Novel : Aku Suka Kau Benci 1

4 December 2012  
Kategori: Novel

3,666 bacaan 4 ulasan

Oleh :Tinta Biru

Prolog

Angin di luar rumah bertiup cukup kuat. Hujan yang tadinya hanya rintik-rintik bertukar menjadi titisan kasar. Dari luar rumah kampung yang kelihatan usang itu kedengaran tangisan seorang wanita yang sedang kecewa. Tangisan yang kuat sehingga dapat mengatasi bunyi guruh yang kedengaran.

“Abang!!! Tolonglah jangan buat Bedah macam ni. Sampai hati abang. Disebabkan perempuan yang tak tahu malu tu abang sanggup nak tinggalkan Bedah.” Mak Bedah masih tidak berputus asa. Dia tetap cuba sedaya upayanya untuk memujuk Pak Hassan supaya tidak menceraikannya. Mana mungkin dia sanggup bermadu dengan janda muda dari hujung kampung seberang yang menjadi kegilaan suaminya itu. Kedua-dua kaki Pak Hassan dipaut erat sambil menangisi nasib dirinya.

“Abang bukan nak tinggalkan Bedah, tapi Bedah faham kan masalah abang. Abang terpaksa berkahwin dengan Mona sebab abang dah kena tangkap basah. Jadi abang minta Bedah cuba terima kehadiran Mona seadanya. Dia perempuan yang baik.”

“Baik apanya perempuan macam tu. Kalau dia perempuan yang baik, dia takkan main cinta dengan suami orang. Kalau dia perempuan yang baik, dia takkan ajak abang datang ke rumah dia sampai kena tangkap basah. Entah-entah dia sendiri yang perangkap abang. Abang pun satu, tak cukup-cukup dengan bini dekat rumah. Menggatal pula dengan janda muda tu buat apa?” Mak Bedah menghamburkan segala kemarahannya. Kesedihan dan tangisannya tadi menghilang ditelan perasaan marah yang menggunung. Kaki Pak Hassan yang dipaut erat dilepaskan serta merta. Nafas kasar dihembus laju dari saluran pernafasannya.

“Jadi… Bedah memang tak dapat nak terima dia ke?” soal Pak Hassan dalam keadaan gusar. Dia sayangkan Mak Bedah tetapi dia juga sayangkan Mona. Janda muda yang masih bergetah. Dia tahu dia yang bersalah dalam hal ini namun dia tidak dapat membohongi perasaannya.

Mak Bedah tarik muka kelat. Memang dia tidak boleh terima situasi tersebut, takkanlah suaminya tak faham-faham lagi. Isteri mana yang rela jika suaminya berkahwin lain. Kalau ada yang rela pun belum tentu dengan seikhlas hati.

“Kalau abang dah tak sayangkan saya lagi, abang ceraikan saya. Saya sanggup jadi janda daripada hidup bermadu. Mungkin dah takdir hidup saya macam ni,” walaupun berat hati namun Mak Bedah terpaksa mengungkapkan kata-kata keramat tersebut. Biarlah dia hidup menjanda daripada hidup bersama madu yang mungkin akan menjadi racun dalam hidupnya nanti.

“Abang tak tahu nak cakap apa. Kalau itu keputusan Bedah, abang terpaksa terima dengan berat hati. Tapi cuma satu yang abang minta, Bedah tolong jaga anak kita sebaik mungkin. Anggaplah itu tanda peninggalan abang buat Bedah.”

“Kenapa abang tak bawa je anak abang tu. Suruhlah bini muda abang jaga dia. Dan tolong jangan cakap anak tu anak kita. Dia anak abang tau tak?” suara Mak Bedah semakin meninggi. Hatinya sudah tidak tahan menanggung marah dengan sikap tidak bertanggungjawab Pak Hassan.

“Terpulanglah apa yang Bedah nak cakapkan. Abang amanahkan dia pada Bedah. Tolong jaga dia baik-baik. Sayangi dia seadanya. Abang pergi dulu.”

Tanpa menoleh ke belakang Pak Hassan terus melangkah keluar dari rumah. Jerit pekik laungan Mak Bedah tidak dihiraukan. Tubuhnya yang kebasahan ditimpa dek hujan tidak dipedulikannya. Dia terus menghenyakkan tubuhnya ke atas kerusi Proton Saga buruk peninggalan arwah ayahnya. Dengan pantas dia menghidupkan enjin dan memecut laju. Itulah kali terakhir dia menjejakkan kaki ke Kampung Bahagia. Tidak mungkin dia akan menunjukkan muka di kampung tersebut lagi.

***

Bab 1

Liza merenung jam di pergelangan tangan. Sudah hampir ke pukul 8.30 pagi. Dia semakin gelisah menanti. Hari ini masuk hari ke 3 pelajar tahun 1 Kolej Empat di Universiti Malaya menjalani haluansiswa. Semalam saja ramai yang telah dikenakan denda kerana datang lewat. Mungkinkah hari ini dia turut didenda sama? Oh… tidak. Tak sanggup rasanya dia dimalukan di hadapan khalayak ramai. Pintu bilik tandas diketuk beberapa kali. Mia Sarah perlu diminta supaya cepat menyelesaikan misinya.

“Mia!!! Cepatlah… Kau buat apa lama-lama dekat dalam tu? Dah pukul 8.30 lah. Nanti kita lambat.”

“Alah… Perut aku tengah meragam ni. Dari tadi tak lepas-lepas. Tak apalah, kau pergilah dulu. Aku rasa aku lambat lagi ni.”

“Biar betul kau ni. Dah berapa hari kau tak melabur dekat amanah saham ni? Sekali melabur sampai berjam-jam. Eh… aku pergi dululah ye. Aku takut kena marahlah.”

“Okey tak pe. Kau pergilah dulu,” Mia Sarah terpaksa merelakan pemergian Liza. Dia pun tidak mahu disebabkan dirinya, Liza akan dimarahi. Tapi agak-agaklah Liza pun, tak adalah sampai berjam-jam dia bertapa di dalam ruang sempit ini. Ikutkan hati dia pun mahu cepat sampai ke dewan, tetapi entah kenapa perutnya asyik meragam sahaja. Mungkin dia ada tersilap makan rasanya.

***
Mia Sarah mula mengatur langkah menuju ke dewan. Termengah-mengah dia menuruni anak tangga memandangkan biliknya berada di tingkat 3. Sudahlah tangganya kelihatan berpusing seperti bulatan. Naik pening sudah kepalanya kerana menuruni tangga dengan laju. Sampai sahaja di dewan suasana seakan sunyi. Seorang pun tidak berada dalam dewan.

“Eh… Mana semua orang pergi ni?” timbul nada cemas di hatinya. Dia terus berjalan perlahan menuju ke ruang lobi. Masih juga tidak ada orang. Pelik dan hairan dia memikirkannya. Keadaan sunyi sepi seperti Melaka dilanggar todak. Tiba-tiba dia terdengar suara gelak tawa yang tidak berapa kuat. Serta-merta bulu romanya terpacak 90 darjah.

‘Manusia ke orang tu?’
Mia Sarah memberanikan diri menuju ke arah suara tersebut. Perasaan ingin tahu menyebabkan kakinya dibawa menuju ke bilik tayangan yang terdapat berdekatan dengan lobi. Semakin dia sampai ke bilik tayangan semakin hilai tawa itu jelas kedengaran. Terlopong mulutnya menyaksikan apa yang terbentang di ruangan matanya. Sepasang kekasih yang sedang hangat memadu kasih. Lelaki itu sedang memeluk erat pasangannya dan begitu juga dengan pasangan tersebut.

Mia Sarah mengucap dalam hati. Biar betul apa yang disaksikannya sekarang ini. Seakan-akan tidak percaya pula. Sudahlah berani melakukan maksiat di tempat terbuka. Memanglah tidak ada orang tetapi ada yang maha melihat. Mia Sarah ingin berlalu. Dia tidak sanggup menonton wayang percuma tersebut. Sementelah pula pasangan yang sedang hangat bercinta itu tidak menyedari kehadirannya.

“Arghh!!!” terkejut Mia Sarah melihat seekor monyet yang tiba-tiba cuba menghampirinya. Memang di kampus Universiti Malaya ini terlalu banyak monyet. Nama sahaja di Kuala Lumpur tapi terasa seperti di zoo pun ada. Jeritannya tadi turut mengejutkan pasangan kekasih tersebut. Ikmal yang panik dan terkejut terus bertindak menghalau monyet yang kelihatan ingin mengganas. Hairan pula Mia Sarah dengan gelagat monyet tersebut. Jika berhadapan dengan kaum perempuan bukan main berani lagi, sampai tak cukup tanah kita dikejarnya, tetapi kalau dengan lelaki, sekali sergah terus cabut.

“Apa kau buat dekat sini?” soal Ikmal dengan nada kasar. Dia tidak menyangka masih ada lagi siswi yang tertinggal di kolej. Sepatutnya gadis ayu yang berada di hadapannya ini sudah bersama-sama dengan rakan-rakannya berjoging mengelilingi satu universiti. Wajah Mia Sarah yang kelihatan pucat dipandang geram. Malu pun ada dengan tingkah lakunya tadi. Harap-harap gadis itu tidak berfikir yang bukan-bukan. Tetapi bolehkah dia tidak berfikir yang bukan-bukan sedangkan keadaannya dan pasangannya tadi memang mencurigakan.

“Err… Saya terlambat turun tadi. Bila saya turun saya tengok semua orang dah tak ada,” Mia Sarah gugup. Seram melihat jelingan maut lelaki itu.

Ikmal masih merenung tajam ke arah gadis tersebut. Ina yang berada di sebelahnya tadi telah disuruh pergi. Ikmal mendekat ke arah Mia Sarah. Wajah Mia Sarah pucat. Semakin Ikmal cuba mendekat, semakin dia terdorong ke belakang sehinggalah lengannya direntap kasar oleh Ikmal.

“Kau nampak tak apa yang aku buat tadi?”

“Nampak.”

“Apa?!!!”

“Err… tak… tak nampak.”

“Bagus… bagus… Kau anggaplah apa yang berlaku tadi tak pernah berlaku. Kau juga tak nampak apa-apa. Faham!!!”

“Err… faham,” Mia Sarah sudah terketar. Terasa jantungnya berdegup bagai nak gila. Tidak pernah dia mengalami perasaan takut seperti ini. Diugut oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Lengannya yang digenggam kasar terasa semakin perit. Kalaulah dia ada kuasa mahu sahaja disumpahnya lelaki ini menjadi katak yang hodoh. Tetapi bolehkah?

“Err… tolong lepaskan tangan saya. Sakitlah.”

“Kalau aku tak nak lepaskan, kau nak buat apa?” Ikmal tersenyum nakal. Kedua-dua keningnya diangkat tinggi sambil mata kiri dikenyitkan beberapa kali. Cantik juga budak junior depan aku ni. Bermata bundar, beralis lentik, berhidung mancung dan yang paling dia tidak tahan melihat seulas bibir yang kecil lagi comel.

Mia Sarah semakin cuak. Kenapa pula lelaki ini tidak mahu melepaskannya? Lepas tu asyik kenyit-kenyit mata saja. Sudah macam orang sakit mata pun ada. “Lebih baik awak lepaskan saya. Kalau tidak…”

“Kalau tidak apa?”

“Kalau tidak saya jerit.”

Ikmal tergelak kuat. Sakit hati Mia Sarah melihatnya hanya tuhan sahaja yang tahu. Ikmal dipandangnya dengan perasaan geram.

“Kau nak jerit… jeritlah. Tapi ada siapa yang nak dengar ke? Sekarang di kolej ini semuanya kosong. Mereka semua pergi berjoging mengelilingi varsiti. Kalau kau nak jerit sampai keluar anak tekak pun tak akan ada siapa yang nak datang tolong. Kalau kau menjerit pun aku takkan lepaskan kau.”

“Kenapa?”

“Sebab… sebab aku nak kau jadi milik aku.”

“Gila…” desis Mia Sarah. Memang lelaki di hadapannya ini sudah gila agaknya. Dia malas tunggu lebih lama. Direntap kuat lengannya walaupun terasa perit. Kemudian dia terus berlari pecut meninggalkan lelaki itu keseorangan. Sempat dia menoleh ke belakang melihat lelaki itu ketawa terbahak-bahak. Memang sah dah gila. Minta-minta selepas ini dia tidak akan berjumpa dengan lelaki gila itu lagi.

***
Mia Sarah tercari-cari kelibat Liza di dalam dewan makan. Punyalah ramai manusia sehingga jadi pusing kepalanya. Nasib baiklah Liza yang sedang duduk di meja makan melambainya. Mia Sarah terus menghala ke arah Liza sambil membawa dulang makanan.

“Eh kau pergi mana tadi Mia?” soal Liza sebaik sahaja Mia Sarah duduk di sebelahnya.

“Aku tak pergi mana pun. Aku turun je aku tengok dah tak ada orang. Last-last aku masuk dalam biliklah.”

“Wah… Bestlah kau. Boleh rehat. Kita orang ni dah macam tak cukup oksigen je kena paksa pusing satu varsiti. Dah la kena turun naik bukit. Penat gilalah. Nasib baik kau tak ikut sama,” ujar Liza. Masih terbayang-bayang lagi suasana mereka mengelilingi varsiti. Ramai yang mengeluh kepenatan tetapi tidak dilayan oleh senior. Itu yang membuatkan dia angin semacam. Orang nak berehat pun tak bagi.

“Tapi aku takut juga kalau kena denda nanti. Kiranya aku dah ponteng tadi tu tau tak.”

“Alah tak adanya. Tadi dia orang tak check kedatangan pun. Kalau aku tahu macam tu, lebih baik aku tak payah turun. Menyesal betul. Aku suka joging ni, tapi bila kena kerah macam tu, cukuplah aku tak suka. Eh Mia… kenapa dengan tangan kau ni?” Liza mengamati garisan halus di lengan Mia Sarah. Kelihatan seperti segaris luka halus di lengan kirinya.

Mia Sarah membelek lengannya. Memang terdapat luka halus tetapi sikit pun dia tidak merasa sakit. Hairan… macam mana pula dia boleh terluka. Bila difikir-fikir barulah dia teringat tentang lelaki gila yang mencengkam kuat lengannya tadi. Tapi takkanlah sampai boleh bercalar begini.

“Eh… aku punya gelang mana?”

“Gelang? Gelang apa pula?”

“Gelang tangan akulah. Macam mana pula boleh hilang,” Mia Sarah mula menggelabah. Dia mula melihat-lihat di bawah meja. Kot-kot gelangnya tercicir di situ. Tidak ada. Di mana pula menghilang gelang emas kesayangannya itu. Hadiah amat bermakna dari Nenek Timah. Walaupun gelang emasnya kecil sahaja tetapi dia amat-amat menghargai pemberian nenek kesayangan. Pada mulanya dia menolak kerana memikirkan keadaan nenek yang agak susah, tetapi Nenek Timah memaksanya untuk menerima.

“Kau pakai ke tak gelang tu tadi?”

“Aku pakailah. Mana pernah aku tanggalkan.” Puas Mia Sarah cuba memikirkan tentang misteri kehilangan gelang tersebut. Akhirnya Mia Sarah membulatkan mata seakan-akan teringat sesuatu. Mungkinkah gelang tangannya tercicir semasa lelaki gila itu menggenggam kuat lengannya tadi? Tambahan pula dengan garisan luka halus di lengannya. Dah sahlah, memang gelang itu tercicir.

“Eh… kau nak ke mana tu?” soal Liza apabila melihat Mia Sarah mula bangun. Takkan dah habis makan sedangkan makanannya sedikit sahaja luaknya. Selalunya Mia Sarah ni kuat makan orangnya.

“Aku nak pergi cari gelang akulah. Harap-harap masih ada dekat situ lagi.”

Mia Sarah mula berlari-lari anak menuju ke bilik tayangan. Bilik yang menyaksikan dirinya diugut oleh lelaki gila tadi. Bilik itu kosong, tidak ada orang. Mudahlah baginya untuk melaksanakan misi mencari gelangnya yang hilang. Puas dia mencari serata bilik tersebut tetapi tidak ditemui.

Mustahil boleh hilang macam tu saja. Ni mesti dah ada orang yang ambil. Emas tu!!! siapa yang tak nak? Kalau tak dipakai pun sekurang-kurangnya boleh digadai. Dapat juga duit. Sudahlah harga emas sekarang mahal. Mia Sarah mengeluh kecil. Maafkan Mia nek. Mia dah hilangkan gelang pemberian nenek. Ada rasa sesal di hatinya.

***

“Tak payah nak belajar tinggi-tinggi Mia. Kau tu bukannya pandai sangat pun. Daripada perhabis duit buat belajar kau, lebih baik kau kerja cari duit. Boleh juga duit tu digunakan untuk benda lain. Ada juga faedahnya. Orang perempuan belajar tinggi-tinggi pun tak guna. Nanti dah kahwin, dekat ceruk dapur tu juga duduknya.”

“Kau ni Bedah, kenapa pula cakap macam tu. Biarlah Mia tu nak sambung belajar. Lagipun anak-beranak kita mana ada yang pernah sampai ke universiti. Sekurang-kurangnya Mia sampai juga ke sana. Lagipun, duit belanja dia semua mak yang tanggung. Tak ada melibatkan kau pun.” Nasib baik ada Nenek Timah yang membela. Jika tidak… mahu bernanah telinga Mia Sarah menerima caci maki Mak Bedah. Hatinya memang sudah lama membengkak dan berdarah dengan sikap Mak Bedah. Padahal Mak Bedah bukannya orang lain, emaknya sendiri. Sedikit pun dia tidak pernah memberikan sokongan pada Mia Sarah. Sebaliknya kata-kata hinaan dan cacian untuk melemahkan dirinya yang sering didengar.

“Itulah masalah mak ni. Manjakan sangat Si Mia tu. Norli dengan Nora tak ada pula mak nak manjakan. Mak jangan nak manjakan dia lebih-lebih sangat. Nanti dia pijak kepala mak, baru mak tahu.”

Mia Sarah sekadar mendengar kata-kata pedas Mak Bedah tanpa mahu membalas. Kata-kata tersebut dibiarkan bagai air yang mengalir, kalau diikutkan hati sangat nanti dia yang akan makan hati. Jari-jemarinya ligat melipat pakaian yang akan dibawanya ke kolej nanti. Universiti Malaya akan dijejakinya sehari sahaja lagi. Bidang Perancangan Bandar menjadi pilihannya kini. Tidak sabar rasanya dia menjejakkan kaki ke universiti paling tua di Malaysia itu.

“Wei!!! Jauh mengelamun. Dah sampai ke negara orang putih ke?” sergahan Liza amat memeranjatkan Mia Sarah. Ingatannya pada Mak Bedah terus melayang jauh. Nasib baiklah dia tidak ada sakit jantung, kalau tidak…

“Lain kali tolong bagi salam dulu ye. Terkejut gila aku.”

“Tapi… belum gila lagi kan. Hahaha,” Liza terus duduk di sebelah Mia Sarah. Wajah cemberut rakannya itu tidak dihiraukan. Alah, bergurau… apa salahnya. Tak kan nak marah kot?

“Kau buat apa kat sini Mia. Boringlah pula petang-petang ni. Jom kita pergi joging nak tak?”

“Joging? Malaslah aku. Baru lepas hujan, takkan nak pergi joging. Lagipun aku saja je duduk lepak dekat sini. Ambil angin. Haluansiswa dah habis, so inilah masa nak rehat-rehat. Nanti dah nak start kelas pula,” ujar Mia Sarah sambil membelek-belek novel lama yang dibawanya dari kampung. Ada juga gunanya ketika dia kebosanan.

“Janganlah bagi alasan malas. Kau tahu tak joging ni bagus untuk kesihatan. Ia dapat membantu
mengatasi masalah berat badan dan perut buncit, membantu mereka yang bermasalah dengan nafsu makan kecil, menguatkan otot kaki, pinggul dan punggung. Pendek kata memang banyak kelebihan joging. So jomlah kita pergi joging, dekat-dekat sini je.”

“Untuk pengetahuan kau, perut aku tak buncit ye dan selera makan aku bukannya kecil tapi besar. Kau je lah pergi joging sorang. Lagi pun aku nak habiskan baca novel ni.”

“Alah… kau ni tak sporting lah. Jom lah temankan aku. Tak bestlah joging sorang-sorang ni. Nanti tak pasal-pasal pula aku kena ngorat dengan mamat motor. Jomlah,” Liza merayu. Hobinya memang suka berjoging. Maklumlah mengenangkan saiz badannya yang bertambah-tambah sihat.

Mia Sarah malas berdebat panjang. Walaupun dia malas dan tidak berapa suka berjoging tetapi diturutkan juga hati demi seorang sahabat. Selesai menukar kasut sukan mereka mula berjoging mengelilingi varsiti. Daripada kolej empat mereka menyusur ke jalan besar melintasi kolej lima dan seterusnya menaiki bukit. Mereka berhenti sebentar di atas bukit sambil melihat keindahan yang tercipta. Cukup dingin terasa dengan angin sepoi-sepoi menampar muka. Perjalanan mereka disambung sehingga ke Akademi Pengajian Islam. Seterusnya mereka berpatah balik ke kolej empat. Sebaik sahaja sampai di Fakulti Bahasa dan Linguistik mereka mula berjalan perlahan-lahan. Segala tenaga sudah habis dan kepenatan jelas terasa. Sebaik sahaja mereka melewati kolej lima, sebuah kereta hitam bergerak cukup laju. Kereta jenis apa? Sukar untuk dipastikan.

“Woi!!! Buta ke?” pekik Mia Sarah. Sekelip mata sahaja habis pakaiannya lencun disirami air lopak yang dilanggar oleh kereta tersebut. Memang tuan punya kereta itu hendak kena maki habis-habisan dengannya. Mendidih perasaan marahnya melihat keadaannya yang sedemikian. Bau… jangan cakaplah. Busuk yang amat.

“Memang dah buta kot orang tu. Lopak air punya besar pun tak nampak,” sampuk Liza. Dia turut merasa marah dengan sikap tidak bertanggungjawab pemandu tersebut. Pemandu sebegitu memang patut diajar. Tahu bawa kereta sahaja, tetapi tak reti nak hormat orang lain. Sikap buruk dan pemandu yang pentingkan diri sendiri seperti itulah yang merupakan faktor negara mencatat jumlah kemalangan jalan raya yang tinggi.

“Dah tu tak reti nak berhenti ke? Menonong je pergi. Tak reti nak minta maaf. Mak bapa tak ajar,” Mia Sarah menghamburkan marahnya. Bertambah sakit hatinya apabila kereta tersebut tidak ada tanda-tanda untuk berhenti. Laju sahaja ke hadapan, sehinggalah sampai di satu selekoh kereta itu kelihatan mengundur ke belakang.

“Eh Mia, dia reverse lah. Kau agak lelaki ke perempuan ha?”

Mia Sarah tidak dapat berfikir. Dia hanya melihat sahaja kereta tersebut perlahan-lahan menghampiri mereka berdua. MAL113, nombor plat yang cantik terlekat di bumper kereta tersebut. Keretanya pun cantik dan menarik. Tetapi tuan punyanya cantik dan menarik jugakah? Sebaik sahaja kereta itu berhenti Mia Sarah rasa berdebar-debar. Tidak sabar dia hendak melihat gerangan empunya kereta. Pintu kereta di bahagian pemandu dibuka. Mia Sarah dan Liza memandang tepat ke arah tersebut. Sepasang kaki yang memakai kasut sukan Adidas menapak di jalan. Kemudiannya keluarlah seseorang yang tersenyum sinis ke arah mereka berdua.

Mia Sarah terkejut. “Oh My God. Diakah?”




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

4 ulasan untuk “Novel : Aku Suka Kau Benci 1”
  1. ami says:

    Hmm interesting.keep writing and I’ll be waiting :D

  2. risya says:

    yg nie kn dh post thn 2011..tajuk dia sama cuma x de ‘ape kes’ je.. dulu ‘aku suka kau benci ape kes! nape pos lagi..ke kuar balik sb dh dibukukan..
    Dah lama saya tunggu nk peluk novel nih karya Tinta Biru..

  3. Tinta Biru says:

    Terima kasih ami…

    Risya… Memang tajuk sebelum ni ada yang apa kes tu… tapi ada rombakan dan beberapa perubahan sedikit… contoh .. macam bab kat atas ni, sebelum ni tak ada.. . Apa pun terima kasih byk2 sebab sudi tunggu ke versi cetak..

  4. kakrihan mohdyusof says:

    best dek nk g….

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"