Novel : Suamiku Mr. Blind 1

13 February 2013  
Kategori: Novel

10,949 bacaan 6 ulasan

Oleh : Farishadania

Bab 1

Ain Syuhada anggun dengan busana rekaan Razwani itu. Dia melihat kebaya pendek rona putih gading tersemat dibadannya. Memang mewah dengan sulaman dan labuci yang mengindahkan lagi rekaan busana ini. Layah yang menghiasi kepalanya dengan tudung rona sama mencantikkan lagi si pemakai. Ain Syuhada membiarkan saja mak andam membuat final touch. Kala ini dia hanya pasrah sahaja menerima calon menantu pilihan ayah. Matanya pun sudah surut bengkaknya kerana dia sudah tiada kudrat lagi untuk mengerah airmata mengalir lagi. Melihat pada busana yang tersarung di badannya dan deretan hantaran yang dibawa petang tadi dia sudah mengagak calon menantu ayah tentu kaya orangnya.

Sekeping cek yang bernilai 20ribu terletak elok di dalam kotak yang dihiasi bunga pahar. Mungkin ayah sanggup menerima calon menantu duda anak lima dan tua itu kerana kekayaannya. Ain Syuhada terasa diri dijual pula. Namun dia cepat-cepat beristigfar dalam hati. Tidak baik dia menganggap ayah begitu. Sebenarnya semua ini berpunca dari dia juga. Jika dia tidak terburu-buru dalam soal Rayyan Aziz tentu nasibnya bukan begini.

Azman dan Melissa menjenguk ke biliknya. Mereka memberi sebuah senyuman untuknya. Dia membalasnya walau nampak seperti terpaksa.

“Marilah keluar, pengantin lelaki dah sampai. Dah sampai masa untuk akad nikah ni?”. Azman bersuara pada Ain Syuhada. Melissa sudah memegang tangan Ain Syuhada supaya dia keluar dari biliknya. Wajah Melissa direnungnya. Melissa hanya senyum meleret sahaja. Hmm…macam suka je aku kena kawin paksa dengan orang tua?. Ain Syuhada sudah berprasangka bukan-bukan. Namun dia gagahkan kaki juga untuk melangkah keluar dari biliknya.

Saat dia keluar dari biliknya dan melangkah untuk duduk di atas bantal yang terletak di ruang tamu. Dia melihat Datuk Adila, Datuk Adam Malik sedang tersenyum ke arahnya. Seorang wanita sebaya maknya juga berada dalam kelompok itu. Mungkin Puan Azizah mamanya Aidil Zafran.

Eh…dia seperti tersedar sesuatu. Kenapa kaum kerabat Aidil Zafran ada di sini. Dia mengalih pandang pula pada lelaki yang berada di hadapan ayahnya dan tok kadi yang berada di sebelah mereka. Dia terasa mahu pitam. Kakinya lembik tidak dapat menampung berat badannya. Melissa yang berada di sebelahnya mencengkam kuat lengannya agar segera berjalan ke arah bantal yang terletak di sebelah pelamin indah itu.Akhirnya dia berjaya duduk juga dibantal itu.

“Aidil Zafran?”. Dia menyoal Melissa yang setia disebelahnya. Melissa mengangguk.

“Dialah calon suami Ain.” Terasa seperti adrenalinnya bergerak laju. Dia nak buat apa?. Cabut lari?. Gila! Di tengah orang ramai ini. Saat itu dia nampak ayahnya dan tok kadi bergerak ke arahnya. Dia sudah berdebar-debar. Nak buat apa ni?

“Ain”. Suara lembut Encik Ismail membuatkan dia kembali tenang. Tok kadi di sebelah membawa borang yang perlu ditandatanganinya.

“Ain sudi tak jadi isteri Aidil Zafran Mustafa”. Soal Encik Ismail lagi. Ain Syuhada mengangkat muka melihat wajah tua Encik Ismail. Dia menelan liur berkali-kali. Andai dia menjawab tidak, bagaimanakah reaksi ayahnya itu. Matanya menyorot pula ke arah ibunya Puan Ainon. Wanita itu hanya senyum sugul. Mungkin masih susah hati memikirkan perkara yang lepas. Dia menghela nafas.

Ain Syuhada hanya mengangguk lemah. Encik Ismail sudah senyum. Tok kadi disebelah menyuakan borang untuk ditandatanganinya. Dia menurunkan tandatangan bersama azam di hati. Dia nekad untuk menjadi isteri yang baik buat Aidil Zafran. Dia redha dengan jodoh ketentuan Ilahi ini.

Aidil Zafran hanya berteleku di birai katil. Bilik pengantin yang semestinya dihiasi indah ini terasa tidak dapat mententeramkan jiwanya kala ini. Sejak di kampung Ain Syuhada lagi dia sudah menahan rasa. Kalau tidak disebabkan pernikahan yang sudah termeterai. Tentu dia akan meninggalkan Ain Syuhada begitu saja. Biar padan muka! Rasakan sakitnya kerana membuat aku buta begini.

Tapi bila memikirkan layanan ayah dan ibu mertuanya padanya membuatkan dia berbolak balik. Sakit hatinya pada Ain Syuhada dapat dikendurkan dengan layanan baik mertuanya itu. dan dia terpaksa menjerut rasa sehingga selesai majlis resepsi mereka di Hotel Golden Palace ini. Lepas ni, kau rasalah Ain Syuhada!. Aku tak akan biarkan kau bahagia!. Dia sudah nekad untuk membuatkan hidup isterinya itu tidak bahagia. Biar rasa seperti hidup dineraka. Dia sudah ketawa jahat.

Ain Syuhada masuk ke bilik pengantin yang berhias indah. Penat hidupnya sejak dua minggu ini kerana majlis resepsi perkahwinannya. Hari ini dia terasa lega seleganya kerana segalanya sudah selesai. Tapi dia merasa gerun untuk bersemuka dengan Aidil Zafran. Dua minggu ini mereka terpaksa hidup dalam kepuraan untuk menyenangkan hati semua orang. Namun Ain Syuhada tidak lupa. Dia masih terbayang-bayang saat Aidil Zafran mengamuk apabila rahsia sudah bukan rahsia lagi.

“Kenapa kau tak cakap kau Ain Syuhada, budak yang buat aku buta macam ni?”. Soal Aidil Zafran pada malam pertama mereka. Ain Syuhada diam tidak menjawab. Dia hanya menunduk dibirai katil melihat jari-jemarinya yang berhias inai. Nampaknya malam pengantinnya tidak akan seindah pengantin lain. Dia pasrah.

“Kau sengaja nak perangkap aku kan?. Kau jangan ingat bila aku dah kawin dengan kau. Aku dapat maafkan kau?. Aku akan pastikan kau hidup merana Ain.” Aidil Zafran sudah menyinga. Habis dibuangnya bantal yang menghiasi katil pengantin mereka. Mungkin dia terlalu marah pada Ain Syuhada lalu dilampiaskan pada bantal itu. Agaknya kalau dia nampak dengan aku sekali dihumbannya. Fikir Ain Syuhada lagi.

Ain Syuhada diam lagi. Dia tahu ini salahnya. Tidak memberitahu perkara sebenar. Tapi mana dia tahu yang dia dipinang Aidil Zafran. Niatnya hanya membantu sebagai P.A Aidil Zafran bukan melarat sampai menjadi isteri pula. Kalau dia tahu dari awal lagi dia beritahu perkara sebenar. Ini bila dah sampai hendak akad nikah baru dia tahu siapa bakal suaminya itu.

“Ok. Fine. Kau dengar sini Ain. Lepas nikah aku akan ke UK. Kau bagitahu pada keluarga kau yang kau ikut aku ke sana”. Dia memberi arahan pula. Ain Syuhada masih lagi diam.

“Kau dengar tak dengan apa yang aku cakap”. Tengking Aidil Zafran. Ain Syuhada mengurut dada kerana terkejut dengan tengkingan itu.

“Ya bos, saya dengar”. Jawabnya terketar-ketar. Aidil Zafran senyum.

“Ha…sebelum aku lupa. Depan semua orang kau panggil aku abang. Tapi depan aku je kau panggil bos. Faham!”.

“Baik bos”. Ain Syuhada menjawab perlahan.

“Aku nak tidur. Kau tidur bawah.” Ain Syuhada hanya akur dengan arahan Aidil Zafran. Dia mengambil narita lalu dibentangkan di bawah katil.

Ulang tayang peristiwa yang berlaku di kampungnya berulang lagi di rumah keluarga Aidil Zafran. Tempat tidurnya hanya di bawah katil bukan di atas katil bersama Aidil Zafran. Namun dia redha, pasrah dengan apa yang berlaku. Dia nekad dalam hati. Aidil Zafran akan ditawannya juga satu hari nanti. Kalau tidak, apa guna dia menjadi isteri Aidil Zafran yang sah.

“Bos, bangun. Subuh dah nak habis ni. Bos tak nak solat ke?Tak kan nak subuh gajah kut”. Ain Syuhada mengerakkan tubuh Aidil Zafran. Perlahan lelaki itu membuka matanya. Dia mengeliat sebentar.

“Kenapa kau tak kejutkan aku awal-awal. Tak pasal-pasal aku kena subuh gajah”. Marah Aidil Zafran seraya bingkas bangun menuju ke bilik air. Ain Syuhada masih setia memegang lengannya untuk memimpin ke bilik air.

“Tepilah. Ini bilik aku. Aku tahulah bilik air kat mana. Kau jangan nak pegang aku pulak”. Ain Syuhada menarik tangannya dari memegang lengan Aidil Zafran. Niat murninya itu terbantut bila diherdik sebegitu oleh Aidil Zafran. Ain Syuhada hanya memandang saja Aidil Zafran menuju ke bilik air.

Selesai saja mengambil wuduk, Aidil Zafran membentangkan sejadah yang tersidai di ampaian. Dia memang sudah peka dengan susun atur dalam bilik tamu yang juga biliknya ini.

“Bos, mama panggil makan. Sarapan dah sedia”. Ain Syuhada bersuara setelah dia menunggu Aidil Zafran selesai solat.

“Hah…aku ingat kau dah berambus dari bilik ni. Ada lagi. Hmm..aku tahulah. Nanti aku turun”. Aidil Zafran bersuara kasar. Ain Syuhada hanya mengurut dada menasihatkan hati supaya bersabar. Setelah bergelar isteri ini hanya tekingan dan herdikan Aidil Zafran saja yang menjadi santapan telinganya. Hilang sudah bosnya yang lemah lembut bila bertutur dulu. Ain Syuhada meraup mukanya sambil berdoa kepada Allah agar diberikan kesabaran yang tinggi.

“Macamana perancangan kamu nak ke UK tu jadi ke?”. Soal Puan Azizah pada anak bongsunya itu.

“Jadilah ma…tak kan sebab dah kawin Aidil nak cancel pula. Lagipun bukan lama mana pun 6 bulan je. Aidil bawa Ain sama…sambil kerja boleh honeymoon sekali. Tak gitu sayang?”. Ain Syuhada menoleh memandang Aidil Zafran yang masih leka menyuap bihun kemulutnya. Hmm…salah dengar ke dia panggil aku sayang!

“Betul ke Ain?”. Soal Puan Azizah pula pada menantunya itu. Sejuk dia memandang wajah manis menantunya itu. Sekali pandang macam pelakon bollywood pun ada. Maklumlah menantunya ini ada darah keturunan DKK.

“Ahh..ha..betullah tu mama”. Balas Ain Syuhada tergagap-gagap. Kakinya sudah ditendang oleh Aidil Zafran kerana lidahnya yang tergagap-gagap tidak pandai berbohong itu. Dia hanya tersenyum pada mertuanya sambil menahan sakit. Apa hal pulak main tendang-tendang ni. Ingat bola ka? Ain Syuhada sudah marah dalam hati dengan sikap semborono suaminya itu.

“Mama harap dapatlah Ain jaga Aidil. Tolong dan bantu mana patut. Almaklumlah Aidil tu macam tu. Terbaliklah pulak kan?. Sepatutnya suami kena jaga isteri”. Sayu pula mendengar suara Puan Azizah begitu. Ain Syuhada memegang tangan Puan Azizah.

“Mama jangan risau. Ain akan jaga abang selagi hayat dikandung badan”. Janjinya pada Puan Azizah. Aidil Zafran hanya tersengih. Hmm…macamlah aku nak bawa dia ke UK. Kirim salam je jawabnya.

“Nak mama hantarkan ke airport nanti?”.

“Eh…tak payahlah. Aidil boleh pergi sendiri dengan Ain. Ala ma…KLIA tu dekat je…lagipun Aidil kan ada Ain…Jangan risaulah”. Aidil Zafran pantas menolak pelawaan mamanya. Nanti rosak pulak program kalau Puan Azizah bertegas hendak menghantar mereka ke airport.

Mereka berpelukan sebelum Ain Syuhada dan Aidil Zafran masuk ke perut kereta Mercedes Benz M Class itu. Pak Deris setia menanti di pintu kereta setelah memasukkan bagasi milik pasangan pengantin baru itu ke dalam bonet kereta.

“Jangan lupa, Ain. Nanti telefon mama selalu. Kamu pula Aidil kalau dah kerja tu jangan lupa pada Ain. Kamu tu bukan sorang lagi”. Sempat lagi Puan Azizah menitipkan pesan. Datuk Adila yang berada di samping Puan Azizah turut memeluk dan mencium iparnya itu tanda perpisahan.

“Akak ni kalau boleh memang tak nak Aidil yang ke UK. Tapi dia berkeras jugak nak pergi. Akak setuju je. Lagipun bila fikir Ain ada sama, tak palah. Sambil kerja boleh honeymoonkan?”. Ain Syuhada cuma tersenyum. Namun dalam hatinya tidak habis dengan debar. Entahlah nasibnya kelak bila di UK nanti. Mungkin makin teruk dilayan oleh Aidil Zafran.

Semalam sempat juga dia menelefon ayah dan ibunya di kampung memberitahu mengenai kepergiannya ke UK bersama Aidil Zafran. Mereka hanya berpesan supaya dia menjaga diri dan menjaga rumahtangganya supaya aman bahagia.

Kereta Mercedes itu bergerak perlahan meninggalkan perkarangan rumah agam itu. Ain Syuhada melambai tangannya pada Puan Azizah dan Datuk Adila hingga hilang dari pandangan. Dia kemudian membuka sampul surat besar yang bertanda lambang Kementerian Pendidikan Malaysia itu. Sudah seminggu sampul itu diterimanya dari Melissa cuma dia tidak berkesempatan untuk membukanya.

Aidil Zafran hanya mendiamkan diri. Dia lebih banyak berbual dengan Pak Deris berbanding berbual dengannya. Ain Syuhada tidak ambil pusing. Sebaliknya dia tekun membaca surat yang baru dikeluarkan dari sampul besar itu. Dia tersenyum apabila permohonan DPLI itu berjaya dan perlu melapor diri hari ini juga. Ain Syuhada menelan liur. Nampaknya cita-citanya hendak menjadi pendidik bakal berkubur kerana mengikut Aidil Zafran ke UK. Dia pasrah jika itu bukan rezekinya. Dia masukkan semula surat itu ke dalam sampul lalu di simpan di dalam beg sandangnya.

Dia terpegun sekejap melihat airport KLIA yang begitu besar. Nampak beberapa kapal terbang besar yang berlabuh di KLIA itu. Inilah kali pertama dia berada di sini. Tak pernah termimpi pun akan ke UK sebentar lagi. Pak Deris menurunkan bagasi mereka di hentian penumpang. Ain Syuhada terleka sebentar melihat keriuhan KLIA yang terdiri dari pelbagai bangsa itu.

“Wei, tercegat apa lagi. Penat dah aku panggil ni. Jomlah masuk ke balai berlepas. Nanti nak check in bagasi lagi”. Aidil Zafran mula membebel selepas panggilannya tidak disahut Ain Syuhada. Suaranya sudah naik beberapa oktaf melawan kebisingan di KLIA ini. Ain Syuhada hanya menarik senyum menutup malu bila beberapa pasang mata melihat ke arahnya. Malu kerana dibebel sebegitu. Hmm…pakcik ni tak padan dengan buta. Sekali membebel hilang handsome. Omel Ain Syuhada dalam hati. Dia meletakkan bagasi mereka ke dalam troli, kemudian memimpin Aidil Zafran ke balai berlepas. Bebel…bebel…aku juga kena usung dia. Ain Syuhada pula membebel dalam hati. Apa dia ingat dia saja pandai bebel. Aku pun pandailah!. Tingkahnya pula.

“Kita kat mana?”. Soal Aidil Zafran setelah dirasakan agak lama dia mengikut langkah Ain Syuhada.

“Nak masuk tempat check bagasi. Kenapa?”. Soal Ain Syuhada pelik. Tadi beria benar nak suruh cepat.

“Okeylah. Aku rasa setakat ni saja kau hantar aku. Nanti pihak MAS boleh take over bantu aku”. Ain Syuhada bertambah pelik mendengar Aidil Zafran berkata begitu.

“Bukan kita nak ke UK ke?”

“Bukan kita tapi aku”. Pantas Aidil Zafran memotong cakap Ain Syuhada.

“Beginilah. Aku sebenarnya tak da hati pun nak bawa kau ke UK. Sengaja aku bohong kau dan family kita.” Aidil Zafran sambung lagi ayatnya yang tergantung tadi. Ain Syuhada masih lagi tidak faham.

“Ini kad kredit dan no pin. Tiap-tiap bulan aku akan masukkan duit nafkah untuk kau.” Aidil Zafran menunjukkan kad itu pada Ain Syuhada, namun tidak disambut.

“Ini kad kredit. Ambik”. Dia sudah mula meninggikan suara. Ain Syuhada pantas mengambil kad kredit itu sebelum adegan sebabak mereka menjadi perhatian pengunjung di KLIA itu.

“Habis tu, saya nak pergi mana?”. Ain Syuhada telan liur. Kemana dia hendak pergi sedangkan dia sudah berkemas bagai untuk mengikut Aidil Zafran ke UK.

“Ikut suka kau. Lepas selesai kerja aku di UK. Aku akan balik sini. Masa tu aku putuskan hala tuju perkahwinan kita. Kau doalah agar hubungan kita ni bertahan. Tapi aku tak rasa kita akan bertahan.” Sinis betul nada suara Aidil Zafran. Yakin benar pernikahan mereka ini akan sampai ke penghujungnya. Ain Syuhada terasa seperti hendak putus nyawa. Kemana hendak dibawa dirinya. Kembali ke pangkuan keluarga, tak mungkin. Dia tak mahu merisaukan hati kedua ibu bapanya.

Air mata sudah bergayutan ditubir mata. Menanti hendak luruh sahaja. Pengumunan mengenai penerbangan ke UK telah membuatkan Ain Syuhada seperti hendak meraung di situ saja. Dia masih erat memegang tangan Aidil Zafran seperti tidak mahu lepas.

“Lepaslah. Nanti aku tertinggal kapal terbang pulak”.

“Bos, jangan buat saya macam ni.” Suara Ain sudah serak menahan tangis.

“Aku punya sukalah. Puas hati aku. Kau berambuslah kemana kau nak pergi. Tapi ingat! Kau tetap isteri aku selagi tiada kata putus dari aku.” Aidil Zafran sudah memberi amaran sebelum melangkah pergi dengan dibantu oleh tongkat putihnya. Ain Syuhada seperti patung cendana tidak bergerak melihat langkah Aidil Zafran menuju ke balai berlepas. Lama dia berdiri di situ. Di tengah laluan orang ramai yang berpusu-pusu untuk check in bagasi mereka.

“Cik…cik…”. Panggilan dari seorang gadis yang lengkap beruniform MAS itu mengejutkan dirinya dari realiti sebenar. Dia pantas mengelap pipinya yang dibasahi airmata.

“Cik okey?”. Soal gadis itu lagi. Ain Syuhada mengangguk. Gadis itu membawanya duduk di kerusi yang terdapat di situ. Kemudian dia meletakkan beg sandang di atas ribaan Ain Syuhada.

“Beg ini hampir tercicir tadi.” Ain Syuhada memegang kemas beg itu dalam ribaannya.

“Cik okey?”. Gadis itu ulang lagi pertanyaannya.

“Saya okey. Terima kasih”. Ucap Ain Syuhada pada gadis itu.

“Hmm…kalau okey saya nak gerak dulu. Nanti tertinggal kapal terbang pula”. Balas gadis itu sebelum meminta izin untuk pergi. Ain Syuhada hanya tersenyum dan melambai ke arahnya. Dia masih duduk di situ sambil matanya melihat kelibat manusia lalu lalang di situ. Sungguh sekarang ni dia sudah buntu. Hendak mengadu pada Melissa, kakak iparnya itu bersama abangnya sekeluarga ke Bunei makan angin. Sekarang ni dia memang terdesak. Tidak tahu kemana arah hendak dituju. Pulang ke pangkuan mamanya Puan Azizah. Tak pasal-pasal dia membuka pekung di dada. Nanti dia juga akan disalahkan kerana membuat Aidil Zafran menjadi buta.

Oh..apa hendak dibuat. Ya ALLAH, bantulah hambamu yang lemah ini. Dia meraup wajahnya beberapa kali. Kemudian matanya tertancap pada beg sandangnya. Dia mengeluarkan sampul surat besar itu. Membacanya dengan lebih teliti pada kali ini. Tiba-tiba dia senyum. Hmm. IPIK Cheras Kuala Lumpur. Kali ini dia menadah tangan bersyukur pada jalan yang ALLLAH tunjukkan. Dia bangun dari kerusi, melihat kad kredit yang masih di dalam genggamannya.

Kau bagi nafkah untuk aku tiap-tiap bulan ye…It Okay…aku akan belanja habis-habisan sampai kau botak licin. Dia pejam mata membayangkan Aidil Zafran yang buta dan botak licin itu. Kemudian dia ketawa pula, semua mata memandang ke arahnya kerana pelik melihat gelagatnya. Pedulilah…yang penting mesti cepat blah dari KLIA yang menyakitkan jiwanya itu.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Novel : Suamiku Mr. Blind 1”
  1. nurul husnina says:

    bila ada sambungan dia ni..
    seronok lak aku baca,… hehehe

  2. mrs. writer says:

    kisah ni sebenarnya sambungan dari kisah Oku sayang…saja akak tukar tajuk…boleh layari diblog akak…
    danisyarahmay.blogspot.com

    thanks nurul….

  3. mrs. writer says:

    pembetulan…danisyarahmat.blogspot.com

  4. Aini says:

    bestla…bila nak kuar novel ni :)

  5. nissa says:

    patut la..tunggu punya lama sambungan citer ok.u sayang…rupanya tukar nama..

  6. puan rohana says:

    makcik suka jalan ceritanya, lebih ‘mature’ seronok pula pembaca yg lebih tua membacanya. ” syabas dapat menarik pembaca spt. makcik utk membaca novel” bila nak terbit novel ini…..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"