Novel : Bukan Kerana Aku Tak Cinta 1

10 December 2012  
Kategori: Novel

65,167 bacaan 25 ulasan

Oleh : E-man Sufi

“Assalamualaikum!! Mak cik Sari!!”

Sarimah yang sedang menggoreng sayur terkejut melihat Hannah Mastura yang terjengul di muka pintu dapur.Hai….baru masuk tengah hari dah terjengul kat pintu rumah aku ni? Sihat ke tidak budak bertuah ni?

Sarimah memandang hairan pada Mastura.Adik kepada menantunya,Hannah Maryam.Gadis sederhana tinggi itu hanya mengukir senyum.Memanglah anak gadis itu ceria orangnya.Selama 6 tahun tinggal di United Kingdom kerana belajar dan bekerja,kini sudah lebih 6 bulan gadis itu kembali ke Malaysia.

“Kenapa pandang Mas macam tu?” Mastura masuk ke dalam rumah.Dia memeluk bahu Sarimah sambil matanya melirik pada sayur yang sedang digoreng di dalam kuali.

“Ai…kerap benar kau datang ke sini Mastura? Tengah hari buta macam ni…”

“Alah mak cik ni…takkan tak boleh kut…tak suka Mas datang ya?” tawa kedengaran.Dibiarkan saja Mastura mengambil sudip dari tangannya.Lincah gadis itu mengambil alih tugasnya.Dari sudut penelitiannya,gadis itu tidak jauh berbeza paras rupa dengan kakaknya Cuma Mastura lebih pandai melakukan kerja dapur.Tak perlu disuruh,cepat aja tangannya bergerak.Berbanding dengan sikap menantunya yang perlu diajar itu dan ini.

“Bukan itu maksud mak cik…tapi kau tu pelik semacam aja! Kalau Anis ada, taklah aku ni hairan sangat…” Seketika dia teringatkan anak bongsunya yang kini bekerja di Kuala Lumpur.

“Anis kan dah pergi kerja kat KL…Kalau tak Mas yang gantikan tempat dia untuk tengok-tengokkan mak cik..siapa lagi nak harapkan?” Mastura mengangkat sayur kobis yang siap digoreng dan diletakkan di atas pinggan.Kemudian,dia mula menggoreng ikan pula menggunakan kuali yang lain.Sarimah hanya memerhati.

“Amboi….baiknya dia…macamlah mak cik takde anak lain…tak payah tunggu kau,menantu aku ada…selalu temankan aku walaupun dia sibuk”

“Elleh..saja nak puji alonglah tu…tak baik tau mak cik menolak niat terpuji Mas ni” Mastura sengaja tarik muka.

“Bila masa pulak mak cik tolak.Cuma pelik aja.Hmmm….tapi elok juga kau ada Mas, anak kesayangan mak cik tu dah tak pedulikan mak cik..” Sarimah sedih mengenangkan Anisah yang sudah mendapat tawaran kerja di Kuala Lumpur.Nak ditegah pergi,Uwais pula membantah.Katanya biarlah adiknya buat keputusan untuk masa depan sendiri.Sudahlah dulu lama tinggalkan aku pergi ke luar negara..sekarang dah nak kerja di tempat jauh pulak!

“Bukan dia tak peduli..tapi mak cik tu, cepat sangat nak carikan dia jodoh..manalah dia tak merajuk dengan mak cik…” Bela Mastura.Memang Anisah bukanlah nak sangat ke Kuala Lumpur.Tapi semenjak mereka balik dari UK..Mak cik Sarinya itu tak habis-habis nak menjodohkan Anisah dengan calon-calon pilihannya!

“Alah…apa salahnya…yang aku pilih ni budaknya baik…korang pun bukannya muda remaja, dah patut sangat jadi isteri orang” Jawab Sarimah.

“Memanglah, yang itu saya pun setuju…dah dia tak nak! Nak buat macamana…” Mastura menyinsing lengan blause yang dipakainya.Sebenarnya,dia tak sepatutnya ada di rumah itu kerana waktu itu dia perlu berada di tapak projek sepertimana yang diarahkan kakaknya.Dia memang sengaja tuang kerja.Entah kenapa sejak akhir-akhir ini hatinya makin ditarik-tarik untuk selalu bertandang ke situ.Bukan Mak Cik Sari saja yang rasa hairan,kakaknya juga ada bertanya tentang kekerapannya datang ke situ.Hanya dia yang sengaja menggunakan alasan untuk menjenguk mak cik Sari sedangkan tujuan sebenarnya lain.

“Mas…tolonglah mak cik, pujuk Anis tu balik semula ke sini…Kalau setakat jadi pensyarah university tu..kat Kuantan ni pun boleh!” pinta Sarimah.

“Boleh….tapi ada syaratnya!” Mastura bersetuju.Dia menutup api dapur setelah selesai menggoreng ikan.

“Ni apa pulak pakai bersyarat bagai…”

“Mestilah…orangk kata apa? Emm..orang berbudi kita berbahasa…hah..”

“Apa syaratnya?” Sarimah terpaksa mengalah.

“Macam ni…Emmm….sebenarnya…errrr…emmm..” Seganlah pulak nak beritahu…

“Kau ni nak cakap ke tidak? Aaaaa…errr..eemmm…aku belum belajar lagi bercakap bahasa macam tu…” Gerutu Sarimah.
Mastura ketawa.Dia menarik kerusi makan lalu duduk.

“Sebenarnya…Saya dah jatuh hati kat seseorang…” Dia berterus terang.Jatuh hati? Ya…itulah jawapan pada perubahan sikapnya.Dia jatuh hati pada lelaki itu…jatuh hati tanpa alasan yang jelas…tanpa sebab yang jelas…memang betul cinta itu buta!

“Iya?? “ Tiba-tiba Sarimah teruja.Dia turut duduk menghadap Mastura.

“Iyalah mak cik..takkan tipu pulak.Tengok muka saya yang suci ni…ada nampak macam tipu ke?”

“Habis tu..Siapa orangnya? Mak cik kenal ke?”

“Kenal sangat…” Mastura menopang dagu.Membayangkan wajah lelaki yang dah berjaya menawan hatinya.Orangnya mungkin tak kacak pada pandangan orang lain tapi memang kacak pada pandangan matanya! Kali pertama berjumpa dia dah dapat rasakan…dialah lelaki yang dicari selama ni..Walaupun tanpa banyak bicara dia percaya lelaki itu punya rasa yang sama.Sayangnya…dia tak dapat respon seperti yang diharapkan.Memang siksa kalau cinta bertepuk sebelah tangan!

“Iya? Siapa?”

“Emm..seganlah pulak nak beritahu…”

“Mengada-ngada…cepatlah! Haish budak ni…”

“Nama dia mula dengan huruf “J”..” Sengaja Mastura nak berteka teki.

“Nak main teka-teki pulak…Ini mesti kau dah jatuh hati dengan Jebon kan?”

“Ada pulak Jebon!”

Sarimah ketawa.Mastura dah mula merajuk balik.

“Mak cik tahu….Jenal kan? Anak Pak Usop jual cendol tu…Bagus jugak budak tu…dapatlah kau makan cendol hari-hari…”Usik Sarimah lagi.

“Ieeee… Mak cik ni…Bila masa pulak Mas jatuh hati dengan Jenal tu? Bukan dialah…” Beriya-iya Mastura menggeleng.Bukan Jebon…Bukan Jenal…nama dia tersangatlah glamour…sebut aja, satu Malaysia pernah dengar!

“Kau ni Mastura…usik sikit aja dah tarik muncung.Bukan Aku tak tahu…Selama ni aku perhatikan aja gelagat kau tu..saja aku malas nak jawab kasi betul…huruf J konon…tengok gaya kau datang rumah mak cik ni pun,dah syak siapa Mr. J yang kau maksudkan tu…”

“Betul mak cik tahu?” Mastura ceria semula.

“Iya…Hang Jebat tu kan? Bukan main pandai kau ya…Aku nak jodohkan dengan Anis tapi kau pulak yang sangkut dulu” Sarimah dah lama perasankan cara Mastura memandang Jebat.Pekerja kepada anak lelakinya.Budaknya memang rajin dan tak banyak cakap.Walaupun tak begitu bergaul dengan orang kampung tapi Jebat tak pernah cari pasal dengan sesiapa.Lagipun,Jebat adalah adik kepada Wahab walaupun berlainan ayah.Anak muda itu tinggal di kotej berhampiran chalet di tanah dusunnya.Tidak jauh dari rumah itu.Selain daripada tekun belajar ilmu agama dengan Ustaz Hafiz, Jebat rajin juga membantu orang kampung bila ada kenduri kendara.Satu saja yang kurang dengan anak muda itu.Orangnya tak banyak cakap dan selalu menyendiri.Entah apa yang dipandang Mastura pada Jebat..dia pun tak tahu…kaya jauh sekali…nak kata kacak sangat tu tidaklah juga kerana pemuda itu mukanya berparut kerana kecederaan yang dialami sewaktu kecil.Tak banyak sangat yang dia tahu mengenai anak muda itu,apa yang dia tahu dari Uwais hanyalah Jebat datang ke kampung itu sebab nak bekerja dengannya.

“Bukan salah Mas…Anis yang tak nak! Lagipun,Abang Jebat tu sesuai dengan Mas aja…” Jawapan itu buat Sarimah sedikit terkejut.Lamunannya terus menghilang bersama bayangan Jebat.

“Pandai-pandai kau aja…ni, sejak bila kau berabang-abang dengan budak Jebat tu?”

“Sejak hati kitorang dah bersatu…” Bukan main lagi Mastura menjawab.Senyuman manis tak pernah hilang dari bibirnya.

“Ceh…meluat pulak aku dengar…”

“Mak cik…..tolonglah…” Mastura merengek manja.

“Tolong apa?”

“Tolonglah buat abang Jebat tu syok kat Mas..” Pinta Mastura.Ternganga Sarimah dibuatnya.Mak oi… inilah anak muda zaman sekarang…tak segan-segan tunjuk perasaan.

“Kau ni waras ke tidak? Kalau Anis tu aku nak jodohkan lain cerita..Anis tu anak aku tapi kau ni lain pulak acuannya…Kalau Tan Sri tahu..Along kau tahu..lepas tu,diorang tak setuju..Aku jugak yang kena jawab” Dalih Sarimah.Soal jodoh Mastura bukan dia yang patut masuk campur.Nanti tak pasal-pasal datuk gadis itu,Tan Sri Idris mengamuk.

“Mas dah besar mak cik! Apa salahnya nak cari pilihan sendiri…” Mastura mula kurang senang bila diingatkan pada Tuk Ayahnya.Dia pun memang ada terfikir.Belum tentu pilihannya itu mendapat persetujuan keluarga.Dengan perangai Tuk Ayah yang tegas dan Alongnya yang banyak songeh…memanglah payah!

“Mak cik bukan apa…Kau dengan Jebat tu tak sekufu…kau tu cucu Tan Sri..anak orang berada..Jebat tu pekerja biasa aja..”

“Habis tu, apasal along boleh pulak kahwin dengan abang long? Siap Tuk Ayah lagi yang pilih..Mas tak kira…walau macamanapun mak cik kena jugak cari jalan Mas boleh kahwin dengan Abang Jebat” Mastura menggunakan perkahwinan kakaknya dengan Uwais sebagai perbandingan.Tak adil kalau alasan tak sekufu diguna pakai.

“Mas…mas…kau ni kalau dah nak sesuatu…” Sarimah menggeleng.Tiba-tiba handset Mastura berbunyi.Segera dijawabnya.

“Hannah Mastura Umar Mukhriz…dah tak pandai tengok jam ke? Suara lantang itu membingitkan telinganya.Makin berusia ni,tahap garang alongnya makin bertambah 200 peratus! Tapi kalau dengan Abang Long bukan main lagi…sayang itulah…sayang inilah…isteri solehahlah katakan..

“Apasal ni along? Tiba-tiba nak jerkah orang…” protesnya.Dia bukan budak-budak yang boleh dimarah sebegitu.

“Angah pergi mana? Kan along suruh pergi tengok site tapi diorang kat sana cakap angah takde pun pergi sana…nak kerja ke tak nak ni? “ Suara alongnya di talian masih seperti tadi.Dia dapat bayangkan betapa garang muka Alongnya ketika itu.Kuku besi dah mengamuk!

“Tak nak….” Jawabnya selamba.Memang sengaja menguji kesabaran kakaknya.

“Astaghfirullah…angah memang suka main-main kan? Balik office sekarang! Pukul 3 petang ikut along masuk meeting” Arahan itu didengar separuh perhatian saja.

“Alah…hari lainlah….Err..along! hari ni angah kerja separuh hari ajalah ya? Bye!” Mastura cepat-cepat menutup handsetnya.Malas nak dengar leteran sesiapa.

“Eloklah….elok sangat buat perangai macam tu…” Sarimah sedikit menyindir.

“Jiwa kacaulah mak cik…hero pujaan tak muncul-muncul..ini mesti abang long bagi banyak kerja kat dia…kesian kat dia..”

“Ya Allah…memang sah kau ni sakit! Sakit angau! Buatnya Jebat tu tak nakkan kau..baru padan muka…”

“Mustahil tak nak …cuba mak cik tengok saya…tak cukup cantik ke?” Dia rasa yakin,positif dan percaya yang dia akan berjaya buat Jebat cair dengan panahan cintanya.

“Cantik tu adalah…tapi gedik tu yang aku tak tahan…” Selamba pula Sarimah menjawab.

“Mana ada…ini bukan gedik mak cik…ini namanya skill memikat..”

“Hmmm…aku nak tengok berjaya ke tidak”

“Tadi kan mak cik setuju nak tolong…” Mastura tak puas hati.Dia perlukan sokongan wanita itu untuk menjayakan operasi memikatnya.

“Bila pulak…”

“Kalau macam tu..Mas tak nak tolong pujukkan Anis balik ke sini…” Ugut Mastura.Sarimah geram juga bila terpaksa mengalah.

“Iyalah..iyalah…mak cik tolong..”

“Saaaayyaaaaaggg mak cik…” Mastura sempat mencubit pipi Sarimah.
Tiba-tiba Tangisan bayi kedengaran.

“Hah…anak saudara kau dah menangis tu..pergi tengokkan…”
Mastura segera bangun dari kerusi bila tangisan Kauthar,anak bongsu kakaknya makin menjadi-jadi.

Hilux yang dipandu diberhentikan di bawah pokok mempelam.Jebat mematikan enjin dan keluar dari perut pacuan empat roda itu.Dia menyinsing sedikit lengan t-shirt yang dipakainya hingga ke siku.Hari itu agak panas terik.Dia baru sahaja balik dari menghantar bekalan ikan ke beberapa restoran sekitar yang membuat tempahan.

“Assalamualaikum!” Dia memberi salam.Seperti biasa dia akan singgah ke rumah Sarimah untuk makan tengah hari.Sejak hari pertama dia dibawa ke rumah itu,hanya air tangan wanita separuh usia itu yang menjadi pilihannya.Lagipun,kalau dia cuba makan di tempat lain,dia juga yang akan dileteri.

“Waalaikumussalam…”

Wajah Jebat sedikit berubah.Kenapa pulak dia ni yang keluar? Adoilah…ini yang aku malas nak singgah! Dia tak terfikir Mastura akan berada di rumah itu.Dia memang tak suka kalau bertembung dengan Mastura.Gadis itu suka sangat menarik perhatiannya.

“Abang Jebat dari mana?”

“Hantar ikan…” Jebat pura-pura membelek pakaiannya.

“Oh..mesti penat kan? Marilah masuk..Mak Cik Sari ada kat dalam…Mas pun dah buatkan abang air..”Ajak Mastura.Dia pandang Jebat yang nampak sangat menggelabah.

“Errr…takpelah! Cakap kat mak cik aku singgah sekejap aja..nanti petanglah aku datang balik” Jebat berniat nak beredar saja. Semacam aja aku tengok minah ni…pandang aku macam nak telan!

“Apa pulak macam tu..Tak baik tau! Mak cik Sari dah hidangkan makanan..”

“Takpelah…” Jebat menggeleng.

“Jebat? Kenapa tak masuk lagi?” Sarimah keluar.Dia mengerling Mastura yang berdiri di tepi pintu utama.

“Err..waktu Zohor dah nak masuk ni mak cik..biar saya balik ke kotej ajalah..solat dulu”

“Makanlah dulu..”

“Saya nak solat dulu mak cik…nanti kemudian saya datang ya?” Jebat rasa tak sedap hati.Cara Mastura memandangnya buat dia rasa tak keruan.Dia lelaki,walaumacamana menolak pun dia masih manusia biasa yang ada jiwa…Masya Allah! Jauhkanlah aku daripada godaan perempuan ni!

“Kau tunggu! Biar mak cik tapaukan aja…susah sangat! “ bebel Sarimah.Dia menghilang ke dapur.Tinggal Jebat berdua dengan Mastura.

“Abang Jebat duduklah dulu..tak penat ke berdiri?”
Jebat duduk juga di atas kerusi yang diletakkan di beranda rumah.Mastura pula duduk di atas buaian.Suasana sepi seketika.

“Emmm..Abang Jebat free tak hari Ahad nanti?”
Soalan itu buat Jebat mendongak.Gadis itu mengukir senyuman padanya.Astaghfirullah!! Cepat-cepat dia berpaling.

“Tak tahu lagi…Aku ni bukan kerja pejabat pun..mana ada istilah cuti..kalau kena hantar ikan..time tu jugak aku kena hantar..” Jawab Jebat.Kali ini pandangannya menghala ke tengah laman rumah Sarimah.Tengok pokok-pokok lagi baik daripada tengok dia…

“Alah abang Jebat ni…sekali sekala mintaklah cuti dengan abang long tu…bolehlah kita keluar jalan-jalan” Manjanya suara Mastura menyapa telinga.Naik meremang bulu tengkok!

Muka Jebat berkerut.Huish….ini kalau kak Hannah nampak aku berborak dengan adik dia…entah apa pulak dia fikir.Nanti dia ingat aku nak mengurat adik dia pulak!

“Aku tak suka pergi jalan-jalan…” Jebat berusaha mencipta alasan.Ini bukan kali pertama Mastura mengajaknya berbual..

“Kalau macam tu,apa kata hujung minggu ni abang Jebat ikut family Mas pergi pantai nak?”

“Aku tak suka pergi pantai…” Alasan lagi.

“Errr..kalau tak suka pergi pantai kita pergi tengok wayang nak? Makan-makan ke” Mastura masih tak berputus asa.ish! Payah jugak nak mengayat mamat kolam ikan ni!

“Minta maaflah…hujung minggu ni aku ada kelas tahsin Al-Quran dengan Ustaz Hafiz…kalau kau nak jalan-jalan..kau pergi cari lelaki lain…kan ramai kat luar sana.Kau tayang aja muka kau kat diorang..gerenti laku punya” Jawab Jebat dengan wajah bersahaja.Mastura tersentap.Ayat lelaki itu bagaikan menyampai maksud yang dia perempuan yang suka mencari lelaki untuk diajak berhibur.

“Abang Jebat ni sombonglah!!” Meledak marah Mastura.Jebat buat-buat tak dengar.

“Memang pun…”

“Ieeee….kenapa setiap kali Mas ajak abang berbual,abang asyik jual mahal aja?” Mastura hilang sabar.Tak pernah dalam hidupnya lelaki berpaling setiap kali dia berbicara! Kenapa liat sangat Jebat nak melayannya? Usahkan nak diajak berbual…pandang muka pun tak nak! Kira baiklah dia yang cun melecun ni mencemar duli mengurat lelaki.Biasa tu kaum lelaki yang berduyun menguratnya.Huh!

“Yang kau ni tiba-tiba emo kenapa? Suka hati akulah nak jadi sombong ke tak…Aku tak kacau kau pun kan? “
Mak oi…Jawapan dia memang sengaja nak memalukan aku!

“Okey! Lain kali Mas tak ingin tegur abang Jebat lagi dah..” Mastura bangun dari buaian.Arghhh!! itu tak jadi..ini tak jadi…dia nak aku buat macamana sebenarnya? Aku peluk kang baru tau!

“Lantak kaulah…Aku takde pun suruh kau tegur aku…kau tu yang perangai menggedik tak habis-habis nak mengurat aku…” Jebat makin selamba.Muka takde perasaan mengutuk Mastura.Biarlah! untung-untung dia tak kacau aku lagi dah…

“Perasan! Macamlah Abang Jebat tu handsome sangat sampai Mas nak mengurat abang!”

“Memang aku tak handsome pun…Kau tak buta kan? Rasanya kau nampak parut kat muka aku ni…itu bukti yang aku memang tak handsome! Lagi satu…masa bila pulak aku suruh kau panggil aku abang? “ Kali ini Jebat mula main kasar.Mastura gigit bibir.Memang nak ajak aku bergaduh ke? Sorrylah…aku nak ajak kau bercintalah….tak reti bahasa agaknya mamat ni! Takde jiwa ke apa? Tak handsome apa muka stok Louis Koo.Handsome gila! dari sudut pandangannya , orang lain mungkin tidak.Lama dia merenung lelaki berdarah kacukan Melayu dan Cina itu.Berkulit sawo matang dan matanya agak besar.Terdapat parut yang agak panjang dari arah kening hingga ke mata kanannya.

“Aku rasa kau ni dah desperate sangat kut….sampai aku pun kau nak try..”
Mastura terkedu.Sampai hati! Aku ni punyalah syok kat dia..tapi dia boleh pandang aku macam takde mata! Ini satu penghinaan yang tak boleh diterima!!

“Hah..Jebat! ini mangkuk tingkat..bawa balik…jangan lupa makan! Asyik kerja aja…”

“Baiklah mak cik…” Jebat ketawa bila dileteri.Mastura mengecilkan mata.Ewah…kalau dengan mak cik senyum sampai telinga.Takkan dia syok kat mak cik kut?? Taste dia makcik-makcik ke? Tidak!!
Mastura menarik nafas dalam-dalam.Berjeda dan memikirkan sesuatu.

“Abang Jebat…minta tolong boleh?” Mastura bersuara lembut.

“Tolong apa?”Jebat rasa pelik.Mantel ke apa dia ni? Dah macam obses pun ada…muka cantik tapi mak oi…daring habis! Terang-terang tunjuk isyarat nak menggoda.Astaghfirullah…janganlah aku terjebak dengan perkara maksiat…cukup-cukuplah dosa-dosa aku sebelum ni!

“Tolong hantar balik…”

“Tu, kereta kau ada kan…”

“Err…kereta tu Along nak pakai..nanti balik kerja dia ambil…” Cepat saja Mastura mereka alasan.Dia pandang Sarimah.Memberi isyarat minta bantuan.

“Kau tolonglah hantarkan Mastura ni…Lepas hantar dia balik,kau singgah la di surau kampung tu hah..” Sarimah masuk campur.Dia sudah naik pening dengan sikap Mastura yang tak putus asa

Jebat menghela nafas berat.Aku geram betul la dengan pompuan ni! Ada aja trick dia!!

“iyalah…”

Mahu tak mahu dia bersetuju juga.Sebenarnya,bukan dia bencikan adik ipar majikannya itu.Tak pula dia ada perasaan suka..Cuma dia tak mahu jadi bahan mulut orang kampung.Dia ke kampung itu bukan bertujuan untuk memikat anak sesiapa..tidak juga untuk mengambil kesempatan pada sesiapa.Dia hanya mahukan ketenangan dan memperbetulkan segala khilaf masa silamnya.Apatah lagi dia memang bukan jenis yang tahu tentang cinta.Dia pernah diajar segala-galanya tentang kehidupan dunia..tapi satu…dia tidak pernah diajar untuk belas kasihan mahupun menyayangi sesiapa..

Mastura mengukir senyuman.Kau buatlah macamanapun Jebat..Ada aku kisah? Kalau kau tak nak aku…aku nakkan kau! Kau lari…aku kejar! Sampailah kau setuju jadi suami aku!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

25 ulasan untuk “Novel : Bukan Kerana Aku Tak Cinta 1”
  1. MANA BUKAN KERANA AKU TAK CINTA KAT YOUTUBE TAK ADA PUN SAYA MAHU MENONTON EPISOD 34 SAMPAI EPISOD BARU SAYA NAK DOWLAND

  2. iman firdaus says:

    best gile novel ni

  3. adib says:

    Memang ‘halus’ novel ini dengan bahasa yang santai dan garapan penuh teka-teki. Suatu kejayaan yang besar buat novelisnya dengan mengembangkan setiap sudut watak untuk menjadikan plotnya menarik dan mengetarkan jiwa. Ramuan dan asam garamnya cukup terasa dengan disulami dengan petunjuk keagamaan dan jenaka tetapi serius yang menjadi sindiran sinis buat sesiapa yang mengerti dan halus jiwanya. Nilai novel ini lebih 5 bintang…

  4. Solehahahah says:

    Best.. Simple and fun.. Plot yg menarik.. Penulis berjaya menghidupkan watak dlm diri pembaca..

  5. hantu malam says:

    Terbaik boh…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"