Novel : Gempak Gadis Pizza 1

17 December 2012  
Kategori: Novel

1,378 bacaan 3 ulasan

Oleh : anabella

BAB 1

“Selamat datang ke Pizza Star.”

Suara Ika yang datang dari arah muka pintu restoran membuatkan aku memandangnya sekilas.Kelihatan gadis itu membuka pintu dengan senyuman lebar hingga ke telinga.Senyuman plastik yang sentiasa dilemparkan kepada semua pelanggan restoran itu setiap kali gadis genit itu menjadi host atau dengan kata nama lain,penyambut tetamu.

Dua pemuda yang berumur dalam lingkungan 30 an melihat Ika daripada atas hingga ke bawah dengan senyuman gatal.

“Boleh saya tahu,encik berdua hendak makan di sini atau ingin bungkus bawa pulang ke rumah?” Suara Ika masih lembut bertanya.Dua pemuda tadi masih tersenyum miang.

“Kalau abang nak bungkus cik adik yang comel ni untuk dibawa pulang ke rumah boleh tak?”

Pertanyaan biadap salah seorang daripada pemuda itu membuatkan telinga aku berdesing seketika.Mujurlah aku berdiri tidak jauh daripada kawasan pintu hadapan Pizza Star.Jika tidak mahu Ika terkulat kulat sendirian di situ.Segera saja kaki menapak ke arah sahabat baikku itu.

“Maaflah encik,restoran kami ni ada khidmat bungkus makanan je,bukan bungkus orang.Kalau encik berkehendak begitu, pergi cari dekat restoran lainlah.Itu pun saya tak jamin ada atau tidak.Kita berada di Malaysia.Sebuah negara Islam yang tidak mengamalkan permedagangan manusia.”

Tercengang seketika kedua pemuda itu apabila aku tiba-tiba saja menyampuk bicara mereka.Beberapa ketika mereka berdua tersipu malu.Mungkin menyedari kebodohan sendiri atas kepincangan menggunakan lidah yang dikurniakan.

Ika pula hanya tersengih-sengih.Terus saja dia membawa kedua pemuda itu ke meja kosong berdekatan memandangkan mereka berdua tidak ingin membungkus makanan untuk di bawa pulang.

“Cool lah lu beb,ayat power habis!” Farah yang sedari tadi hanya memasang telinga di kaunter juruwang,segera saja menerpa dan memaut bahu aku.

“Biasa jelah beb.” Aku menjawab malas sambil melemparkan senyuman senget.

Gadis berselendang itu tersenyum lebar seperti kebiasaan.Aku pula sudah masak benar dengan perangainya.Sama saja dengan Ika.Ceria memanjang.Entah petua apa yang digunakan dua gadis ini sehingga setiap hari pun mereka bisa tersenyum ceria menghadapi kerenah pelanggan yang pelbagai ragam.Jika diikutkan angin aku,mahu gulung tikar restoran itu.Kami berdua memandang kawasan luar daripada pintu berkaca lutsinar itu dan aku terdengar Farah mengeluh kecil.

“Kau tak bosan ke beb kerja kat sini?” Pertanyaan Farah tidak sedikit pun mengejutkan aku.Sudah sering kali pertanyaan begini ditanyakan oleh semua teman rapat aku yang sama bekerja di Pizza Star.Renungan mata Farah yang mengenakan kanta lekap bewarna kelabu itu aku pandang dengan satu keluhan panjang.

“Bosan.Tapi kita tiada pilihan lain selain daripada bekerja di sini. Sekarang bukan senang nak dapat kerja.”

Jawapan sama aku berikan kepada Farah dan gadis yang tua dua tahun daripada aku itu hanya mengangguk angguk kecil.

Sudah setahun aku bekerja di Pizza Star Kota Tinggi,Johor sebaik saja aku mendapat keputusan SPM.Keputusan peperiksaan aku bukanlah teruk sangat tetapi aku tidak terpilih untuk memasuki IPTA.Mungkin tiada rezeki.Niat di hati ingin menyambung pelajaran ke IPTS tetapi masalah kewangan keluarga menjadi penghalang.

Demi mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga,aku sanggup bekerja untuk menampung perbelanjaan sendiri dan menyimpan duit untuk perbelanjaan pelajaran kelak.Walaupun gaji di Pizza Star ini tidak mencecah nilai 1K,itu bukan alasan untuk aku mementingkan diri sendiri dengan menyerahkan tugas mencari rezeki kepada abah dan abang-abang aku sahaja.Aku sendiri perlu berusaha!.

Dalam era millennium ini,seorang gadis yang hanya mempunyai sijil SPM dalam tangan seperti aku,Ika dan Farah sememangnya tidak mempunyai peluang yang luas untuk memilih pekerjaan yang bagus.Graduan yang mempunyai diploma dan ijazah sudah ramai yang jadi penganggur.Inikan pula aku yang hanya mempunyai sijil SPM.

Peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang berkualiti hanya tinggal mimpi .Diterima bekerja sebagai salah seorang staf di Pizza Star ini pun sudah memadai buatku.

Pizza Star adalah sebuah francais yang terkemuka di Asia.Label francais ini sama saja dengan Pizza Hut,KFC atau MacDonald.Pizza Star diitubuhkan oleh seorang jutawan bernama Qi Wei Yi,lebih kurang enam puluh tahun lalu di Beijing,China.

Pizza Star berkembang pesat apabila cawangannya didirikan di setiap negara.Sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai menyebabkan cawangan Pizza Star bertambah setiap tahun.Hampir enam puluh tahun beroperasi kini Pizza Star memiliki lebih daripada seribu cawangan di Asia.

“Alangkah baiknya jika kita dilahirkan seperti dia..” Suara lembut Farah menyebabkan lamunan aku mati begitu sahaja.

Aku memandang ke arah papan iklan bersaiz gergasi yang terpacak megah berhadapan dengan restoran kami.Papan iklan yang membuatkan mata aku dan Farah tidak berkelip kelip melihatnya.Tanpa bicara aku tersenyum hingga ke telinga.

Terpamer cantik di atas papan itu wajah seorang pemuda yang amat tampan pada pandangan mataku.Pemuda itu memperagakan baju sukan jenama ‘Ace’ yang mana merupakan jenama paling laris masa kini.

Pemuda itu ialah Ace.Seorang penyanyi terkemuka dunia yang namanya melonjak naik dalam sekelip mata dua tahun lepas apabila dia menjuarai pertandingan nyanyian terbesar di Amerika Syarikat,World Idol.

Ace yang ketika itu baru berusia 16 tahun menjuarai pertandingan tersebut dengan suara merdunya yang tiada tandingan.Dalam masa dua tahun berkecimpung dalam dunia hiburan,kariernya tidak pernah sekalipun jatuh.Lahir daripada keluarga berada dan mempunyai perusahaan sendiri,Ace menjadi idola ramai gadis termasuk aku.Kini Ace memiliki syarikat hiburan sendiri.Bahkan dia juga telah mengeluarkan beberapa produk dengan jenama sendiri .Bukankah dia sangat bertuah?.

“Em…idola aku.Bintang aku.Dia memang dilahirkan dengan tuah.Alangkah bertuahnya aku jika dapat bertatapan mata dengan dia.” Senyuman Ace dalam papan iklan itu seolah-olah menusuk jauh ke dalam kalbu.Bilalah agaknya aku boleh bertemu dengan idola aku?.

“Tak payah nak bertuah sangatlah Cik Yuri.Berangan je kerja kau orang berdua ni.”

Suara Mak Ngah,penolong pengurus Pizza Star Kota Tinggi atau nama sebenarnya Noor Afiza Mazlan mematikan perbualan aku dengan Farah.Gadis yang berusia 26 tahun itu segera saja menyelit antara aku dan Farah yang sedang berdiri.Nasib baiklah tubuh gadis itu macam papan.Jika tidak,tiada maknanya aku hendak berdiri bersama mereka berdua di muka pintu itu.Nampaknya,Mak Ngah turut sama memerhatikan papan iklan Ace itu.

“Ya Allah,kenapalah Ace ni hensem sangat ya? Walaupun Mak Ngah tengok papan iklan tak bergerak tu setiap hari,tetap juga Mak Ngah nak puji wajah dia yang tampan tu.Bilalah Mak Ngah dapat bertatapan dengan dia ya?”

Paku dulang,paku serpih.Mengata orang dia yang lebih.Hampeh!.Mak Ngah pun dua kali lima dengan aku.Dia kata aku berangan memikirkan Ace.Sekarang,dia pun sama.

Farah hanya mampu ketawa kecil melihat gelagat gadis itu dan aku hanya menggeleng geleng kepala.Sudah masak benar dengan situasi sebegitu.

Mak Ngah adalah nama gelaran manja untuk penolong pengurus yang kurus kering itu kerana dia adalah anak kedua dalam ahli keluarganya.Selain itu,gelaran tersebut diberikan kerana mulutnya yang suka membebel macam mak nenek.Justeru,keseluruhan staf Pizza Star Kota Tinggi memanggil Fiza dengan panggilan Mak Ngah.

“Wow,cantiknya kereta!” Mata Mak Ngah membulat sambil melihat sebuah kereta BMW 5 Series bewarna putih molek terparkir di hadapan Pizza Star.

Aku dan Farah turut sama memerhatikan kereta mewah itu tanpa berkelip mata.Aduhai,macam orang jakun saja gaya kami bertiga.Ha,ha,ha.

Bukanlah jakun sangat sebenarnya.Cuma untuk orang seperti kami dapat memandu kereta seperti itu rasanya dalam mimpi sajalah.Aku?.Lesen pun tiada.Bagaimana mahu memandu kereta?.

Selang beberapa minit,keluar dua manusia daripada perut kereta mewah itu.Aku menelan liur.Pada mulanya aku ingatkan orang yang memandu kereta itu berbangsa cina.Namun,setelah melihat gadis yang keluar daripada kerusi penumpang mengenakan pashmina,maknanya orang melayulah tu.Eh,memandai je aku ni!.

Kedua manusia yang menarik perhatian kami bertiga itu berpakaian tebal seperti berada di musim salji.Walaupun aku tidak pernah ke luar negara,tetapi gaya pemakaian mereka itu sepertilah gaya para pelakon drama korea yang menjalankan penggambaran pada musim sejuk.Setahu aku,Malaysia tiada musim salji.Paling sejuk pun dekat Cameron Highland atau Genting Highland.Itupun suhu tidak mencapai 20 darjah celcius hingga tahap manusia di situ terpaksa memakai pakaian tebal seperti orang Eskimo.

“Gila ke apa,tengah hari buta pakai baju macam tu.” Nampaknya Farah sependapat dengan aku.

“A,ah,sejak bila pulak Malaysia ni ada musim sejuk.” Mak Ngah menyampuk.

Kami bertiga terus memerhatikan pasangan itu sehinggalah mereka menghampiri pintu Pizza Star.Ika yang entah bila muncul di belakang aku segera saja membuka pintu restoran dan Farah turut sama membantu.Aku dan Mak Ngah mengiring ke bahagian tepi agar tidak menghalang dua manusia itu memasuki restoran kami.

Bau semerbak harum menusuk hidungku sebaik saja pemuda yang mengenakan kaca mata hitam itu melintasi aku.Harumnya bau!.Pasti minyak wangi mahal ni!.Amboi,ke situ pulak kau Yuri!.

“Selamat datang ke Pizza Star!” Aku dan Mak Ngah tiba-tiba saja serentak mengucapkan kata-kata menyambut para pelanggan restoran kami sambil menundukkan kepala.Kemudian kami berdua berpandangan sama sendiri dan tersengih tak tentu pasal.

Bukan aku tidak tahu,Mak Ngah akan teruja untuk menyambut tetamu atau mengambil order pelanggan restoran kami yang kelihatan segak atau menarik perhatian walaupun itu bukan tugas utamanya.Lebih kurang sama saja dengan aku.Gatal lebih.Ha,ha,ha.

Sengihan aku mati begitu saja apabila bau haruman tadi tiba-tiba saja begitu dekat dengan aku.Apabila aku mendongakkan kepala,terasa tegak keseluruhan bulu roma di atas badan ini.Mata yang mengenakan kaca mata hitam itu kelihatan memerhatikan aku daripada jarak lebih kurang beberapa inci sahaja.Entah sejak bila dia berdiri begitu dekat dengan aku.Aku tidak perasan.

Automatik saja aku menapak beberapa langkah ke belakang menjauhinya.Walaupun mata pemuda itu tertutup,tetapi aku dapat merasakan sepasang mata itu tajam merenungku.

“Saya nak awak yang ambil pesanan makanan saya.” Ujar pemuda itu seraya mengajukan jarinya ke arah aku.

Alahai,lunaknya suara dia.Tapi,tunggu sekejap! Kenapa pula dia nak suruh aku yang ambil pesanan makanan dia?! Tak betul ke apa lelaki ini?.Belum sempat aku memprotes,pemuda itu sudah mengikut jejak langkah pasangannya yang tersengih sengih memandang aku.Aku,Mak Ngah,Ika dan Farah tercengang seketika.

“Kau kenal dia ke Yuri?” Farah bertanya dengan wajah teruja.

“Gila kau.Ada pulak aku kenalan yang berpakaian Eskimo dan berkereta mewah.Aku tak kenallah.” Jawapan aku jelas menambahkan persoalan di wajah sahabatku.

Tanpa menunggu lama,aku terus saja mengambil buku menu daripada tangan Ika dan mengejar langkah pasangan itu.Sepatutnya kerja menyambut tetamu dan menyerahkan menu dilakukan oleh Ika.Namun,atas permintaan khas pemuda tadi,aku terpaksalah mengikut.

Sakitnya hati aku bila pasangan tadi kelihatannya berpusing pusing dalam restoran untuk mencari meja yang sesuai untuk diduduki.Macam hendak buat lawatan pula gaya mereka berdua.Mujurlah memang salah satu daripada tugas aku untuk mengeskot pelanggan ke meja yang disukai mereka sebelum mengambil pesanan.Jika tidak,masakan aku sudi mengelilingi restoran itu hingga beberapa kali.

Akhirnya,selepas penat tawaf dalam restoran itu,kedua pasangan tadi mengambil keputusan untuk duduk di meja nombor 25.Sekali lagi aku diserang sakit hati.Punyalah banyak meja bersih yang tiada pinggan mangkuk,kutleri atau sisa makanan yang belum dikemas di atasnya,mengapa mereka berdua memilih untuk duduk di meja itu?.

“Maaf encik,cik,meja ni belum dikemas.Boleh tak kalau encik dan cik duduk kat meja yang bersih?”

Aku bertanya lembut sambil mengajukan ibu jari ke arah meja meja kosong yang tiada pelanggan.Masih banyak meja yang bersih dan kosong.Hendak juga duduk di meja yang kotor.Bodoh ke apa mereka berdua ini?

“Saya nak duduk dekat meja ni,awak ada masalah ke?”

Pemuda yang berkaca mata hitam itu bertanya sinis.Kelihatan hujung bibir merahnya yang menyenget ke tepi.Daripada memek muka pemuda itu sepertinya aku telah melakukan sesuatu yang menjengkelkan.Ringan saja tangan aku ingin menghadiahkan penampar pada wajah itu.Nasib baik pelanggan!.

“Oh,takde masalah,cume encik kena tunggu sebentarlah,saya nak panggil kawan saya untuk bersihkan meja ni.”

Aku tertinjau tinjau mencari kelibat staf yang bertugas mengemas meja pada hari tersebut.Selain aku,Kak Azimah juga bertugas sebagai servis hari itu.Bagaimana aku hendak mengemas meja seraya hendak melayan kerenah pelanggan itu.Tidak sanggup aku.Sudahlah pemuda itu berterusan merenung aku dari balik kaca mata hitamnya.Sementara perempuan muda yang tadi tersengih sengih memerhatikan pemuda di hadapannya.Aku pulak yang hangin satu badan melihat gelagat mereka berdua.

“Kenapa malas sangat,tak perlu buang masa tunggu kawan.Awak takde tangan untuk kemas sendiri meja ni ke? Awak staf servis juga kan?”

Menyirap darah aku apabila diperli pemuda itu.Malas untuk bertengkar,aku mengemas meja tersebut sepantas mungkin.Sepanjang aku mengemas aku perasan yang pemuda itu tersenyum sinis memandangku.Grr…sakitnya hati!.Setelah selesai mengemas,cepat saja aku meletakkan buku menu dan cuba berlalu.

“Awak nampak tak yang kami berdua? Kenapa bagi menu sekeping saja? Macamana saya nak tengok?”

Langkahku terhenti.Aku menyumpah dalam hati.Bagaimanalah boleh terlupa untuk membawa dua buku menu tadinya.Dengan perasaan sebal aku kembali berpaling ke belakang dan tersenyum ke arah pemuda itu.

“Maafkan saya.Saya terlupa.Saya pergi ambil satu lagi buku menu sekarang.” Pantas saja aku berlari ke kaunter juruwang dan mengambil sebuah buku menu yang tersusun cantik di situ.Kemudian aku kembali berlari ke meja nombor 25.

Jantung aku berhenti berfungsi dan aku terkesima seketika apabila bertatap mata dengan pemuda yang sudah menanggalkan kaca matanya itu.Dia juga tidak berkelip kelip.Ya Allah,kacaknya dia!.Bagaimanalah aku boleh tidak perasan ketampanan wajah pemuda itu sedari tadi.

“Saya tahulah saya hensem.Tak perlulah nak tenung saya macam tu sekali.Bak sini menu tu.”

Dia menarik buku menu daripada tanganku yang sedang berdiri tegak.Sebaik saja aku perasan senyuman sinisnya terus saja aku beristighfar perlahan.Wajahku terasa membahang.Alahai,kenapalah mata ini gatal sangat untuk merenungnya.Tidak tentu pasal kau dah kena perli Yuri!.

“Saya nak Seafood Lasagna satu dengan orange juice.” Gadis cantik yang berusia dalam lingkungan 20 an itu mula memesan makanan.Aku mencatat pesanannya ke atas sekeping kertas.Aku memandang pula wajah pemuda tampan tadi.Tiada tanda tanda yang dia sudah bersedia untuk memesan makanan.Sengaja menyeksa aku berdiri lama di sisi meja itu.

“Vin,cepatlah oder makanan.I dah laparlah..” Gadis itu merengek rengek kecil seraya memegang tangan pemuda tampan itu.Mungkin teman wanita dia.Nama pemuda itu Vin? Pelik saja bunyinya.

“Saya nak hati awak.”

“Ha?!” Hampir saja terlepas pen dan kertas yang aku pegang.Aku salah dengar ke?.

“Saya nak Pizza Hawaiian Chicken personal size dengan Iced Coffee.” Ujar pemuda itu.Aku terpinga pinga seketika sebelum menulis pesanannya.Sah,aku salah dengar!.

“Baiklah,hidangan akan siap dalam masa 20 minit.” Aku mahu cepat beredar daripada meja itu namun baru selangkah aku menapak sekali lagi pemuda itu memanggilku.

“Awak…”

Sebaik saja aku berpaling ke belakang,pemandanganku tiba-tiba saja gelap.Pantas saja aku menarik sesuatu yang menyelubungi wajahku.Sesuatu yang harum dan baunya seperti bauan yang aku hidu tadinya.Sekali lagi mata aku terbeliak apabila tanganku memegang sehelai jaket hitam tebal yang berbulu lembut.Jaket siapa lagi jika bukan jaket pemuda itu.

“Tolong sangkutkan jaket tu dekat tempat yang sepatutnya.Saya takut jaket saya kotorlah.” Pinta pemuda itu.

“Maaflah encik,Pizza Star bukan restoran bertaraf lima bintang sampai ada tempat penyangkut jaket bagai.Sangkut saja di kerusi.Encik bukannya budak lima tahun sampai makan pun berselerak sana sini.”

Selesai aku bersuara,segera saja aku mengambil jaket pemuda itu dan disangkutkan di atas kerusi kosong yang berada bersebelahannya.Belum sempat dia membuka mulut lagi,aku segera cabut lari.Dari kejauhan aku dapat mendengar gelak besar teman wanita pemuda itu.Mungkin mengetawakan teman lelakinya kerana telah disembur oleh aku.Rasakan!.

P/S:ubah suai daripada Cinta Si Gadis Pizza yg saya tulis separuh sebelum ini.Selamat membaca.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : Gempak Gadis Pizza 1”
  1. sarah says:

    nice,sy suka ngn perwatakan yuki ni.selamba

  2. ayush says:

    citer anabella kali nih baru leh hadam..haha..kena lah ngan jiwa ;) best2.. tunggu next entry :) ace?? nama kartun…saya suka2

  3. owh ubahsuai balek eh… patot la mcm pernah bace…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"