Novel : Cinta Jangan Kau Pergi 1

21 January 2013  
Kategori: Novel

5,540 bacaan Jom bagi ulasan

Oleh : HANAH RISHAS

BAB 1

ORANGNYA cantik. Memang cantik. Sekali pandang persis anak berdarah kacukan walau hakikat gadis yang baru diperkenalkan kepadanya itu berdarah melayu tulen. Agaknya sewaktu si ibu hamil, terlalu mengidam anak secantik bulan purnama penuh. Maka lahirlah si cantik itu yang kini tersenyum simpul di depan mata.

Renungan mata Tengku Hanif tidak ralit pun memerhatikan gadis yang bernama Puteri Suriani Muhammad Ikbal itu. Hanya sesekali sahaja melirik ke arahnya. Senyuman juga hanya sedikit terlukis di bibirnya.

“Mama, Hanif nak keluar kejap,” beritahu Tengku Hanif, separuh berbisik. Dia hendak bangun tetapi Datin Sabrina sempat merentap hujung seluarnya. Terduduk dia semula di situ.

Datin Sabrina mengawal keadaan ketika itu. Saat bertembung mata dengan Puan Juhana, Datin Sabrina mengulum senyuman. Anak teruna yang tidak senang duduk digerling tajam. Tidak dilepaskan hujung seluar Tengku Hanif. Kalau terlepas, tentu Tengku Hanif terus cabut lari.

“Suka betul saya tengok anak gadis awak ni, Juha. Cantik, manis, ayu,” puji Datin Sabrina.

Puteri Suriani yang mendengar pujian itu semakin tersipu-sipu. Menunduk merenung lantai berserta senyuman kecil.

“Kalau duduk berdamping dengan anak kita ni, memang sesuai sangatlah!” Datin Sabrina menambah lagi.

“Eh, anak kita ni biasa-biasa aje kalau nak dibandingkan dengan Hanif tu.” Puan Juhana merendah diri. Hendak dibandingkan pangkat dan taraf hidup mereka dengan keluarga itu memang jauh. Tengku Hanif anak orang kaya yang cukup terkenal di dalam negara ini. Bukan hanya berjaya di dalam menguruskan syarikat papanya, malah Tengku Hanif membawa imej sangat berkesan di dalam bidang peragaan. Andai Puteri Suriani, satu-satunya anak perempuan di dalam keluarga itu boleh menjadi isteri kepada Tengku Hanif, cerah masa depan.

“Nak ke mana? Kita tak habis lagi ni.” Mencerlung mata Datin Sabrina. Suaranya mendatar dan kedengaran tegas.

Tengku Hanif mengeluh halus. Bosan! Perlu berdepan dengan orang-orang yang tidak dia kenali. Sejak dua menjak ini, kerap benar Datin Sabrina mengajak dia keluar makan bersama kawan-kawan mamanya.

Motif utama? Apa lagi kalau bukan mencari bakal menantu di rumah besar mereka!

Tengku Hanif enggan menuruti kata-kata Datin Sabrina dan bingkas bangun. Puan Juhana dan Puteri Suriani serentak memerhatikannya.

“Saya nak ke tandas sekejap,” ujarnya sebelum angkat kaki pergi dari situ.

Selamat! Tengku Hanif mengurut dada. Di sebalik dinding, Tengku Hanif mencuri-curi pandang ke arah Puteri Suriani. Hatinya dipagut perasaan menyampah. Plastik! Tidak dinafikan Puteri Suriani mampu menggegarkan hati sesiapa sahaja dengan senyuman manis bak gula itu tetapi awas, senyuman itulah yang bakal menjerat sang arjuna dengan perasaan kasih sayang sehingga mampu membuat hati kecewa.

TENGKU HANIF berpaling ke belakang apabila terasa bahunya dicuit seseorang. Seraut wajah cantik itu terlayar di ruang mata. Seketika cuma dia membalas renungan itu sebelum kembali berkalih memandang pemandangan di depan sana.

Puteri Suriani berdiri hampir dengan Tengku Hanif. Apabila Tengku Hanif duduk, dia juga mengambil tempat di sisi lelaki berkarisma itu. Sesekali mengerling ke arah Tengku Hanif yang masih pegun matanya memandang ke hadapan.

“You memang suka termenung ya?” Puteri Suriani memulakan bicara.

Senyap. Hanya terdengar Tengku Hanif menghela nafas panjang. Serentak Puteri Suriani menoleh.

“Let’s make this clear, Puteri Suriani.”

Tidak berkalih anak mata Puteri Suriani. “Clear what?” usulnya.

Tengku Hanif berdehem beberapa kali sebelum kembali menyambung bicara. Dia menghadap Puteri Suriani. Perlahan-lahan, tubuhnya merapati Puteri Suriani yang nyata terkejut dengan tindakannya. Puteri Suriani mengengsot sedikit menjauhi Tengku Hanif.

“I know you, Suri,” kata Tengku Hanif. Senyuman sinis muncul dipinggir bibir itu.

“You tahu apa?” Dalam gugup, Puteri Suriani melontar pertanyaan.

Spontan Tengku Hanif langsung ketawa. Kedengaran tawa itu dibuat-buat.

“You tinggalkan Redza sebab nak muncul depan I, kan? If tak salah, before Redza, you dengan Datuk Manaf, si tua beristeri tiga yang tak sedar diri tu. Am I right, Suri?”

Membulat mata Puteri Suriani mendengar kenyataan Tengku Hanif. Dia berdiri.

“You jangan nak cakap macam-macam!” bentak Puteri Suriani.

Tengku Hanif ketawa lagi.

“So I salahlah? Oh, I am sorry. Maybe I nampak kembar you kot. But yang I tahu, menurut mama I, you ni anak perempuan tunggal dalam keluarga you tu. The only ones. So, takkan tiba-tiba you ada kembar, kan? Hah, maybe I salah tengok kot time I terperasan you dengan Datuk Manaf dulu.”

Omongan Tengku Hanif memanah tepat ke muka Puteri Suriani. Mukanya naik merah menahan amarah dan rasa malu.

“You ni kan… memang…!” Jari telunjuk Puteri Suriani tegak sembilan puluh darjah.

Tengku Hanif mempamer senyuman sinis lagi.

“Kalau you fikir you boleh buat kat I macam mana you buat kat Redza tu, you are wrong dear. Walau I tak pernah kenal you, tapi I tahu you siapa. Seronok ye bercinta dengan orang kaya, berduit ni. You boleh dapat apa yang you nak, kan?”

Tengku Hanif berjeda buat seketika sebelum kembali menyambung, “For your information, I tak kaya pun. Yang kaya papa I tu. Tak semestinya semua harta dia akan jatuh kat I. Entah-entah dia wasiatkan semua harta dia kat Baitulmal.”

Puteri Suriani sudah tidak dapat menahan telinganya menadah setiap butir bicara penuh sindiran padanya. Menanah telinganya. Terus terdiam dia tanpa kata. Hendak berpaling muka mengadap Tengku Hanif pun dia enggan. Malu sebenarnya. Tidak pula dia tahu Tengku Hanif mengenali Redza, anak seorang usahawan yang agak terkemuka di ibu negara. Dan dia tidak menyangka Tengku Hanif mengetahui hubungan sulitnya dahulu dengan Datuk Manaf.

“Eh, nak ke mana tu?” tanya Tengku Hanif, seolah-olah bertindak menghalang Puteri Suriani daripada pergi.

“Balik,” jawab Puteri Suriani.

“Next time kita jumpa lagi, nak?” Giat sungguh Tengku Hanif mengambil peluang mengenakan Puteri Suriani.

Puteri Suriani tidak membalas ajakan Tengku Hanif kerana sekarang ini dia berasa malu. Sangat malu sehingga tidak sanggup berdepan dengan lelaki itu. Menonong dia jalan meninggalkan Tengku Hanif yang sudah tersenyum lebar.

“APA Hanif buat tadi? Lain benar mama tengok Suriani tadi. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba dia ajak mak dia balik.” Laju langkah Datin Sabrina menyaingi Tengku Hanif. Datin Sabrina percaya anak terunanya ini ada buat onar sehingga membuatkan Puteri Suriani berkecil hati lantas meminta diri lebih awal. Belum sempat hendak berkenal-kenalan lebih lanjut dengan gadis cantik itu.

“Mama tanya ni.” Datin Sabrina bersuara lagi.

“Tanya apa?” Pendek sahutan Tengku Hanif.

Datin Sabrina menarik lengan Tengku Hanif. Terdorong tubuh tinggi itu ke belakang.

“Hanif buat lagi ye?”

“Buat apa, ma? Hanif tak ada buat apa-apalah kat perempuan tu.”

“Tengok sini.” Datin Sabrina meletakkan kedua belah tangannya di pipi Tengku Hanif. Naik muncung mulut Tengku Hanif apabila Datin Sabrina menekan pipinya. Sekali pandang macam muncung itik.

“Dah berapa kali pertemuan berakhir dengan keadaan macam ni? Cuba Hanif kira.”

Tengku Hanif memandang ke atas. Kali ke berapa? Entah. Yang dia tahu, lebih dari tiga. Sedikit? Baginya itu cukup banyak dan dia selalu berdoa supaya tidak akan ada lagi pertemuan seperti ini lagi kerana baginya semua perempuan itu tidak ikhlas berkawan dengannya. Siapa yang tidak mahu dijodohkan dengan lelaki yang dipandang berharta seperti dia.

Puas ditolak tetapi Datin Sabrina tetap berusaha memadankan dia dengan anak-anak gadis teman yang dikenali mamanya. Dia rimas. Hendak menentang lebih-lebih, nanti lain pula jadinya.

“Esok…”

Tengku Hanif pantas mencelah. Seakan mengetahui apa yang hendak disampaikan Datin Sabrina.

“Lagi?” Kening Tengku Hanif berkerut-kerut.

Datin Sabrina mengusap lembut bahu satu-satunya anak yang dia punya hasil perkahwinan dengan bekas suaminya dahulu, Tengku Ali.

“Mama buat semua ini untuk Hanif tahu. Hanif tu, tak pernahnya nak bawa bakal menantu mama datang rumah.”

“Macam mana nak bawa balik. Hanif bukannya ada sesiapa pun,” dengus Tengku Hanif. Langkah pertama diatur pergi. Datin Sabrina mengekor rapat di belakang.

“Dah tu?”

“Malaslah mama. Tu, semua perempuan yang mama bawa jumpa Hanif tu, bukannya ikhlas nak berkawan dengan Hanif. Masing-masing nampak Hanif ni macam guni emas.”

Datin Sabrina kematian kata. Acap kali Tengku Hanif menutur kata itu. Bagi Tengku Hanif, semua orang yang hendak berkawan itu tidak pernah ikhlas. Walhal ada sahaja yang benar-benar ingin mengisi kekosonggan di dalam hati itu.

“Dah memang betul Hanif tu guni emas,” usik Datin Sabrina.

“Yang guni emas tu papa, bukan Hanif. So buat apa pandang Hanif. Pandanglah papa.”

“Amboi! Nak suruh orang pandang suami kita pulak.” Datin Sabrina mencekak pinggang.

Tengku Hanif ketawa mengekek.

“Mama tunggu sini kejap. Hanif pergi ambil kereta.”

“Hanif, esok ikut mama ya.”

“Alah mama. Tak mahulah. Mama kasi ajelah anak dara yang mama nak kenalkan kat Hanif tu kat orang lain. Kalau Hanif nak kahwin, Hanif cari sendiri.”

“Tak boleh. Hanif kena ikut jugak,” desak Datin Sabrina.

“Siapa pulak kali ni, mama? Anak siapa?”

Datin Sabrina tersenyum simpul. Pastinya Tengku Hanif cukup kenal dengan orang yang bakal disebut namanya. “Anak Tuan Harun. Kathy.”

“What?!” Hampir terkeluar anak tekak Tengku Hanif. Kathy? Tergeleng-geleng kepalanya. Dia lebih rela berjumpa dengan orang lain daripada berdepan dengan perempuan yang tidak pernah kenal tatasusila budaya timur.

“Hanif kena ikut mama jugak esok.”

“Kenapa perempuan tu, mama? Tak ada orang lain ke?”

“Eh, bukan main lagi. Sebelum ni tak mahu. Lepas tu, bila mama sebut nama Kathy aje, terus suruh cari orang lain. Dah, mama dah malas dah. Semua buat muka mama ni tebal dengan perangai Hanif tu. Tak boleh nak bercakap baik dengan anak-anak mereka. Sekarang ni fokus mama kat Kathy aje. Boleh tahan cantik jugak Kathy tu. Mama dah lama suka dia.”

“No, no, no.” Tengku Hanif menolak. Dia mahu cepat-cepa pergi dari situ.

“Hanif!”

“I don’t think so, mama,” laungnya sebelum menghilang dari pandangan mata Datin Sabrina.

TENGKU HANIF memandang kiri kanan. Kemudian matanya berkalih pada sebuah motosikal yang diparkir betul-betul di belakang keretanya. Di tengah panas terik macam ini, ditambah dengan halangan yang ada depan mata, memang cukup untuk menaikkan suhu amarahnya. Telefon pula sudah beberapa kali berdering. Datin Sabrina bertanya kenapa dia lambat sangat.

Ini semua gara-gara motosikal buruk inilah! Sudah tahu hendak lama-lama, janganlah di parkir kenderaan ini di sini. Menyusahkan orang lain. Tengku Hanif terus membebel geram dalam hati. Mundar-mandir dia di situ di bawah terik mentari.

“Adoi!”

Teriakan suara itu mengejutkan Tengku Hanif. Mengecil matanya melihat jauh ke depan. Seorang gadis sederhana tinggi jatuh terjelepuk di atas jalan. Gadis itu bangun sendiri, mengibas baju yang dipakai dan mengutip barang-barang yang terkeluar daripada beg yang dibawanya.

“Apa punya orang. Dia ingat aku ni robot agaknya. Salah siapa? Aku ke? Eh, bukan! Salah dia. Siapa suruh tukar pesanan. Dia ingat senang ke nak gubah bunga yang macam-macam tu? Huh, tiba-tiba nak naik angin pulak.”

Nurul Ain berdiri tegak sambil mencekak pinggang. Sesekali nafasnya turun naik. Penat berkejaran dari kedai ke tempat ini. Dengan kesesakan lalu lintas lagi. Mujur dia naik motosikal. Kalau naik kereta, jawabnya lagi teruklah dia dimarahi perempuan gila itu. Pasal bunga lambat hantar pun naik hantu. Pelik betul.

Oleh kerana terlalu letih, Nurul Ain mengambil keputusan untuk duduk di atas motosikal terlebih dahulu. Biar hilang lelahnya dahulu.

“Ehem!”

Nurul Ain terperanjat. Cepat-cepat dia berdiri.

“Can you…” Tengku Hanif tidak menghabiskan kata-kata sebaliknya dia menggunakan isyarat mata sebagai tanda menyuruh Nurul Ain segera mengalihkan motosikal itu.

“Oh, maaf,” tutur Nurul Ain. Kelam-kabut dia mengalihkan motosikal miliknya.

“Menyusahkan orang!” Tengku Hanif bersuara tegas.

Nurul Ain menunduk menekur jalan berturap. Sedar kesilapan diri. Tetapi dia bukannya sengaja. Dia terburu-buru menghantar jambangan bunga itu. Tidak cukup tanah dia lari tadi. Mana sempat hendak cari parking bagai. Penyelesaian paling cepat, dia tinggal sahaja motosikal itu di situ.

Tengku Hanif melemparkan renungan tajam ke arah Nurul Ain. Dengan penuh lagak, dia berjalan ke arah keretanya. Pintu kereta dibuka luas. Sekali lagi dia melempar pandangan ke arah Nurul Ain.

“Lain kali jangan letak sembarangan motosikal buruk ni,” tambahnya.

Berdesing telinga Nurul Ain. Kenderaan yang banyak berbakti padanya ini dipanggil buruk oleh lelaki itu? Hari ini semua orang hendak marah padanya. Di kedai tadi, Kak Nirmala marah padanya kerana salah kira stok. Hantar bunga kepada Sherry pun dia kena marah. Sekarang, lelaki berlagak yang berpakaian kemas ini pula memarahinya. Ingat dia apa? Anger bag?

“Jaga sikit percakapan tu!” herdik Nurul Ain.

Tengku Hanif menoleh.

“Apa?”

Nurul Ain mengetap bibir. “Awak kata motosikal saya buruk.”

Tengku Hanif menjungkit bahu.

“Memang betul, kan? Sekali jatuh, berderai semua komponen.” Di hujung bicara, tawa Tengku Hanif bersahutan.

Buku lima Nurul Ain digenggam padu. Tunggu masa dihayun ke muka Tengku Hanif.

Nurul Ain bertindak menyepak kereta BMW milik Tengku Hanif sekuat hati. Biar terbalas sikit rasa sakit hatinya terhadap lelaki berlagak itu.

Tengku Hanif tersentak. Berani sungguh budak perempuan ini!

“Woi!”

“Kenapa? Marah?” sindir Nurul Ain.

“Kau ingat kereta ni beli pakai kertas ke?”

“Habis kau pun ingat motosikal aku ni layak kena hina macam yang kau kata tadi? Minta maaf sekarang.”

“Minta maaf? Kau gila. Kau nak aku minta maaf kat motosika buruk kau tu?”

“Minta maaf sekarang.” Nurul Ain semakin berani. Dia menentang mata Tengku Hanif tanpa sedikit perasaan gentar pun.

“No way!”

Kolam mata Nurul ain berapi. Sakit hatinya. Dasar kurang ajar! Lelaki itu fikir darjatnya tinggi bila bawa kereta mewah. Nurul Ain menyepak kaki Tengku Hanif. Tengku Hanif mengaduh kesakitan. Nurul Ain tersenyum puas.

“Kau… kau!” Tengku Hanif tidak berdaya hendak mengeluarkan kata-kata. Sakit kakinya melebihi segalanya. Perempuan itu sepak pakai kaki ke batu? Sakit betul!

“Berani kau sepak kaki aku!”

“Berani kau kutuk motosikal aku.” Nurul Ain membalas dengan senyuman mengejek. Dia bersiap-siap hendak pergi dari situ.

“Kau tahu tak aku siapa? Aku Tengku Hanif anak lelaki Datuk Awang Kader, seorang ahli perniagaan berjaya di negara ni. Aku boleh saman kau sebab kau serang aku!”

Tengku Hanif menabik dada sendiri. Bangga memberi kenyataan tentang status anak orang kaya yang dipegangnya.

Nurul Ain mencebik. “Ada aku kisah? Aku tak hairanlah dengan anak orang kaya macam kau!”

“Woi! Hoi, pendek. Hoi!” Terjerit-jerit Tengku Hanif memanggil Nurul Ain. Nurul Ain buat pekak telinga. Puas hatinya. Kereta dapat, tuan kereta berlagak itu pun kena. Nurul Ain terus menunggang motosikal pergi dari situ.

Terhenjut-henjut Tengku Hanif berjalan. Nampak kecil tetapi tenaga perempuan itu begitu luar biasa. Keberaniannya juga menakjubkan. Tengku Hanif terduduk di kerusi kereta. Kakinya masih sakit.

Perempuan tu tidak mengendahkan kenyataannya. Malah terus pergi tanpa sebarang kata. Lain benar dengan perempuan-perempuan yang pernah dia temui. Teringat ketika dia dimarahi oleh seorang gadis gara-gara tertumpahkan minuman yang dibawanya. Mula-mula marah, tetapi apabila sudah mengetahui siapa dia sebenarnya, langsung perempuan itu berlembut dengannya. Dasar plastik!

Menungan Tengku Hanif terbantut apabila telefon bimbitnya berdering. Ya Allah, dia terlupa. Tentu Datin Sabrina lama menunggu di pintu masuk tadi.

“Hai sayang!”

Bagai hendak tercabut jantung tatkala suara itu mencecah gegendang telinga. Fikirnya Datin Sabrina yang menelefon.

Kathy?




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"