Novel : Lelaki Eksklusif 1

22 February 2013  
Kategori: Novel

13,906 bacaan 11 ulasan

Oleh : Wan Awliya Rayqal

Bab 1

WAN MUKRIZ memandang seorang demi seorang ahli keluarganya. Sejak ketibaannya petang tadi, sambutan yang diterima sama sekali tidak berubah. Sama seperti lapan tahun yang lampau. Awal-awal lagi Wan Mukriz sedia maklum bahawa kepulangannya bakal disambut hambar oleh ahli keluarga lain. Bukan dia tidak sedar. Dan dia juga bukan bodoh untuk menilai akan kepulangannya memang tidak dialu-alukan sejak mula. Akan tetapi dia sendiri tiada pilihan. Dia terpaksa berhadapan juga dengan orang-orang yang tidak pernah menyukainya kerana mereka adalah keluarganya sendiri.

Hanya mungkin ayah Wan Mukriz dan datuknya sahaja yang nampak gembira. Emak tirinya langsung tidak ambil peduli. Begitu juga dengan abangnya, Wan Ariff. Nenek apatah lagi. Memang sedekah pulut kuning la kalau mereka bertiga itu menyambut kepulangannya dengan senyuman. Makin terserlah kebencian buat Wan Mukriz. Dan seperti yang selalu Wan Mukriz pasakkan dalam hatinya sendiri bahawa dia sudah tiada masa untuk berkecil hati. Segala rasa itu hanya membuang masa. Kecil hati itu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya. Dia sudah biasa. Sudah lali dengan itu semua.

“Dah puas hidup merantau?” Haji Wan Mohsin mula mengajukan soalan sebaik sahaja mereka mula makan malam. Makan malam yang dianggap istimewa sempena menyambut kepulangan Wan Mukriz.

Itu hanya tanggapan Wan Mukriz, tidak pada yang lain. Lelaki yang sudah nampak benar berusia dan bertubuh lebih kurus berbanding sebelum Wan Mukriz merantau itu menunjukkan rasa gembira menyambut kepulangannya. Hanya orang tua itu sahaja yang dilihat benar-benar menghargai kepulangannya selain ayah kesayangannya sendiri. Ah, jangan terlalu emosi, Mukriz… pesannya pada hati sendiri.

“Hujan emas di negeri orang tok, tak sama dengan hujan batu di negeri sendiri,” jawab Wan Mukriz tenang dan bersahaja. Cuba disembunyikan segala rasa yang terpendam sejak sekian lama. Ah, dendam tidak perlu ditanam dalam diri. Nanti boleh jadi racun yang memakan diri sendiri. Dia mahu menikmati hidup dengan rasa kasih sayang dan bahagia, jadi dia perlu buang semua perasaan negatif. Dia akan jalani kehidupannya dengan biasa-biasa sahaja.

“Baguslah, Riz. Lagipun kerja-kerja di syarikat makin hari makin bertambah. Riz dah balik ni, bolehlah bantu apa yang patut,” tokok si ayah, Encik Wan Amran. Senang hatinya menerima kepulangan Wan Mukriz.

“Apa yang banyaknya? Selama ni syarikat tu ada masalah ke?” Hajah Zakiah menyampuk. Wanita bertubuh gempal dan berkulit putih kuning itu kurang senang bila mendapat tahu Wan Mukriz akan diterima semula bekerja. Bencinya terhadap Wan Mukriz kian meluap-luap. Sedikit pun tidak berkurang walau sudah lapan tahun dia tidak melihat wajah cucu yang tidak pernah diiktirafnya itu.

“Awak apa tahu,” bidas Haji Wan Mohsin kasar. Dari dulu dia memang tahu isterinya itu langsung tidak sukakan Wan Mukriz. Apa sahaja tentang Wan Mukriz, pasti akan mendapat tentangan.

“Kalau tak tahu jangan nak menyibuk,” marah Haji Wan Mohsin lagi.

Wan Mukriz memandang datuknya. Makin tua makin tegas. Kalau tidak masakan Hajah Zakiah terus terdiam. Sesekali Wan Mukriz lihat ada juga wajah tua itu mencebik. Sudah biasa. Tiada apa yang mahu dihairankan. Dia sedia faham dan sedar bahawa dia masih lagi tidak disenangi. Bahkan tetap tidak diterima.

“Hmmm, bila Riz nak masuk syarikat?” soal Haji Wan Mohsin bila keadaan kembali tenang.

“Bila-bila pun boleh. Saya tak kisah.”

“Buat permulaan, atuk nak Riz masuk dulu bahagian penghantaran.”Encik Wan Amran memandang wajah Haji Wan Mohsin. Kenapa Wan Mukriz yang ada kelulusan dari universiti luar negara diletakkan di bahagian penghantaran? “Kenapa tak masukkan saja Riz ke bahagian pengurusan?” Encik Wan Amran seperti tidak bersetuju dengan keputusan ayahnya.

“Biar dia belajar dulu di bahagian tu. Kalau dah mahir nanti, kita masukkanlah ke bahagian pengurusan,” jawab Haji Wan Mohsin perlahan.

“Apa-apa pun tak tahu dah nak masuk bahagian pengurusan?” Hajah Zakiah mencelah sambil mencebik. Tetap tidak berpuas hati.

“Eh! Saya tak kisah di mana pun atuk nak letak. Janji saya dapat bantu atuk. Sekurang-kurangnya saya dapat balas jasa atuk terhadap saya selama ni,” jawab Wan Mukriz ikhlas sambil tersenyum.

“Nak balas apa pulak! Kalau nak dikira memang tak terbalas sampai ke mati. Dah banyak kami rugi sebab bela kamu.” Makin galak kata-kata Hajah Zakiah untuk menyakiti hati Wan Mukriz. “Dah elok duduk di luar negara, gatal pulak balik. Ini tak lain nak menghabiskan harta kita saja,” kata Hajah Zakiah lagi.

Wan Mukriz memaksa diri untuk tersenyum. Hatinya terluka lagi untuk kali yang entah ke berapanya. Luka yang sedia ada juga masih belum terubat, ditambah lagi dengan luka baharu. Namun Wan Mukriz cuba rawat sendiri setiap kelukaan itu. Perasaannya perlu ditenangkan sebaik mungkin. Nasibnya tetap begini. Dasar menumpang.

“Apa yang awak merepek ni? Budi apa yang dia nak balas? Dia cucu saya juga. Kalau dia terhutang budi, bermakna Ariff juga terhutang budi. Masing-masing sama cucu saya.” Haji Wan Mohsin menjeling tajam.

“Lain kali kalau tak berkenaan, jangan cakap. Tutup mulut. Makan saja. Karang saya mintak awak balas balik apa yang saya dah bagi awak makan, baru padan muka awak,” marah Haji Wan Mohsin pula.

Langsung Hajah Zakiah terdiam. Malu betul dia bila ditegur begitu. Sakit hati semakin menjadi-jadi. Nampaknya suami sendiri juga sudah berpihak kepada Wan Mukriz. Mana boleh begitu. Nanti suaminya termakan hasutan cucu tidak guna itu. Harta Haji Wan Mohsin sesen pun tidak boleh jatuh ke tangan Wan Mukriz. Dalam diam Hajah Zakiah menyabarkan perasaan sendiri. Dia tidak boleh bertindak melulu.

Wan Ariff menjeling Wan Mukriz dengan senyuman sinis. Datuknya benar-benar berpegang pada janji. Beberapa hari sebelum Wan Mukriz pulang, Wan Ariff ada memberitahu datuknya kalau Wan Mukriz ditempatkan di pejabatnya, dia akan tinggalkan syarikat. Wan Ariff rasa cukup bangga dengan keputusan datuknya itu. Setakat ini kedudukannya tidak tergugat lagi. Ah, kalau Wan Ariff mahu halau Wan Mukriz, sekelip mata sahaja dia boleh lakukan. Tetapi mana boleh singkirkan Wan Mukriz begitu sahaja tanpa mendera terlebih dahulu. Kau akan rasa, Wan Mukriz!

Puan Marina, ibu Wan Ariff dan ibu tiri kepada Wan Mukriz, walaupun tidak senang hati beberapa hari ini, sedikit berpuas hati dengan keputusan bapa mertuanya. Dia tersenyum sinis. Dia yang begitu bimbang dengan kepulangan Wan Mukriz rasa cukup lega kerana tindakan bapa mertuanya masih lagi memihak kepada anaknya, Wan Ariff. Kedudukan anaknya sebagai pewaris utama masih tidak tergugat. Itu yang harus dia pertahankan.

“Kalau macam tu, atuk rasa eloklah Riz mulakan kerja esok untuk sesuaikan diri dengan keadaan tempat kerja.”

“Saya tak ada masalah. Lagi cepat lagi bagus,” beritahu Wan Mukriz lagi.

“Errr… satu lagi. Aku dengan Sharina nak bertunang tak lama lagi,” kata Wan Ariff dengan nada sedikit angkuh. Bahasanya masih tidak berubah. Masih kasar. Ah, kasar dan Wan Ariff bukankah sudah serasi dan sebati?

“Sharina bukan main suka dengan Ariff. Ke mana saja berdua. Sampai tempat kerja pun nak sama dengan Ariff. Tak sanggup berpisah agaknya.” Terjuih-juih mulut Hajah Zakiah bercerita. Bersemangat sungguh untuk tumpang menyakiti hati Wan Mukriz.

“Hmmm, tahniah! Saya tumpang gembira,” balas Wan Mukriz selamba. Dia tersenyum selepas itu sambil mengangguk. Jauh sekali mahu tunjuk sebarang reaksi kecewa. Amat selamba dan bersahaja. Seolah-olah dia langsung tidak mengenali siapa Sharina itu, sedangkan suatu ketika dulu gadis itulah yang bertakhta di hatinya.

Encik Wan Amran dan Haji Wan Mohsin menjeling Wan Mukriz. Ingin melihat kalau ada tanda-tanda Wan Mukriz akan berkecil hati. Namun kerana bijak menyembunyikan riak wajah, Wan Mukriz kelihatannya seperti tidak kisah langsung dengan kata-kata Wan Ariff. Lelaki itu masih berwajah tenang.

“Mungkin majlisnya berlangsung tak lama lagi,” tokok Wan Ariff. Masih berusaha untuk membuatkan Wan Mukriz sakit hati.

“Baguslah. Kerja yang baik kenapa mahu bertangguh. Bagus, bagus. Aku tumpang gembira dengan berita ni,” kata Wan Mukriz lagi kepada Wan Ariff. Masih selesa ber‘aku’ dengan Wan Ariff. Wan Mukriz cuba menyembunyikan gelora perasaan dengan terus menyuap makanan ke dalam mulutnya yang menunjukkan dia berselera benar. Hakikat sebenarnya, dia sendiri sudah lama membuang Sharina dari hidupnya. Seolah-olah nama gadis itu tidak pernah wujud langsung dalam hidupnya sebelum ini. Yang pasti, Wan Mukriz tidak akan rasa apa-apa lagi.

“Sedap betul. Dah lama tak rasa masakan kampung. Masakan Mak Cik Leha masih power. Terima kasih, mak cik!” Wan Mukriz separuh melaung dan menoleh ke arah Mak Cik Leha, pembantu rumah yang hampir puluhan tahun bersama mereka yang sedang mencuci pinggan di singki.

“Terima kasih, Riz,” jawab Mak Cik Leha. Senang hati menerima pujian dan juga sangat gembira menerima kepulangan Wan Mukriz ke rumah agam ini semula. Anak yang penuh dengan sopan santun dan begitu menghormati orang lain, namun sering dipinggirkan.

“Ni yang sayang mak cik lebih,” kata Wan Mukriz sambil gelak perlahan. Serius, dia memang suka dengan masakan Mak Cik Leha.

Wan Ariff yang melihat, merasa sakit hati. Tidak terkesan langsung riak kecewa dan sakit hati yang terpamer di wajah tenang itu. Usahanya gagal untuk membuatkan Wan Mukriz marah dan memberontak. Wan Mukriz kelihatannya seperti biasa sahaja. Langsung tidak tunjuk apa-apa perubahan. Bukankah dia yang tergila-gilakan Sharina suatu masa dulu? Bukankah Sharina itu gadis pujaannya dan dia mencintai Sharina separuh nyawa? Tetapi kenapa pula dia seperti tidak kisah malah tidak peduli pun dengan apa yang Wan Ariff sampaikan?

“Errr, Riz jangan kecik hati pulak sebab Ariff dapat Sharina. Maklumlah, jodoh pertemuan itu sudah kehendak Tuhan. Mungkin Sharina tak sesuai untuk Riz.” Puan Marina mengapi-apikan lagi keadaan bila melihat Wan Mukriz seperti tidak kisah bila soal Sharina dibangkitkan. Kemudian senyum sinis seakan menyindir. Wanita yang kelihatan anggun dengan tubuhnya yang langsing, sangat sesuai dengan kebaya nyonya yang dipakai. Rambut pula dipotong pendek.

“Tak adalah, mak cik. Perkara tu dah lama. Impian zaman budak-budak. Saya pun dah lupakan dia. Memang betul kata mak cik tu, jodoh pertemuan di tangan Tuhan, mana tahu jodoh saya dengan gadis yang lebih cantik dan lebih baik daripada Sharina. Siapa tahukan?” Ketawa kecil menyusul seperti mentertawakan Wan Ariff dan Puan Marina sahaja bunyinya. Wan Mukriz tahu kedua-duanya sudah rasa terpanggang walau dia baru berkata begitu. Melihatkan air muka kedua-duanya sahaja Wan Mukriz sudah mengerti. Ah, jangan sekali-kali menjolok sarang tebuan, desis hati kecilnya puas.

“Pasal perempuan saja. Bukan masalah besar pun. Ariff dan mak cik jangan bimbang. Saya tak kisah pun semua tu. Yang penting Ariff akan bahagia dengan Sharina. Jangan sampai tak bahagia pulak sebab bahagia tak boleh dipaksa-paksa,” sindir Wan Mukriz pula. Kali ini Wan Mukriz tidak teragak-agak mahu menyindir. Tahu apa yang sedang berlaku di antara Wan Ariff dan Sharina sebenarnya. Hubungan itu tiada keikhlasan dan hanya sekadar mahu membalas dendam. Tidak mengapa, esok lusa dia akan beritahu Sharina hal sebenar. Oh! Wan Mukriz sekarang bukan lagi Wan Mukriz dulu yang akan hanya berdiam diri bila maruahnya diinjak-injak dan dipermainkan. Sudah cukup dia menjadi ‘mangsa belasahan’ selama ini, dia tidak mahu lagi jadi begitu. Dia akan memberontak, namun dengan caranya sendiri. Lemah lembut dan penuh sopan namun kesannya menggigit hingga ke dasar hati.

Sekali lagi Wan Ariff kecewa. Kenapa begitu berubah sikap Wan Mukriz? Apakah selepas bertahun di luar negara, Wan Mukriz sudah berjaya lupakan Sharina? Mungkinkah ada gadis lain yang lebih istimewa sudah mencuri hati Wan Mukriz? Apakah gadis itu lebih istimewa daripada Sharina? Api cemburu mula membara di benak Wan Ariff. Sekian lama api cemburu itu terpadam dan kini menyala semula sebaik sahaja diberitahu Wan Mukriz akan pulang. Melihatkan keadaan Wan Mukriz yang lebih baik dan nampak cukup matang membuatkan hati Wan Ariff bertambah sakit.

“Riz dah jumpa gadis lain?” soal Puan Marina ingin tahu. Hairan kenapa Wan Mukriz langsung tidak marah, malah masih mampu makan dengan penuh berselera. Sedang dulu Wan Mukriz begitu rapat dengan Sharina. Namun kini, langsung tiada tanda-tanda dia berkecil hati.

“Kita lepaskan Ariff dulu, mak cik. Lepas tu baru kita fikirkan tentang saya pulak. Lagipun saya baru saja pulang. Penat tak habis lagi,” jawab Wan Mukriz tenang, masih mengukir senyuman. Cuba memberikan senyuman paling cantik. Senyuman tanpa sebarang keraguan. Senyuman yang boleh menyembunyikan segala kedukaannya. Dan senyuman yang bakal membuatkan ramai sakit hati.

Wan Mukriz melangkah ke bilik sebaik sahaja selesai makan. Mahu rehatkan diri dan fikiran. Lapan tahun ini telah banyak mengajarnya erti kesabaran dan menerima semuanya sebagai satu ketentuan yang telah tertulis untuk dirinya. Akhirnya dia pasrah juga. Waktu melangkah meninggalkan rumah, usianya baru menginjak ke dua puluh dua tahun. Terlalu muda untuk menempuh cabaran hidup di negara orang, namun hatinya nekad dan dia tidak mahu berpaling lagi. Hati kecilnya sudah dipasakkan dengan kata-kata susah di negara orang tidaklah sesusah bila berada di tengah-tengah keluarga sendiri.

Namun begitu keputusan untuk kembali ke pangkuan keluarga tetap tersemat di hati bila masanya tiba kelak. Tika dia telah bersedia untuk menjadi seorang lelaki yang sedia menerima cabaran dan bukan lelaki yang hanya tahu menjauhkan diri. Dan “bila masanya tiba kelak” itu adalah kini….

“Boleh ayah masuk?” soal Encik Wan Amran di muka pintu yang sudah sedia terbuka sejak mula.

“Masuklah ayah,” kata Wan Mukriz sambil memandang wajah lelaki yang tidak pernah gembira sejak lapan tahun dahulu. Susuk tubuh itu semakin kurus namun tampak masih segak dalam usia itu.

Wan Mukriz mempelawa Encik Wan Amran duduk di kerusi jati yang terletak di hujung bilik. Sesuai untuk mereka berbual dengan santai di situ.

“Ayah gembira Riz dah balik. Hilang juga rindu ayah pada Riz selama ni,” kata Encik Wan Amran sambil memegang tangan Wan Mukriz. Rindu pada anak seorang ini sudah tidak terucap lagi. Antara ketiga-tiga orang anaknya, Wan Mukriz lebih ceria dan lebih ramah berbanding arwah Wan Idham dan Wan Ariff sendiri.

“Sebab rindukan ayah, Riz pulang. Riz dah boleh terima kematian ibu dan abang,” tenang sahaja Wan Mukriz bila menyebut tentang arwah abang dan ibunya. Sungguh, rindu buat kedua-duanya masih tidak terkurang walau sedikit demi sedikit dia mula lupa akan kesedihannya.

“Alhamdulillah. Kita yang tinggal ni harus meneruskan kehidupan sebab yang pastinya, kita juga akan menyusul mereka nanti.”

“Memang betul, ayah. Ayah pun jangan lupa hidup dengan gembira. Riz tengok sejak dulu hinggalah ke hari ni, ayah tak pernah gembira.”

“Mana boleh ayah hidup gembira kalau kegembiraan ayah dah dibawa bersama.”

“Janganlah begitu, ayah.” Wan Mukriz sebak. Kemalangan yang meragut nyawa abang dan ibu melintasi ruang ingatan. Ketika itu abangnya yang berusia dua puluh empat tahun mahu menghadiri majlis pernikahan saudara terdekat mereka. Wan Mukriz dan Encik Wan Amran tidak dapat turut sama kerana masing-masing mempunyai urusan tersendiri. Kereta yang dipandu Wan Idham terbabas dan memasuki arah bertentangan lantas berlanggar dengan kereta dari arah hadapan. Kedua-duanya meninggal di tempat kejadian.

Encik Wan Amran menarik nafas panjang. Satu keluhan berat dilepaskan. Wan Mukriz tahu ayahnya menderita. Bukan sahaja kehilangan isteri dan anak sulung, tetapi tekanan yang diterima daripada Hajah Zakiah juga memaksa Encik Wan Amran terus-terusan bermurung. Perkahwinan kedua Encik Wan Amran hasil daripada ugutan Hajah Zakiah sendiri. Ketika itu Encik Wan Amran sangat bahagia bersama arwah ibu Wan Mukriz namun kerana ibu Wan Mukriz bukanlah menantu pilihan, Hajah Zakiah mendesak Encik Wan Amran mengahwini Puan Marina, sepupu Encik Wan Amran sendiri.

“Ayah sudah tawar hati akan semuanya, Riz.” Encik Wan Amran bangun. Wan Mukriz juga turut bangun.

“Jangan begitu, ayah. Ayah juga yang cakap tadi, hidup kita harus diteruskan. Kalau arwah mak dan abang tengok ayah macam ni, tentu mereka juga tak tenteram di sana.” Wan Mukriz cuba memujuk. Biar tahu kata-katanya itu tidak mampu untuk mengubat luka di dada Encik Wan Amran, namun jauh di sudut hati Wan Mukriz mahu melihat ayahnya gembira seperti dulu. Bahu Encik Wan Amran dipeluk erat dengan penuh kasih sayang.

Encik Wan Amran senyum tawar. Wajah Wan Mukriz yang tenang ditatap. Antara mereka bertiga, rasanya Wan Mukriz agak kurang dari segi paras rupa tetapi dia yang paling
manis.

“Betul Riz tak kisah kalau Ariff ditunangkan dengan Sharina?” Persoalan yang sama berbangkit semula. Encik Wan Amran sedar, sejak mula Wan Mukriz banyak beralah.

Wan Mukriz ketawa kecil. “Pasal tu ayah jangan bimbang. Riz dah lupakan semuanya.” Wan Mukriz ketawa kecil. Tidak sangka ayahnya masih juga mahu mengambil berat tentang soal tersebut.

“Ayah bimbang Riz akan kecil hati.” Ada seraut wajah gelisah terpamer.

“Tak adalah ayah. Soal perempuan saja… bukan masalah besar pun.” Ketawa kecil Wan Mukriz masih berbaki.

“Ayah doakan Riz akan bertemu dengan seseorang yang boleh membahagiakan hidup Riz nanti. Mungkin sudah tertulis Sharina bukan untuk Riz.”

“Mudah-mudahan, ayah. Riz pasti memang ada seseorang yang sedang menanti Riz. Riz cuma perlu tunggu.”
Encik Wan Amran memeluk erat anaknya itu penuh kasih sayang. Semoga nanti Wan Mukriz bertemu seseorang yang boleh membahagiakan hidupnya.

Wan Ariff yang berdiri di hadapan ruang tamu di tingkat dua itu hanya memerhatikan sahaja tingkah kedua-duanya. Melihat Wan Mukriz dipeluk erat, perasaan Wan Ariff terus mendidih. Dia benar-benar sakit hati melihat Wan Mukriz lebih disayangi oleh Encik Wan Amran. Kalau boleh dia mahu semua membenci Wan Mukriz. Tetapi nampak benar ayah mereka berat sebelah. Selama ini Encik Wan Amran bukan sahaja tidak berlaku adil, bahkan menunjukkan rasa tidak suka terhadap Wan Ariff.

Sudah puas Wan Ariff berusaha untuk menambat hati Encik Wan Amran, namun ternyata gagal. Selama lapan tahun ini apa yang tidak pernah Wan Ariff lakukan? Semuanya sudah namun gagal juga untuk meraih sebarang perhatian daripada seorang ayah. Hati Wan Ariff luka sebenarnya. Kerana luka itulah dia tambah benci dengan Wan Mukriz.

Encik Wan Amran hanya menjeling sekilas ketika lalu di hadapan Wan Ariff. Langsung tidak menyapa apatah lagi mahu mengucapkan selamat malam buat anaknya yang seorang itu. Dia bagaikan sedang bermusuh dengan anaknya sendiri. Wan Ariff sangat berkecil hati, sedang Wan Mukriz siap dipeluk bagai.

Membawa perasaan yang marak dengan marah dan dendam, Wan Ariff mengatur langkah ke bilik Wan Mukriz. “Kenapa kau tak berambus saja? Kau balik ni memang menyusahkan betul,” kata Wan Ariff. Terpandang sahaja wajah Wan Mukriz, memang berapi terus perasaannya, bagaikan lahar gunung berapi yang sedang memuntahkan lava.

“Kenapa? Aku tak boleh balik? Ini rumah aku jugak dan aku ada hak untuk balik.” Tenang sahaja Wan Mukriz menjawab kemarahan abang yang hanya tua enam bulan sahaja daripadanya. Mereka bukan sahaja berbeza tahun kelahiran, bahkan berbeza dari segi penampilan. Wan Mukriz tampak lebih santai berbanding Wan Ariff yang mementingkan gaya hidup mewah.

Wan Mukriz susun pakaiannya di dalam almari tanpa rasa tertekan sedikit pun dengan kehadiran Wan Ariff. Namun sikap tenang dan selambanya itu kian membuatkan abangnya itu sakit hati. Dadanya serasa panas dengan ombak kemarahan.

“Aku tahu kau balik ni sebab ada agenda tertentu, bukan? Kalau tidak kau takkan balik. Kau mahu rampas Sharina daripada aku, bukan? Jangan harap! Kau langkah mayat aku dulu.” Sedikit demi sedikit kerisauan Wan Ariff terpamer sendiri tanpa siapa pun yang memaksanya.

“Kau silap. Aku balik ni sebab aku rasa ayah lebih perlukan aku. Aku tak ada agenda lain dan aku mahu membina kehidupan aku sendiri. Aku pun dah tiga puluh tahun. Inilah masa yang paling sesuai untuk aku bina keluarga aku sendiri. Tentang Sharina, apa hebatnya Sharina sampai kau tergila-gilakan dia? Kau fikir aku masih ada hati dengan Sharina? Memang kau buat silap, Ariff. Aku tak hairan langsung pasal kau nak bertunang dengan Sharina.” Wan Mukriz ketawa perlahan. Lucu melihat kebodohan yang sedia terpamer pada diri Wan Ariff.

Wan Ariff pegang pintu dengan kuat, berusaha untuk menyabarkan perasaannya.

“Soal perempuan, soal harta, tu semua perkara lapuk. Janganlah jadi terlalu bodoh dengan fikir benda yang bukan-bukan. Sepatutnya kau kena fikir macam mana nak memajukan lagi syarikat atuk daripada kau fikirkan soal aku. Tak gitu, Wan Ariff?” Wan Mukriz tentang pula wajah Wan Ariff dengan senyuman yang tersungging di bibir.

Sepantas itu Wan Ariff tarik kuat pintu bilik Wan Mukriz. Sakit hatinya kian menjadi-jadi disindir begitu. “Kau tengoklah nanti, Mukriz. Kau tak kenal siapa aku lagi.

Aku akan pastikan kau rasa menyesal sebab balik. Kalau tidak, kau jangan panggil aku Ariff!” kata Wan Ariff sambil berlalu pergi. Mulai sekarang dia akan berusaha lebih keras lagi untuk memenangi hati Haji Wan Mohsin dan juga Encik Wan Amran. Dia akan lakukan. Itu tekadnya dan dia akan pastikan ia berjaya, bukan sekadar angan-angan kosong.

Wan Mukriz hanya tersenyum sinis. ‘Tak pernah berubah rupanya,’ desis hatinya kesal.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

11 ulasan untuk “Novel : Lelaki Eksklusif 1”
  1. MAWAR KAMILA says:

    ^_^! baru baca. best jg…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"