua staff bertepuk tangan. Lelaki itu mengucapkan sepatah dua kata yang aku sendiri tak ambik pot sangat. Aku tenggelam dalam penilaian terhadap diri lelaki itu. Orangnya tampan, bergaya nampak matang, berkarisma namun sedikit angkuh.

Ahh…memang hensem la mamat ni … kalau bukan aku ini isteri orang pasti aku usahakan memikatnya.

Sayang … dia hadir hanya terlewat seminggu. Dia muncul ketika baru seminggu aku bergelar isteri. Dengan itu peluang untuk aku berlumba dengan ‘si gedik’ Ayushile tertutup sama sekali. Pasti ‘si gedik’ tu ketawa besar sebab aku tak berpeluang lagi nak menggatal.

Ku lihat mamat itu mulai bangun. Seorang demi seorang menghulurkan tangan bersalaman dengannya. Tanganku terasa sejuk bila giliranku semakin hampir.

‘Ahh .. hampeh betul .. kenapa aku takut sangat ni … macam nak berkenalan dengan

bakal suami pulak …’

Aku tersenyum sendiri. Pandai-pandai je aku ni …. Macamlah jantan kaya berkedudukan hensem dan angkuh sepertinya akan pandang perempuan tak berapa nak lawa macam aku ni.

Eh lupa pulak…

Memang la dia tak akan pandang aku. Dah la aku ni tak berjawatan tinggi. Tak berapa pandai. Isteri orang pulak. Tak kan la dia nak kacau bini orang. Berdosa woo..

‘Assalamualaikum..’

Aku tergamam. Tangannnya yang sudah lama terhulur aku sambut. Hanya seketika. Cepat-cepat aku menarik tanganku semula.

Tak boleh berpegangan lama-lama. Nanti suamiku marah. Dia menatap jauh kedalam mataku. Senyumannya begitu memikat. Pandangannya seolah-olah menyimpan rindu yang dalam padaku.

Hemmm…. perasan betul la aku ni. Pasal apa pulak dia nak rindukan aku. Sedangkan baru hari ni dia tengok aku… lagipun aku kan isteri orang.

Puas aku mengingatkan diri. Aku bukan lagi seperti dulu. Boleh senyum-senyum dengan mana-mana jantan hensem. Aku ni isteri orang. Kena jaga tingkah laku. Aku kini adalah harta seorang suami. Aku kena jaga hukum hakam dan batas pergaulan seorang isteri. Tapi, sekali sekala otak aku ni biul juga. Tersasul tak tentu pasal… yang pasti.. boss baru yang hensem tak ada peluang dengan aku.

Hmmm..

Dah seminggu kami semua sebumbung dengan boss baru. Orangnya tak banyak cakap. Hanya senyumannya yang sering singgah setiap kali bertembung dengan kami semua. Cerewet tidak… garang pun tidak, namun ketegasannya jelas terpamer. Aku suka sikapnya yang tak banyak cakap itu. Dalam diam aku sering mencuri pandang akan gerak geri lelaki itu.

Pantang ada peluang, pasti aku akan pandang dia. Wajahnya yang tampan. Gerak gerinya yang memukau. Tubuhnya yang tinggi tegap. Senyumannya yang memikat. Memang boleh buat aku cair.

Aduhhhh ….

…….hensem betul boss aku ni…….

Ayushiela dah mula bukak cerita dengan beberapa orang staff yang boss baru tu dah mula cuba-cuba memikatnya. Katanya, cik abang hensem tu sering merenungnya dari jauh. Bangga bukan main dia bila beberapa orang mempercayai kata-katanya itu. Aku pulak meluat sangat mendengarnya. Macam dah tumbuh segala macam tunggul dalam lubang telinga aku ni dek menyampah mendengar khabar-khabar angin yang mula bertiup kencang dan bakal menjadi ribut dalam pejabat ni nanti.

Bukan lah aku cemburu. Aku pun bukan nak sangat kat boss baru tu. Tapi aku tak rasa yang boss aku ni ada hati kat si Ayushiela. Rasa macam tak padan langsung seorang lelaki yang begitu bergaya berteman dengan seorang perempuan yang tergedik-gedik macam cacing kerawit tu.

Alaahhh ..cakap aje la yang kau tu dengki Sufi oii … kau dah tak ada peluang nak mengorat dia, kau sakit hati pulak dekat si Ayushiela yang masih bujang trang tang tang tu ..biarkan aje la .. dia orang bukan terikat macam kau .. suka hati dia orang la nak buat apa ..

Ahhhh … walau macam mana pun aku tetap tak suka boss dengan Ayushiela .. dengan Sofea Lubna tak apa .. dengan aku lagi ok ..ishhh …tak boleh .. tak boleh ..

‘Sufi … boss panggil .. kat bilik dia …’

Aku tersentak. Ku pandang muka Fakhrul tepat –tepat. Ada tak gaya – gaya dia sedang cuba nak mengenakan aku. Tapi wajah lelaki ‘sotong’ itu kelihatan serius. Tiada riak senyuman di bibirnya. Aku renung lagi dengan penuh tanda tanya.

‘Hoiii pompuan…. cepat la ..’

Tersentak aku di sergah Fakhrul. Pantas aku bangun.

Fakhrul sudah berlenggang meninggalkan aku. Tanpa peduli samada aku mahu percaya ataupun tidak. Jahanam betul si Fakhrul ni. Jaga kau kalau kau permainkan aku. Aku akan kejar kau sampai ke lubang kubur …

Perlahan aku menghampiri pintu kamar lelaki itu. Nak masuk ke tak ni .. macamana kalau sotong tu betul – betul mainkan aku. Malu besar aku depan mamat hensem ni nanti. Pasti dia akan tersenyum perli dengan pandangan matanya yang tenang tu kalau aku tiba-tiba masuk. Apa aku nak cakap kat dia nanti. Tak kan aku nak kata aku kena permain dengan si sotong tu. Si Fakhrul pulak pasti akan gelak kan aku sampai berguling-guling. Sebulan pun belum tentu habis ceritanya. Maklum la .. selama ni asyik dia je yang terkena dengan aku. Kalau dapat dia pulak kenakan aku pasti macam ayam jantan yang riuh bila ayam betina bertelur.

Mohammad Firdaus Adham b. Datuk Farid

Pengarah Urusan

Aku tercegat di depan pintu sambil membaca perkataan yang tertulis di pintu. Aku kebingungan. Nak masuk ke tak nak. Aku jadi takut. Persoalan berputar ligat di kepalaku.

Tapi kalau betul dia panggil aku, apa perlunya dia bertemu dengan aku. Sedangkan urusan kerja kami kurang kaitannya. Aku ada buat salah ke.. habis la aku kali ni ..

Aku ketuk jua pintu itu setelah seratus kali menimbangkan kemungkinan buruk dan baiknya.

‘Masuk..’

Aku melangkah masuk dengan berat hati. Hanya satu dalam benakku ketika itu. Dia dah nampak aku selalu curi pandang padanya dan selalu pulak termenung memasang angan-angan. Dia nak marah aku atau dia nak warning aku .. kat pejabat bukan tempat termenung tapi tempat kerja .. jadi buat la kerja .. serta merta peluh dingin membasahi tapak anganku .. terasa seram sejuk kakiku .. rasa macam nak mati je ….

Sebaik saja aku melangkah masuk dia segera berdiri. Aku terkaku menatap senyumannya yang sering membuat hatiku cair. Dia melangkah merapati aku yang masih terpacak di situ. Pipiku di raupnya dengan kedua tangannya, wajahku di tariknya rapat ke wajahnya hingga terasa hembusan nafasnya yang lembut menyapu mukaku. Aku bagaikan di pukau, hanya membiarkan perlakuannya. Matanya merenung dalam ke anak mataku. Aku sudah menjadi bodoh ..

‘Saya rindukan awak Sufi………sejak kali pertama saya menatap wajah awak….

saya sudah tidak berupaya melupakan awak…’

Ehemm…!!!

Aku tersentak. Kulihat lelaki kacak itu masih jua di kerusinya. Memandang tepat ke arahku. Sedang aku masih jua terpacak memandang kepadanya.

Astaghfirullah ….

Ampunkan aku suamiku… kenapa begitu jauh sekali angan-anganku. Kalau iya pun aku angau kat boss hensem ni, tak kanlah sampai aku lupa dosa dan pahalaku terhadap suami. Meski aku tidak punya perasaan apa pun pada suamiku itu, namun Tuhan pasti murka dengan kekhilafan yang aku lakukan terhadap suamiku tadi. Mana mungkin aku menghayalkan bermesra dengan lelaki lain sedangkan aku adalah milik orang.

‘Cik Sufi … awak dengar tak apa yang saya cakap tadi….’

Aku terkulat-kulat. Rasa macam nak pitam pun ada. Berpeluh-peluh aku di buatnya. Lelaki itu masih jua duduk di kerusinya. Matanya merenungku dengan pandangan yang tenang.

‘Maaf Tuan … saya … err..err…..tak perasan’

Aku menunduk. Berlagak bodoh. Ataupun memang aku dah jadi bodoh pada masa tu.

Malunya aku. Rasa macam nak sorok kepalaku ke dalam pasu bunga yang terletak di sudut biliknya itu. Aku betul-betul tak perasan apa yang di perkatakannya kerana asyik berkhayal.

Dia tersenyum cantik. Terpukau aku memandangnya. Lupa akan hajatku nak memasukkan kepala dalam pasu bunga.

Ahh .. parah betul aku ni … jatuh cinta pulak ke aku dengan si mamat ni ?

‘Saya nak awak ikut saya petang ni …’

Terlopong mulutku mendengar arahan lelaki kacak itu. Tapi …

‘Nak kemana Tuan ..?

‘Jangan la panggil saya Tuan .. panggil Encik Adham je’

Senyumnya masih jua di bibir. Aku cuba alihkan pandangan mataku dari bibirnya namun tak berjaya.

Kalau dia tahu aku asyik pandang bibir dia … mesti aku akan dapat malu besar.

‘Temankan saya jumpa client syarikat ‘

Aku terkedu. Kenapa aku. Sepatutnya Ayushiela ‘gedik’ tu yang kena pergi. Sebab ini memang tugas dia. Jantungku serta merta berdetak pantas. Macam dalam perlumbaan F1 di litar sepang.

‘Jangan panik … client kita tu dah highlight awal-awal. Dia tak mahu Ayushiela

terbabit dalam projek kali ni …’

‘Tapi kenapa .. kan ini memang tugas dia..’

‘Memang la….tapi client yang ni tak suka dia …gedik..’

Macam nak terburai gelak aku mendengar kata-katanya yang selamba itu. Tak sangka pandai juga dia ‘mengutuk’ orang. Wajahnya kelihatan begitu selamba walaupun mengeluarkan kata-kata lucu. Aku ketap bibirku rapat-rapat. Takut terlepas gelak besarku. Dia memandangku dengan pandangan matanya yang tenang. Aku segera menunduk. Takut perasan pulak nanti..

‘Jangan lupa petang ni…pukul 6.30 petang..’

‘Tapi Tuan ..err ..err ..Encik Adham .. saya tak tau apa-apa pasal tugas ni’

‘Tak apa ..sya cuma nak awak temankan saya .. tu aje .. rasa canggung pulak

kalau saya kena duduk sorang – sorang masa menunggu nanti’

Aku angguk patuh. Dalam hati berdolak dalik .. nak pergi ke tak ni … patut ke aku tolak je .. ini permintaan atau arahan ..?

Nanti apa kata suamiku .. walaupun dia jauh di seberang lautan .. namun aku harus tahu mana yang boleh .. mana yang tidak .. dan aku sepatutnya meminta izin dia untuk pergi bersama boss ku ini .. tapi … agak-agaknya tak mengapa kot .. lagipun bukan aku dengan dia berdua aje nanti. Ada orang lain sama. Tambahan pula ini berkaitan hal syarikat bukan hal peribadi ..

Aku cuba pujuk hatiku yang rasa bagai di landa puting beliung.

Aku berdiri kaku memandang mejaku yang masih jua berselerak seperti tadi. Ku renung kertas-kertas dan fail yang bertimbun …… otakku jadi kosong. Berfikir tidak .. mencari jawapan pun tidak. Tiada aktiviti yang di lakukan saraf otakku. Hanya membeku seolah-olah ianya tidak berfungsi lagi.

Entahlah………….

Yang pasti aku bagaikan orang bodoh sejak melangkah keluar dari bilik boss sebentar tadi. Ku pandang jarum jam yang bergerak satu persatu. Tidak mahukah dia berhenti seketika atau sekurang-kurangnya berpaling melihat aku yang sedang keliru ini. Wahai jarum jam, kasihanilah aku. Semakin kau bergerak akan semakin hampir lah aku kepada waktu yang di tetapkan boss ku tadi. Aku jadi takut tiba-tiba. Walaupun hati ku ingin sekali mengerjakan tugasan yang membabitkan boss ku yang hensem tu .. tapi tidak lagi sekarang. Aku tahu hatiku mudah cair jika berdepan dengan renungan matanya yang tenang itu.

Takut nanti aku terpaut hati padanya. Sedangkan aku sudah kehilangan hak untuk memiliki cinta terhadap lelaki yang selain dari suamiku.

5.30 petang…………

Aku pura-pura masih sibuk. Sofea Lubna menghampiri aku yang masih belum menunjukkan tanda mahu pulang.

‘Hei .. rajin kau hari ni Sufi … tak nak balik ke…?’

Aku tersenyum tawar. Rasanya dah tak ada perasa yang boleh aku bancuh dalam senyuman ku petang ini. Semuanya serba tak kena. Manis, pahit, masin, masam..

‘Kau balik la dulu Fea……boss suruh aku stayback … kena siapkan kerja’

‘Oooo …. Okeylah .. aku balik dulu…’

Dan sofea Lubna berlalu meninggalkan aku dalam serba salah. Kesian kawan baikku itu. Siang-siang lagi dah kena ‘kencing’. Aku sebenarnya tak mahu Sofea tahu yang aku akan keluar dengan boss untuk bertemu client. Takut terbocor perkara dari mulut tempayannya itu di hadapan Ayushiela. Kawanku yang sorang ni bukan tahu nak jaga rahsia. Asal saja dia dapat menyakitkan hati ‘si gedik’ tu, dia tak kira rahsia ke .. sulit ke .. dia akan ‘boh’ je asal hati dia puas.

Takut nanti kerana dia nak buat Ayushiela panas, dia babitkan aku ‘berdating’ dengan boss. Matilah aku. Tambah pulak dua tiga hari ni Sofea Lubna memang tak senang duduk mendengar cerita yang boss hensem tu dah mula berjinak-jinak memikat Ayushiela.

Mujur juga ketika aku masuk ke bilik boss tadi Sofea Lubna tak ada. Dia langsung tak tahu tentang ‘pertemuan sulitku’ dengan lelaki kacak itu. Dan Ayushiela pula kebetulannya ke Account Department … hanya Fakhrul seorang yang tahu akan pertemuan aku dengan boss hensem tu. Tapi aku tau ..Fakhrul tak akan kecoh tentang hal ni. Dia pun bukan tau apa urusan aku dengan boss tadi. Lagi pula ..kalau dia berani nak bermulut murai .. aku akan pastikan rahsia dia akan terbocor dari genggamanku ..

Aku tersenyum sendiri … hebat kau Sufi !!

Aku memperbetulkan kurung putih berbunga biru yang melekap di tubuhku. Sesaat ku belek tudung biru yang setia menyembunyikan rambutku dari pandangan mata lelaki yang bukan mahramku. Aku tersengih-sengih menatap wajahku yang tak berapa nak cun di cermin kecil yang memang tersimpan rapi di laci meja. Nyaris tak retak cermin tu..

‘Dah cantik…’

Aku tersentak. Cermin yang kemas di tangan terlepas. Dia tersenyum gelihati melihat aku yang terkejut besar dek sapaannya itu.

‘Jom…’

Dengan muka bodoh aku mencapai baranganku lalu mengekorinya ke lif. Ketika berdiri di sisinya menunggu ketibaan lif, jantungku mulai berdebar keras. Tambahan pula matanya yang tenang itu asyik mencuri pandang padaku. Dan setiap itu juga senyuman sentiasa terlukis di bibirnya.

Duhai hati … tabahlah menghadapi godaan yang maha besar ini. Aku ini isteri orang. Janganlah kau berpaling kasih kepada lelaki lain. Walaupun aku tidak pernah sekali merasai getaran cinta terhadap suami yang tidak pernah ku tatap itu, namun itu bukanlah alasan untuk aku menukarkan rasa hati kepada lelaki lain….

Aku cuba buat-buat bodoh. Seolah-olah aku tak perasan langsung akan tatapan matanya yang tenang merauti wajahku. Dan senyumannya yang begitu mesra tu aku buat-buat tak nampak. Aku arahkan anak mataku ke lantai. Terasa lif begitu lambat tiba. Dan terasa kakiku bagai di gam kelantai .. tak boleh nak bergerak lagi ….. Aduhai …

Lama juga kami berdua duduk di Aruna Cafe, tempat yang di janjikan untuk pertemuan dengan client syarikat. Pun begitu kepalaku dah mula terasa gatal. Bayang batang hidung mereka masih belum kelihatan. Ku jeling jam di pergelangan tanganku. Jarum menunjukkan pukul 8.20 malam. Bermakna sudah hampir dua jam kami menunggu. Boss aku ni pulak bukan nak ajak aku bersembang. Dia asyik tengok muka aku dan tersenyum. Aku pulak dah resah gelisah bila kerapkali mata kami bersapa. Dua jam duduk di hadapan lelaki hensem ni rasa macam duduk atas bara api. Kalau aku ni kambing panggang ..dah kira masak dah pun. Dah boleh di makan.

Mata ku melilau lagi melihat kalau-kalau ada orang yang berpakaian kemas menuju ke meja kami yang terletak agak kebelakang sedikit. Suasana cafe yang bercahaya suram dengan cermin gelap membangkitkan suasana romantik. Memang sesuai untuk pasangan bercinta.

Tapi aku …

Apa aku buat disini dengan lelaki yang tak berapa nak keluar suara untuk bersembang denganku ini. Sekurang-kurangnya untuk menghilangkan rasa seganku terhadapnya pun jadilah. Terasa macam nak angkat kaki je … biarkan dia tinggal sorang-sorang kat situ. Boss aku ni pun satu. Sepatutnya kalau dah lambat macam ni .. call aje la client tu tanya jadi ke tak nak jumpa. Ini tak .. dia buat tak tau je. Macam dia sengaja nak aku duduk depan mata dia dan jadi resah gelisah macam ni. Dia buat aku betul-betul tak senang duduk.

‘Cik Sufi Umairah …’

Aku mengangkat wajah memandangnya bila dia memanggil namaku. Bila mata kami bersapa dia mengangkat keningnya. Dia kelihatan nakal dengan senyumannya yang menarik.

Oiiiiiiiiii Puan Sufi Umairah …. !!!

Jaga tingkah laku .. jaga hati dan perasaan .. awak tu isteri orang.

‘Ye Encik Adham …??’

‘Saya tanya …. awak nak balik cepat ke …. dari tadi asyik tengok jam je ‘

Aku tersengih-sengih malu. Tak sangka dia memerhati tingkah laku ku yang resah. Aku sendiri pun tak perasan yang aku asyik tengok jam. Aku risau sebenarnya duduk berdua dengan mamat hensem ni. Dia pulak asyik pandang kat aku. Ke aku yang terperasan. Sedangkan dia tak pandang – pandang macam yang aku rasa tu.

Hmmm ….

‘Sufi … ‘

Aku tersentak lagi. Ku pandang lagi muka lelaki kacak itu.

Alamak …. kenapa aku blur sangat ni ..?

‘Takut suami awak marah ke ?’

Bulat mataku memandang lelaki di hadapanku ini. Mana dia tahu aku dah kawin .. ?

‘Encik Adham tau saya dah kawin ?’

Soalannya aku jawab dengan soalan juga. Ishhhh apa dah jadi dengan aku ni. Rasa macam dh tergaru-garu macam monyet atas dahan je. Serba tak kena. Kenapa pulak aku nak gabra. Memang betul pun aku dah kawin. Tak kan aku tak nak mengaku pulak. Peluang aku dengan dia memang dah tak ada. Apa yang aku susahkan kalau dia tahu sekalipun aku ini isteri orang. Aku datang ke sini bersamanya pun bukan kerana aku nak memikat dia atau punya niat serong untuk bersamanya. Tapi atas tuntutan tugas semata-mata.

‘Saya nampak ada cincin cantik kat jari manis awak tu ..’

Dia terseyum padaku.

Aku menggerakkan jari-jariku menutup cincin yang menjadi tanda dan saksi bahawa aku ini milik seseorang. Dia tersenyum.

Dia ni .. semua di perhatikan. Sampai cincin kt jari aku pun dia analisa sekali. Tapi tak apa .. asalkan dia tak tahu aku ni isteri terpaksa sudah lah. Lagipun itu hal peribadi aku dengan suamiku. Dia tak perlu tahu semua tu.

‘Cantik’

Aku terpaku. Wajahnya yang selamba aku pandang tepat – tepat. Betul ke apa yang aku dengar tadi. Dia tersenyum juga. Hati aku makin berdebar-debar bila dia dengan beraninya merenung mataku.

Aduhai hati … janganlah kau tergoda dengan senyuman dan renungan matanya itu. Ingatlah kepada suamimu.

‘Cincin awak tu .. cantik’

Rasa macam nak pitam bila aku dengar ayat yang keluar dari mulutnya itu. Rasa macam aku nak sumbat cili giling biar panas. Mati–mati aku sangka dia puji aku cantik. Rupanya dia bercakap tentang cincin. Dia tersenyum juga. Perit hatiku bila aku rasa yang tiada ikhlas lagi dalam senyuman itu. Terasa macam dia ketawakan aku yang perasan ni aje.

‘Suami awak kerja kat mana ?’

Aku terfana .. kerja kat mana ?

Kenapa la dia ni tanya aku soalan maut begini. Apa aku nak jawab ni….

Memang tadi aku berharap dia mahu bersembang denganku untuk menghilangkan rasa seganku padanya. Tapi sekarang ni aku rasa macam nak tutup jer mulut dia tu dengan kain alas meja ni. Biar dia tak payah tanya apa-apa lagi.

‘Tak kan tak tahu suami sendiri kerja kat mana ..’

Aku terasa tersindir. Mahu je aku menjerit mengatakan yang aku tak kenal siapa suamiku. Manalah aku tau dia kerja di mana.

‘Hmm .. tak nak cakap .. tak pe laa … rahsia kot ‘

Kenapalah mamat hensem ni asyik menyindir aku. Atau sebenarnya aku yang terasa sendiri sebab memang aku tak tau pun suamiku kerja apa dan dekat mana. Nama dia pun aku tak tau .. inikan pulak kerja …

‘Saya rasa dia orang ni tak datang kot … so, apa kata kita makan malam berdua ..’

Bulat mataku memandang boss ku yang tak jemu-jemu tersenyum dari tadi. Apalah malang nya nasib ku hari ini. Kenapa lah client tu tak datang pulak. Aku mulai rimas bila dia tanpa persetujuanku terus memanggil waiter untuk mengambil pesanan. Aku biarkan saja dia memesan. Dia sendiri tidak bertanya apa yang aku nak makan. Pandai-pandai dia je orderkan untuk aku.

Tapi entah mengapa .. jauh di sudut hati aku tak mampu menafikan sikapnya yang kelihatan angkuh itu mampu menundukkan hatiku. Aku tidak bangkit menentang sepertimana aku selalu menentang lelaki yang sukakan aku sebelum ini. Tahulah aku lelaki seperti ini lah yang selalu aku impikan .. lelaki yang mampu menundukkan hatiku, mampu mencairkan kekerasan hati yang sengaja aku ciptakan. Apakah suamiku juga akan mampu menundukkan hatiku seperti lelaki di hadapanku ini.

Pesanan sampai. Aku makan tanpa perasaan. Entah apa yang masuk kemulutku, aku sendiri kurang pasti. Kalaupun yang di hidang itu katak goreng rasanya aku dah telan tanpa sedar. Aku betul – betul dah kehilangan diriku sendiri. Kulihat lelaki kacak itu menggerakkan bibirnya berkata-kata, namun aku langsung tak dengar apakah isi bicaranya. Aku yang sedang berada di kebisingan, sunyi yang melaut … dan di tengah keriuhan, sepi yang menyelubungi.

Aku tenun segala gerak geri Encik Adham menjadi hamparan yang menyelimuti kotak fikiranku. Aku susun senyumannya menjadi benteng yang menutupi hatiku dan aku lukiskan tenungan matanya yang teduh itu menghiasi kanvas jiwaku. Tenggelamlah aku dalam kabus perasaan yang aku cipta sendiri. Terasa aku tidak akan terlepas lagi dari kesuraman hatiku ini. Aku sudah teraba-raba mencari jalan keluar dari kemelut yang tercipta tanpa pintaku.

Suamiku ……

Ampunkan aku. Sejak menjadi isterimu belum sekelumitpun resah aku rasakan kerana merinduimu. Namun dengan lelaki ini, walaupun dia sedang berada di depan mataku, namun jiwaku sudah di selami resah rindu kepadanya. Aku tahu besarnya dosaku kepadamu …

Dan di sat itu aku merasakan aku harus bangun meninggalkan Encik Adham. Namun tubuhku bagaikan sudah kaku. Aku sudah tidak berupaya bergerak lagi. Aku bagaikan sudah membeku di situ. Terpukau menatapi senyum tawa dan pandangan matanya yang tidak jua surut dari menatapiku.

Malam kian berganjak ….

Dia menghantarkan aku pulang. Sepanjang perjalanan aku hanya membisu. Pandangan mata aku lemparkan jauh-jauh di kegelapan malam yang di simbahi neon. Suasana romantis malam yang begemerlapan itu tidak sedikitpun dapat menghalau perasaan marah, sedih, kecewa dan hampa yang sedang berpintal menjadi satu lilitan perasaan yang menjerat tangkai hatiku kini.

Marah kerana aku gagal mengawal naluri wanitaku yang tidak sepatutnya jatuh cinta kepada lelaki lain. Sedih kerana akhirnya aku tewas mempertahankan hatiku dari memiliki rasa kepada yang tidak berhak. Kecewa kerana sikapku yang keterlaluan menurut rasa hati dan hampa kerana akhirnya aku mengalah kepada nafsu perasaan yang bukan sepatutnya milikku.

Ahhhhhhh ….

Berbelit-belit jalan fikiranku. Sehingga aku sendiri sudah tidak faham akan diriku. Mana perginya aku yang sering ketawa dan ceria. Aku yang sering mengambil jalan yang paling simple untuk melangkah dalam hidup. Sejak sepetang berduaan dengan lelaki disisi ku ini, aku telah bertukar menjadi aku yang lain.

Tanpa sedar, kami sudah sampai di hadapan pagar rumahku.

Rasanya aku belum memberitahu Encik Adham di mana aku tinggal. Macamana dia tahu dia mesti berhentikan aku di sini.

‘Macamana Encik tahu saya tinggal di sini ?’

Soalan itu terkeluar juga dari bibirku.

‘Sufi .. awak kan staff saya. Sebagai seorang ketua, saya harus ambil tahu

semua tentang diri staff saya. I have run through your profile ..’

Aku mengeluh. Lantaklah apa pun. Aku sudah tidak berminat lagi untuk ambil tahu. Fikiranku terlalu sarat dengan berbagai-bagai permasalahan. Aku hanya mahu segera masuk ke rumah dan tidur. Biar semua yang berlaku hari ini akan menjadi mimpi semata-mata. Dan pagi esok ketika aku membuka mata mimpi ini akan berakhir.

Aku membuka pintu kereta namun dia tiba-tiba menyambar tanganku. Aku tersentak. Terasa jantungku berhenti berdenyut. Di genggamnya tanganku erat lalu dia tunduk mengucupinya. Aku terpaku. Untuk seketika aku bagai menjadi dungu. Otakku tidak berfungsi untuk menyalurkan apa-apa maklumat sebagai tindakan refleks perlakuannya itu.

Selepas beberapa ketika, aku tersedar. Segera aku rentap tanganku dari genggamannya. Mataku di genangi air jernih lantas menitis satu persatu menuruni lurah pipiku. Dia ikut tersentak bila menyedari aku menangis.

‘Sufi ..’

‘Maaf encik Adham .. saya masuk dulu’

Aku melangkah pantas bersama deraian airmata yang kian lebat. Tidak sepicinpun aku menoleh lagi kepadanya.

‘Sufi …’

Aku dengar dia memanggilku. Namun langkahku semakin laju. Aku berlari masuk lalu terus menuju kebilikku. Melintasi papa dan ibu di ruang tamu, aku tidak sedikitpun membuang pandang pada keduanya. Kututup rapat pintu kamarku dan menghabiskan sisa tangisan yang masih tidak berpenghujung, sehingga akhirnya aku sendiri terlelap dalam airmata yang masih bertaburan.

Azan subuh berkumandang ….

Aku membuka mata yang terasa perit. Entah berapa lama aku menangis, aku tidak tahu. Rupanya aku masih dalam pakaian semalam. Tudungpun masih belum ku buka. Aku bangun lalu kebilik air. Aku harus mohon petunjuk Allah, minta di berikan taufik dan hidayahnya. Mudah-mudahan aku boleh melupakan perasaan cintaku yang tumbuh di hatiku terhadap Encik Adham. Aku berharap hatiku akan kembali tenang .. setenang ketika aku membuat keputusan menerima akad nikah suamiku dulu.

Dan setelah aku serahkan diri kepangkuan yang maha esa, aku telah membuat keputusan untuk berhenti kerja. Biarlah aku tidak memandang lagi wajah lelaki yang telah mencuri cintaku dalam hanya tempoh seminggu itu. Aku ingin membina cinta baru untuk suamiku, walaupun hanya cinta kedua namun akan aku pastikan itulah cintaku yang terakhir. Aku harus memohon keampunannya atas kesilapan yang telah aku lakukan.

Sofea Lubna kecewa dengan keputusanku bila aku menelefonnya memberitahu tentang perletakan jawatanku. Dia sempat marah-marah kerana tidak berbincang dulu dengannya sebelum membuat keputusan. Katanya aku terlalu drastik. Aku hanya tersenyum di talian mendengar Sofea Lubna menceceh macam nenek kebayan.

‘Oiii nenek kebayan ..’

Aku sergah dia dari hujung talian. Mesti dia tersentak kerana omelannya mati secara tiba-tiba. Aku tertawa kecil sambil membayangkan wajahnya yang comel itu sedang terlopong.

‘Kau panggil aku nenek kebayan … jahanam kau Sufi ..!!’

Aku ketawa lagi.

Ya Sufi Umairah .. ketawa lah puas-puas. Moga kau kembali ke dirimu yang dulu. Biarpun kusedari pada penghujung tawaku itu masih ada airmata yang mengintai sudut mataku. Hatiku yang retak ini pasti akan kurawat sehingga sembuh. Semuanya ini adalah salahku sendiri. Encik Adham tidak pernah sekalipun meluahkan perasaan atau memberikan harapan. Kenapa harus aku yang tersasul langkah sendirian.

‘Tak pe la mak cik … kalau itu keputusan kau .. tapi jangan lupa kat aku sudah ..

Aku tersenyum puas. Sofea Lubna berjanji akan menyampaikan perletakan jawatanku kepada Encik Adham walaupun dia sedikit hampa bila aku enggan menjelaskan apa alasan aku berhenti mendadak. Tunggulah Fea ..mungkin satu hari nanti aku akan menceritakan apa sebabnya. Tapi sekarang bukanlah saat yang sesuai.

Pada papa dan ibu aku katakan yang aku sengaja berhenti untuk menumpukan perhatian terhadap rumahtangga sementelah suamiku akan pulang beberapa hari lagi. Kedua mereka tersenyum gembira bila mendengar jawapanku.

Aku gembira bila mereka berdua bahagia. Rupanya begitu rasanya bila kita mampu membuat orang yang kita sayangi senang. Biarpun jauh di sudut hati, keretakan hati ini masih terasa. Aku akan cuba mengatasinya dengan perlahan-lahan. Dan kuharapkan kepulangan suamiku nanti akan dapat mencantum kembali retakan itu.

Seharian di rumah tanpa berbuat apa-apa menjadikan aku agak bosan. Tiada apa yang dapat ku lakukan macam dekat office. Rindu pada kedua sahabatku si Sofea Lubna dan Fakhrul. Namun tiada panggilan dari pejabat menanyakan kenapa aku berhenti. Encik Adham juga membisu. Katanya tahu semua maklumat tentang staff, masakan dia tidak tahu apa nombor telefonku.

Hmmm ….

Barangkali dia juga segan pada aku gara-gara tindakannya malam tadi. Atau dia takut aku melaporkan sikap kurang sopannya itu pada suamiku. Bagus lah kalau begitu. Sekurang-kurangnya dalam waktu aku cuba bertenang ini tiada gangguan yang boleh menambahkan cabang kekusutanku.

‘Sufi ..’

Aku berpaling pada panggilan ibu. Dia merapatiku dengan senyuman mesra dibibirnya. Aku turut tersenyum padanya. Ku pandang raut wajahnya yang sudah mula di makan usia. Pun begitu dalam lingkungan usia 40-an dia masih kelihatan mantap. Betapa besarnya jasa wanita ini kepadaku. Sejak usiaku lapan tahun dia menjadi pengganti mama. Memberikan aku sepenuh kasih sayang, membelai aku sehingga dewasa. Memimpin aku agar membesar sebagai wanita sejati.

Ibu ….

Biarpun dia hanya lah bekas pembantu rumah kami, namun dialah ibuku yang sejati. Terima kasih ibu kerana mendidikku menjadi seorang wanita muslimah. Dan terima kasih mama kerana melahirkan aku untuk menikmati perjalanan hidup yang beranjau ini.

Aku peluk ibu ketika dia melabuhkan punggungnya di sisiku.

‘Sufi .. kenapa menangis ni … cakap dengan ibu …’

Jelas terlukis raut bimbang di wajah ibu. Aku tersenyum mengesat airmata. Aku gelengkan kepala.

‘Tak ada apa-apa bu … Sufi terasa terhutang budi pada ibu kerana membesarkan

Sufi sepenuh kasih sayang …’

Ibu memelukku kembali. Di usapnya rambutku yang panjang mencecah pinggang.

‘Dah tak usah sedih-sedih … ibu bawak khabar gembira ni’

Aku terlopong memandang ibu yang masih jua mengukir senyuman

‘Ilham sampai malam ni …’

‘Malam ni …????

Ibu angguk.

‘Tapi kenapa awal sangat … kata dua tiga hari lagi’

Aku seakan memprotes.

‘Mungkin dah tak tahan rindu kat anak ibu ni ..’

Ibu berbisik sambil tersenyum nakal. Aku terbeliak. Rasa macam nak terkeluar biji mataku. Malu betul aku bila ibu berkata begitu. Panas mukaku bagai di sapu cili. Ku lihat ibu tersenyum juga. Dia segera bangun sambil memicit hidungku sebelum berlalu.

Terasa degupan jantungku mulai berdetak keras. Sesak nafasku bila otakku mulai menerawang ke pelbagai persoalan

Macam mana nanti kali pertama aku berhadapan dengannya. Mampukah aku menerima dia masuk kedalam hatiku. Akan terbukakah pintu cintaku bila dia mengetuknya. Kacakkah dia .. romantikkah dia.

Ahhh ….

Banyak sangat soalan yang terlontar. Tak sempat untuk aku menjawabnya. Serentak itu aku berlari ke bilikku. Aku nak selongkar almari pakaianku. Baju mana yang harus aku pakai untuk menyambut kepulangannya nanti.

Namun langkahku jadi urung bila aku memasuki kamarku. Wajah Encik Adham bertandang lagi. Masih jua aku merasakan rinduku yang di paut lelaki itu.

Ya Allah .. kuatkan lah hatiku ini. Teguhkanlah keimananku. Kau tanamkanlah cintaku kepada lelaki yang berhak terhadap diriku ini. Moga sempurna ibadah yang kami laksanakan terhadapmu nanti.

Akhirnya dengan perlahan ku capai jua sehelai dress tanpa berfikir untuk membelek-belek lagi koleksi pakaian yang aku ada. Terasa sudah hilang keterujaan yang aku rasai tadi setelah hatiku masih jua mengingati Encik Adham …

Alangkah ………!!

Malam mulai menyelimuti alam. Kami tiga beranak menghadapi hidangan secara sederhana. Menurut papa Ilham ada menelefonnya meminta kami makan malam dahulu kerana dia tiba agak lewat dari yang di jangka.

Selesai makan aku membawa diri ke halaman. Duduk mengambil angin malam di buaian yang terletak di sudut kiri rumah kami. Aku ingin tenangkan fikiranku. Tidak mahu lagi membebankan benakku dengan pelbagai persoalan yang tiada jawaban. Suamiku akan tiba bila-bila masa saja nanti. Dan tekadku, sebaik saja dia menjejakkan kakinya di hadapanku aku akan menutup segala rindu dan cinta terhadap Encik Adham selama-lamanya. Aku tidak akan mengingati dia lagi. Kerana cinta yang aku rasakan terhadapnya hanyalah sebuah cinta yang singgah untuk seketika. Cinta yang hanya menjadi perasa dalam perjalanan hidupku. Mungkin Tuhan mahu aku merasa bagaimana rasanya jatuh cinta, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam hidupku selama ini. Biarpun dalam keadaan aku sudah menjadi milik orang, namun syukurlah Allah peliharakan aku dari melakukan kekhilafan terhadap suamiku. DIA hanya mendugaku untuk sedetik dan segera mengembalikan aku semula ke pangkuan suamiku.

‘Assalamualaikum …’

Seseorang berdiri di hadapanku. Bertubuh tinggi tegap. Aku mendongak memandang wajahnya, namun tidak begitu jelas kerana dia sedang membelakangkan cahaya lampu dari beranda rumahku. Aku segera bangun mendapatkannya. Kusalami tangannya lalu kukucup tanda taat setia seorang isteri pada suaminya.

‘Sufi …’

Aku bangun dari tundukku.. Suara itu seakan aku pernah dengar dulu. Ku pandang wajahnya. Serta merta aku merentap tanganku dari pegangannya. Aku jadi nanar seketika. Tak tahu apa yang harus kulakukan. Aku cuba menutup rambutku yang terlepas terurai tanpa memakai tudung. Aku sama sekali tidak menyangka akan ada tetamu lain yang datang selain dari suamiku. Aku sengaja tidak mengenakan tudung kerana auratku adalah halal buat dia.

‘Encik Adham … maaf … saya ingat …’

Aku terkaku di situ. Dalam kekelaman warna malam bersuluh cahaya lampu beranda yang agak jauh aku melihat dia tersenyum. Perlu apa lagi lelaki ini datang mencariku. Kalau nak pujuk aku balik bekerja di syarikat, mintak maaf la. Aku tak berminat.

‘Kenapa cik Sufi duduk sorang-sorang kat luar ni … tengah tunggu

seseorang yang istimewa ke ..?’

Aku rasa bagaikan dia sengaja mencabar perasaanku. Aku harus bertahan. Aku tidak akan kalah lagi seperti malam kelmarin.

‘Saya tau .. orang yang istimewa di hati cik Sufi tu .. adalah saya ..’

Hangat hatiku mendengar kata-kata yang keluar dari bibir lelaki itu. Ketika ini terasa hatiku hancur kerana saat aku cuba membina cinta baru buat suamiku dia yang muncul dan cuba mencabar perasaanku yang memang sedia terguris kerananya.

Aku tenung matanya dalam kelamnya malam yang tiada bertepi. Tanganku pantas bergerak, menghayun sebiji penampar ke pipinya, namun dia sempat menangkap tanganku lalu menarik dan meletakkan didadanya. Aku jadi lemah. Hatiku mulai berbelah bahagi. Kenapa dan apa tujuan dia datang bertemuku malam ini. Adakah dia ingin mengatakan cinta padaku. Apakah aku akan terima dia …

Tapi suamiku …

‘Rasalah ..betapa kencangnya degupan jantung saya ketika berhadapan dengan

awak Sufi ..’

Aku kecut. Teringat akan suamiku yang boleh tiba bila-bila masa saja. Aku cuba melepaskan tanganku yang di tekan kemas kedadanya. Namun pegangannya begitu kuat. Aku gagal.

‘Saya tahu .. awak pun rasa apa yang saya rasa …’

Aku kian celaru. Takut, sendu sedih dan sesal sudah bergumpal menuntut airmataku. Aku cuba bertahan. Namun aku tewas. Benarlah airmata itu teman setia perempuan. Hilang sudah ketabahan hati yang cuba aku pertahankan sejak tadi.

‘Tolong la Encik … lepaskan saya …tolonglah pergi ..’

Tangisanku mulai meninggi. Aku tertunduk kesal kerana membabitkan soal hati sendiri dengan lelaki asing ini. Kini aku takut akan padah yang bakal ku terima jika suamiku melihat kejadian ini.

‘Sayang .. jangan la menangis ..please ..’

Aku tidak memperdulikannya. Hanya satu yang ku mahukan darinya .. aku mahu dia pergi sebelum suamiku sampai.

‘Ok ..ok … tapi saya nak dengar sesuatu dari mulut awak dulu’

Aku mengangkat wajah menatapnya. Tanganku masih jua kemas di tekup kedadanya.

‘Katakan perasaan awak yang sebenarnya pada saya .. jangan berdalih lagi’

Aku harus berterus terang padanya. Aku yakin selepas itu dia akan pergi buat selam-lamanya. Lelaki yang angkuh hanya akan tunduk jika permintaannya di tunaikan.

‘’Maafkan saya Encik Adham .. saya telah banyak berdosa pada suami saya.

sekarang masanya saya akan memohon keampunannya dan memulakan hidup

baru bersamanya .. harap Encik faham. Saya akan melupakan cinta saya pada

Encik buat selamanya.’

‘Awak tak buat salah pada suami awak Sufi .. dan saya dah maafkan awak

dari dunia sampai akhirat ..’

Aku kian bercelaru. Apa yang lelaki di hadapanku ini katakan tidak sedikit pun aku fahami. Berkedut dahiku cuba mencari maksud setiap ayat yang terlontar dari bibirnya tadi.

‘Sayang … tak perlu keliru .. saya adalah Ilham .. suami awak .. dan

saya juga Mohammad Firdaus Adham .. boss awak’

Aku renung tepat-tepat wajah di hadapanku kini. Mulutku terlopong. Aku semakin tidak mengerti apa sebenarnya yang berlaku.

‘Memang sejak saya kecil saya selalu datang ke rumah ini bersama papa

dan mama saya. Mereka rapat sejak dari bangku sekolah.

Pada masa itu awak masih belum di lahirkan .. papa awak suka panggil

saya Ilham kerana itulah nama yang dia nak berikan pada saya ketika saya

di lahirkan dulu .. tapi papa saya tukar pada Adham’

Dia tersenyum mengenang kisah lama dirinya sebelum menyambung bercerita.

‘Awak ingat tak .. setahun lalu ketika perbincangan penjualan syarikat ..’

Aku termenung.

‘Ketika itu bakal pemilik baru datang untuk mengadakan perbincangan. Dan

Awak adalah gadis yang menghidangkan minuman kepada kami semua’

Aku angguk. Kepalaku masih blur .. masih tidak mengerti apa kaitannya dengan kisah yang berlaku malam ini.

‘Saya adalah lelaki yang datang bersama peguam pada hari itu. Kali pertama

saya nampak awak saya sudah jatuh hati pada awak Sufi. Sayangnya awak terlalu

sombong ..’

Aku tersentak. Suka-suka hati dia je nak kata aku sombong.

‘Awak langsung tak pandang saya … dan perbincangan kali kedua serta kali

yang terakhir .. kita bertemu lagi. Awak jugalah gadis yang menghidangkan

minuman pada kami .. tapi awak tetap tak pernah pandang pada saya ..’

Dia mengeluh seketika. Aku ternanti-nanti kisah seterusnya.

‘Saya kerap bertanya-tanya tentang diri awak mencari maklumat siapakah

awak … akhirnya pencarian saya bernoktah di rumah sahabat baik papa saya’

Aku terdiam. Tak menduga sama sekali kisah ini sudah bermula sejak setahun yang lalu.

‘Saya minta papa dan mama saya melamar awak. Syukur lamaran saya di terima

Papa awak walaupun awak sebenarnya menolak’

Aku tersentak. Tak menyangka sama sekali yang dia sebetulnya tahu aku tidak suka pada perjodohan ini.

‘Sebelum kita di ijabkabulkan saya menunaikan umrah. Dihadapan Jabal Rahmah

saya berdoa agar jodoh kita berpanjangan hingga ke akhir hayat. Dan juga saya

berdoa agar awak akan jatuh cinta pada saya pada saat pertama mata awak

melihat saya ..’.

Aku tertunduk lesu. Fahamlah aku kini kenapa aku jatuh cinta saat pertama kali aku memandangnya. Rupanya kekuatan doa seorang suami itu diperkenankan Allah.

‘Pada mulanya saya hampa ..kerana awak tetap tak mahu pandang saya

walaupun sudah sah awak menjadi isteri saya. Tapi saya tak putus harapan.

Saya tahu awak akan tetap pandang saya bila saya dah jadi boss awak’

Dia menunduk memandangku. Aku pula mendongak sedikit kerana dia agak tinggi berbanding aku.

‘Sekarang saya sudah dapat apa yang saya mahukan …awak, Sufi Umairah ..’

Tiada sepatah kata yang dapat aku ungkapkan lagi. Aku sama sekali tidak tahu selama ini yang membuat hidupku jadi kacau bilau adalah suami yang aku tolak kehadirannya dalam hidupku. Dan di saat aku bertekad untuk menerima suamiku, dialah juga lelaki yang sama yang aku mahukan sesungguhnya di dalam hatiku.

Lelaki yang berdoa di Jabal Rahmah untuk cintaku.

Lama dia merenungku sehingga aku merasa diriku sudah kaku. Tidak pernah aku berdiri sebegini rapat dengan seorang lelaki didalam hidupku, namun ianya telah terjadi sekarang. Tangan kami masih jua tersepit di celah dada kami berdua, namun tangannya yang lagi satu terasa dengan lembut meraih pinggangku agar kami berdua kian rapat.

Tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut kami hanyalah hembusan nafas yang bertembung di antara bibirku dan bibirnya….




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

23 ulasan untuk “Cerpen : Cinta Dari Jabbal Rahmah”
  1. saidatul ammina sensarah says:

    i luv this storey so much..sye suke gya penulisan writet..kee it up..lpas ni..try karang novel plak..

  2. Nadia Mohd Zaini says:

    Wahh , sweet . =)

  3. adilah azmi says:

    Wah…seronoknya!best la! o_O

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"