Novel : Meow! Kau Curi Hatiku 18

21 February 2013  
Kategori: Novel

2,134 bacaan 5 ulasan

Oleh : Reeani Annur

BAB 18

DATIN Hanim dan Dato’ Mazlan memandang Naim yang baru masuk ke dalam rumah dengan kepelikan. Wajah Naim dan beg pakaian yang terbibit di tangannya itu dipandang silih berganti.

“Kenapa mama dan papa tengok Im macam tu? Apa yang tak kena?” tanya Naim hairan. Dia tunduk memeriksa baju dan seluar yang dipakai sekiranya ada yang tersingkap ataupun zip tidak tertutup tanpa disedari. Namun tidak ada pula.

“Kena Im datang sini bawa beg baju? Nak duduk pindah ke sini pulak ke?” Datin Hanim cuba mendapatkan kepastian.

Naim tersenyum memandang kedua-duanya. Itukah tanda-tanya yang membelenggu fikiran mama dan papanya tadi? Patutlah semacam sahaja dia dipandang.

“Bukan pindah, mama… Im cuma nak tumpang duduk. Tak lama. Tiga bulan je,” jawab Naim. Dia kemudiannya duduk di atas sofa. Datin Hanim dan Dato’ Mazlan turut menyusuli sama.

“Kenapa pulak tiba-tiba je Im nak tumpang duduk kat sini?” Giliran Dato’ Mazlan pula bertanya.

“Aik, papa ni… apa salahnya. Ini pun rumah Im jugak. Tak salahkan Im bergilir-gilir tinggal kat sini. Kalau papa nak suruh Im bayar sewa, nanti Im bayarlah. Cash untuk tiga bulan sekaligus,” seloroh Naim.

Dato’ Mazlan dan Datin Hanim dihambat ketawa dengan jenaka yang dibuat oleh Naim.

“Tak adalah sampai macam tu. Papa cuma berasa pelik bila Im tiba-tiba nak tumpang duduk kat sini. Selalunya, Im jarang nak duduk sampai berbulan-bulan macam tu.”

Naim tersenyum sambil menarik nafasnya. Ya, memang dia akui kata-kata papanya itu. Dia tidak betah tinggal di situ lama-lama sejak memilih tinggal berasingan bersama keluarganya. Paling lama dia duduk sehari semalam sahaja. Itupun jika dia terlalu letih mahu pulang ke rumahnya. Tetapi kali ini dia terpaksa memutuskan begitu.

“Ada kawan Im tumpang duduk kat rumah Im. Sebab tulah Im datang duduk kat sini buat sementara waktu,” jawab Naim.

Dato’ Mazlan dan Datin Hanim saling berpandangan.

“Siapa kawan Im tu? Kenapa tak tinggal sama-sama dengan dia je? Tak kesian, tinggalkan dia sorang-sorang kat sana?” Datin Hanim cuba mencari jawapan. Wajah anak lelaki tunggalnya itu ditatap lama.

Naim tergelak. Gila ke apa nak suruh dia tinggal di sana dengan Husna. Ada yang kena kahwin koboi karang.

“Kawan Im tu perempuanlah, mama. Kalau lelaki, takkanlah Im balik duduk kat sini pulak,” jelas Naim sekaligus menguraikan tanda tanya mama dan papanya.

“Perempuan?” Suara Dato’ Mazlan dan Datin Hanim bertanya serentak. Terpamer riak terkejut di wajah kedua-duanya.

“Siapa?” Datin Hanim semakin menunjukkan minat ingin tahu.

“Husna.” Naim senyum sambil mengangkat tinggi kedua-dua keningnya, memandang wajah Dato’ Mazlan dan Datin Hanim yang semakin terlopong itu. Itu baru sebut nama. Belum berjumpa dengan orangnya lagi. Kalau mama dan papa dia bertemu muka dengan Husna, dia yakin mereka pasti terkedu.

“Bella baru je pergi tak sampai dua puluh empat jam. Tapi Im dah mula curang dengan dia. Tak baik tau buat dia macam tu,” ujar Datin Hanim sambil menggeleng lemah.

“Curang apa pulak ni, mama. Mana ada Im curang dengan Bella. Husna tu kawan Im yang tolong Im uruskan dua ekor kucing Bella tu. Mama dan papa pun tahukan yang Im ni tak boleh sentuh kucing dan geli dengan kucing. Macam mana Im nak uruskan mereka kalau macam tu. Jadi, Im minta tolonglah dia uruskan semua tu. Sampailah Bella balik semula ke Malaysia.” Naim menerangkan hal yang sebenarnya kepada Datin Hanim dan Dato’ Mazlan. Dia harap mama dan papanya tidak akan bersoal banyak tentang hal itu.

Datin Hanim dan Dato’ Mazlan sekali lagi berbalas-balas pandangan.

“Sanggup pulak dia tolong Im uruskan semua tu. Kawan Im yang mana satu? Papa kenal ke?” tanya Dato’ Mazlan lagi.

Kepala Naim laju menggeleng.

“Tak. Papa dan mama memang tak kenal dia. Sebab Im baru kenal je dengan dia. Tapi dia tu hantu kucing, papa. Macam si Bella tu jugak. Sebab tulah Im minta tolong dengan dia. Tapi papa dengan mama jangan beritahu dekat Bella tau fasal semua ni. Bella tak tahu Im upah orang untuk jaga kucing-kucing dia.”

Naim memandang Datin Hanim dan Dato’ Mazlan dengan penuh pengharapan. Bella tidak boleh tahu semua itu. Kalau tidak nanti, teruk dia kena bebel. Semua yang dia lakukan itu adalah untuk menyenangkan dirinya sahaja. Kalau dia tidak berbuat demikian, memang huru-haralah hidup dia dibuat oleh Anchu dan Chicky. Jalan paling mudah, suruh sahaja orang lain yang uruskan. Walaupun terpaksa membayar lebih namun dia sanggup. Dia lebih rela berhabis duit daripada menempuhi hari-hari sukar bersama haiwan yang dibencinya.

Datin Hanim dan Dato’ Mazlan hanya mampu mengeluh mendengar semua itu. Apa lagi yang mereka harus katakan. Naim sememangnya tidak suka ada kaitan dengan kucing.

*****

NAIM berbaring di atas katil sambil menggeliat malas. Matanya yang masih keras terbuka itu dicuba paksa supaya pejam. Kenapalah susah sangat hendak tidur ni? Padahal, kalau diikutkan badannya terasa begitu letih sekali. Apa yang sedang dia fikirkan? Husna? Lalu wajah Husna seraya muncul di ruang matanya. Dia menjadi semakin tidak faham dengan dirinya. Berkali-kali dia cuba mengusir perasaan aneh yang bertandang di dalam fikirannya.

Kata-kata mamanya yang menuduh dia curang tadi terngiang-ngiang kembali di telinga. Begitu juga dengan kata-kata Bella yang telah berpesan supaya tidak melayan perempuan lain semasa berjauhan dengannya. Tidak, dia bukan curang. Semua ini tidak ada kena mengena dengan perihal curang. Dia berusaha memujuk perasaannya.

Tetapi dia tetap tidak dapat menidakkan hakikat betapa hatinya sedikit demi sedikit sudah mulai dicuit oleh gadis bertudung litup itu. Bukan hari ini sahaja. Sejak hari pertama mereka ditakdirkan bertemu, Husna sudah berjaya membuatkan hati lelakinya berkocak.

Naim bangkit dan berjalan ke balkoni. Bintang malam yang bertaburan di langit direnung lama. Dia menghela nafas panjang. Agaknya, apa yang Husna sedang buat ketika ini? Baikkah keadaan dia di sana? Seketika kemudian, Naim tersedar. Bukankah pertanyaan itu sepatutnya dia tujukan kepada Bella?

“Im….”

Sapaan suara Datin Hanim dari belakang membuatkan Naim tersentak. Perlahan-lahan dia berpaling menghadap Datin Hanim yang sedang memandangnya tepat. Diukir sebuah senyuman buat wanita itu.

“Mama belum tidur lagi?” soalnya sekadar berbasa-basi. Kedua-dua tangannya dilipat ke dada dan dia bersandar di pengadang balkoni. Nafasnya ditarik dalam-dalam.

“Dah terjaga balik dah pun. Kenapa Im tak tidur lagi ni? Esok tak kerja ke?”

Mata Datin Hanim masih tidak lepas daripada memandang Naim.

“Kerja tapi Im belum mengantuk lagi.”

Naim sempat mengintai jam di dalam biliknya dari tempat dia berdiri. Pukul 2.00 pagi. Ah, mata dia terasa payah sekali mahu pejam. Ada sesuatu menganggu fikirannya yang membuatkan dia tidak mampu memejamkan mata.

“Kenapa tak mengantuk lagi? Teringat dekat Bella ke?” usik Datin Hanim lantas mengundang ketawa kecil Naim.

“Mama ni, ada-ada aje…,” jawab Naim sambil tunduk memandang ke lantai. Sayang sekali sebab tekaan mamanya itu tersasar. Bukan Bella yang dia sedang membayangi fikirannya tetapi Husna.

“Im dengan Bella kena kahwin cepat-cepat. Papa dah bising-bising tanya mama bila Im nak kahwin. Mama dah tak reti nak jawab apa lagi.”

Naim tergelak. Mama bercakap tentang hal kahwin dengan dia pagi-pagi buta macam ini? Buang tabiat ke?

“Papa dah tak sabar sebenarnya nak ada menantu dan cucu. Im pun janganlah buat-buat tak faham dengan semua tu,” sambung Datin Hanim lagi. Dia harap Naim mengerti maksudnya.

“Ya, Im tahu. Tapi soal jodoh ni kadang-kadang susah nak cakap. Kalau ada jodoh tu tak ke mana. Mama dengan papa tak perlulah risau sangat.” Naim memujuk.

“Benda yang baik tak elok dilengah-lengahkan. Nanti lambat-lambat Bella kena kebas dengan orang lain baru Im tahu.”

“Kalau macam tu, Im carilah pengganti lain.”

Serta-merta pinggang Naim menerima cubitan manja daripada Datin Hanim. Dia mengaduh dalam tawa.

“Semudah tu aje?”

Datin Hanim mendongak memandang Naim. Dia tanya serius, Naim main-mainkan dia pula.

Naim melepaskan nafas panjang sebelum memeluk erat bahu Datin Hanim.

“Mama tak mengantuk ke cakap fasal hal kahwin pagi-pagi buta macam ni? Im dah rasa mengantuklah, mama. Jomlah kita masuk tidur ya.”

“Im ni saja je, kan. Nak mengelaklah tu.”

Datin Hanim mencebir.

“Mana ada orang cakap fasal hal kahwin pagi-pagi macam ni, mama. Kita masuk tidur dulu ya. Nanti kita cakap fasal hal ni lain kali.”

Naim mengheret Datin Hanim beredar dari situ.

Datin Hanim akur dalam terpaksa. Apa lagi yang dia hendak kata jika tuan empunya badan tidak berminat mahu berbicara tentang soal itu.

“Tidur terus tau. Jangan duduk termenung lagi. Esok lambat bangun pulak,” pesannya lagi sebelum melangkah keluar dari bilik Naim.

Naim mengangguk perlahan. Setelah bayangan Datin Hanim hilang, dia menutup pintu bilik dan berbaring di atas katil. Kipas yang ligat berpusing di siling direnung lama. Kata-kata mamanya kembali terngiang-ngiang di benak. Ah, serabut!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

5 ulasan untuk “Novel : Meow! Kau Curi Hatiku 18”
  1. Nur Faiza says:

    tunggu sambungan seterusnya. :)

  2. AliahMohdSalleh says:

    Ceriter ni masih menarik santai dan kelakar. Ceriter ada tarikan sendirinyang membuat pembaca tak sabar tunggu sambungan cerit di Bab setrusnya.Cerita ni best.

  3. Miqael Arshad says:

    wahai penulis kesayanganku…. teruskan…..~~~~~

  4. Reeani Annur says:

    Terima kasih Nur Faizah, Kak Aliyah dan penulis handsome di ufuk timur, Miqael Arshad. Hehe.

  5. zalila zaharin says:

    bestt….

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"