Cerpen : My Best Friend Forever

5 March 2013  
Kategori: Cerpen

9,589 bacaan 15 ulasan

Oleh : MIS ANNA

“SELAMAT hari lahir sahabat!” pipi Aina kukucup sayang. Tangan erat mendakap tubuh tinggi lampainya. Terbit rasa syahdu di hati. Aina, sahabat baikku semenjak berada di tingkatan dua. Dialah yang hadir saat aku dirundung masalah dan dia jualah peneman setia di kala aku gembira. Biarpun kini sudah beberapa tahun berlalu, Aina tetap sahabat akrabku. Insha-Allah sehingga ke akhirat.

“Thanks weh! Aku tak expect langsung korang nak buat benda ni. Aku terharu sangat! Aku sayang kau sangat-sangat!” Aina membalas pelukanku. Senyuman terukir di bibir mendengar kata-katanya.

“Alah, dah-dah lah tu! Nak buat drama pulak kat sini. Aku ni kau tak nak peluk ke? Aku pun tolong jugak Fina buat surprise ni.” Suara mengada-ngada Sahli meleraikan pelukan eratku pada batang tubuh Aina. Aku tertawa perlahan manakala Aina menghadiahkan jelingan tajam pada Sahli.

“Ah, setakat tolong sikit pun nak mengungkit! Blahlah!” Aina menujah kuat bahu Sahli sehingga lelaki itu terdorong ke belakang. Sahli hanya ketawa mengekeh.

“Dhira, selamat hari lahir. Aku harap kau panjang umur dan murah rezeki. Sayang kau sangat-sangat!” Kali ini, aku memeluk Dhira pula. Gadis itu turut membalas pelukanku. Ucapan terima kasih diberikan. Sayang benar aku pada sahabat-sahabatku ini. Maklumlah, kami memang rapat dari sekolah menengah lagi. Setiap hari bertemu, mengeratkan tali persahabatan antara kami tidak kira lelaki atau perempuan. Biarpun kini kami semua sudah melanjutkan pelajaran di universiti pilihan masing-masing, hubungan kami tidak pernah terputus. Lebih-lebih lagi dengan adanya kemudahan teknologi dan internet. Jarak bukan penghalang keakraban kami.

Hari ini merupakan hari lahir Aina dan Dhira. Jadi aku telah merencanakan kejutan untuk mereka berdua. Kebetulan aku dan rakan-rakan lain sedang berada di dalam cuti semester, jadi kami berkumpul untuk melepaskan rindu sekaligus menyambut hari lahir Aina dan Dhira.

“Weh, cepat! Jom ambik gambar ramai-ramai!” Laung Fuad kuat sehingga menarik perhatian pengunjung-pengunjung lain di dalam KFC itu. Pada lehernya tersangkut kamera jenama Nikon. Tanpa berlengah lagi kami terus berkumpul ramai-ramai, bersedia untuk sesi fotografi tidak rasmi. Aku tersenyum nipis memerhatikan gelagat masing-masing. Siap berperang mulut lagi! Perangai tidak pernah berubah dari dulu. Nakal sungguh!

“Fuad, kau tak nak masuk sekali ke? Mintaklah orang lain tolong ambikkan gambar kita.” Wana bersuara kuat. Dia ni memang kepoh! Kalau dalam kelas dulu, suara dialah yang paling menggamatkan suasana kami! Kalah mikrofon!

“Bagi birthday girls duduk kat tengah. Aku nak duduk sebelah Dhira!” ketawa bergema tatkala mendengar kata-kata miang Azlan. Selalu sahaja menunjukkan perangai sengalnya. Tidak kering gusi kami dibuatnya melihat telatah dan gelagat gila-gila Si Azlan ni. Mulut mengalahkan perempuan.

Fuad meminta salah seorang pengunjung KFC yang duduk berhampiran dengan meja kami untuk menangkap beberapa keping gambar kami beramai-ramai untuk diabadikan sebagai kenangan zaman muda. Hehe! Masing-masing berposing sakan.

Jam dipergelangan tangan kukerling sekilas. Tanpa sedar, waktu sudah menunjukkan ke angka 12.45 malam. Aduh, terlalu seronok bersembang dengan teman-teman sehingga lupa malam sudah mahu bertukar pagi. Terlampau seronok dapat berkumpul ramai-ramai begini setelah hampir dua tahun tidak berpeluang untuk bertemu. Nasib baiklah aku sudah memaklumkan kepada emak bahawa aku akan pulang ke rumah agak lewat. Kalau tidak, mahu panjang berjela ceramahnya nanti.

“Jomlah balik weh, dah lewat sangat ni. Nanti mak aku risau pulak.” Anita mencelah membuatkan masing-masing melihat jam di tangan.

“Alah, baru dua jam lepak takkan nak balik dah kot. Duduklah dulu.”

“Kau tu lelaki Dani, tak apalah kalau nak balik lambat pun! Kami ni perempuan!” Tempelak Atiya. Dani tersengih manakala yang perempuan mengangguk setuju.

“Jom lah gerak!” Suhana dan Izziyani bersuara serentak. Kami mulai bangun, mengemaskan meja. Sebelum beredar, kami saling bersalaman dan berpelukan. Jelas kelihatan betapa akrabnya persahabatan antara kami.

Aku bergerak seiringan dengan Aina keluar dari KFC. Kami berjalan ramai-ramai menuju ke arah parkir kereta yang disediakan. Sempat lagi menyambung perbualan yang tergendala tadi. Aina menarik tanganku lembut, menjauhi kelompok sahabat-sahabat lain. Aku disapa kehairanan dengan tindakan gadis itu namun aku diamkan sahaja.

“Kau dengan Sahli tu nampak macam rapat aje. Ada apa-apa ke? Takkan tak nak bagitau aku kot.”

Hampir tersedak aku mendengar pertanyaan Aina. Darah panas menyerbu ke wajah. Aina ni memang nak kena cepuk dengan aku. Nasib baiklah kami agak jauh tertinggal di belakang. Jika kawan-kawan lain dengar, mati aku! Malu setahun!

“Eh, mana ada. Aku biasa-biasa ajelah dengan dia. Macam kau dengan akulah.” Jawabku kalut. Boleh pulak minah ni tanya hal peribadi macam ni. Huhu!

“Alah, sejak bila kau pandai nak berahsia dengan aku ni Fina! Aku tahu kau tak pernah lupakan Si Sahli tu kan? First love–lah katakan…” Aina meleretkan suaranya. Dia tersenyum sinis melihat kekalutanku. Bibir kuketap kuat. Timbul rasa kesal kerana pernah berkongsi perasaanku dulu dengan gadis tinggi lampai di sebelahku ini. Buat malu diri sendiri sahaja!

Mataku tertancap pada Sahli yang sedang bergurau senda dengan Salmi dan Dhira di hadapan. Pemuda itu tersenyum riang. Denyutan jantungku mulai laju. Ah, jantungku ini memang mempunyai masalah. Suka buat hal dengan tiba-tiba lebih-lebih lagi ketika aku berada berhampiran dengan Sahli. Sahli, seorang sahabat lelaki yang paling akrab denganku berbanding sahabat-sahabat lelaki yang lain. Kami sudah berkawan semenjak dia dipindahkan ke dalam kelasku ketika di tingkatan satu lagi. Oleh sebab terlalu rapat, perasaanku padanya mulai berubah. Tumbuh rasa kasih melebihi sayang kepada sahabat di taman hati. Tetapi tidak pernah aku khabarkan padanya. Hanya Aina dan Dhira sahaja yang mengetahui tentang perasaanku ini. Aku tidak mahu persahabatan antara aku dengan Sahli musnah kerana cinta! Aku tahu, dia hanya menganggap aku sebagai sahabat seperti mana dia dengan kawan-kawan perempuan yang lain.

“Kau masih sayang dia ke?” sekali lagi Aina melemparkan soalan membunuh. Malas mahu menjawab, aku sekadar menggedikkan bahu. Sengaja mahu selindungkan resah di hati. Ya, aku memang masih menyimpan perasaan terhadap Sahli. Entah kenapa, sukar benar untuk aku membuang perasaan kasih yang masih mekar di nubari. Padahal, ramai lelaki yang jauh lebih kacak dan tampan yang kutemui di universiti, tetapi tiada yang mampu menggugat kasihku pada Sahli. Bagaimana aku boleh melupakannya jika dia rajin berhubung denganku? Jika tidak di Facebook, dia akan menghubungiku melalui telefon bimbit. Paling tidak pun, dia akan mengirimkan pesanan ringkas.

Dia menghubungiku sebagai seorang sahabat, kawannya untuk berkongsi cerita. Tetapi tindakannya itu telah membuai perasaanku. Tindakanya telah membuahkan rasa cinta di dalam hati tanpa dia sedari. Ah, malunya jika dia mengetahui apa yang aku pendamkan ini! Pasti dia akan menjauhkan diri. Sudah tentu dia tidak dapat menerima rasa hatiku. Aku hanya sahabatnya! Bodohnya aku!

“Aku, aku!” Lamunanku berkecai mendengar suara Aina tiba-tiba. Diriku sedikit kebingungan. Tanpa kusedari, aku sudah sampai di kawasan parkir kereta. Kulihat mereka sudah mula menaikki kenderaan masing-masing. Perodua Kancil yang dipandu oleh Salmi dipenuhkan oleh Dhira, Fatihah, Basyirah dan Diana manakala Wana, Manira, Mila dan Farhah menumpang Kia Sephia Yusrini. Perodua Myvi putih milik Fuad pula diisi oleh Azlan, Dani dan Muaz. Aku membalas lambaian mereka apabila kenderaan mereka mula bergerak. Senyuman tak lekang dari bibir. Ah, entah bila aku berpeluang untuk bertemu dengan mereka lagi.

“Bawak kereta elok-elok. Kau jangan nak buat jalan raya tu macam kat litar Sepang pulak.” Sahli berpesan pada Suzana sebelum merapatkan pintu kereta gadis itu. Izziyani, Aina, Anita dan Atiya melambai padaku dan…eh, kejap! Proton Saga yang dipandu oleh Suzana kupandang dengan rasa cuak. Penuh muatan! Habis, aku ni macam mana? Aku nak balik dengan siapa?! Oh, tidak! Jangan tinggalkan aku kat sini!

“Eh, aku nak balik jugak! Tunggulah aku!” sedikit tinggi suaraku menghalang Suzana memulakan pemanduan. Cepat-cepat aku menghampiri kereta Suzana. Takut kena tinggal. Sudahlah jauh dari rumahku. Hendak naik teksi…mana ada teksi malam-malam buta macam ni! Kalau ada pun, belum tentu selamat.

“Fina, kau tumpang Sahli eh? Dah penuh muatan ni. Lagipun Sahli sorang, kau temanlah dia.” Ujar Izziyani selamba. Tumpang Sahli?!! Mana boleh!

“Aku takut ada polis. Nanti kena saman kalau lebih muatan.” Belum sempat aku membuka mulut, Suzana pula menambah. Jatuh merudum semangatku. Kepala bagai dihempap batu besar.

Aina mengeluarkan kepalanya dari tingkap belakang. Ada senyuman jahat terukir di bibirnya. “Sahli, kau hantar Fina balik! Kalau aku dapat tahu kau bawak dia ke tempat lain, siap kau!” Aina memberi amaran keras. Keluhan berat aku lepaskan.

Sahli ketawa kuat. “Kau ingat aku gila ke? Aku tahulah!”

Kereta Suzana mula bergerak perlahan meninggalkan tapak parkir kereta yang kian lengang. Aku hanya memandang sayu. Bibir kugigit kuat. Aku tidak pernah berdua-duaan dengan Sahli. Bagaimana aku ingin berhadapan dengannya? Kusut!

“Jom balik. Ke kau nak duduk situ sampai pagi? Aku dah ngantuk ni.” Sahli mula bergerak ke arah Myvi merah yang di parkir di bawah pokok besar. Kawasan itu agak gelap sedikit kerana agak jauh dari lampu jalan. Sahli memindahkan barang-barang yang berada di sebelah tempat pemandu ke bahagian belakang sebelum aku mengambil tempat di sebelahnya. Seboleh mungkin aku cuba berlagak selamba bagai tidak ada apa-apa walhal di dalam hati, hanya Allah yang tahu. Betapa kencangnya degupan jantungku, kalah orang yang dikejar anjing. Aduh!

“Apsal kereta kau ni jauh daripada orang?” aku membuka bicara. Janggal pula jika tidak berbual. Padahal jika di Facebook atau di telefon, kami berborak sampai tak sedar diri. Aku mengerling sekilas ke arah Sahli yang membetulkan tempat duduknya. Mencari keselesaan sebelum memulakan pemanduan.

“Tadi parking penuh so, aku parking-lah kat sini. Eh, pakai seat belt tu. Kalau jadi apa-apa nanti, aku pulak yang susah.” Mendengar arahan Sahli, cepat-cepat aku menarik tali pinggang keledar. Akibat terlalu kalut, aku gagal untuk menarik keluar tali pinggang keledar di sisi. Beberapa kali aku cuba menyentapnya namun gagal. Alamak, kenapa dengan aku ni?!

Sahli menghidupkan radio. Mungkin untuk mengelakkan diri dari rasa mengantuk. Faham sangat apabila malam semakin merangkak ke pagi. Pasti kantuknya sudah hadir.

“Kenapa dengan kau ni Fina? Nampak cuak semacam. Kau takut dengan aku ke?” Sahli tersengih nakal. Sengihannya mula bertukar kepada ketawa kecil membuatkan aku kecut. Kenapa dengan mamat ni?

“Aku takkan buat apa-apa lah kecuali dengan yang halal.” Tenang sahaja Sahli menuturkan kata-kata. Dapat aku rasakan pipiku mula membahang. Panas semacam! Adeh, sabarlah wahai hati!

“Apa kau merepek ni? Daripada kau merepek yang bukan-bukan, baik kau tolong aku tarik seat belt ni. Stuck-lah.” Tangan masih cuba menarik tali pinggang keledar, tetap tidak berhasil. Apahal-lah dengan kereta Sahli ni? Nampak baru tapi tali pinggang keledarnya rosak!

Aku terkedu apabila Sahli menghalakan renungan tajamnya pada mukaku. Oh, tolonglah jangan pandang aku macam tu! Jerit hati sendiri. Sesak nafasku apabila lambat-lambat Sahli merapatkan badannya ke arahku. Cemas dan cuak! Seboleh mungkin aku mengawal desah nafas agar tidak terlalu ketara ketakutan dan kekalutanku. Ya Allah, selamatkan hambaMu ini.

Saat ini, wajahnya hanya beberapa inci sahaja dariku. Cukup dekat! Hangat helaan nafasnya jua dapat kurasakan terkena pipiku. Anak mataku terpaku pada sepasang matanya yang redup. Biarpun dia tidak memandangku, tetapi sudah cukup untuk meluruhkan jantung!

“Nak tarik seat belt ni tak boleh main sentap aje. Kita kena tarik dengan tenang, barulah smooth aje dia keluar. Haah, tengok! Dah siap.” Cepat-cepat aku tersedar. Kulihat tali pinggang sudah siap terpasang. Aku menghela nafas lega melihat Sahli mula duduk seperti biasa. Tidak terlalu rapat denganku seperti tadi. Reaksinya hanya biasa sahaja, bagai tiada apa-apa yang berlaku. Aduh, aku aje yang terlebih cuak. Hisy! Sahli menghidupkan enjin kereta sebelum cermin kereta diketuk oleh seseorang. Aku menghalakan pandangan ke arah orang yang mengetuk cermin kereta sebentar tadi sebaik sahaja Sahli bertindak menurunkan cermin di bahagiannya.

Terbuntang mataku melihat beberapa orang yang memakai kopiah dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun berdiri di sekeliling Myvi Sahli. Jantungku bagaikan berhenti berdegup! Aku dapat rasakan bagai ada sesuatu yang tidak elok bakal berlaku. Kulihat Sahli agak gabra biarpun dia cuba melindungkan resah di hatinya. Dia mengerling wajahku sekilas sebelum dia keluar dari kereta, menuruti arahan lelaki berkopiah yang mendakwa dirinya sebagai pegawai dari jabatan agama islam.

Tangan kugenggam kuat. Basah! Kulihat tapak tangan ku berpeluh dan menggigil. Ya Allah, apa yang berlaku ni? Tubir mata kurasakan hangat. Empangan air mata bagaikan sudah bersedia untuk pecah. Takut! Wajah emak yang sayu terlayar diminda. Saat itulah, air mataku jatuh ke pipi. Mengalir lesu. Agak lama Sahli disoal siasat sebelum pintu di sebelahku dikuak dari luar. Aku sedikit tersentak.

“Cik, tolong keluar. Boleh saya tengok ic cik?” Seorang lelaki menegur. Dalam tangisan tanpa suara, aku menurut. Aku melangkah keluar dari kereta lalu menghulurkan kad pengenalanku pada lelaki yang berusia dalam lingkungan pertengahan 40-an tadi.

“Kami tak buat apa-apa pun. Kami baru aje habis jamuan dengan kawan-kawan tadi. Kami dah nak balik ni. Tolonglah percaya.” Suara Sahli separuh merayu menarik perhatian. Aku memandang sayu ke arahnya. Kini, aku faham apa yang sedang berlaku. Dadaku sesak! Mataku dipejam! Aku harap ini semua hanya mimpi! Ya Allah, adakah Engkau sedang menghantar ujian padaku?

“Semua pasangan yang kami tangkap cakap tak buat-buat apa-apa walaupun jelas dan nyata apa yang mereka buat. Macam-macam alasan yang kami terima. Maaf, kamu berdua ikut kami, cerita di balai.” Ujar salah seorang lelaki yang berdiri berhampiran Sahli. Nadanya tegas!

“Sama umur. Hisy, tak faham betul dengan budak-budak zaman sekarang. Bertudung litup pun masih boleh buat maksiat. Tak takut Allah ke?” Lelaki yang mengambil kad pengenalanku tadi mengeluarkan kata-kata yang membuatkan aku tersentap. Buat maksiat? Kami tak buat apa-apalah! Terasa ingin sahaja aku menjerit saat itu, namun suaraku bagai tersekat di kerongkong. Tidak mahu keluar.

“Tolonglah percaya tuan, kami memang tak buat apa-apa. Dia ni kawan saya, takkan saya nak rosakkan dia pulak.” Sahli mencuba lagi memberi penjelasan. Dalam kesamaran, wajah Sahli merah padam. Mungkin sedang marah bercampur malu. Sama dengan apa yang sedang aku rasakan saat ini.

“Dah, kamu berdua ikut kami!” ujar lelaki berhampiran Sahli tegas. Sahli tidak diberi peluang untu membela diri. Aku pula? Menangis! Hanya itu yang mampu!

“AKU terima nikahnya Nur Surfina bt Sufyan dengan mas kahwinnya seperti yang tersebut itu.” Masih terngiang-ngiang suara syahdu Sahli melafazkan akad siang hari tadi. Dengan dua kali lafaz, aku kini menjadi isterinya yang sah. Bibirku ketap kuat. Aduh, sakit! Sah, aku memang tidak bermimpi! Semua perkara berlaku dalam sekelip mata!

Kejadian ditangkap di dalam kereta minggu lepas telah membawa perubahan besar di dalam hidupku. Jika semalam aku bujang, kini aku sudah bergelar isteri orang. Isteri kepada sahabat baik aku sendiri! Isteri Muhammad Sahli bin Tirmizi! Dalam usia awal 20-an, aku sudah memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Peristiwa hitam itu telah menghancurkan segala mimpi dan angan-anganku. Kononnya aku ingin menamatkan zaman bujang ketika berumur 26 tahun. Tetapi belum sempat menamatkan pengajian, aku sudah memasuki gerbang perkahwinan tanpa kerelaan. Sudahlah berkahwin dalam keadaan yang tiba-tiba. Ya Allah, berat sungguh dugaanMu ini. Air hangat merembes perlahan di pipi. Sudah tidak ada maknanya untuk aku kesalkan. Perkara sudah berlaku.

Teruk aku dimarahi oleh emak dengan apa yang berlaku. Perbuatan aku telah memalukan emak dan seluruh keluarga. Aku telah membuatkan emak menangis terluka. Berkali-kali aku memohon keampunan dari emak tetapi emak hanya diam. Aku langsung tidak diberi kesempatan untuk membela diri. Di dalam balai polis itu juga aku meraung tanpa rasa malu. Aku takut dengan kebisuan emak. Aku tahu emak terluka. Dengan arahan emak dan persetujuan keluarga Sahli, aku dinikahkan segera dengan sahabat baikku sendiri. Mereka langsung tidak mahu menerima alasan kami berdua. Aku ibarat orang jatuh ditimpa tangga. Sudahlah ditangkap, disuruh kahwin pula!

Badan yang melekit memaksa aku menarik tuala bergerak ke bilik air di dapur. Pergerakkanku agak bebas apabila saudara mara sudah pulang ke rumah masing-masing. Majlis akad nikah hanya diadakan secara kecil-kecilan sahaja. Yang datang meraikan kami hanya keluarga terdekat aku dan Sahli sahaja. Kedua-dua keluarga telah bersetuju untuk mengadakan majlis selepas aku dan Sahli menamatkan pengajian masing-masing yang masih berbaki dua semester.

Usai membersihkan diri, aku melangkah lemah ke arah bilikku yang kini perlu dikongsi dengan Sahli. Dari keriuhan di ruang tamu, aku tahu Sahli sedang berbual dengan emak dan adik-adikku. Biarlah! Aku lagi suka kalau Sahli tak masuk bilik terus! Berkongsi bilik dengannya? Tidak pernah terlintas di fikiran langsung!

Lengkap berpakaian aku terus menghadap Ilahi. Kepada-Nya aku meluahkan segala resah di hati dan kepada-Nya jua aku memohon kekuatan fizikal dan mental agar dapat kulalui ujian ini tanpa berpaling dari yang Maha Berkuasa. Aku yakin Allah menurunkan ujian ini kerana ingin menguji sejauh mana keredhaanku dengan ketentuan-Nya. Aku perlu bersabar. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka dan akan masuk ke syurga tanpa dihisab lagi. Insha –Allah.

Pintu dikuak dari luar ketika aku sedang melipat telekung. Wajah lesu Sahli kupandang sekilas. Pipiku mula membahang! Darah hangat menyerbu ke muka. Baru aku tersedar, aku kini tidak bertudung. Dia tidak pernah melihat aku tanpa bertudung. Begitu jua lelaki ajnabi yang lain. Tetapi saat ini, rambutku sudah menjadi tatapan matanya. Ah, bukan berdosa pun. Takkan lah dalam bilik pun aku mahu bertudung? Kerja gila namanya. Dengan selamba aku menyimpan telekung di dalam almari. Untuk mengelak dari menghadap muka Sahli, aku berpura-pura sibuk membetulkan pakaian yang sudah terlipat kemas. Janggal apabila ada lelaki di dalam bilik.

“Fina, mari sini kejap.” Biarpun nada suaranya tidak tinggi, tapi jelas ada ketegasan di situ. Aku yang sedikit tersentak, bergerak menghampirinya yang duduk di birai katil. Aku hanya akur dengan arahannya menyuruh aku duduk di atas katil yang sama. Aku sedikit tersentap ketika dia bingkas menjauhkan diri dariku. Dia melangkah keluar dari bilik meinggalkan aku dalam kebingungan. Aku langsung tidak kisah jika dia tidak sukakan aku, tetapi tolonglah jangan ditunjukkan di hadapanku. Hati aku ni terlalu sensetif. Aku mengetap bibir, menahan getaran rasa.

Sebelum bergelar isteri kepada Sahli, aku mengaku bahawa aku memang sudah lama memendam perasaan terhadapnya. Aku memang cintakannya dalam diam. Tetapi aku tidak khabarkan kepada lelaki itu kerana ingin menjaga hubungan persahabatan kami. Namun perasaan itu bagaikan sudah mulai pudar selepas aku bergelar isterinya. Pernikahan ini telah menghancurkan hidupku! Gelaran isteri itu telah membunuh kerianganku!

Sahli kembali dengan membawa sebuah beg kecil berwarna hitam. Dia mengeluarkan pakaiannya dari beg itu. “Aku nak mandi. Boleh pinjam tuala kau tak? Aku lupa nak bawak tadi.” Sahli bersuara tanpa memandangku. Benci sungguh dia padaku nampaknya. Dengan lemah, aku melangkah ke arah alamari lalu mengeluarkan tuala bersih sebelum dihulurkan kepadanya. Dia segera berlalu.

Aku mengambil comforter dan selimut lalu dibentangkan di atas lantai. Aku akan tidur di lantai manakala Sahli yang akan tidur di atas katil. Dia tidur di lantai? Mana boleh! Dia anak orang senang. Tidak pernah merasa tidur di atas lantai. Sebagai tuan rumah, aku akan melayannya dengan baik. Melayan dia sebagai tetamuku. Baru sahaja kepalaku mencecah bantal, aku sudah terlena. Entah berapa lama aku tidur. Aku hanya tersedar ketika kakiku digoncang perlahan oleh seseorang. Terpisat-pisat aku bangun melihat batang tubuh Sahli tegak di hadapanku.

“Kenapa kau tidur kat bawah? Kau ingat ni dalam novel ke? Nak tidur asing-asing macam ni? Tidur ajelah kat atas katil tu.” Sahli bersuara tidak mesra. Tidak seperti sebelum aku bergelar isterinya. Aku hanya merenung kosong pada wajah sugulnya. “Aku bukan gentleman sangat sampai nak tidur kat atas lantai. Buat sakit belakang aku aje. Aku akan tidur atas katil jugak tapi aku takkan sentuh kau.”

Bengang dengan kata-kata Sahli yang memalukan aku membuatkan aku cepat-cepat merentap kasar selimut dan bantal lalu aku campakkannya di atas katil. Ingat aku hadap sangat nak suruh kau sentuh aku?! Aku tetap diam, bersiap sedia untuk menyambung tidur kembali.

“Tunggu Fina, jangan tidur lagi. Aku ada hal penting nak cakap dengan kau.” Permintaan Sahli mematikan hasrat aku untuk tidur. Aku mengeluh kasar. Apa lagi yang kau nak ni?!

“Kenapa kau tak nak cakap dengan aku ni? Diam aje dari tadi.” Sahli berdiri, bersandar pada dinding hampir dengan tingkap bilik yang ternganga luas, membenarkan angin malam menerobos masuk ke ruang yang mulai hangat ini.

Aku membetulkan duduk, bersandar pada kepala katil sambil berpeluk tubuh. Mukaku masam mencuka. Sepanjang lapan tahun aku mengenali Sahli, aku tidak pernah bermasam muka dengannya tetapi malam ini, aku bermasam muka! Kenapa? Entahlah, aku sendiri tidak pasti. “Cakaplah cepat.”

Sahli merenung tajam, tepat pada mataku. Jantungku mula berdegup laju. Sekali lagi pipiku membahang. Aduh! Geram pula aku dengan keadaan diriku ini. Tolonglah jangan kalut sangat!

“Aku harap kau akan faham apa yang aku nak cakap ni.” Sahli berjeda seketika sebelum dia kembali menyambung bicaranya. “Aku tak bersedia dengan apa yang jadi pada kita ni. Aku betul-betul tak sedia nak jadi suami apatah lagi suami pada kau yang jauh lebih baik dari aku. Aku tahu, ilmu agama kau lagi tinggi dari aku. Kita terlalu muda untuk pikul tanggungjawab ni.”

“Then, kenapa kau tak tolak? Kenapa kau terima?” Nada suaraku agak tinggi melampiaskan rasa marah yang tertanam dalam jiwa. Dengan berani, aku menentang pandangannya. Namun tidak lama. Aku kembali tertunduk kalah.

“Aku tak diberi peluang untuk bela diri sendiri. Keluarga aku terlalu tegas. Aku ada cita-cita dan kau sendiri tahu apa yang aku nak dalam hidup aku. Aku rasa pernikahan kita ni sedikit sebanyak dah ganggu hidup aku.”

Di kala ini, hati aku bagai dirobek mendengar kata-kata Sahli. Bercakap tanpa tengok kiri kanan. Aku ini pencintanya dalam diam! Aku pernah menyimpan angan-angan untuk menjadi suri di hatinya. Tolonglah sedar wahai Sahli!

“Kalau macam tu, kita cerai ajelah! Apa yang susahnya?”

Aku terkedu apabila laju Sahli menghampiriku. Anak matanya tajam menikam anak mataku. Gerun melihat wajahnya saat ini. Hampir sahaja dia mengangkat tangan, mahu menampar pipiku. Pandangan kami bertaut lama sehinggalah dia terduduk lesu di lantai. Agak lama juga dia mendiamkan diri. Aku pula terkaku di atas katil. Ya Allah, apa yang harus aku buat? Sesunggunya aku sedang buntu!

“Macam nilah Sahli, kau ikut aje apa yang aku cakap ni. Aku tahu kau tak pernah ada perasaan pada aku. Dan aku tahu perkahwinan ni takkan ke mana. Lepas ni kita hidup macam biasa, macam sebelum ni. Tak ada apa yang berubah. Lagipun cuti semester dah nak habis. Aku tak nak perkahwinan ni ganggu pelajaran aku. Kau belajarlah bersungguh-sungguh, capai cita-cita kau tu. Aku takkan kacau hidup kau dan aku harap kau pun takkan kacau hidup aku.” Hatiku bagai sedang dihiris belati tajam. Pedih! Aku hanya perempuan biasa. Mengharapkan perkahwinan ini yang pertama dan yang terakhir dalam hidup. Lebih-lebih lagi aku dinikahi oleh seseorang yang kusayangi sejak zaman sekolah lagi. Tetapi apa boleh buat. Dia tidak mencintaiku.

“Lepas habis belajar?” Soalan Sahli membuatkan aku memikirkan segala kemungkinan yang bakal berlaku. Hanya ada dua kemungkinan. Samada aku masih bersamanya atau kami berpisah.

“Kita berpisah. Aku tahu nanti kau mesti akan ada pilihan hati. Masa tu mesti keluarga kita akan faham. Dan, aku harap kau boleh rahsiakan perkara ni dari kawan-kawan kita. Aku tak mahu diorang tahu tentang hal memalukan ni.” Tegas sahaja jawapanku. Aku sudah malas mahu mendera perasaan sendiri. Sudahnya, aku terus menyelubungi diri, menyambung tidur dengan hati yang sakit.

“KAU fikir apa ni Fina?” Suara Hafizah memeranjatkan aku. Berkecai terus lamunan panjangku.

“Lagi beberapa hari nak balik rumah, sabarlah. Takkan lari rumah di kejar.” Hafizah berlawak. Aku hanya tersenyum hambar. Lagi beberapa hari aku akan pulang ke rumah. Bermakna, lagi beberapa hari aku akan menjadi janda. Janda? Yalah, aku dan Sahli sudah membuat keputusan untuk memutuskan ikatan perkahwinan yang sudah berusia setahun dua bulan ini. Semenjak cuti semester di mana aku dinikahkan dengan Sahli, hubungan kami mulai terjejas. Kami sudah terputus hubungan. Dia tidak lagi menghubungiku seperti sebelum kami berkahwin. Aku pun tidak mencuba untuk menghubunginya. Biarlah. Takut nanti sukar untuk aku lepaskannya.

Jika pulang bercuti pula, kami tinggal di rumah masing-masing. Tidak ada pula bayangnya datang menjengahku di rumah. Langsung tidak menghubungi aku! Suami apa macam tu?! Eh, kenapa aku marah pula? Bukankah sudah dikhabarkan kepadaku bahawa dia tidak bersedia? Ya, dia tidak bersedia. Aku pula, menghitung hari aku bakal diceraikan. Hmmm…

Setahun dua bulan berlalu, tidak pernah memadamkan rasa cintaku pada Muhammad Sahli bin Tirmizi. Perasaanku padanya tetap sama sebagai mana aku menyayanginya dahulu. Hanya dia sahaja yang tidak tahu dan tidak pernah mengambil tahu. Berpisah dengan orang yang kita kasihi itu memang memeritkan! Berpisah sebelum sempat aku menikmati kasihnya. Ah, biarlah! Biar hilang cinta manusia tetapi jangan sesekali kehilangan cinta Allah. Itu yang lebih penting!

Aku menghamburkan keluhan bosan. Perlahan-lahan aku menghampiri meja belajarku sebelum menghidupkan komputer riba. Laman facebook dibuka. Tiada sebarang ‘notyfication’ ataupun ‘message’. Jika dahulu, Sahli akan memenuhkan ‘notyfication’ dan ‘message’ku tetapi kini tidak lagi. Aduh, pedihnya rasa hati! Ingin sahaja aku menangis saat ini. Sudah terlalu lama aku memendamkan perasaan hati. Semuanya aku pendam sendiri. Tiada siapa yang mengetahui tentang perkahwinan kami. untuk apa aku ceritakan jika kelak ia akan mendatangkan masalah kepada diri sendiri.

“Bila kau nak kemas barang-barang kau ni Fina? Karang tak sempat barulah menyesal.” Hafizah membebel sakan. Teman sebilikku itu sedang sibuk mengemaskan segala barang-barangnya untuk di bawa pulang. Maklumlah, pengajian sudah tamat. Masing-masing tidak sabar untuk pulang.

“Nantilah aku kemas. Nak update blog kejap.” Aku menjawab malas. Mataku ralit meneliti skrin komputer riba. Aku membuka pula laman blogku. Setiap hari aku akan menaip, menceritakan segala kisah hati di dalam blog. Hanya di situlah aku mampu berkongsi segala keperitan dan perasaanku. Biarpun tiada balasan tetapi aku tetap lega jika dapat menulis. Beban dipundak bagaikan terlepas bebas. Aku melihat ‘entry’ lamaku. Suka benar aku membaca komen dari seorang pembaca setia blogku. ‘IYFA’, nama penanya. Kata-katanya seringkali membangkitkan semangat untuk aku belajar juga meneruskan kehidupan. Dia juga memberikan semangat kepadaku untuk terus setia kepada cinta kepada si suami.

Teman yang baik sukar dicari, lebih sukar untuk ditinggalkan, dan mustahil untuk dilupakan.

Kata-kata Iyfa meresapkan sesuatu di laman hati. Teman? Sahabat? Ya, aku telah kehilangan sahabat setiaku! Sahli! Walaupun kita menghampiri perpisahan, tidak bermakna persahabatan antara kita akan putus. Hubungan suami isteri mungki n boleh berakhir tetapi persahabatan sejati tidak akan menemui penghujungnya. Rindu pada sahabatku itu begitu menggebu. Tidak rindukah dia pada aku, sahabat paling rapatnya ini?

Love is temporary but friends is forever…

Betul! Aku tak sepatutnya mengakhiri persahabatan antara kami. Persetankan perkahwinan yang bakal menemui pengakhiran ini. Persahabatan itu lebih penting untuk dijaga!

If you love something, let it go,If it comes back to you, it’s yours,If it doesn’t, it never was.

Ah, ada sahaja kata-kata Iyfa yang meresap masuk ke dalam hati. Selalu menepati situasiku.

It’s easier to turn a friendship to love than to turn love into a friendship.

Aku tersentak apabila Hafizah menyentuh lembut bahuku. Aku segera berpaling padanya. Kami saling bertatapan sebelum Hafizah tiba-tiba memelukku sambil menangis. Aku hairan namun masih cuba untuk memujuknya.

“Sabar Fizah, janganlah menangis macam ni. Cuba cerita kat aku apa masalah kau. Mungkin aku boleh tolong.”

Hafizah menggeleng laju. Dakapannya semakin erat. Agak lama kami berada di dalam dakapan masing-masing sehingga tangsian Hafizah reda. Hafizah menggenggam jemariku. Anak matanya merenung jauh ke dalam mataku.

“Aku mintak maaf sebab terbaca blog kau.”

Sebaris ayat keluar dari mulut Hafizah, membuatkan aku terkaku. Mati terus senyuman yang menghiasi wajah.

“Aku pelik bila kau tak nak bagi aku tengok blog kau. Malah link blog pun kau tak nak bagi. Tadi masa kau keluar ke tandas, aku curi tengok link blog kau. Aku buka. Kenapa kau tak pernah nak share dengan aku Fina? Aku ni roommate kau kan?”

Keluhan kasar terhembus dari hidung. Bibir kuketap kuat. Mata dipejam seketika. “Aku tak tahu macam mana nak cerita. Benda ni melibatkan maruah aku. Aku takut orang lain akan fikir buruk pasal aku padahal aku ni bertudung litup. Orang tengok aku ni baik tapi kena tangkap khalwat. Aku tak mampu.” Di hadapan Hafizah, aku menangis bagai anak kecil. Hafizah cuba untuk menenangkan aku.

“Tapi kau hanya mangsa keadaan. Bukan salah kau. Ini ketentuan Allah untuk kau. Dia dah bagi peluang pada kau untuk menikahi seseorang yang kau sayangi. Cubalah hargai apa yang diberikan. Takkan kau nak lepaskan kawan baik kau plus husband kau tu Fina?”

“Aku malu dengan dia Fizah. Aku pernah minta cerai dari dia. Lagipun dia tak pernah tahu perasaan aku pada dia.”

Hafizah terdiam. “Cuba kau bagitau dia Fina. Sampai bila kau nak pendam perasaan kau ni? Kalau kau tak bagitau, melepaslah kau. Aku yakin, kau memang ditakdirkan untuk hidup dengannya. Kau memang ditakdirkan menjadi isteri dia.” Hafizah cuba meniupkan semangat kepadaku.

“Hmmm, nantilah aku fikir. Fizah, tolong rahsiakan benda ni ya?” aku berpusing memandang skrin komputer riba. Tejegil mataku melihat nama Sahli pada ruangan chat. Ah. Dia sedang online! Hendak tegur ke tidak?

Aku jatuh cinta lagi!

Mataku menangkap status yang di’upadate’ oleh Sahli. Hati aku tersentap! Dia jatuh cinta? Dengan siapa? Lupakah dia bahawa aku ini masih isterinya? Sungguh, saat ini aku bagai ingin meraung. Selama ini aku masih boleh bertenang kerana Sahli belum pernah jatuh cinta pada sesiapa. Jadi aku masih berpeluang untuk mencintainya. Namun, harapan tinggal harapan. Sahli sudah selamat jatuh cinta entah pada siapa. Memang tidak perlu untuk aku mempertahankan perasaanku lagi. Ya, aku akan pulang ke rumah nanti untuk mendengar lafaz cerai dari mulutnya. Bagi melampiaskan rasa hati, aku turut menaip sesuatu. Nak update status jugak! Biar dia baca!

Sometimes, the best way to stay closer to someone you love is being just a friend!

Hah! Padan muka! Padan muka pada siapa? Aku atau dia? Timbul pula rasa kesal di hati kerana terburu-buru bertindak. Pasti dia akan terbaca statusku itu. Entah apa tafsirannya padaku. Adeh, kenapalah aku perlu memalukan diri sendiri? Surfina!

Hilang terus semangatku membaca status kedua Sahli. Dia memang sedang dilamun cinta nampaknya! Cemburu mula menguasai diri. Siapalah gadis bertuah yang mampu membuatkan Sahli jatuh cinta itu. Sungguh bertuah! Aku jua yang ditimpa malang bertimpa-timpa. Astaghfirullah…jangan sesekali menyalahkan takdir Fina! Sekali lagi aku membaca statusnya. Kali ini perasaanku bagai dicarik-carik.

Buat seseorang: tenanglah, hanya kamu dihatiku. Aku hanya akan pergi apabila kamu yang memintanya.

Malas mahu menghadap facebook lagi, aku ingin segera menekan ikon ‘logout’ namun terhenti apabila ada seseorang menghantar chat. Mahu terjojol mataku melihat nama pengirim chat tersebut. Muhammad Sahli!

Assalamualaikum. Bila balik?

Aduh! Sibuk nak tanya! Dah tak sabar nak cerailah tu! Orang dah bahagialah katakan…

Hari khamis nanti.

Pendek sahaja balasanku. Sudah tentu tidak semesra dulu lagi. Tiada ‘haha’ tidak ada ‘huhu’. Biarlah…untuk apa lagi? Hubungan kami bakal berakhir! Tunggulah saat aku pulang nanti, aku akan berhadapan dengannya secara bersemuka!

PAGI Khamis itu aku dikejutkan dengan panggilan dari Sahli. Tidak pernah-pernah dia menelefon, tiba-tiba telefon. Pelik! Namun aku tetap menjawab panggilannya.

“Kenapa?” tanyaku sebaik sahaja dia menjawab salam. Malas mahu berbual lama-lama. Hanya menambahkan luka di hati. Cukup-cukuplah membuai hati aku wahai Sahli!

“Dah siap kemas ke? Abang ada kat bawah ni. Turun cepat ya? Panas ni.”

Hampir terlepas genggaman pada telefon bimbit mendengar bicaranya. Aku memandang lama pada skrin alat komunikasi di tangan. Sahli! Memang Sahli yang menelefon tetapi panggilan abang tu? Dia salah telefon kot! Aku segera mematikan talian. Dah! Aku tidak akan sesekali lemah dengan Sahli lagi. Aku sudah mempersiapkan fizikal dan mental untuk menghadapi hari penceraianku.

Sekali lagi telefon bimbit berbunyi. Aku bengang! Orang sibuk nak balik, dia sibuk nak berbunyi! Sahli! Apahal-lah mamat ni! Aku menarik nafas panjang sebelum menjawab panggilannya.

“Nak apa lagi?” tanyaku kasar. Hilang sabar betul aku dengan mamat sorang ni! Dari dulu sehingga sekarang, suka benar mempermainkan perasaanku! Yang merana itu aku! Bukan dia!

“Err…Fina…” suaranya tergagap. Aku dah agak, mesti salah call. Kalau tak, tak adalah sampai nak tergagap macam tu. Menyampahnya!

“Aku dah lambat ni! Karang tak pasal-pasal aku kena tinggal dengan bas! Kau jangan main-main boleh tak?” tengkingku garang. Meledak kemarahan yang kusimpan setelah sekian lama. Sudahlah, aku dah banyak bersabar dengan perangai lelaki ini! Biarlah. Dah tiba masanya untuk aku berhenti mencintai.

“Fina, abang ada kat bawah ni. Abang tunggu Fina turun. Banyak ke barang-barang Fina tu? Larat tak nak bawak turun? Kalau tak, abang tolong.”

Bicara Sahli buat aku terpempan. Bibir terkunci rapi! Hilang terus kata-kata untuk membalas.

“Fina, suami kau ada kat bawah!” Hafizah muncul dengan tiba-tiba membuatkan aku terperanjat. Benarkah? Sahli datang menjemputku? Bibirku ketap kuat! Aduh, sakit! Aku benar-benar bukan bermimpi! Ini realiti!

Setelah bersusah payah aku membawa segala barang-barang turun ke tingkat bawah, aku saling berpelukan dengan Hafizah sebelum kami berpisah. Keluarganya sudah menunggu. Ah, entah bila aku akan berjumpa lagi dengannya lagi. Lambaian terakhir aku berikan melihat kereta yang dipandu oleh bapa Hafizah mula bergerak meninggalkan kawasan kolej kediaman.

“Err, assalamualaikum.”

Aku segera berpusing ke belakang mencari pemilik suara yang memberi salam. Pergerakanku terkaku saat anak mataku bertaut dengan pandangan redup dari sepasang mata yang amat kurindui itu. Lama kami saling bertatapan. Hanya mata yang berbicara. Aku tenggelam dalam perasaan sendiri. Bagai ada secebis rasa hati merasai cinta kembali mekar segar. Oh, tidak! Aku tak mahu!

Lambat-lambat aku menyambut salam yang dihulurkan oleh Sahli. Sebaik sahaja kulit tangan kami bersentuhan, Sahli menggenggam erat tanganku sebelum aku tunduk mencium tangannya. Saat itu, kedamaian datang bertapak di laman hati.

“Shall we?” Sahli menunjukkan ke arah keratanya yang diparkir tidak jauh dari tempat kami berdiri. Dia mengangkat semua barang-barangku. Terharu melihat dirinya kini berada di hadapan mata. Usai memasukkan segala barang milikku, Sahli bersiap sedia untuk memulakan pemanduannya. Aku mengambil tempat di sebelahnya.

“Kereta sewa ke?” tanyaku berbasa-basi.

Sahli berpaling sekilas padaku sebelum menumpukan perhatian pada pemanduannya. “Eh, tak lah. Abang pinjam kereta Along. Kereta abang rosak.” Kereta Along? Along berada di Perliskah? Takkanlah Sahli memandu dari Pahang hingga ke Perlis semata-mata ingin menjemputku. Tak mungkinlah! Jangan bermimpilah Fina.

“Kereta Along?”

“Sebenarnya abang dari Pahang. Dah dua bulan pengajian abang tamat. Sebulan lepas abang dah dapat kerja. Abang dah berjaya capai apa yang abang nak, Fina. Apa yang abang nak sekarang, hanya Fina. Nur Surfina, isteri abang.”

Aku bungkam! Apa yang sedang diperkatakan oleh Sahli ini?

“Hidup abang tanpa Fina macam orang sakit tak dapat ubat. Tak tentu arah hidup abang. Abang nak hubungi Fina macam dulu tapi abang takut. Fina dah bagi amaran pada abang supaya jangan kacau Fina. Abang tahu perkahwinan kita ni secara tiba-tiba tapi bukan dalam kawalan abang. Allah dah takdirkan, kita disatukan dengan cara macam ni. Abang tak mampu nak buat apa-apa. Abang lelaki, banyak tanggungjawab yang abang kena pikul. Masa kita dinikahkan, abang betul-betul tak bersedia Fina. Tapi abang cuba belajar sampai abang yakin dengan diri abang ni. Abang tak berniat nak mempermainkan Fina. Abang pun cintakan Fina. Dah lama, sebelum kita kahwin lagi. Abang tahu Fina sayangkan abang. Abang boleh nampak dengan jelas dari cara Fina pandang abang, Fina layan abang. Abang dapat rasakan kasih Fina pada abang. Cuma kita tak punya kekuatan untuk berhadapan dengan takdir. Kalau ditanya sekarang abang macam mana, Insha-Allah abang boleh hadapi semua ni selagi Fina sayangkan abang.”

Mataku berkaca mendengar penjelasan Sahli yang panjang lebar. Kini baru aku mengerti akan kebisuannya selama ini. Hatiku dipagut rasa terharu. Aku menghalakan pandangan mata pada laman wajahnya. Senyuman manis mula terukir di bibir. Wajah tenang Sahli yang sedang memandu kutatap dengan rasa yang berbaur. Antara cinta, rindu, marah, terharu dan sayang berpadu menjadi satu.

“Fina tahu tak apa maknanya IYFA?”

Iyfa? Aku menggeleng laju. Iyfa tu kan insan yang selalu meninggalkan komen di blogku?

“I.Y.F.A.” Sahli ketawa kecil selepas menyebut satu persatu huruf yang membentuk perkataan IYFA. Dia kembali menyambung bicara sebaik sahaja tawanya berhenti. “I’m your future abang.”

Mendengar jawapan dari bibir Sahli membuatkan aku terkejut. Jadi, selama ini dialah Iyfa yang sentiasa menasihatiku itu? Iyfa adalah Sahli???

“Sahli!” suaraku sedikit tinggi. Bukan marah tapi geram kerana dipermainkan.

Sahli ketawa kecil. “Ssyyhh, bukan Sahli tapi abang.”

Aku memusingkan kepala, memandang jauh ke hadapan. Merajuklah konon. Tetapi rajukku tidak lama. Senyuman bahagia terlakar di wajah. Perjalanan pulang ke Pahang kali ini lebih bermakna dengan kehadiran insan yang amat kucintai semenjak dari sekolah menengah, kini dan selamanya. Di dalam hati, aku memanjatkan rasa syukur. Setiap apa yang ditakdirkan oleh-Nya adalah yang terbaik untuk kita.

“Fina, I can’t lose you because if I ever did, I’d have lost my best friend, my soulmate, my smile, my laugh and my everything.” Ucapan romantis dari bibir Sahli melebarkan senyuman di bibir.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

15 ulasan untuk “Cerpen : My Best Friend Forever”
  1. hanna_wawan says:

    alolo ~ sweet nye cerpen niyh .. ^^

  2. syaz says:

    suka sgt……..

  3. rin says:

    best jugak citer ni…

  4. ayuazrul84 says:

    Sedey..best sgt..;)

  5. erna wati says:

    sweet la…..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"