Novel : Jika Mawar Pudar Warna 10

10 January 2013  
Kategori: Novel

3,160 bacaan 8 ulasan

Oleh : inaisa

BAB 10
Nasi di dalam pinggan dikuis-kuis, ingatannya masih menerawang ke suatu pertemuan tidak di duga tengahari itu. Kecewa dan sesal datang menikam hati yang semakin hilang rasa dan keindahannya.

“Hai Amira, lama tak jumpa!” Amira menoleh sewaktu namanya ditegur seseorang. Wajah manis dihalakan kepada insan yang menegur, senyuman terpamerm indah. Namun saat mata menentang pandangan itu, Amira kaget. Senyuman layu dan mati dengan sendirinya! Insan yang sedang berdiri di hadapannya adalah insan yang sama sekali tidak mahu diingati apatah lagi untuk ditemui seperti ini.

Apakah erti pertemuan ini? bicara hati menyoal diri. Amira tundukkan semula wajahnya, tidak betah memandang wajah lelaki yang pernah mengukir derita dan sesal yang tiada berpenghujung. Seketika dia mencari kelibat Taufiq, lelaki itu sudah jauh ke hadapan bersama Alisya. Amira mahu segera ke sana, tidak mahu diganggu oleh lelaki berkulit cerah dan bermata kuyu itu.

“Awak sihat?” ujar lelaki itu bersama segaris senyuman. Amira mengangguk sahaja, bicaranya sudah tiada. Lidah juga kelu menutur kata.

“Lama tak jumpa awak, boleh kita berbual sebentar.” Pinta lelaki itu membuatkan Amira berasa tidak senang. Dengusan kecil kedengaran menyapa gegendang telinga. Lelaki itu tersenyum dan tetap menguntum senyum seperti di awal-awal tadi.

“Sekejap sahaja,” pohon lelaki yang kemas dalam persalinan kasual. Amira panggung wajahnya untuk seketika, wajah lelaki yang sudah lama lenyap dalam hidupnya dipandang sekilas. Untuk apa lelaki yang sudah di buang jauh dari sekeping hati miliknya, kembali ke dalam hidupnya sekali lagi?

“Maaf, saya sibuk. Lain kalilah,” gumam Amira berundur setapak berkira-kira untuk berlalu mendapatkan Taufiq. Dia ingin bersama Taufiq, dan dirinya rela di amuk dan dikasari lelaki itu dari berhadapan dengan lelaki yang masih tersenyum di sisinya ketika ini. Nafas dihela keluar, satu keluhan kecil kedengaran perlahan.

“Amira,” jelas dan nyata individu bernama Amira sedang disapa oleh lelaki itu. Amira menghentikan langkah, terdiam dan terpaku. Suara yang dirindu dan suara itu juga yang amat dibenci!

“Awak masih marahkan saya lagi?” soal lelaki itu perlahan. Amira diam membisu, angguk tidak geleng pun tidak.

“Saya minta maaf, saya mengaku kesalahan saya. Maafkan saya,” gumam lelaki itu menapak perlahan lalu melepasi kedudukan Amira yang sedang berdiri. Amira hentikan langkahnya, mengeraskan tubuh dan kaku tidak berganjak.

“Amira,” panggil lelaki itu sekali lagi memohon Amira sudi meluangkan masa untuknya. Amira ketap bibir, untuk apa Edrian mencari dirinya lagi? Kisah mereka telah lama berakhir. Tiada apa yang bersisa melainkan dosa dan noda yang menjerut hatinya selama ini.

“Saya tak nak cakap apa-apa Edri, saya mahu lupakan semua kisah silam kita. Tolong biarkan saya sendiri, jangan ganggu dan muncul dalam hidup saya lagi.” Pinta Amira berharap lelaki yang di sapa Edri sudi menghulur kesempatan agar dia tidak diganggu lagi demi memberi sedikit sisa kebahagian padanya untuk meneruskan hidup yang tiada arah tujuannya.

“Amira,” panggil Edri mengukir senyum.

“Ya,” balas Amira perlahan. Sekilas wajah Edrian ditatap lama. Sudah banyak berubah tentang lelaki itu, matang dan tampak elegan. Berbeza sungguh penampilan itu berbanding tiga tahun lalu.

“Lama saya cari awak, hari ini harapan saya tercapai juga,” terang Edrian telus dengan kata hati.

“Lupakan saya Edri, jangan cari saya lagi.” Tutur Amira lirih. Kehadiran lelaki yang suatu ketika dahulu pernah memberi harapan, menyulam rasa bahagia dan pernah menabur janji sehidup semati kini tidak lagi diperlukan. Tiada apa yang berubah, yang tinggal hanya kenangan pahit dan kesal yang tiada berpenghujung. Amira tunduk menekur lantai, hatinya mula dipagut sebak dan sesal yang datang bertimpa.

“Amira, boleh kita berbual sebentar.” Pinta lelaki itu lembut menutur bicara. Amira geleng kepalanya, tidak sudi memenuhi hajat Edrian. Pujuk rayu lelaki itu suatu masa dahulu membuai hati hingga dia tersasar jauh, lalu ditinggalkan lemas sendirian merenangi lautan duka yang dicipta oleh mereka berdua.

Oleh kerana itu, Amira enggan peristiwa lama berulang lagi, kesal yang bersarang di dalam hatimasih terasa hingga ke hari ini. Namun tiapa apa yang mampu diubah! Segalanya telah menyekat kebahagian yang pernah singgah selepas kasih bersama Edrian terlerai ikatannya. Peristiwa lama mengikat dan merantai sekeping hati lalu menjadi ia sekeras batu di dasar lautan yang dalam.

“Maafkan saya Edri, saya sibuk. Saya ada kerja!” alasan dihulur lantas langkah kaki diatur laju meninggalkan perkarangan tempat meletak kereta. Edrian hela nafasnya perlahan, tidak menyangka insan yang lemah lembut dan ayu seperti Amira berubah laku dalam sekelip mata. Hati itu keras, semuanya kerana salah dan khilafnya dahulu.

“Amira, maafkan aku.” tutur Edrian memerhatikan tubuh itu menjauh meningalkan dirinya sendiri.

“Kenapa tak makan?” pertanyaan Taufiq membuatkan Amira tersentak. Wajah yang tertunduk memerhatikan pinggan yang masih tidak terusik di angkat membalas pandangan lelaki itu.

“Cepatlah makan, aku nak balik ni!” tutur Taufiq menarik tisu keluar dari kotaknya. Amira angguk sekali, suapan nasi yang masuk ke mulut bagai tiada perasanya. Selera itu mati sedangkan sebentar tadi, mindanya mengatakan dia sedang kelaparan. Sudu dan garfu diletakkan di sisi pinggan lalu di tolak sedikit kehadapan. Seleranya mati! Gelas berisi jus oren digapai lalu disisip perlahan. Taufiq yang menyedari perubahan Amira, sekadar memerhati melalui ekor matanya, tiada keinginan untuk bertanya lanjut.

“Amira, dah habis makan?” Alisya yang baru tiba menegur manja. Amira angguk sahaja.

“Lamanya awak ke toilet!” soal Taufiq dibalas dengan senyuman menggoda.

“Lama ke? Saya rasa macam sekejap je. Sorry la, tadi saya cuci hujung kemeja ni. Tertumpah air,” terang Alisya meliuk lentok bicaranya. Amira menoleh ke sisi, cebikan terbias di pinggir bibir itu. Tidak berkenan dengan kelakuan Alisya yang menggedik.

“Kalau semua dah habis makan, kita balik ofis. Petang ni saya nak keluar, ada lawatan ke tapak projek kita di Serdang.” Gumam Taufiq seraya bangkit. Mereka juga menurut tingkah lelaki itu, bangkit dan merapatkan semula kerusi yang digunakan. Itu yang selalu dipraktikkan oleh Amira sejak dahulu lagi.

“Jadi awak masuk pejabat ke tidak?” soal Alisya sudah seiringan langkah bersama Taufiq. Amira hanya mengekori keduanya dari arah belakang. Fikirannya masih mengingatkan akan Edrian yang tidak sengaja ditemui setelah sekian lama lelaki itu berada di luar negara. Kasih yang cuba disemadikan bersama duka yang pernah mencarik hatinya dahulu bagai tidak kesampaian. Lelaki yang menabur benih kesakitan dan kesengsaraan itu muncul sekali lagi. Dimana harus diri itu dibawa pergi , agar jauh dari seorang lelaki bernama Edrian. Amira tertunduk menahan sebak!

“Amira,” namanya sekali lagi kedengaran dipanggil seseorang. Air mata yang bergenang di seka laju, wajah dipanggung mencari arah datangnya suara yang memanggil. Taufiq dan Alisya yang sudah kehadapan juga menoleh mencari individu yang menyebut sebaris nama milik Amira.

“Edrian?” sebaris nama milik lelaki yang dibenci terlantun keluar.

“Maaf, sekali lagi saya ganggu awak. Kalau awak tidak keberatan, sayamahukan nombor telefon awak. Boleh?” pertanyaan dan permintaan dua dalam satu Edrian digeleng sekali. Amira enggan punyai sebarang hubungan apatah lagi kaitan dengan lelaki bernama Edrian jejaka kacukan Melayu-Cina itu. Taufiq jauh di hujung sana, memerhati tanpa sebarang reaksi. Tenang sahaja lagak gayanya!

“Edri, jangan ganggu saya lagi. Saya tak mahu sebarang hubungan dan kaitan dengan awak. Jangan cari saya,” ujar Amira meneruskan langkahnya.

“Amira, tak mungkin awak buang saya semudah itu. Kita masih ada ruang dan peluang untuk jernihkan keadaan. Kita masih belum terlambat Amira,” ucap Edri menyaingi langkah wanita yang suatu ketika dahulu teratas di hatinya.

“Maaf Edri, peluang dan ruang untuk semua tu sudah tertutup dan tak mungkin terbuka lagi. Saya tak perlukan mana-mana lelaki, dan saya boleh hidup sendiri!” gumam Amira tegas menyusun kata.

“Saya tahu saya hancurkan hati awak, saya rosakkan segalanya dan saya biarkan awak sendirian menanggung beban perasaan. Tapi saya dah sedar, saya dah insaf dan saya ingin tebus kekhilafan kita. Beri ruang pada saya Amira, cukuplah walau sekali.” Patah bicara Edrian membuatkan langkah yang diatur laju berubah perlahan lalu terhenti dengan sendirinya. Amira telan liur, tidak menyangka terlalu mudah Edrian mengungkap kata.

“Buka pintu hati awak untuk terima saya dan kita mulakan semuanya sekali lagi.” Gumam Edrian berharap wanita yang sedang dirayu kembali semula kepada hatinya yang derita merindu.

“Mudah untuk awak! Sukar untuk saya,” pandangan tajam dihadiahkan kepada lelaki itu lantas langkah kaki diatur semula meninggalkan Edrian yang terpinga-pinga.

“Amira, saya mohon kebaikan dari awak. Awak yang saya kenal bukan begini, bukan keras dan kasar seperti ini. Awak terlalu banyak berubah, saya tahu semuanya berpunca dari silap saya. Please…. beri peluang untuk saya tebus segalanya.” Lirih suara Edrian menutur kata tidak sedikit pun berbekas di hati seorang wanita yang sudah lama disakiti. Tiada lagi ruang dan peluang untuk mana-mana lelaki menghuni hatinya. Itu tekad dan janji Amira pada dirinya sendiri! Langkah tetap di atur laju.

“Saya akan kembalikan Amira saya seperti Amira yang pernah saya ada dahulu.” Gumam Edrian masih sempat singgah ke pendengaran Amira. Wajah itu tegang dan sedikit keruh menahan perasaan kecewanya.

“Saya nak balik,” ujar Amira sebaik langkah kaki yang diatur tiba ke kereta milik Taufiq. Laju sahaja pintu kereta ditarik dari luar lalu tubuh di henyak ke seat penumpang di bahagian belakang.

Taufiq dan Alisya yang menyaksikan adegan keduanya sebentar tadi, hanya diam tidak bersuara. Tidak memahami punca dan sebab musabab kedua-dua mereka bagai membalas hujah. Namun di benak kecil Alisya, keinginan untuk mengetahui latar belakang Amira bagai tidak dapat dibendung lagi. Apa hubungan yang tersembunyi antara Amira dan Taufiq, dan apa pula kaitan lelaki kacukan itu dengan Amira. Alisya diam membisu! Bungkam untuk menjawab kata hatinya!

Taufiq kelihatan tenang, kereta dipandu dalam kelajuan sederhana. Alisya masih berfikir kemungkinan yang bermain di ruang minda. Amira pula bagai dipagut kerisauan dengan kehadiran Edrian yang pernah menyimbah duka dalam hatinya suatu ketika dahulu. Manakala Taufiq pula sekadar menjadi pemerhati, kisah silam Amira bersama Edrian sudah lama diketahui.

Perjalanan cinta kedua Amira yang baru disulam bersama bekas tunangannya juga hancur saat kebenaran tentang kisah Amira dan Edrian terbongkar lalu menjadikan dia insan yang terpaksa dalam rela menerima wanita bernama Amira sebagai isteri. Menggantikan bekas tunangan isterinya sendiri!

Dalam kebencian yang dititip pada Amira, dia sedar akan satu tanggungjawab yang harus dipikul. Walau benci dan amarah pada wanita itu, Taufiq sedar itu tidak boleh mengubah takdir hidupnya lagi. Tanggungjawab tetap tanggungjawab, Amira perlu dibimbing. Tentang perasaan, tentang soal hati terhadap Amira, dia ikhlas dan jelas dengan kata hati. Tiada sekelumit rasa cinta buat wanita itu! Biar masa berlalu, biar guruh berdentum… biar langit hitam kelabu, biar hujan lebat mencurah… dia yakin dan pasti. Tiada ruang buat Amira di hatinya melainkan secebis tanggungjawab sesama insan.

“Amira, kita dah sampai! Awak tak nak turun?” soal Alisya menyedarkan wanita yang sedang dirundung duka silam. Kepala yang disandarkan sedari tadi ditegakkan semula, pandangan yang sedari tadi menghadap keluar tingkap kereta dikalih lalu di hala ke arah Alisya yang sedang menoleh ke arahnya.

“Nak,” sepatah jawapan Amira bersama satu keluhan kecil. Pintu kereta ditolak dari dalam, kaki berpijak di bumi lalu tubuh ditegakkan lurus.

“Amira, jangan lupa bawa fail yang saya suruh awak siapkan tadi. Sekejap lagi, kita ke tapak projek!” ujar Taufiq perlahan. Terpaksa berpura-pura baik di hadapan para pekerja Kristal Property agar syak wasangka dan curiga tidak timbul.

“Okey,” respon Amira juga perlahan. Wajah Taufiq direnung lama, seketika kemudian ditundukkan wajahnya semula lalu bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan parking. Amira sedar, dia tidak layak bersama Taufiq, lelaki yang bergelar suami.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

8 ulasan untuk “Novel : Jika Mawar Pudar Warna 10”
  1. siti azirah says:

    salam… cerita ni best sangat! saya dah baca di blog penulis hingga bab 50 tapi skrg dah stop. writer kata tengah siapkan mmskrip.

    komen saya, cerita ni best! romantik komedi… sikap polos amira dan sikap gila2 taufiq buat saya senyum je baca cerita ni.

    lagi satu, apa yg saya suka, penulis guna bahasa yg mudah dan setiap cerita tu ada kaitan antara satu bab dengn bab yg lain. dan paling best yang buat sya happy bila ada cerita dan ikatan kekeluargaan.

    cuma x sabar nak tahu kisah seterusnya, dapat ke taufiq terima amira kox chapter terakhir yg saya baca dlm blog tu mention amira kantoi tengah sembunyi belakang langsir. mmg kelakar habis, x sabar nak tahu kisah seterusnya!

  2. sassy boy says:

    saya pernah gak baca cite ni. best giler! seriously menarik. cuma saya rasa terfikir ada ke lelaki sanggup terima perempuan yg dah x suci. harap2 ending cite ni biarlah mira tu suci dan murni. dia tu polos x patut dapat hukuman mcm tu sekali. hope so.
    harap2 sangat ending dia menggembirkan! n x sbaar nak tahu apa jadi bila dia terkantoi dngn taufiq di belakang langsir!

  3. inaisa says:

    tqvm kpd yang sudi baca… bab awai2 ni mmg boring siket..

    ye saya dah stop di blog. just tunggu turn penulisan2u upload bab seterusnya.. di blog pun setakat bab 9 je.. terima ksih yo sudi2 baca.

  4. zarin says:

    personal opinion…. susah nak jumpa karya yg romantik komedi macam awak punyer ni cik penulis.

    teruskan iya! me sentiasa sokong karya kamo. semua karya kamo
    komedi romantik! menarik sesangat! tq.

    oh ya, bila nak update SEKADAR HIASAN DUNIA!

  5. mieza said says:

    Assalamualaikum.. Citer nie mmg best, x rugi la baca.. Sy dah baca citer nie kat blog penulis.. Penulisnya kata skang ngah siapkan citer nie.. Suka ngan watak amira yg lurus bendul tu n taufiq yg baran tu. X sabar nak tau per jadi kat amira n taufiq.. Tak sabar nak tau per jadi kat amira pasal yg dia kantoi nyorok kat belakang langsir tu..:)

  6. AliahMohdSalleh says:

    Ceriter menarik dengan bahasa yang mudah dan santain . Best.

  7. onah blues says:

    besttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttt !

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"