Cerpen : Setia dan Pengorbanan

15 March 2013  
Kategori: Cerpen

20,489 bacaan 41 ulasan

Oleh : Aniqesya Balqis

Setia dan pengorbanan. Dua perkataan ini telah memaknakan kehidupan aku pada hari ini. Tanpanya, aku takkan berjaya sekarang. Menjadikan cita-cita dan impian yang sering didambakan menjadi realiti. Orang kata, setiap kejayaan itu pasti ada kepayahan, kepedihan dan kesakitan. Itulah yang aku alami sebelum ini sehingga aku kini memacu masa depan demi hakikat yang berlaku suatu ketika dahulu.

Kawan, sahabat, teman dan taulan. Empat perkataan ini membawa erti yang sama. Yang mana ianya telah menemani sepanjang perjalananku dalam meniti arus kehidupan selama ini. Sebelum ibubapaku pergi menghadap Ilahi, dia lah yang menjadi penawar dalam kelukaanku. Kini, tanpa dia, aku kesepian kerana dia adalah teman ketawa dan menangisku. Dimanakah lagi harus aku cari gantinya bila yang ada kini mendampingiku hanya kerana nama, kejayaan dan kemewahan yang aku miliki?

Terkadang timbul rasa sesal dan menyalahkan takdir mengapa aku ditinggalkan dengan kemewahan serba serbi. Kerana ketamakan, aku hampir menjadi mangsa kerakusan manusia lain. Manusia yang diberi nama saudara hampir saja mengkhianatiku. Bukankah dalam hukum agama, berdosa besar mereka yang mengambil harta anak yatim itu?

Husna, aku rindukan kau! Sangat rindukan kau sampai setiap doa yang aku panjatkan pada Yang Esa, aku titipkan nama kau di dalamnya. Aku mengharapkan kau tergolong dalam kalangan yang beriman dan diampunkan Tuhan. Dia akan merahmati kau biarpun jasad kau kini telah dimamah bumi. Setiap kali kenangan lalu menyapa minda, aku menitiskan air mata kerana bayang-bayangnya sentiasa mengekori aku. Aku.. Aku inginkan teman sebaik ia tapi di mana nak kucari ganti?

**

Empat tahun yang lalu,

“Dira, kau janganlah macam ni! Yang pergi tetap akan pergi. Kita yang masih bernyawa kena teruskan hidup! Lap air mata kau tu. Kalau kau macam ni, kau seksa arwah saja. Relakan pemergian mereka,” tegur Husna dengan tangannya kejap di bahuku.

Matanya memandang sekeliling. Jiran-jiran begitu tekun membaca Yassin untuk disedekahkan pada arwah papa dan mama. Bahuku sudah terhinjut-hinjut menahan tangis. Aku memandang wajah papa dan mama silih berganti yang telah dibalut dengan kain kapan. Sebak menyapa dadaku saat aku mandikan mama tadi. Itulah kali pertama dan terakhir aku memandikan mama. Nyawa mereka cuma dipinjamkan saja dan kini yang berhak telah mengambilnya.

Kemalangan kereta kelmarin meragut nyawa kedua orang tuaku. Papa dan mama dalam perjalanan mengambilku kerana cuti semester sudah bermula. Aku ingatkan cutiku nanti dapat kuhabiskan bersama kedua orang tuaku namun yang tinggal kini hanya coretan lampau yang tercoret di dalam diari sahaja. Tidak aku sangka ini adalah pertemuan yang terakhir antara aku dan mereka yang sangat aku sanjungi.

Bacaan Yassin masih bergema di segenap ruang rumah. Tetamu pula makin ramai memenuhi rumah. Dua jasad itu terlantar di tengah rumah, menanti van untuk dibawa ke tanah perkuburan.

“Aku.. aku dah jadi yatim piatu, Husna! Tak ada siapa lagi. Kau tengoklah Mak Long tu. Tengok arwah dari jauh je. Macam jijik dengan ibu dan ayah! Atau dia tak suka mendekati aku.Entah apa masalahnya dengan Mak Long tu. Kat mana lagi aku nak mengadu nasib?” Aku meraung.
Sejak kecil, Mak Long sering menjauh dari aku. Dia menziarahi mama dan papa sewaktu aku tiada di rumah. Bila aku masuk ke rumah, mak Long akan cepat-cepat berlalu. Aku terkesan dengan kelakuan Mak Long. Hati ingin bertanya tetapi bimbang dia marah pula.

“Aku kan ada! Aku akan temankan kau selagi aku bernafas. Kita dah macam adik beradik kan?” pujuk Husna lagi.

“Kau ada masalah, cakap dengan aku je..” bisik Husna dengan secarit senyum. Aku membalas senyum Husna sambil menyapu air mata dengan kain kecil di tangan.

Dari jauh,

“Huh, abang tengok tu! Mak dan ayah dia meninggal, dia boleh senyum je! Gila agaknya. Atau dia memang suka Ani dan Halim tu tak ada?” rungut Puan Ayu.

“Apalah yang awak cakap ni? Cakap elok-elok, tak boleh? Dengar dek orang nanti!” balas Encik Hakimi.

“Tu lah, bang! Kan Ayu dan cakap, budak tu memang pembawa sial. Entah apa badi yang melekat kat budak tu. Sebab tu, mak kandung budak tu tinggalkan dia kat depan rumah Ani dulu. Kebetulan Ani dan Halim tak ada anak. Diorang ambillah Dira tu sebagai anak angkat!”

“Ayu.. Ayu…” Encik Hakim menggelengkan kepala. Tak habis-habis…

“Awak nampak tak budak tu, wajah dia seiras dengan Ani. Jangan memfitnah orang, tak baik tau tak?” tegur Encik Hakim.

Encik Hakim memandang dua orang gadis yang duduk di depan jenazah adik dan isterinya. Dalam hati, tangisan menggigit perasaannya namun Encik Hakim memendamnya saja. Tak elok ditangisi pemergian adiknya itu. Lagipun dia lelaki. Ya, Halim satu-satunya adik kandung dia. Siapa yang tak sedih bila kehilangan adik sendiri?

“Betullah, bang! Takkan Ayu nak tipu abang pulak! Ani tu mana boleh mengandung. Takkan abang dah lupa? Hmm.. abang ada jumpa dengan lawyer tu tak? Ada arwah adik abang buat wasiat? Takkan nama kita tak ada dalam wasiat tu kot??” soal Puan Ayu tak sabar.

Yang ada dalam fikirannya hanya duit. Sebolehnya dia tidak mahu gadis itu dapat harta kekayaan adik iparnya dengan mudah. Dia akan bolot semua harta yang ditinggalkan. Gadis itu budak mentah. Mana mungkin mampu uruskan harta itu.

Halim seorang jurutera. Gaji jurutera sememangnya mencecah hingga lima angka. Itu yang Puan Ayu tahu. Tambahan pula, Ani yang dulunya hanya tukang jahit biasa kini mempunyai butik sendiri. Sudah ada lima cawangan pula tu. Tak mustahil keluarga itu mampu memiliki rumah banglo yang besar ini. Puan Ayu sakit hati dengan semua itu. Kalaulah dia berusaha lebih kuat, pasti Halim jatuh ke tangannya dulu. Ah, cerita lama.

“Abang tak tahulah! Lawyer tu akan call kita kalau kita kena hadir masa pembacaan wasiat tu nanti.”

“Kalau kita kena panggil, maknanya nama kita tersenarai dalam penerima wasiat tu kan?”

“Mungkin!”

“Apa mungkin-mungkin pulak? Mestilah kita pun ada dapat harta jugak. Abang kan abang kandung arwah Halim tu.”

Riak wajah Puan Ayu menunjukkan rasa tak puas hatinya.

**

“Kenapa nama kita tak tersenarai sebagai penerima wasiat tu? Satu apa pun tak dapat! Menyesal datang ke sini. Tak adil betullah! Dah lah kita kena jaga budak tak guna tu! Huh, menyusahkan sungguhlah! Dah besar-besar pun nak kena jaga macam budak kecil,” pekik Puan Ayu sebaik keluar dari bilik mesyuarat di pejabat peguam Tuan Arshad itu. Kakinya dihentakkan ke lantai tanda protes.

Encik Hakimi mengekori isterinya dari belakang. Tangan Puan Ayu ditarik dari belakang.

“Sabarlah. Sekurang-kurangnya budak tu tak jauh dari kita. Lagipun, bulan-bulan tetap ada upah kalau kita jaga dia kan?” pujuk Encik Hakim. Dia tidak tahu macam mana lagi mahu dipujuk isterinya itu. Bukan dia tidak kenal dengan sikap dan perangai isterinya.

“RM2000 je upah jaga Dira tu? Sekarang ni nak masuk tandas pun kena duit, tau tak? Dahlah tu, nak dapat duit, kena dapatkan sign dari Dira dulu. Mana berbaloi, bang! Bukan adik abang tu kaya sangat ke? Paling kurang pun bagilah RM5000,” nyaring suara Puan Ayu mengeluarkan rasa tidak puas hatinya.

Pada Puan Ayu, upah itu tidak standing dengan kerjanya. Kerja? Huh, tak pasal-pasal kena jaga gadis tak berguna itu. Puan Ayu ingatkan dia bulat-bulat akan menerima sebahagian harta pusaka arwah adik iparnya itu. Sebabnya, Encik Hakim adalah abang kepada arwah Encik Halim.

Yang nyata, gadis itu lebih diutamakan. Terletak di carta yang tinggi dalam pembacaan wasiat itu tadi. Tanpa pengetahuan mereka, Halim mempunyai syarikat rupanya. Syarikat hartanah dan mendengar nama syarikat itu, Puan Ayu terkedu tadi. Syarikat Hartanah Dirayu, sebuah syarikat hartanah terkenal di Malaysia. Kini, seribu rasa sesalan menghimpit dada Puan Ayu. Mengapa dia tidak pernah berbaik dengan keluarga itu sebelum ini?

Kerana melayan kecewanya, Puan Ayu hilang itu semua. Kerana mengikut Encik Hakimi bekerja di Sarawak ketika itu, dia tidak mengetahui cerita tentang keluarga Halim. Puan Ayu pasti, ada cerita di sebalik kewujudan Masdira dalam salasilah keluarga mereka sebab dia tahu ada rahsia yang memungkinkan ketidakwujudan gadis itu. Ani pernah kemalangan dulu. Doktor kata Ani akan sukar mengandung kelak kerana rahimnya sudah tak kuat. Kalau mengandung pun, dia akan keguguran.

Dalam bilik mesyuarat Tuan Arshad,

“Alhamdullillah! Sekurangnya-kurangnya aku masih ada sesuatu untuk meneruskan hidup ini. Betul tak, Husna?”

Aku meraup wajah dengan kedua belah tapak tangan. Bersyukur kerana Mak Long dan Pak Long yang akan menyerahkan kudrat dan lelah demi menjaga makan, minum dan pakaianku selepas sebulan pemergian mama dan papa. Aku bukan hidup sebatang kara selepas ini. Walaupun aku tahu Mak Long tidak pernah suka akan aku. Husna memeluk aku. Air mata sedari tadi bertakung. Lega.

Aku dapat melihat riak wajah Mak Longku yang tidak ceria sebaik pembacaan wasiat itu tamat. Ada nada sumbang yang bermain dalam suasana itu tadi. Sebaliknya Pak Long tersenyum padaku. Ya, aku tahu Pak Long tidak pernah memandang enteng akan kehadiran aku.
Kini aku terfikir bagaimana kelak hidupku lepas ini. Takut melihat wajah masam Mak Long. Harap tiada apa yang berlaku. Lagipun aku sudah dewasa. Cukup usiaku 25 tahun nanti, aku akan bebas. Bebas buat keputusan sendiri.

“Lega aku! Aku ingatkan kau memang akan hidup sebatang kara lepas ni,” usik Husna.

Aku tepuk bahu Husna. Boleh pula dia bergurau dalam situasi begini. Macam berdoa pula.

“Tuan Arshad, terima kasih untuk segalanya. Alhamdullillah, arwah mama dan papa ada tinggalkan sedikit harta untuk saya. Cuma… saya takut tak mampu nak uruskan semua tu.”

“Bukan sedikit tu, Dira! Banyak. Tapi Dira jangan risau! Saya akan memerhatikan dari jauh. Ini sudah tugas saya seperti yang diwasiatkan. Bila genap usia Dira 25 tahun nanti, Dira ada hak nak buat macam mana tentang semua ini nanti. Ingat, kadang-kadang kita tak dapat nak ramal hati orang yang mendekati kita. Hmm.. Mak Long dan Pak Long Dira kan ada. Mereka akan turut membantu Dira kelak! Yang pasti, Dira kena tamatkan degree tu. Barulah boleh uruskan syarikat yang diamanahkan itu nanti!” pesan Tuan Arshad.

Aku senyum. Husna juga. Ikutkan tadi Husna tak dibenarkan mengikut aku masuk ke dalam bilik mesyuarat Tuan Arshad. Iyalah, pembacaan wasiat hanya untuk ahli keluarga namun aku berkeras. Tanpa Husna, aku takkan hadir untuk itu semua. Mak Long turut bising dengan sikapku. Mengatakan aku ini melambatkan tugas peguam itu. Namun jauh di sudut hati, ada rasa bimbang yang memukim. Mampukah aku meneruskan legasi keluargaku? Tambahan pula, lagak Mak Long tadi seakan tidak menyenangi wasiat itu tadi. Aku takut Mak Long ada rancangannya yang tersendiri.

**

Di rumah Pak Long,

“Dira nak Pak Long uruskan sementara syarikat arwah papa tu. Nanti bila Dira dah habis degree, Dira akan ambil alih semula. Lagipun dalam wasiat, papa amanahkan Dira habiskan pelajaran dulu,” pintaku.

Aku hirup secawan kopi kemudiannya. Menghilangkan dahaga dan rasa gugup. Pertama kali datang ke rumah Pak Long. Risau kena halau. Mak Long pun sudah menjeling.

Husna yang sedari tadi menemaniku memandang sekeliling rumah Pak Long. Nampaknya Mak Long suka bunga. Setiap sudut rumah dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga.

“Pak Long tak kisah! Lagipun Dira kan amanat dari arwah,” bibir Pak Long tak lekang dari senyuman. Buat pertama kali anak saudaranya bertandang ke mahligai kecil dia cukup membuatkan hatinya senang.

“Berapa kau nak kasi gaji kat Pak Long kau ni? RM2000, RM3000? Ingat cukup?” gertak Mak Long. Aku terdiam. Jelas Mak Long makin membenciku. Bahasanya ‘kau’ dan ‘aku’ saja.

“RM7000, cukup tak, Pak Long?”

“Kau ingat Pak Long kau ni berhenti kerja kat Sarawak tu sebab nak dapat RM7000? Bukan kau kaya ke?” sindir Puan Ayu tajam.

“Cukup! Lebih dari cukup!” sampuk Pak Long.

Ah.. Pak Long. Bicaranya sentiasa teratur. Tak seperti isterinya, main lepas sahaja. Terkadang hati ini tersentak dengan ungkapan keras Mak Long namun aku tidak boleh membalasnya dengan kata nista. Umpama aku manusia tidak bertamadun. Mereka kan suadaraku? Selayaknya mereka dihormati.

“Apa ni, bang? Minta lah RM10,000 ke? Budak ni kan kaya..”

Husna terbeliak biji mata. Tak sangka perempuan tua di depannya ni mata duitan. Melampau betul permintaannya. Beginilah orang tamak. Sentiasa mahu lebih.

“Weh, mata Mak Long kau ni dicop dengan duit je ke? Asyik tak puas hati. Cakap pasal duit je! Kertas je pun…” bisik Husna.

“Memang kertas tapi kertas ada nilai! Kau ni siapa, hah? Jangan nak masuk campur hal keluarga aku!”pekik Mak Long. Terdengar rupanya bisikan Husna padaku.

Husna mengurut dada. Terperanjat beruk dia! Aduii.. orang tua ni.. Jerit kalah orang muda!

“Ini Husna, Mak Long! Kawan Dira.”
“Cakap kat dia, jangan sibuk-sibuk nak mengajar aku, tau!” tutur Mak Long. Haih…

Di sebelahku adalah sahabatku yang setia. Didepan pula, saudaraku. Kalaulah Mak Long tidak kejam begini sikapnya? Kerana duit, orang jadi buta. Buta peribadi.

“Dira bagi Pak Long RM8,000. Dan Mak Long, upah jaga Dira tu tetap akan masuk dalam akaun Mak Long walaupun sebenarnya Mak Long tak jaga Dira sepenuhnya!” Aku bingkas bangun menyalami Pak Long dan Mak Long. Lagi lama aku disini, hatiku akan terbakar dengan sikap Mak Long. Bimbang aku jadi manusia lupa diri. Lupa saudara.

**

Dua tahun berlalu,

“Yeay!!”
Kami campakkan topi konvo itu ke udara. Melayang ke atas dan dek tarikan gravity, ia turun menyembah bumi. Senyumku hingga ke telinga. Penat lelah dan usaha selama tiga tahun, akhirnya aku kini bergelar graduan kelas pertama untuk Ijazah Perniagaan di Uitm Shah Alam. Yang penting, aku tidak perlu bimbang selepas ini kerana sudah ada kerja yang menanti. Begitu juga dengan Husna. Aku mahu mempelawa dia untuk bersamaku meneruskan perniagaan keluarga aku. Aku pasti dia akan setuju.

“Alhamdullillah. Lega. Penat stress belajar berbaloi jugak kan? Tahniah untuk kau!”

“Untuk kau jugak, Dira! Kita sama!”

Husna menunjukkan sijil yang tertulis bahawa kami adalah graduan First Class. Walaupun tak ada nama kami, tapi lepas ni kami akan ambil sijil yang asli di pejabat pentadbiran.

“Kau nak pergi mana lepas ni?”

“Mencekiklah! Apa lagi.”

“Hoii.. Itu aje kerja kau ya? Makan, makan, makan! Badan still maintain jugak!”

“Huh, jeles ke? Takpe, badan kau bukan gemuk sangat! Lepas ni, kita kerja, kita ada duit, aku akan temankan kau pergi pusat melangsingkan badan. Kasi slim sikit je, okey?” ujarku.

Kami mendapatkan ibubapa Husna yang setia menunggu kami dari tadi. Danial, adik bongsu Husna yang berusia 10 tahun terkekek-kekek ketawa bila diusik Husna. Aku tersenyum melihat Danial. Kan seronok kalau ada adik. Ni aku saja anak tunggal…

“Haih, bercakap pasal kerja ni. Kau bukan tak tahu sekarang ni kan susah nak dapat kerja. Lagipun kita fresh graduate. Jawabnya kita kena tanam anggur dulu kat kampung.”

“Hei, apa gunanya ada aku, Husna! Aku sebagai kawan karib kau, dengan ini mempelawa kau untuk kerja dengan aku. Kau lupa aku kena uruskan syarikat arwah mama dan papa aku? Takkan aku nak buat seorang? Kau join aku okey?” pelawaku.

Ini cara nya membalas kebaikan Husna padaku. Husna yang tak pernah kedekut dan tidak pernah mencari masalah denganku. Kami sama-sama membantu diri masing-masing. Di kala aku hilang semangat kerana kematian papa dan mama dulu, dia lah yang menyemarakkan semangatku. Kalau bergaduh pun, sekejap saja.

“Betul ke ni?” Bersinar-sinar mata Husna.

“Betul lah.. Kita start kerja sebulan lagi,” janjiku.

“Lambatnya. Sebelum tu nak buat apa?” tanya Husna yang sedikit lurus bendul itu.

“Enjoylah! Kita pergi cuti-cuti ke.. jalan-jalan. Otak ni dah tepu tau. Sesekali kena relakskan minda kita. Nanti jam, kita naik ke atas tau!” aku tunding jari ke langit.

“Amboi.. banyak duit kau! Tak elok membazirlah!”

“Ini saja masa yang ada, tau! Kalau dah kerja nanti, susah kita nak cuti. Entah-entah masa untuk kita enjoy berdua pun tak ada!”

Husna tidak menjawab. Mungkin dia cuba menganalisis kata-kataku. Aku tahu, sebaik aku ambil semula jawatan dari Pak Long, masaku bukan untuk bersukaria lagi. Aku pernah melihat Pak Long semasa datang ke pejabat dulu. Kasihan dia.. Aku tahu dia penat. Dengan tubuh yang makin meningkat usia, lelah itu mudah datang. Tetapi Pak Long tak pernah tunjukkan kepenatan dia padaku. Aku tahu aku tidak bisa lagi mengerah kudratnya selepas ini. Syukur tiada apa-apa yang berlaku sepanjang Pak Long bekerja di sana. Mujur juga Pak Long menunaikan amanat arwah papa untuk menjaga syarikatku dengan baik.

Aku tersentak dari khayalan sebaik mendengar namaku dipanggil. Pak Long menggamit aku. Aku merapati dia yang datang bersama Pak Long dan anak mereka, Hanim. Pak Long hulurkan sejambak bunga. Usai aku ucapkan terima kasih, Pak Long mengusap kepalaku dan mengucapkan tahniah untuk konvokesyen ini. Mak Long tetap dengan perangainya yang satu itu. Sekalung tahniah diberikan padaku namun aku tahu ucapan itu datang dari hati yang tidak ikhlas. Tak mengapalah! Asalkan mereka datang ke sini, cukuplah padaku.

Selepas itu kami bertemu dengan keluarga Husna. Mak dan ayah Husna telah menganggap aku seperti anak mereka. Malah aku kini telah menjadi anak angkat mereka. Sekurang-kurangnya aku ada tempat menumpang kasih. Nak harapkan Mak Long, jauh panggang dari api. Mujur Pak Long ada dan sering bertanya khabarku.

**

Kami mengorak langkah menuju ke sebuah bilik yang sudah disiapkan dekorasinya minggu lepas.

“Well… ini bilik kau! Puas hati dengan dekonya?”

Aku buka pintu bilik itu. Ada sebuah meja dengan kerusi dua buah di depan meja itu. Di sebelah kanan, sofa kulit berwarna hitam terletak elok di atas lantai kayu lamina. Aku yang melihat pun sudah terpikat. Harap Husna berpuas hati dengan bilik ini.

“Cantik! Macam tuan bilik ini jugak!” Husna mendabik dada, bangga. Budak ni.. Sempat lagi tekan suis lift, naik sendiri.

Husna duduk di kerusinya. Dia berpusing dengan kerusi itu sambil melihat sekitar bilik.

“Tak sangka aku ada bilik sendiri. Aku kerja ni, apa jawatannya?”
“Nanti kau datang bilik aku, aku bagitahulah! Mmm… Kita dah enjoy bulan lepas. Bulan ni kita ada matlamat baru, tau?” selaku.
Dahi Husna berkerut. Tak faham dengan ucapanku sebentar tadi.

“Matlamat apa pulak? Yang aku tahu, kerja dan kena bangunkan company kau ni..”

“Itu matlamat utama. Ini matlamat lain lah! Impian kita sebagai wanita. Cari jodoh. Kahwin. Takkan kau nak membujang sampai tua?”

“Oooo…” Mulut Husna dah membentuk huruf O. Husna tergelak kecil.

“Ingatkan apa tadi.”

“Kita dah kena start cari boyfriend ni.”

“Kau ingat kita boleh jumpa?”

Soalan Husna mengingatkan aku pada seseorang. Aku jungkit bahu. Rahsia itu tetap terpendam dalam hati. Entah mengapa, walau pun kami seringkali berkongsi segala hal, namun bila melibatkan soal hati, aku jadi bisu.

“Dan kau ingat orang secantik kita tak ada yang suka? Haih, tadi puji diri cakap cantik. Sekarang lain pulak! Kau tak nak kahwin, ada anak?” perliku.

“Nak! Tapi tu lah, rugikan masa kita study dulu, kita tak cari spare part boyfriend,” ujar Husna tergelak lagi.

“Kenapa pulak?”

“Ye lah.. Habis grade, terus kahwin saja!” balas Husna.

“Woii.. penat-penat belajar, takkan nak masuk ke dapur terus? Gunalah sijil tu dulu.”

“Ya lah! Ok, bos! Saya nak start kerja ni. Boleh tak kalau bos pergi masuk bilik bos dulu?” Husna mengemaskan fail-fail yang ada di atas mejanya. Tiba-tiba dia jadi skema pula. Bagus, semangat macam ni yang aku mahu!

“Amboi, halau bos nampak!” sempat aku menyindir lantas aku tutup pintu bilik Husna dan menuju ke bilikku.

Dari luar, aku terdengar Husna tergelak. Hai… Dia ni memang suka ketawa. Dan lesung pipit di pipinya itu sangat manis dipandang. Hmm.. siapalah jodoh Husna nanti? Paling penting, siapakah lelaki yang bakal meletakkan namanya di hatiku ini? Adakah dia??

**

“Kau tak makan lagi ke?”

“Belum lah! Ni, report ni nak kena siapkan. Esok pagi, aku ada meeting dengan client kat Nusajaya Enterprise tu. Haih, bila Kak Erin cuti bersalin, ni kelam kabut pula dibuatnya.”

Kak Erin sudah seminggu cuti. Bersalin anak kedua. Gembiranya Kak Erin bila aku tengok dia upload gambar babynya dalam facebook. Comel, macam Kak Erin juga! Rasa teringin pula.

Jariku masih ralit melekat di keyboard komputerku. Jam menunjukkan pukul 6 petang. Staff yang lain sudah lama balik sebab memang office hour tamat jam 5 petang.

“Aku belikan goreng pisang untuk kau ni. Kang gastrik pulak! Aku temankan kau, okey?”

Husna menghulurkan plastik yang berisi goreng pisang itu. Tiba-tiba perutku lapar. Patutlah aku bau semacam tadi. Lantas, aku baca Bismillah dan menyuapkannya ke dalam mulut.

“Thanks, Husna! Nasib baik ada kau. Kalau tak kelaparanlah aku..” aduku manja.

“Sama-sama. Kita kan kawan. Kasihan dekat kau, kerja sampai nak senja ni. Patutnya kalau dah jadi big boss ni, kau kena bagi staff kau buat kerja. Ni, kau juga terhegeh-hegeh nak siapkan report. Cepat sikit siapkan report tu. Kang kena solat maghrib dekat sini pula!”

“Report ni memang dah lama siap! Lepas tu aku check semula. Ada kesilapan pula. Entah apa yang si Hanim tu buat seminggu yang lepas. Dia tak semak ke report ni?”

“Hanim? Hmm. Aku dah agak. Kenapa kau tak pecat saja dia tu? Dah lah gedik. Pakai seksi sampai nak terkeluar biji mata aku ni menengoknya. Minah tu, datang kerja nak melaram saja. Bukan buat kerja pun. Sia-sia kau bayar gaji kat dia. Makan gaji buta je!” marah Husna.

Aku sedar tentang itu. Dah banyak kali Husna ingatkan aku tentang si Hanim itu. Perempuan itu memang lain macam saja. Datang ke office, tak banyak sangat kerjanya. Maklum kerani biasa. Duduk di receiption area dan kadang-kadang jadi penyambut tetamu jugak. Tapi kadang-kadang aku ada minta Hanim buat kerja selain dari kerja keraninya itu. aku mahu dia ada pengetahuan untuk uruskan syarikat ini.

Aku perasaan bila ada client yang curi-curi pandang Hanim. Ada senyum gatal menghiasi wajah Hanim bila dia sedar ada client yang memandang ke arahnya. Oh Tuhan, harap Hanim tidaklah jauh terbabas dari pergaulannya. Biarlah dia seksi begitu, asal dia tahu menjaga perilakunya. Yang penting, dia boleh membawa imej syarikatku ini dengan cara yang baik. Hanim sepupuku. Kalau aku pecat dia nanti, apa pula kata Mak Long.

Aku juga mengharapkan semua staff di sini boleh bersama-sama denganku untuk memajukan syarikat ini. Aku tak boleh leka dengan amanat dari arwah papa dan mama. Aku mahu jadi wanita yang berjaya dalam bidang hartanah ini.

“Okey, jom! Dah settle!” ucapku riang sebaik computer, aku shut down kan.

Badan sudah penat. Kan best kalau boleh pergi ke spa. Terlalu banyak kerja, badan pun jadi lenguh.

“Kita pergi spa, nak?” ajakku. Laju saja Husna angguk kepala.

**

Di ruang tamu, Encik Hakimi ralit menonton TV. Puan Ayu datang menghampiri suaminya.

“Boleh tak abang tolong saya?”

“Tolong apa?”

“Jangan menyemak di depan saya.”

“Awak ni dah kenapa? Menapous agaknya.”

“Abang tu la.. Dari abang duduk di rumah ni, baik abang pergi office Dira tu. Sambung semula kerja abang tu.”

“Abang ni dah tua lah, Ayu! Takkan nak kerja lagi. Yang kita dapat setiap bulan tu, cukup kan? Awak nak apa lagi? Hanim tu kan dah kerja dengan Dira.”

“Kerja apa? Jadi kerani je…”

“Oklah tu, dari tak ada kerja langsung. Hanim tu takat SPM je. Kerja kerani tu memang layak untuk Hanim,” Encik Hakimi. Lelah sudah melayan kerenah isterinya itu.

Kalau bukan kerana pujukan isterinya, Encik Hakimi tidak mahu Hanim kerja di sana. Dia bimbang Hanim buat perangai di sana. Encik Hakimi tahu anaknya itu sedikit sosial orangnya. Sudah setahun Hanim kerja di situ. Tak ada pula Dira datang menceritakan hal buruk Hanim. Atau mungkin Dira sengaja sembunyikan?

“Saya nak rantai emas, abang boleh belikan? Saya nak sport car, boleh abang dapatkan?” tiba-tiba Puan Ayu meminta.

“Awak ni! Minta apa yang saya tak mampu. Bukan awak yang pakai kereta tu pun. Awak dah tua, Ayu. Buat apa benda tu semua?”

“Untuk kesenangan anak awak jugak!”

“Sudah-sudahlah Ayu! Takkan awak nak kikis harta budak tu sampai habis? Rumah yang kita duduk ni pun Dira yang hadiahkan. Takkan awak tak puas hati lagi?”

“Memang saya tak puas hati. Harta tu harta kita, bang! Abang satu-satunya abang Halim. Kenapa dia serahkan semuanya pada budak tak sedar diuntung tu?”

“Budak tu anak saudara awak, Ayu! Bukan orang lain! Dia anak kandung arwah Halim dan Ani! Awak jangan lupa itu. Awak yang nak siasat sangat dulu. Bidan Semah yang sambut kelahiran dia dari rahim Ani. Awak fikir Bidan Semah tu nak menipu awak? Tolonglah.. jangan ungkit benda yang lepas. Bukan saya tak tahu kenapa awak jadi macam ni! Sebab arwah Halim kan? Awak ingat Halim tu sayangkan awak ke? Dia dah lama sukakan Ani. Sebab tu dia pergi pinang Ani dan bukannya awak. Heii.. kalau bukan sebab awak merayu dulu, saya pun tak nak lah kahwin dengan awak! Tolonglah lepaskan ingatan awak pada dia tu,” marah Encik Hakimi. Dia sudah penat dengan semua ini.

“Saya tak pernah nampak dia lahir dari rahim Ani, bang! Kenapa saya nak mengaku dia anak saudara saya pulak? Entah-entah Bidan Semah tu menipu jugak!” Puan Ayu masih berdegil.

“Ya Allah! Degil betul awak ni ya?”

“Kenapa? Dah lama abang jadi suami saya, takkan sekarang ni, abang sedar?”

“Haii.. mata awak sekarang nampak duit je kan? Ingatlah sikit, kita ni pun dah macam menumpang. Mujur sebelum ni abang sempat kerja di syarikat tu. Kumpul kemewahan buat awak.”

“Ala setakat kerja dua tahun, apalah hasilnya?”

“Rumah ni, awak ingat awak duduk, awak yang bayar? Tak, kan? Anak saudara awak yang bayar. Kita duduk free saja..”

“Sebab tu saya nak abang kerja di sana! Bila-bila masa, Dira tu boleh halau kita keluar dari rumah ni.”

“Saya tak percaya Dira tu hatinya busuk. Awak saja yang fikir bukan-bukan!”

Encik Halim angkat punggung. Tak betah lagi dia duduk di situ.

**

“See… gambar tunang aku. Rugi tau kau tak datang majlis tunang aku minggu lepas.”

Husna menunjukkan beberapa keping gambar pertunangannya. Gambar itu baru saja diambil dari kedai gambar. Husna pun belum memasukkan dalam album. Memang aku tak sempat nak hadir masjlis pertunangannya. Kebetulan aku kena hadiri seminar dan meeting waktu itu.

“Dia.. dia…”

“Ish.. tergagap pulak kau ni. Terkejut erk.. Handsome kan?”

Husna melakar senyum. Lidahku mula kelu. Nafasku terasa pendek. Benarkah apa yang kulihat ini?

“Handsome tunang kau. Smart. Kau kenal kat mana ni?”

“Laa.. takkan kau tak ingat dia?”

Janganlah Husna mengatakan apa yang terlintas di fikiranku sekarang. Kalau betul, aku rasa mahu tumbang di sini juga.

“Siapa?”

“Kau lupa! Kan dia selalu mengekori kita time kita balik hostel dulu? Selalu kenyit-kenyit mata kat kita. Kan dulu dia pernah hantar surat kat aku. Aku pernah tunjukkan pada kau kan? Kau lupa?”

Aku sembunyi senyum. Ya Allah, lelaki ini… Lelaki ini.. Ahh.. rupa-rupanya aku bertepuk sebelah tangan. Setelah dia memberi surat padaku dan aku tidak membalasnya, dia layangkan juga warkah cinta itu pada Husna. Aku cuma mampu menyintai dia di dalam diam. Mungkin salahku juga. Warkah cinta yang sangat berbunga-bunga itu masih kekal di dalam ingatan. Aku ingat, aku mahu membalas cintanya sebaik kami habis belajar tetapi ternyata Husna lebih pantas dariku. Dan lelaki itu, tak boleh ke menunggu aku? Bila aku tak layan, dia beralih arah.
Silapku kah bila aku tidak membalas surat dia dulu? Silap akukah bila aku buat tidak tahu saat lelaki itu mula menegur aku dengan bertanya khabar? Aku tidak mahu bercinta ketika belajar. Aku sudah tanamkan prinsipku sebelum aku masuk universiti lagi. Tiada cinta sebelum habis belajar. Aku bimbang tak dapat tumpukan perhatian pada pelajaran.

“Ohh. Iye ke? Tahniah Husna.. Akhirnya kau dulu yang kahwin. Aku ni entah bila agaknya.”

Aku muram. Buat sedih kononnya sedangkan hati ini memang pedih..

“Kalau ada jodoh, takkan ke mana? Adalah tu lelaki untuk kau.. Kau sabar je.. Kau kan cantik, baik.. Mesti lelaki tu akan muncul dalam hidup kau. Pasti ada orang akan sayangkan kau,” Husna menasihatiku. Kalaulah kau tahu, Husna…

“Tak sangka kan, lelaki ni akan jadi pasangan hidup aku. Rasa macam mimpi pula bila family dia hantar rombongan ke rumah. Rupa-rupanya dia ni tiga pupu dengan aku. Happy sangat!”

Aku makin terkedu. Mereka bersaudara rupanya. Patutlah Husna tak pernah bercerita lagi tentang lelaki itu sebelum ini. Dulu kalau bercerita pun, dia cuma memberitahu ada lelaki yang selalu usha dia dari jauh. Dia pun baru tahu ada hubungan keluarga dengan lelaki itu.

**

“Maaflah ya, Husna nak pergi tandas kejap! Dira, takpe kan aku tinggalkan kau dengan tunang aku ni, sekejap je??” pinta Husna.
Aku diam dan mengangguk kemudiannya. Chicken chop yang tinggal sedikit itu aku kuis-kuis dengan hujung sudu.

Ditinggalkan berdua dengan dia membuatkan dada ini kian kuat debarannya. Sejak kami menapak di restoran FullHouse di Wangsa Maju ini, memang jantung aku bagai nak luruh. Meja kami pula agak terselindung dari meja yang lain.

“Apa khabar, Dira?” sapa Adlan memancing perhatianku setelah agak lama kami membisu. Aku yang leka memandang pinggan yang hampir kosong itu berpaling melihat dia lalu tunduk ke bawah.

“Bb.. baik!” sepatah ucapanku.

“Tak sangka kan, kita akan bertemu dalam keadaan begini? Siapa sangka, pertemuan ini tak dirancang. Saya berjumpa lagi dengan awak.” Adlan mempamerkan senyumnya.

Ya, memang pada mula hanya aku dan Husna saja yang makan di sini. Tiba-tiba Adlan menelefon Husna dan mengajaknya makan tetapi kami telah keluar awal dari office tadi. Husna telah mempelawa dia makan bersama kami. Takkan aku hendak menghalangnya pula?

“Hmm..”

“Boleh saya tanya sesuatu? Kenapa awak tak pernah balas surat saya dulu? Kenapa awak tak pernah nak cakap dengan saya bila saya tegur awak? Awak terus lari! Kenapa?”

Tiba-tiba saja dia mendesakku dengan soalannya. Mungkin dia tidak sabar mengetahui hal yang terjadi dulu. Aku pula tersentak. Tanpa isyarat, aku dihujani dengan persoalan yang padaku tiada jawapan munasabah.

“Anggap saja kita tak berjodoh untuk jadi kawan. Lagipun awak akan jadi suami kepada bestfriend saya. Alhamdullillah,” ungkapku tanpa rela.

Aku sekadar menyukai dia di dalam diam. Demi Husna, aku kena lepaskan dia dari bertakhta di hati. Bahagia Husna, bahagiaku juga. Aku kena buang dia jauh dari hati ini.

Aku rasa bagai nak nangis. Betapa pilu hati ini bila kami dipertemukan di saat statusnya sebagai tunang kepada Husna. Aku pernah berjanji pada diri sendiri mahu membalas salam perkenalannya sebaik kami tamat belajar. Dulu, setiap kali aku terima surat darinya hatiku mula berbunga. Walaupun tiada lafaz kasih dan sayang, namun jiwa sebagai seorang dari kaum Hawa mula terpalit dengan keindahan ayatnya. Pasti dia romantis orangnya. Sedikit demi sedikit aku mula menyayanginya.

Kini, tak mungkin aku tegar untuk memusnahkan hubungan mereka. Husna kawan baikku. Lagipun mereka sudah bertunang 5 bulan. Dan lagi sebulan, mereka akan mengikat hubungan untuk menjadi yang halal.

“Dulu, saya pernah kata kan dalam surat saya itu, saya mahu berkawan dengan wanita yang akan saya jadikan isteri saya. Masa tu saya memang berharap awak lah orangnya. Tapi awak tak layan saya. Kenapa?”

“Saya tak nak couple sebelum habis belajar!”

“Saya bukan nak couple masa tu. Saya cuma nak kawan dengan awak. Memang, saya pernah terfikir nak jadikan awak kekasih saya tapi bila awak tak bagi respon pada surat saya, saya macam putus harapan je.. Saya terpikat pada awak, Dira. Saya sayangkan awak. Awak yang manis, baik hati…”

“Cukup!”

Aku tidak mahu terus dibuai dengan perasaannya. Air mata sudah bergenang di kelopak mata. Tunggu masa mahu turun sahaja. Silapku bila aku terlewat membalas lamaran hatinya.

Aku terus bangun dan berlari dari situ. Saat aku berlari, air mata sudah menitis di pipi. Aku sudah tidak kisah dengan yang lain. Yang pasti, aku perlu pergi sebelum Husna menyedari air mata ini. Takut dia salah sangka pula.

**

Dari jauh sepasang mata memerhati gerak geri mereka berdua. Dari gerak tubuh badan Dira, dia memahaminya.

“Aku dah menerima lamaran Adlan! Kenapa aku boleh tak tahu yang mereka berdua saling sayang menyayangi? Kalau betul mereka berkasih, kenapa Adlan hantar rombongan meminang ke rumah aku dulu? Ada sesuatu yang aku tak tahu ke?”

**

Aku dan Husna sibuk mengubah hantaran perkahwinannya. Lagi dua hari majlisnya. Kata Husna, dulang hantaran itu, 9 berbalas 7. Aku tengok dah banyak barang yang Husna beli untuk diletakkan dalam dulang. Dompet, tali pinggan, kasut dan macam-macam lagi.

“Taraa.. Cantik tak?”

Husna mengeluarkan sesuatu dari plastic berwarna merah hati itu. Habib Jewel! Wah.. Mesti mahal tu. Tak kisahlah sebab aku tahu Adlan mampu orangnya. Jawatan yang dipegangnya pun bukan calang-calang. Engineer tu!

Husna membuka baldu berwarna biru itu. Sepasang cincin terletak cantik di dalamnya. Tiba-tiba aku jadi suka bila melihat cincin itu. Simple tetapi menarik.

“Meh jari kau ke sini!” Husna menarik tanganku.

“Eh, apa ni Husna?”

Tiba-tiba sahaja Husna sarungkan cincinnya padaku.

“Wah.. ngam-ngam lah! Memang saiz jari kita berdua sama.”

Husna senyum dan wajahnya nampak ceria. Aku pula pura-pura senyum. Wahai hati, sabarlah! Tiba-tiba Husna terbatuk. Mula-mula sedikit namun kedengaran batuknya makin keras. Eh, kenapa ni?

Aku jadi kalut bila ada darah di tepi bibir Husna. Pantas aku ambil tisu dan lap bibirnya.

“Husna, kau okey tak?” Husna angguk kepala dengan susah. Bibirnya sudah pucat.

“Husna, kenapa ni? Ya Allah, Danial, tolong ambil ubat dalam laci tu.”
Danial menurut kata ibunya.

“Lekas nak!” arah mak Husna.

“Husna, demi emak dan ayah, tolonglah bertahan ya? Husna tak kasihan pada Adlan ke? Kita dah lama rancang majlis ni kan?”

Dan aku terpaku di sisi Husna. Kenapa dengan sahabatku ini sebenarnya?

**

Malam itu, di dalam bilik Husna yang dihias cantik,

“Sampai hati kau, Husna! Rahsiakan perkara sebesar ini dari aku? Kenapa? Kau tak anggap aku sebagai kawan karib kau ke?”

Titisan air mata belum kering. Semakin lebat menuruni ke pipi. Mak Husna cuma diam melihat kami. Mak Husna sudah puas menangis tadi. Sebenarnya sudah lama dia menangis. Sejak mengetahui sakitnya Husna itu. Aku saja yang ketinggalan.

“Maafkan aku, Dira! Bukan sengaja aku sembunyikan ini dari kau cuma aku tak sampai hati.. Tak sampai hati nak tengok kau mengalirkan air mata untuk kali kedua kerana aku.”

Kali kedua? Kenapa Husna cakap begini? Bila kali pertama aku mengalirkan air mata kerana dia? Selama ini hidup kami dipenuhi dengan gelak ketawa saja. Kalaupun aku menangis hanyalah sebab kematian ibubapaku dulu dan juga kerana sikap Mak Long padaku yang tamakkan harta. Husna yang sering menitipkan kata-kata semangat, jarang aku menangis tanpa sebab. Lagipun Husna pendorong aku.

“Kau pernah menangis kerana aku sebab aku dah rampas lelaki yang kau suka kan?”

Aku teringat peristiwa di restoran itu. Husna nampak aku menangis kah?

“Kau akan jadi mata dan mulut aku kan, Dira? Kau akan berikan kebahagiaan pada dia? Kau akan beri cinta kau dan lafazkan kasih sayang sama banyak macam aku bagi pada dia kan?”

“Apa kau cakap ni Husna? Boleh tak kalau kau jangan cakap yang bukan-bukan? Aku tak suka! Kau kawan aku. Kawan gelak dan ketawa aku. Kau yang selalu ada bersama aku. Kenapa? Kau pun nak tinggalkan aku juga ke?”

“Aku tak bermaksud macam tu. Aku… cuma nak kau bahagia. Kau berhak dapat dia! Mungkin kami tak ditakdirkan bersama. Masaku kian singkat. Hidup ini pendek! Lagipun aku tak sanggup tengok kau menangis selepas pertemuan kita di restoran hari tu. Dengan Adlan.”

Benarlah Husna nampak akan aku ketika itu.

“Please Husna. Jangan cakap macam tu. Sekelumit perasaanpun, tak ada pada dia. Kami bukan pasangan kekasih pun.”

“Tapi kau suka dia kan?”
Aku geleng kepala. Aku tak mahu menyakiti hati Husna.

“Dia tunang kau. Akan jadi suami kau. Aku akan doakan kebahagian kalian berdua. Yang penting kau sihat! Aku nak kita hidup macam dulu jugak. Kau dengan Adlan. Aku dengan pasangan aku kelak! Lagipun esok kalau kita ada anak, boleh kita jodohkan mereka kan? Boleh kita jadi besan kan?”

Terlalu jauh aku berangan. Ya, sejak aku boleh menerima takdir itu, aku kini pasrah. Ada hikmah yang Tuhan akan tunjukkan. Aku tak mahu kehilangan kawan sebaik dia. Kami dah macam adik beradik. Macam belangkas. Kemana pergi pun berdua. Tambahan pula kami tinggal serumah. Tak mungkin aku nak buat Husna menderita jika aku pentingkan diri.

“Barah ini dah sampai ke peringkat ketiga! Aku takkan dapat merasa nikmat sebagai seorang isteri, Dira. Masa aku terlalu suntuk. Tapi untuk kali terakhir aku nak lihat kau sebagai pengantin Adlan. Aku nak lihat ijabkabul antara kau dan Adlan. Tolonglah pakai baju tu!” Husna menunjuk ke arah almarinya.

“Makcik, tolong.. tolong solekkan kawan saya ni..” Husna memanggil mak andamnya.

Ya, ada sepasang baju berwarna putih tergantung di tombol pintu almari itu. Sememangnya dari tadi aku tertanya-tanya, kenapa ada dua pasang baju nikah di dalam bilik pengantin ini.

“Aku buatkan sepasang untuk kau. Kalaupun aku tak dapat jadi isteri Adlan, sekurang-kurangnya aku boleh merasa untuk memakai baju nikah ini. Tak dapat kahwin dengan Adlan pun tak apa. Allah dah janji setiap hambaNya ada pasangan. Mana tahu, pasangan aku ada di atas sana. Cantikkan warna putih ni?”

Aku angguk kepala. Demi Allah, aku tak sangka Husna berkorban sejauh ini untuk melihat kebahagiaan aku. Tetapi aku tak sanggup nak lihat Husna menderita di hujungnya.

“Ini akan jadi kain kapan aku, Dira.” Husna memegang hujung lengan baju nikahnya.

“Ya Allah! Husna, kenapa kau cakap macam tu? Tahukah kau.. kata-kata itu mengingatkan aku yang kau macam nak pergi jauh dari aku saja.. Jangan pergi Husna.. nanti aku nak kawan dengan siapa lagi?”

“Masih ramai kawan yang lain…”

“Tapi tak sama macam kau..”

“Kau akan dapat sama macam aku!”

“Mak, ayah, tolong nikahkan Dira dengan Adlan ya.. Bawa Husna ke depan, mak! Husna.. Husna nak tengok Adlan lafazkan ijabkabul itu. Tolong ya, mak?” rayu Husna.

Mak dan ayah Husna saling berpandangan. Sedari tadi, mereka melihat kelakuan antara kami. Puan Hasnah makin sebak dengan kata-kata dari anaknya sendiri. Melihat wajah Puan Hasnah, aku tahu mereka sudah lama mengetahui akan penyakit anaknya itu.

Kenapa Husna diamkan saja tentang sakit yang makin merebak di paru-parunya? Barah paru-paru. Peringkat Ketiga. Kalaulah nyawa itu boleh diganti, aku akan ambil alih tempat Husna. Aku rela merasa sakitnya. Lagipun aku tiada sesiapa lagi di dunia ini. Kalau ada sekalipun, mereka tak pernah anggap aku sebagai saudara mereka.

**

Pada mulanya, Adlan kaget dengan permintaan Husna. Adlan memandang aku meminta kepastian. Aku hanya diam. Mata ini sudah merah. Pak Long dan Mak Long sudah aku panggil. Walaupun Mak Long enggan pada mulanya, tetapi Pak Long mendesak jugak agar Mak Long ada di majlis itu.

“Aku terima nikahnya Masdira…..”

“Berhenti!” jeritku. Aku pasti dengan bisikan hati. Sejauh mana Husna rela berkorban demi aku, aku juga rela untuk membuat perkara ini.

Tetamu lain sudah berbisik-bisik. Aku tahu ramai yang tertanya-tanya. Aku bangun dari kusyen yang menjadi alas tempat bernikah itu. Aku tak boleh buat macam ni. Husna yang berbaring di ribaku memandang dengan wajah yang tidak mengerti. Wajah yang tidak berseri itu, aku tatap dengan hiba.

“Kau kenapa, Dira?”

Tok kadi dan tetamu yang lain berpaling melihat aku. Adlan yang sedang berjabat tangan dengan Tok Kadi tadi mendapatkan kami.

“Kenapa Dira? Ada masalah ke?” tanya Adlan lembut. Dia turut memandang Husna.

“Aku akan kahwin dengan Adlan kalau kau.. kau jadi isteri pertama Adlan.” Agak tersekat-sekat suaraku dilontarkan kepada Husna. Aku masih tidak dapat menahan sebak itu. Husna rela berkorban demi aku dan mengapa aku tidak sudi berkorban untuknya juga?

Husna menggelengkan kepala.

“Jangan.. macam ni, Dira! Tolonglah kejar masa itu. Aku cuma nak lihat kau bahagia saja.”

“Kita kejar sama-sama masa itu. Bukankah dulu kita sering bersama? Apa jua yang kita buat, kau dan aku ada bersama. Aku tak mahu cipta bahagia atas derita kau!”

Aku genggam erat jari Husna. Tangannya sejuk. Ya Allah, panjangkan usia Husna agar kami sama-sama merasa bahagia itu.

“Aku tak derita..”

“Kau kahwin dulu, Husna! Kau akan jadi isteri pertama abang Adlan dan aku akan jadi isteri keduanya. Kita bermadu!”putusku. Aku memandang Adlan meminta dia agar mengerti kehendakku.

“Boleh kan, Adlan? Tolonglah bagi keputusan sekarang.”

Adlan serba salah. Ucapanku itu memeranjatkan orang lain. Sudah ada yang berbisik. Puan Hasnah dan Encik Hisham terkejut. Pantas Puan Hasnah mendapatkan aku dan menghamburkan air matanya.

“Dira… Husna, makcik, dan pakcik nak lihat Dira bahagia. Ini permintaan terakhir Husna. Janganlah ditangguhkan lagi,” bisik Puan Hasnah.

“Tak, makcik! Bahagia Husna, bahagia saya jugak! Saya tetap nak Husna jadi isteri Adlan dulu. Ini permintaan saya!” aku berkeras. Aku memandang Husna.

“Kalau Tuhan bagi masa lebih lagi pada kau, aku rela kau jadi maduku. Mungkin pada orang lain ini, ini kerja gila! Ya, siapa yang mahu poligami? Aku memang gila. Tapi aku tak sanggup nak khianati kawan karib aku sendiri. Kalaupun kau rela aku kahwini Adlan, aku tak rela kau pergi dari hidup kami tanpa menukar status kau itu, Husna!”

“Dira, kau memang gila..” putus Husna lemah.

“Tapi aku tak gila nak lihat kau derita sebab aku. Kau pemangkin semangat aku selama ini. Aku nak kita bersama selalu. Kita dah biasa begini! Kau rela nak berpisah dengan aku? Sekarang kau memang nak berpisah dengan aku kan? Kau memang nak tinggalkan aku jauh dari kau. Kau.. kau dah tak sayang aku ke? Kau tak nak tunaikan permintaan aku ni?”

“Tak pernah dibuat orang, Dira. Lelaki kena kahwin dengan dua perempuan sekaligus..” kata Husna.

“Betul tu, Dira.” Balas Adlan.

“Kau pun buat permintaan gila pada aku.Kau suruh aku ganti tempat kau. Mana boleh! Kau dah janji dengan Adlan nak kahwin dengan dia.. Sekarang kau suruh aku kahwin dengan Adlan pula. Kenapa tidak kita sama-sama jadi isteri Adlan? Bolehkan Adlan?”

Puan Hasnah memeluk Husna. Dikucupnya dahi Husna. Aku lihat dada Husna berombak. Apakah masanya sudah tiba?

“Mak pun nak sangat tengok Husna jadi seorang isteri. Sekejap pun takpe, nak! Sekarang Dira dah cakap begini, kenapa Husna tak nak? Ibu berharap sangat Husna jadi isteri dan bagi ibu cucu tapi….” terhenti kata-kata Puan Hasnah. Aku sebak.

“Dira akan lahirkan cucu buat ibu. Kalau bukan dari rahim Husna pun, Husna harap ibu boleh sayang anak itu..”

“Dira, kalau anak pertama kau nanti perempuan, letakkan nama aku, boleh?”

“Boleh, Husna!” Dan aku memeluk Husna dengan erat. Aku memandang sekeliling. Kelihatan tetamu lain sudah mengesat air mata melihat kami.

**

“Aku terima nikahnya, Husna binti Hashim dengan mas kahwinnya RM100, tunai.”

Husna menandatangani borang poligami.

“Aku terima nikahnya, Masdira binti Halim dengan mas kahwinnya RM100, tunai.”

Dua lafaz nikah diucapkan oleh seorang pengantin lelaki yang sama ke atas dua orang perempuan. Saksi mengesahkan lafaz itu. Aku mengucap syukur ke pada Illahi. Akhirnya Tuhan perkenankan doaku. Doa untuk melihat aku dan Husna menjadi isteri pada hari yang sama. Biarpun kami berkongsi lelaki yang sama.

Aku menanti giliran. Saat Adlan mengucup dahi Husna, itulah saat terakhir kucupan seorang suami kepada isteri. Husna rebah tiba-tiba dan aku memangku kepalanya. Aku berkesempatan mengajarnya kalimah Syahadah itu.

“Mengucap Husna.. Ya Allah!” aku sudah sebak.

Puan Hasnah memangku pula kepala Husna di ribanya. Biarlah Husna pergi dari pangkuan emaknya. Genggaman erat tangan Husna makin longlai di jariku. Hatiku mula merintih. Jangan Kau ambil dia cepat dariku. Aku tak mahu kehilangan sahabat sebaik Husna.

“Abang… Husna.. Husna minta ampun dari hujung rambut sampai ke kaki. Husna bersyukur sangat dapat jadi isteri abang. Dapat kawan seperti Dira.. Dapat jadi madu Dira… Dapat jadi sebahagian dari hidup kalian berdua..” Husna senyum dalam kepayahannya.

“Husna, jangan cakap macam tu,” pintaku.

“Husna harap Husna akan dapat… jadi isteri abang di syurga kelak! Tak dapat di dunia ni takpe.. Tapi di akhirat nanti, Husna nak abang yang jadi pendamping Husna!”

Sayu pandangan Husna pada Adlan.

“Dira, aku.. aku minta maaf ya. Kau.. kau.. memang sahabat aku di dunia dan akhirat. Kelak kita akan jumpa di sana ya? Kau masih inginkan aku sebagai kawan kau kan?”

Aku angguk kepala. Dada Husna kian berombak.

Husna meminta maaf pada ibu dan abahnya. Hingga akhirnya Husna menghembuskan nafas terakhirnya di atas riba Puan Hasnah. Puan Hasnah meraung. Aku menangis teresak-esak. Aku hampir jatuh kalau bukan Adlan memegangku. Adlan mengucup dahi Husna sekali lagi.

“Abang relakan pemergian Husna sebagai isteri abang. Berbahagialah Husna di sana. Dan abang ucapkan terima kasih sebab memberi kawan dan sahabat yang paling baik buat abang. Abang akan ganti tempat Husna sebagai kawan Dira. Abang doakan jodoh kita panjang di sana.”

Aku terdengar bisikan Adlan di telinga Husna yang sudah pun kaku. Ianya bagai meragut separuh nafasku. Kehilangannya membuatkan aku terasa bagai hidup keseorangan selepas ini.

Aku peluk tubuh kaku Dira. Ya, selepas ini aku takkan dapat memeluknya lagi. Aku takkan dapat mendengar dia ketawa bila kami sama-sama bercerita. Aku memandang wajah Husna. Dan entah mengapa dadaku pula sesak untuk bernafas. Aku mula rasa pandanganku gelap gelita.

“Eh, Dira! Dira…” sayup-sayup aku terdengar suara Adlan memanggilku.

**

Selepas dua tahun,

“Apa ni, cengeng je! Esok anak dalam perut tu keluar, sama macam ibunya, cengeng!” usik suamiku. Dicuitnya hidungku. Dia mengambil tempat di sebelahku. Tangan kanannya memeluk bahu kiri. Aku pula melentokkan kepala di bahunya.

“Asyik tengok Spongebob je! Dulu cakap tak minat kartun ni. Orang kalau tengok kartun, gelak.. Dia ni boleh nangis pulak. Pelik betullah!” giat dia lagi.

“Anak abang ni yang nak nangis sangat! Bukan Dira pun.”

“Itulah kerja isteri kamu, Adlan.. Balik-balik kartun itu juga ditengoknya. Tengok kartun pun nangis..” Puan Hasnah pula mengusik.
Ya, aku telah mengajak Puan Hasnah dan keluarganya tinggal bersamaku. Mujur mereka tak menolak. Lagipun mereka sudah lama jadi keluarga angkatku. Rumah sebesar ini harus dihuni dengan ramai orang.
Ada juga aku mengajak Mak Long dan Pak Long tetapi enggan menerima pelawaanku. Mak Long kini sudah berubah sikap. Sejak Hanim kahwin lari ke Siam, Mak Long seakan patah hati. Sudahlah anaknya seorang, buat perangai pula. Hati ibu mana tak sakit! Perlahan-lahan, hubungan aku dan Mak Long kembali pulih.

Aku masih bekerja di syarikatku. Sejak mengandung ini, Adlan yang ambil alih buat sementara ini. Morning sickness yang kualami di fasa pertama dulu agak teruk.

“Iya ke? Boleh percaya ke ni?”

“Tak nak percaya sudah!” rajukku. Aku berpusing membelakangi dia.

“Sayang…”

Dia memusingkan tubuhku. Mendepani dia yang telah melonggarkan necktie yang dipakai tadi. Ada sedikit peluh menghiasi dahinya. Aku tahu dia penat. Penat sebab baru pulang dari kerja. Penat bila terpaksa melayani kerenahku kala ini yang semakin manja sejak perut ini membesar. Aku cuba untuk memahami keadaan dia namun entah mengapa hati ini seringkali minta dimanjai.

“Abang nak air? Nak makan?” tanyaku.

Rutin harian yang datang setiap kali dia sampai ke rumah. Sudah menjadi lumrah sejak aku menggalas status sebagai isterinya. Aku tak pernah alpa bertanyakan keperluan perut dan tekaknya. Pasti dia dahaga.

“Ya, abang dahaga sangat ni,” balas dia.

Aku bangun dari sofa namun dia menahan.

“Eh, nak kemana tu?”

“Ke dapur lah. Nak buat air untuk abang..”

“Tak payahlah! Mari duduk sini,” ajak dia sambil menepuk sofa.
“Laa.. abang kan dahaga… nak air.”

“Abang memang dahaga.. Dahagakan kasih sayang Dira. Cinta Dira yang banyak bagai gula yang tumpah ke dalam air….”

“Dan larut di dalamnya, kan?” celahku.
“Larut dalam lautan jiwa abang yang tak bertepi. Dira tak perlu susah-susah untuk abang. Perut tu dah memboyot. Kalau abang nak air, abang boleh buat sendiri. Dira janganlah banyak bergerak sangat!”

“Bang, doktor nasihatkan Dira supaya selalu bergerak. Senang nak melahirkan nanti,”

“Abang risau… Semalam Dira ada buat kerja rumah ke? Abang macam nampak mop dalam baldi.”

“Err….”

“Tengok, degil betullah! Kalau lap lantai ni, lepas tu jatuh. Siapa yang susah? Abang bukan ada kat rumah pun. Maid kan ada. Tak payah buat kerja..”

“Ala.. kucing kesayangan abang tu. Buat tahi kat dalam bilik kita ni. Sebab tu Dira mop. Abang nak rumah ni berbau busuk ke? Dira nak muntah tadi.”

“Lain kali panggil maid buat kerja. Abang hire dia untuk buat kerja rumah. Kalau tak, buat rugi saja. Tengok macam mak tu, dah macam datin je.. Duduk relaks je.. Buat macam mak, tak boleh?” panjang muncung Adlan menunjuk pada Puan Hasnah yang duduk di gazebo sana.

“Okeylah, bang! Jom naik atas. Nak maghrib dah ni!” ajakku.

“Okey, kita jemaah sama-sama macam biasa. Ibu, abah mana? Kita bersiap ya.. Nak solat kejap lagi!”

Aku menguntum senyum. Bersyukur dikurniakan suami sebaik Adlan. Lelaki yang romantis dan penyayang. Lelaki yang baik dan menerimaku apa adanya. Aku usap perut di sebalik bajuku. Sabar ya, sayang.. Mama pun tak sabar nak menanti kelahiran sayang, bisikku tatkala si kecil ini menendang perutku.

**

Kain telekung yang kupakai basah dengan air ketuban yang pecah. Aku yang baru mengaminkan doa suamiku menjerit memanggil namanya. Kalut Adlan melihat darah yang mula melekat di kain itu.

“Dira… Dira nak bersalin dah ke?”

“Dah nak bersalin isteri kamu ni, Adlan. Cepatlah kita bawa ke hospital,” Puan Hasnah turut kalut sama.

“Mana barang-barang Dira dan baby ni? Ayah nak ambil masuk dalam kereta,” bantu Encik Hisham.
“Sakit, bang! Tolong Dira…” jeritku
.
“Sabar Dira. Dira boleh buka telekung ni dulu kan?”

Dalam rasa sakit yang menghimpit. Aku gagahkan diri menanggalkan telekung. Habis sejadah dibasahi dengan air ketuban. Aku tahu masaku sudah sampai. Aku berzikir di dalam hati, mudah-mudahan bayi ini selamat.

“Abang… sakit…!!!”

“Kak.. sabarlah.. Jangan jerit-jerit, nanti baby terkejut!” Danial yang masih kecil itu, memujukku. Danial pegang tangan aku.

Jeritanku makin nyaring. Entah mengapa waktu terasa lambat berjalan. Bayiku sudah tidak sabar nak melihat dunia. Aku berdoa tidak henti-henti semoga Allah swt melancarkan segala urusanku hari ini. Semoga Allah swt mengizinkan aku untuk melihat dunia ini lagi sekaligus melihat senyuman bayi yang sangat kudambakan ini. Permata hati aku bersama Adlan.

**

“Wajah dia seiras dengan abang!”

“Bukanlah! Seiras dengan Dira. Kan anak Dira ni,” aku tak nak mengalah.

“Anak abang jugak!”
“Heii.. korang ni! Nak saja mak ketuk kepala korang! Macam budak-budak. Nasib baik tak kuning macam Spongebob!”

Puan Hasnah tergelak. Teringat tabiatku yang suka melihat kartun itu.

“Dah! Dah! Tak usah nak berebut. Baby tu kalau tak ada Adlan, tak boleh jugak! Tak ada Dira tak lahirlah dia.. Kan itu hasil dari cinta korang.” sampuk Encik Hisham.

“Kalau ada Husna, pasti semua ini membawa makna, kan ibu?” Dadaku dihuni sebak. Teringat nama yang kuberi pada bayi kecil ini membuatkan aku teringat pada dia yang telah pergi. Husna Maira binti Adlan. Aku letakkan nama Husna di pangkal nama si kecil.

Seperti yang aku janjikan pada arwah Husna dulu. Aku harapkan si kecil ini boleh menjadi seorang sahabat sebaik arwah Husna. Boleh mencari kawan seperti aku dan mengikat tali persahabatan sebaik mungkin. Ketawa dan susah bersama. Teringatkan pengorbanan yang diberi oleh Husna dulu, tak mungkin aku akan mengecapi kebahagiaan ini. Tak mungkin aku akan merasa nikmat sebagai seorang ibu. Dan aku kini setia kepada suami yang dihadiahkan oleh Husna. Tak mungkin aku akan cari yang lain bila Adlan mampu memberi kasih dan sayang yang banyak kepada aku. Cinta ini buat Adlan dan rindu itu tetap buat arwah Husna.

Husna binti Hisham, semoga kau tenang di sana. Amin…

p/s: Mengharapkan komen yang membina dari semua pembaca.. Semoga karya ini mneghiburkan anda semua.. Terima kasih..




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

41 ulasan untuk “Cerpen : Setia dan Pengorbanan”
  1. mrs.kawaii says:

    Citer ni best laa.pasal sahabat……

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"