Cerpen : Sekali Lagi

25 November 2012  
Kategori: Cerpen

16,397 bacaan 13 ulasan

Oleh : Dya Ezlia

“Akira!!!” laungan Puan Azizah memecah keheningan pagi. Aku yang sedang nyenyak tidur serta merta jatuh dari katil. “Aduh, sakitnya punggung aku! Mama ni pun pagi-pagi dah memetir. Tak memasal je aku terjatuh daripada katil ni,” aku merungut.

“Dzatul Akira Binti Sharifudin, bangun cepat! Dah lupa ke hari ini kamu ada temuduga?” Fuyoo, siap sebut nama penuh aku tu. Eh, betul ke hari ni aku ada temuduga? Bukan minggu depan ke. Heh, baik aku check kalendar. Mama ni bukan boleh percaya sangat.

Membulat mata aku melihat tarikh hari ini. Ah sudah, macam mana aku boleh terlupa ni? “Mama, kenapa tak kejutkan Akira awal-awal?” aku menjerit dari dalam bilik. Cehh, yang aku pergi jerit macam tu kenapa. Tadi aku juga yang merungut bila mama kejutkan aku. Baik aku pergi mandi sekarang.

Selesai sahaja mandi, aku menyelongkar almari untuk mencari baju yang sesuai. Habis berselerak bilik yang baru aku kemas tiga hari lepas. Aku bersiap sepantas yang boleh. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa gelabahnya aku sekarang ini. Bimbang kalau tidak sempat untuk menghadiri temuduga jawatan penolong editor di Syarikat Pena Kreatif.

“Akira, sarapanlah dulu. Nanti susah kalau perut tu masuk angin,” mama berkata sambil menggamit aku.

“Tapi Akira dah lambatlah mama,” aku merengek.

“Meh sini mama suapkan roti buat alas perut. Lain kali jangan tidur lepas solat subuh. Kan dah lewat.” Aku hanya mampu menadah telinga mendengar bebelan mama. Tapi ada betulnya juga kata-kata mama tu. Orang tua-tua kata tidur lepas subuh rezeki susah nak masuk.

****

Pheww! Sempat juga aku sampai ke sini. Tapi apasal ramai sangat orang. Kalau begini ada harapan ke aku nak dapat jawatan tu. Aku dah bosan asyik tanam anggur je kat rumah tu. Kalau boleh makan takpe juga. Ya Allah, engkau kurniakanlah aku semangat yang tinggi untuk menjawab segala soalan penemuduga itu nanti. Aamiin.

Tidak lama kemudian…

“Cik Dzatul Akira!” kedengaran namaku dipanggil oleh seorang wanita. Aku memberikan senyuman manis kepadanya sebelum melangkah masuk. Pintu bilik ku buka. Terlihat dua orang lelaki sedang menanti. Amboi, takkan takde penemuduga perempuan kot. Sabar jelah.

“Sila perkenalkan diri,” seorang penemuduga lelaki memulakan sesi temuduga.

“Akira,” aku menjawab dengan nada yang gugup. “Dzatul Akira Binti Sharifudin.”

“Hmm, macam nama orang Jepun. Muka pun ada iras-iras,” selamba sahaja lelaki itu berkata. Erkk, ni dah terkeluar topik ni. Apa kaitannya jawatan penolong editor dengan nama aku macam orang Jepun walaupun memang betul. Haih.

“Saya bergurau je. Baiklah Cik Akira, awak ada masa 5 minit untuk memperkenalkan diri,” sambung lelaki tadi.

“Okey. Nama saya Dzatul Akira Binti Sharifudin. Saya lahir dan menetap di Kuala Lumpur. Saya lahir pada tahun 1989. Sejak di sekolah rendah lagi saya bercita-cita hendak menjadi seorang editor sebab saya memang minat membaca. That’s why saya nak memohon jawatan penolong editor ni sebagai permulaan untuk mencapai cita-cita saya…”

“Cukup!” Ek eleh, tadi suruh aku perkenalkan diri 5 minit. Ni baru 2 minit, dah suruh berhenti.

“Pernah ada pengalaman jadi penolong editor?” seorang lelaki lain pula bertanya. Aku sempat mencuri pandang namanya. Ashraf Hakimi, sedap nama dia. Tapi sayang tak boleh dimakan. Eh, apa aku melalut ni.

“Belum pernah. Saya baru sahaja graduate daripada Universiti Malaya. Walaupun course yang saya ambil tiada kaitan dalam bidang ini, tapi saya benar-benar berminat untuk menjadi salah seorang penolong editor di Syarikat Pena Kreatif ini,” aku menjawab pantas.

“Baiklah, sampai di sini sahaja sesi temuduga kita. Kami akan beritahu keputusan minggu hadapan melalui telefon,” lelaki bernama Ashraf Hakimi itu memberitahu sambil tersenyum mesra.

“Kalau saya tak dapat panggilan tu, maknanya saya tak berjayalah ya?” Aku bertanya untuk mendapatkan kepastian dan lelaki itu mengangguk.

Seminggu kemudian…

Kring! Kring! Kring!

Eee, bisingnya. Aku mengangkat telefon dengan malas. “Assalamualaikum, cik Akira ke ni?” orang di sebelah sana memulakan perbualan.

“Waalaikumussalam, ya saya Akira. Siapa di sana ya?” aku bertanya polos.

“Saya setiausaha Encik Ashraf Hakimi. Syarikat Pena Kreatif telah memilih cik Akira untuk mengisi jawatan penolong editor di sini mulai minggu hadapan,”

“Betul ke ni? Terima kasih ya kerana sudi menelefon saya,”

“Betul cik Akira, baiklah sama-sama.” Gagang telefon diletakkan. Alhamdulillah, setelah tiga bulan aku menganggur dapat juga jawatan yang aku idamkan ni. Tak sangka mereka sanggup mengambil aku walaupun aku menuntut dalam bidang yang berlainan.

“Mama, oh mama!” aku menjerit memanggil mama untuk memberitahu berita gembira ini.

“Ya sayang, ada apa terjerit-jerit ni?” mama yang muncul dari sebalik dapur secara tiba-tiba membuatkan aku sedikit terperanjat.

“Mama, apa buat Akira macam ni? Nasib baik jantung Akira statik lagi tau. Kalau meloncat keluar siapa nak tolong masukkan?” aku memuncungkan bibir tanda tidak berpuas hati.

“Akira jerit macam nak terkeluar anak tekak kenapa? Tak elok tau kalau jiran-jiran dengar,” mama berkata sambil tergelak kecil.

“Akira nak beritahu berita gembira,” aku sudah tersenyum-senyum.

“Apa berita gembiranya? Anak mama ni dah nak kahwin ke?” mama serkap jarang.

Aku yang mendengar pertanyaan mama sudah terbatuk-batuk. Biar betul mama ni. Sampai ke situ sekali fikiran mama jauh menerawang. Aku baru je 23 tahun, takkan dia nak suruh aku kahwin. Kerja pun baru je dapat.

“Apa mama merepek ni? Akira nak bagitahu Akira dah berjaya dapat kerja. Tadi syarikat tu baru je telefon. Katanya Akira boleh bekerja mulai minggu hadapan,” aku memberitahu mama dengan nada yang teruja.

“Wah, tahniah sayang. Tapi kenapa minggu hadapan?” pertanyaan mama mengundang senyum di bibirku.

“Itu Akira tak tahu. Tapi okey la kan mama, bolehlah Akira luangkan masa dengan mama dan papa. Nanti bila Akira dah kerja susah pula,” aku menjawab manja.

“Iyalah tu, luangkan masa dengan mama dan papa konon. Cakap jelah Akira nak buat taik mata puas-puas sebelum mula bekerja. Nanti bila dah kerja susah nak uruskan kilang taik mata tu,” aku terpukul mendengar sindiran mama. Haih, apalah nasib aku dapat mama yang suka berleter ni. Memang patutlah pun dia jadi pakar motivasi.

“Papa, Akira nak pergi POPULAR kejap boleh tak? Dah lama rasanya tak baca novel. Sambil-sambil tu bolehlah Akira tajamkan skill mencari kesalahan penulis. Maklumlah, tak lama lagi Akira nak jadi penolong editor kan. Hehe!” aku meminta kebenaran dengan papaku.

“Pergilah Akira, tapi jangan balik lewat sangat. Kamu ni bukan boleh percaya sangat, kalau dah jumpa buku silap-silap kedai tu boleh jadi tempat tidur kamu malam ni,” tergelak aku mendengar kata-kata Encik Sharifudin ni. Papa memang suka buat lawak. Walau macam mana pun gila aku dengan buku, takde lah sampai nak tidur kat POPULAR tu.

“Baik, akan anakanda turuti perintah ayahanda itu,” sengaja aku berbicara menggunakan bahasa dahulukala. Papa hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat telatahku yang nakal ini.

Sampai sahaja di POPULAR, aku segera menapak masuk. Aku sudah terhidu bau buku-buku yang cukup wangi. Bau inilah yang sering menenangkan aku di kala ada masalah. Tetapi sejak kebelakangan ini jarang sekali aku dapat menjejakkan kaki di sini. Semua itu kerana aku terlalu sibuk dengan pengajian di tahun akhir dulu.

Wah, banyaknya novel-novel baru. Kalaulah aku ni jutawan, dah lama aku borong semua novel-novel ni. Banyak sungguh yang berkenan di hati. Tetapi mataku segera menangkap buku yang berjudul Historical Fact and Fiction hasil tulisan ahli falsafah sejarah yang bernama Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau sudah berumur 81 tahun. Kalau tidak silap aku ini karyanya yang kelima belas.

Aku memang mengagumi pakcik kelahiran Indonesia tetapi menetap di Malaysia ini. Beliau sangat komprehensif dan luas dari segi falsafah dan kaedahnya juga yang membantu menyelesaikan beberapa masalah penting dan mengutarakan tafsiran baru mengenai sejarah Islam di Alam Melayu. Aku mesti beli buku ni. Pasti banyak ilmu pengetahuan yang akan aku peroleh apabila membaca tulisan beliau ini.

Setelah selesai membayar buku-buku tersebut, aku berjalan-jalan di sekitar JUSCO untuk melakukan window shopping. Aku berhenti di sebuah kedai kasut dan melihat-lihat. Aku tertarik dengan sepasang kasut yang rekaannya cukup simple but nice. Harganya juga berpatutan. Aku sudah berangan-angan memakai kasut itu ketika pergi ke pejabat nanti.

“Miss, can I help you?” Angan-anganku dimatikan gadis cina ini.

“Sure! Saya nak beli kasut ni,” aku berkata sambil tersenyum.

“Okey, cik boleh tunggu di hadapan sana,” gadis itu berkata sambil menunjuk ke arah kaunter.

Aku mengangguk perlahan dan menuju ke arah kaunter. Setelah selesai, aku melangkah keluar. Jam di pergelangan tangan kulihat. Sudah dua jam aku menghabiskan masa di sini. Sekarang masa untuk pulang dan kalau tiada aral, bolehlah aku mula membaca buku Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas itu.

****

“Akira!! Bangun cepat. Kamu tak nak pergi kerja ke?” aku menguap. Dengan malas aku bangun dan melihat jam di sisi katil. Baru pukul 7. Mama ni saja kacau tidur aku. Eh? Aku macam dengar mama sebut perkataan kerja tadi. Takkanlah…

“Arghhh, mama kenapa tak kejutkan Akira awal-awal?” sekali lagi aku kelam kabut. Keadaan sekarang sama seperti ketika aku hendak menghadiri temuduga beberapa minggu lepas.

Aku cuma bersiap ala kadar. Aku melihat jam dinding. Huh? Cepatnya masa berlalu. Sempat ke aku nak sampai ke pejabat tepat pukul 8 ni? Hari pertama dah spoil. Padan muka aku. Siapa suruh tidur lambat malam tadi.

“Ehem, Akira! Memandangkan hari ini hari pertama Akira bekerja, jom naik dengan papa sekali,” papa mempelawaku.

“Betul ni? Yes, ni sayang papa lebih ni,” aku tersengih memperlihatkan barisan gigiku yang putih lagi menawan. Ala-ala model iklan colgate.

Mama sudah memuncungkan mulut mendengar kata-kataku tadi. Hehe, sekarang aku tahu kenapa aku suka muncungkan bibir bila merajuk. Menurun daripada mamalah ni. “Mama sayang, janganlah merajuk. Hari ni mama patut happy sebab Akira dah mula bekerja. Takde la duduk tercongok je kat rumah ni,” aku memujuk mama.

Ternyata pujukanku berjaya. Mama kembali senyum malah lebih manis daripada tadi. “Sudah, ambil bekal ni. Kerja baik-baik ya Akira,” mama menghulurkan bekas berisi nasi lemak. Sempat juga mama menyediakan bekal untuk aku. Mama aku memang sweet. Kau ada?

****

“Cik Akira!” aku menoleh ke belakang mencari empunya suara itu. Kelihatan seorang wanita sedang berlari-lari anak. Wanita sama yang memanggilku sewaktu aku menghadiri temuduga dulu.

“Ya saya, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Cehh, apasal gaya aku bercakap ni macam jurujual dekat kedai kasut dulu. Bezanya dia bertutur dalam bahasa Inggeris, aku pula bertutur dalam bahasa Melayu.

“Ketua editor nak berjumpa dengan cik sekarang,” beritahu wanita itu. Aku melihat nametagnya. Tertulis di situ Nurul Amira.

“Baiklah, terima kasih ya! Anyway, tak perlu panggil saya cik. Panggil saya Akira je. Saya nak panggil awak apa ya?” aku memberikan senyuman mesra.

“Panggil saya Amira je,” wanita itu membalas senyumanku. Hmm, Akira dan Amira. Boleh jadi geng ni. Tehee.

Tok! Tok! Tok!

“Masuk!” aku masuk setelah mendapat kebenaran. Di hadapanku kini ada seorang wanita lewat 20-an. Mungkin tua sedikit daripada aku.

“Kenapa ya cik hendak berjumpa dengan saya?” teragak-agak aku bertanya.

“Jadi awaklah Dzatul Akira ya? Penolong editor yang baru mula bekerja hari ini, tapi sudah pandai datang lewat?” sungguh sinis kata-kata ketua editor itu. Tapi memang betul pun apa yang dia cakap. Memang salah aku.

“Maafkan saya. Saya terlewat bangun pagi tadi. Saya janji selepas ini saya tak akan datang lewat ke pejabat lagi,” aku berusaha meyakinkan ketua editorku ini.

“Saya nak awak cuci tandas selama seminggu, no excuse!” terlongo aku mendengar arahannya. Ini sudah lebih, aku lewat tiga minit je pun. Kejam sungguh ketua editor ini. Mencik!

“Tapi cik ketua editor, saya cuma lewat tiga minit je. Tak wajar rasanya untuk cik menghukum saya sebegini rupa. Dan tujuan saya datang ke sini ialah sebagai penolong editor. Bukannya ingin menjadi tukang cuci tandas,” sedaya upaya aku cuba mempertahankan diri.

“Saya peduli apa? Yang penting awak dah lewat. Ini ke perangai seorang bakal editor? Sedangkan datang ke pejabat pun awak tak boleh nak tepati masa, macam mana awak nak tepati dateline awak? Kalau awak tak puas hati dengan arahan saya tadi, awak boleh letak jawatan. Di syarikat ni, tiada siapa pun yang berani membantah arahan saya,” wanita itu berkata dengan nada angkuh.

Aku meneguk liur. Takkan lah aku nak letak jawatan. Punya susah payah aku nak bangun pagi semata-mata nak pergi temuduga jawatan ni, dia senang-senang je suruh aku berhenti kerja. Tak berperikemanusiaan sungguh. Kalau aku nak jadi tukang cuci, buat apa aku mohon kat syarikat maju ni. Baik aku minta kerja dekat Indah Water Konsortium.

Pintu bilik dikuak oleh seorang lelaki secara tiba-tiba. Aku mencuri pandang wajahnya. Rupa-rupanya dia lelaki yang menemuduga ku dulu. Kalau tak silap aku namanya Ashraf Hakimi. Ya, tak salah lagi! Inilah lelaki yang namanya sedap tetapi tidak boleh dimakan tu.

“Hanis, what’s wrong with you? Pagi-pagi lagi dah memetir. Suara you tu sampai ke luar boleh dengar,” lelaki itu memulakan perbualan dengan ketua editor itu. Dia sempat menghadiahkan senyuman mesra kepadaku.

“Perempuan nilah buat I naik angin. Dah lah datang lewat, bila I bagi hukuman nak membantah pula.” Wanita itu mula mengadu.

“Tapi encik, dia suruh saya cuci tandas selama seminggu. Saya datang untuk menimba ilmu untuk menjadi seorang editor yang berjaya, bukannya untuk menimba ilmu menjadi tukang cuci tandas yang cemerlang. Maaf kalau kata-kata saya agak kasar. Saya cuma berkata perkara yang benar,” aku berkata dengan nada sarkastik.

“Hanis, kenapa dengan you ni? I tahulah syarikat ni mama you yang punya, tapi tak perlulah nak hukum sampai macam tu sekali. Cik Akira, awak datang pukul berapa?”

“Saya datang pukul 8.03 minit pagi,” aku berkata jujur.

“Apa? Hanis, dia cuma lewat tiga minit je. Itu pun you nak berkira. Habis yang you selalu datang pukul 9 tu apa kes?” lelaki itu menggelengkan kepalanya.

Kantoi sudah selalu datang pukul 9. Itu pun ada hati nak hukum aku. Kureng punya ketua. Aku lihat wajah wanita itu sudah memerah. Mesti dia malu bercampur marah. Padan muka kau!

“Cik Akira, awak boleh keluar sekarang.” Sambung lelaki itu.

“Terima kasih encik…”

“Ashraf Hakimi, just call me Hakimi!” dia tersenyum mesra. Mamat ni memang suka tersenyum ke apa?

“Okey, thanks a bunch Encik Hakimi,” aku mengucapkan terima kasih sekali lagi dan terus keluar. Aku dapat merasakan ada aura panas di dalam bilik itu. Pasti wanita itu sedang marah denganku. Ah, peduli pula aku.

****

Keesokan harinya, aku sampai ke pejabat jam 7.55 minit pagi. Aku berazam untuk datang pada waktu ini setiap hari. Bimbang jika terkena seperti semalam. Minta simpanglah. Tak pasal-pasal nanti aku kena pecat. Maklumlah, pemilik syarikat ni ibu kepada ketua editor aku. Senanglah kalau dia nak tendang aku keluar daripada syarikat ni.

“Hai Cik Akira!” aku sedikit terperanjat mendengar suara itu. Apa dia buat kat sini.

“Assalamualaikum Encik Hakimi,” aku memperlinya.

“Waalaikumussalam,” pendek sahaja jawapannya. Aku pasti dia sedang malu.

“Awak tengah buat apa tu?” Hakimi bertanya.

“Tengah gulai ikan, encik tak nampak ke?” selamba sahaja aku menyindirnya.

“Hahaha! Boleh tahan juga ya awak loyar buruk. Anyway, tak perlulah panggil saya encik. Panggil Hakimi je okey. Kita kan kawan.” dia tersenyum. Kan aku dah cakap, dia ni memang suka sangat senyum. Tapi sejak bila pula aku jadi kawan dia. Pelik.

“Well, kalau awak tak nak ada gelaran encik di hadapan dan nak berkawan dengan saya boleh tak kalau saya buat satu permintaan?” aku tersenyum simpul.

“Apa dia?” Keningnya diangkat.

“Actually, saya jarang ‘bersaya awak’ dengan lelaki. Selalunya ‘kau aku’ je. Kalau awak tak kisah, boleh tak kalau kita guna panggilan tu? So, masalah berkaitan ‘encik’ di pangkal nama awak takkan ada.” Aku meminta kebenaran. Aku tak kisah pun kalau dia tak bagi sebab aku faham jawatan dia lebih tinggi daripada aku.

“Deal!” Hakimi bersetuju.

“Okey, jangan kacau aku buat kerja!” selamba je aku berkata.

“Dah start ke?” dia bertanya polos.

“Dahlah, habis tu nak start bila lagi?” aku mengerutkan dahi.

“Ingatkan esok, hahaha! Okey aku tak kacau kau wahai cik penolong editor,” dia berlalu pergi dan melambai ke arahku. Aku turut membalas.

Di tepi dinding, kelihatan Hanis Qurnia memandangku dengan jengkel. Apa jelah yang dia tak puas hati dengan aku. Takkanlah Hakimi tu boyfriend dia. Tapi kalau betul pun okey juga. Aku dah selamatkan diri aku dengan perjanjian ‘kata ganti nama’. Comel kan nama perjanjian tu, hehe! Kalau tu pun dia nak jeles, parahlah.

****

Persahabatanku dengan Hakimi semakin lama semakin rapat. Aku selesa berkawan rapat dengannya. Mulanya aku bimbang juga jika singa betina itu menyerang aku. Tapi selepas Hakimi menerangkan bahawa Hanis Qurnia itu cuma rakannya, aku berasa sedikit tenang.

Mereka rapat kerana keluarga Hanis dan keluarga Hakimi berkawan baik. Dan dia juga mengaku Hanis Qurnia menyukai dirinya. Cuma, dia sahaja tidak mampu menerima cinta singa betina itu.

“Budak kecik, jauh termenung? Fikir pasal pakwe ke?” Hakimi serkap jarang.

“Kau ni tak habis-habis panggil aku budak kecik, kau tu besar sangat ke? Takde maknanya aku nak fikir pasal pakwe. Manalah aku ada masa nak bercintan cintun ni. Hidup aku ni penuh dengan manuskrip je kau tahu. Lagipun umur aku baru je 23 tahun. Awal lagi nak fikir pasal benda-benda macam ni. Lainlah kau dah 28 tahun. Memang wajib kahwin pun,” aku menjelirkan lidah kepadanya.

“Amboi, aku tanya sepatah kau jawab berpuluh-puluh patah. Dah lah cakap macam machine gun. 28 tahun tu kalau perempuan yalah wajib kahwin. Lelaki macam aku ni umur 40 tahun pun hot lagi tau,” Hakimi mendabik dada.

“Umur 40 hot bagi Hanis Qurnia je. Orang lain pandang kau sebelah mata pun tak. Hahaha!” sakan aku mengenakannya. Muka Hakimi sudah cemberut.

“Kau pun macam tu juga ke nanti?” nadanya kedengaran serius sahaja.

“Macam apa?” aku bertanya. Pelik mendengar soalannya.

“Pandang aku sebelah mata pun tak bila aku dah umur 40 tahun nanti,” suaranya mendatar.

“Yang kau tiba-tiba ambil serius dengan apa aku cakap kenapa? Aku gurau je pun. Kau period ke apa?” aku mengangkat kening.

“Takde apalah. Aku pun gurau je. Saja nak tengok macam mana muka kau bila cuak,” Dia ketawa kecil.

“Kureng punya kawan, sampai hati kau buat aku macam ni.” Aku menumbuk lengannya dengan kuat.

“Aku nak tanya kau satu soalan boleh?” nada suara Hakimi kedengaran perlahan.

“Tanyalah, don’t worry! Aku tak makan orang,” aku tersengih.

“Kau selesa kawan dengan aku?” serius sahaja suaranya.

“Tak, sebab kau ni handsome. Bila jalan dengan kau, mesti ada yang pandang aku tak puas hati. Macamlah aku ni couple dengan kau,” aku menjawab pantas. Ketawaku hamper pecah melihat Hakimi yang mengecilkan matanya.

“Aku serius ni, jawablah betul-betul. Asyik main-main je,” muka Hakimi berubah masam. Tiba-tiba aku rasa bersalah.

“Sorry, my mistake! Mestilah aku selesa kawan dengan kau. Sebab kau ni sporting. Bukan macam lelaki lain yang asyik cover macho je. Kau tahu tak, dekat office tu kau dengan Amira je kawan rapat aku. Aku kawan dengan Amira sebab dia baik, tak cover ayu, selalu ada dengan aku bila aku ada masalah. Same like you,” aku senyum sesudah menuturkan kata-kata itu. Entah kenapa aku puas, seolah-olah sedang meluahkan perasaanku.

“Okey, kau memang terbaik!” Hakimi sudah tersenyum.

“Tapi kau terbalik, hahaha!” akhirnya ketawa aku dan Hakimi meletus.

“Okeylah, aku nak balik dulu. Kalau borak dengan kau sampai bila pun tak habis,” aku meminta diri.

“Baik-baik pandu kereta tu, jangan nak laju sangat.” Hakimi berpesan seperti biasa. Dah macam mama punya pesanan penaja.

“Ai ai boss!” aku tabik hormat kepadanya.

Aku segera bergerak ke arah kereta. Jam tanganku sudah menunjukkan pukul 4.00 petang. Lama juga aku duduk melepak dengan mamat senget tu. Ketika aku hendak membuka pintu kereta…

“Akira!” Hakimi melaung namaku.

“Ya, Encik Hakimi! Ada apa?” aku melaung juga.

“Aku suka kau,” Hakimi berkata dengan riak selamba.

“Kau merepek apa ni?” aku memandang pelik kepadanya. Takkanlah aku baru je panggil dia mamat senget otak dia dah betul-betul tak centre?

“Aku sayang kau lebih daripada seorang kawan,” Hakimi beredar setelah dia mengucapkan kata-kata itu.

Serentak dengan itu, jantungku mula berdebar hebat. Aku tak percaya dengan apa yang aku dengar. Tapi kenapa suaranya kedengaran serius. Aku segera masuk ke dalam kereta. Jantung aku ni perlu ditenangkan terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Ya, hanya ada satu tempat yang benar-benar boleh buat aku tenang.

****

Pagi ini, aku mengelak daripada berjumpa dengan Hakimi. Aku belum bersedia untuk berdepan dengannya selepas kejadian semalam. Hanis Qurnia tiba-tiba sahaja memesan kepada Amira agar aku berjumpa dengannya.

Ini kali kedua aku dipanggilnya setelah hampir empat bulan aku bekerja di sini. Masalah apakah yang telah aku buat. Ajak jumpa di kafetaria pula tu. Nak belanja aku makan atau nak curah air atas aku. Ah, jauh betul fikiran aku menerawang.

“Assalamualaikum cik Hanis,” aku memberi salam kepadanya.

“Waalaikumussalam, kenapa lambat?” dia menjawab acuh tak acuh.

“Maaf, saya sedang menyunting manuskrip yang cik baru luluskan semalam.”

“Whatever! Aku ni jenis yang tak suka menunggu. Lagi-lagi nak tunggu orang macam kau ni. Ingat aku ada banyak sangat masa?” dia menghamunku.

“Terima kasih sebab sudi menunggu saya. Kenapa ya cik panggil saya? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” aku masih bersopan dengannya.

“Aku nak kau jauhkan diri daripada Ashraf Hakimi. Dia tu milik aku. Kau tak layak nak jadi kekasih hati dia. Ibu aku pemilik syarikat ni. Keluarga aku pun rapat dengan keluarga Hakimi,” angkuh sekali nadanya.

Ingin sahaja aku mencebik bibir mendengar katanya-katanya itu. Pemilik syarikat ni bukannya kau, tapi ibu kau. Itu pun nak kecoh ke. Papa aku kerja peguam negara, mama aku pula pakar motivasi. Takde pula aku nak kecoh. Kalau kecoh pun dengan orang yang tengah baca cerpen ni. Huh!

“Cik Hanis, kalau betul dia milik cik Hanis sudah tentu cik sudah selamat menjadi isteri kepada dia. Selagi belum ada ijab kabul yang termeterai, selagi itu dia belum lagi menjadi hak milik cik. Tapi cik tak perlu risau, sebab saya memang tak berminat pun dengan encik Hakimi. Saya dah anggap dia seperti kawan saya. Sama seperti Amira,” aku menjelaskan dengan berhemah. Aku benar-benar yakin dengan apa yang aku katakan sekarang. Aku dan Hakimi hanya sesuai menjadi kawan.

“Bagus, itu yang aku nak dengar. Sekarang kau boleh pergi,” Hanis Qurnia tersenyum puas.

“Baiklah, saya pergi dulu.” Aku meminta diri.

Kedekut punya minachi. Penat-penat je aku turun ke sini, bukannya nak belanja aku minum. Dasar perempuan kejam. Nasib baiklah aku ni ada perikemanusiaan. Kalau tak aku terima je Hakimi tu jadi boyfriend aku. Biar padan dengan muka kau.

Aku kembali duduk di hadapan komputer. Amira segera datang kepadaku. Pasti dia ingin bertanyakan perihal singa betina itu.

“Akira, kenapa dengan ketua editor kau tu?” Amira memulakan pertanyaan.

“Dia suruh aku jauhkan diri daripada Hakimi. Katanya Hakimi tu milik dia. Kelakar kan?” aku pura-pura ketawa.

“Akira, kau tak minat dengan Hakimi tu ke?” pertanyaan Amira membuatkan aku tersentak.

“Kenapa kau tanya aku macam tu? Ada apa-apa yang kau nak beritahu aku?” aku cuba mengawal perasaan.

“Akira, Hakimi serius sukakan kau. Kau tak nampak tapi aku nampak semua tu.” Amira memberitahu.

“Jadi selama ni aku jelah yang tak tahu?” aku sedikit kecewa.

“Aku yang suruh dia terus-terang,” kata-kata Amira kedengaran tenang.

“Aku tak boleh terima. Tapi bukan sebab cik Hanis. Hakimi tu aku dah anggap sama dengan kau. Kawan dunia akhirat yang tiada galang gantinya,” aku menjawab tegas.

“Kalau itu keputusan kau, aku tak boleh nak tolak. Kau buatlah apa-apa pun, janji kau bahagia.” Amira menepuk-nepuk belakangku sebelum beredar.

Tersentap aku mendengar ayat Amira. Betul ke aku bahagia dengan cara macam ni. Kalau bahagia kenapa aku sedih masa jumpa dengan cik Hanis tadi. Arghh, takkan aku sedih kot. Hakimi kawan aku dan akan selamanya menjadi kawan aku.

****

Aku sudah berjaya menamatkan buku Historical Fact and Fiction. Dalam buku ini, beliau mengemukakan tafsiran baru mengenai kisah Merah Silau, keterangan sejarah yang membuktikan Semut Besar adalah suatu yang benar bukan rekaan, identiti Raja Muslim pertama bagi kerajaan Samudra-Pasai, asal usul perkataan Melayu bagi nama Sumatra dan adat resam Melayu dalam amalan mewariskan takhta diraja ketika pertengahan abad ke-14 Masihi.

Beliau juga memberi suatu penjelasan baru bila dan bagaimana Parameswara memperoleh gelaran diraja Jawa, iaitu Parameswara. Apakah nama gelaran diraja Melayu ketika beliau memberontak menentang Majapahit, bila dan di mana beliau memeluk Islam, dan siapakah mubaligh yang mengIslamkannya, nama Muslimnya yang sebenar, peranannya yang utama berbanding dengan Adityawarman dalam menetapkan asas bagi kelahiran kerajaan Melayu yang baru. Beliau turut menjelaskan bagaimana penubuhan Melaka, asal usul nama Melaka dan maknanya, cerita rekaan mengenai pohon melaka yang kononnya menjadi punca kepada penubuhan Melaka, makna sejarah dan faham utama tentang sejarah.

Betapa banyaknya fakta baru yang telah aku peroleh melalui tulisan Syed Muhammad Naquib al-Attas yang terbaru ini. Tidak sia-sia aku membeli naskhah ini. Selepas ini bolehlah aku promote kepada rakan-rakanku di pejabat.

“Akira, kamu berangan apa tu? Fikir pasal calon menantu mama ke?” mama menepuk pahaku.

Haish, mama ni takde benda lain ke nak sebut. Tak habis-habis dengan calon menantu. Aku ni muda lagilah nak fikir pasal kahwin-kahwin ni. Kalau Hanis dengan Hakimi lainlah, diorang berdua dah 28 tahun. Eh, apasal aku tiba-tiba fikir pasal diorang ni.

“Apa mama ni? Asyik cakap pasal calon menantu sahaja,” aku sudah mula memuncungkan bibir.

“Dah tu, kamu dok berangankan apa?” mama bertanya.

“Akira baru habis baca buku ni. Tengah fikir macam manalah kehidupan manusia kalau takde sejarah. Mesti kita akan selalu membuat kesilapan yang sama. Sedangkan ada sejarah pun kita asyik tersilap, inikan pula hidup tanpa sejarah.” Aku menerangkan kepada mama.

“Baca buku Syed Naquib al-Attas rupanya. Patutlah terus transform jadi pakar sejarah. Manusia macam kita ni tak sempurna. Hari ini kita ingat, esok lusa mungkin kita akan lupa semula. Sebab perkataan manusia itu sendiri bermakud lupa,” aura mama sebagai pakar motivasi sudah keluar.

“Mama, Akira nak tanya sesuatu boleh tak?” aku meminta kebenaran.

“Tanyalah apa yang kamu nak tanya,” mama memberi kebenaran.

“Salah ke kawan rapat bercinta?” takut-takut aku bertanya. Aku sendiri tak tahu kenapa tiba-tiba sahaja aku bertanyakan soalan ni.

“Bagi mama takde salahnya. Yang salah kalau kawan rapat tu sama jantina. Berdosa besar kalau macam tu. Tapi bila kawan rapat bercinta, sebenarnya ada pro and contra. Hidup ni ada dua kemungkinan, bahagia atau sedih. Kadang-kadang bila hubungan sebagai kekasih terputus, untuk menjadi kawan rapat semula agak sukar. Tapi bila dah sah menjadi suami isteri, mereka akan senang berkomunikasi sebab dah kenal hati budi. Yang kamu tanya mama pasal ni kenapa? Kamu suka dekat kawan kamu ya?” aku mendengar penerangan mama dengan teliti.

“Bukanlah mama, Akira cuma terfikir. Sebab macam kelakarlah pula bila kawan rapat bercinta,” aku sengaja berkata sebegitu. Mama seolah-olah dapat menebak isi hatiku ini. Aku takut kalau-kalau mama tersilap tafsir.

“Jodoh Allah itu tak kelakar Akira,” pendek sahaja jawapan mama. Tapi mampu membuat aku rasa terpukul. Mungkinkah mama tahu perasaanku sekarang ini? Ah, abaikan. Perkara ni kalau aku fikirkan sampai bila tak habis.

Setelah mama ke dapur, aku segera naik ke bilik. Ingin sekali rasanya membaca novel-novel Ramlee Awang Murshid. Setidak-tidaknya aku dapat berfikir perkara selain daripada perihal Hakimi. Atau mungkin aku boleh jatuh cinta dengan Laksamana Sunan dariada jatuh cinta dengan Hakimi. Uhh, apasal aku asyik fikir pasal Hakimi ni. Eee, tension betullah. Takde nama lain lagi ke aku nak sebut.

****

“Akira!” aku berpaling. Kali ini aku tak dapat lari lagi. Hakimi berjaya melihatku.

“Kenapa?” aku bertanya acuh tak acuh.

“Apasal kau lari daripada aku? Kalau sebab luahan perasaan tu, aku minta maaf. Aku tak tahu kenapa aku terlalu berterus-terang dengan kau hari tu. Kalau aku tahu akan jadi macam ni, baik aku berdiam je.” suara Hakimi mengendur.

“Mana ada aku lari daripada kau. Aku cuma sibuk je. Lagi-lagi bila Cik Hanis dah luluskan lagi beberapa manuskrip. Terpaksalah aku mengadapnya,” aku memberi alasan.

“Memang kau sibuk. Kau sibuk larikan diri daripada aku bukannya sibuk menyunting manuskrip. Kau tak perlu tipu aku. Aku tahu kau tak suka aku, tapi aku suka kau. Akira, kau tak perlu lari lagi. Kau boleh lupakan apa yang aku cakap dulu,” Hakimi tersenyum.

Hakimi memang insan yang murah dengan senyuman. Sejak pertama kali aku mengenalinya, jarang sekali dia bermasam muka. Tapi aku tahu senyumannya itu tidak seikhlas dulu. Pasti dia terluka dengan tindakanku. Maafkan aku Hakimi. Aku terpaksa.

“Okey, aku lupakan apa yang kau pernah cakap dulu. Tapi aku kena pergi sekarang. Aku betul-betul sibuk ni,” aku memberi alasan kepada Hakimi. Aku tidak mampu melihat wajahnya.

“Pergilah!” Hakimi membenarkan. Suaranya kedengaran pasrah.

****

Hubungan aku dan Hakimi semakin renggang. Kami tidak lagi seperti dulu. Dia lebih rapat dengan Hanis. Terkadang aku turut terasa hati, tapi bukankah ini yang aku mahukan dulu. Kini rakan rapatku di pejabat hanya Amira seorang.

Aku meneruskan rutin harianku seperti biasa. Aku sudah malas hendak memikirkan masalah yang tidak berkesudahan ini. Jika Hakimi ingin rapat semula denganku, aku akan menyambut dengan baik. Kalau tidak, aku hanya mampu redha jelah.

“Amira, kau dah nak balik ke?” aku melihat Amira yang sedang berkemas-kemas.

“Aah, kau tak nak balik lagi ke?” tanya Amira.

“Kejap lagi kot. Ada sikit je lagi nak siap,” aku segera menjawab.

“Okey, kau baik-baik tau. Jangan balik lambat sangat,” pesan Amira.

“Baik, jangan risau ya! Lepas siap je semua ni aku terus balik okey,” aku berkata ceria.

“Adios Akira,” dia melambai kepadaku.

“Bye Amira,” aku turut melambai.

Setelah Amira hilang dari pandangan, aku segera mengadap manuskrip kembali. Siap sahaja kerjaku, aku segera berkemas untuk pulang. Jam di pergelangan tanganku sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Aku ingin pulang segera.

****

Aku memarkirkan keretaku. Kereta mama dan papaku tiada di garaj. Entah ke mana mereka berdua pergi. Tiba-tiba kedengaran bunyi hon. Hakimi keluar daripada kereta itu. Apahal mamat ni datang rumah aku. Aku membuka pintu pagar.

“Kau buat apa kat sini?” cepat sahaja mulut aku bertanya.

“Saya nak pastikan sesuatu,” dia menjawab tenang.

“Kau nak pastikan apa?” aku bertanya kembali. Aku hairan mendengar kata ganti nama yang dia gunakan. Sejak bila berubah menjadi ‘saya’ kembali. Pelik.

“Saya dah lama nak tanya awak pasal ni. Tapi saya tak berani. Saya cuma nak tahu, betul ke kita tak ada peluang untuk hidup bersama?” Hakimi bertanya sambil memandang wajahku.

“Ya, saya sangat yakin kita memang tak ada peluang untuk hidup bersama. Maaf kalau kata-kata saya ini mengguris perasaan awak, tetapi saya tetap dengan pendirian saya. Kita cuma sesuai menjadi kawan,” tenang sahaja aku menjawab persoalannya itu. Entah kenapa aku turut menggelarkan diriku ‘saya’.

Aku benci menipu. Tapi aku terpaksa. Biarlah hatiku yang terluka daripada aku melukakan hati orang lain.

“Baiklah, lepas ni saya takkan ganggu awak lagi. Semoga awak bahagia Dzatul Akira. Nah, ambil air cincau ni! Orang kata kalau nak bagi hadiah dekat orang yang kita suka, bagilah apa-apa yang kita suka. Lagipun awak memang suka minum air cincau kan?” Hakimi menghulurkan air tin cincau. Teragak-agak aku menyambut pemberiannya.

“Terima kasih Hakimi,” aku mengucapkan terima kasih.

“Sama-sama, selamat tinggal Akira!” Hakimi memboloskan dirinya ke dalam kereta.

Aku sedih apabila mendengar ucapan selamat tinggal daripada Hakimi. Seolah-olah dia akan pergi jauh daripada aku. Aku tersenyum melihat air yang diberinya sebentar tadi. Setelah bayangan kereta Hakimi hilang, aku segera menutup pintu pagar dan masuk ke dalam rumah.

Keesokan harinya, aku melihat rakan-rakan sekerjaku sedang bermuram durja. Aku menyapa mereka. Amira juga kulihat sedang bersedih. Apakah yang telah terjadi.

“Amira, kenapa kau sedih-sedih ni?” Amira memandangku lama sebelum menjawab.

“Kau tak tahu ke?” soalanku dibalas dengan soalan juga.

“Tahu apa?” aku bertanya kembali.

“Hakimi dah pergi London. Dia melanjutkan pelajaran ke sana,” nada suara Amira sedih sekali.

“Kau bergurau apa ni? Semalam dia datang rumah aku tak bagitahu pun,” aku pura-pura ketawa.

“Mungkin dia tak sampai hati nak bagitahu kau,” tersekat-sekat suara Amira.

Aku terdiam. Aku teringat kembali pertemuan semalam. Dia berjanji tidak akan menganggu ku lagi. Perlahan-lahan air mataku menitis. Adakah dia pergi kerana hendak mengubat hatinya yang terluka. Tapi aku pun terluka juga. Sampai hati dia tinggalkan aku. Kini baru aku sedar yang aku memang cintakan dia.

****

Tiga bulan berlalu dan aku sudah terbiasa dengan ketiadaan Hakimi. Tetapi perasaan rinduku kepadanya semakin menebal. Aku rasa bersalah kerana menipu perasaanku terhadapnya. Tapi aku yakin dia akan berjumpa orang yang lebih baik daripadaku. Setidak-tidaknya aku berupaya mengekalkan pekerjaanku sebagai penolong editor di syarikat itu.

Bosannya hari minggu ni. Mama dengan papa tiada di rumah. Katanya hendak pergi ke kenduri kahwin di Perlis. Mereka ada mengajakku tapi aku tidak mahu kerana malas hendak menggosok baju. Kalau aku ikut tadi mesti aku tak bosan macam ni. Menyesalnya. Terlintas nama Amira di fikiranku. Aku sudah tersenyum sumbing.

“Assalamualaikum,” aku memberi salam.

“Waalaikumussalam Akira, kau nak apa telefon aku pagi-pagi ni?” Amira bertanya dengan suara yang serak. Minah ni mesti baru bangun tidur. Nampaknya bukan aku je ada perangai suka tidur lepas subuh.

“Kau sibuk ke?” sengaja aku bertanya.

“Tak sibuk pun. Kenapa?” Amira bertanya kembali.

“Jom temankan aku pergi jalan-jalan. Bosan lah duduk terperap kat rumah. Mama dengan papa aku pergi kenduri,” aku mengajaknya.

“Kenapa kau tak ikut diorang?” Amira bertanya hairan.

“Aku malas nak gosok baju. Dahlah kena pergi pagi-pagi. Lagipun manalah aku tahu yang aku akan bosan duduk rumah sorang-sorang,” aku merungut.

“Ek eleh, sebab malas nak gosok baju kau sanggup tinggal rumah sorang-sorang? Ermm, kalau aku datang rumah kau dalam masa sejam lagi boleh?” Amira melihat jam di dinding.

“Amboi, lamanya! Tak apalah, aku tak kisah pun. Janji kau teman aku. Nanti aku naik kereta kaulah ya?” aku bersetuju dengan Amira. Pergi cepat pun nak buat apa. Bukan ada hal penting, cuma nak hilangkan bosan aku je.

“Yalah cik puan Dzatul Akira. Okeylah, aku nak mandi ni. Bye, assalamualaikum!” Amira meminta diri.

“Okey waalaikumussalam!” aku menjawab salam yang diberi sebelum meletakkan gagang.

****

“Akira, sini cepat!” Amira memanggil aku. Lagaknya bagaikan ternampak hantu.

“Ada apa kau ni?” aku malas hendak bangun. Penat bertawaf sekeliling Jusco masih terasa.

“Marilah cepat,” Amira menarik tanganku. Aku terpaksa bangun.

“Apa bendanya?” aku cuba melihat-lihat sekeliling.

“Tengok tu. Nampak tak singa betina tu. Bukan main lagi dia berpeluk sakan dengan mamat tu. Ish ish ish!” Amira berkata sambil mengeleng-gelengkan kepala.

Aku tergamam melihat aksi panasnya bersama lelaki itu. Hatiku sakit melihat perlakuannya. Memang patut pun Hakimi tak nak dekat dia. Ah, menyesalnya aku lepaskan Hakimi. Kenapalah hari ni aku asyik menyesal je.

“Amira, aku nak pergi tegur dia kejap. Kau tunggu sini,” aku memberitahu Amira.

“Eh, kau nak buat apa?” Amira memandang aku dengan pelik.

“Kau tengok je okey. Jangan risau, aku takkan buat perkara bodoh. Ini berkaitan dengan Hakimi,” Aku tersenyum kepada Amira.

Amira hanya menganggukkan kepalanya tanda membenarkan. Aku segera melangkah kea rah pasangan yang sedang bermesra itu.

“Ehem, assalamualaikum!” aku memberi salam. Mereka kelihatan terkejut.

“Err, waalaikumussalam!” teragak-agak Hanis menjawab salam yang kuberi.

“Encik yang saya tak tahu nama, boleh tak kalau saya nak pinjam teman wanita encik sebentar?” sopan aku bertanya.

“Boleh, tapi sekejap je tau. Sayang, jangan lama-lama ya. Nanti I rindu,” kalau aku muntah sekarang, pasti muntah aku seperti pelangi kerana mendengar kata-kata lelaki itu. Geli sungguh mendengar ayatnya.

“Okey, I pergi kejap je. You tunggu I kat sini ya sayang,” Hanis membalas kata-kata lelaki itu.

Aku menarik lengan Hanis dan membawanya ke satu tempat. Aku perlu tahu semuanya. Takkanlah sebab Hakimi pergi ke London, dia ambil kesempatan dengan lelaki lain.

“Cik Hanis, bukan ke cik cinta mati sangat dengan encik Hakimi. Kenapa bersayang-sayang dengan lelaki lain pula?” aku bertanya dengan nada yang sarkastik.

“Actually, aku tak hairan pun dengan Hakimi tu. Aku bukannya suka sangat dengan dia. Aku cuma berminat dengan duit dia yang berkepuk tu,” dengan selamba dia berkata.

“What? Habis tu kenapa kau suruh aku jauhkan diri daripada Hakimi dulu?” sudah hilang rasa hormatku terhadapnya.

“Sebab aku tak nak kau jadi penghalang rancangan aku mendapatkan harta dia. Dan aku tak boleh terima bila dia lebih tertarik dengan kau berbanding aku,” suara Hanis nak seoktaf.

“Itu je sebabnya? Kau ni memang manusia takde hati perut,” aku menggeleng kepala. Kecewa mengenangkan perangai Hanis.

“Ya, itu je sebabnya! Tapi sekarang aku tak kisah, kalau kau nak Hakimi tu ambillah. Aku dah ada yang lain. Lagipun kalau aku nak kikis harta Hakimi tu, entah bila agaknya. Silap-silap aku dah kerepot pun belum tentu aku boleh dapat harta dia. Memang jantan kedekut,” Hanis mencebik bibir.

“Memang patut pun dia kedekut dengan kau. Kau memang perempuan yang tak sedar diri. Sanggup mempermain perasaan orang lain untuk kepentingan diri. Luckily, the man is not Hakimi,” aku berkata sambil menunjuk ke arah lelaki yang menjadi mangsa Hanis sekarang.

“Whatever!” Hanis melangkah pergi dengan sombong. Dia kembali bersama lelaki itu. Dari jauh, dia menjeling ke arahku sambil memegang tangan lelaki itu.

Aku segera mengajak Amira pergi ke POPULAR. Aku perlu menenangkan hatiku yang sedang berkecamuk ini. Segala rasa bercampur gaul sehingga aku tidak tahu perasaan apakah yang sedang aku rasakan sekarang ini.

“Amira, kalau kau nak tahu tempat nilah yang selalu aku pergi bila aku ada masalah. Tapi ini memang tempat aku paling suka lepak. Jadi kalau aku ada masalah ke, takde masalah ke aku memang selalu ke sini. Cuma sekarang aku jarang ke sini lagi. Biasalah, sibuk dengan kerja kan,” aku cuba ketawa untuk meredakan perasaanku.

“Bagus cara kau Akira. Jarang orang pergi kedai buku untuk tenangkan fikiran. Entah-entah kau satu dalam dunia ni. Selalunya orang pergi pantai, tasik ataupun pergi ke luar negara untuk lupakan masalah. Kau ni unik,” Amira memuji aku.

“Pergi ke luar negara? Macam Hakimi?” pantas aku bertanya.

“Eh, aku tak cakap pun Hakimi. Haa, kantoi sudah! Kau memang suka kat dia kan? Tapi kau sanggup lepaskan dia semata-mata untuk si singa pisau cukur tu. Aku tahulah dia perlukan banyak pisau cukur untuk cukur bulu-bulu kat muka dia tu. Sekarang kau juga yang sakit hati kan,” laju sahaja kata-kata itu meluncur dari bibirnya.

“Yalah, kan dia pergi London! Aku saja je cakap nama dia,” aku cuba memanipulasi hal yang sebenar.

“Akira, sampai bila kau nak memendam rasa?” Amira merenung dalam mataku.

“Sampai bila-bila kalau perlu. Lagipun aku kena belajar terima hakikat dia bukan jodoh aku. Dah jelas kan, aku dengan dia takde peluang untuk bersama. Entah-entah kat sana dia dah jumpa awek baru. Orang handsome macam dia takkan takde yang berminat kan,” laju aku menjawab.

“Tahu pun. Kau je yang jual mahal. Konon-kononnya tak minat,” Amira menjuih bibir.

“Dahlah, buat apa cerita pasal dia! Aku datang sini nak tenangkan fikiran. Cakap pasal dia buat otak aku serabut lagi adalah,” sengaja aku berkata begitu. Padahal dalam hati aku rasa tenang je bila fikir pasal dia. Mengada-ngada sungguh cik hatiku ini sekarang ya.

“Yalah, aku tutup cerita pasal dia. Nanti tak pasal-pasal aku jadi tempat kau lepaskan kemarahan,” Amira ketawa.

Akhirnya aku turut ketawa. Amira ni memanglah. Ada je cara dia nak buat aku ketawa. Sesungguhnya aku memang beruntung ada kawan macam dia ni.

****

Tiga tahun kemudian…

Aku sedikit kalut hari ini. Sudah lama aku tidak bangun lambat. Entah kenapa hari ini boleh terlajak tidur pula. Tapi aku tak risau sangat. Ketua editorku yang sekarang baik. Hanis Qurnia sudah berhenti kerja sejak mendirikan rumah tangga. Dengar khabar, perangainya juga sudah mula berubah. Berkat maal hijrah barangkali.

Kini aku sudah berjaya menjadi seorang editor. Amira pula dah jadi penolong ketua Grafik. Jawatan yang pernah disandang oleh Hakimi satu ketika dahulu.

“Cik Akira!” tiba-tiba sahaja aku diterjah oleh Hana. Tidak sempat aku hendak melepaskan lelah setelah berhambat datang ke pejabat.

“Ya Hana, ada apa?” tanya aku kepadanya.

“Betul ke bakal Pengarah Muda Seni kita orang yang pernah bekerja di sini dahulu?” dia bertanya dengan nada teruja.

“Saya tak tahu. Dari mana awak dapat berita ni? Tapi kalau betul pun saya tak boleh agak siapa. Sebab memang ramai yang dah berhenti dalam tempoh tiga tahun saya bekerja di sini. Katanya ingin mencari angin baru. Ada juga yang berhenti kerana menyambung pelajaran,” jelasku kepadanya.

“Tadi saya terdengar perbualan antara Puan Rania dengan Pegurus Besar Penerbitan. Katanya dia pernah bekerja di sini selama 5 tahun sebelum berhenti,” Hana bercerita dengan penuh perasaan.

“Kalau betul pun, kenapa awak tanya saya? Saya memang tak tahu apa-apa. Lagi satu, kalau betul apa yang awak dengar tadi tu. Maknanya betullah kan,” entah berapa banyak kali perkataan betul yang aku cakap kat minah ni.

“Saja je. Manalah tahu kalau cik kenal. Nak tahu handsome ke tak,” Hana tersengih-sengih.

Setelah dia berlalu pergi, aku menggeleng-gelengkan kepala. Memang pelik perangai Hana ni. Sanggup terjah aku semata-mata nak dapatkan kepastian perihal Pengarah Muda Seni. Tapi aku pun nak tahu juga sebenarnya. Tak sabarnya nak tunggu esok.

****

Hari ini jantungku tidak henti-henti berdebar. Aku sendiri tidak mengerti. Takkanlah excited sangat nak menerima kehadiran Pengarah Muda Seni yang baru. Atau ada sesuatu yang akan berlaku hari ini. Ah lantaklah, malas nak fikir.

“Baiklah, hari ini saya akan perkenalkan Pengarah Muda Seni Pena Kreatif yang baru. Beliau pernah berkhidmat di sini sebagai Pengarah Grafik selama 5 tahun sebelum berhenti kerana menyambung pelajaran di London. Saya persilakan Encik Ashraf Hakimi,” aku tersentak mendengar kata-kata Puan Rania. Takkanlah…

“Saya Ashraf Hakimi. Call me Hakimi. Gembira bertemu staf-staf yang masih kekal di sini,” dia berkata dengan penuh karisma. Aku hanya mampu menundukkan kepala. Tidak sanggup bertentang mata dengannya.

Aku mengeluh kecil melihat staf-staf baru yang terpesona dengannya. Mereka bagaikan tidak mahu melepaskan mata dari melihat Hakimi. Aku berasa cemburu. Amira di sebelah menggenggam tanganku dengan erat. Dia seolah-olah cuba untuk menyalurkan semangat buatku.

“Amira, aku rasa aku kena pergi POPULAR sekarang. Aku dah tak tahan ni. Rasa nak menangis puas-puas je sekarang ni,” aku memberitahu Amira.

“Pergilah. Jangan menangis sambil pandu kereta tu. Dah masuk POPULAR tu kalau nak nangis, nangislah.” Amira cuba berlawak.

“Yalah,” aku menjawab pendek.

****

“Assalamualaikum cik puan Dzatul Akira Binti Sharifudin,” aku terkejut mendengar suara itu.

Macam mana pula dia boleh ada kat sini. Ni mesti Amira punya kerja. Minah ni memang nak kena betullah. Potong stim betul. Aku tengah syok hidu bau buku. Dia nak menyemak pula kat sini.

“Waalaikumussalam,” aku menjawab malas.

“Lama saya tak jumpa awak,” Hakimi memulakan perbualan.

“Macam mana nak jumpa kalau awak lari daripada saya,” aku berkata sinis.

“Saya mengaku saya lari daripada awak. Tapi itu semua sebab saya nak rawat hati saya. Awak ingat senang-senang je saya nak lepaskan awak. Saya pergi sebab nak hilangkan perasaan cinta saya pada awak. Awak tahu tak hati saya ni sakit?” Hakimi membela diri.

Maknanya dia dah tak cintakan aku lagilah ni. Kalau tak cintakan aku kenapa muncul balik dalam hidup aku. Eee geramnya! Aku macam nak pengsan bila fikir pasal dia. Boleh dia cakap macam tu. Senangnya! Aku mengenggam penumbuk.

“Habis hati saya ni tak sakitlah? Awak ingat saya suka ke bila awak main lari-lari macam tu? Buat apa jadi lelaki kalau macam tu? Bila patah hati je lari. Lari ke luar negara pula tu. Macam tu ke lelaki sejati?” aku mengasaknya bertubi-tubi.

Hakimi cuma senyap. Dia ni dah tak ada suara ke. Tadi bukan main lagi. Ni diam je pula. Kalau macam ni baik tak payah datang. Buat sakit hati je. Bukannya nak pujuk aku pun. Eh, buat apa dia nak pujuk aku. Tadi kan dia dah kata dia pergi untuk hilangkan perasaan cinta dia pada aku. Maknanya dia tak cintakan aku lagi. Buat apa nak pujuk-pujuk pula kan. Sedih betul.

“Saya nak tanya awak sekali lagi. Betul ke kita memang tak ada peluang untuk hidup bersama?” aku terperanjat mendengar pertanyaan itu.

Aku tidak sangka akan mendengar soalan ini lagi. Tiga tahun lepas dia pergi meninggalkan aku tanpa apa-apa berita setelah aku menjawab tidak. Tapi kenapa dia mesti tanya lagi. Dia kan dah tak cintakan aku.

“Kalau awak fikir saya dah tak cintakan awak, itu tak benar sama sekali. Saya tak pernah berjaya hilangkan cinta saya terhadap awak, malah perasaan itu semakin berkembang mekar. Tapi kali ini, saya terima keputusan awak seadanya. Betul kata awak, saya bukan lelaki sejati. Saya lari daripada masalah,” dia menyambung kembali.

“Memang tak ada,” selamba sahaja aku menjawab.

“Baiklah, saya hormat keputusan awak.” Aku dapat mendengar perubahan suaranya. Aku tahu dia sedih walaupun dia masih tersenyum.

“Awak tak nak dengar dulu ke sebabnya?” aku memberanikan diri merenung matanya. Tapi aku tewas.

“Kalau awak nak saya dengar, saya sedia pinjamkan telinga saya ni. Walaupun hati saya akan sakit nanti,” Hakimi tersenyum lagi. Aku pula yang terpana mendengar katanya.

“Dulu awak pernah tanya soalan ni. Lepas tu awak tinggalkan saya. Awak tak tanya pun sebabnya kan,” aku sengaja melengah-lengahkan waktu. Malu untuk berterus-terang.

“Cakaplah cepat,” suaranya sedikit mendesak.

“Hanis pernah jumpa saya. Dia suruh saya jauhkan diri daripada awak. Sebab tu dulu saya jawab tak,” aku menjelaskan.

“Sekarang awak tolak sebab apa pula?” buru-buru Hakimi bertanya.

“Sabarlah dulu. Saya tak habis cerita lagi ni,” aku menjelingnya.

“Okey teruskan,” dia mengalah. Aku menyembunyikan senyum.

“Tapi saya tak sangka rupa-rupanya Hanis cuma nak kikis duit awak. Saya terserempak dengan dia di JUSCO dengan lelaki lain. Katanya lelaki tu kaya dan tak kedekut macam awak,” aku berhenti seketika.

“Kali ni saya jawab tak juga. Cuba awak teka kenapa?” aku menyambung bicara yang terhenti tadi.

“Saya tak retilah main teka-teka ni. Bagilah tahu cepat,” Hakimi mendesak. Jika tidak ditahan, pasti ketawaku sudah meletus.

“Sebab awak tak pinang saya lagi. Macam mana kita nak bersama. Takkan awak nak tunggu saya pula pinang awak,” aku mengenyit mata ke arahnya.

“Akira! Awak ni memang nak kenalah. Soal hati dan perasaan pun awak boleh main-main lagi,” Hakimi mendengus.

“Okey-okey, kali ni saya tak main-main. Kalau kita tak cuba macam mana peluang tu nak wujud kan? Hmm, awak pandang sana dulu. Saya nak cakap sesuatu,” aku menyuruhnya memandang ke arah luar.

“Kenapa kena pandang sana pula?” Hakimi bertanya.

“Pandang jelah, ish!” aku merengus.

“Yalah yalah!” dia menurut. Aku menghembuskan nafas perlahan-lahan sebelum berkata-kata.

“Saya cintakan awak,” aku pasti wajahku sudah memerah. Malunya rasa. Hakimi sudah menoleh ke arahku.

“Cakap sekali lagi. Saya tak dengarlah,” Hakimi bersuara.

“Dah, jangan nak mengada. Awak ingat saya ni kaset ke nak ulang-ulang?” aku berpaling ke arah lain.

“Saya pun cintakan awak,” suaranya kedengaran berbisik.

Dalam hatiku ini sudah bermacam-macam jenis bunga yang kembang. Rama-rama dan lebah sudah berpesta ingin menghisap madu-madu bunga. Ah, apa aku merepek ni.

“Dahlah, saya nak balik pejabat. Nanti tak pasal-pasal kena potong gaji,” aku berkata sambil mengambil buku-buku yang sudah aku pilih sebelum Hakimi sampai.

“Akira, tunggu dulu!” Hakimi memanggil.

“Apa dia?” aku bertanya.

“Nah, ambil ni.” Hakimi menghulurkan air tin cincau.

Dia ni tak sudah-sudah dengan air cincau. Entah apa simboliknya aku pun tak tahu.

“Terima kasih encik Hakimi. Boleh tak saya tahu kenapa awak suka bagi saya air cincau? Banyak lagi benda yang suka,” aku sengaja bertanya. Nak juga tahu kalau-kalau ada maksud lain yang cuba dia sampaikan.

“Saya nak awak tahu cinta itu macam air cincau. Rasanya pahit dan manis. Macam cinta juga. Ada indah, ada derita. Indah bila diselaputi kebahagiaan. Tapi bila ada yang menduga, pasti kita akan rasa derita.” Hakimi menerangkan.

“Sweetlah awak ni,” aku memujinya.

“Jom jalan sama-sama. Saya pun nak balik pejabat juga,” tiba-tiba Hakimi mengajak. Pasti dia sudah malu mendengar pujianku tadi.

“Jom,” aku dan Hakimi berjalan beriringan menuju ke tempat letak kereta.

Aku tersenyum bahagia apabila mengenang kembali peristiwa tadi. Nasib baik hanya kami je yang ada dalam POPULAR tadi. Kalau tak buat malu je. Ada ke patut aku dengan Hakimi buat drama swasta kat situ. Tapi aku bahagia. Mana ada orang luahkan perasaan dekat kedai buku. Unik apa, hehe!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

13 ulasan untuk “Cerpen : Sekali Lagi”
  1. Dya Ezlia says:

    terima kasih kerana sudi membaca cerita saya ^_^ insyaAllah saya akan cuba untuk jadikan cerpen ini dalam versi e-novel. Cuma buat masa ini saya agak sibuk, jadi rancangan itu tergendala. Doakan saya ya :) anyway thanks again

  2. asfa says:

    bestnyer… cerpen ni… semakin lama dibaca semakin seronok…
    sy harap dapat membaca lg cerpen ataupun novel yg akan anda yg terbaru…
    hehe… amiinn..

  3. Dya Ezlia says:

    Terima kasih sudi baca cerpen saya ni :) Insya-Allah saya sedang usahakan sedikit demi sedikit. Sekarang saya agak sibuk. Teruskan menyokong saya ya ^_^

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"