Novel : Cita-Cita + Cinta 2

26 February 2013  
Kategori: Novel

337 bacaan 1 ulasan

Oleh : Iha Zaliza

Setelah beribu kilometer merentasi jarak antara ibu negara Malaysia dan ibu negara Jepun, akhirnya Shizune dan Nina sudah selamat tiba ke Tokyo selepas menaiki kapal terbang Japan Airlines (JAL). Sesampainya ke Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, mereka disambut mesra oleh dua orang yang mungkin berusia lewat dua puluhan pada jangkaan Nina.

Kedua-duanya menundukkan tanda hormat pada Shizune, kemudian melakukan perkara yang sama terhadap Nina. Nina yang pada mulanya agak kekok cuba untuk menundukkan sedikit kepalanya kepada seorang wanita dan jejaka itu. Nina hanya membatukan diri tatkala mendengar perbualan yang langsung tidak difahaminya itu.

“Nina, kenalkan.. ini Yaeko Yoichi. Yaeko ni ditugaskan untuk menjadi penterjemah antara Bahasa Melayu dan Bahasa Jepun. Jadi Nina tak payah risau kalau ada kat sini, Yaeko akan sentiasa teman Nina. Kalau Nina nak berbual dengan sesiapa pun senang.” Jelas Shizune panjang lebar.

Yaeko tersenyum, “Selamat petang Nina, apa khabar? Panggil je Kak Yaeko ya.. harap kita boleh jadi sahabat disini,” gilirannya pula untuk memperkenalkan diri sendiri pada gadis belasan tahun itu. Tuturnya yang ramah membuatkan Nina tersenyum senang lalu menganggukkan kepalanya tanda memahami.

“Dan yang ni pula Azri Akagi Abdullah. Azri ni mula memeluk Islam masa menuntut di universiti dulu. Tugas dia untuk membantu Nina dalam bab-bab agama. Jadi apapun soalan yang Nina nak tahu boleh tanya Azri. Tapi kena beritahu Yaeko dululah sebab Azri tak pandai cakap Bahasa Melayu.” Terang Shizune lagi. Nina tersenyum lantas menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat pada Azri pula. Azri turut berkelakuan sama.

Tiba-tiba Yaeko mencelah, “Kacak tak Abang Azri?”

“Ehh?” Nina terpinga-pinga, kemudian ketawa kecil. “Boleh tahan jugak!”

Jawapan Nina membuatkan Yaeko dan Shizune serentak meletuskan tawa masing-masing. Hanya Azri sahaja yang mendiamkan diri, barangkali dia juga akan menjadi seperti Nina yang hanya mendiamkan diri bila tidak dapat memahami bahasa yang didengarinya.

“Mesti Nina dah lapar kan? Sebelum balik rumah kita singgah dulu kedai-kedai berdekatan nak?” Yaeko cuba memberi cadangan. Shizune mengangguk setuju, anggukan dari ibu angkatnya membuatkan Nina turut serta menganggukkan kepalanya sekali.

Mereka berempat melangkah ke kereta Daihatsu Mira. Menurut Yaeko, kereta berwarna hitam keluaran syarikat Carchs itu adalah kereta yang baru dibeli oleh Azri sejak sebulan yang lalu. Hanya memerlukan beberapa minit menuju ke destinasi seterusnya, akhirnya kereta yang dipandu Azri tiba ke Pasar Nakamise, iaitu sebuah pasar yang berhadapan dengan pintu pagar masuk ke Kuil Sensoji. Mata Nina melilau-lilau memandang kawasan sekelilingnya. Dengan keadaan yang begitu sesak, Nina tidak berani untuk menghentikan langkahnya. Takut ‘terpisah’ dengan Shizune dan pembantunya yang lain.

Kelihatan Azri berhenti ke satu kedai makanan, lalu membeli makanan di dalam bungkusan. Kemudian dia menghulurkan pada Nina sambil tersenyum kecil. Sekali lagi Nina terpinga-pinga dengan ‘sketsa’ itu. Yaeko yang menyedari adegan itu terus cuba menyelamatkan keadaan.

“Azri belikan Yakimo untuk Nina, kalau tak silap dalam Bahasa Melayu ubi keledek bakar. Nina pernah makan tak?” Soal Yaeko ramah, khuatir juga andai makanan itu tidak menepati citarasa Nina.

“Ohh ubi keledek bakar. Nina suka sangat-sangat! Dah lama Nina tak makan.” Jawab Nina teruja sambil menyambut bungkusan Yakimo di tangan Azri. “Arigatou Azuri-san!” Sambung Nina cuba buat-buat pandai bertutur dalam Bahasa Jepun.

Merah padam wajah Azri dibuatnya dengan telatah Nina, tak disangka Nina boleh mengucapkan terima kasih kepadanya dengan begitu lancar sekali. “Aaa, doitashimashite Nina-chan..” Azri cuba membalas dengan sedikit tergagap.

Shizune dan Yaeko terus gelak secara drastik. “Nina cuba tengok, muka Azri dah merah padam..”

“Eh, kenapa pula?” Soal Nina hairan. Yaeko semakin galak ketawa. “Tak ada apa-apa, jom kita pergi kedai tu pulak. Akak nak beli sesuatu.” Yaeko terus mengajak Nina ke sebuah kedai yang menjual barangan berupa cenderahati. Shizune hanya tersenyum senang sambil mengekori mereka dari belakang. Azri juga turut tidak ketinggalan melangkah seiring dengan majikannya.

“Nina belilah mana-mana yang Nina nak, akak belanja.” Kata Yaeko begitu prihatin terhadap apa yang dilihatnya. Nina yang sedang merenung rantai kunci tersentak seketika lalu memandang kearah wanita itu, “Err tak apalah kak, saja je Nina tengok.. cantik.”

Senyuman terukir di bibir mungil Yaeko, “Apa nak malu Nina, akak tahu Nina nak rantai kunci tu kan.. ambil je, akak ikhlas nak belanja ni.” Nina tersengih, segan barangkali keinginannya dapat dihidu oleh wanita Jepun itu. Tanpa kata-kata, Nina hanya membisu melihat tingkah Yaeko mengambil sepasang rantai kunci berbentuk hati itu. Usai membeli barang, mereka terus berhajat untuk pulang ke rumah yang terletak di Aoyama. Nina tanpa jemu mengucapkan terima kasih pada mereka bertiga semasa berada di dalam kereta. Shizune dan Yaeko hanya mengatakan itu adalah tanggungjawab mereka untuk melayan Nina dengan baik.

Mengambil masa tidak sampai setengah jam, kereta milik Azri itu telah tiba di hadapan rumah banglo tiga tingkat. Nina terlopong. Dia tahu ibu angkatnya itu orang kaya tetapi tidaklah dia menjangka bahawa rumah yang didiami Shizune ibarat istana! Akibat terlalu taksub dengan ‘kemewahan’ di depan mata, hanya dia seorang sahaja yang masih belum keluar dari perut kereta tersebut.

“Nina, kenapa besar sangat mulut terlopong tu? Jom masuk!” Ajak Shizune sambil memegang lembut bahu Nina yang masih leka melihat persekitaran kawasan itu.

Serta-merta Nina tersedar dari lamunan. Dia hanya tersengih malu lantas mengangguk kecil dan melompat keluar dari situ memandangkan kereta Daihatsu Mira itu sedikit tinggi.

Masuk saja ke dalam rumah banglo itu, sekali lagi Nina ternganga dan tergamam membuatkan sifat kejakunannya terserlah dengan begitu mendadak sekali. Telatahnya itu juga telah berjaya membuatkan Shizune dan Yaeko ketawa secara spontan.

Yaeko menepuk lembut belakang badan Nina sambil cuba menghabiskan sisa tawanya, “Kalau ya pun terkejut, tak payah nganga mulut tu besar sangat. Bukan setakat lalat je boleh masuk, anak kucing pun boleh masuk dalam mulut Nina nanti. Haaa…. akak tak tahu..” tegur Yaeko sambil meneruskan ‘sesi’ tawanya.

Nina hanya tergelak kecil, malu tak terkata diatas perangai buruknya sendiri. Tidak sampai sepuluh minit dia duduk di ruang tamu utama itu, Nina lantas meminta izin untuk pergi ke bilik air. Azri memaklumkan bahawa sudah masuk waktu Isyak di seluruh kawasan Aoyama beberapa minit sebelum pukul 7 malam. Nina agak terkejut dengan waktu solat disini yang begitu awal, namun baru dia teringat nama samaran Jepun adalah Negara Matahari Terbit. Nina harus melakukan solat jamak sekaligus.

Dalam keadaan tergesa-gesa Nina mempersiapkan dirinya, akhirnya niat untuk mengambil wuduk terpaksa dibatalkan, Nina tersenyum kecil lantas keluar dari bilik air dan terus menukar pakaian di dalam bilik tetamu. Nina agak kagum dengan keluasan bilik tetamu yang terletak di tingkat atas sekali. Dengan set perabot mahal ditambah sebuah tv LCD empat puluh inci itu telah berjaya menimbulkan rasa teruja yang teramat pada diri Nina.

Komputer riba dikeluarkan. Broadband dicucuk kemudian tanpa membuang masa Nina menghantar Yahoo! Messenger pada jirannya, Nasuha untuk memaklumkan bahawa dia telah selamat tiba di tanah Jepun ini. Nina juga sempat meminta bantuan jirannya merangkap rakan sekelasnya di sekolah untuk memberitahu pada ahli keluarganya. Dia terpaksa meminta bantuan Nasuha kerana Nina masih belum sempat membeli nombor telefon baru disini. Mungkin esok dia boleh ajak Yaeko menemaninya membeli beberapa lagi barang keperluan.

Sepuluh minit kemudian, Nina menutup semula komputer ribanya. Nina masih berasa letih dengan jarak perjalanan yang memakan masa lebih 5 jam itu. Tiba-tiba wajah Azri mula berlegar di kotak fikirannya. Senyuman kecil terukir indah di bibir Nina. Dia mengiyakan soalan Yaeko diawal pertemuan pada petang tadi. Azri memang lelaki yang kacak! Nina ketawa sendiri, mana mungkin dia akan jatuh cinta pandang pertama pada jejaka tampan itu. Sedangkan sudah berbulan-bulan Nina memberikan hatinya kepada seseorang yang disayangi. Nina amat berharap agar salah satu misi ketika berada di bumi Jepun ini menjadi kenyataan biarpun hajatnya ini agak keterlaluan dan tidak masuk akal.

Apapun, Nina mengharapkan keajaiban akan berlaku dan memihak kepada dirinya. Akibat badan masih berbisa, Nina terus melelapkan matanya sambil terus memasang angan-angannya sepanjang berada di negara tersebut.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

Satu ulasan untuk “Novel : Cita-Cita + Cinta 2”
  1. suka jalan cerita nie..mudah dan ringkas utk difahami..rasanya penulis iha zaliza mempunyai pengetahuan yg luas mengenai negara jepun nie..mungkin dia pernah duduk kat sana..:-)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"